Selasa, 6 September 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


1MDB Kebun Pisang Atas Angin

Posted: 06 Sep 2016 07:36 AM PDT



MUTAKHIR – Dalam kita berbincang mengenai kebun pisang 1MDB, berikut adalah pemikiran awal saya mengenai pertemuan di mahkamah antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam seperti yang saya muatkan dalam Facebook saya.

1. Tun Dr Mahathir hadir mahkamah menyokong permohonan injunksi Datuk Seri Anwar Ibrahim menyekat penguatkuasaan Akta MKN.

2. Mereka bersalaman. Di sebalik yang tersurat tentu ada yg tersirat atau akan disiratkan.

3. The court meeting could contribute towards the opposition's consensus building to topple the BN in the coming GE. 

4. Political and institutional reforms are an integral part of the Deklarasi Rakyat and key elements in the emerging political consensus.

5. Alhamdulillah ada akhbar tulen yang berani siar gambar luar biasa pertemuan di mahkamah Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Tahniah Sinar Harian.

POSTING ASAL

 
SEORANG bekas wartawan Bernama bagi tahu saya Sabtu lalu (3 September) orang kampung tak faham cerita 1MBD.

Saya tahu. Bukan orang kampung saja tak faham. Orang bandar dan orang berpelajaran pun tak faham melainkan yang arif urus niaga korporat dan kewangan canggih. 

Saya pun dah cerita macam-macam cara. Saya yakin ramai yang faham tetapi lebih ramai yang masih tak faham atau samar-samar.

Pernah juga saya ceritakan kepada beberapa orang rakan blogger secara kiasan. Izinkan saya kongsi cerita kiasan itu dengan para pembaca dan pembahas sekalian. Saudara saudari pula boleh kongsi dengan orang lain kalau ada kesempatan.


Saya ibaratkan sebagai cerita dongeng orang berniaga pisang. Minta maaf kalau panjang sikit. Ceritanya macam ini.


1. Ada seorang saudagar minyak unta yang kononnya sangat pandai berniaga. Kalau dia jual batu yang dikutip tepi jalan pun laku. Dulu ada banyak peniaga macam ini di pekan-pekan sehari. Orang putih gelar wheeler dealer atau snake oil salesman. Lebih kurang macam penaja skim cepat kaya Pak Man Telo dan labu peram. Dia Cina. Nama dia Joe Hai.



2. Mula-mula dia pergi ke sebuah kampung nama Kampung Terang. Dia pujuk ketua kampung kongsi tanam pisang. Mereka pun tubuh syarikat Tanaman Istimewa Antarabangsa. Singkatannya TIA.


3. Punyalah hebat putar belit si Joe Hai ini dengan modal hanya RM1 dia boleh pinjam RM5,000 dari bank dalam dan luar negara. Ertinya dia pinjam lima ribu kali ganda daripada modal.


4. Tak pernah jadi dalam dunia di mana beza di antara modal dengan hutang 5,000 kali ganda. Selalunya bank bagi pinjam 50 peratus daripada modal saja. Itu pun dah dikira tinggi dan bahaya. Pernah kah kita dengar orang yang ada modal RM1 boleh pinjam sampai RM5,000? Along dan ceti pun tak bagi hutang sebanyak itu.


5. Yang banyak orang tak sedar, dalam diam-diam Joe Hai gadai tanah orang Kampung Terang yang nak dijadikan tapak projek pisang itu.


6. Perkara ini berlaku pada tahun 2008. Masa tu tak banyak orang sedar. Hanya ketua kampung dan beberapa orang suruhan dia saja tahu. Ikut cerita, tak lama lepas itu Joe Hai lesap dari Kampung Terang. Apa yang jadi dengan tanah orang kampung yang Joe Hai gadai sampai hari ini masih dipertikai.


7. Tiba-tiba, pada tahun 2009, Joe Hai timbul di Kuala Lumpur dan pakat dengan seorang pawang buaya yang tersohor nama Mat Nujum. Dalam kerja dia mudik hulu hilir tangkap buaya ganas, Mat Nujum tahu siapa ada tanah, di mana dan berapa luas. Joe Hai pakat dengan Mat Nujum tukar TIA kepada syarikat baru dengan nama Satu Melayu Dan Baba atau singkatannya 1MDB.
 
Haji Kader Pawang Buaya Tersohor Pahang (blog Koi Anak Pahang)


8. Mat Nujum tahu ramai suku sakat dia ada tanah. 1MDB "beli" tanah itu dengan harga murah dan lepas itu jual atau gadai dengan harga mahal. Kerja mereka ambil tanah, pecah lot, gadai atau jual. Tak cukup dengan jual tanah mereka berhutang pula.


9. Nasib mereka baik pasal suku-sakat Mat Nujum tak berapa cerdik dan Mat Nujum pandai reka cerita. Dia  kata, mereka akan untung juta-juta bila tanah mereka dah jadi projek raksasa.


10. Dia ambil hati mereka dengan guna duit hutang dan duit pinjam hantar mereka naik haji dan belanja anak-anak mereka mengaji dalam dan luar negara. Sekali-sekala mereka anjur majlis suka ria sampai bawa masuk artis top dari Korea.


11. Mat Nujum dan Joe Hai gadai sana pajak sini, hutang sana pinjam sini. Bila tak cukup nak bayar bunga dan pokok, mereka berhutang lagi. Kerja mereka korek lubang kambus lubang macam dalam skim cepat kaya.


12. Joe Hai dia pandai. Dia main dari belakang. Dia sendiri orang tak nampak. Dia duduk nun jauh di Amerika. Dia guna Mat Nujum sebagai orang depan. Semua Mat Nujum arah dan tandatangan. Mat Nujum jadi sangat berkuasa dalam kampung pasal duit banyak. Dia kata jalan, jalan. Tak ada siapa nak lawan pasal dah dapat habuan. Macam ayam dapat dedak. Yang tak setuju boleh jalan atau tunggu kena tendang. Pendek kata, Joe Hai jerit ayuh, Mat Nujum pun kayuh.


13. Walaupun Joe Hai ni muda, dia banyak tipu helah. Hasil pakatan dengan Mat Nujum dia jadi kaya-raya dalam sekelip mata walaupun projek pisang tak banyak hasil. Nak bayar bunga pun tak cukup.


14. Dia bagi tahu orang dia usahawan, dermawan, karyawan dan jadi kawan kepada anak tiri Mat Nujum. Dia pun baik dengan pak-pak Arab. Dia tahu, orang Melayu jadi lemah bila berdepan dengan orang Arab. Arab bela unta pun mereka sanjung macam ulama dari Makkah.


15. Dengan hasil perniagaan atas angin itu mereka pun berpesta, beli harta, joli sini joli sana. Nak cepat tunjuk hasil mereka beli kebun pisang orang lain yang pokok-pokok dah tua. Bila sesak tak boleh bayar balik hutang, mereka jual. Ada yang mereka beli mahal tapi jual murah. Beli mahal dari tauke tempatan jual murah kepada tauke Negeri China.

Bagus, beli mahal jual rumah kepada China


16. Mana pergi duit yang mereka pinjam, tuan tanah dan orang kampung tak tahu. Mat Nujum dan Joe Hai tak bagi tahu. Tiap-tiap tahun buku kira-kira lambat tutup. Bila juruaudit tanya atau tak mahu sahkan akaun, mereka kena tendang. Bila ditanya, Mat Nujum kata rahsia.


17. Satu dunia tahu cerita buruk dan busuk syarikat pisang 1MDB. Tapi dalam kampung semua orang diam. Ada yang diam pasal tak tahu apa-apa tapi ramai yang diam sebab sudah kenyang terbahak macam ayam dibagi makan dedak.


18. Sekonyong-konyong muncul Tok Pendeta yang bertapa di dalam gua. Dia tilik, dia renung dan dia buat congak. Dia tanya, macam mana habis tanah orang kampung kena gadai? Dibeli murah dijual mahal tapi perniagaan tak untung, hutang melambung. Bila sesak jual kepada tauke dari Negeri China dengan potongan harga.

 
19. Dia kata hutang projek pisang 1MDB dah naik jadi RM42 bilion. Satu bilion (1,000,000,000) bersamaan satu ribu juta. Jadi 42 bilion ringgit bersamaan 42 ribu juta ringgit. Kalau tulis jadi macam ini RM42,000,000,000.


20. Berapa Banyak RM42 bilion? Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) kata, RM1 bilion boleh buat 100 buah sekolah rendah, jalan tanah merah 6,600 kilometer dan 500 buah jambatan biasa.


21. Ikut laman web Finance Twitter, RM42 bilion boleh beli sebuah Apple iPad Air bagi setiap orang daripada 30 juta penduduk Malaysia atau boleh bagi makan 100,000 orang hidangan McDonald selama 99 tahun. Boleh beli antara 105,000 hingga 420,000 buah rumah PR1MA. Tapi kalau tukar RM42 bilion jadi beban hutang, setiap orang rakyat Malaysia, termasuk bayi baru lahir, akan tanggung RM1,400 hutang 1MDB tiap seorang tak termasuk faedah.

Cukup jamu rakyat makan McDonald selama 99 tahun


22. Apakah yang boleh kita tengok hasil hutang RM42 bilion itu? Lubang di tapak TRX Jalan Tun Razak, tanah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang dah dijual kepada syarikat usaha sama Malaysia-China dan penjana elektrik bebas (IPP) yang dijual kepada kompeni negeri China.


23. Tapi hutang projek pisang atas angin rekaan Mat Nujum dan Joe Hai bukan RM42 bilion lagi. Dah naik jadi RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Ini bukan Tok Pendeta yang kata. Ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kata. Takkan auta. Orang yang jadi ketua PAC Mat Nujum sendiri lantik.


