Selasa, 9 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


KENAPA PEMIMPIN2 UMNO KIAN MERAPU DALAM MEMPERTAHANKAN NAJIB?

Posted: 09 Aug 2016 05:34 AM PDT

shahbudindotcom


Semakin masa berlalu, walaupun Najib Razak terus dipertahan dan disokong oleh para pemimpin UMNO, yang nyata hujah serta alasan dalam mempertahankan beliau juga kelihatan semakin merapu.

Sebut saja, daripada Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Nazri Aziz, Idris Haron, Aziz Kaprawi, Azalina Othman Said dan ramai yang lain, setiap kali mereka membuka mulut mempertahankan Najib, ia akhirnya lebih menjadi bahan ketawa dan perlecehan daripada rakyat.

Hujah, idea dan kata-kata yang dilontarkan seolah-olah bukan terzahir daripada mulut mereka yang bergelar pemimpin, yang seharusnya mesti memperlihatkan mereka lebih cerdik berbanding rakyat biasa, bukan menjadi lebih bodoh di mata umum.

Malah Khairy Jamaluddin yang terlihat pintar dan dikhabarkan bakal pemimpin masa depan juga seperti sanggup memperbodohkan diri sendiri apabila mengatakan "tak mengapa digelar macai, asalkan untuk mempertahankan Najib."
 
 
 
Jika diperhatikan, sejak timbulnya isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan saman Jabatan Kehakiman AS, kemandulan dan kemerapuan dalam memberi kenyataan di kalangan pemimpin yang menyokong Najib, jelas amat ketara.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa ramai pemimpin sanggup mengeluarkan idea-idea bodoh atau sedia kelihatan bodoh asalkan dapat dilihat menyokong Najib?

Kenapa semasa Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri misalnya, ketika kedua-dua pemimpin itu dikritik dan diserang, tidak kedapatan pula hujah-hujah dangkal dan merapu seperti sekarang daripada pemimpin bawahan yang mempertahankan mereka?

Begitu juga dengan ketua-ketua dalam parti pembangkang, mereka juga seringkali diserang dan dikritik, tetapi mengapa pemimpin yang mempertahankannya selalu tampil dengan hujah-hujah yang bernas, dapat diterima akal dan tidak bodoh di mata rakyat?

Apakah pemimpin-pemimpin yang melingkari Najib sekarang begitu rendah kualitinya berbanding era sebelumnya atau mereka yang berada di sebelah lagi satu?

Atau apakah ia disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan Najib begitu berat dan sukar untuk dipertahankan dan tindakan mereka mempertahankannya hanya semata-mata untuk menunjukkan masih ada yang setia bersama dengan Perdana Menteri?

Meskipun begitu, secara umumnya ada dua kelompok pemimpin yang mengelilingi Najib. Satu, mereka yang mulutnya lebih pantas bergerak daripada akalnya. Mereka inilah yang banyak merapu. Asal ada saja isu berkaitan Najib, terpacullah suara mereka. Yang penting bukan isi atau hujah yang dilontarkan, tapi kehadiran dalam memberikan sokongan.

Hujah selalu ditolak ke tepi. Sebab itu, dalam isu wang RM2,600 juta, macam-macam hujah lawak jenaka dapat kita dengar, sama ada sebelum atau selepas Najib mengakui wang tersebut benar-benar masuk ke akaun peribadinya.

Dalam kes saman Jabatan Kehakiman AS pula, sampai ada yang mengatakan ia kononnya percubaan campurtangan Amerika, Malaysia akan jadi Iraq kedua, mahu membunuh Melayu dan pelbagai hujah gila lainnya.
 
 
 
 
Kelompok kedua yang ada di keliling Najib juga ialah mereka yang diam dan hanya buat kerja sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC atau menjaga UMNO di bahagian masing-masing. 

Mustapha Mohamad dan Idris Jusoh adalah antara golongan kedua yang hampir-hampir tidak bersuara berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta atau saman Jabatan Kehakiman AS. Di kalangan timbalan menteri, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian juga ramai kelompok kedua ini.

Ada yang berkata, mereka adalah pemimpin yang pandai "main selamat" tetapi kerana tidak bersuara, mereka adalah antara yang tidak kelihatan bodoh di mata rakyat.

Apakah yang main selamat dan tidak mahu kelihatan bodoh itu lebih berpaksikan kepada prestasi kerja sebagai tanda sokongan kepada Najib atau kerana mereka juga mendapati sukar untuk berbuat demikian, lalu berdiam diri adalah pilihan terbaik, manakala yang bising-bising itu kerana tiada apa-apa kelebihan yang boleh ditonjolkan untuk terus kekal dengan jawatan? 
 
 
 

'Dakwaan PAS dapat RM90 juta dari Najib fitnah terancang'

Posted: 09 Aug 2016 05:32 AM PDT

MALAYSIAKINI


PAS negeri-negeri terus menyatakan bantahan terhadap dakwaan RM90 juta disalurkan kepada pemimpin parti itu oleh Datuk Seri Najib Razak.

PAS Kedah pula berkata dakwaan berdasarkan "kecurigaan meluas" itu tidak berasaskan bukti atau fakta dan berniat jahat.

"Ini kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh sebuah media yang boleh disifatkan sebagai penyalahgunaan medium.

"Malah, ia nyata bertentangan dengan etika profesionalisme entiti media.

"Oleh itu, ia layak dilihat sebagai satu jenayah," kata pesuruhjayanya Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi merujuk laporan Sarawak Report pada Sabtu.

Laman pembocor maklumat itu mendakwa Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Selepas diancam saman, pengarangnya Clare Rewcastle Brown semalam menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Beliau membangkitkan pendekatan PAS yang tiba-tiba mesra kepada Umno yang diketuai presiden 'King Of Cash' (raja wang tunai) dan dikaitkan dengan amalan korup.

Sarawak Report yang berpangkalan di London itu memainkan peranan penting membocorkan dakwaan-dakwaan berkaitan kontroversi 1MDB dan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama perdana menteri dan Najib sendiri menafikan menyalah guna wang untuk kepentingan peribadi.

Dalam kenyataannya, Ahmad berkata, mutakhir dilihat terdapat pihak-pihak tertentu menjadikan fitnah sebagai permainan, suka-suka, olok-olok serta gurauan.

"Ia berpotensi besar mengundang ancaman dan keburukan terhadap pihak yang difitnah, sedangkan pemfitnah bersikap sewenang-wenangnya," katanya.

Ahmad Fakhruddin juga menyokong cadangan supaya PAS menyaman laman itu.



OSA: Mahkamah putuskan 1 Sept jika Rafizi perlu bela diri

Posted: 09 Aug 2016 05:23 AM PDT

Hafiz Yatim  


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 September untuk memutuskan sama Naib Presiden PKR Rafizi Ramli perlu membela diri atas tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pagi ini dengan memanggil dua orang pegawai polis termasuk pegawai penyiasat itu.

Supt R Rajagopal merupakan saksi terakhir dipanggil oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar dan Zhafran Rahim Azfar.

Rafizi menghadapi dua pertuduhan di bawah OSA kerana mendedahkan dokumen rahsia yang kononnya dikaitkan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan 1MDB di lobi Parlimen pada 24 dan 28 Mac tahun ini.

Sebelum itu, DSP Aishah Be Abd Kadir, seorang pegawai forensik komputer mengesahkan bahawa satu unit pemprosesan pusat (CPU), komputer riba dan sebuah telefon bimbit Lenovo telah dirampas oleh pihak polis.

Saksi itu berkata, komputer riba dan telefon bimbit itu diambil dari rumah Rafizi di Bukit Antarabangsa, manakala CPU itu dirampas di pejabat PKR di Tropicana.

Ketika disoal oleh Shukor, Rajagopal berkata apa yang disiarkan di blog Rafizi berhubung dokumen LTAT adalah sama dengan kandungan halaman 98 laporan audit akhir mengenai 1MDB yang diklasifikasikan di bawah OSA.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seorang pegawai dari jabatan audit bernama Nor Salwani Muhammad, telah membuat laporan polis berikutan penemuan dokumen di blog Rafizi.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau meminta Nor Salwani membuat laporan itu selepas mendapati kebocoran berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memilih untuk mengklasifikasikan laporan audit akhir mengenai 1MDB di bawah OSA berikutan kebocoran laporan interim yang diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

DAP kecewa PAS tak mengundi pilih speaker Perak

Posted: 09 Aug 2016 05:18 AM PDT

MALAYSIAKINI





Pemuda DAP menyuarakan rasa kecewa mereka dengan sikap wakil rakyat PAS yang tidak mengundi bagi memilih speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Ketuanya Wong Kah Woh berkata, apa yang berlaku memaparkan "sikap sebenar PAS dalam pendirian politiknya", yang didakwa hanya akan memenangkan BN dalam pilihan raya.

Katanya, sejak 2013, komposisi BN-pembangkang dalam DUN Perak adalah 31-28 dan jika PAS bersatu bersama, pembangkang mampu memberi cabaran kuat kepada BN.

"Walaupun pada hari ini PAS tidak berada di dalam Pakatan Harapan, tetapi sekurang-kurangnya pada namanya ia suatu parti pembangkang," kata Wong.

"Akan tetapi, PAS telah memilih suatu pendirian berkecuali yang pada hakikatnya membantu calon BN untuk memenangi pemilihan speaker dewan negeri Perak dengan lebih mudah."

Bekas Ketua Wanita MIC Perak S Thangeswary dipilih sebagai speaker baharu menggantikan Datuk Seri SK Devamany yang meletak jawatan susulan dilantik menjadi timbalan menteri.

Pemilihan wanita pertama yang menjawat jawatan itu di Perak dibuat setelah memperoleh 30 undi berbanding calon pembangkang V Sivakumar (24 undi).

Empat wakil rakyat PAS berkecuali dalam pengundian hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Wong mendakwa PAS bersikap "degil" dan boleh mewujudkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

"PAS pada hari ini jelas lebih cenderung dan berhasrat untuk menerima pendamaian yang dihulurkan oleh Umno dalam Mesyuarat Agung Umno bulan Disember yang lepas," katanya.

Pemuda DAP turut menyelar sikap PAS yang bimbangkan campur tangan asing setelah Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menyita kira-kira RM1 bilion aset berkaitan 1MDB.

"Saya juga mencadangkan bahawa Pakatan Harapan atau mana-mana komponen parti, dari mana-mana peringkat, tidak perlu lagi untuk mengadakan apa-apa perbincangan sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi, sekiranya ada, pada masa hadapan dengan PAS untuk mana-mana isu.

"Sudah sampai masa supaya PAS balik ke dukungan Umno secara rasminya, katanya dalam kenyataan dari Ipoh

Bahaya buang puntung rokok di tengah jalan raya

Posted: 09 Aug 2016 05:13 AM PDT

Puntung rokok
Gambar Hiasan.
 

SIKAP segelintir pemandu jalan raya yang suka membuang sampah di tengah jalan raya ternyata suatu perkara yang amat mendukacitakan, bahkan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Perkara tersebut menjadi lebih membahayakan apabila sampah yang dibuang itu adalah puntung rokok kerana risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain menjadi lebih tinggi.

Bayangkan, sekiranya terdapat satu keadaan di mana pengguna jalan raya lain menghadapi masalah kebocoran minyak di mana-mana bahagian kenderaannya dan dalam masa sama ada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuang puntung rokok menghampiri kenderaan yang dipandu olehnya.

Maka kebarangkalian tinggi kebakaran besar boleh berlaku di tengah jalan raya.

Sekiranya dirujuk kepada negara jiran seperti Singapura, pelaksanaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuang sampah secara sesuka hati ternyata suatu hal yang amat baik telah dilaksanakan oleh negara tersebut (seperti membuang sampah keluar dari tingkap kereta di tengah jalan).

Penggunaan sistem pemantauan di tengah jalan raya ternyata suatu hal yang "menggerunkan" di negara tersebut kerana sekiranya berlaku "jenayah" pembuangan sampah di tengah jalan raya oleh mana-mana pengguna jalan raya, maka mereka boleh dikenakan hukuman seperti denda dan perlu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Senario ini membawa satu cadangan yang boleh dilontarkan kepada pihak kerajaan Malaysia iaitu menguatkuasakan undang-undang khas terhadap kesalahan membuang puntung rokok di tengah jalan raya seperti mengenakan saman, denda ataupun hukuman-hukuman lebih berat akibat sikap tidak
bertanggungjawab segelintir pengguna ini yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Sekiranya perkara ini dilaksanakan, maka kebarangkalian tinggi isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya oleh segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Malah, pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga sebenarnya boleh melaksanakan kempen media dalam memberikan kesedaran tentang bahaya isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya ini.

Dalam hal ini, perkara tersebut dirujuk sebagai salah satu intervensi berkesan dalam mendidik pengguna jalan raya supaya tidak melakukan perkara tidak bertanggungjawab tersebut sekali gus mengurangkan risiko bahaya perkara-perkara tidak diingini di jalan raya.


*  MOHAMAD HAFIFI JAMRI,Universiti Sains Malaysia


Bos Jakim cuba main, jumpa Pokemon di masjid

Posted: 09 Aug 2016 05:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


Walaupun mengakui bagus kerana membolehkan penggunanya beriadah, Tan Sri Othman Mustapha bagaimanapun berkata tempat-tempat ibadat tidak harus digunakan sebagai lokasi permainan.

Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang mencuba permainan itu sendiri, mendapati Pokemon turut berada di kawasan masjid dan surau.

"Permainan ini pada pendapat saya bagus kerana ia menggalakkan masyarakat beriadah sambil bersenam kerana memerlukan kita berjalan untuk mencari karektor tersebut, namun perlu ada hadnya," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama hari ini.

Pada pendapat beliau, pembangun aplikasi itu tidak begitu sensitif terhadap pusat ibadat yang tidak sesuai dijadikan gelanggang permainan maya itu.

Othman berkata adalah tidak elok pergi ke tempat-tempat ibadat hanya untuk bermain permainan itu dan kadang kala mendatangkan mudarat.

"Kita lihat di luar negara ada pemain yang memasuki kawasan privasi seperti rumah orang dan kawasan larangan hingga ke tahap ada yang tercedera dan meninggal akibat permainan tersebut," katanya seperti dilaporkan agensi berita itu.

Tinjauan Bernama di Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya mendapati kedua-dua tempat itu diletakkan sebagai tempat 'PokeStop', untuk mendapat hadiah.

Kedua-dua tempat ibadat orang Islam itu turut dijadikan 'PokeGyM', platform yang digunakan sebagai medan pertarungan pemain yang mencapai tahap tertentu.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata permainan Pokemon Go perlu dijauhi jika membawa kemudaratan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan pekeliling khusus berkaitan permainan Pokemon Go untuk penjawat awam.

Bagaimanapun, katanya, penjawat awam tidak dibenarkan bermain apa-apa permainan termasuk permainan dalam talian pada waktu bekerja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan berkata permainan maya itu akan dihalang penggunaannya jika mempunyai unsur perjudian dan pengintipan yang mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta pihak berkuasa mengkaji kesan buruk dan baik Pokemon Go dari aspek keselamatan dan sosial.



Demo 'tangkap MO1' turut dianjur di Johor, Sabah

Posted: 09 Aug 2016 05:07 AM PDT

MALAYSIAKINI


Selain himpunan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini, acara sama bagi mendesak tindakan pada "Malaysian Official 1" akan turut diadakan di Johor dan Sabah.

Kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai "Gabungan #TangkapMO1" berkata perhimpunan di Kota Kinabalu akan diadakan sama dengan acara di Kuala Lumpur pada 27 Ogos.

Manakala di Johor Bahru pula, menurut mereka, akan berlangsung lebih awal pada 13 Ogos "sebagai kempen menuju perhimpunan kemuncak".

Menyasarkan jumlah besar, jurucakap penganjur Anis Syafiqah Md Yusof berkata pihaknya telah menyusun beberapa siri ceramah bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu berkaitan 1MDB.

Ia, katanya, termasuk ceramah di Kelantan pada 13 Ogos, di Petak pada 20 Ogos, diikuti tempat-tempat lain seperti Pulau Pinang, Pahang dan Kedah.

Gabungan itu juga merancang flashmob serentak di seluruh negara pada 19 Ogos.

Selain itu, kempen di Internet pula menyeru orang ramai menukar gambar profil laman sosial masing-masing kepada logo kempen #TangkapMO1 yang boleh didapati melalui laman Facebook Tangkap MO1.

Anis berkata demikian dalam sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Selain mahu identiti M01 didedahkan, himpunan itu turut mahu individu itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam himpunan hujung bulan di ibu negara, mereka merancang berarak daripada beberapa tempat ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Terdahulu Jabatan Kehakiman (DOJ) memfailkan saman untuk menyita aset bernilai kira-kira AS$1.5 bilion yang berkaitan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 yang didakwa disalah guna dan aset lain yang terlibat termasuk rumah mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Selain anak tiri perdana menteri, Riza Aziz dan jutawan kontroversi Jho Low, nama M01 disebut 36 kali dalam saman sivil setebal lebih 100 halaman itu.

Pengkritik mendakwa M01 merujuk kepada Najib.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata DOJ hanya menyebut MO1 dan tidak menamakan Najib kerana beliau tidak terlibat atau menjadi sebahagian daripada siasatan.

Bongkar siapa MO1 atau jadi 'kabinet kleptokrat', kata Lim

Posted: 09 Aug 2016 05:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


Kabinet mesti membongkar dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bahawa seorang 'pegawai tinggi Malaysia' terlibat dalam pengubahan wang haram yang banyak, atau tercatat dalam sejarah sebagai "kabinet kleptokrat", kata Lim Kit Siang.

Pemimpin Parlimen DAP berkata kabinet juga perlu menyatakan jika individu yang hanya dikenali sebagai 'Malaysian Official 1' (MO1) dalam tindakan undang-undang yang difailkannya bulan lalu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

DOJ berkata 'Malaysian Official 1' tidak perlu dinamakan dalam tindakan undang-undang yang difailkan bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Ini kerana ia tidak diperlukan untuk memenuhi tujuan merampas aset berkenaan, kata DOJ.

'Malaysian Official 1' yang dinyatakan di dalam dokumen-dokumen mahkamah DOJ sebagai seorang pegawai kerajaan Malaysia berpangkat tinggi yang mempunyai kaitan dengan anak tiri Najib Riza Aziz, dan menerima AS$ 731 juta yang berasal dari dana 1MDB.

"Melainkan kabinet akan menafikan bahawa 'Malaysian Official 1' tidak merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib, dan mengekalkan reputasi Malaysia dan nama baik daripada dikotori tindakan DOJ, kabinet mesti membongkar aduan DOJ mengenai 'perlakuan jenayah" Malaysian Official 1 serta penyelewengan dan wang haram berbilion dolar yang dicuri dari 1MDB yang patut diguna untuk pembangunan," katanya.

Katanya, kabinet tidak boleh mencipta sejarah di Malaysia sebagai 'kabinet kleptokrat' tanpa mengambil tindakan serius untuk membersihkan nama negara.



Dun Sabah lulus rang undang-undang tambah 13 kerusi

Posted: 09 Aug 2016 04:38 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
Sidang Dun hari ini meluluskan 13 kerusi tambahan bagi pilihan raya negeri itu.Sidang Dun hari ini meluluskan 13 kerusi tambahan bagi pilihan raya negeri itu.
Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini meluluskan dua rang undang-undang yang akan menyaksikan peningkatan dalam bilangan kerusi pilihan raya negeri daripada 60 kepada 73, lapor Bernama.

Menurut laporan berita lain, daripada 55 Adun yang mengundi, hanya tiga - Dr Roland Chia (Inamam), Terrence Siambun (Moyog) dan Chan Foong Hin (Sri Tanjung) - menentang.

Adun Likas Junz Wong memilih untuk berkecuali manakala Adun Lahad Datu, Mohd Yusof Apdal tidak hadir semasa pengundian, lapor Malay Mail Online.

Kali terakhir persempadanan semula Sabah diadakan adalah pada tahun 2003.

BERSATU mahu idea bukan bumiputera, kata presiden

Posted: 09 Aug 2016 04:31 AM PDT

Alyaa Azhar


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

Presiden pro-tem itu juga mendedahkan bahawa parti baru berkenaan terbuka kepada semua kaum, tetapi mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding mana-mana jawatan atau mengundi pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, Muhyiddin menggesa semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum untuk menyertai BERSATU.

Berikut adalah jawapan beliau pada sidang akhbar itu:

Adakah terdapat keahlian berlainan untuk bumiputera dan bukan bumiputera?
Kami mahu menjadi inklusif. Walaupun (keahlian) mereka (bukan Bumiputera) tidak sama tetapi kita akan memberi mereka pengiktirafan.

Kami mahu mereka mainkan peranan dalam memberi idea, saya fikir mereka mempunyainya (idea). Jadi, kita akan mempunyai ahli biasa dan kita juga akan ada ahli-ahli bersekutu.

Berapa jumlah ahli BERSATU sekarang?
Tak boleh daftar lagi, kalau nak daftar besok kamu mohon.

Saya tahu di sini ada semangat dan jiwa yang sama, tunggu sahaja la. Kita harap bila sudah didaftarkan, seramai mungkin rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mpunyai semangat juang yang satu, maka eloklah jadi ahli BERSATU.

Ada kata pembentukan parti serpihan (Umno) akan pecahkan rakyat, khususnya orang Melayu?
Itu kenyataan yang biasa kerap dibuat kerana mungkin pihak-pihak tertentu mungkin berasa agak gusar.

Tapi yang penting dalam situasi negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat mempunyai kebijaksanaan utk memberikan sokongan atau tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang ada.

Tidak semestinya dia (BERSATU) menyebabkan perpecahan atau perbalahan kerana tujuan untuk adalah membina sebuah negara Malaysia yang adil, maju dan makmur.

Adakah mana-mana parti politik menyatakan minat untuk bekerjasama?
(Ya), secara tidak rasmi. Saya fikir tak sesuai untuk saya katakan (di sini).

Sebelum penubuhan parti juga kita (sudah) dapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, bukan pendapat kami beberapa orang sahaja.

Ia berdasarkan pandangan, termasuk pandangan beberapa parti politik yang saya rasa positif
dan menggalakkan.

Harap selepas parti didaftar secara sah, maka bolehlah adakan perbincangan lanjut untuk mewujudkan suatu kerjasama politik yang mapan.

Bagaimana sokongan daripada (ahli) Umno?
Saya tak harapkan sokongan dalam Umno sebab mereka ahli Umno. Saya faham kerana kami pun tahu sebagai bekas ahli Umno, ramai di kalangan ahli-ahli parti yang saya kenali itu menunjukkan perasaan yang tidak menggalakkan kepada saf kepimpinan yang ada.

Tetapi mereka tidak bersedia untuk nyatakan secara terbuka. Bagi saya skrg ini kita sudah mengadakan satu ruang baru, sebagai contoh, ini bukan sahaja untuk ahli Umno tetapi (kepada) siapa-siapa sahaja yang mpunyai matlamat yang sama.

Bagaimana pula hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Kita harap begitu. Bagi saya, kita tidak mampu untuk berjuang bersendirian.

Sebagai parti politik baru, saya fikir kita perlu menjalin hubungan kerjasama yang rapat dengan parti-parti yang lain.

Adakah Tun (Dr Mahathir Mohamad) atau Shafie Apdal dalam organisasi struktur parti?
Dalam struktur kita cadangkan ada jawatan pengerusi, yg paling layak dan sesuai ialah Tun sendiri.

Dan beliau sendiri mempunyai hasrat dan minat untuk membantu apa yang akan diperjuangkan oleh parti.

Parti ini menyokong himpunan BERSIH?
Apa sahaja usaha yang dibuat untuk menyatakan pendirian kita ataupun yang memperjuangkan soal hak dan kebebasan rakyat, seperti isu penyalahgunaan kuasa, dan juga isu rasuah, kita akan bersama-sama dengan mereka.

BERSATU akan lawan BN di Sarawak?
Kita bercakap seluruh Malaysia. Bermakna parti ini bukan parti untuk satu negeri sahaja, meliputi semua negeri.

Bukan bumiputra boleh jadi ahli bersekutu Bersatu, kata Muhyidin

Posted: 09 Aug 2016 04:24 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Muhyidin menunjukkan salinan perlembagaan BERSATU yang diserahkan kepada RoS hari ini.Muhyidin menunjukkan salinan perlembagaan BERSATU yang diserahkan kepada RoS hari ini.


Bangsa lain yang bukan bumiputera boleh menjadi ahli bersekutu dalam parti baru yang didaftar oleh Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Mereka punya hak sama kecuali untuk bertanding mana-mana jawatankuasa. Namun boleh dilantik untuk menganggotai mana-mana jawatan," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Selain Muhyiddin yang bakal menjadi presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusinya.

Keahlian parti ini terbuka kepada semua yang berstatus pribumi, Melayu dan bumiputera termasuk orang asli di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, sehingga kini sudah dua tokoh yang dikaitkan dengan gerakan Deklarasi Rakyat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menolak untuk menyertai parti ini.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, orang Melayu adalah liberal progressif, berhemah pintar, tinggi moral dan yakin.

Oleh itu, katanya, tidak ada keperluan untuk mencontohi Umno dalam mengingatkan mereka mengenai keperluan untuk membela hak atau bersatu.

"Apa yang perlu diingatkan kepada mereka ialah dunia (ini) luas.

"Bukan orang Melayu memerlukan Umno, tetapi Umno yang memerlukan Melayu. Samalah parti baru," katanya dalam satu posting di twitter petang ini.

Sebelum ini Datuk Seri Khairudin Abu Hasan juga menolak menyertai parti ini.

"Sebelum Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara bersendirian telah mengambil langkah proaktif memerangi skandal tersebut bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang.

"Sekiranya kita ikhlas untuk berjuang, tanpa sebarang jawatan politik pun kita boleh berjuang," katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Wartawan jatuh motosikal kerana Pokemon Go

Posted: 09 Aug 2016 04:20 AM PDT

BERNAMA
 
Pokemon go kini menjadi kegilaan bagi penguna Android di seluruh dunia.Pokemon go kini menjadi kegilaan bagi penguna Android di seluruh dunia.
Terlalu leka mengejar untuk menangkap 'charmander', karakter dalam permainan 'Pokemon Go', di sekitar kawasan perumahannya, seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang.

Azim, 25, (bukan nama sebenar) luka ringan di dagu dan lebam di badan.

Menurut Azim, kejadian berlaku semalam ketika beliau tidak bekerja dan bermain Pokemon yang dimuat turun sejak hari pertama permainan itu boleh didapati di Malaysia 6 Ogos lepas.

"Saya mula bermain pukul 5.30 petang,
dan tidak lama kemudian berjaya menangkap 'poliwag' dalam bilik di rumah di Taman Lembah Keramat.

"Semakin teruja, saya terus bersemangat untuk menangkap lebih banyak karakter Pokemon, dan apabila charmander muncul kira-kira 100 meter dari rumah, saya mengambil kunci motosikal dan menunggang secara perlahan mencari lokasi charmander menggunakan 'Go Radar'," katanya kepada Bernama.

Jelas Azim, jalan di sekitar kawasan perumahannya lengang ketika itu dan sambil memegang 'handle' motosikal dengan sebelah tangan dan tangan kiri memegang telefon bimbit, beliau menunggang perlahan.

"Tiba-tiba tayar motosikal termasuk lubang dan saya tak dapat mengawal motosikal sehingga terjatuh.

Mujurlah tak cedera teruk dan tidak ada kenderaan lain pada masa itu," katanya sambil menambah akan lebih berhati-hati selepas ini apabila bermain dengan permainan itu.

Setakat ini, beliau telah berjaya menangkap 30 karakter Pokemon Go, kebanyakannya di sekitar kawasan perumahan.

Pengguna Android dan iOS boleh memuat turun permainan maya itu secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Pokemon Go, yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA, mencetuskan gelombang baharu dalam permainan realiti berperantara dalam sejarah penciptaan aplikasi telefon pintar.

Ia merupakan permainan sembunyi-sembunyi konvensional di mana pemain perlu mencari dan berlawan dengan karektor maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar.

Aplikasi ini dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai tahun ini di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, sebelum merebak ke lebih 30 negara sekarang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas- Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, kegilaan terhadap permainan 'Pokemon Go' harus dibendung.

Langkah drastik perlu diambil bagi memastikan permainan tersebut tidak menjadi wabak yang terus memberi impak negatif kepada masyarakat, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di sini hari ini, Ghazali berkata, "Bila ada perkembangan teknologi seperti permainan Pokemon Go ini, kita bimbang sebab permainan ini dapat mempengaruhi minda seseorang terutamanya remaja.

"Sebenarnya Pokemon Go hanyalah permainan berbentuk ilusi tetapi dianggap benar dan dapat mempengaruhi remaja serta belia.

"Permainan ini kalau tak dibendung akan membawa perkara buruk dan mereka (pemain) tidak memikirkan soal keselamatan malah dikatakan dalam rumah ibadah pun wujud pokemon," katanya.

Dun Sabah: J/Kuasa Induk, J/Kuasa Teknikal kaji penurunan kuasa

Posted: 09 Aug 2016 04:15 AM PDT

BERNAMA
 
 
Sidang Dewan Undangan Negeri SabahSidang Dewan Undangan Negeri SabahSidang Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal telah ditubuhkan bagi mengkaji keperluan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang berkata Jawatankuasa Induk peringkat persekutuan berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar yang juga anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merupakan anggota Parlimen Batang Sadong, Sarawak Nancy Shukri.

Jawatankuasa Teknikal peringkat negeri Sabah juga dipengerusikan oleh Anifah, katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Wilfred M Bumburing (Bebas-Tamparuli).

"Antara perkara spesifik penurunan kuasa yang dirundingkan ialah untuk membenarkan supaya sebarang keputusan oleh pegawai-pegawai Persekutuan dibuat di peringkat negeri dan kerajaan negeri diberi peranan lebih besar dalam memutuskan projek-projek terutama berkaitan lokasi dan keutamaannya," katanya.

Beliau berkata turut dibincang secara spesifik oleh jawatankuasa berkenaan termasuk supaya temuduga untuk jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, terutamanya dalam profesion perguruan dan anggota polis diadakan bukan hanya di bandar-bandar tertentu tetapi juga di lokasi di kawasan luar bandar.

Turut dirundingkan, kata Teo ialah penurunan kuasa pendakwa raya di bawah Kanun Acara Jenayah kepada Peguam Negeri untuk mendakwa kesalahan-kesalahan di bawah mana-mana ordinan atau enakmen negeri.

Katanya turut dirundingkan jawatankuasa berkenaan ialah Sabah dan Sarawak hendaklah mempunyai peranan untuk melulus dan mengeluarkan permit perikanan laut dalam.

Sementara itu, katanya cadangan jawatankuasa berkenaan dalam soal penurunan kuasa yang boleh dilaksanakan segera adalah untuk memastikan supaya fungsi-fungsi agensi kerajaan negeri dan persekutuan tidak bertindih.

Katanya cadangan lain yang boleh dilaksanakan segera adalah sebarang pewujudan agensi baharu perlu dirundingkan dengan kerajaan negeri selain ketua jabatan dalam kalangan rakyat Sabah perlu ditambah, dan memberi mandat kepada pegawai-pegawai persekutuan di Sabah untuk membuat keputusan.

'Tarik balik dakwaan sebelum saya lapor polis'

Posted: 09 Aug 2016 04:09 AM PDT

SINAR HARIAN


kecoh lepas lawan
Penyokong JDT dan Perak membaling objek selepas tercetusnya pergaduhan setelah tamat perlawanan Liga Super di Stadium Perak, pada 6 Ogos lalu. - foto Bernama


IPOH - Jurufoto akhbar New Straits Times Press (NSTP) yang cedera dipukul dalam kekecohan selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu, hari ini menafikan dakwaan ia lakonan yang dirancang.

Supian Ahmad, 36, berkata pelbagai tuduhan dilempar ke atasnya menerusi laman sosial termasuk mendakwa beliau dibayar untuk melakukan perkara itu dan menipu kamera miliknya dirampas penyokong JDT.

"Saya juga dikatakan orang Perak, sedangkan saya bukan orang Perak ...itu adalah fitnah terhadap saya dan pengamal media lain juga difitnah sebagai suka menipu.

"Sebagai pihak berkecuali saya terkilan kenapa saya dipukul dan diserang? Saya harap pihak berkenaan menarik balik dakwaan sebelum saya membuat laporan polis," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam insiden di Stadium Perak Sabtu lalu, Supian dilaporkan diserang penyokong JDT di tengah padang selain dipijak di beberapa bahagian badan, manakala kamera bernilai kira-kira RM30,000 miliknya dirampas.

Menurutnya, kamera itu telah ditemukan semula di atas padang oleh seorang petugas media ketika polis melakukan pemeriksaan.

"Gambar dalam kamera masih ada dan kerugian yang saya alami lebih RM1,000 kerana 'filter' kamera rosak dan komputer riba pecah sedikit," katanya.

Susulan serangan ke atasnya, Supian berkata, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam semalam selain menyerahkan beberapa bahan bukti termasuk gambar serta video untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak Sayed, Mohd Hesham Sayed Idris berkata, satu akta perlu diwujudkan bagi melindungi pengamal media ketika menjalankan tugas.

"Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana pengamal media diserang tanpa sebab, kita tidak sokong mana-mana pasukan, kita berada di pihak yang berkecuali," katanya. - Bernama


Muhyiddin serah borang pendaftaran Parti Bersatu

Posted: 09 Aug 2016 04:05 AM PDT

Muhyiddin serah borang pendaftaran Parti Bersatu
Muhyiddin ketika ditemui media di perkarangan pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), hari ini.


PUTRAJAYA - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan dokumen permohonan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), di sini.

Beliau turut ditemani empat ahli jawatankuasa penaja parti itu iaitu bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin, Presiden Gabungan ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman, pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Akhramsyah Sanusi.

Permohonan parti baharu tersebut diserahkan kepada Penolong Pengarah ROS, Rosliza Mahidi.

Derita enam tahun didera ibu terbongkar

Posted: 09 Aug 2016 04:03 AM PDT


Derita enam tahun didera ibu terbongkar
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud melawat mangsa di HSNZ, di sini, hari ini.


KUALA TERENGGANU - Penderitaan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sendiri selama hampir enam tahun, akhirnya terbongkar setelah berjaya diselamatkan abangnya.

Mangsa adalah anak ketiga daripada empat beradik itu berasal dari Kampung Wakaf Dua, Marang, turut dipercayai menjadi mangsa dera bapa tirinya.

Menurut saudara terdekatnya, penderitaan mangsa terbongkar apabila abangnya yang berusia 18 tahun telah menceritakan perbuatan ibu dan bapa tiri mereka kepada salah seorang rakannya.

Abang mangsa kemudiannya bertindak membawa adiknya itu ke sebuah klinik di Chendering, Kuala Terengganu setelah melihat keadaan adiknya yang semakin teruk, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kira-kira jam 4.20 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa mengalami kesan kecederaan di seluruh badan dan remaja itu memaklumkan dia sering didera ibu dan ayah tirinya.

"Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan, ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Jelasnya, ibu dan ayah tiri remaja berkenaan yang masing-masing berusia 35 dan 46 tahun telah ditahan pagi tadi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.


Pasangan muslim diarah turun pesawat kerana sebut ALLAH

Posted: 09 Aug 2016 03:59 AM PDT

SINAR HARIAN
Pasangan muslim diarah turun pesawat kerana sebut ALLAH
 

OHIO - AMERIKA SYARIKAT. Sepasang suami isteri Muslim diarahkan turun dan meninggalkan pesawat hanya kerana menyebut perkataan ALLAH.

Nazia Ali dan suaminya, Faisal menaiki pesawat Delta Airline dalam perjalanan pulang ke Ohio dari lawatan ke London dan Paris selepas menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 10.

Memetik Washington Post, salah seorang krew penerbangan memberitahu juruterbang, pasangan Muslim berkenaan yang duduk di kelas ekonomi telah menimbulkan perasaan kurang senang.

Krew penerbangan tersebut mendakwa Nazia menggunakan telefon bimbit dan memakai tudung manakala suaminya sedang berpeluh-peluh.

Menurutnya lagi, dia turut mendengar pasangan itu menyebut perkataan ALLAH.

Susulan dakwaan itu, juruterbang memutuskan untuk tidak berlepas sehinggalah pasangan tersebut dikeluarkan daripada pesawat.

"Kami berada di tempat duduk kami selama 45 minit sebelum pegawai lapangan terbang meminta kami turun bersama untuk bertanya beberapa soalan.

"Adakah anda mahu kami membawa barangan kami dan pegawai berkenaan menjawab 'ya, anda tidak akan menaiki pesawat ini," kata Nazia.

Tambah Nazia lagi, ia sdalah satu penghinaan

"Kami dilayan seperti penjenayah.

"Kami adalah rakyat Amerika. Anda tidak boleh melakukan ini kepada kami, " katanya yang berasal dari Pakistan dan merupakan rakyat AS selama 16 tahun.

Berikutan insiden ini, kumpulan memperjuangkan hak Muslim menyifatkan tindakan menghalang pasangan itu menaiki pesawat pada 26 Julai dari Paris ke  ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cincinnati Northern Kentucky adalah sebagai 'pemprofilan agama'

Wakil Majlis Perhubungan Amerika-Islam Cincinnati, Sana Hassan mengesa kerajaan AS mengambil tindakan dan mengumumkan rancangan untuk menfailkan aduan terhadap Delta Airline kepada Jabatan Pengangkutan AS.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Washington Post, syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya mengutuk diskriminasi berkaitan hal umur, bangsa, kewarganegaraan, agama, orientasi seksual atau jantina.

"Sebagai syarikat penerbangan global yang membawa beratus-ratus ribu penumpang setiap hari, Delta sangat komited untuk memberikan khidmat dengan rasa hormat kepada semua pelanggan kami.

"Delta akan menyiasat perkara ini dan akan memberi bayaran balik kepada pelanggan," petik kenyataan.

Memetik AP, pasangan itu mendapat bayaran pampasan untuk bilik hotel dan terbang semula pada hari berikutnya.


Jangan pandang rendah parti Muhyiddin

Posted: 08 Aug 2016 10:49 PM PDT

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


KOTA BHARU - Barisan pucuk pimpinan BN tidak boleh memandang rendah keupayaan parti baharu bakal dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan beliau.

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, sekiranya parti baharu bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain terutama Pas dan Pakatan Harapan menentang BN, ia bakal membawa masalah besar kepada parti pemerintah itu.

Menurutnya, walaupun ramai mengatakan parti baharu itu wujud kerana tidak puas hati dan survivalnya tidak akan bertahan lama, tetapi jika mereka tekad dalam memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, ia pasti mendapat tempat.

"Sekiranya mereka ada visi jelas terutama memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, menjaga kebajikan semua lapisan rakyat termasuk generasi muda, pastinya ia akan memberi kesan di hati penyokong.

"Ia juga boleh membuat reformasi sistem politik dan pentadbiran negara supaya lebih telus dan terbuka selain bertanggungjawab kepada rakyat.

"Jika perkara itu dilakukan parti baru itu, ia boleh memberi kesan kepada BN dalam PRU14 nanti," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin akan daftar parti dalam masa terdekat]

Berkenaan ciri-ciri kepimpinan sama ada hebat atau tidak dalam parti baharu itu, jelasnya, ia subjektif dan tidak boleh dipandang remeh.

"Kalaulah mereka ini tidak hebat, macam mana kita lantik mereka sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan menteri besar sebelum ini.

"Buat masa ini, survival parti baru sama ada bertahan atau sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan dan kemampuan pemimpin mereka merancang strategi," katanya.


Polis cekup suspek kedua cuba samun stesen minyak di Setapak

Posted: 08 Aug 2016 10:42 PM PDT

 
 
PDRM
PDRM
 
 
Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki pemilik pistol yang digunakan dalam satu kejadian cubaan menyamun di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, di sini, petang semalam.
 
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Setapak pada pukul 11.30 malam tadi.
 
Katanya, suspek ditahan berikutan maklumat hasil soal siasat ke atas suspek samun yang ditangkap orang ramai di lokasi kejadian. 
 
"Kita menangkap suspek selepas suspek pertama mendakwa pistol jenis Revolver yang digunakan untuk samun sebenarnya dipinjamkan oleh rakannya.
 
"Hasil siasatan polis mendapati suspek kedua mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan pemilikan senjata berjadual. 
 
"Pemeriksaan lanjut polis mendapati nombor siri pada pistol itu telah dikikis dan senjata itu kini dianalisa di makmal forensik untuk mendapatkan nombor siri yang dipadamkan," katanya dalam satu sidang media di sini.
 
Tambah beliau, suspek pertama direman selama tujuh hari dan suspek kedua pula ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.
 
Dalam perkembangan sama, tambah beliau, dalam kejadian sekitar pukul 6 petang itu, suspek yang bersenjatakan pistol pergi kaunter pembayaran yang terletak di dalam stesen minyak sebelum mengacukan pistol ke arah seorang pekerja warga Bangladesh.
 
Katanya, suspek terus mengugut pekerja itu untuk menyerahkan satu balang berisi wang tunai tetapi pekerja itu enggan berbuat demikian. 
 
Beliau memberitahu, keengganan pekerja itu memberi kerjasama menyebabkan suspek hilang sabar sebelum bertindak merampas balang yang mengandungi wang hasil jualan kad pra bayar berjumlah RM350 sebelum mereka bergelut.
 
"Ketika itu, dua lagi rakan sekerja mangsa Bangladesh itu yang berada di situ menerkam suspek dari arah belakang sebelum suspek melepaskan tiga das tembakan 
 
"Satu das tembakan itu mencederakan pinggang kiri salah seorang pekerja tersebut.
 
"Ekoran daripada pergelutan itu juga, suspek patah kaki kiri sebelum berjaya dicekup dengan bantuan orang awam di situ," ujarnya sambil mengesahkan suspek dan mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) .
 
 

Yusuf Qardhawi sudah lama haramkan Pokemon

Posted: 08 Aug 2016 10:40 PM PDT



Ada satu status media sosial seorang isteri marah-marah dan mahu mencari siapa yang mencipta permainan Pokemon Go.

Dia kata, kalau jumpa individu tersebut dia akan belasah cukup-cukup kerana menyebabkan dia 'kehilangan' kasih sayang suaminya.

Puncanya, suaminya sudah ketagih bermain Pokemon Go dan selalu keluar awal pergi kerja dari rumah atas alasan mahu 'menangkap' seberapa banyak Pokemon sepanjang perjalanan.

Entah betul atau tidak tetapi ia salah satu 'tanda' ia menjadi trend di Malaysia sejak dilancarkan dan Pokemon Go hasil ciptaan Google kini menjadi fenomena sosial di seluruh dunia.

Satu kes di Singapura, ada sebuah masjid di sana siap dengan papan kenyataan siapa mahu menangkap pokemon di sini sila solat tahiyatul masjid dahulu.

Di Amerika Syarikat lagi teruk, ada suami isteri ditahan polis kerana membiarkan anak mereka berseorangan di rumah berjam-jam kerana pasangan itu pergi 'menangkap' Pokemon.

Permainan berbentuk aplikasi telefon pintar dan android itu bukan sahaja digemari kanak-kanak tetapi sampai bapa budak pun ikut sama ketagih terutama yang 'mengenali' Pokemon atau Pocket Monster itu dalam bentuk animasi pada pertengahan 1990-an.

Bagaimanapun apabila ia Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mahu masyarakat Islam 'menjauhkan' diri daripada permainan itu menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Ia digambarkan seolah Zulkifli menfatwakannya haram dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula.

Di alam maya, ada netizen yang menyokong tetapi ramai yang menempelak mufti dan JAKIM sambil mendakwa golongan agama lebih memikirkan Pokemon Go tetapi 'melupakan' isu lebih besar seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Malah ada mempolitikkan isu yang sama sehingga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asayraf Wajdi Dusuki sendiri menasihati supaya masyarakat menghormati pandangan mufti yang membuat kenyataan berdasarkan maslahah umat.

Bagi penulis, pandangan Mufti Wilayah merupakan satu pendapat yang mengambilkira semua aspek termasuk fatwa-fatwa di negara lain yang sudah lama mengharamkan Pokemon termasuk Ketua Persatuan Ulama Dunia, Dr. Yusuf Al Qardhawi sendiri pada tahun 2001.

Alasan yang beliau nyatakan ialah demi menjaga akal, akidah dan tingkah laku kanak-kanak dan juga harta mereka daripada pembaziran selain mengkritik tindakan ibu bapa yang membenarkan tindakan anak-anak mereka dalam isu yang sama.

Selain itu, risiko bahaya ke atas akidah seseorang Muslim kerana Pokemon terbina di atas teori Darwin yang terkenal dengan idea evolusi, perkembangan dan perubahan organisma mengikut persekitaran dan zaman.

Ia juga dianggap Yusuf merbahaya kepada akal kanak-kanak kerana ia dibina atas dasar akal dan naqli semata-mata. Ketika fatwa itu dibuat belum ada Pokemon Go cuma ada animasi dan permainan biasa melibatkan gergasi comel berasal dari Jepun.

Sementara itu, wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Prof Dr. Abbas Syuman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menggalakkan remaja Muslim suka dengan bermain Pokemon Go kerana membawa kepada ketagihan.

Apa pun perlu diingat, pandangan ulama mengenai Pokemon perlu dibuat kerana ia perkara baharu di negara ini dan bukan bermakna mereka 'merestui' perkara mungkar seperti rasuah dan penyelewengan kuasa yang sudah tentu salah.

Itu peranan ulama dan mufti di negara kita dan wajar kita menghormatinya walaupun kerajaan sehingga kini masih tidak ada sebarang peraturan menghalang Pokemon Go kerana sebarang tindakan kerajaan memerlukan bukti, fakta dan kesan terlebih dahulu.

Janganlah kerana Pokemon Go, ada antara kita yang beragama Islam ini meremehkan ulama yang tugasnya menyambung perjuangan anbia.--MalaysiaGazette


Kenapa yang buruk diviralkan seolah-olah Puteri gedik? – Mas Ermiyatie

Posted: 08 Aug 2016 10:35 PM PDT

 
 
Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
 
 
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyatie Samsuddin kesal apabila kesilapan tak disengajakan oleh Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu diviralkan oleh pihak tertentu sedangkan banyak lagi perkara baik yang telah dilakukan tidak dihebohkan.

"Kenapa kesilapan itu diviralkan seolah-olah Puteri UMNO memang suka berbuat demikian supaya dilihat gedik oleh masyarakat khususnya parti pembangkang.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya kalau ada yang kata Puteri UMNO Bahagian memang merancang membuat tarian tersebut sedangkan perbuatan itu sebenarnya tidak disengajakan malah Ketua Puteri bahagian tersebut, Wan Salmiah Wan Abd Ghani  telah pun memohon maaf," katanya.

Mas Ermiyatie ditemui selepas menyaksikan teater di bawah Biro Pembangunan Kreatif Puteri UMNO di Istana Budaya malam tadi sempena sambutan ulang tahun ke 15 penubuhan sayap kiri parti Melayu itu.

Turut hadir, bekas Ketua Puteri UMNO kedua, Datuk Rosnah Mohd. Sirlin dan bekas Ketua Puteri UMNO ketiga, Datuk Noraini Ahmad.

Pada menyuarat UMNO Bahagian Kota Bharu Jumaat lepas, empat orang ahli Puteri UMNO telah membuat tarian gelek di dalam dewan sebelum majlis bermula.

Rakaman yang dipercayai dilakukan oleh ahli UMNO itu kemudiannya telah diviralkan dan  mendapat perhatian di seluruh negara.

Kesannya, pihak parti pembangkang telah mengambil kesempatan mengatakan Puteri UMNO memang sengaja berbuat demikian kerana Puteri bersifat gedik.

"Saya tak tahu sama ada yang merakam video tersebut ahli UMNO atau tidak tetapi kalau bukan ahli UMNO, siapa lagi yang akan datang ke mesyuarat tersebut?

"Bagi saya adalah tidak adil memandang buruk terhadap Puteri UMNO hanya kerana tarian tersebut kerana kami juga sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca Yassin, tahlil, berzanji dan banyak lagi tetapi tidak pula ada pihak yang nak viralkan," tegasnya.

Tambah Mas Ermiyatie lagi, Puteri UMNO akan berjumpa dengan pucuk pimpinan parti sekiranya diperlukan untuk memberi penerangan.– MalaysiaGazette


Belum pernah ada pesakit ketagih ketum - Dr. Rusdi

Posted: 08 Aug 2016 10:33 PM PDT

Malaysia Gazette
 
 
Dr. Rusdi Abd. Rashid
Dr. Rusdi Abd. Rashid 
 
 
Kerajaan sewajarnya meminta universiti-universiti tempatan menjalan kajian terperinci tentang baik atau buruk cadangan mengkomersialkan daum ketum sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Setakat ini, baik atau buruk kegunaan daun ketum dalam perubatan tradisional tidak dapat dibuktikan kerana daun herba ini sering kali diberi stigma negatif.

Lantaran itu, menanam, membawa atau memiliki daun ketum didapati menyalahi undang-undang di bawah Akta Racun.1952.

Daun ketum yang menghasilkan air ketum seringkali dikaitkan dengan ketagihan tetapi sehingga hari ini belum ada kajian yang membuktikan air ketum jika diminum tanpa dicampurkan akan menyebabkan ketagihan.

Bagaimanapun, kesannya berbeza jika mencampurkan air ketum yang direbus dengan air berkarbonat, ubat batuk, ubat nyamuk atau ubat gegat untuk mendapat kesan khayal yang tinggi, meskipun campuran itu adalah racun kepada tubuh.

Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr. Rusdi Abd. Rashid berkata, ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah tumbuhan herba yang digunakan secara tradisional untuk merawat sakit sendi, membunuh cacing dan merawat cirit-birit.

Para penternak juga menggunakan daun ketum bagi haiwan peliharaan agar dapat membunuh cacing hingga menjadikan ternakan gemuk. Selain itu, daun ketum turut digunakan sebagai penahan sakit, mengurangkan kerisauan dan antiseptik.

Kepelbagaian kegunaan daun ketum dalam perubatan menyebabkan pokok herba ini dieksport oleh Eropah dan Amerika Syarikat.

"Sebab itu apabila Risda berhasrat untuk mengkomersialkan tanaman pokok itu, pada pandangan saya, ia tidak sepatutnya dijadikan halangan.

"Bagaimanapun, kita perlu faham sentimen kerajaan yang khuatir tanaman ketum ini akan dijadikan bahan ketagihan," katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Beliau yang terlibat dalam kajian kesan daun ketum dalam kemurungan pada tahun 2010 di Alor Setar dan Kuala Kedah mendapati 60 peratus pengguna air ketum adalah dalam kalangan penagih dadah opiat bagi mengurangkan kesan ketagihan.

Sebanyak 20 peratus lagi golongan tua yang mengalami sakit sendi dan bakinya dalam kalangan pelajar sekolah dengan tujuan berseronok.

Katanya, golongan penagih dadah opiat menggunakan daun ketum dalam mengatasi ketagihan dan penggunaan daun ini sebenarnya lebih baik daripada methadone yang menyebabkan najis keras, toksik dan bahaya pada peringkat awal pengambilan serta kos lebih tinggi.

Dr. Rusdi berkata, pengambilan daun ketum dalam kalangan penagih dadah inilah menyebabkan masyarakat telah memberi pandangan negatif terhadap daun itu walaupun penggunaannya dalam perubatan tradisional bukan baru.

Beliau akui, kebanyakan penagih heroin mengambil air ketum untuk mengurangkan ketagihan kerana daun ini mengandungi alkolaid bahan dalam ubat batuk dan ubat mengantuk serta agen stimulant yang memberi tenaga.

Namun kandungan daun ketum yang mempunyai urat putih, hijau dan merah adalah berbeza.

Beliau yang pernah sekali merasai air ketum semasa menjalankan kajian memberitahu, rasa airnya sangat pahit dan apabila diminum badan rasa segar.

Berpengalaman bertugas sebagai doktor perubatan di Kedah sebelum ini, Dr. Rusdi berkata, dulu ada pesakitnya yang mendakwa mengambil air ketum untuk mengawal kencing manis sehingga tidak perlu mengambil ubat.

"Masalah daun ketum ini berlaku apabila penagih menggunakannya, sedangkan setakat ini saya tidak pernah didatangi pesakit kerana ketagih ketum," ujarnya.

Beliau berpendapat, cadangan Risda untuk mengkomersialkan ketum untuk eksport wajar diberi pertimbangan mengambil kira kejatuhan harga getah.

"Saya percaya sudah tentu ada kebaikan daun ini sebab itu ia wujud di muka bumi itu dan khusus di sebelah utara, lantaran itu kajian terperinci mengenai kegunaan daun ketum perlu dilakukan.

"Dan bukannya kita tebang semua pokok ketum yang ada, semata-mata untuk menangani ketagihan, pupuskan anugerah yang Allah kurniakan. Kita boleh gunakannya cuma jangan salah guna.

"Ubat-ubat lain pun kalau diambil secara tidak betul juga membahayakan.

"Thailand sudah lama eksport daun ini. Risda juga boleh buat demikian, mungkin lagi mudah untuk mengawalnya jika untuk eksport semata-mata, " tambahnya. - MalaysiaGazette


PAS tidak sokong, punca Ahmad Said gagal bawa usul tak percaya pada MB Terengganu

Posted: 08 Aug 2016 10:26 PM PDT

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Satu-satunya faktor yang menggagalkan usul undi tidak percaya oleh ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman adalah tidak dapat sokongan pembangkang terutamanya PAS.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata PAS menerusi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak dari awal menyatakan betapa parti itu tidak akan melibatkan diri dengan krisis kepimpinan Umno Terengganu.
 
Hadi berkata PAS tidak akan menangguk di air yang keruh dan meminta Umno negeri itu menyelesaikan segera pertikaian dalaman parti mereka.
 
"Paling utama kenapa usul undi tidak percaya tidak dibawa oleh Datuk Seri Ahmad Said kerana beliau tahu bahawa beliau tidak dapat sokongan parti pembangkang terutama sekali PAS.
 
"PAS menyatakan pada awal lagi mereka tidak mahu Ahmad Said apabila dikatakan kalau keluar Umno akan diterima sebagai ahli PAS jadi itu sebab utama kenapa tidak berlaku usul undi tidak percaya walaupun dikatakan berita khabar angin beliau akan melakukannya," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Bagaimanapun, pendirian yang dilontar Hadi tidak senada dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
 
Kedua-dua tokoh ulama itu berkata PAS bersedia untuk mengambil alih Terengganu dan sedia menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif, jika ia benar-benar dibawa Ahmad Said.
 
Malah Nik Zawawi menegaskan pendirian itu bukanlah pendapat peribadi Tuan Ibrahim sebaliknya ia adalah pegangan rasmi PAS.
 
Tambah kusut, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Ahmad Said untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.
 
Takiyuddin senada dengan Hadi, memilih untuk menukar sesebuah kerajaan menerusi cara demokrasi menerusi pilihan raya umum (PRU).
 
Mengulas lanjut, Azmi menambah PAS belum bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.
 
"Apa yang berlaku empat bulan lepas ketika pertama kali menyatakan usul tidak percaya di DUN Terengganu dan hari ini juga dikatakan sama yang sebenarnya tiada sokongan daripada parti pembangkang.
 
"Kita lihat PAS itu sendiri tidak mahu melihat Pilihan Raya Negeri dilakukan kerana mereka juga belum bersedia kerana ini mereka memikirkan membuang masa dan wang sahaja," katanya lagi.
 
Ahmad Said sebelum ini mengugut untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif dan menimbang untuk keluar parti jika terpaksa seraya berkerjasama dengan PAS.
 
Ujarnya Ahmad Razif lemah dan tidak layak memegang jawatan sebagai menteri besar.
 
Bagaimanapun, Ahmad Said yang hadir pada sidang DUN Terengganu hari ini memberitahu beliau berseorangan dan mustahil untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif.
 
DUN Terengganu hanya bersidang separuh hari, sebelum melabihkan tirainya sekitar jam 12.30 tengahari, hari ini.
 
 

PAS Selangor turut kecam tuduhan Sarawak Report

Posted: 08 Aug 2016 10:23 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor turut mengecam tuduhan Sarawak Report yang mendakwa pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.
 
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dakwaan itu bukan berdasarkan fakta atau bukti  tetapi hanya bersandarkan kepada 'kecurigaan meluas' tanpa ada bukti kukuh.
 
Malah beliau menyifatkan tuduhan ini sekadar khabar angin yang diwujudkan pihak tertentu untuk memburukkan parti.
 
"Khabar angin yang kami yakin diwujudkan oleh mereka yang berniat jahat untuk memburukkan PAS.
 
"Kami juga yakin rakyat akan menolak dakwaan ini kerana ia adalah tidak lebih dari 'sembang-sembang kedai kopi'," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS dalam satu kenyataan ringkas.
 
Beliau menambah, jika 'sembang-sembang kedai kopi' boleh dianggap sebagai bukti yang kukuh, maka masyarakat akan menjadi huru-hara.
 
 

Muhyiddin daftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini

Posted: 08 Aug 2016 10:20 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mendaftar parti politik baru yang diberi nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia, pada jam 3.30 petang ini di Putrajaya.
 
Ahli Jawatankuasa Protem, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan perkara itu dan memberitahu dokumen pendaftaran parti baru yang akan dikenali sebagai 'Bersatu' itu akan diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Ditanya mengenai sama ada parti politik baru itu akan dianggotai oleh kaum Bumiputra, beliau mengesahkan bahawa ia menggunakan "model berasaskan Bumiputra".
 
Bagaimanapun katanya terdapat perkara-perkara lain mengenai model itu namun tidak boleh didedahkan buat masa ini.
 
"Ia adalah satu model yang sangat menarik. Sila tunggu mengenainya," katanya yang dipetik mStar Online.
 
Dijangka bahawa Muhyiddin akan menerajui parti baru itu sebagai presiden, manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusinya.
 
Setelah mendaftar, parti itu akan dianggap sebagai kumpulan serpihan Umno kerana ramai ahlinya dijangka dikalangan bekas ahli Umno.
 
 

Tiada ulasan: