Norashikin Idris, 35, dari Pangsapuri Alimsah Valley, Lebuh Chulia di sini, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khairul Anuar Abdul Halim.
Norashikin, seorang pegawai pembangunan masyarakat Gred 41, dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan iaitu dengan menyokong pemohonan pembelian dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh Din Sahabat Setia Enterprise, syarikat milik adik kandung Md Hisyamuddin Idris.
Kelima-lima pertuduhan itu didakwa dilakukan sejak 5 Disember 2011 hingga 4 Disember tahun lepas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Norashikin didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Janariah Abdul Mutalib manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.
Hakim Khairul Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Sept untuk sebutan semula kes. - Bernama