24. Orang cerdik dah tahu mana pergi baki duit projek pisang atas angin 1MDB itu. Dah kena songlap. Dah pusing satu dunia. Dari Malaysia ke negeri Arab, dari negeri Arab ke Pulau Caymans, dari Pulau Caymans ke Pulau British Virgin Islands (BVI), dari BVI ke Singapura, Hong Kong, Switzerland, England, Australia dan Amerika.


25. Macam-macam tipu helah dan cerita dongeng Mat Nujum serta konco-konco dia buat untuk lesapkan duit projek pisang atas angin 1MDB. Mula-mula mereka kata duit itu akan dibawa balik. Lepas itu kata kena simpan di Singapura pasal nak atasi syarat Bank Negara. Mula-mula duit tunai dolar Amerika. Lepas itu jadi sijil pelaburan. Kemudian tukar jadi unit. Akhir sekali lesap.

26. Dok tak dok, khabar dari luar negeri kata Mat Nujum terima RM2.6 bilion dalam buku bank dia. Mula-mula Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata, bohong. Mereka kata fitnah. Kerja orang dengki haram zadah.

Peguam Negara Switzerland kata duit 1MDB kena songlap


27. Tapi bila temberang mereka pecah, mereka kata duit derma Tok Arab. Kata mereka, Tok Arab itu sangat teruja dengan kerja Mat Nujum majukan Islam dan lawan pelampau agama. Ada budak-budak suruhan Mat Nujum bagi gelaran Pahlawan Islam kepada dia. Sama taraf dengan Salahuddin Al-Ayubi perwira Islam dulu kala.


27. Bila Tok Pendeta minta tunjuk Tok Arab peniaga unta yang kaya dan baik hati itu, Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata rahsia. Mereka kata bukan seorang tapi beberapa. Ada yang kata mereka jumpa sendiri Tok Arab itu di Tanah Suci.


28. Banyak tak percaya. Mereka syak duit itu adalah duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap. Pejabat Peguam Negara Switzerland syak sebanyak AS$4 bilion (kira-kira RM16 bilion) telah kena songlap.


29. Sekonyong-konyong, seorang budak suruhan Mat Nujum kata, Mat Nujum dah bagi balik RM2.08 bilion duit sedekah Tok Arab itu. Pelik sungguh. Tok Arab yang baik hati dan pemurah bagi derma (sedekah) kepada Mat Nujum untuk tegakkan agama dan majukan ekonomi orang Islam Malaysia, pasal apa Mat Nujum bagi balik pula? Tak masuk akal. Di Malaysia ni ramai lagi orang Islam yang susah.


30. Pasal apa tak guna duit sedekah Tok Arab itu bantu orang Islam yang susah atau buat projek ekonomi untuk mereka? Sebabnya duit itu bukan sedekah Raja atau Tok Syeikh Arab tapi duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap.


31. Pengaruh Mat Nujum dalam kampung kuat. Semua dia jaga, semua dia bela. Yang ada kuasa dia bagi satu, dua juta. Yang miskin dia bagi dedak dan serdak. Jadi tak ramai berani bangkit atau angkat muka. Yang berani lawan dia ugut, dia surah polis siasat dan pecat.


32. Tapi di luar kampung, projek pisang atas angin Mat Nujum dan Joe Hai dah kena londeh. Satu dunia dah tahu rahsia kotor mereka. Dah kena siasat, duit mereka dah kena beku dan orang yang subahat pindah duit haram mereka dah kena tangkap dan bank yang pindahkan duit haram kena tutup. Seorang dah kena tuduh di mahkamah di Singapura. Singapura tahu banyak rahsia Mat Nujum. Pasal itulah dia sangat takut kepada Singapura.


33. Tahun lepas kerajaan Amerika tubuh badan penyiasat Juri Agung (Grand Jury) dan pada bulan Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kemukakan saman KARI (Kleptocracy Assets Recovery Initiative) ke atas lima orang termasuk anak tiri Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz, di Los Angeles untuk rampas harta yang mereka beli dengan duit yang disonglap dari 1MDB. Kleptokrasi maksudnya kerajaan yang mencuri.

34. Cerita macam mana Joe Hai pujuk Mat Nujum berniaga, macam mana mereka kelentong orang kampung, karut-marut berkenaan Tok Arab dan beban yang mereka hempap ke atas kepala rakyat jelata tak boleh sembunyi lagi. Bangkai gajah Tok Miah tak boleh dikambus lagi.

35. Angkara Mat Nujum dan Joe Hai dah sebabkan nama Malaysia busuk satu dunia. Dah jadi bahan lawak jenaka. Orang yang tahu dah tak percaya kepada kita. Kaki sapu ambil kesempatan beli harta benda kita dengan harga istimewa. Sikit demi sikit, kedaulatan dan ekonomi kita dijajah semula. Kalau kita masih tak akur, masih nak santai dan tidur, satu hari tak lama lagi negara kita akan jadi padang jarak padang tekukur. Kera di hutang terbahak kekenyangan anak di rumah menangis kelaparan.

Wallahuaklam.


Pengkhianatan ahli beri kesan buruk kepada UMNO - Syed Ali

Posted: 06 Sep 2016 07:14 AM PDT

Pengkhianatan ahli beri kesan buruk kepada UMNO - Syed Ali
SYED ALI: Pengkhianatan ahli beri kesan buruk kepada UMNO. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Perbuatan 'tikam belakang' sesama ahli UMNO akan memberi kesan buruk kepada kekuatan serta perpaduan parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata sokongan kepada parti dan pemimpin hendaklah lahir daripada hati yang ikhlas kerana dengan cara demikian UMNO akan lebih bermaruah dan dihormati.

"Perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan kepada UMNO dan perlu dikenal pasti agar tidak menjadi barah yang boleh memudaratkan parti," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali menjelaskan, UMNO memerlukan ahli-ahli parti yang setia kepada pucuk pimpinan bagi memastikan 'sokong tidak membawa rebah' pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Kesetiaan kepada parti dan pucuk pimpinan merupakan kunci kepada kemenangan UMNO walaupun terdapat percanggahan pendapat atau perbezaan pandangan.

"Kita tidak mahu berlaku unsur-unsur atau perbuatan tikam belakang kerana ini hanya akan merosakkan perpaduan dan kepimpinan sedia ada," tegasnya.

Menurutnya, walaupun ada sesetengah pihak beranggapan kadangkala keputusan atau tindakan pucuk pimpinan tidak selari dengan hasrat mereka tetapi perbezaan itu boleh diselesaikan secara berhemah.

"Tidak semua keputusan atau dasar serta tindakan pucuk pimpinan mampu memuaskan hati semua pihak, apatah lagi melihat kepada jumlah keahlian UMNO melebihi 3 juta orang.

"Dalam permasalahan begini, kita perlu utamakan kepentingan parti secara menyeluruh dan setia kepada pemimpin, bukannya terjerumus dengan agenda atau kepentingan peribadi.

"Kita ada saluran tertentu, boleh disuarakan secara sopan dan mengikut kaedah tertentu, bukannya mengambil jalan pintas dengan menikam belakang atau melakukan sabotaj terhadap parti," ujarnya.

Tambah Syed Ali, adalah lebih bermaruah jika mengambil tindakan secara bertanggungjawab untuk keluar UMNO daripada berterusan menjadi 'duri dalam daging' kepada parti.

"UMNO hanya memerlukan mereka yang benar-benar setia kepada parti dan pucuk pimpinan bagi menjamin gerak kerja menjelang PRU ke-14 tidak terencat.

"Fokus kita sekarang ialah memenangi PRU ke-14 akan datang dengan keputusan yang lebih cemerlang, tidak ada gunanya berebut tempat atau kedudukan tetapi UMNO kecundang pada pilihan raya," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata analisis pemerhati politik yang mendakwa beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU ke-13 berada dalam keadaan rapuh perlu diambil perhatian serius.

"Kita tidak boleh pandang mudah, biarpun sekadar analisis tetapi kajian itu dibuat bersandarkan kepada pemerhatian, sikap pengundi dan senario politik masa kini.

"Analisis atau pandangan koresponden bersabit kedudukan kerusi dimenangi UMNO itu sebenarnya satu manfaat kepada pemimpin terbabit untuk menguatkan lagi gerak kerja kepartian.

"Inilah ruang untuk ditambah baik 'pangkalan politik' di setiap kawasan dengan memastikan kepentingan rakyat atau pengundi sentiasa dipertingkatkan," katanya.
 
Menurutnya lagi, inilah masanya kepada seluruh pemimpin UMNO termasuk komponen Barisan Nasional (BN) turun padang bertemu rakyat menjelaskan isu-isu semasa.

"Saya menyokong penuh saranan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan seluruh anggota BN khususnya UMNO turun padang bagi memastikan kemenangan lebih besar kepada BN pada PRU ke-14.

"Pemimpin UMNO juga perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi tafsiran atau gambaran kepada umum bahawa parti berada dalam keadaan lemah.

"Kita kena lebih agresif, meyakinkan rakyat bahawa UMNO sentiasa kuat dan mampu berdepan dengan cabaran serta serangan pembangkang," tegasnya.
 
 

Zika: Wanita hamil dan wanita bercadang untuk mengandung perlu minta nasihat doktor

Posted: 06 Sep 2016 07:10 AM PDT

Zika: Wanita hamil dan wanita bercadang untuk mengandung perlu minta nasihat doktor
Wanita yang mahu mengandung, akan mengandung atau sudah pun mengandung perlu berbincang dengan doktor pakar perbindanan masing-masing untuk mendapatkan nasihat sewajarnya mengenai wabak Zika.
 
