Nuffnang

Pengikut

.

sumber :-

.


Deklarasi Shah Alam: Pengistyharan empat parti utama untuk tumbangkan UBN

Posted: 16 Oct 2016 05:47 PM PDT

SESUDAH SUBUH

Mat Sabu menyatakan sesuatu kepada Dr Mahathir. 
Saya sepatutnya membuat catatan dan ulasan dua peristiwa penting yang berlaku di Kelantan kelmarin (14 Oktober 2016), kehadiran Dr Mahathir Mohamad dalam majlis bicara umum bersama Husam Musa atas tajuk "PRU 14 BN akan jatuh" dan juga konvensyen Umno Kelantan yang membawa tema "PRU 14 Milik BN", yang kedua majlis itu berlangsung di Kota Bharu Kelantan.




Husam Musa
Azmin Ali
Kedua-dua majlis itu mempunyai aura tersendiri yang kontradik dalam membentuk momentum politik dan pilihan raya menjelang Piraum 14. Ironi kedua-dua majlis itu membawa tujuan untuk saling jatuh menjatuhkan dan merampas negeri dimiliki antara satu sama lain.

Sepatutnya saya membuat catatan di Kota Bharu semalam sebaik tiba di rumah dari Kota Bharu setelah tiga hari tiga malam berada di sana. Tetapi tampaknya peristiwa di Kota Bharu itu dilewatkan sedikit untuk diblogkan, kerana saya mendahului apa yang berlaku malam tadi di Shah Alam Selangor.

Apa pun ia relevan dan masih ada kesenimbungan di antara kedua majlis itu. Kedua-duanya tetap menampilkan Dr Mahathir dan Husam Musa, regu baru yang menjadi pengerak membela rakyat dan negara. Husam bolehlah disifatkan sebagai pemenuh kepada kekosongan yang terpaksa ditinggalkan Anwar Ibrahim yang kini diringkukkan dalam penjara.

Malahan majlis di Shah Alam malam tadi lebih bermakna dan bererti daripada apa di Kota Bharu itu apabila kesemua pemimpin dan juara rakyat dari parti-parti oposisi hadir. Yang hadir malam tadi, Muhammad Sabu presiden Amanah, Mohamed Azmin Ali timbalan presiden Keadilan, Dr Mahathir Mohamad pengerusi Bersatu (PPBM), Ronnie Liu mewakili DAP. Turut sama ialah pengerusi Bersih Marina Chin Abdullah, Ambiga, bekas Ketua Dewan Muslimat Pas Jamilah Ibrahim, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mariah Mahmud, ahli parlimen Kota Raja, Mohd Annuar Tahir setiausaha Amanah dan lain-lain.

InsyaAllah catatan di Kota Bharu itu akan menyusul selepas ini.

Dari segi nilai berita kedua-dua majlis itu sangat penting dan memberi rangsangan tersendiri buat semua. Tetapi kerana nilai peristiwa di Shah Alam malam tadi lebih tinggi, berkelas lima bintang dan ada singnifikan tersendiri maka ia didahulukan.

Menjadi rukun dalam dunia kewartawanan berita yang lebih penting itu akan didahulukan atau pun dimasukan di muka hadapan - front page.

Kenapa peristiwa di Shah Alam malam tadi penting? Majlis anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) sempena ulang tahun pertama penubuhannya peringkat Selangor itu cukup memberi pengertian besar dan membanggakan pendokong oposisi bukan kerana ia dihadiri oleh gandingan politik baharu negara Dr Mahathir dan Husam Musa yang popular dan beruara waktu ini, tetapi majlis malam tadi juga penting kerana ia secara tidak langsung menjawab beberapa persoalan dan mengemaskan ikatan dalam pakatan baharu pembangkang - Pakatan Harapan.

Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut sama hadir.
Selain itu dan ini lebih penting, majlis malam tadi menjelaskan sikap atau tuduhan yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Keadilan (PKR), Mohamed Azmin Ali (Minali) yang dikatakan bermain tarik tali di Selangor kerana sebab-sebab tertentu atas helah dan muslihat politik hanya difahami mereka yang masak dalam siasah.

Sebahagian orang ramai yang hadir. 
Bagi mereka yang faham politik dan menginsafi kedudukkan Minali sebagai MB sebagai peneraju dan pemegang kuasa kerajaan, tahu dan mengerti sikap yang diambil MB Selangor itu ia bukan satu hipokrasi yang perlu dimarahi namun itulah kebijaksanaan namanya. 

Tetapi bagi yang "angin tohor" serta cetek berpolitik akan mudah melenting dan membuat tohmahan buruk kepada MB Selangor itu. 

Nah, dengan kehadiran beliau dan penegasan yang dibuat menjelaskan apa yang kabur selama ini menjadi terang benderang dan sekaligus melenyapkan persepsi buruk. Minali telah meletakkan dirinya di tengah-tengah cahaya yang kesekian lama dinanti-nanti dan ditunggui bagi melihat kebersihan dan kemurnian nawaitu perjuangannya.

Orang ramai sanggup berhujan untuk dengar amanat.
Semalam Minali telah mengulas mengenai peranan yang dimain dan bakal dimainkan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) yang sudah "didaftarkan" sebagai komponen pakatan oposisi baharu (PH). Beliau menyanjung kehadiran Amanah dan peranan yang dimainkan khususnya dalam meletakkan Selangor terus menjadi milik PH dalam Piraum akan datang.

"Kita bersyukur Amanah bantu dan beri nafas baharu dalam politik tanah air," katanya sambil mengucap selamat maju jaya kepada Amanah sambil mengalu-alukan kemunculan Bersatu yang menyemarakkan lagi semangat oposisi untuk merobohkan UBN.

Beliau yang memberi tahu kepada Dr Mahathir dan hadirin semua, Selangor suatu masa dulu adalah kubu Umno tetapi hari ini sudah menjadi kubur Umno. Ertinya Minali cukup yakin dan percaya dengan kemantapan gabungan oposisi Selangor akan kekal ditangan PH. Kedudukan itu akan kekal dengan adanya atau kehadiran Amanah yang menjadi pakatan baharu oposisi sebagai mengganti pakatan lama (PR) yang sudah berkecai.

Malam tadi buat pertama kali dan kesekian kali bagi mereka yang matang dan tahu membaca matemetik politik melihat Azmin komited dengan PH yang ditubuh menjadi pakatan pembangkang baharu yang kemungkinan akan kehilangan rakan bernama Pas. Ketegasan Minali itu juga menyebabkan Pas akan membuat dan mengambil sikap baharu. Apa diharapkan sikap itu positif bukan negatif.

Ketegasan diambil oleh Minali semalam sedikit mengejutkan tetapi banyak membanggakan. Apakah beliau berbuat begitu sesudah berbincang dengan tokoh utama Pas Selangor? Boleh jadi Minali sudah menghisab panjang lebar untuk membuat penjelasan dan pengakuan itu. Inilah kewaspadaan yang baijak dalam berpolitik.

Dalam hal ini dengan sikap tegas Minali itu tidak perlu saya mengulas atau membuat tafsiran macam mana kedudukan parti agama di Selangor waktu ini yang kebelakangan ini mengundang masalah dan meresahkan Minali kerana ia menunjukkan cula seakan mahu menyendiri dengan menunjukkan hasrat benaung di bawah bayangan lain? Bagaimana pun masa masih ada sekiranya Pas ingin memperbetulkan sikap atau meralatkan keadaan.

Sejujurnya saya mengira malam tadi Minali tidak akan hadir kerana beliau akan berhadapan dengan persoalan itu. Lagipun kebetulan ketika ini ibunya sedang uzur dan berada di hospital. Itu akan dijadikan alasan olehnya untuk tidak hadir bagi berada dalam suasana kurang selesa. Apa lagi dengan adanya Adun Baru Tiga dari Keadilan Rodziah Ismail menyebabkan orang ramai sudah menduga beliau mewakili Minali atau menjadi pemimpin utama dari fraksi Keadilan.

Namun apabila sesudah separuh majlis berjalan Minali hadir meredah renyai hujan dan mengatakan sikapnya dengan kemas "menerima" Amanah sebagai pemangkin kerajaan dibawah pimpinannya menjelaskan yang beliau menerima Amanah dan DAP sebagai rakan dalam kerajaan dan bakal menjadi tunggak dalam kerajaan akan datang. Selepas ini ahli dan pendokong DAP dan Amanah tidak perlu lagi meragui kepada pendirian MB Selangor itu.

Mungkin kenapa malam tadi kenapa kurang orang Cina hadir disebabkan mereka kurang selesa dengan sikap Minali yang seolah-olah masih bermain tarik tali dengan parti yang memusuhi parti pilihan mereka, DAP.

Sekali lagi dinyatakan tindakan dan pendirian Minali itu pada saat dan masa yang dibutuhi adalah tindakan politik yang bijak. Seharusnya pihak-pihak yang berbulu dan tidak senang dengan DAP dan Amanah yang mengambil sikap berpatah arang berkerat rotan sehinggakan sanggup menguzlahkan diri, menghancurkan Pakatan Rakyat meniru sikap dan pendirian politik seperti diambil oleh Minali.

Muhamad Sabu
Dr Mariah Mahmud.
Majlis semalam juga memberi erti besar kepada PKR, DAP, Amanah yang membentuk pakatan oposisi baharu yang kini ditambah dengan kehadiran parti Bersatu (PPBM). Majlis semalam seolah-olah majlis perdana pengisytiharan dengan rasminya penubuhan PH yang menjadikan ianya didokong oleh empat parti menjadi pilihan rakyat ketika ini.

Penyertaan Bersatu itu memberi kejelasan terhadap persepsi sebelum ini mengatakan PH adalah parti didominasi DAP. Bersatu telah menuteralisasikan tuduhan yang sengaja dilemparkan itu untuk memusnahkan PH yang sebelum ini didokong PKR, DAP dan Amanah. Makanya tepat kalau Muhammad Sabu mengatakan oposisi bertuah kerana mendapat Dr Mahathir.

Justeru apa yang terucap oleh setiap tokoh malam tadi adalah merupakan arahan atau pun itulah sikap dan komitmen awal pakatan itu untuk menghadapi Piraum ke 14. Ucapan dan amanat diberi semalam adalah peta, kompas dan azimat untuk digenggam dengan erat kemudian direalisasikan.

Misalnya Dr Mahathir sependapat dengan Husam mahu agar PH bertanding dengan menggunakan satu lambang sahaja dan mengarap manifesto yang sama. Hujah beliau pembangkang akan menang kalau bersatu, manakala kalau tidak bersatu BN akan terus menang dan Najib Razak kekal sebagai PM selama-lamanya.

Mohd Annuar Tahir
Beliau memberi ingatan kemenangan atau nasib UBN dan Najib terletak di tangan pembangkang. Kalau pembangkang bersatu Najib dan UBN akan tumbang. Beliau menyebut rahsia kejayaanya selama 22 tahun mengalahkan parti pembangkang ialah kerana pembangkang tidak bersatu.

Demikian juga dengan penegasan Husam terdahulu dari itu yang mengatakan parti pembangkang harus megemaskan diri membuat ikatan dengan rasmi dengan dimulai oleh parti-parti yang sudah menyatakan kesediaan untuk bergabung; Keadilan, DAP, Amanah dan Bersatu.

"Empat parti ini hendaklah mengikat gabungan dengan rasminya tanpa menuggu mana-mana parti lain yang mungkin ikut serta. Kita harus mulakan dengan empat parti ini dulu," tegasnya disambut dengan takbir dan tepukan bergemuruh hadirin.

Mana-mana parti lain yang ingin ikut bergabung dengan pembangkang termasuk parti pimpinan Shafei Afdal dan lain-lain parti di Sabah dan Sarawak boleh menyertai kemudian. Yang penting dan mustahak tegas Adun Salor itu empat buah parti ini perlu memulakannya.

Dengan mentafsirkan senario dan semangat majlis malam tadi dan juga penegasan dan pengakuan ketiga-tiga pemimpin itu yang boleh dianggap mewakili parti masing-masing, parti pembangkang lain yang masih menghitung nasib diri elok membuat keputusan jangan sampai terlewat.

Dalam hal ini terutama parti agama. Parti itu tidak perlu berdolak dalih atau terus bermain mata kalau mereka tidak mahu ketinggalan dalam arus oposisi yang kian bergerak kini. Jangan asyik membilang waktu. Sebaliknya juga kalau Pas yakin akan selamat dan mendapat keredhaan Allah dengan bergabung dengan UBN, silakan. Kebebasan demokrasi dan hak asasi perlu dihormati.

Kesimpulan majlis di Shah Alam malam tadi boleh disifatkan sebagai pembulatan nekad empat buah parti untuk berada dalam satu pakatan untuk berhadapan dengan UBN dalam Piraum akan datang. Disamping untuk memperjuangkan hasrat rakyat untuk melihat UBN jatuh dan terbentuk kerajaan baharu pimpinan PH, ia juga sebagai pengistyharan dan ba'iah untuk meneruskan perjuangan Anwar Ibrahim yang mempelopori perjuangan pembangkang dan seterusnya meletakkan permbangknag ditahap memberangsangkan hari ini.

Kesanggupan orang ramai hadir dan mendengar ucapan dalam keadaan kesejukan dan ditimpa hujan sepanjang majlis itu berlangsung menjelaskan rakyat sudah bersedia untuk bergerak dengan penuh semangat. Melihat kepada suasana dan ledakan semangat malam tadi dapat dirasakan juga himpunan Bersih 5 tanggal 19 November hadapan akan menjadi himpunan terbesar berbanding dengan empat himpunan sebelum ini.

Himpunan itu nanti akan menjadi himpunan gabungan antara NGO dan parti politik pembangkang terbesar dan cukup mencabar UBN dan Najib. Sedikit sebanyak jaminan Dr Mahathir untuk ikut sama turun berhimpun akan meledakkan lagi semangat rakyat yang sudah tidak tahan dengan telatah dan kelakuan Najib yang disifatkan Dr Mahathir Najib sebagai pencuri duit rakyat. [wm.kl.6:50 am 17/10/16]

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT