MANDOR.BLOGSPOT.COM |
- BIMBANG JIKA BENAR-BENAR RAJA KATAK TERKENTUT SELEPAS INI
- PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI
- YB NURUL IZZAH BAKAL PM WANITA PERTAMA ?
| BIMBANG JIKA BENAR-BENAR RAJA KATAK TERKENTUT SELEPAS INI Posted: 13 Oct 2010 12:49 PM PDT Oleh: Mandor RAJA Katak, Berahim Ali punyai alasan mengapa dia lewat bangun bertafakur sewaktu Palimen menghormati seorang ahlinya yang meninggal dunia baru-baru ini. Beliau lewat bangun kerana penyakit dalam tubuh badannya seperti kencing manis dan ada lagi penyakit lain. Kira ada jugalah alasan beliau walaupun semua tahu siapa raja katak dan perangainya itu. Ketika menghadiri majlis pertubuhan yang sinonim dengan nama Perkosa, apatah lagi hadir bersama di majlis tersebut seorang tua dari Kubang Pasu yang dipujanya tiada pula raja katak merungut tidak boleh berdiri lama akibat kencing manis. Bahkan, beliau dengan gagah bagaikan Hang Tuah mengucup keris telanjang di perhimpunan tersebut. Kali ini, beliau merungut kerana kencing manis pula. Raja katak begitu marah kerana hal remeh seperti itu diperbesarkan. Beliau berkata, jika beliau terkentut pun tentu Parlimen akan `gempar' membicarakannya. Memanglah, siapa yang tidak gempar jika raja katak terkentut? Bayangkan, jika suara yang keluar dari mulut raja katak pun bukan main lagi busuknya, apatah lagi sesuatu yang keluar dari lubang belakangnya. Justeru itu, kita amat bimbang jika benar-benar raja katak terkentut nanti./mandor.blogspot.com |
| PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI Posted: 13 Oct 2010 08:30 AM PDT Oleh: WFAUZDIN NS SAYA rasa ramai yang tahu bahawa tarikh tutup pencalonan pemilihan pimpinan PKR adalah 10 Okt yang lalu. Justeru itu, mengapa timbul dakwaan mengatakan adanya konspirasi apabila pencalonan YB Nurul Izzah ditolak setelah beliau hanya mendapat 1 pencalonan sahaja selepas tarikh tutup tersebut? Masakan YB Nurul Izzah sendiri tidak tahu syarat-syarat dan peraturan pemilihan parti yang dipimpin oleh ayahanda dan bondanya itu. Adilkah tarikh tersebut ditunda semata-mata kerana mahukan YB Nurul Izzah masuk bertanding? Sekiranya parti ini mendabik dada ingin menunjukkan contoh pemilihan yang adil, maka parti mestilah konsisten dengan peraturannya sendiri. Sampai bila kita ingin menuduh parti punyai konspirasi apabila kita sendiri tidak konsisten dengan peraturan yang kita buat? Terlalu banyak masa diberikan, mengapa bila tiba masa akhir baru kita mahu mencalonkan orang itu dan orang ini. Calon pula suka membuat keputusan bertanding di penghujung tempoh dan ini menyukarkan Cabang-Cabang untuk membuat pencalonan. YB Nurul Izzah sehingga pencalonan ditutup hanya mendapat 1 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, sedangkan untuk mendapatkan kelayakan mestilah sekurang-kurangnya 2 pencalonan. Oleh itu, wajarlah pihak pemilihan menolak pencalonannnya kerana itu lah undang-undang dan peraturan parti, bukan kerana susuk tubuh YB Nurul Izzah. Seandainya pula tarikh ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah masuk bertanding, maka akan berbunyi pula suara mengatakan mentang-mentang YB Nurul Izzah anak Presiden dan Ketua Umum PKR, maka beliau boleh melanggar peraturan parti. Mungkin ada yang berkata saya tidak sokong atau bersetuju YB Nurul Izzah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, sebab itu saya menulis sedemikian. Memang benar, saya tidak setuju beliau bertanding merebut jawatan nombor dua itu, tetapi bukan bererti saya tidak menyokongnya. Saya telah pun menulis sebelum ini tentang mengapa YB Nurul Izzah tidak perlu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR . Mungkin apa yang berlaku sekarang satu hikmah di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding kerana mendapat hanya 1 pencalonan. Sebenarnya sayang untuk menyaksikan YB Nurul Izzah tumbang di medan yang sepatutnya beliau berada. Jangan diributkan lagi pemilihan PKR yang sedang berjalan ini dengan tuduhan konspirasi. Terlalu banyak kekecohan kita dengar di dalam pemilihan kali ini, tetapi hampir kesemuanya berpunca daripada aspek teknikal. Itu perkara biasa di dalam parti yang buat pertama kalinya melaksanakan pemilihan secara lebih demokrasi `satu kepala, satu undi'. Mana yang cacat, patut diperbaiki agar pemilihan di masa akan datang lebih baik dan teratur./wfauzdin.blogspot.com |
| YB NURUL IZZAH BAKAL PM WANITA PERTAMA ? Posted: 13 Oct 2010 04:06 AM PDT Oleh: WFAUZDIN NSTERTARIK juga apabila membaca tulisan teman yang popular dengan `kopitiam' nya di sini. Satu tulisan ringkas, tetapi penuh dengan pengertiannya yang tersendiri. Satu nasihat terbaik kepada tokoh muda di kalangan wanita muda juga iaitu YB Nurul Izzah. Nama beliau tidak asing lagi kepada kita semenjak era reformasi sehinggakan beliau di`tabal'kan sebagai `Puteri Reformasi'. `Ke mana tidak tumpah kuah, jika bukan ke nasi'. Itulah dia YB Nurul Izzah, seorang insan yang gigih yang telah diuji dengan seberat ujian sejak di alam remaja lagi. Beliau cekal menghadapi ujian dan mehnah, menghadapi tuduhan serta fitnah yang tidak masuk akal terhadap ayahandanya DS Anwar Ibrahim. YB Nurul Izzah tidak pernah berputus asa, sebaliknya sentiasa bersama bonda tersayang DS Wan Azizah untuk sama-sama mengharungi segala dugaan terhadap keluarganya. Peringkat awalnya, tiada siapa boleh menjangkakan Puteri Sulung DS Anwar dan DS Wan Azizah ini akan berani menceburkan diri sepenuh masa di dalam politik, apatah lagi setelah melihat orang politik seperti ayahandanya sentiasa terbuka untuk diserang, difitnah sehinggakan ke tahap dipukul dan dipenjarakan. Kekuatan jiwa yang ada pada YB Nurul Izzah tidak lain adalah kerana darah yang mengalir ditubuhnya sekarang adalah dari darah perjuangan ayahandanya. Kini, YB Nurul Izzah benar-benar berada di landasan yang betul. Beliau telah diberi kepercayaan untuk bersama ayahandanya bagi membela nasib rakyat dan menegakkan keadilan selaku Ahli Parlimen. Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan tidak mustahil di suatu ketika, YB Nurul Izzah bakal diberi kepercayaan untuk menjadi PM Wanita Pertama di negara ini. Kebijaksanaan, keberanian serta ketokohan beliau sebagai pemimpin terserlah sedikit demi sedikit. Justeru itu, tidak menghairankan apabila terdapat beberapa Cabang PKR telah mencalonkan beliau sebagai Naib Presiden PKR, malahan beliau juga mendapat pencalonan untuk Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan kepimpinan PKR yang sedang berlangsung sekarang. Seperti yang dinyatakan oleh penulis blog tadi, cuma masanya belum sesuai dan kurang bijak sekiranya YB Nurul Izzah menyertai pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Umpama sebiji buah yang tersangat baik kualitinya, tanpa sebarang penyakit yang sedang dibalut tetapi belum cukup ranum untuk dimakan. Meskipun Dato Zaid Ibrahim seorang tokoh politik yang berpengalaman menunjukkan minat yang tinggi untuk melihat YB Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua tersebut, ini bukan bererti YB Nurul Izzah boleh terus menerimanya. Saya tidak tahu mengapa dan apa tujuan Dato Zaid begitu ingin melihat YB Nurul Izzah `melompat' sebegitu jauh. Mungkinkah Dato Zaid ingin mencuba nasib bertanding sebagai Presiden dan mengharapkan pengaruh atau sokongan dari YB Nurul Izzah? Wallahu Aklam. Amat dibimbangi sekiranya YB Nurul Izzah `terpedaya' dengan `umpan' sedemikian. Belum tentu YB Nurul Izzah boleh mencapai kemenangan, tetapi mungkin ada pihak lain yang ingin `memperkuda'kannya untuk kepentingan diri sendiri. YB Nurul Izzah tidak perlu `melangkah kepala' orang lain jika ingin ke depan. Beliau patut bersyukur dengan apa yang beliau ada sekarang dan tidak perlu gelojoh dan rakus seperti orang yang menyuruhnya bertanding itu. Memadai terlebih dahulu beliau mencuba di peringkat Naib Presiden, walaupun beliau akan menghadapi laluan yang agak sukar juga kerana ketokohan YB Fuziah Salleh tidak juga boleh dipandang ringan. PKR juga sering dicop sebagai parti keluarga DS Anwar. Adakah YB Nurul Izzah ingin membuktikan apa yang mereka kata itu benar? Kehadiran YB Azmin dan Sdr Mustafa Kamil Ayub sudah memadai untuk membuktikan bahawa PKR bukan dimonopoli oleh `dinasti Anwar'. Tidak tahulah jika Dato Zaid memikirkan agenda lain di mana beliau akan menjadi Presiden PKR, dan YB Nurul Izzah akan menjadi Timbalannya. Ketika itu tidak timbul lagi cerita `Dinasti Anwar' di dalam PKR. Itu satu kemungkinan yang mungkin ada di dalam kepala Dato Zaid. Di kesempatan ini, secara peribadi saya juga ingin menasihatkan kepada YB Nurul Izzah agar bersabar sedikit masa lagi untuk berada di saf hadapan. Jangan beliau terlalu gelojoh sehinggakan akhirnya beliau sendiri akan tersungkur di medan yang sepatutnya bukan tempat beliau. PKR masih mempunyai beberapa `Pendekar' yang handal dan berpengalaman untuk berada di medan segetir itu. Awasilah, dan berhatilah dengan `sokongan yang membawa rebah'./wfauzdin.blogspot.com |
| You are subscribed to email updates from MANDOR.BLOGSPOT.COM To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.