 
KUALA LUMPUR: Wanita hamil, bercadang mahu mengandung perlu berbincang dengan doktor pakar perbidanan masing-masing untuk mendapatkan nasihat sewajarnya mengenai virus Zika yang melanda negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam, berkata ini termasuk mendapatkan nasihat tentang jangka masa yang selamat dan tidak selamat untuk memperoleh cahaya mata.

Dr Subramaniam berkata sekarang masyarakat perlu sedar bahawa virus Zika sudah pun menular di beberapa tempat terutamanya di Johor Bahru yang laluan ramai rakyat Malaysia untuk berulang-alik ke negara jiran.

"Sekarang kita kena anggap, contohnya Johor mungkin virus itu sudah ada di situ. Walaupun kita tak nampak kes-kes positif tetapi dengan keadaan dan kedudukan Johor Bahru dan jumlah mereka yang ulang-alik serta jumlah kes yang meningkat di Singapura, kemungkinan penularan sudah berlaku.

"Jadi, di dalam perkara macam itu, ada kemungkinan ada orang telah mendapat penyakit tetapi kita tidak tahu, sebab 80 peratus tiada simptom cuma 20 peratus ada simptom.

BACA: Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu

"Oleh itu, mereka yang mahu mengandung, lebih baik mereka jumpa doktor. Ikut nasihat yang diberikan oleh doktor, itu cara yang paling sesuai," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan
Persidangan Saintifik Kesihatan Malaysia Bersekutu yang ke-11, di sini, hari ini.

Tambahnya, nasihat doktor juga penting kerana pemeriksaan untuk virus Zika tidak berhenti selepas ujian darah dan terdapat banyak tindakan susulan.

Dr Subramaniam  turut berkata Kementerian sudah pun berbincang dengan kesemua doktor kerajaan dan swasta mengenai tindakan yang harus dilakukan sekiranya pesakit yang dijangkiti Zika datang untuk membuat ujian dan mendapatkan rawatan.
 
Minggu lalu, seorang warga emas dari Sabah menajadi kes tempatan pertama jangkitan virus tersebut. Lelaki berusia 61 tahun itu dilaporkan mengalami demam pada 27 Ogos dan mendapatkan rawatan pada kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang di Kota Kinabalu pada 30 Ogos.

Beliau dialporkan meninggal dunia pada 3 September akibat komplikasi jantung. 
 
 

Klip video murid ‘dibelasah’ di Putatan disiasat

Posted: 06 Sep 2016 06:50 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


bully_bashing_up


KOTA KINABALU: Klip video yang menayangkan seorang murid sebuah sekolah agama dibelasah rakannya di Putatan dekat sini sedang disiasat, kata Ketua Polis Daerah Penampang DSP Rosley Hobden hari ini.

Beliau berkata klip video berdurasi 28 saat itu yang telah diviralkan di media sosial sejak semalam, dipercayai diambil ketika kejadian pada 30 Ogos lepas.

"Bapa mangsa membuat laporan polis pagi tadi dan satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Kita sudah mengambil keterangan mangsa buli, pelaku dan murid-murid yang menyaksikan kejadian itu," katanya.

Klip video terbabit yang dirakam menerusi telefon bimbit, menunjukkan aksi seorang murid lelaki lengkap berseragam sekolah agama membelasah mangsa di dalam sebuah bilik darjah.

Menurut Rosley, tindakan lanjut akan diambil selepas mangsa dan pelaku, yang masing-masing berumur 12 tahun itu, selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang dijalankan.

Beliau juga berkata mangsa telah mendapat rawatan di hospital dan dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

Ketika dihubungi, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati mangsa tidak berada di rumahnya sejak pagi tadi.

Seorang anggota keluarga yang ditemui juga berkata bapa mangsa belum pulang ke rumah sejak membuat laporan polis kira-kira pukul 9 pagi tadi.— Bernama


Malaysia harus malu samseng serang duta Sri Lanka

Posted: 06 Sep 2016 06:47 AM PDT

Edwin Michael


Adalah sesuatu yang memalukan buat Wisma Putra dan pasukan keselamatan KLIA yang dilihat sambil lewa dalam menangani insiden serangan ke atas seorang diplomat asing.
 
 
 
Ibrahim-Sahib-Ansar 


Klip video serangan sekumpulan individu yang menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah insiden serangan kedua melibatkan pihak yang mempunyai kaitan dengan Sri Lanka, selepas ketua sami kuil Buddha yang turut menjadi sasaran.

Persoalan paling penting sekarang ialah atas justifikasi apa kumpulan samseng ini tidak ditahan pihak keselamatan KLIA sedangkan serangan ini melibatkan seorang diplomat asing?

Adalah sesuatu yang memalukan buat Wisma Putra dan pasukan keselamatan KLIA yang dilihat sambil lewa dalam menangani insiden serangan ke atas seorang diplomat asing.

Andai kata klip video berkenaan tidak didedahkan, kemungkinan untuk mana-mana pihak tampil bertanggungjawab adalah cukup tipis.

Siapakah kumpulan samseng ini?

Polis harus membentangkan laporan siasatan kepada umum mengenai insiden ini. Siapakah kumpulan samseng ini dan apakah motif mereka dalam menyerang seorang diplomat asing secara terbuka tanpa mempedulikan pasukan keselamatan KLIA?

Apakah mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas puak pemisah Sri Lanka Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang berkemungkinan sudah pun bertapak di negara ini dalam usaha untuk menguatkan propaganda perjuangan mereka menentang kerajaan Sri Lanka?

Penglibatan seorang pemimpin pembangkang di negara ini dengan kumpulan pengganas LTTE ini tidak boleh dinafikan apabila si politikus berkenaan pernah menjadi ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE pada 2003. Apakah insiden ini mempunyai hubung kait dengan pemimpin pembangkang ini?

Insiden ini bukan sahaja melibatkan isu diplomatik antara 2 buah negara serta kelemahan pasukan keselamatan di KLIA tetapi juga perlukan penjelasan daripada pihak polis dan Wisma Putra, sama ada kita sedang berdepan dengan pengganas LTTE seperti kumpulan IS, ataupun ini satu jenayah kebencian terhadap rakyat Sri Lanka.

*  Edwin Michael ialah pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

Salah kerajaan dan penganjur, Duta Sri Lanka dipukul

Posted: 06 Sep 2016 05:18 AM PDT

 
Persatuan Progresif India Malaysia tindakan kerajaan dan penganjur membenarkan bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke negara ini menyebabkan kaum Tamil berang.


mipas


PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dan penganjur Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) patut dipersalahkan atas tindakan sekumpulan lelaki menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar baru-baru ini.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) S Barathidasan berkata tindakan kerajaan Malaysia dan penganjur membenarkan bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa berkunjung ke negara ini menimbulkan kemarahan kaum Tamil.

"Punca (kejadian pukul Duta Sri Lanka) ialah kerajaan Malaysia dan penganjur (ICAPP) menyebabkan sekumpulan orang ini marah.

"Sekiranya kerajaan Malaysia dan penganjur menahan dan tidak memberi visa kepada Rajapaksa untuk melawat Malaysia, perkara ini tidak berlaku," katanya kepada FMT.

Beliau berkata kerajaan tidak seharusnya membenarkan Rajapaksa masuk ke negara ini disebabkan tindakan keganasan yang dilakukan pemimpin itu terhadap kaum Tamil di Sri Lanka.

"Ini punca kelalaian kerajaan Malaysia dan penganjur (ICAPP). Dia (Rajapaksa) pembunuh. Jika kita (rakyat Malaysia) melakukan sedikit kesalahan saja, ada yang sampai tidak dibenarkan masuk ke Sabah dan Sarawak.

"Apatah lagi dia pembunuh dan penjenayah dunia tetapi dapat masuk ke negara ini. Ini membangkitkan kemarahan kaum Tamil," katanya.

Terdahulu, sekumpulan lelaki menyerang duta Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tindakan itu dikutuk Kementerian Luar Sri Lanka dan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti pelaku.

Ibrahim dipercayai sedang mengiringi Menteri Perindustrian Utama, Daya Gamage yang selesai menghadiri Persidangan ICAPP di PWTC untuk pulang ke Sri Lanka.

Persidangan itu turut dihadiri Rajapaksa, yang mencetuskan tunjuk perasaan di luar PWTC pada hujung minggu lalu.

Kaum Tamil membantah kehadiran Rajapaksa dan menuduh beliau dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai penduduk Tamil Sri Lanka dalam perang saudara berdekad lamanya di negara itu.

Barathidasan berkata pihaknya kesal kerana laporan polis yang dibuat terhadap pihak berkuasa untuk melarang Rajapaksa masuk ke Malaysia tidak diendahkan.

"Kita buat lebih 500 laporan polis melarang Rajapaksa masuk ke Malaysia. Tetapi polis tidak ambil tindakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menyokong tindakan kumpulan yang menyerang duta Sri Lanka berkenaan kerana disifatkan sebagai keganasan.

"Sebagai NGO, kita tidak menggalakkan benda ini berlaku. Jika nak bantah buat himpunan secara aman," katanya.

Guan Eng, Ramasamy terima RM200k kerana laporan fitnah

Posted: 06 Sep 2016 05:10 AM PDT

 
Penentusahan selepas siar adalah sia-sia, kata mahkamah rayuan


lim-guan-eng_ramasamy_600


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menganugerahkan RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan timbalan, P Ramasamy, terhadap sebuah penerbitan berkaitan Umno dan penulis berkenaan suatu artikel fitnah yang disiar dalam talian.

Panel tiga hakim, dipengerusikan Hakim Datuk Lim Yee Lan, berkata artikel yang disiarkan pada 4 Dis 2013 tanpa keraguan untuk mencemuh, menyebabkan kebencian dan penghinaan terhadap mereka berdua dalam fikiran masyarakat.

Menterbalikkan penemuan mahkamah tinggi tahun lalu, mahkamah secara sepakat memutuskan unsur penyiaran sudah dibuktikan.

Katanya artikel itu dibaca oleh ramai orang.

Yee Lan berkata media perlu mendapatkan maklum balas tentang tuduhan terhadap Guan Eng dan Ramasamy.

"Penentusahan selepas siar adalah sia-sia. Oleh kerana itu, artikel itu bukan karya kewartawanan bertanggungjawab," kata Yee Lan, yang duduk bersama Hakim Datuk Badariah Sahamid dan Harminder Singh Dhaliwal.

Katanya penemuan mahkamah tinggi adalah salah dan meminta campurtangan mahkamah rayuan.
Guan Eng dan Ramasamy, diwakili Mureli Navaratnam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos.

Panel juga mengarahkan penerbit New Straits Times Press Bhd, yang memiliki media dalam talian New Straits times, supaya memulangkan RM100,000 kepada mereka berdua dalam masa 14 hari.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin November lepas ketika mengenepikan saman fitnah mengarahkan dua ahli politik itu supaya membayar jumlah kos perundangan kepada media berbahasa Inggeris itu dan wartawannya, Predeep Nambiar.

Guan Eng dan Ramasamy mendakwa Predeep dan NST secara sengaja, salah dan berniat jahat menyebabkan artikel itu ditulis, dicetak dan disiarkan.

NST dan Predeep, diwakili peguam Leong Wai Hong, nafi memfitnah Guan Eng dan Ramasamy, berkata mereka sekadar melaporkan kenyataan Penasihat Hindraf Kebangsaan N Ganesan, yang mengadakan sidang media di Bayan Baru pada 4 Disember untuk membuat dakwaan itu.

Jemaah haji peluang solat di bangunan baharu

Posted: 06 Sep 2016 05:04 AM PDT

ASLANI M




 

MAKKAH: Jemaah haji yang bertandang ke sini sekarang agak beruntung apabila dapat solat di bangunan Masjidilharam yang baharu.

Bangunan baharu yang terletak bersebelahan masjid sedia ada kelihatan lebih besar.

Dilengkapi ruang solat setinggi tiga tingkat, yang mengasingkan ruang solat untuk lelaki dan wanita.

Kerja-kerja pembesaran Masjidilharam yang dilakukan sejak beberapa tahun lepas kini dianggarkan lebih 80 peratus siap.

Bangunan baharu dibina lebih tinggi turut dikekalkan senibina seperti masjid lama. Hiasan dalaman juga lebih cantik.

Ruang solat tingkat bawah lebih luas dan tinggi. Lantai tempat solat juga dibina bertingkat di mana ruang hadapan berhampiran Kaabah lebih rendah berbanding bahagian belakang.

Turut dilengkapi dataran yang luas di bahagian belakang dan di situ juga terdapat kompleks tandas bawah tanah.

Di hujung dataran yang menghampiri bukit dilihat bangunan seperti pejabat, sedang dalam pembinaan. Sebahagian besarnya sudah siap.

Begitu juga tempat tawaf di bahagian atas (aras tiga) di bangunan lama sudah boleh digunakan.

Kerja-kerja pembesaran masjid yang dipelopori syarikat Ben Laden agak terjejas selepas berlaku tragedi tren tumbang yang mengorbankan ramai jemaah haji tahun lepas.

Syarikat yang sama juga difahamkan terbabit dengan pembesaran Masjid Nabawi di Madinah. Projek tersebut juga tergendala selepas tragedi tahun lepas.

Seorang pekerja kontrak dari Indonesia yang bekerja di tapak projek berkenaan memberitahu kerja-kerja pembesaran Masjid Nabawi juga tergendala selepas tragedi kren tumbang.

Kini kerja-kerja pembesaran Masjidilharam masih diteruskan biar pun kelihatan agak perlahan.

Kren statik yang didirikan berhampiran bangunan juga sudah banyak diturunkan. Sedangkan sebelum kelihatan berpuluh kren pengangkut bahan binaan.

Dengan siapnya bangunan baharu jemaah haji tidak perlu lagi bersesak sesak di ruang solat sedia ada.

Mereka mempunyai pilihan untuk solat di bangunan baharu, kini sebahagian besar sudah boleh digunakan.

Seorang jemaah dari Kelantan Mat Saaud (Gambar kanan) berkata dengan siapnya bangunan baharu jemaah haji dapat solat dengan selesa.

"Sebelum ini kalau datang lewat kita terpaksa solat di dataran kerana semua pintu masjid sudah ditutup.

"Namun selepas bangunan baharu mula digunakan orang ramai masih berpeluang solat dalam masjid," katanya. – HARAKAHDAILY

PAN hilang arah, prejudis agenda martabat syariat

Posted: 06 Sep 2016 04:59 AM PDT

HARAKAHDAILY



 

SKEPTIKAL ditunjukkan Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusuf terhadap seruan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seolah-olah membayangkan PAN berada dalam keadaan terancam, membentak dan hilang arah.

Malah, sikap ditunjukkan Mujahid itu juga angkuh, tidak menghormati autoriti, jumud, bahkan tidak menghayati makna "Rahmatan lil 'alamin" yang kononnya menjadi konsep pembawaan parti itu. Sebaliknya, membuka semakin banyak tembelang hipokrit PAN dari hakikat digembar-gemburkan.

Apakah Dr Mujahid melihat Mufti Wilayah sebagai seorang yang naif dan tidak memahami isu? Ternyata menerusi Bayan Linnas, Dr Zulkifli telah mengutarakan perincian sangat jelas berhubung RUU355 dalam segenap aspek penjuru.

Sewajarnya, Dr Mujahid sebagai Ahli Parlimen yang antara tugas utama adalah menggubal atau meminda rang undang-undang merasa bersyukur kerana ada pihak lain yang turut berperanan dalam melakukan tanwir terhadap perkara ini. Apatah lagi seorang yang sangat berautoriti dan diiktiraf keilmuannya.

Dr Mujahid sendiri seharusnya memahami, tujuan perundangan bukan semata-mata mencegah, menghukum dan memulihkan, tetapi juga ta'dib di mana Mufti Wilayah telah menyumbang usaha berkualiti ke arah itu.

Konteks disentuh Dr Zulkifli juga adalah RUU telah sedia ada yang hanya akan melalui proses pindaan. Ia bukan rahsia atau sesuatu yang baharu, tetapi telah menjadi pengetahuan umum dan melalui banyak perbincangan pelbagai pihak.

Dengan mempunyai kedudukan pada kursi masing-masing dan pendidikan tertinggi, serancaknya wacana ilmiah dan terarah dapat diadakan dalam suasana mahabah serta beradab. Bukan melakukan tajrih yang menzahirkan dangkal, bebal dan kurang ajar.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah melihat PAN bagai dibayangi kebimbangan terhadap setiap usaha yang berkait dengan memartabatkan syariah. Maka, siapa sahaja yang dilihat bersama dalam perkara itu 'diperangi' semberono. Kami nasihatkan agar kembalilah ke pangkal jalan.

Kami menyeru agar inklusivisme yang sering diuar-uarkan dapat dipraktikkan. Juga perbincangan ilmiah dalam kondusif berakhlak dibudayakan. Kefahaman dan kesediaan patuh warga negara untuk menerap setiap perundangan adalah antara lambang martabat dan ketamadunan. Itulah kematangan yang sepatutnya diagendakan sebuah parti politik.

Pada akhir zaman ini ketika ikatan Islam dirungkai dari syariat hingga solatnya, maka usaha mengukuhkan perundangan syariah ini sewajibnya menjadi perjuangan bersama umat Islam. Moga ia menjadi naungan kesejahteraan hidup di dunia serta mendapat keredaan Allah menuju kebahagiaan Hari Akhirat kelak.HARAKAHDAILY

*  USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT,  Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah 





Utamakan megafauna kita, bukannya panda

Posted: 06 Sep 2016 04:57 AM PDT

SM MOHAMED IDRIS 





Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebelum ini sudah pun memberi amaran serta meramalkan berita bahawa memelihara panda di Zoo Negara akan menelan belanja yang besar. Pada hakikatnya panda merupakan haiwan yang paling mahal di dunia untuk dipelihara.

Sejak tahun 2009 dan 2012 lagi, SAM telah membantah dengan sekeras-kerasnya langkah untuk membawa panda ke Malaysia di mana Kerajaan China bersetuju untuk menyewakannya dengan bayaran mencapai enam angka. Pada masa itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Zoo Negara diserang demam panda yang menenggelamkan segala kebimbangan dan keprihatinan orang ramai dan NGO.

Memandangkan panda merupakan spesies terancam, menarik dan mudah terjejas, seekor panda sahaja boleh menarik berjuta pengunjung yang akan membawa keuntungan dari sudut kewangan, dengan itu dapat menaikkan perolehan pendapatan zoo yang merosot. Kajian menunjukkan zoo yang mempunyai panda berada dalam "tempoh bulan madu" apabila ramai orang berpusu-pusu untuk melihatnya. Selepas beberapa waktu, kehadiran panda tidak lagi dikaitkan dengan pemuliharaan atau pendidikan tetapi lebih kepada mengumpul hasil kutipan masuk ke zoo. Apabila pendapatan mula merosot, anak panda akan membawa lebih ramai pengunjung untuk mengimbangi kos penjagaan haiwan.

Bagaimanapun, perbelanjaan panda yang dibiakkan dalam kurungan menimbulkan persoalan yang serius sama ada spesies ini benar-benar bernilai daripada semua wang itu yang lebih baik dibelanjakan untuk megafauna – haiwan besar kita seperti gajah, harimau dan badak? Malaysia berhadapan dengan situasi yang amat buruk di mana haiwan ini lebih bernilai selepas mati daripada hidup di kawasan habitatnya. Aspek pemuliharaan pula kurang menimbangkan ruang pemikiran yang baharu untuk melindunginya dengan lebih baik. Ini menyebabkan ia berada di ambang kepupusan.

Kini tiba masanya bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih berhemat terhadap ke mana wang akan dibelanjakan. Bagi semua wang yang dibelanjakan untuk panda, kita boleh melindungi banyak spesies dalam pelbagai habitat termasuk menambah baik peralatan, kakitangan, dan strategi dalam memerangi penyeludup yang menggunakan teknologi canggih dan terbaharu bagi memperdayakan pegawai. Oleh kerana kemahiran yang lemah dan kecekapan Jabatan Perhilitan dalam menangani spesies terancam kita sendiri dipersoalkan, perkara ini perlu ditangani terlebih dahulu.

Urusan panda ini tiada kaitan dengan pemuliharaan tetapi semuanya mengenai wang. China telah lama menjalankan diplomasi panda sebagai tanda hubungan diplomatik yang mesra. Tetapi persoalan yang perlu dikemukakan ialah mengenai motif kewangan mereka di sebalik keputusan yang lebih berupa seperti menjalankan perniagaan lumayan dalam menyewa haiwan.

Panda adalah spesies terancam, bukannya komoditi untuk diperdagangkan bagi hiburan manusia. Walaupun matlamatnya adalah untuk menggalakkan pemeliharaan dan untuk meningkatkan bilangannya bagi dihantar semula ke habitatnya, program diplomasi panda telah beralih daripada melindungi panda dalam habitatnya kepada menarik pelanggan untuk membayar di zoo dan meningkatkan hasil pelancongan. Tambahan pula panda telah menjadi alat politik dan keuntungan.

Pemuliharaan panda perlu memberikan tumpuan kepada perlindungan habitat termasuk mengurangkan permintaan manusia dan kesan ke atas sistem kawasan perlindungan dan rizab panda sedia ada, dan apa sahaja pembiakan dalam kurungan in-situ yang dilakukan seharusnya bertujuan untuk memastikan panda dikembalikan kepada habitat asalnya. Jika pemuliharaan menjadi matlamat, adalah tidak wajar untuk menghantar haiwan untuk pembiakan ke zoo di seluruh dunia. Kini tiba masanya untuk mendidik orang ramai mengenai panda gergasi sebagai haiwan liar dalam bahaya kepupusan dan menghentikan eksploitasi kegilaan orang ramai terhadapnya dengan cuba untuk mengambil kesempatan daripadanya.

China juga perlu meneliti kembali dasar mengangkut panda mereka ke seluruh dunia dengan menawarkan hadiah panda secara pinjaman. Panda mereka perlu dibenarkan untuk berkembang, hidup dan membiak dengan bebas dalam persekitaran asli mereka. Keinginan untuk merapatkan hubungan antarabangsa membahayakan kebajikan panda.

Sekali lagi, SAM menggesa Kerajaan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menggunakan wang untuk kegunaan yang lebih baik contohnya untuk peralatan, sumber manusia, dan tindakan berkesan untuk menangani jenayah siber hidupan liar, tindakan terhadap rasuah dan mengukuhkan lagi perlindungan di lapangan. - HARAKAHDAILY

*  Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.


Tiada lagi kedaulatan undang-undang di Malaysia, kata Dr Mahathir

Posted: 06 Sep 2016 03:31 AM PDT

 
Susulan penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN), undang-undang tertangguh dan ini termasuk pemansuhan inkues kematian, katanya.


NSC mahathir


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia tidak lagi mengamalkan kedaulatan undang-undang dan kini menjadi negara tanpa undang-undang.

"Dan kini dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), undang-undang ditangguhkan. Ini termasuk pemansuhan inkues mengenai kematian," katanya dalam posting terbaru di blognya, chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata undang-undang pada asasnya dibuat untuk keselamatan, kehidupan yang baik dan kesejahteraan rakyat.


"Bagi membolehkan undang-undang melakukan semua ini, kerajaan perlu mentadbir sewajarnya. Kerajaan yang dilantik perlu buat dengan baik.

"Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah kerajaan menyalahgunakan undang-undang. Ia tidak lagi menyediakan persekitaran yang baik," katanya.

Dr Mahathir turut menyenaraikan salah guna kuasa yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan kerajaannya.

Meskipun undang-undang membenarkan rakyat mengkritik, Dr Mahathir menyelar tindakan Najib menghalang ahli partinya, penjawat awam dan media daripada mengkritik kerajaannya.

"Tindakan diambil dengan membuat mereka daripada jawatan, dipindahkan, diturunkan pangkat, mengganggu mereka dan rakan serta memaksa mereka bersara awal," katanya.

Dalam artikel terbarunya itu, Dr Mahathir mendakwa apabila RM2.6 bilion ditemui dalam akaun bank peribadi Najib, siasatan penuh mengenai sumber wang itu tidak dijalankan oleh polis.

"Tetapi kita dengar peguam negara mendakwa Najib tidak bersalah kerana dia (Najib) kata dia tidak bersalah. Jika ini mencukupi, maka semua orang yang didakwa kerana tindakan jenayah hanya perlu kata mereka tidak bersalah."

Katanya, suspek yang hanya menafikan dia buat salah tidak akan didakwa di mahkamah.

"Untuk dilepaskan, dia perlu menunjukkan bukti dalam bentuk alibi, saksi, dokumen, cap jari dan sebagainya untuk meyakinkan hakim. Kemudian, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan pertimbangkan sama ada dia tidak bersalah atau tidak," katanya.

Beliau berkata peguam negara bersalah kerana lalai dalam tugas.

"Polis juga bersalah kerana tidak menjalankan siasatan penuh terhadap tuduhan yang dibuat dalam laporan itu.

"Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak diguna pakai untuk jenayah dalam pejabat. Malah, tugas pegawai untuk melaporkan sebarang tindakan jenayah yang dilakukan sesiapa dalam kerajaan," katanya.

Rahsia rasmi merujuk kepada dokumen kerajaan, Kabinet, kertas cadangan dan perjanjian yang belum diluluskan.

‘Panjat’ Baitulmal banyak kali tapi kami tidak dipeduli, luah gelandangan

Posted: 06 Sep 2016 03:20 AM PDT

ARIF ATAN
 
 
Mat dan Sue bersama sebahagian anak mereka ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek pagi minggu semalam.Mat dan Sue bersama sebahagian anak mereka ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek pagi minggu semalam.

Keluarga muda ini dilihat duduk tenang pada pagi minggu semalam  di jalan masuk Masjid Jamek dekat persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak itu.

Mereka antara ratusan mungkin ribuan gelandangan di pusat bandar raya atau lebih mesra dipanggil 'rakan jalanan' oleh NGO yang saban pagi minggu setia menanti sumbangan sarapan daripada mereka yang cakna.  

Mat, 39, ketika ditanya Malaysia Dateline memberitahu sudah sembilan bulan keluarganya menjalani kehidupan sebagai warga miskin kota selepas terpaksa berhijrah dari Jengka, Pahang bersama isteri, Sue, 33, dan enam anaknya yang lain.

"Di Kuala Lumpur ini, saya ambil upah angkut dan turunkan barang dari lori. Upah ikut hari. Kalau dah habis, kenalah saya cari kerja lain pula," katanya yang duduk di pangkin batu bersebelahan stesen LRT Masjid Jamek itu.

Menurut Sue yang sedang meriba anak perempuan bongsunya berusia baharu dua bulan itu, mereka sebelum ini menyewa secara harian di premis sekitar Lorong Haji Taib jika mempunyai wang.

"Sehari sewa RM20. Itu pun tidak mampu sewa sampai berhari-hari jauh sekali untuk sewa secara bulanan. Sekarang ini pun sudah dua minggu kami anak beranak tidur berbumbungkan langit sebab tidak mampu sewa harian lagi.

"Malam tadi (Sabtu, 3 September) kami tidur di Dataran Merdeka. Alas kotak, suratkhabar. Bolehlah lelap sekejap mata . Anak-anak kami enam orang semuanya pun tidur di mana kami tidur," ceritanya tenang.

Kena 'syarahan'

Ditanya tentang usaha untuk meminta bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mat dan Sue semacam hampir putus asa dengan layanan institusi yang dipertanggungjawabkan memelihara kebajikan orang Islam itu.

"Masuk bulan keempat berada di KL ini, kami cuba minta bantuan daripada Baitulmal. Mulanya, ustaz (pegawai) itu kata kami belum cukup tinggal setahun, atau dua tahun untuk dapat bantuan.

"Tapi selepas itu banyak kali juga cuba nasib 'panjat' Baitulmal tapi sedihnya rayuan kami tidak dipeduli. Macam-macam syarat pula pegawai bertugas 'syarahkan' kepada kami.

"Sekarang, entahlah. Nak minta sekali lagi pun segan. Kita pun ada maruah," kata Mat sambil memerhati kedua-dua anaknya Haikal,6 dan Hafiz, 3 sedang bermain di pondok telefon di jalan masuk ke Masjid Jamek itu.

Selanjutnya Sue menyambung cerita suaminya, kali terakhir mereka mencuba nasib memohon bantuan kecemasan di Baitulmal yang terletak di Lorong Haji Hussein 2 itu adalah pada minggu lalu.

"Tapi sekarang ini Baitulmal kata sekali setahun saja boleh tuntut bantuan kecemasan. Kalau sebelum ini hadnya ditetapkan pada tiga kali.

"Ramai orang macam kami kata bantuan diberi lebih kepada pilih kasih. Orang ramai kata keluarga di Kampung Baru yang dikira ada rumah dan tanah itu boleh pula dengan mudah-mudah saja diberi bantuan.

"Entahlah. Kami pun susah nak percaya. Mustahil Baitulmal yang ramai ustaz-ustaz  tu ada sikap pilih kasih tapi pengalaman kami sendiri nampaknya susah betul nak minta bantuan dengan Baitulmal," ujar Sue lagi.

Mengulas tentang pendidikan anaknya, beliau berkata, empat anaknya dengan paling sulung berusia 13 tahun berpeluang mendapat tempat di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit.

SueSue"Alhamdulillah. Semua perbelanjaan ditanggung oleh pihak sekolah cuma buat masa ini, tiada lagi asrama untuk murid-murid. Jadi, keempat-empat anak kami akan tidur di mana-mana tempat yang sesuai sekitar KL ini bersama kami," katanya.

Untuk rekod, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit diwujudkan oleh kerajaan dengan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di kawasan tersebut.

Banyak pihak daripada aktivis sosial dan NGO kemasyarakatan menyifatkan jumlah gelandangan atau rakan jalanan di ibu negara semakin bertambah ekoran kepincangan agihan ekonomi.


Sidang media di SACC Shah Alam hari ini tiada kaitan Amanah Selangor

Posted: 06 Sep 2016 03:15 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Jamzuri ArdaniJamzuri Ardani


Amanah Selangor hari ini menafikan terlibat dengan satu Sidang Media pada hari ini 6 September 2016 bertempat di SACC Shah Alam.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzur Ardani berkata walaupun penganjur Sidang Media tersebut menamakan diri mereka sebagai Aktivis Amanah, kami pihak kepimpinan Parti Amanah Selangor tidak mengetahui siapa mereka.

"Apa tujuan Sidang Media tersebut, dan apa bentuk tuntutan yang mahu dikemukakan," katanya.

Beliau bagi pihak parti Amanah Selangor memaklumkan tidak terlibat di dalam sidang media tersebut dan tidak bertanggungjawab atas sebarang kandungan atau tuntutan yang akan dibuat

Demo depan SUK desak serah air Kelantan kepada Pusat

Posted: 06 Sep 2016 03:13 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
Mohd Shahbudin HashimMohd Shahbudin Hashim


Sekumpulan mendakwa kumpulan NGO Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (RESTORASI) mengadakan demontrasi di perkarangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan pagi ini menuntut kerajaan negeri menyerahkan pengurusan air kepada pihak kerajaan Pusat.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Shahbudin Hashim berkata pihaknya mengalu-alukan program MIGRASI bagi memberi laluan kepada sebuah syarikat di bawah kementerian kewangan mengambil bahagian dalam menguruskan perkhidmatan bekalan air di Kelantan.

"Kita menuntut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub memberi jaminan untuk merombak pengurusan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) bagi memudahkan proses ini," katanya.

Menurutnya urusan bekalan air ini hendaklah diurus bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan parti-parti politik jangan campurtangan.

"Kalau pengurusan air yang ada sekarang kekal, orang Kelantan kata 'air tetap berkarat' walaupun pitih (peruntukan dana) diluluskan oleh pihak pusat," katanya.

Beliau turut perli AKSB dengan kata-kata "Air kkarat Sokmo Bohh".

Sementara itu Parti Sosialis Malaysia (Kelantan) yang tidak bersetuju dengan demonstrasi itu menyatakan PSM Kelantan mencadangkan satu perbincangan secara yang lebih rasional

"Satu sesi perbahasan di antara semua pihak perlu diadakan," kata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (Kelantan) Khairul Nizam Bin Abd Ghani melalui kenyataan medianya.


PSM Kelantan katanya berharap kerajaan negeri tidak menafikan atau menyembunyikan masalah ini.

"Hentikan politik reactionary, kembali kepada politik material. Kongsikan masalah ini dengan semua anak negeri, dan kita pakat-pakat mencari penyelesaian bersama," katanya.

Amanah sokong RUU 355, jika perkasa Mahkamah Syariah

Posted: 06 Sep 2016 03:06 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusiPengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusi


Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong segala usaha memperkasakan Mahkamah Syariah namun memerlukan penjelasan yang terperinci berhubung usul yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusi dari semua segi sebelum mendapat sokongan Amanah.

Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, Amanah khuatir terhadap kemungkinan usaha yang ditaja sebagai memperkasakan Mahkamah Syariah mendatangkan kesan sebaliknya.

"Amanah inginkan satu jawapan yang jelas dan tuntas dari YB Marang terhadap apa yang telah dikemukakan. Jangan diberi jawapan bersifat retorik semata-mata.

"Sekiranya YB Marang tidak mampu memberikan penjelasan yang mantap dan kukuh, berhubung pindaan yang dicadangkan beliau, dikhuatiri cadangan pindaan ini akan dilihat sebagai 'mainan politik' semata-mata. Dan tiada yang lebih keji dari menjadikan agama bahan mainan politik," katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini.

Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional Dr Siti Mariah Mahmud yang juga ahli Parlimen Kota Raja dan naib ketua Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim.

Khalid juga berkata, walaupun usul tersebut mempunyai tujuan "memperkasakan Mahkamah Syariah", namun ia tidak menyentuh persoalan penambahan kadar hukuman secara jelas.

Sebaliknya Hadi kata beliau, mencadangkan melalui Usul Persendirian beliau supaya keseluruhan seksyen 2 digantikan dengan seksyen 2 dan 2A yang dicadangkan beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguguran keseluruhan seksyen 2 yang asal menambahkan kekeliruan terhadap niat dan tujuan di sebalik usul tersebut dan menimbulkan tuduhan wujudnya agenda tersembunyi.

Selain itu ia juga menimbulkan kerisauan terhadap kemungkinan tafsiran yang berbagai terhadap seksyen 2 yang dicadangkan.

"Keperluan ia digantikan keseluruhannya tidak dijelaskan. Adakah wujud cacat-cela pada perenggan pertama seksyen 2 seperti asalnya? Sekiranya ada, apa cacat celanya? Sekiranya hanya pertambahan hukuman diinginkan maka tidakkah ianya memadai untuk dipinda perenggan kedua Seksyen 2 sahaja?" soalnya.

Seksyen 2A tidak menyebut bentuk dan had hukuman

Menurut Khalid, melalui seksyen 2A, bentuk dan had hukuman yang boleh dikenakan mahkamah syariah kecuali "yang dibenarkan oleh undang-undang syariah selain dari hukuman mati".

"Apabila bentuk hukuman tidak ditetapkan maka adakah YB Marang bertujuan untuk membenarkan jenis hukuman selain penjara, denda dan rotan dijatuhkan mahkamah? Boleh YB Marang berikan contoh-contoh hukuman yang beliau ingin dikenakan terhadap pesalah jenayah syariah oleh Mahkamah Syariah?" soalnya lagi.

Beliau menambah, seksyen 2A yang dicadangkan seolah-olah memberikan 'blank cheque' kepada Mahkamah Syariah dalam persoalan bentuk hukuman dan hadnya, selain hukuman mati.

"Adakah ini yang diinginkan YB Marang dan sekiranya ya, maka harap dijelaskan mengapa.

"Amanah ingin YB Marang menjelaskan sama ada implikasi 'blank cheque' ini difahami dan sama ada ini yang diinginkan YB Marang melalui pindaan ini?" katanya.

Justeru tegasnya, selepas mendapat jawapan yang jelas daripada Hadi, Amanah akan menetapkan pendiriannya terhadap Usul Persendirian yang dibawa beliau.

Sementara itu, Dr Siti Mariah yang mengetuai jawatankuasa pindaan RUU355 mendakwa banyak pihak yang keliru berhubung usul tersebut kerana tindakan membaca usul tanpa dibahas dan dijelaskan maksud dan tujuannya.

Beliau berkata, kekeliruan itu disuarakan dalam beberapa program forum dan sidang meja bulat yang diadakan di seluruh negara selepas usul tersebut dibentangkan di Parlimen oleh Hadi.

"Kekeliruan ini telah menyebabkan berlakunya ketakutan, kerisauan dan ketegangan di kalangan sebahagian masyarakat. Ada yang mendakwa ia berhubung perlaksnaan hudud di Kelantan; ada yang kata ianya tiada hubungan dengan soal hudud; ada yang kata ianya bercanggah dengan perlembagaan; ada yang kata sebaliknya," katanya.

Menurut beliau juga, kekeliruan ini telah menyebabkan adanya usaha mengutip sejuta tandatangan oleh Persatuan Hokkien, sebagai contoh dan ini pula menghasilkan laporan polis terhadap usaha Persatuan Hokkien oleh Geng Ustaz.

"Amanah menganggap tindakan membaca usul berkenaan tanpa dibahasnya serta menangguhkan perbahasan selama lima bulan adalah satu tindakan yang bukan sahaja tidak berhemah tetapi tidak bertanggung-awab dan 'reckless' atau membahayakan.

"Selain dari menghasilkan ketegangan ia adalah satu tindakan yang menyulitkan proses dakwah Islamiah dengan menghasilkan penentangan atas sebab kekeliruan," katanya.

Takiyuddin sedia tunggu Husam di Kota Bharu

Posted: 05 Sep 2016 11:54 PM PDT

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI


Anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan sedia berdepan dengan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata semua keputusan itu terpulang kepada jawatankuasa tertinggi parti itu.
"Kalau diberi tanggungjawab kita akan laksanakannya dan saya serahkan semuanya kepada parti.

"Jika parti suruh saya bertanding saya bertanding di mana sahaja. Kalah atau menang bukan alasan," kata Takiyuddin.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui selepas wacana berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah di Shah Alam semalam.

Pemangku Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dr Rosli Allani Abdul Kadir Sabtu lalu mengakui PAS sedia berdepan siapa sahaja pada PRU14 termasuk Husam Musa yang baru menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 31 Ogos lalu.

Menurut Rosli yang dipetik Sinar Harian, beliau mengalu-alukan sekiranya benar khabar angin mendakwa Husam akan bertanding di parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu.

"Saya yakin dengan keupayaan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan akan dapat menandingi aura yang ada pada Datuk Husam.

"Malah saya akan mencadangkan agar Datuk Takiyuddin yang mengenali Datuk Husam sejak zaman universiti itu bertanding di mana sahaja ahli Amanah itu dicalonkan," kata Rosli.

Selepas menyertai parti AMANAH secara rasmi minggu lalu, Husam melahirkan keyakinannya parti serpihan PAS itu mampu "menyelamatkan" Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, AMANAH mampu mentadbir kerajaan negeri itu walaupun berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.

'Hadi roboh penyu kami, jangan biar helang Langkawi jadi mangsa'

Posted: 05 Sep 2016 11:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


MCA Terengganu hari ini menggesa kerajaan negeri Kedah supaya tidak membiarkan tugu ikonik helang di Langkawi dirobohkan sebagai mana nasib replika penyu belimbing di Kuala Terengganu, yang dimusnahkan apabila kerajaan konservatif PAS berkuat kuasa.

"Pada tahun 1999, apabila PAS mengambil alih kuasa di Terengganu, tindakan regresif pertama oleh pentadbiran negeri di bawah kepimpinan menteri besar PAS ketika itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah merobohkan replika penyu belimbing di bulatan di Kuala Terengganu.

"Alasan mereka ia seolah-olah menyembah patung epada berhala penyembahan," kata kata Ketua MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seperti penyu belimbing yang sinonim dengan Terengganu, helang adalah maskot tersendiri yang berkaitan dengan Langkawi.

Oleh itu, mana-mana cadangan untuk merobohkan struktur helang yang mewakili Langkawi itu, katanya adalah tidak wajar.

"Mereka yang mencadangkan sedemikian tidak berbeza dengan rejim Taliban di Afghanistan yang telah meletupkan patung lebih seabad Bamiyan Buddha yang bersejarah hingga menjadi debu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan timbalan mufti Perak, Zamri Hashim yang berkata memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Industry muzik 'tenat', album tak laku

Posted: 05 Sep 2016 11:42 PM PDT

Amiril Muttaqien Meketar, Bernama


Industri muzik tempatan ketika ini berada pada tahap kritikal berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu atau album secara percuma kepada orang ramai.

Komposer dan penulis lirik, Saari Amri menyifatkan ledakan teknologi menerusi lambakan laman web yang memberi kemudahan kepada orang ramai memuat turun karya pemuzik tempatan itu menyebabkan jualan album pada masa kini mengalami kemerosotan mendadak.

Katanya, jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit.

Bercakap kepada Bernama, Saari berkata situasi itu ternyata memberi impak buruk kepada industri muzik tempatan dan mendorong kebanyakan syarikat rakaman hanya menerbitkan single kerana tidak berani melabur untuk menghasilkan album baharu untuk penyanyi tempatan.

"Jika dahulu, album yang diterbitkan saya untuk kumpulan Ukays bertajuk Bisa Berbisa mampu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 400,000 unit namun realitinya berubah pada masa sekarang.

"Dulu kalau album itu hanya mencatat jualan 10,000 unit, dianggap gagal, namun sekarang nak cecah jualan sebanyak itu pun 'sakit', malah banyak kedai muzik terpaksa menutup premis mereka kerana orang ramai tidak berminat lagi membeli album di pasaran," kata Saari.

Pencipta lagu 'berhantu' Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, pada tahun 1996 itu berkata lebih menyedihkan, perkembangan itu juga menghimpit pemuzik tempatan yang tidak menerima sebarang royalti bagi karya mereka apabila dimuat turun orang ramai melalui laman web yang menawarkan muat turun lagu secara percuma.

Oleh itu, beliau yang pernah terbabit menghasilkan lagu untuk penyanyi dan band terkenal seperti Ziana Zain, Nike Ardilla dan Umbrella berharap pihak berwajib perlu memperkenalkan lesen kepada laman web itu dalam memastikan pemuzik, komposer dan penulis lirik menerima ganjaran berkenaan.

"Saya lihat Pihak Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) masih lagi 'fight' bagi memastikan kami (karyawan muzik) memperoleh royalti hasil daripada lagu atau album dimuat turun menerusi laman web dan berharap bayaran dikenakan kepada orang ramai yang memuat turun karya kami pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai trend penghasilan lagu tempatan terkini yang dilihat cenderung kepada jalur muzik era 90-an, Saari yang masih aktif menghasilkan lagu berkata orang ramai masih menganggap melodi berkenaan sebagai sesuatu yang dekat dalam diri mereka.

Katanya, kebanyakan muzik pada masa kini tidak mempunyai penghayatan yang kuat berbanding pada era kegemilangan muzik 90-an yang mampu menangkap jiwa pendengar dan masih lagi diterima baik sehingga kini.

"Lagu Sudahku Tahu oleh kumpulan Projector Band merupakan contoh terbaik lagu terkini yang diterima ramai kerana kisah yang terkandung dalam lagu itu serta melodinya yang berunsurkan muzik lama mungkin dekat dengan ramai pendengar sehingga menerima sambutan hebat dan menjadi viral di media sosial," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang pernah menghasilkan lagu Bahasa Melayu buat penyanyi terkenal dari Hong Kong, Andy Lau pada tahun 2001 berkata pemuzik baharu perlu berani untuk bereksperimentasi dengan karya mereka bagi memastikan ia diterima ramai dan kekal diingati buat tempoh lama.

Saari yang amat mengagumi bakat dimiliki Yuna sehingga mampu mengembangkan sayap ke persada muzik antarabangsa berharap ramai pemuzik mengikut jejak langkah penyanyi itu untuk menembusi pasaran muzik ke tahap lebih tinggi.

"Pemuzik baharu tidak harus putus asa dalam memperjuangkan karya mereka dan apa yang penting mereka harus kreatif serta tidak menciplak karya orang lain," katanya.- Bernama

Timbalan Harussani: Saya tak rujuk Tugu Negara

Posted: 05 Sep 2016 11:24 PM PDT

MALAYSIAKINI


Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim menjelaskan kenyataannya berkaitan larangan pembinaan replika haiwan tidak merujuk kepada Tugu Negara atau replika helang ikonik di Pulau Langkawi.

Katanya, beliau hanya merujuk isu setempat di Perak, terhadap soalan yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak, lapor Sinar Online.

"Sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk memberi nasihat dan panduan maka, satu panduan dan nasihat diperlukan oleh sebuah kerajaan tempatan diajukan kepada kami untuk membina sebuah replika di penempatan baharu.

"Isunya adalah isu setempat di Perak dan tidak berkaitan dengan replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun tugu negara tetapi isu ini digunakan oleh media-media yang memutarbelitkan dan mengalihkan dari isu sebenar," beliau dipetik sebagai berkata.

Zamri berkata, tidak timbul isu merobohkan monumen-monumen berkenaan berikutan ia bawah kuasa pihak di negeri masing-masing.

Katanya, pihaknya menasihatkan pihak berkuasa tempatan tidak membina replika haiwan secara sempurna kecuali untuk permainan kanak-kanak atau tujuan pendidikan.

Malaysiakini pada 2 September memetik tulisan Zamri di sisipan Berita Harian bahawa memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Katanya, membinanya adalah dosa besar dan jika sudah dibina wajib dirobohkan.

Patung burung helang paling terkenal di Dataran Lang, Langkawi yang mempunyai kaitan dengan sejarah pulau pelancongan dunia itu.

Timbalan Mufti Kedah Sheikh Marwazi Dziyauddin pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu jika terdapat gesaan supaya tugu di Langkawi dirobohkan.

Marwazi berkata, ketika pembinaan tugu tersebut tidak merujuk kepada pihak berkuasa agama.

Di tengah-tengah kekecohan isu itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan suntikan dana RM650 juta untuk projek di atas kawasan seluas 66 ekar di sekitar Tugu Negara.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula bertegas menolak Tugu Negara.

"Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara) kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu?

"Tugu berbentuk manusia pula adalah haram," katanya.

BMF persoal urus niaga tokoh perbankan Swiss dengan DiCaprio

Posted: 05 Sep 2016 11:24 PM PDT

MALAYSIAKINI


NGO alam sekitar, Tabung Bruno Manser (BMF) mempersoalkan urus niaga di antara tokoh perbankan swasta Swistzerland, Julius Baer dengan bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

BMF turut menggesa DiCaprio dan yayasannya untuk memulangkan semua dana yang diterima yang didakwa dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dalam salinan surat BMF kepada Baer, NGO itu berkata DiCaprio dan yayasannya telah menerima wang daripada mereka yang dinamakan dalam tuntutan pelucuthakan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika berkaitan aset 1MDB pada bulan Julai lalu.

Mereka adalah anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, dan sekutu Low, Tan Kim Loong.

"Kami bimbang, sebagai tabung kebajikan, yayasan Leonardo DiCaprio tidak mematuhi piawaiaan ketelusan biasa bagi badan amal hak alam sekitar dan kemanusiaan.

"Secara khususnya, kami bimbang bahawa DiCaprio dan Yayasan Leonardo DiCaprio nampaknya menerima sejumlah besar wang daripada mereka yang terdedah dengan politik dari Malaysia [...]," petik surat itu yang bertarikh 1 September.

Surat itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif BMF Lukas Straumann dan pengurus kempennya, Johanna Michel.

Ia ditujukan kepada Julius Baer, Ketua Pegawai Eksekutif Herrn Boris Collardi. BMF dan Julius Baer masing-masing berpangkalan di Switzerland.

Julius Baer adalah penaja Yayasan Leonardo DiCaprio, dan kenyataan akhbar yayasan itu menggambarkan tokoh perbankan itu sebagai "rakan lama".

Malaysiakini telah menghubungi bank berkenaan untuk mendapatkan ulasan mengenai surat BMF.

BILA ANWAR DAN TUN M DAH BERGABUNG, BERMAKNA NYAWA POLITIK NAJIB KIAN HAMPIR DI HALKUM

Posted: 05 Sep 2016 11:13 PM PDT

shahbudindotcom

 
 
Setelah 18 tahun berlalu iaitu sejak dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 2 September 1998, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim hari ini bertemu semula dan bersalam-salaman, menandakan berakhirnya perseteruan politik yang berlaku selama ini.

Walaupun kehadiran Tun Mahathir di Mahkamah Tinggi ialah untuk memberi sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara, di mana kedua-dua pemimpin tersebut  menentang perlaksanaan undang-undang yang antaranya memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat, realitinya pengertian pertemuan ini memberi makna yang lebih jauh daripada itu.

Dengan pertemuan bersejarah ini, kedua-dua mereka kini dalam persamaan untuk bergabung tenaga bagi mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, seterusnya memastikan Najib tersingkir dari kerusi Perdana Menteri yang sedang empuk didudukinya.
 
 
 
 
Walaupun sejak Tun Mahathir keluar UMNO dan kemudian menginisiatifkan parti BERSATU, beliau sudah menjalinkan hubungan dengan PKR yang dipimpin oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, pertemuan bertentang mata dan bersalam dengan Anwar ini merupakan sejarah baru dalam politik negara ini.

Ia secara langsung memberi isyarat tiada lagi perselisihan peribadi antara kedua-dunya dan mereka sanggup berbaik serta bersatu hati demi sama-sama menyelamatkan negara dek onar dan masalah yang dicetuskan Najib sehingga Malaysia sekarang ini menjadi lebih bualan buruk di seluruh dunia.

Sudah barang tentu penyokong Tun Mahathir dan Anwar di semua peringkat masyarakat turut sama bertaut hati dan perasannya, seiring dengan bertemunya kedua-dua pemimpin tersebut

Penggabungan Tun Mahathir dan Anwar ini turut memberi tanda bahawa nyawa politik Najib, UMNO dan BN sudah berada di halkum, hanya menunggu detik dan waktunya saja untuk terpisah daripada kuasa yang digenggam selama ini.
 
 
 
 
Jika dalam pilihanraya 2013 lalu di mana ketika itu Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, BN hanya mampu menang dengan kelebihan 23 kerusi Parlimen, tetapi kalah undi popular dengan 47 peratus berbanding 52 peratus, bayangkan dalam PRU 14 akan datang bila mana Tun Mahathir dan Anwar sudah sama-sama berganding bahu?

Bersama isu-isu lain seperti 1MDB, duit ribu-ribu juta dalam akaun peribadi Najib, perangai Rosmah, pembaziran, kemewahan dan macam-macam lagi kemelut yang sedang berlaku dalam negara, genggaman kuasa UMNO dan BN kini tidak ubah ibarat telur di hujung tanduk.

Kesediaan Tun Mahathir ke mahkamah bertemu Anwar ini adalah isyarat pukulan maut yang bakal melumpuhkan Najib secara perlahan-lahan jika beliau ingin terus bertahan sehingga PRU 14 akan datang.

Meskipun Anwar mungkin berada di dalam penjara semasa kempen PRU 14 nanti, jiwa dan perjuangannya, setelah berbaik-baik dengan Tun Mahathir ini, menjadi lebih debat di hati rakyat yang begitu mengharapkan perubahan.
 
 
 
 
Dalam masa yang sama, impian Najib Ahad lalu yang mahu jentera UMNO berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang dengan kelebihan 40 undi di Pekan, hampir tidak memberi sebarang makna lagi.

Menang di Pekan, tetapi jika UMNO dan BN tumbang, ia akhirnya hanya mampu menjadikan Najib sebagai Ketua Pembangkang semata-mata, kalau pun tidak terpaksa turun naik mahkamah menghadapi pelbagai pendakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya nanti.


Nur Jazlan nafi pelawa MP bermalam di penjara

Posted: 05 Sep 2016 11:01 PM PDT

Kow Gah Chie 


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan beliau mempelawa ahli parlimen PKR, N Surendran untuk bermalam di penjara.

Katanya, kenyataan beliau disalah-tafsirkan oleh media.

"Saya hanya kata mungkin beliau perlu mengalami hidup dalam penjara, adakah saya mempelawanya?

"Saya tidak fikir, itu satu pelawaan. Saya hanya kata mungkin beliau harus bermalam dalam penjara dan menilai apa yang berlaku di sana," katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar keselamatan psikologi KDN di Putrajaya hari ini.

"Apabila kamu (media) membuat kesilapan, adakah itu salah saya?" soalnya.

"Saya rasa sebagai seorang peguam, beliau tidak memahami prosedur undang-undang. Untuk dimasukkan ke penjara kamu perlu untuk melakukan suatu kesalahan," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak boleh menjemput sesiapa untuk tinggal di penjara.

Beliau diminta mengulas kenyataan Surendran, yang berkata dirinya bersedia menerima pelawaan untuk menjalani hidup sehari sebagai penghuni di sel Penjara Kajang.

Nur Jazlan yang juga ahli majlis tertinggi Umno, menegur Surendran kerana cuba mempolitikkan isu itu dan mencari publisiti.

Malaysia jamin siasat insiden Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA

Posted: 05 Sep 2016 10:58 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia akan menyiasat insiden membabitkan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar dan sekumpulan penunjuk perasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
 
Insiden itu mengakibatkan pesuruhjaya tinggi itu mengalami kecederaan ringan.
 
"Kerajaan Malaysia melahirkan simpati terhadap Tuan Yang Terutama Ibrahim Ansar dan memberi jaminan pihak berkuasa negara ini akan menyiasat insiden itu dan membawa pelakunya ke muka pengadilan," kata Kementerian Luar dalam kenyataannya.
 
Melahirkan kekesalan terhadap insiden itu, kenyataan itu menambah: "Kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur untuk memastikan insiden seumpama itu tidak berulang di masa hadapan."
 
 

Mozambique tunjuk tiga serpihan baru disyaki milik MH370

Posted: 05 Sep 2016 10:56 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MAPUTO: Pihak berkuasa Mozambique pada Isnin menunjukkan tiga serpihan baru pesawat yang terdampar di pantai, disyaki milik MH370.
 
Objek paling besar berbentuk tiga segi yang berwarna putih dan merah di satu bahagian dengan metalik di sebelah satu bahagian lagi.
 
Serpihan itu ditemui seorang pekerja hotel di perairan Inhambane, wilayah selatan Mozambiq pada bulan lalu.
 
Pengarah pihak berkuasa Mozambique, Joao de Abreu berkata, ia merupakan serpihan berwarna yang pertama ditemui.
 
Bercakap pada sidang media, beliau berkata, serpihan itu mungkin "aileron, penaung, (atau) lif."
 
Katanya, di bahagian dalamnnya, terdapat label yang begitu mudah untuk mengenal pasti ia adalah pesawat mana.
 
Dua lagi serpihan adalah lebih kecil dan ditemui seorang anak lelaki kepada diplomat Kesatuan Eropah (EU) dekat sebuah resort Xai Xai di selatan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa pada minggu lepas.
 
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai dua serpihan tersebut.
 
Kesemua objek itu akan dihantar ke Malaysia untuk pemeriksaan.
 
Pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan kesemua 239 orang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada Mac 2014. 
 
Australia yang mengetuai pencarian itu telah melakukan pemeriksaan ke atas lima serpihan setakat ini, yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Mauritius, dilihat hampir pasti dari pesawat itu.
 
Serpihan pertama yang dikaitkan dengan MH360 merupakan sayap yang dikenali sebagai 'flaperon' sepanjang dua meter, terdampar di pulau Reunion di Lautan Hindi setahun lalu.
 
 

Video pukul murid sekolah agama berlaku di Sabah [TONTON VIDEO]

Posted: 05 Sep 2016 10:51 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kejadian pukul membabitkan seorang murid sekolah yang menjadi viral di laman Facebook, berlaku di sebuah sekolah rendah agama di Putatan.
 
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun menjelaskan kes masih dalam siasatan.
 
"Polis mengesahkan kejadian berlaku di sebuah sekolah agama di Putatan. Kes ini masih disiasat termasuk mengenal pasti murid lelaki yang memukul mangsa.
 
"Saya difahamkan, keluarga kepada murid yang dipukul itu sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang," katanya di sini, hari ini.
 
Video berdurasi dua minit 27 saat itu menunjukkan seorang murid lelaki memukul mangsa menggunakan kerusi, selain menumbuk dan mencekik leher mangsa dalam sebuah kelas.
 
Video itu menjadi viral di Facebook sejak lebih 20 jam lalu.
 
 
 

Tiada ulasan: