Ahad, 16 Oktober 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PRU 14, ANTARA HIDUP DAN MATI

Posted: 16 Oct 2016 07:42 AM PDT

 shahbudindotcom


Ramai yang percaya Najib Razak akan terus bertahan sehingga PRU 14 dan akan berusaha sedaya mungkin untuk memenangi pilihanraya itu. PRU 14 adalah perjuangan hidup mati bagi dirinya.

Jika menang PRU 14 akan datang, masa depan politiknya boleh dianggap sudah selamat. UMNO dan BN tidak lagi seteruk ini berdepan cabaran dalam pilihanraya yang seterusnya. 

Tetapi, sekiranya kalah PRU 14, macam-macam kemungkinan buruk boleh terjadi kepada Najib. Najib sendiri barangkali tidak membayangkan ada lagi kegembiraan buatnya jika kecundang dan hilang kuasa.

Kiranya pada PRU 14, masih ada Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin yang menggugat Najib, pada PRU 15 yang sepatutnya pada 2023 nanti,  semua tokoh berkenaan tentu saja sudah terlalu tua atau mungkin ada yang telah meninggal dunia.

Dengan menang PRU 14, bukan saja kemenangan dalam PRU 15 hampir tiada masalah lagi, malah Najib turut mampu mencatur penggantinya dan seterusnya akan membuatkan dirinya selamat  buat selama-lamanya.

Dalam erti kata lain, PRU 14 adalah satu-satunya peluang untuk Najib menyelamatkan dirinya.

PRU 14 juga adalah detik untuk Tun Mahathir menyelamatkan dirinya. Jika tidak menang bersama PPBM yang diwujudkannya untuk menjatuhkan Najib, Tun Mahathir turut tidak boleh membayangkan apa jadi kepada dirinya selepas itu.

Jika sekarang pelbagai kemudahannya sudah  ditarik sehingga tukang masak pun mahu ditukar, Mukhriz dipecat dan hilang jawatan Menteri Besar serta Mokhzani dipaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Sepang, nasib keluarga Tun Mahathir pasti lebih buruk lagi selepas Najib berjaya mengekalkan kuasanya dalam PRU 14 nanti.

Bukan saja beliau akan lebih dihina dan dicincang-lumat oleh Najib, malah Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Nazri Aziz dan Jamal Md Yunus pasti lebih tidak terperi gegak-gempitanya.

Gagal menyingkirkan Najib dalam PRU 14 juga bermakna berakhirlah perjuangan Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara ini. Rasuah, penyelewengan, mencuri wang negara dan aktiviti kleptokrasi tidak mustahil akan terus berleluasa.

Sekiranya berjaya menyingkirkan Najib, diikuti langkah-langkah memulihkan semula imej negara, Tun Mahathir akan lebih dikenang sebagai pemimpin yang hebat dalam sejarah negara, sama ada ketika berkuasa mahu pun setelah tiada kuasa.

Lantaran itu, PRU itu adalah perjuangam hidup dan mati juga bagi Tun Mahathir.

Tidak terkecuali, PRU 14 turut merupakan perjuangan hidup dan mati bagi Anwar Ibrahim yang kini berada di penjara.

Meskipun berada di penjara, Anwar tetap berusaha supaya UMNO dan BN tidak terus berkuasa. Meskipun diakui Anwar seorang yang berjiwa besar, sedianya beliau berbaik semula dengan Tun Mahathir adalah bagi tujuan mengukuhkan lagi kekuatan pembangkang dan seterusnya memungkinkan mampu memenangi pilihanraya.

Hanya jika UMNO dan BN dapat dikalahkan dalam PRU 14, barulah masa depan Anwar menjadi cerah. Dengan pembangkang memenangi pilihanraya, Anwar bukan saja mungkin dibebaskan lebih awal, malah boleh diusahakan pengampunan penuh bagi membolehkannya menjadi wakil rakyat semula dan menggapai kembali kerusi Perdana Menteri.

Berbanding jika UMNO dan BN terus berkuasa, Anwar bukan saja akan dibiarkan merengkok sehingga tempoh maksimumnya, malah selepas dibebaskan nanti, beliau akan terus terkekang dengan keterbatasan undang-undang yang melarangnya bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun.

Dengan yang demikian, Anwar mungkin sudah terlalu tua untuk mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri selepas itu.

Begitu juga dengan Muhyiddin, hanya kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 14 dapat memungkinkan cita-citanya menjadi Perdana Menteri akan tercapai. Jika parti-parti pembangkang memenangi PRU 14 dan PPBM mampu memenangai banyak kerusi, kebarangkalian adalah cukup tinggi bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri untuk sepenggal atau sehingga Anwar memperolehi pengampunan penuh dan mengambil alih jawatan tersebut.

Setidak-tidaknya, dapat juga Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan ia mungkin sudah memadai baginya sebagai kepuasan dan untuk menunjukkan kepada Najib, meksipun dipecat daripada UMNO dan kerajaan, merasa juga berada di puncak kuasa.

Sekiranya PRU 14 ini gagal mencapai kemenangan, Muhyiddin hanya sekadar mampu berpuas hati dapat berada di lipatan sejarah dalam senarai orang nombor dua yang kecundang di pertengahan jalan.

Maka, bagi Muhyiddin melalui PPBM, PRU 14 adalah perjuangan hidup dan mati yang akan terus diperjuangkan sedaya yang mungkin.

Bagi pemimpin-pemimpin yang lain,  siapa kalah dan siapa menang dalan PRU 14, mungkin tidak sepenting bagi mereka yang disebutkan tadi.

Tetapi, jangan lupa PRU 14 juga adalah penentuan hidup dan mati bagi rakyat seluruhnya. Rakyat mungkin akan menemui beberapa perubahan dan kebaikan seperti tiada lagi GST, tadbir urus kerajaan yang lebih baik, pemimpin yang lebih bertanggungjawab, dalang dan petualang 1MDB dapat diketahui, rakyat Kelantan mendapat royalti, hak yang lebih baik bagi Sabah dan Sarawak dan pelbagai lagi kemungkinan sekiranya kerajaan baru yang bukan ditunjangi oleh UMNO dan BN yang mengambil alihnya.

Sekiranya terus di bawah BN, boleh saja dibayangkan bahawa bukan saja Najib dan Rosmah masih ada seperti biasa dan mungkin lebih luar biasa, malah kita akan terus melihat kelibat Salleh Said Keruak, Nazri Aziz, Rahman Dahlan, Jamal Md Yunus dah mereka yang sepertinya terus mewarnai caca-marba negara.

Tidak mustahil juga, GST turut dinaikkan lagi kadarnya, menteri-menteri bertambah kaya dan kleptokrasi lagi mega angkanya.

Maka, sebagai pengundi, tanpa memperdulikan sama ada PRU 14 adalah perjuangan hidup dan mati bagi sesiapa, yang harus kita fikirkan ialah apakah kita mahu terus hidup atau mati?


Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS meriah, gegar bumi Melaka

Posted: 16 Oct 2016 07:25 AM PDT

DR RIDUAN MOHAMAD NOR






Ribuan anak muda, bahkan pelbagai lapisan umur masyarakat telah memeriahkan negeri Melaka yang bersejarah. Tanah bersejarah yang menerima Islam dengan usaha keras pendakwah daripada Makkah, Sayyid Abdul Aziz, mengislamkan raja Melaka seterusnya angin sejahtera Islam telah menyapa seluruh rakyat dan tanah jajahan. Melaka telah menggubal perundangan Islam untuk dilaksanakan melalui hukum kanun Melaka dan Undang-undang Melaka, sehingga seluruh Tanah Melayu dipayungi oleh perundangan Syariah.

Melaka pada kali ini bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah ijtimak tarbawi oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, sebuah program tahunan yang dihidupkan di zaman Ustaz Nasruddin Hassan dimana budaya ijtimak sebenarnya sangat rancak dalam PAS dalam dekad 80-an. PAS menggera kkan budaya ijtimak di awal abad 15 hijrah, juga terkesan daripada parti Islam ini yang kehilangan pengkalan kuasanya, Kelantan pada tahun 1978.

Dewan Pemuda PAS di semua peringkat, Dewan Ulamak antara yang dikesan banyak menganjurkan ijtimak dengan pelbagai jenama seperti Ijtimak Mustad'afin, Ijtimak 'Alami, Ijtimak Kebangkitan Islam, Ijtimak Ulama dan pelbagai nama lain. Program ijtimak bertujuan menghimpunkan ahli, menyemai ukhuwwah, memintal kebersamaan, mengisi ruang akal dengan pengisian. PAS sebagai gerakan Islam yang prominen dalam dunia kontemporari, tidak pernah meninggalkan juzuk tarbiah dalam segmen perjuangan mereka.

Ijtimak tarbawi merupakan reinkarnasi pembudayaan tajnid (kaderisasi dakwah) yang hangat berjalan dalam dekad 80-an. Ustaz Nasarudin Tantawi meniup wisel di zamannya menjadi Ketua Pemuda Pusat di mana Ustaz Nik Abduh menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah. Rusila yang hangat menjadi tuan rumah yang pertama penganjuran, lebih 10,000 anak muda membanjiri dataran masjid dan masjid. Pantai yang berjajaran putih dengan kerlipan bintang di dada langit menyambut tetamu yang datang daripada seluruh negara. Di pentas ceramah tarbawi juga menyambut wakil maktab irsyad Ikhwanul Muslimin, peserta-peserta ralik mengunyah ilmu daripada penulis kitab Tafsir at Tibyan.

Ijtimak di Rusila juga menyaksikan kali terakhir murabbi PAS, almarhum Ustaz Yahya Othman muncul di ijtimak tarbawi. Wajah hening bersih itu seolah tidak mahu berpisah dengan para peserta. Beliau tidak meninggalkan kerusi belakang, memandang peserta dengan wajah yang sayu dan penuh bahagia.

Ijtimak Tarbawi kedua di KUIZM, Taman Melewar bertambah meriah dengan banjiran anak muda. Keterujaan peserta jelas kelihatan apabila Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Mehdi Akif memberikan taujihat kepada mereka dengan penuh saranan bermakna.  Antara yang dijemput ialah Prof Dr Kamal Helbawy, yang merupakan pemikir Islam, manakala peserta ijtimak bertalaqi kitab dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ijtimak tarbawi ketiga telah diadakan di Pagoh, Johor pada bulan Oktober 2013, walaupun jauh di selatan tanah air, namun tak menghalang ribuan anak muda berkampung di kawasan premis pendidikan yang diasaskan oleh Dr Mahfoz Mohammad, ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Tanah ditanam uri Umno pada tahun 1946 itu gempar dengan bondongan anak muda berketayap ke wilayah mereka, ijtimak tarbawi di Pagoh juga dimeriahkan dengan dendangan nasyid kumpulan UNIC.

Perkampungan Yayasan An Nahdhoh Pulau Pinang menjadi tapak Ijtimak Tarbawi kali keempat pada tahun 2014, menyaksikan lebih sepuluh ribu hadir semasa acara talaqi kitab oleh Tuan Guru Presiden. Seberang Prai semenjak dahulu subur dengan majlis-majlis ilmu terutama pasca Perang Dunia Pertama, jamaah haji menekuni kitab-kitab tua di madrasah, masjid dan halaqah ulama. Kali ini ijtimak sangat ramai penyertaan masyarakat umum yang datang memeriahkan acara talaqi kitab Tafsir at-Tibyan.

Pada tahun 2015, ijtimak tarbawi tidak diadakan kerana jentera pemuda memberikan fokus pada himpunan FASTAQIM di Kota Bharu. Himpunan FASTAQIM adalah tindak balas semerta kepada kewujudan parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh pecundang muktamar kali ke-61 dengan kolaborasi alumni IRC/JIM.

Melihat sambutan seteguh banjaran gunung peserta-peserta ijtimak tarbawi di Melaka pada kali ini, penulis yakin dan percaya bahawa masa depan perjuangan Islam di negara ini sangat cemerlang. Anak-anak muda dengan energi yang mantap, iltizam yang tinggi, semangat yang membara serta keimanan yang mapan inilah akan menjadi penerus legasi perjuangan PAS, walau dihujat kebencian oleh para pembenci. Maju terus anak-anak muda Islami! - HARAKAHDAILY

Umno tidak bermimpi lagi di Kelantan?

Posted: 16 Oct 2016 03:59 AM PDT

MSO
Umno Kelantan akan mengadakan konvensyen tahunan pada 15 Oktober ini. Sekali lagi tema yang di pilihan "PRU14 Kelantan Milik BN? Jikalau tidak salah tajuk ini juga menjadi tema konvensyen tahun lepas. 
Tajuk atau tema itu menampakkan UBN Kelantan optimis sekali akan membentuk kerajaan selepas Piraum 14 kelak. Dengan memberi fokus kepada iltizam itu mungkin ia mampu membangkitkan semangat ahli, penyokong dan rakyat Kelantan untuk menukar tampuk kerajaan Kelantan. Tema itu bisa mengasak ahli-ahli dan penyokong UBN agar bergerak ke arah menjadi kerajaan di Kelantan.
 
Apakah unjuran yang diletakkan oleh UBN sehingga ia yakin akan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan? Tentu UBN ada strategi dan rahsia tersendiri dalam perkara ini. Ia menarik untuk kita jenguk melihat kemungkinan ini dengan membuat perkiraan dari luar kerahsiaan parti berkenaan. Apakah harapan UBN itu sebuah realiti atau pun ia masih merupakan igauan berpanjangan?

Ketiadaan Nik Aziz dan Husam.
 
Ketiadaan Nik Aziz dan Husam untungkan UBN.
Lama sebelum ini UBN mengimpikan akan menawan Kelantan selepas Pas kehilangan kepimpinan spiritual mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Para pemimin UBN yakin kalau Pas tidak lagi dipimpin oleh murabbi ummah itu mereka akan mampu untuk menewaskan Pas. UBN percaya kekuatan Pas Kelantan bukan kepada pencapaian dalam kerajaan tetapi kerana ketokohan Nik Aziz sebagai tokguru dan ilmuan terulung. Ketaksuban kepada Nik Aziz mengemaskan undi kepada Pas.
Ketokohan Nik Aziz dalam bidang itu tidak tertanding oleh UBN. UBN tidak berjaya memacakkan seorang yang setanding dengan bekas Mursyidul Am itu. Walaupun UBN telah berusaha mengirimkan beberapa tokoh agama ke Kelantan bagi menyaingi pengaruh Nik Aziz, namun ia tetap tidak berhasil. Tokoh-tokoh itu malangnya terkulai begitu sahaja mati sebelum dipanggang.
Beberapa pensiun dari Pusat Islam atau kini dikenali dengan Jabatan Hal Ehawal Kemajuan Islam (Jakim) seperti Zainal Abidin Abdul Kadir, (bekas pengarahnya) Che Min Che Mat, Mustapa Toib dan lain-lain pernah dihantar untuk menyaingi pengaruh Nik Aziz tetapi tidak berjaya. Malahan tokoh-tokoh itu membuat cemar pula kepada UBN dengan sikap sarkastik mereka terhadap Nik Aziz. 
UBN sangat menyedari akan hal ini. Tokoh-tokoh profesional dari berbagai-bagai bidang tidak berjaya mengatasi kehebatan Nik Aziz. Antara tokoh-tokoh profesional yang dipertaruhkan UBN termasuklah Awang Adek Husin, bekas naib Gebenur Bank Negara, Apandi Ali, serta Mustapa Mohamed sendiri yang pakar dalam bidang ekonomi. 
 
Kini Nik Aziz sudah pun lebih setahun meninggalkan dunia dan menyerahkan khazanah kerajaan Pas Kelantan kepada Ahmad Yakob. Ahmad dianggap tidak setanding dengan Nik Aziz. Beliau hanya seorang ustaz yang kerjayanya sebagai guru tanpa apa-apa ketrampilan yang spesifik. Kemunculan Ahmad dalam Pas tidak sama dengan kemunculan Nik Aziz, yang sebelum dibawa turun ke Kelantan (1982) Nik Aziz sudah mencipta nama dalam gelanggang Pas sebagai Ketua Dewan Ulama.
Malahan kehadiran Ahmad itu sendiri sebagai TMB kemudian menjadi MB adalah atas nasib kerana ketika itu Pas berhadapan dengan TMB sedia ada Abdul Halim Abdul Rahman yang dikatakan cuba mengkhianti kepimpinan tokguru dengan mahu merampas kerusi MB. Ahmad adalah penanggung jawatan itu menerusi nasib bukan karismatiknya ditambah dengan politik khianat dalam Pas.
Justeru dalam perkiraan UBN Ahmad bukan ancaman atau pokok keramat kepada mereka. UBN tidak merasa "seriau" dengan Ahmad. Bahkan Ahmad boleh dijinakkan dengan berjanji untuk mengatasi masalahnya. Sebaliknya orang yang digeruni UBN ialah Husam Musa exco kanan yang dicanang bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan Kelantan daripada Nik Aziz. Kalau MB Kelantan kini dipegang Husam mungkin konvensyen Umno ditukar kepada mauduk lain?
Ini kerana UBN dapat merasakan Husamlah orang yang menjana politik Kelantan dan antara pemain utama dan arkitek menjadikan kerajaan Pas Kelantan sebuah kerajaan mirip Islam progresif. Beberapa projek atau idea ditetaskan Adun Salor itu khasnya dalam soal pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan rakyat disenangi oleh orang ramai yang sekaligus menjadi beliau popular.
Jadi apabila Husam tidak lagi bersama Pas, UBN semacam bernasib baik mereka hilang kedua orang yang membayangi mereka selama ini. Lebih menarik dan dikira menguntungkan UBN lagi, selain mereka terselamat dari berdepan dengan kedua-dua mereka itu perkembangan dan senario politik Pas Kelantan kini juga memihak kepada mereka.

Sikap rakyat Kelantan.

Apa yang berlaku itu kemujuran kepada UBN kerana perubahan itu yang kesekian lama dinantikan. Sebenarnya bukan itu sahaja fenomena yang menghalang UBN untuk tawan Kelantan. Sikap rakyat Kelantan yang setia dengan Pas dan sukar untuk melupainya menyebabkan UBN payah untuk menguasai Kelantan. Kelantan dikenali sebagai kubu Pas sejak tahun 1959.
Dalam neraca politik orang Kelantan mereka menimbang dua parti sahaja, kalau tidak Umno, Pas. Sebab itu kedua-dua parti itu sudah bertukar ganti memerintah Kelantan. Dalam membuat pemilihan dan pertimbangan ini mereka melihat kepada beberapa faktor berkaitan dalam kedua parti itu. 
Antaranya ialah komitmen dan ketokohan (saksiah) pemimpin parti-parti berkenaan. Soal "deliver"  sesebuah kerajaan itu tidak begitu penting buat mereka kerana sikap orang Kelantan yang qanaah menerima apa sahaja yang ada. Didikan dan dogma agama yang fanatik menjadikan mereka bersikap demikian. Rela dan redha.
Dari segi komitmen yang dilihat ialah untuk melaksanakan Islam di Kelantan. Mereka mahu Kelantan yang dijolok dengan nama Serambi Makkah dikekalkan. Walaupun kehidupan dan sistem digunapakai tidak mencerminkan Islam 100%, tetapi cukup kalau nama itu dipertahankan. Mereka sangat obses dengan perkataan Islam. Misalnya Kota Bharu digelar Bandaraya Islam tetapi dari segi pencapaian dan praktikalnya jauh "jelek"
Mengenai tokoh atau latar pemimpin yang dilihat ialah keperibadian dan latar belakang. Jika seseorang itu berkelulusan agama, berpakaian budaya Arab, juban dan serban, ada janggut walaupun tak ada misai, menjadi minat mereka walaupun keperibadian tokoh berkenaan boleh dipertikaikan. Mereka sangat mempercayai kepada gambaran saksiah demikian kerana mereka kuat dipengaruhi persekitaran keagamaan. Watak-watak dan peribadi demikian disumbat ke dalam kepala mereka sebagai ahli jannah. Walhal rupa bentuk itu tidak merupakan sifat diterangkan agama dan jaminan ahli syurga. 

Itulah dua perkara yang diperhati oleh rakyat Kelantan di samping itu persepsi Pas sebagai parti Islam manakala Umno sebagai parti sekular menjadi "neraca budi" buat mereka walaupun hakikatnya tidak begitu. 

Nah, hari ini sesuai dengan perubahan masa dan anjakan zaman, tanggapan begitu sudah tidak ada lagi. Rakyat Kelantan atau pengundi muda kini sudah banyak berubah dan mereka mempunyai kompas tersendiri. Bagi mereka warna pakaian dan hanya mendengar janji di atas kertas bukan menjadi perhitungan mereka sangat. Generasi atau pengundi hari ini mahu melihat kenyataan atau hasil yang dibawa. Maka beberapa perubahan ini memberi kelabaan kepada UBN.

Ahmad ubah pendekatan politik kerana terdesak.
Manakala dari segi keperibadian pemimpin UBN telah berjaya menampilkan seorang tokoh bersifat dan saksiah demikian; merendah diri, hidup simple dan stail orang kampung walaupun otak antarabangsa. Dia dimaksudkan ialah Mustapa Mohamed. 
Dan apakah kombinasi di antara Pas kehilangan tokoh utama dan perubahan persepsi rakyat Kelantan kepada politik serta kemampuan UBN melahirkan watak seperti Mustapa itu akan mengutungkan UBN, atau pun ia berkeadaan status quo? UBN terus tergua-gai dengan mimpi indahnya?

Kelemahan kerajaan Pas.

Selain daripada keadaan itu apa juga yang boleh menyebabkan rakyat Kelantan berubah pandang dari Pas kepada UBN ialah berhubung kelemahan kerajaan Kelantan dalam pentadbiran. Kerajaan Pas Kelantan relatif gagal membawa perubahan dari segi pembangunan material di Kelantan. Beberapa aspek pentadbiran masih lagi menjadi pendebatan dan polemik tanpa kesudahan sehingga memualkan. 
Kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah air, jalan raya, sampah sarap serta mengatasi masalah mangsa banjir, adalah antara faktor yang meletakkan kerajaan Pas Kelantan sebagai gagal, atau tidak berkeupayaan. Gara-gara itu jugalah Ahmad telah mengambil uslub baharu Pas dengan berbaik-baik dengan Putrajaya untuk mendapat baksis bagi dilaksanakan projek untuk rakyat. Dan usaha itu berjaya atas bantuan Mustapa Mohamed.

Kalau pun ada perubahan hanya dalam bidang kerohanian. Itu pun setakat slogan atau lambang (bill board) atau pun pandangan luaran sahaja. Dari segi hakikatnya masih jauh. Contoh untuk melaksanakan hukum Hudud kerajaan Pas Kelantan masih terkial-kial dan tergagap-gagap dan menangih simpati Umno.
Apa lagi dari aspek pembangunan material Pas gagal, sama ada ia gagal kerana tekanan dan diskriminasi Putrajaya atau sebaliknya, pokoknya gagal. Aset semulajadi milik Kelantan seperti hutan, bahan meneral, manusia yang rajin dan gigih dan sebagainya gagal dijana dengan baik kerana tiada kepakaran.
Ekoran kegagalan ini juga menyebabkan Kelantan berhadapan dengan masalah kewangan berpanjangan. Tanpa menguar-guarkan kepada rakyat kerajaan Persekutuan secara diam-diam membantu pentadbiran kerajaan Kelantan terutamanya dua tahun ke belakangan ini.  Tanpa bantuan itu sudah pasti Kelantan sudah bankrup wal lingkup.
Merumuskan mengenai masalah dihadapi Pas Kelantan kini yang menatijahkan ia membuka jalan kepada UBN untuk menguasai negeri itu seperti mana berikut:

  1. Ketiadaan Nik Aziz sebagai tokoh kerohanian atau pokok keramat yang juga dianggap menjadi wali penjaga kerajaan Pas Kelantan. 
  2. Ketiadaan Husam Musa yang menjadi master mind politik Pas dan ikon kepada anak-anak muda. 
  3. Pas kini sudah berpecah dua apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).
  4. Kelemahan kerajaan Kelantan dalam pentadbiran gagal untuk memberi keyakinan kepada pengundi yang kerajaan Pas mampu membawa perubahan sesuai dengan perkembangan semasa.
  5. Perubahan pendekatan politik Umno dibawah kepimpinan Mustapa yang menjalinkan ukhwah bersama Pas membuka dimensi baharu di kalangan pengundi khasnya pengundi muda. 
Itulah faktor-faktor besar yang membuka ruang kepada UBN mengambil alih kerajaan Kelantan. Faktor itu ditambah pula dengan kehadiran tokoh UBN Kelantan yang humble dilihat berjiwa rakyat Mustapa Mohamed. Selepas Tengku Razaliegh Hamzah memimpin Kelantan dan berjaya mengambil alih kerajaan Kelantan daripasa Pas tahun 1978, Mustapalah dinilai berpeluang mencatat rekod itu. Tahun 2008 semasa Mustapa memimpin Umno Kelantan parti itu sudah hampir-hampir untuk merampas Kelantan dengan kekurangan dua kerusi sahaja. 
Tengku Razaleigh Hamzah
Semasa Tengku Razaleigh Hamzah mengambil alih Kelantan dahulu Pas berpecah dengan tertubuhnya Berjasa. Senario sama pada tahun 1978 itu kini muncul apabila Pas berpecah mewujudkan Amanah. Berdasarkan kepada sejarah itu, peluang UBN untuk merampas Kelantan sangat besar.
Mungkin ada yang cuba hendak mencari justifikasi bagi menidakkan peluang UBN ini dengan menyebut bahawa Umno juga kini berpecah dengan wujudnya PPBM. Dalam konteks di Kelantan kehadiran PPBM tidak memberi kesan besar kepada UBN. Sehingga kini PPBM masih belum dilembagakan di Kelantan tidak seperti Amanah yang sudah mula membuat gerakan untuk menggantikan Pas.
Soalnya apakah dengan suasana itu UBN akan berjaya untuk takluk Kelantan dalam Piraum akan datang?
Selain perkembangan muasir ini memihak kepada UBN, tetapi kata kuncinya terletak ditangan UBN sendiri. Sejauh manakah kesungguhan dan keazaman para pemimpin parti itu untuk membentuk kerajaan di Kelantan. Pintu terbuka dan suasana kondusif bagi UBN tidak semestinya ia seacara automatik UBN akan berjaya. Masih banyak perkara yang perlu ditinjau dan dikaji.
Misalnya untuk memastikan pengundi muda memberi perhatian kepada UBN, parti itu perlu mengemukakan tawaran-tawaran menarik yang munasbaah buat mereka. Mungkin anak muda tidak mahu mendengar projek mega seperti keretapi laju, pembesaran lapangan terbangan atau lebuh raya 10 lorong, tetapi cukup apa-apa tawaran semasa untuk mereka menerusakan kehidupan. Perkara paling mendesak ialah pekerjaan. Anak muda perlu perkara yang boleh "makan la"
Sehingga ini belum ada apa tawaran daripada UBN. Apakah ia bergerak secara senyap?  Ia akan dapat disaksikan dalam manifesto nanti. Sebenarnya tawaran dalam manifesto bukan sesuatu yang merujakan lagi. Yang paling baik ialah UBN cuba laksanakan sekarang juga sebelum pilihan raya.
Begitu juga dari segi gerak kerja, parti itu masih belum tampak. Hari ini tidak ada apa-apa program berskala besar di Kelantan yang membentuk gelombang baharu ke arah itu. Yang tampak ialah kegiatan parti dilakukan di peringkat bahagian atau kawasan masing-masing.
Di peringkat bahagian pun hanya beberapa ketua bahagian sahaja yang aktif dan berinisiatif menjalankan kegiatan parti di bahagian masing-masing yang berbentuk sosial dan menyalurkan kebajikan kepada rakyat. Antara bahagian yang dominan ialah Rantaun Panjang. Kerajinan Abdullah Md Yassin, membawa beberapa menteri ke kawasan itu dan beliau sendiri berjumpa dengan menteri, memberi gambaran perkembangan Umno Rantau Panjang meriah.
Ramzi Abdul Rahman
Ketua bahagian lain ialah Ramzi Abdul Rahman di Kuala Krai. Kejayaan paling bermakna dan akan dikenang di Kuala Krai ialah pembinaan hospital bercirikan hospital dalam taman di Kuala Krai bernilai lebih RM286 juta. Hospital itu katanya akan menyediakan 200 pakar yang memberi keutamaan kepada penduduk di tiga daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli. Perwujudan hospital ini sudah pasti menjadi mercutanda peribadi buat Ramzi.
Lain-lain ketua bahagian yang aktif, tentulah di Jeli dimana Mustapa sendiri sebagai ketua, di Machang yang diketuai Jazlan Yacob yang juga timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Di lain-lain kawasan walaupun ada projek dan aktiviti tetapi ia tidak setara dengan bahagian-bahagian disebutkan tadi. Kalau pencapaian UBN di Kelantan berpandukan kepada kegiatan di bahagian, ini menyebabkan UBN masih belum mampu untuk menguasai Kelantan kerana berapalah sangat kerusi DUN di bahagian berkenaan.
Ia mungkin akan menjadi kenyataan kalau aktiviti sosial dan kebajikan rakyat, menyedia kemudahan asas dilakukan bukan berdasarkan lokaliti tertentu khasnya yang diwakil oleh ketua yang aktif dan kreatif atau berjawatan menteri, tetapi sebaliknya dilaksanakan merata di seluruh Kelantan melibatkan bukan sahaja ahli Umno tetapi seluruh rakyat.
Adalah diharap konvensyen itu nanti akan mengemukakan gagasan dan tawaran menarik untuk rakyat Kelantan. Paling penting juga para pemimpin UBN Kelantan khasnya ketua-ketua bahagian mengangkat bai'ah berjanji dengan tekad untuk selamatkan Kelantan dari terus dijeruk oleh kerajaan Pas yang ternyata tidak berkeupayaan kini

Suspek kes rasuah Sabah dibebaskan dengan jaminan RM500,000

Posted: 16 Oct 2016 03:47 AM PDT

 
Pengarah jabatan kerajaan itu dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 tanpa deposit dengan 2 penjamin, pada pukul 1 tengah hari tadi.


sprm-sabah


KOTA KINABALU: Seorang pengarah jabatan kerajaan di Sabah yang ditahan reman berhubung kes salah guna kuasa dan rasuah projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion, dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.
 
Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pengarah itu dibebaskan Majistret Stephanie Sharron Abbie dengan ikat jamin RM500,000 tanpa deposit dengan 2 penjamin, pada pukul 1 tengah hari tadi.

Pada 11 Oktober lepas, SPRM dibenarkan menahan reman pengarah itu selama 5 hari lagi, yang tempohnya berakhir hari ini, selepas tempoh tahanan reman 7 hari sejak 5 Oktober lepas tamat.

Menurut sumber itu, tempoh tahanan reman terhadap 4 individu lain termasuk bekas timbalan pengarah jabatan kerajaan yang ditahan pada Jumaat akan berakhir pada 18 Oktober ini.

Sumber itu menambah SPRM akan meneruskan siasatan termasuk merekodkan kenyataan dan mengumpul bukti berhubung kes tersebut.

Setakat ini SPRM merakam percakapan 82 saksi berhubung siasatan kes itu, tambah sumber berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes tersebut.

SPRM menahan 5 individu terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan yang juga kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Suruhanjaya itu antara lain turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan bernilai RM30 juta.

Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, Seksyen 17(a) Akta SPRM, Seksyen 23 Akta SPRM, Seksyen 132 Akta Syarikat, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Persempadanan semula: Mana bantahan BN kepada SPR?

Posted: 16 Oct 2016 03:40 AM PDT

Lip Eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) digesa memaklumkan usaha yang telah diambil pihaknya dalam membantah cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti mana yang pernah disuarakan pemimpin tertingginya sebelum ini.

"Bantahan terhadap cadangan persempadanan semula SPR tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Justeru, saya ingin melihat bukti bantahan rasmi BN kepada SPR di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan," tegas Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada arahan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk kerajaan negeri yang ditadbir partinya mengemukakan bantahan rasmi kepada SPR berhubung cadangan tersebut.

Malah, Adnan dilaporkan media turut mengarahkan negeri yang tidak ditadbir BN untuk mendapatkan 100 tandatangan pengundi bagi menyatakan bantahan yang sama sebelum tarikh tutup yang ditetapkan untuk menghantar borang bantahan itu pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Lip Eng berkata beliau agak sukar mempercayai kata-kata Adnan berikutan tiada media yang melaporkan bahawa BN telah menghantar bantahan kepada SPR secara besar-besaran.

"Bagi kawasan-kawasan parlimen di Kuala Lumpur pula, adakah Ku Nan (Adnan) telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengemukakan bantahan kepada SPR atau 100 tandatangan pengundi telah digunakan untuk memfailkan bantahan?

"Adakah UMNO bahagian Lembah Pantai memfailkan sebarang bantahan terhadap 6,598 pengundi pos baru dari Bukit Aman yang dipindahkan ke kawasan itu di bawah cadangan SPR?" soalnya.

Katanya lagi, pemimpin BN boleh menebus rasa malu ekoran tidak berjaya menghantar borang bantahan kepada SPR seperti yang dijanjikan dengan menentang cadangan agensi pengendali pilihan raya itu dalam sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula semula esok.

"Ahli parlimen bangku belakang BN boleh mengemukakan usul tergempar di Parlimen minggu depan untuk membahaskan kesan-kesan negatif perkauman akibat persempadanan semula SPR.

"Kabinet BN juga boleh membuat keputusan untuk membatalkan cadangan SPR ini sepertimana yang mereka lakukan 11 tahun lalu untuk menolak cadangan Suruhanjaya Diraja Polis untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi memastikan disiplin pasukan polis," katanya. – Roketkini.com


Air pasang besar: 28 kawasan di Kuala Perlis berisiko banjir kilat

Posted: 16 Oct 2016 03:34 AM PDT

BERNAMA
 
 
Air pasang luar biasa gambar failAir pasang luar biasa gambar fail
Sebanyak 28 kawasan berisiko dijangka dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar di sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis mulai esok hingga Selasa ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd Farid Ishak berkata kawasan yang dikenal pasti ialah Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju.

Kawasan lain ialah Kg Tanah Baru, Kg Perak, Kg Belakang Kilang, Kg Sungai Siput, Taman Kuala Perlis, Kg Nelayan, Kg Tanah Baru, Taman Bukit Kubu, Taman Sentosa, Taman Peladang Jaya, Taman Utara Jaya Fasa 1 dan 2 serta Taman Berlian.

Selain itu, Kg Sungai Kurong Tengar, Kg Sungai Berembang, Kg Bohor Pahit, Kg Pulau, Kg Sg Baru, Kg Mengimang, Kg Sungai Belati, Kg Sungai Padang, Kg Padang Keria dan Kg Kuala Sanglang turut berisiko, katanya.

Menurut Mohd Farid banyak kawasan rendah di sepanjang pantai di negeri ini dijangka dilanda banjir kilat jika keadaan laut bergelora, angin kencang dan hujan berterusan berlaku serentak.

"APM Perlis bersiapa siaga menghadapi bencana ini. Orang ramai harus bersedia dan mengikut arahan sekiranya diarahkan berpindah ke pusat penempatan," katanya selepas membuat pemantauan di sepanjang pantai Kuala Perlis lewat malam tadi.

Antara pusat pemindahan yang disediakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Beng, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Pejabat Kemas Kuala Perlis, SK Sungai Baru, SK Datuk Ahmad Musa dan SK Padang Keria.

"Walaupun air pasang dijangka sederhana, orang ramai tidak boleh mengambil ringan," kata Mohd Farid.

Katanya air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter. Ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat.

Air pasang hari ini dijangka bermula pukul 12.40 tengah hari dan boleh mencecah 3 meter tinggi.

Sementara itu di GEORGE TOWN, dilaporkan harga ikan di sini dijangka meningkat berikutan fenomena air pasang besar.

Tinjauan Bernama di pasar Bandar Baru Air Itam mendapati hanya beberapa kedai yang dibuka dan ikan tertentu seperti ikan selayang dan kembung dijual pada harga sekitar RM12 ke RM16 berbanding RM6 dan RM8 sebelum ini, dalam kuantiti yang terhad.

Seorang penjual ikan di pasar itu, Hng Lee Wei, 53, berkata banyak nelayan tidak ke laut kerana angin kencang dan ombak yang tinggi berikutan fenomena itu.

"Nelayan dengan bot kecil tidak selamat untuk keluar menangkap ikan. Ramai yang mengambil keputusan untuk tidak keluar ke laut menyebabkan bekalan ikan kurang," katanya di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad ketika dihubungi berkata beliau berhubung dengan Ketua Persatuan Nelayan di Kuala Sungai Pinang dan Pulau Betong dan mendapati ramai nelayan yang ke laut pada pagi ini kembali semula kerana angin terlalu kuat.

"Saya dimaklumkan air pasang akan berada di kemuncaknya hari ini dan awal pagi esok. Saya menasihatkan semua orang yang tinggal di kawasan berisiko tinggi (berpindah ke tempat) selamat," katanya.

Beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk Teluk Bahang, Sungai Tiram, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan pantai Permatang Damar Laut dijangka terjejas dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga meter pada awal pagi esok, Isnin dan Selasa ini, berkemungkinan akan menyebabkan banjir.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Adnan Hussain menggesa para pelajarnya supaya mengelak daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan di kawasan terjejas sehingga 19 Okt ini.

"Saya menggesa pelajar supaya tidak berada di kawasan terjejas pada masa dan tarikh dijangka berlakunya fenomena air pasang besar untuk sebab-sebab keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bantah BERSIH 5 di Pekan, Pemuda UMNO buat laporan polis

Posted: 16 Oct 2016 03:29 AM PDT

BERNAMA



Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis polis hari ini bagi membantah perhimpunan Bersih 5.0 yang dijangka diadakan di sini pada 23 Okt ini.

Ketua Pemuda UMNO Pekan Shahruddin Ahmad berkata laporan dibuat kerana himpunan itu dilihat hanya membawa kepada kemusnahan terutama terhadap perpaduan dalam kalangan masyarakat di parlimen Pekan sendiri.

"Kita percaya perhimpunan Bersih 5.0 akan menyebabkan huru-hara, mendatangkan perpecahan dan mencabar sokongan jitu masyarakat di sini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selain itu, sudah terbukti sebelum ini ia lebih banyak mengakibatkan kerosakan seperti mengotorkan kawasan, vandalisme dan menjurus kepada penglibatan gangsterisme.

"Jika mereka masih berdegil untuk meneruskannya kemungkinan pertembungan antara kumpulan baju kuning dan baju merah akan berlaku dan ini akan menimbulkan kekecohan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengambil tindakan tegas bagi menghalang himpunan tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Shahruddin berkata perhimpunan Bersih 5.0 itu juga akan mencemarkan imej Pekan sebagai bandar Diraja apa lagi bulan ini akan diadakan sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Sempena bulan memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, sudah tentu banyak program rasmi kerajaan negeri diadakan di Istana Sultan Abu Bakar yang akan dihadiri tetamu penting.

"Justeru, adalah tidak wajar mereka merosakkan sambutan tersebut dan memalukan Tuanku Sultan dan kerajaan Pahang dengan menganjurkan perhimpunan seperti ini," katanya.-- BERNAMA


JKKKP kena peka, sensitif isu semasa

Posted: 16 Oct 2016 03:24 AM PDT

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) di Maeps, Serdang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 16 OKTOBER 2016.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) di Maeps, Serdang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
 
 

Peranan ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) penting bagi membantu kerajaan meneruskan pembangunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, golongan pemimpin itu kini perlu berfikiran jauh dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu selain dapat meningkatkan taraf hidup di kawasan masing-masing.

Justeru jelasnya beliau, JKKK dan JKKKP perlu lebih agresif dan berganding bahu mendekati rakyat bagi membela nasib mereka.

"Bukan sekadar asyik minta projek. Wakil rakyat datang, minta projek. Menteri datang, minta lagi projek. Perdana Menteri, datang minta besar lagi projek. Kerajaan mahu wujud pemikiran baharu apabila JKKK dan JKKKP ada inisiatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

"Contoh, wujudnya penyebaran kes virus Zika atau denggi. Bagaimana JKKK dan JKKKP dapat memastikan kampung mereka bersih daripada wabak itu. Selain itu, MyFarm Outlet yang diperkenalkan oleh kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat kampung.

"Jadi JKKK dan JKKKP kena sentiasa peka dan sensitif dengan isu semasa dan manfaat yang boleh direbut. Itu yang kerajaan mahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di Serdang petang tadi.

Najib turut menyampaikan hadiah kepada pemenang sebanyak empat kategori ADS1M. Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan komited untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terus terpinggir serta ketinggalan dalam arus kemodenan negara.

Tegasnya, pembangunan yang lebih menyeluruh dan bersepadu amat penting dari segi akses kemudahan infrastruktur yang berkualiti dan peluang menjana ekonomi sara diri.

"Program Transformasi Kerajaan (GTP) dari tahun 2010 hingga 2015, kerajaan telah berjaya membina lebih 5,268 kilometer (km) jalan raya.

"Kerajaan yang kerajaan bina ini tidak sampai tempoh enam tahun adalah hampir sama panjangnya dengan keseluruhan Sungai Amazon yang sepanjang 6,800 km di Amerika Selatan," katanya.--MalaysiaGazette


Cadangan pembuli digantung sekolah setahun - Mahdzir

Posted: 16 Oct 2016 03:17 AM PDT

Oleh Bernama 
 
 
Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid


Kementerian Pendidikan bercadang untuk mengenakan hukuman gantung persekolahan selama setahun ke atas pelajar yang terlibat dalam kes buli serius.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembuli yang digantung persekolahan itu juga akan menjalani kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh tertentu.

"Ini peringkat cadangan kementerian, namun sudah sampai masanya kita mengenakan tindakan tegas agar isu buli tidak berpanjangan.

"Saya berpendapat isu buli sudah semakin serius dan perlu kita bendung segera dan cadangan penggantungan sekolah adalah langkah terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Bantuan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Laman Kebun Risda Daerah Padang Terap hari ini.

Kata beliau, cadangan itu dibuat selepas menerima banyak tentangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati dengan hukuman buang sekolah.

"Hukuman ini baru di peringkat cadangan dan kita akan memberikan tempoh masa sebulan untuk mendapatkan reaksi berhubung perkara ini termasuk daripada komuniti. Jika cadangan diterima, kita mungkin akan melaksanakannya pada tahun hadapan," ujarnya.--BERNAMA


Amanah berpotensi menang di Baling

Posted: 16 Oct 2016 03:02 AM PDT

MOHD ALI HASHIM
 
 
Asmirul Anuar Aris, ketua Pemuda Amanah kedah.Asmirul Anuar Aris, ketua Pemuda Amanah kedah.Parti Amanah Negara (Amanah) berpotensi untuk memenangi kerusi Parlimen Baling dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada dokongan yang amat menggalakkan jika dibandingkan dengan kawasan yang lain.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda Amanah, Asmirul Anuar Aris.

Jelasnya lagi, Baling merupakan daerah yang kedua mempunyai ramai penyokong Amanah selepas Parlimen Kubang Pasu.

"Amanah mempunyai keyakinan yang besar untuk menang di Baling selepas melihat sokongan yang amat memberangsangkan.

"Pada peringkat awal kita tidak dapat membuat penilaian serta justifikasi.

"Namun begitu, lama kelamaan sokongan yang diterima amat mengejutkan apabila ia turut menerima keahlian dari keluarga para guru dan ulama, " tegasnya lagi.

Asmirul juga berkata, walau bagaimana pun pertembungan tiga penjuru harus dielakkan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Sekiranya kita serius untuk mengalahkan Umno dan BN, maka pertandingan tiga penjuru mesti dielakkan sama sekali.

"Amanah akan mengambil pendekatan serius bagi mengelakkan pertembungan ini terjadi.

"Perbincangan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, Pas dan juga Bersatu akan diadakan bagi merealisasikan impian kemenangan tersebut, " jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, Umno harus ditentang dengan cara satu lawan satu sekiranya bersungguh-sungguh untuk mendapat kemenangan.

"Kita juga amat mengharapkan Pas dapat menerima cadangan mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Selain Baling, Amanah juga mampu mendapat sokongan yang besar daripada pengundi di Parlimen Kubang Pasu.

"Bagi merealisasikan kemenangan ini, kita mesti pastikan pembangkang dapat bersatu secara serius dalam sebuah pakatan bagi mengalahkan Umno dan BN tidak lama lagi, " ujarnya.

Dr. Ismail dakwa persempadanan semula SPR di Kedah berat sebelah

Posted: 16 Oct 2016 03:00 AM PDT

MOHD ALI HASHIM
 
 
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil SPR di Alor Setar.Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil SPR di Alor Setar.


Cadangan persempadanan kawasan Parlimen dan Dun dalam Negeri Kedah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan berat sebelah.

Malah apa yang sedang direncanakan oleh SPR memperlihatkan seolah-olah ianya sebagai suatu tindakan bagi memenangkan Umno dan BN dalam pilihan raya ke 14 yang akan datang.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan Pakatan Harapan (PH) Kedah kepada wakil SPR di Alor Setar.

Menurut beliau lagi, persempadanan yang dicadangkan oleh SPR tersebut tidak mengikut asas dan kaedah yang mereka sendiri war-warkan selama ini.

"Jika dilihat pada kaedah sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh SPR, persempadanan ini adalah berdasarkan kepada sempadan daerah, sempadan sungai dan jalan raya.

"Ia juga turut meliputi komposisi penduduk, pengagihan penduduk serta jumlah penduduk bagi sesuatu kawasan.

"Namun begitu dalam persempadanan yang mereka cadangkan kali ini, memperlihatkan bagaimana SPR sendiri tidak mengikut kaedah yang mereka sendiri tetapkan, " jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, terdapat pusat daerah mengundi atau PDM ke dalam Dun tertentu dikumpulkan bagi memastikan kemenangan kepada BN.

Tegasnya lagi, PH Negeri Kedah akan tetap membantah cadangan kawasan pilihan raya oleh SPR terutamanya bagi tujuh kawasan Parlimen dan 13 kawasan Dun di Kedah.

"Usaha SPR memindahkan pengundi ke beberapa kawasan Dun sebagai suatu tindakan terdesak bagi membantu BN mengekalkan kuasa.

"Pendekatan yang sedang dilakukan oleh SPR dengan memindahkan pengundi ke kawasan yang diharapkan mampu membawa kemenangan kepada BN adalah suatu tindakan berat sebelah.

"Kenapa mereka hanya memindahkan pengundi ke kawasan yang diharapkan BN menang semataq-mata, sebaliknya tidak menambahkan kerusi Dun di Kedah, " tanya beliau lagi.

Tambahnya lagi, sebagai contoh bagi Dun Bukit Selambau yang mempunyai hampir 50,000 pengundi sepatutnya sudah boleh dijadikan sebagai satu Parlimen.

Walau bagaimana pun, perkara ini tidak berlaku, sedangkan jumlah pengundi dalam kawasan Dun Bukit Selambau adalah melebihi jumlah pengundi di Parlimen Langkawi dan juga Padang Terap yang dikuasai oleh Umno dan BN.

"Bagi Parlimen Langkawi yang dikuasai oleh BN, mereka hanya mempunyai 37,645 pengundi.

"Begitu juga dengan Parlimen Padang Terap yang diwakili oleh BN dengan jumlah pengundi seramai 42,877 orang.

"Pengundi-pengundi juga tidak diberi maklumat mengenai pemindahan mereka serta peluang untuk mereka membuat bantahan sebagai pengundi yang sah, " tambahnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, SPR mesti bertindak secara adil dan tidak berpihak kepada Umno dan BN dalam usaha mereka memenangkan parti pemerintah tersebut menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Kami bukan keluar Islam, Melayu'

Posted: 15 Oct 2016 10:30 PM PDT



'Kami bukan keluar Islam, Melayu'
Mohd Rafiq (duduk, tengah) dalam sidang media hari ini. - Foto Sinar Harian


AMPANG - Bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen berharap silaturahim dengan rakan-rakannya dalam Umno akan kekal walaupun selepas beliau umum keluar parti.

Mohd Rafiq berkata, beliau berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Pemuda Umno di peringkat akar umbi yang banyak menyokong ketika beliau masih bersama Umno.

"Saya percaya ramai di kalangan mereka akan marah dan tak bersetuju dengan langkah saya. Walaupun tak lagi bersama Umno dan berlainan ideologi politik, saya harap silaturrahim kita kekal abadi.

"Saya dan rakan-rakan bukan keluar Islam, bukannya murtad. Kami juga tidak tukar bangsa dan warganegara, jadi janganlah marah sangat kami ini," katanya dalam sidang media bersama 28 bekas pemimpin Umno peringkat cawangan di sini, hari ini.

Sementara itu, menjawab kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ada bekas ahli Umno yang merayu untuk kembali kepada parti, Mohd Rafiq berkata, perkara itu tidak akan berlaku kepada mereka.

"Jika benar dakwaan Tengku Adnan bahawa ada ribuan ahli Umno yang dipecat merayu untuk diterima semula, saya cabar beliau senaraikan.

"Tapi kami semua hari ini memang tak nak masuk balik Umno," katanya.


MEROMPAK, MENYAMUN LEBIH MERUPAKAN JENAYAH

Posted: 15 Oct 2016 10:14 PM PDT

shahbudindotcom


Apa agaknya masalah Annuar Musa ini?

Sudah dua tiga kali sebelum ini, khususnya sejak dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO, beliau seolah-olah sudah tidak kenal lagi antara hitam dengan putih.

Terbaru, katanya, politik kebencian itu suatu jenayah.

Sejak bila  benci-membenci dalam politik menjadi suatu jenayah? 

Sebagai orang lama dalam politik, Annuar tentu tahu bahawa politik ialah untuk merebut kuasa. Dalam usaha berebut kuasa, sudah tentu pihak lawan diserang dan dibenci supaya sokongan memihak kepada kita. Takkan lawan mahu dipuji pula.
 
 
 
 
Semua parti politik berbuat demikian. Jika parti-parti pembangkang menanamkan kebencian agar rakyat menolak UMNO dan BN, pihak UMNO dan BN juga berbuat perkara yang sama kepada parti-parti pembangkang.

Tetapi, akhirnya pilihanrayalah yang menentukan segala-galanya. Kerajaan ingin ditukar hanya melalui proses pilihanraya atau cara-cara lain yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Apakah beliau tidak sedar hakikat itu?

Jika Annuar mengatakan politik kebencian adalah suatu jenayah kerana ia bertujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, bagaimana pula dengan politik kebencian yang turut ditanam oleh UMNO dan BN di Selangor dan Pulau Pinang?

Bolehkah sebagai Ketua Penerangan UMNO, Annuar mengarahkan agar dihentikan serta-merta kempen menjatuhkan kerajaan negeri di kedua-dua negeri tersebut mulai sekarang jika ia merupakan suatu jenayah?

Apakah hanya kerajaan Pusat saja yang dipilih oleh rakyat dan tidak boleh dijatuhkan? Tidakkah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang juga dipilih oleh rakyat?

Untuk makluman Annuar, bukan politik kebencian yang menjadi masalah kepada negara. Sudah banyak kali pilihanraya diadakan di negara kita, dan setahun atau dua tahun sebelum tarikh pilihanraya diadakan, adalah perkara biasa bagi parti-parti politik memperhebatkan kempen menanam kebencian dan menarik sokongan rakyat, namun ia tidak pernah menjadi masalah selama ini.

Kenapa hanya di era Najib ia dilihat sebagai masalah? Kenapa takut sangat dengan kebencian jika kita di pihak yang benar dan tiada dosa besar kepada rakyat?

Mengapa mahu ia dijadikan sebagai jenayah?

Bagaimana dengan rompakan, samunan dan pencurian wang rakyat yang sudah begitu melekat dengan kepimpinan yang ada sekarang yang bukan saja menjadi bualan rakyat dalam negara, malah menjadi bahan cecehan yang sudah bertaraf dunia?

Bukankah ia lebih merupakan jenayah yang sebenar yang ada di depan mata kita?


Yazid pula nak saman empat anggota Search, kecuali..

Posted: 15 Oct 2016 10:09 PM PDT

Nadia Azam


Selepas disaman penganjur Konsert 35 Tahun Search Syarikat Afjets Sdn Bhd, empat anggota Search kini berdepan kemungkinan disaman rakan sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, pemain dram Search Yazid berkata dia sedang mempertimbangkan cadangan menyaman empat anggota kumpulan legenda itu tidak lama lagi.

Turut berada dalam 'radar' Yazid, atau nama sebenarnya Yazid Ahmad, 54 adalah sebuah stesen penyiaran tempatan.

"Sidang media akan dibuat pada bila-bila masa.

"Ada dua perkara yang menyebabkan tindakan saman itu akan diambil, tetapi belum boleh didedahkan butiran setakat ini kerana ia dianggap sensitif.

"Isu berbangkit yang boleh diberitahu adalah mengenai soal pecah amanah dan pengecualian publisiti di sebuah stesen penyiaran," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun kata Yazid, niat itu mungkin dibatalkan seandainya empat anggota Search itu menerima pelawaan untuk 'bersua muka.'

"Tindakan saman akan dipertimbangkan sekiranya mereka ingin berjumpa dalam satu sesi dialog, saya lebih suka begitu.

"Kesilapan boleh dinilai semula melalui perbincangan diadakan yang bertujuan mengenalpasti dalang di sebalik pengguguran nama saya dalam perjanjian persefahaman (MOU) konsert," katanya ketika dihubungi.

Perkara yang membuatkan Yazid benar-benar terkilan adalah tindakan Amy (vokalis), Hamzah (gitar utama), Noordin (gitar) dan Nasir (bass) berhubung Konsert Search 35 Tahun yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu.
Sehari sebelum itu, Search membuat sidang media untuk memperjelaskan keadaan mereka berhubung laporan polis dibuat selain menuntut Yazid memohon maaf dalam tempoh 48 jam.

Bagi Yazid, kasih dan sayangnya terhadap Search belum pernah pudar apabila mengingatkan kembali segala keringat yang pernah dicurahkan sewaktu menubuhkan kumpulan itu suatu ketika dulu.

Justeru, pembatalan konsert yang sepatutnya dihadiahkan buat peminat dalam meraikan 35 tahun penubuhan kumpulan itu dirasakan amat mengecewakan.

"Saya membuat pelaburan yang banyak demi Search dari album pertama hingga yang ke-15, semua orang tahu dan perkara itu tidak perlu diperkatakan lagi.

"Faedah pelaburan itu diperoleh semula menerusi konsert, masa itulah pemuzik membuat duit.

"Kami sudah menguasai pasaran selama bertahun-tahun dan sentiasa berada di depan tetapi apabila timbul isu seperti ini ia hanya merugikan diri masing-masing," katanya.

'P Pinang juara nombor satu KDNK'

Posted: 15 Oct 2016 09:51 PM PDT

Lim Guan Eng


ULASAN Dalam masa lapan tahun, kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah Pulau Pinang, negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada tahun 2006-2007, menjadi juara nombor satu dalam kadar pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014-2015.

Kerajaan negeri Pulau Pinang membantah keras pembohongan BN kononnya prestasi ekonomi dan kewangan kerajaan negeri Pakatan sangat menyedihkan, dan memutarbelit kejayaan kita mengubah ekonomi Pulau Pinang menjadi salah satu yang paling dinamik di Malaysia.

BN tidak boleh menukar hitam jadi putih, atau putih menjadi hitam apabila laporan tahunan Ketua Audit Negara membuktikan perkara-perkara berikut.

Sepanjang lapan tahun sejak kerajaan Pakatan mengambil alih, Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan tahunan dengan lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta sepanjang lapan tahun 2008-2015, lebih banyak berbanding BN sepanjang 50 tahun antara 1957-2007 yang setakat RM373 juta.

Kita telah berjaya melakukan lebih baik dalam tempoh lapan tahun berbanding apa yang BN lakukan dalam masa 50 tahun.

Aset rizab dua kali ganda

Aset rizab kita telah meningkat hapir dua kali ganda sepanjang tempoh lapan tahun ini, daripada RM850 juta menjadi RM1.6 bilion.

Lebih signifikan ialah hutang kerajaan negeri telah dikurangkan sehingga 90 peratus dalam jangka masa yang sama pada jumlah RM69 juta menjelang hujung 2015, yang terendah dalam negara.

Hutang RM69 juta ini perlu dibandingkan dengan sejumlah RM16.8 bilion oleh 13 negeri, dengan Pahang yang berhutang hampir RM2.9 bilion, diikuti Sabah sebanyak RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

Bandingkan prestasi ekonomi Pulau Pinang dengan kerajaan persekutuan yang telah merekodkan belanjawan tahunan berdefisit untuk 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998 dan hutang kerajaan persekutuan yang meningkat tiga kali ganda sejak 2007 menjadi RM800 bilion.

Jadi beritahu saya - prestasi ekonomi kerajaan manakah yang menyedihkan?

Projek terbengkalai

Hasil kejayaan ekonomi Pulau Pinang boleh dilihat dengan kembali hidupnya projek-projek perumahan yang terbengkalai dan pemulihan pusat-pusat pelancongan yang telah mati seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena (PISA) dan malah Seberang Perai.

Bahkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada bantuan tunai sebanyak RM400 juta yang diagihkan saban tahun seperti pemberian RM100 setiap tahun untuk warga emas, ibu tunggal, surirumah, orang kelainan upaya dan murid sekolah, serta bayaran one-off RM1000 untuk perbelanjaan kematian, RM200 untuk anak-anak baru lahir dan RM1000 untuk mahasiswa tahun pertama.

BN telah cuba untuk memusnahkan kejayaan Pulau Pinang dalam pengurusan kewangan dan tadbir urus yang bersih, termasuk amalan tender terbuka, yang telah mendapat pujian daripada laporan tahunan Ketua Audit Negara dan juga Transparency International dengan mendakwa bahawa:

"Jabatan Statistik menunjukkan bahawa KDNK per-kapita untuk Pulau Pinang merekodkan kenaikan 44 peratus daripada RM31,039 pada tahun 2007 ke RM44,847 pada tahun 2015, kadar terendah yang direkodkan. BN malah memuji negeri paling miskin di Malaysia, Kelantan. KDNK per-kapita di Kelantan bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah, namun kadar pertumbuhan untuk negeri Pantai Timur itu pada tempoh yang sama antara 2007-2015 jauh mendahului Pulau Pinang pada kadar 73.9 peratus."

BN gagal menyebutkan bahawa merekalah penyebab kenapa Pulau Pinang merekodkan kadar pertumbuhan terendah bagi KDNK per-kapita.

Bermula dengan negeri tercorot

Bagi tahun 2006-2007, Pulau Pinang adalah negeri tercorot, merekodkan kadar pertumbuhan KDNK per-kapita pada hanya 5.9 peratus. Apabila kerajaan Pakatan mengambil alih pada tahun 2008, kita mempunyai tugasan yang besar untuk mengubah ekonomi yang direkodkan pada kadar terendah bagi KDNK per-kapita.

Kerajaan Pakatan telah berjaya mengatasi cabaran ini seperti yang ditunjukkan angka-angka yang diberikan Jabatan Statistik. Pulau Pinang menduduki tempat ketiga seluruh negara bagi pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2012-2013, tempat kedua bagi tahun 2013-2014 dan johan pada tahun 2014-2015.

Meskipun kita mengambil masa 8 tahun, kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah negeri tercorot dalam negara bagi tahun 2006-2007 menjadi negeri nombor satu dalam pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014-2015.

Inilah kemampuan kerajaan Pakatan, menukarkan defisit menjadi lebihan, negeri corot menjadi juara, hutang yang tinggi bertukar rendah.

Rahsia kejayaan kerajaan Pakatan Pulau Pinang ialah integriti dan urustadbir bersih. Bezakan Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih di Malaysia yang dipuji Transparency International dengan kerajaan persekutuan BN yang diberi gelaran kerajaan paling korup dalam dunia.

Daripada memuji kami kerana mengubah ekonomi negeri Pulau Pinang, kami disuruh belajar daripada BN yang telah menjahanamkan reputasi negara di mata dunia dengan skandal RM53 bilion 1MDB dan skandal derma RM4.2 bilion.

Mereka yang berbohong semudah bernafas nyata tidak layak memimpin negara.


LIM GUAN ENG Ketua menteri Pulau Pinang

'Jamal buat kerja amal sebab hotel ikan bakar nak tenggelam'

Posted: 15 Oct 2016 09:46 PM PDT

Alyaa Azhar 


ADUN Sekinchan Ng Suee Lim mempersoalkan sebab sebenar di sebalik gerakan Baju Merah memilih khidmat masyarakat hari ini.

Pada majlis minum petang anjuran konvoi BERSIH dari Sekinchan ke Kuala Selangor, Ng "mengucapkan tahniah" kerana kumpulan Baju Merah hari ini sibuk melakukan kerja amal.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa 'Hotel Sekinchan Ikan bakar' akan ditenggelami air sekiranya berlaku fenomena air pasang.

Hotel yang dimaksudkan Ng ialah Resort Ikan Bakar yang dimiliki ketua gerakan itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

"Salah satu sebab kenapa Jamal buat kerja amal kerana saya dimaklumkan Hotel Sekinchan Ikan Bakar kalau air naik terlalu tinggi ia mungkin akan tenggelam

"Jadi dia kena buat benteng lebih tinggi kalau tak...," katanya yang disambut gelak ketawa.

"Kononnya kerja amal tapi kepentingan peribadi lebih," kata Ng.

Semalam, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata pihaknya akan bergotong-royong membantu penduduk kampung yang sedang diancam oleh air pasang besar.

Fenomena air pasang dijangka berlangsung dari hari ini hingga 19 Oktober.

BERSIH kini sedang mengadakan siri jelajah seluruh negara untuk membina momentum menjelang perhimpunan BERSIH 5 pada 19 November.

Kumpulan baju merah, yang mengancam untuk berhadapan dengan peserta BERSIH 5 pada hari himpunan tersebut, juga telah mengganggu konvoi gabungan itu.

Kumpulan Baju Merah dan aktivis BERSIH bertempur selama dua kali apabila Jamal dan orang-orangnya cuba menyekat konvoi baju kuning.

Minggu lalu, seorang penyokong BERSIH dibaling telur dan ditendang oleh penyokong Baju Merah.

Air Pasang Besar: Penduduk Kampung Tok Muda Mula Berpindah

Posted: 15 Oct 2016 09:33 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Sebahagian penduduk Kampung Tok Muda sudah mulai mendaftar di pusat penempatan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai, Kampung Tok Muda, Kapar ketika tinjauan Bernama pada Sabtu. Foto Bernama
 
 
KLANG: Sebilangan penduduk Kampung Tok Muda, Kapar di sini mula berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir sejak 2 petang Sabtu sebagai langkah awal menghadapi fenomena air pasang besar.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad Afandi Mohamad berkata, setakat 3.30 petang, 37 keluarga telah mendaftar di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda.

"Pusat ini mampu menampung sehingga 50 keluarga dan dijangka lebih ramai akan mendaftar menjelang lewat petang nanti dan awal pagi esok," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, 100 kakitangan pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas secara bergilir-gilir di pusat pemindahan itu.

Katanya lagi, fenomena air pasang besar pertama direkodkan pada 6 pagi Sabtu pada paras 5.2 meter.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada Ahad hingga Rabu ini dengan kenaikan paras air mampu mencecah ketinggian 5.6m hingga 5.7m.

Peningkatan paras air laut berkenaan boleh menyebabkan beberapa tempat di sekitar pesisir pantai termasuk kawasan rendah berisiko dilanda banjir.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Siti Nadiah Rusman, 37, ketika ditemui menyatakan tindakannya berpindah awal ke pusat pemindahan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

"Diharapkan air pasang kali ini akan berakhir dengan cepat, barang-barang semua saya dah pindahkan ke tempat tinggi," katanya.

Pada fenomena sama bulan lepas, Kampung Tok Muda merupakan antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir menyebabkan harta benda penduduk rosak teruk. - Bernama

Tindakan Lebih Tegas Elak Pertembungan Baju Merah, Bersih - TKPN

Posted: 15 Oct 2016 09:30 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Noor Rashid Ibrahim.
 
 
BANGKOK: Polis mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan lebih tegas untuk memelihara ketenteraman awam dan memastikan tidak berlaku "pertembungan" antara penyokong-penyokong Baju Kuning dan Baju Merah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pada ketika ini, polis mengamalkan pendekatan sederhana dalam menangani isu penganjuran perhimpunan dan perarakan haram oleh pihak-pihak tertentu di Malaysia.

"Sekarang kita ambil tindakan secara sederhana, kita tidak mahu mencetuskan keadaan tidak selesa tetapi jikalau perkara ini berterusan kita akan mengambil tindakan tegas," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Noor Rashid yang berada di Bangkok untuk menghadiri sambutan Hari Polis Diraja Thai berkata demikian ketika terdapatnya kebimbangan tentang kemungkinan "pertembungan" antara penyokong-penyokong Baju Kuning dan Baju Merah.

Penganjur Bersih 2.0 dijangka menganjurkan Perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 November ini dan penyokongnya digelar "Baju Kuning" telah pun mengadakan konvoi di beberapa lokasi untuk menarik penyokongnya menghadiri perhimpunan itu.

"Baju Merah" yang menentang Bersih 5.0 memberi amaran akan menganjurkan perhimpunan sama bagi menyaingi apa dilakukan oleh "Baju Kuning" itu, menimbulkan kebimbangan tentang pertembungan antara kedua pihak itu.

Dalam beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini, kedua-kedua pihak telah bertembung menyebabkan berlakunya kekecohan.

Noor Rashid berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap kekecohan yang berlaku akibat pertembungan di antara penyokong kedua-dua pihak baru-baru ini.

Polis, katanya, tidak dimaklumkan tentang perarakan yang menyebabkan kekecohan itu, sebagaimana yang berlaku di Teluk Intan dan Sabak Bernam.

"Siasatan sedang kita jalankan dan kita akan pastikan siasatan dilengkapkan dalam masa terdekat. Kita akan pastikan mereka yang enggan mengikut peraturan dan undang-undang, dikenakan tindakan yang sewajarnya," katanya.

Menurut Noor Rashid, arahan telah pun dikeluarkan kepada ketua-ketua polis negeri untuk mengatur gerak pegawai dan anggota mereka termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan atau perarakan supaya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Jikalau Kuning atau Merah mahu buat perhimpunan, mereka perlu maklum kepada polis supaya (polis) boleh rancang tindakan awal bagi memastikan pertembungan yang berlaku sebelum ini tidak berlaku pada masa akan datang," kata beliau.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memelihara ketenteraman awam.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis belum menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan perhimpunan atau perarakan daripada mana-mana pihak, Kuning atau Merah. - Bernama

Jamal Pertahan Tindakan Anti-Bersih Di Kuala Selangor

Posted: 15 Oct 2016 09:26 PM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Jamal Md Yunos.
 
 
PETALING JAYA: Datuk Jamal Md Yunos mempertahankan tindakan penyokong kumpulan anti-Bersih yang mencetuskan kekecohan semasa konvoi kumpulan Bersih 5.0 di Kuala Selangor pada petang Sabtu.

Jamal yang merupakan ketua gerakan Baju Merah berkata, apa jua yang berlaku, tindakan itu akan dipertahankan sekiranya membabitkan penyokong Baju Merah.

"Dari awal kita katakan, kalau tidak ada Kuning, tidak ada Merah. Walaupun hari ini saya katakan kita tumpu di beberapa kawasan untuk persediaan fenomena air pasang besar, tetapi jika ada gerakan Baju Kuning di kawasan lain, ia adalah hak masing-masing.

"Saya hanya kata tumpu di kawasan-kawasan tertentu seperti Sekinchan, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

Kalau di Kuala Selangor, itu di luar kawasan yang saya maklumkan. Jadi, terpulang kepada anak-anak buah yang berada di sana," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu malam.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu beliau kini berada di Dubai untuk transit sebelum meneruskan penerbangan pulang ke tanah air.

Dilaporkan sekumpulan anti-Bersih mencetuskan kekecohan dan didakwa mengasari beberapa pihak termasuk pemberita di luar sebuah pasar raya besar di Kuala Selangor pada petang Sabtu.

Jamal dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya pada Jumaat malam berkata, Baju Merah memutuskan untuk tidak menentang kumpulan Bersih 5.0 dalam siri konvoinya pada Sabtu, kerana mahu meneruskan kerja-kerja kebajikan sebagai persiapan awal menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada Sabtu sehingga Rabu depan.

Dalam insiden pada kira-kira pukul 6 petang Sabtu, beberapa anggota kumpulan anti-Bersih ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

Jamal berkata, beliau akan memberikan sokongan termasuk bantuan khidmat guaman sekiranya penahanan itu membabitkan 'anak-anak buahnya' dari Baju Merah.

"Saya tetap akan mempertahankan mereka. Bagaimanapun, saya akan mendapatkan pengesahan berhubung kejadian," katanya.

Wartawan The Star yang merupakan antara dikasari kumpulan Anti-Bersih membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Jamal berkata, beliau akan tampil memberi keterangan kepada polis pada Isnin berhubung insiden membabitkan penyokong Baju Merah yang didakwa menyerang penyokong Bersih di Sabak Bernam, baru-baru ini.

"Saya sepatutnya pulang ke tanah air semalam (Jumaat) tetapi terpaksa ditunda. InsyaAllah saya akan beri keterangan pada Isnin," katanya.

Sabtu minggu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan Baju Merah menerusi satu rakaman video yang menjadi viral, dilihat melontar telur kepada kedua-dua lelaki dengan salah seorang daripadanya ditendang dari arah belakang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis akan memanggil Jamal untuk memberi keterangan berhubung insiden berkenaan tetapi perlu menunggu ketua gerakan Baju Merah itu pulang dari luar negara.

Saya Mohon Maaf Jika Baju Merah Kasari Wartawan – Jamal

Posted: 15 Oct 2016 09:21 PM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Jamal Md Yunos.
 
 
PETALING JAYA: Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos memohon maaf jika ada wartawan yang dikasari ahli kumpulannya yang menentang siri konvoi Bersih 5.0 di Kuala Selangor.

"Kalau ada insiden itu, saya bagi pihak Baju Merah, memohon maaf kepada rakan-rakan pemberita," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu malam.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu beliau kini berada di Dubai untuk transit sebelum meneruskan penerbangan pulang ke tanah air.

Wartawan The Star adalah antara yang dikasari kumpulan Anti-Bersih telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor.

Jika insiden itu benar seperti yang didakwa, Jamal berkata, kemungkinan ia berlaku secara tidak disengaja.

"Saya memohon maaf jika ada sebarang kerugian atau kecederaan dan sebagainya, pihak kami akan bertanggungjawab.

"Saya yakin perkara ini berlaku secara kebetulan dan tidak disengajakan," katanya yang merujuk kepada sekumpulan wartawan yang dikasari kumpulan anti-Bersih.

Beliau yang akan mendapatkan pengesahan berhubung insiden yang berlaku berkata, kumpulan Baju Merah bukan mahu menimbulkan keganasan.

"Niat kami bukan untuk keganasan, walau apapun yang berlaku... tidak ada Kuning, tidak ada Merah. Selagi kuning ada, selagi Bersih ada, kami tetap akan ada," katanya.

Lebih 30 pemimpin akar umbi Umno umum keluar parti

Posted: 15 Oct 2016 04:42 PM PDT

Anne Muhammad


LIHAT VIDEO DI SINI

Lebih 30 pemimpin akar umbi Umno hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media yang diketuai oleh bekas exco Pemuda Umno Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen.

"Kami bersetuju dan bersedia keluar Umno berkuatkuasa serta merta.

"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.

"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan Umno tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 70 anggota Umno yang lain.

Dakwa 150 anggota ikut serta

Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin Umno terdapat 150 anggota Umno lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.

Katanya, Umno kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.

"Kami semua sependapat bahawa Umno hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.

"Imej Umno dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi Umno," katanya.

Malah katanya, Lembaga Disiplin Umno kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.

"Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan politik wang dalam pemilihan Umno lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.

"Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat," katanya.

Tak nak masuk balik

Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa ramai bekas anggota Umno merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

"Katalah ada ribuan ahli Umno yang dah dipecat merayu masuk Umno, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.

"Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik," katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.

Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota Umno selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda Umno juga digugurkan.

Beliau didakwa melakukan sabotaj kepada Najib dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu.

Tiada ulasan: