Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Didik anak mengenali wajah 'penjenayah' disebalik skandal 1MDB, kata Salahuddin

Posted: 17 Jan 2017 06:49 AM PST

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Salahudin Ayub Salahudin Ayub


Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa seluruh keluarga di negara ini mendidik anak-anak mereka supaya mengenali wajah-wajah 'penjenayah' di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, anak-anak perlu diberi kefahaman bahawa skandal 1MDB ini telah mambawa malapetaka yang merosakkan negara sekaligus meletakkan kehidupan mereka akan datang dalam keadaan tidak menentu.

"Dengan kesannya yang tidak sedikit kepada negara, saya menggesa supaya ibu bapa mengisi masa lapang untuk mengajar anak-anak di rumah mengenali siapa sebenarnya penjenayah 1MDB.

"Oleh kerana isu 1MDB ini berkepentingan ramai dan lebih RM40 bilion wang negara diselewengkan, maka menjadi kewajipan untuk rakyat tahu dan bertindak bagi menghukum mereka yang terlibat dengan skandal ini melalui proses perundangan atau selebihnya melalui peti undi pada PRU14 akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata sejak skandal ini dibongkar, imej negara tercemar di mata dunia malah keadaan negara menjadi rosak kerananya.

Penyiasatan kes ini menyebabkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan ada yang 'ditamatkan' dan ditukar.

"Di negara lain yang berkait 1MDB, penjenayah-penjenayah ini diburu dan diambil tindakan sedangkan di negara kita siasan kes ini ditutup walaupun skandal ini berpunca secara langsung di Malaysia.

"Oleh itu didikan ibu bapa menjadi elemen paling berkesan untuk memastikan kesedaran lebih cepat di kalangan rakyat agar mereka dapat bertindak untuk menyelamatkan negara daripada penjenayah-penjenayah ini," katanya.

Setakat ini, beberapa negara yang terlibat sedang melakukan siasatan terhadap 1MDB dan Singapura
menjadi negara terpantas bertindak dalam memburu penjenayah itu, dengan menutup BSI Bank dan Falcon Private Bank serta mendakwa bekas kakitangan bank-bank tersebut yang didakwa terlibat dalam skandal itu.

Ia diikuti kerajaan Australia apabila Polis Persekutuan negara itu menyiasat sama ada mana-mana rakyat, pemastautin atau firma Australia terlibat dalam skandal 1MDB.

Berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti di sana.

China Bantu Kita Kawal Sempadan?

Posted: 17 Jan 2017 06:34 AM PST



BERNAMA melaporkan daripada Kunming, China, pada 14 Januari lepas yang China menyuarakan kesediaan memindahkan teknologi kawalan sempadan kepada Malaysia.

Agensi berita itu memetik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai berkata, banyak yang boleh dipelajari China mengenai pengawasan sempadan.

Beliau memberi contoh di wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Vietnam sepanjang kira-kira 4,060km.

Beliau berkata, Malaysia akan menghantar 10 orang pegawai dari pelbagai agensi, seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, polis dan tentera ke China dua bulan lagi bagi mendalami prosedur operasi kawalan sempadan China. (Baca di sini).


Soalan yang saya hendak tanya Zahid ialah China nak kawal sempadannya daripada siapa?
Zahid: China tawar teknologi kawalan sempadan
Sepanjang yang kita tahu, selain rakyat Korea Utara, tak ramai orang luar yang hendak menyeludup masuk ke China. Bagi negara yang berpenduduk 1.4 bilion, 100,000 pendatang haram Afrika dan Arab tidaklah ramai.

Sebaliknya, kalau ada peluang, ramai orang China yang hendak keluar daripada China. Kini ada kira-kira 50 juta orang China dan orang keturunan di luar benua China.
Chinatown New York

Kalau tak percaya, Zahid boleh bagi tahu bilangan orang China yang masuk secara haram ke negara kita atau yang masuk sebagai pelancong dan penuntut tapi tak keluar. Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri tentu sangat faham mengenai masalah masuk tapi tak keluar ini. Bikin kepala pusing.

Sekarang China kawal sempadan bukan macam dulu lagi iaitu dengan dirikan Tembok Besar tapi dengan menjadikan negara-negara yang berjiran dengannya sebagai negara satelit (satelite states) melalui kuasa tentera dan ekonomi.

Kecuali Vietnam yang mempunyai sejarah permusuhan turun-temurun dengan China, boleh dikatakan semua negara lain yang bersempadan dengannya sudah pun mengakui dan menerima kekuasaannya sebagai "super power" tentera dan ekonomi.

Operasi Barisan Kedua

Setelah berjaya menjinakkan negara-negara yang bersempadan dengannya melalui kuasa tentera dan ekonomi, kini China berusaha menjinakkan pula negara-negara barisan kedua seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

China masih waswas terhadap Filipina kerana sejarah kerjasama ketenteraannya yang panjang dengan Amerika Syarikat. Walaupun Presiden Rodrigo Duterte cuba menampakkan sikap berkecuali, tetapi dasar Filipina mudah berubah.

Negara sebelah sini yang paling dicurigai dan masih ditakuti China adalah Indonesia. Tangan China terbakar teruk akibat kegagalan pemberontakan Partai Komunis Indonesia (PKI) tahun 1965. PKI diketahui terletak di bawah kawalan ideologi CPC dan mendapat bantuan daripadanya.

Sejak kebelakangan ini China amat selesa dengan Malaysia dan mula akrab dengan Singapura selepas kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015.
Bandar Malaysia pemilik utamanya China
Tidak hairanlah kalau Malaysia dan Singapura sedang digula-gulakannya seperti hulubalang (warlords) China zaman silam mengkhayalkan Maharaja China dengan gundik-gudik dan candu.

China kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada "wilayahnya" di bawah projek "one belt one road" atau singkatannya Obor. 

Di bawah projek Obor inilah China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya.

Kalau pada zaman silam semua laluan dikatakan berakhir di Rom, di bawah Obor, semua laluan, khususnya kereta api, berakhir di Beijing.

Bagi Najib yang sedang lemas dalam hutang 1MDB dan musibah pertumbuhan ekonomi yang mendatar, dasar China ini umpama pucuk dicita ulam mendatang.

Beliau mengambil kesempatan menjual dan menggadaikan aset negara, khususnya tanah, kepada China untuk menimbus bangkai 1MDB.

Dan apa yang Ahmad Zahid lakukan dalam lawatan ke Yunnan itu umpama menyorong bantal kepada orang mengantuk. China sedang mencari jalan memperluaskan hegemoninya dan Ahmad Zahid menawarkan satu lagi peluang melalui perkongsian kawalan sempadan.

Spektar Penjajahan Baru

Kalau lebih 500 lalu, korupsi harta benda dan minda di kalangan pembesar empayar Melayu membuka jalan kepada penaklukan Eropah, hari ini kita mungkin berdepan dengan fenomena yang sama.

Cuma kali ini penjajah bukan dari Barat tetapi dari Utara dan kaedahnya bukan penaklukan wilayah secara rasmi tetapi melalui intimidasi tentera dan penguasaan ekonomi.

Namun apa yang Ahmad Zahid lakukan bukanlah langkah pemula. Najib telah mendahuluinya. Dalam lawatan ke China November lalu, Najib bersetuju membeli empat buah kapal peronda persisiran pantai (littoral mission ships) dan memberi kontrak projek landasan kereta api Pantai Timur berharga RM55 bilion kepada China.

Kesemuanya, pemberian projek, pembelian dan hutang yang dimeterai ketika lawatan Najib ke China tahun lalu berjumlah RM143.64 bilion.

Senjata dan latihan yang dibekalkan oleh CPC kepada PKM itulah yang membunuh ribuan askar, polis, home guard dan orang awam di Malaysia sehinggalah PKM dibubarkan melalui rundingan pada tahun 1989.

Kini Najib membeli senjata dari China dan Persatuan China Malaysia (MCA) – parti rakan Umno dalam Barisan Nasional - menjalin kerjasama parti ke parti dengan CPC untuk "bekerja sebagai satu." (Baca di sini).

Soalnya apakah lagi konsesi, tolak ansur dan layanan istimewa yang kerajaan BN pimpinan Najib-Zahid akan berikan kepada China tanpa memburukkan lagi potensi ancaman kepada kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian kaum?
Kawal persisiran pantai kita daripada siapa? Dari lanun Filipina dan pendatang haram negara-negara jiran?

Ancaman Sudah Bermula

Pada 15 Januari, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Shahidan Kassim sebagai berkata laporan media yang mengatakan nelayan sebuah negara asing yang menceroboh perairan negara tahun lepas mendapat latihan separa tentera ada kebenarannya.

Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot pengawal pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.

"Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita peroleh, nelayan asing ini dilatih tentera," kata Shahidan.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana negara jiran, kita wajib tahu dan ambil ingatan bahawa negara yang paling aktif memberi latihan tentera kepada rakyat jelata adalah China dan mempunyai anggota tentera paling ramai di dunia. Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempunyai seramai 2,285,000 anggota.

Pada 30 Mac 2016, BeritaHarian.Sg (Singapura) melaporkan walaupun tentera laut Malaysia menegaskan tidak ada kapal nelayan asing dikesan di perairan negara itu di Laut China Selatan minggu lalu, pihak berkuasa maritim berkeras menyatakan sehingga 100 bot China memasuki perairan Sarawak sejak 24 Mac sebelum meninggalkannya pada Ahad (27 Mac).

Ratusan kapal nelayan China masuk perairan kita
Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, mengadakan satu sidang akhbar pada Selasa di mana beliau secara khusus menegaskan "bot nelayan asing China" itu telah belayar ke arah barat sejak dikesan, dan jumlah kapal yang dikesan berkurangan kepada sekitar 85 pada Isnin.

Dasar hegemoni China di Laut China Selatan sekarang pasti memberi semangat dan keberanian kepada nelayan negara itu untuk masuk menangkap ikan di kawasan yang dipertikai dan dalam wilayah negara-negara jiran.

Sekarang mereka hanya takut kepada Indonesia yang merampas dan meletupkan kapal nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairannya.

Indonesia bakar kapal nelayan asing yang masuk secara haram
Apakah Najib dan Zahid berani menggunakan kapal yang dibeli dari China untuk bertindak tegas terhadap pencerobohan nelayan asing seperti yang Indonesia lakukan apatah lagi jika mereka dari China?

Kita wajib bersahabat dengan semua negara di dunia dan mengalu-alukan pelaburan terus mereka tetapi ini tidak bermakna kita harus menggadai kedaulatan negara dan menjual tanah kepada mereka.

Wallahuaklam

Haramkan lori, bukan ‘kapcai’, kata Wan Junaidi

Posted: 17 Jan 2017 06:30 AM PST

 
 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak bersetuju dengan cadangan supaya motosikal atau 'kapcai' (50 hingga 150cc) diharamkan daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur untuk mengurangkan pelepasan karbon.

"Pencemaran udara (dari motorsikal) yang kecil itu tak banyak sangat, motor besar itu yang cemar...

"Saya pun tak tau, kenapa (mahu haramkan) motosikal kecil, patut lori besar jangan masuk," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu pagi ini.

Wan Junaidi mengulas saranan rakan kabinetnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencadangkan mahu mengharamkan 'kapcai' daripada memasuki pusat bandar.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu penyelidikan saintifik perlu dijalankan sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Semua perkara macam ini sepatutnya ada kajian saintifik sebelum kta buat keputusan yang terbaik.

"Sebenarnya siapa penyumbang pencemaran yang besar? Lori, bas, kereta atau motorsikal yang pyumbang emmission besar?

"Kalau ini boleh dikenalpasti, kita boleh putuskan siapa yang boleh masuk bandar," katanya.

Derita seorang bekas pemimpin Umno

Posted: 17 Jan 2017 06:26 AM PST

Derita seorang bekas pemimpin Umno
Sabariah kini menderita barah gusi dan dijaga oleh anak saudaranya di Kampung Pekan Baru.

TASEK GELUGOR - Dahulunya, wanita ini merupakan antara pimpinan kawasan yang aktif dalam menabur bakti kepada masyarakat sekitar.

Terlibat hampir 20 tahun dalam dunia politik menjadikan Sabariah Ramli dikenali masyarakat baik golongan muda mahupun tua.

Kini Sabariah tidak lagi sekuat dan seaktif dahulu sejak dirinya menderita sakit barah gusi.

Dia hanya mampu bergantung dengan pertolongan anak saudara yang menjaga di rumah keluarganya di Kampung Pekan Baru.

Adik Sabariah, Shamsiah Ramli, 55, berkata, semasa sihat bergiat aktif dalam Wanita Umno Cawangan Pekan Baru dan memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Cawangan.

"Sebut sahaja apa aktiviti, pastinya dia akan turut serta, begitu juga dengan kerja kemasyarakatan yang melibatkan kenduri kendara dan sebagainya, pastinya dia akan sampai.

"Tapi itu dululah, sewaktu dia sihat, kini dia menderita akibat sakit barah gusi dan lama kelamaan keadaannya tidak sedaya dahulu lagi," katanya.

Katanya, kakaknya disahkan menghidap barah gusi tahap tiga pada September tahun lepas.

"Pada mulanya gusinya terasa sakit dan dia pun sekadar makan ubat seperti biasa, tak dapatkan rawatan yang selanjutnya lagi.

"Lama-kelamaan keadaannya mula menjadi teruk dan bimbang dengan keadaannya itu, kami membawanya ke hospital, dan ketika itu dia disahkan menghidap barah gusi tahap tiga," katanya.

Menurutnya, Sabariah kini tidak dapat makan seperti biasa dan hanya boleh minum susu dengan protein sahaja.

"Buat masa sekarang dia tak boleh makan lagi sebab masih dalam rawatan lanjut, sekarang dia dijaga oleh anak serta adik saya.

"Kalau nak diikutkan kos barangan keperluannya mencecah ratusan ringgit, buat masa ini kami masih belum membuat permohonan untuk mana-mana bantuan," katanya.

Nasib Sabariah kemudiannya mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang hadir menziarahinya bersama kepimpinan Umno Bahagian Tasek Gelugor.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berkata, program ziarah yang diadakan kali ini memfokuskan kepada lawatan dan penyampaian sumbangan kepada pesakit di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan di Dun Teluk Air Tawar.

"Untuk program ini, kita bersama-sama jawatankuasa dan kepimpinan peringkat bahagian menziarahi beberapa pesakit di kawasan ini.

"Dalam lawatan ini juga ia secara langsung dapat mendekati rakyat dan memahami keadaan serta situasi yang dialami mereka, pada masa sama memberikan semangat serta sokongan kepada pesakit-pesakit ini," katanya.

Turut hadir sama dalam sesi ziarah ini, Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid.


Tempah surah Yasin sebelum meninggal dunia

Posted: 17 Jan 2017 06:23 AM PST

Adun Sungai Air Tawar meninggal dunia
Adun Sungai Air Tawar meninggal dunia

SHAH ALAM - "Baru semalam saya berjumpa Allahyarham di pejabatnya, Sungai Tawar, bagi membincangkan sebut harga untuk 500 Yasin, hari ini sudah dapat khabar beliau meninggal dunia. Salam takziah."

Demikian tutur, Eksekutif Bahagian Jualan Kumpulan Media Karangkraf, Sity Normala Salim, tatkala mendapat perkhabaran berita kematian Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik pagi ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Sungai Air Tawar meninggal dunia]

Menceritakan mengenai pertemuan semalam, Sity berkata Allahyarham berhajat mahu menyedekahkan Yasin itu ke surau di Dun beliau.

"Saya bertemu Allahyarham di pejabatnya, semalam kami berdua sembang OK sahaja. Beliau pun tidak ada nampak tanda-tanda sakit atau apa," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Terdahulu pagi tadi, Allahyarham Kamarol dilaporkan telah meninggal dunia di ruang rehat kediamannya di Jalan Haji Jabar, Sungai Air Tawar.


Shahrir akui ketirisan dalam Felda

Posted: 17 Jan 2017 06:14 AM PST


Pengerusi FELDA yang baru dilantik Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui berlaku ketirisan dalam badan itu, termasuk anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Katanya, Jawatankuasa Kira-kira (PAC) turut mengatakan perkara itu menyebabkan pihaknya perlu mencari sumber kewangan bagi menampung kerugian tersebut.

"Memang Felda banyak ketirisannya, laporan PAC dah berlaku ketirisan dan projek-projek yang dilakukan Felda melalui FIC mengalami kerugian dan itu ketirisan…

"Yang masanya adalah ketika ini yang kita perlukan kewangan untuk mengatasi ketirisan yang telah berlaku.
"Saya tak nafikan berlakunya ketirisan dan ramai orang bising Felda buat keputusan dan perniagaan yang tak menguntungkan.

"Jadi kesannya kepada kewangan kita, sebab itu kita jual saham Maybank," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Felda.

Hari ini Shahril mengarahkan semua ahli lembaga pengarah FIC meletakkan jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut.

FIC merupakan anak syarikat Felda yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

Ini merupakan langkah pertama yang utama bagi FELDA sejajar dengan pengumuman awal beliau mengenai rombakan besar-besarannya.

Peletakan jawatan oleh ahli lembaga pengarah FIC, katanya, akan membuka jalan untuk menyusun semula FIC.

Sementara itu Shahril menafikan dakwaan bahawa penjualan pegangan saham Maybank adalah untuk menampung pembiayaan untuk membeli 37 peratus ekuiti firma Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

"Ia hanya spekulasi. Kita tidak akan gunakan duit daripada penjualan saham Maybank untuk menyokong pembelian EHP.

"Peruntukan ini akan digunakan untuk membiayai kos pengurusan yang menjana manfaat peneroka, selain mengimbangi aliran kewangan Felda dan anak syarikat," katanya.

Beliau ketika ditanya mengenai hala tuju Felda Global Ventures (FGV) pula berkata, anak syarikatnya itu akan dinilai semula secepat mungkin dan proses berkenaan dijangka mengambil tempoh antara enam hingga lapan bulan.

"FGV ada fokus tersendiri, manakala Felda akan memberi tumpuan kepada menjaga hal ehwal peneroka, selain menguruskan aset dan pelaburan di dalam serta luar negara," katanya

MP mohon mahkamah isytihar Najib salah guna kuasa

Posted: 17 Jan 2017 06:08 AM PST

MALAYSIAKINI


Anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua memfailkan saman misfeasans dalam pentadbiran awam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dalam isu 1MDB.

Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam oleh tetuan Messrs Thomas Philip dan salinan 110 halaman itu dilihat oleh Malaysiakini hari ini.

Pua yang juga setiausaha publisiti DAP menuntut pengisytiharan bahawa defendan telah melakukan kesalahan misfeasance dalam pentadbiran awam.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah menyalah guna kedudukannya terhadap dana 1MDB untuk kepentingan peribadi.

Pua menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan dinilai oleh mahkamah.


Antara China komunis dan Cina Malaysia

Posted: 17 Jan 2017 06:06 AM PST

Raja Bahrin Shah




ULASAN-l Amat menghairankan apabila sesuatu isu sengaja dikelirukan apabila kita semua sedar sebenarnya adalah isu monopoli ekonomi dan kebergantungan melibatkan kedaulatan negara.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak menyatakan "kita boleh menerima pelaburan dari negara orang berkulit putih tetapi apabila dari negara China mereka menyatakan kita mahu menjual kedaulatan negara."

Orang buta pun boleh melihat yang perbuatan penjualan aset-aset harta strategik negara adalah untuk menyelamatkan kedudukan seseorang tertentu walaupun ia mengancam keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Sedarkah kita bahawa pelabuhan Kuantan, Melaka dan Bagan Datok akan diserahkan kepada pihak dari negara China sementara dipercayai pelabuhan di Johor Bharu, Kelang dan Pulau Pinang juga akan mengalami nasib yang sama.

Ini adalah monopoli dan kebergantungan yang amat besar kepada negara republik komunis China.

Projek keretapi Pantai Timur secara runding terus dengan kos RM55 billion, projek 1MDB - strategik Lapangan Terbang Tentera - Bandar Tun Razak dan beberapa projek janakuasa penting negara juga diberi kepada syarikat negara Cina.

Sebelum ini keputusan tuntutan kawasan perairan di Laut China Selatan oleh negara China yang ditolak oleh Tribunal Antarabangsa disambut dingin oleh Malaysia. Malahan penerimaan baik keputusan tersebut oleh rakan negara ASEAN lain tidak disokong oleh Malaysia.

Jawapan tak jelas

Sedarkah kita implikasi simpanan rizab minyak dan gas amat besar berada di Laut China Selatan dan ini akan menjejaskan tuntutan kita? Minyak Malaysia di laut makin berkurangan.

Soalan kehadiran kapal perang China di perairan Malaysia timur di Parlimen tahun lepas tidak diberi jawapan yang jelas.

Tahun ini lawatan kapal selam China di Kota Kinabalu menimbulkan lebih banyak tanda tanya dan negara India menyatakan kebimbangan mereka tentang perkembangan ini.

Sikap menerima apa saja dari negara China tanpa pertimbangan sewajarnya amat membimbangkan kita tentang keselamatan dan kedaulatan negara. Tiada isu perkauman di sini tetapi isu kedaulatan.

Kalau isu perkauman yang Najib ingin timbulkan, kenapa rakyat China dari negara komunis itu diberikan begitu banyak keistimewaan sementara rakyat Cina Malaysia yang lahir dan dibesarkan di negara ini didiskriminasikan dan dipandang serong oleh pihak kerajaan dan Umno?

Bukankah melalui Biro Tata Negara (BTN), kerajaan telah berpuluh-puluh tahun menanam dan menyebarkan kepercayaan perkauman betapa bahayanya Cina di Malaysia dan ancaman mereka bakal mengusai negara?

Kalau ini benar mengapa lebih ramai China negara komunis pula hendak dibawa masuk?

Tidak mungkin rakyat China negara komunis lebih setia dan boleh dipercayai berbanding rakyat Cina kelahiran Malaysia.

Ini lah propoganda rasis oleh kerajaan sendiri kepada rakyat Cina di Malaysia sementara China negara komunis boleh diterima begitu senang tanpa soal siasat.

Kerajaan di tuntut menarik balik segala propoganda BTN terhadap masyarakat Cina di Malaysia dan mengaku kepincangan sikap rasis terhadap mereka sebelum menerima negara China yang berpegang kukuh kepada doktrin komunis!

Jadi hiprokit

Mereka telah menganiayai berjuta-juta rakyat China etnik Islam di bahagian barat republik berkenaan kerana kepercayaan agama mereka.

Malaysia perlu bertegas dan meletak syarat umat Islam China mesti diberi keadilan sama seperti tuntutan kerajaan kepada Myanmar atas nasib orang Rohingya.

Jangan kita jadi hipokrit dengan BTN yang meracun fikiran orang Melayu bagi membenci kaum Cina di Malaysia sendiri kononnya mereka hendak memerintah Malaysia sementara kerajaan tunduk dan akur permintaan China yang menyeksa orang Islam di Provinsi Xiang.

Jangan kita menuntut Myanmar berlaku adil ke atas Rohingya sementara republik China Komunis yang menyeksa rakyat etnik Uighur beratus-ratus tahun tidak ditegur langsung.

Kita mesti belajar dari sejarah negara komunis Russia yang telah mengambil sebahagian dari Ukraine dan campur tangan isu dalaman Syria.

Russia juga telah mempengaruhi perpecahan Kesatuan Eropah – EU, dan juga keputusan pilihan raya Amerika Syarikat.

Negara Komunis China pula telah menguasai negara Tibet secara haram sejak 1950 dan sedang menjajah melalui ekonomi beberapa negara Afrika untuk simpanan minyaknya.

Negara China juga sedang menjejas perpaduan Asean apabila mempengaruhi Malaysia tidak menyokong keputusan Tribunal Antarabangsa yang menolak tuntutan kawasan Laut China Selatan oleh China.

Pengaruhi PRU14

Tidak mustahil China akan mempengaruhi "PRU14" untuk memenangkan Najib seperti Russia memenangkan Trump!

Kami menganggap isu negara China isu kebergantunggan dan monopoli keterlaluan yang merbahaya dan bukan isu perkauman. Tetapi jika Najib masih menganggap ia isu perkauman, beliau perlu menjawap beberapa soalan penting tentang peranan kerajaan serta program BTN selama ini.

Soalan pertama, jika dakwaan Umno dan BTN yang mendakwa selama ini bahawa masyarakat Cina tempatan adalah ancaman utama kepada pemerintahan Melayu benar, mengapakah kerajaan hari ini membuka pintu begitu luas dan mudah kepada negara China dan rakyatnya untuk monopoli perniagaan serta memasuki serta menduduki Malaysia?

Bukankah ini akan menambah lagi "ancaman" ke atas "ketuanan Melayu"?

Soalan kedua, atau adakah dakwaan Umno dan BTN selama ini yang ancaman rakyat Cina tempatan terhadap "ketuanan Melayu" tidak benar? Kerana itulah kemasukan perniagaan dan rakyat negara China dengan begitu banyak tidak merupakan ancaman kepada pemerintahan Melayu.

Kedua-dua senario tersebut di atas memerlukan kerajaan dan Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Dalam senario pertama kerana "mengugat" kedudukan "ketuanan Melayu" dengan menambah ancaman keatas orang Melayu. Dalam senario kedua pula, kerana menipu orang Melayu selama ini dengan ugutan ancaman orang China yang kononnya berkomplot akan mengambil kuasa Melayu.

Saya mohon Najib memilih manakah jawapan yang betul. Dalam kedua-dua senario, beliau perlu mohon maaf kepada rakyat , terutamanya kepada orang Melayu. Rakyat menuggu jawapan Najib.


Raja Bahrin Shah adalah ahli parlimen Kuala Terengganu dan pemimpin AMANAH

SPR tunggu makluman rasmi Speaker DUN Selangor

Posted: 17 Jan 2017 05:56 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor mengenai kematian dan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.01 Sungai Air Tawar berikutan kematian penyandangnya, Kamarol Zaki Abdul Malik hari ini.
 
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata tarikh hari pertama sesi persidangan DUN Selangor adalah pada 21 Jun 2013 iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013.
 
"Berkaitan keperluan mengadakan PRK bagi kerusi DUN itu ia akan dimaklumkan kelak oleh SPR selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri berkenaan," katanya.
 
 

Kabinet Sarawak angkat sumpah Khamis ini

Posted: 17 Jan 2017 05:54 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: Majlis angkat sumpah bagi timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri-menteri Sarawak di bawah Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan diadakan Khamis ini.
 
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan pada Selasa, majlis akan berlangsung pada 10.30 pagi di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Petrajaya.
 
Sarawak dijangka menerima seorang timbalan ketua menteri baharu bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan Abang Johari.
 
Abang Johari adalah antara tiga timbalan ketua menteri di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
 
Dua lagi ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing.
 
Desas-desus menyatakan Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan mengisi kekosongan itu memandangkan beliau pemimpin paling kanan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tonggak kerajaan Barisan Nasional Sarawak.
 
Awang Tengah juga merupakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri.
 
Selain itu, seorang pemimpin kanan PBB dijangka mengisi kekosongan jawatan menteri perumahan dan urbanisasi serta menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan, dua portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Abang Johari.
 
Abang Johari, 67, anak lelaki bongsu Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama Tun Abang Openg Abang Sapiee, mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri keenam Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lepas di Astana.

Polis jawab tuduhan Khalid Samad

Posted: 17 Jan 2017 05:53 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bahawa suspek utama dalam kejadian rusuhan di luar lobi Parlimen pada 24 November lalu tiada dalam sesi kawad cam yang diadakan polis pada 10 Januari lalu.
 
Rasa tidak puas hati Ahli Parlimen itu dilaporkan sebuah portal media, semalam. Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, melalui satu kenyataan media hari ini, menjelaskan dua kawad cam diadakan berhubung kes itu iaitu pada 13 Disember 2016 dan 10 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul.
 
"Khalid hadir dalam sesi kawad cam yang diadakan pada 10 Januari dan dalam sesi kawad cam itu, dua suspek dicam daripada 11 orang yang mengambil bahagian termasuk anak kepada Timbalan Menteri melainkan seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti," katanya.
 
Sesi kawad cam itu dilakukan dengan sempurna mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan serta turut dihadiri oleh peguam kedua-dua pihak.
 
Justeru, katanya pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai kenyataan itu dan tidak membuat spekulasi hingga siasatan selesai.
 
Pada 24 November lalu satu kejadian merusuh berlaku di luar Parlimen membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dengan Ahli Parlimen Shah Alam.
 
Susulan itu, lapan lelaki dan tiga wanita berumur antara 28 dan 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
 
 

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT