Khamis, 25 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PKR tegas, Wan Azizah Ketua Pembangkang bukannya Muhyiddin

Posted: 25 Aug 2016 05:58 AM PDT



(Bicara News) – PKR menegaskan tiada keperluan melantik bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang baharu.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan perkara itu, malah ia bukan topik penting untuk diketengahkan.

Beliau berkata PKR tetap dengan pendiriannya mengekalkan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang dalam menerajui Pakatan Harapan.

"Sekarang bukan soal siapa ketua pembangkang (baharu) sebab ketua pembangkang telah pun ada iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Tidak ada cadangan untuk tukar (ketua pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan dan borang 5A Kampung Sungai Yu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang memetik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai berkata bahawa Muhyiddin boleh dilantik menjadi ketua pembangkang sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia komited dengan agenda reformasi.

Pada 9 Ogos lepas, Muhyiddin dan beberapa bekas pemimpin UMNO mendaftarkan parti itu, yang dikritik sebagai serpihan UMNO dan tanpa motif jelas penubuhannya.


PAS Selangor tolak Muhyiddin jadi Ketua Pembangkang

Posted: 25 Aug 2016 05:56 AM PDT


(Agenda Daily) – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah perlu dikekalkan selaku Ketua Pembangkang dan tidak timbul nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang layak menerajui kumpulan pembangkang apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRIBUMI) diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kelak. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata perkara itu tidak patutpun dibincangkan pada ketika ini, sebaliknya tumpuan pembangkang perlu diberikan kepada persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

"Pada pandangan saya, apa yang ada pada hari ini perlu dikekalkan, blok pembangkang seharusnya perlu bekerja kuat untuk mencapai kemenangan terlebih dahulu.

"Lepas PRU14, bincanglah siapa pun nak jadi ketua pembangkang atau perdana menteri. Sebaiknya yang mengetuai blok pembangkang juga merupakan ketua pembangkang di Parlimen," kata Dr Ahmad Yunus pada Jumaat.

Menurut beliau adalah tidak sesuai pembangkang membincangkan tentang kredibiliti Muhyiddin memandangkan kemampuan beliau dalam memperjuangkan reformasi masih belum jelas 

"Saya belum nampak komitmen beliau. Beliau terlalu baru untuk dilihat kekuatannya membawa reformasi. Saya khuatir, blok pembangkang semakin berpecah," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei menegaskan kepimpinan PKR di Selangor akan mengikut keputusan dibuat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam isu pemilihan ketua pembangkang.

Menurutnya, pihaknya dan parti di peringkat negeri akan akur pada keputusan kepimpinan pusat.

"Pastinya perkara ini akan dibincangkan, diperhalusi dan diputuskan setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalam parti.

"Tidak timbul isu Muhyiddin layak atau tidak bagi memegang jawatan sebagai ketua pembangkang," katanya.

Kelmarin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, selagi syarat utama (reformasi) dihormati.


PKR Sedia Serah Kerusi Kalah Kepada Pribumi, PAS Kata Tak Mengapa Lawan 3 Penjuru

Posted: 25 Aug 2016 05:43 AM PDT

MALAYSIA TODAY


pkr_bersatu_pas


(Malaysian Digest) – PKR menyambut baik hasrat Presiden Parti Pribumi Malaysian (Pribumi) Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin bertanding kerusi pakatan pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, PKR akan memperuntukkan kerusinya kepada Pribumi "asalkan bukan kerusi yang kita sudah menang.".

"Takkanlah kerjasama kita tak berkongsi kerusi. Kalau tidak, kita tak katakan kerjasama. Kita kena rasional.

"Kerusi dia (Pibumi) boleh menang, dia ambil, kita (PKR) boleh menang kita ambil," katanya dipetik portal berita.

Tian Chua berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang ingin berbincang dengan semua parti pembangkang termasuk PKR dan PAS bagi memperuntukkan sebahagian kerusi kepada parti baru berkenaan.

Kata Muhyiddin, satu perbicangan perlu dilakukan untuk mencapai konsensus antara semua parti pembangkang agar tiada pertembungan tiga penjuru yang akan menyebabkan perpecahan undi dan mengakibatkan hasrat menakluk Putrajaya terkubur.

PAS dalam pada itu menegaskan, pertandingan tiga penjuru tidak menjadi masalah tambahan pula ia mempamerkan konsep amalan demokrasi.

Kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, konsep satu lawan satu bukanlah formula terbaik untuk kesejahteraan politik Malaysia.

"Formula ini akan mengenepikan parti-parti kecil atau baru yang sebenarnya mewakili segmen pengundi tertentu, malah formula ini juga tidak menyumbang kepada usaha menyuburkan demokrasi," tegasnya.

Beliau menegaskan PAS akan berbincang dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang membentuk Gagasan Sejahtera dalam menentukan pembahagian kerusi pada PRU14 sebelum berbincang dengan PKR.

"Manakala dengan Bersatu pula, setakat ini tiada pakatan dengan PAS," kata Zuhdi.

Maybank: OPR mungkin diturunkan lagi

Posted: 25 Aug 2016 05:43 AM PDT

MALAYSIAKINI


Maybank tidak menolak kemungkinan Bank Negara Malaysia akan menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus tahun ini, kata Presiden Kumpulannya Datuk Abdul Farid Alias.

Bank pusat, yang mengurangkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus, dijadual mengadakan dua lagi mesyuarat dasar monetari tahun ini.

"Kesan (daripada penurunan kadar) melibatkan beberapa perkara dalam kunci kira-kira bank dan ke atas kadar pinjaman asas. Mengikut statistik, pinjaman dengan kadar asas jelas akan menyaksikan pendapatan faedah bersih yang lebih rendah.

"Dan, pada masa yang sama, dalam akaun bank, nilai pendapatan tetap sebenarnya akan bergerak ke atas, dengan kesan bersih bergantung kepada saiz akaun," katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan bank itu hari ini.

Pengurangan kadar faedah utama akan mengurangkan tekanan ke atas peminjam yang boleh menyebabkan pinjaman tidak berbayar lebih rendah, dan membawa pertumbuhan yang tinggi sedikit dalam permintaan untuk kredit, katanya.

"Ia juga akan menggalakkan orang ramai meningkatkan penggunaan dan kesan positif akan terdapat dalam pertumbuhan keseluruhan," katanya.

Berikutan penurunan kadar pada Julai, bank-bank di Malaysia telah menyelaras kadar asas masing-masing.
Bagi Maybank, kadar asas diturunkan sebanyak 20 asas mata kepada 3.00 peratus setahun daripada 3.20 peratus sebelumnya dan kadar pinjaman asas kepada 6.65 peratus setahun daripada 6.85 peratus sebelumnya.- Bernama

Mahasiswa beri amaran kepada pentadbiran universiti

Posted: 25 Aug 2016 05:40 AM PDT

ARIF ATAN
 
 
(Dari kiri) Asheeq Ali dan Anis Syafiqah Md Yusof(Dari kiri) Asheeq Ali dan Anis Syafiqah Md YusofPentadbiran universiti awam (UA) diingatkan agar tidak menyekat kebebasan bersuara mahasiswa termasuk menyertai himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (#TangkapMO1), Sabtu ini.

Presiden Student Unity Front (SUF), Asheeq Ali berkata, tindakan menghalang mahasiswa menyertai himpunan aman tersebut merupakan penafian hak asasi manusia.

Mengulas sekatan pentadbiran UiTM Seri Iskandar terhadap kumpulan kempen #TangkapMO1, beliau berkata, mereka hanya mahu menyampaikan pidato.

"Apa yang Dita sangat Naib Canselor UiTM sehingga tutup pintu pagar, buat sekatan lalu lintas dan bina benteng polis bantuan di hadapan UiTM?

"Kami mengecam tindakan tersebut yang jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan," ujarnya pada sidang media di Restoran Amjal depan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Inisiatif mahasiswa

Sementara itu, jurucakap Gabungan Tangkap MO1, Anis Syafiqah Md Yusof berkata, penangkapan tiga mahasiswa tersebut tidak sedikit pun menjejaskan semangat mereka untuk berhimpun di ibu negara.

"Tiga mahasiswa ditahan, ribuan mahasiswa akan bangkit. Himpunan aman ini adalah 100 peratus inisiatif mahasiswa dan bukan didalam mana-mana pihak termasuk parti politik," ujarnya dalam sidang media sama.

Menurut penuntut UM itu, pihaknya menyambut baik semua pihak tanpa mengira latar belakang politik untuk mendesak supaya 'Malaysian Official 1' yang dinamakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS), Julai lalu ditangkap.

"Kami juga menyeru agar kumpulan Ali Tunku turut bersama kami untuk menangkap MO1 dan mohon agar tidak menganggu gugat himpunan tersebut," ujarnya lagi.

Sabtu yang lalu, tiga orang aktivis siswa yang menjalankan sessi penerangan mengenai perhimpunan #TangkapMO1 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditahan dan digari oleh pihak polis di Seri Iskandar. Mereka dibawa ke mahkamah dan telah dikenakan tahanan reman selama tiga  hari.


Dua kumpulan aktivis mahasiswa hari ini, menyatakan pendirian mereka agar pihak pentadbiran universiti tidak menghalang mahasiswa mengadakan himpunan #TangkapMO1 pada Sabtu ini.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.Dua kumpulan aktivis mahasiswa hari ini, menyatakan pendirian mereka agar pihak pentadbiran universiti tidak menghalang mahasiswa mengadakan himpunan #TangkapMO1 pada Sabtu ini.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.


Suspek bergelar 'datuk' kes tembak Bill Kayong dikesan di Australia

Posted: 25 Aug 2016 05:35 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
 
Bill Kayong Mohd Hasbie AbdullahBill Kayong Mohd Hasbie Abdullah


Pihak berkuasa Australia sudah mengetahui lokasi salah seorang suspek dikehendaki polis kerana dipercayai membunuh bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri, Bill Kayong @ Mohd Hasbie Abdullah.

Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Rod Smith yang enggan mendedahkan maklumat lanjut kerana kes tersebut tertakluk kepada proses undang-undang Australia.

Beliau menambah, ekstradisi suspek ke Malaysia juga tertakluk kepada proses undang-undang negara itu.

"Kita harus membenarkan proses undang-undang ini menjalankan tugasnya. Selebihnya, saya tidak boleh dedahkan di sini," katanya ringkas pada sidang media di Kuching, Selasa lalu, lapor Borneo Post.

Salah seorang daripada dua suspek yang masih dikehendaki polis, Lee Chee Kiang atau dikenali Datuk Stephen Lee dipercayai melarikan diri ke Australia.

Pada 18 Ogos lalu, seorang daripada tiga suspek dikehendaki polis menyerah diri diiringi peguamnya di Balai Polis Krokop, justeru ketika ini hanya Lee dan seorang lagi suspek Kong Sien Ming masih bebas.

Polis Sarawak telah meminta bantuan Interpol untuk memburu dalang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Kayong, yang ditembak di persimpangan lampu isyarat di Lutong di Miri pada 21 Jun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar sebelum ini berkata, dalang kes itu dipercayai melarikan diri ke Melbourne, Australia melalui Singapura pada 3 Julai.

Pada 15 Julai, Mohamad Fitri Pauzi, 29, dituduh membunuh Kayong, manakala tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, didakwa bersubahat dengannya.

Berikutan pembunuhan itu, polis menubuhkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Sarawak untuk menjalankan siasatan.
Sembilan orang, termasuk seorang wanita berusia 22 tahun, ditahan di beberapa lokasi di Miri untuk membantu polis dalam siasatan mereka. Tujuh telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
Polis turut merampas senapang patah, dipercayai senjata pembunuhan, dari rumah salah seorang daripada dua tertuduh itu.

Kayong, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, aktivis sosial terutama dalam isu tanah ditembak mati dari jarak dekat sekitar jam 8.30 pagi hari berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu seorang diri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin menuju ke pejabat yang terletak di pusat bandar.

Semasa berhenti di lorong tengah lampu isyarat itu yang menghala arah ke Permyjaya, mangsa dipercayai ditembak menggunakan selaras senapang patah dari jarak dekat.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 7 lalu, beliau bertanding tetapi tewas kepada calon langsung BN Rosey Yunus di Bekenu.

Portal pro-Umno terkenang 'tragedi' Sepang, dengar Ku Li

Posted: 25 Aug 2016 05:33 AM PDT

MALAYSIAKINI


Sebuah portal pro-Umno mengingatkan parti itu mengenai 'tragedi' Sepang yang menyaksikan BN kalah di kawasan itu akibat pepecahan yang berlaku ke atas undi di kalangan Umno semasa pilihan raya umum ke-13.

Pada pilihan raya itu, kerusi parlimen Sepang dimenangi oleh calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin buat kali pertama setelah berdepan dengan tiga calon yang semua datang daripada Umno.

Selain calon Umno yang bertanding atas tiket BN, Datuk Seri Mohd Zain Mohamed, dua lagi calon bebas adalah AJK Umno Bahagian Sepang iaitu Hanafiah Mohamad dan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Portal itu, mykmu.net berkata, justeru, pandangan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li wajar diberi perhatian serius dalam mencari cara dan metodologi untuk menangani ancaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Sejarah terukir dan terpahat di dalam memori kedukaan BN dan Umno apabila Parlimen Sepang menjadi saksi pada PRU yang lepas, bagaimana "warlord" UMNO Selangor yang dikenali sebagai Zin Badak, tumbang menyembah bumi apabila undi Umno terbahagi diantara dirinya dan calon bebas, iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian.

"Tercabut ego dan keangkuhan Zin Badak, yang sebelum itu mewar-warkan tahap keyakinan yang tinggi, bahawa dirinya akan menang dengan culaan kemenangan majoriti tinggi.

"Jangan terpedaya dengan keyakinan yang tiada berasas, dan jangan terbuai dilambung pujian. Jangan sombong, jangan bongkak," kata portal itu lagi.

Semalam, Ku Li dipetik sebagai berkata, pemimpin Umno jangan mengambil mudah serta memperlekehkan penubuhan BERSATU kerana parti itu dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu, ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengasas parti berkenaan.

"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Mengulas lanjut, mykmu.net berkata, nasihat orang lama yang sudah terbiasa dengan sepak terajang politik seperti Ku Li tidak boleh dipandang enteng dan sebelah mata.

"Apatah lagi, beliau juga pernah berada bersama-sama Mahathir di dalam parti dan kerajaan suatu ketika dahulu.

Ku Li, katanya, tentu tahu bahawa Mahathir masih mempunyai pengaruh di kalangan rakyat, di samping watak utama seperti Muhyiddin Yassin.

"Sedikit sebanyak, pasti mereka juga mempunyai pengikut-pengikut yang taksub," ujarnya.

Kerusi parlimen Sepang dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) menjadi kubu kuat BN di Selangor sejak sekian lama walaupun tsunami politik berlaku pada pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.

Namun, semasa pilihan raya umum tahun 2013, kerusi parlimen Sepang bersama kesemua tiga DUN di dalamnya iaitu Sungai Pelek, Tanjung Sepat dan Dengkil berjaya dirampas pembangkang buat pertama kali.


SPRM tahan pengarah urusan syarikat berkaitan k'jaan, beku RM8.1j

Posted: 25 Aug 2016 05:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai atas kesalahan salah guna kuasa dan terlibat rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata lelaki itu ditahan hari ini di pejabatnya iaitu sebuah syarikat perbankan pada 2 petang tadi di ibu negara hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah.

"Dia dipercayai terlibat dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

"Sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan milik orang yang mempunyai kepentingan dengan Datuk tersebut namun sehingga kini tiada sebarang buku yang diterbitkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan itu, SPRM membekukan RM8.1 juta daripada beberapa akaun termasuk milik Datuk terbabit dan beberapa individu lain.

SPRM melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap mereka yang menyalahgunakan kuasa dan mempunyai kehidupan melebihi kemampuan, selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, kepada Bernama baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pada 15 Ogos lalu, tiga penjawat awam - dua daripadanya bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' - ditahan SPRM atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga mereka yang masing-masing berkhidmat di jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

SPRM turut membekukan akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan.
- Bernama

 

Negara berpendapatan tinggi: Amanah bidas 'dongeng' Pemandu

Posted: 25 Aug 2016 05:14 AM PDT

 
 
Dr Dzulkefly AhmadDr Dzulkefly Ahmad


Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia berada di landasan yang sesuai untuk mencapai taraf negara berpendapatan tinggi dibidas Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr Dzulkefly, pertumbuhan pinjaman yang rendah, keuntungan korporat yang mengecil, pertumbuhan sektor runcit yang menguncup dan trend pembuangan pekerja mutakhir ini menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak selesa atau membimbangkan.

Sehubungan itu beliau menyifatkan kenyataan Idris Jala bahawa negara telah terlepas dari 'perangkap pendapatan sederhana' dan menuju arah negara maju sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Menurutnya, kerajaan BN khususnya Pemandu 'seolah-olah telah terputus dari denyut nadi kehidupan rakyat sebenar' apabila terus 'bercakap besar' mengenai prestasi ekonomi negara sedangkan keadaan di lapangan adalah sebaliknya.

"Itu tidak lagi menghitung pergolakan politik, termasuk pertikaian tentang 1MDB dan MO1, yang sangat mengganggu sentimen pelaburan asing mahupun tempatan," tegasnya.

Idris ketika memberikan ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat Perkongsian Awam-Swasta baru-baru ini, menyebutkan bahawa pendapatan negara kasar (PNK) berkembang daripada USD7,950 kepada USD10,760 (USD1 = RM3.99) antara 2009 dan 2015, mendekati sasaran pendapatan tinggi USD15,000 pada 2020 seperti ditetapkan oleh Bank Dunia.

Bekas menteri kabinet itu juga menganggap hutang negara diurus baik di bawah paras statutori yakni 55% kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang ditetapkan mengikut Akta Pinjaman Tempatan (1959) manakala defisit fiskal dijangka menguncup dari 3.2% KDNK akhir tahun 2015 kepada 3.1% pada akhir tahun 2016.
"Idris Jala perlu berpada-pada, bisnes tidak lagi rancak dan kini pertumbuhan pinjaman, ukuran kerancakan bisnes, adalah paling rendah dalam 9 tahun yang akhir ini.  Ada pakar ekonomi menyebut tentang 'recession' (kemelesetan) pada tahun 2018, walaupun ada yang meramal lebih awal.
"Keuntungan korporat terus jatuh dan kadar pembuangan pekerja paling buruk dalam 5 tahun mengikut data rasmi Jabatan Buruh iaitu 38,499 tahun 2015 dan lebih teruk tahun ini.

"Pertumbuhan di sektor peruncitan menjadi negatif 4.4% dalam suku kedua tahun ini berbanding pertumbuhan 4% dalam suku kedua tahun lalu. Sentimen pengguna turut terjejas," jelas Dr Dzulkefly.

Kesemua angka tunjuk itu, ujarnya menjadi antara sebab Bank Negara menurunkan kadar faedah bertujuan merancakkan perbelanjaan dalam ekonomi global yang semakin suram.

Merujuk kepada pendapatan rakyat, beliau berkata kenaikan gaji adalah baik dalam dekad lalu ketika pertumbuhan ekonomi agak tinggi, namun ketika pertumbuhan sudah mula perlahan dalam beberapa tahun kebelakang dan dijangka terus menurun bagi tahun-tahun akan datang majikan tidak lagi dapat menaikkan gaji pekerja.

Bagaimanapun tambah beliau, jika pekerja (pengguna) tidak berbelanja ekoran pendapatan yang tidak mencukupi, majikan akan menerima padah kerana permintaan untuk barangan dan perkhidmatan akan menurun.

Dr Dzulkefly juga menjelaskan, berdasarkan kajian yang dibuat pakar-pakar ekonomi, setiap RM1 keuntungan yang dijana di negara ini, pekerja hanya mendapat 35 sen, sementara majikan (60 sen) dan kerajaan (5 sen), berbanding Singapura dengan pekerja mendapat 42 sen, majikan (47 sen) dan kerajaan (11 sen). Agihan keuntungan mesti berpijak atas faktor produktiviti. Itu prinsipnya.

Oleh itu ekonomi negara, ujar beliau perlu meninggalkan pergantungan kepada industri dan kilang yang nilai-tambahnya rendah yang tentunya hanya memerlukan tenaga kerja yang berketrampilan rendah.

"Kebergantungan kepada ekonomi yang bersifat komoditi juga adalah punca masalah. Kita perlu giatkan produk-produk  hiliran yang punya nilai-tambah tinggi. Tidak ada cara lain kecuali R&D dan komitmen semua pihak. Tapi budaya kita terbiasa dengan cara mi segera.

"Kalau tidak, selama-lamanya kita begini dan pergantungan kepada pekerja asing, serentak tidak akan menggalakkan kenaikan gaji atau pendapatan warga kerja kita. Dari manakah pendapatan tinggi akan dihasilkan?" ujar beliau sinis.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan khususnya Pemandu supaya berpada-pada ketika membuat pengumuman bagi rakyat membezakan antara kenyataan sebenar dan cerita dongeng.


Serangan Seksual: Bekas Doktor Minta Dibicarakan

Posted: 25 Aug 2016 04:59 AM PDT

MSTARONLINE
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas doktor di sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas wanita pekerja pencuci berumur 56 tahun, awal tahun lepas.

Ahmad Ahnaf Kamarulizham, 31, didakwa melakukan kesalahan pertama di dalam sebuah bilik menyusu di hospital sama antara 10.30 pagi dan 11.30 pagi pada 18 Mac 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan kedua di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut seksyen 377D kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Bapa dua anak itu turut berdepan dua pertuduhan pilihan iaitu mencabul wanita itu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Peguam Fahmi Abdul Moin yang mewakili Ahmad Ahnaf, memohon kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan, oleh kerana anak guamnya pada masa ini tidak bekerja dan isterinya pula yang sedang hamil, mencari nafkah untuk menyara keluarga.

"Tertuduh juga perlu menjaga anak-anaknya," kata peguam itu.

Pegawai pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub menolak sebarang jaminan bagi tertuduh.

Bagaimanapun, hakim Shamsudin Abdullah menetapkan jaminan RM12,000 berserta seorang penjamin, dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali.
Beliau turut menetapkan 28 Sept untuk sebutan.-- Bernama

Keluarga Altantuya Cari Jalan Sampaikan Permohonan Kepada Sirul

Posted: 25 Aug 2016 04:56 AM PDT

Oleh: M. MAGESWARI

Sirul Azhar Umar
 
 
KUALA LUMPUR: Keluarga kepada model Mongolia, Altantuya Shaariibuu sedang mencari ejen untuk menyampaikan permohonan mereka kepada bekas komando polis Sirul Azhar Umar.

Peguam yang mewakili keluarga, Ramkarpal Singh berkata tiada sebarang maklum balas diterima daripada pertanyaan mereka walaupun permohonan itu telah disampaikan kepada Kementerian Luar pada Ogos 2015.

"Kami telah menunggu terlalu lama, dan kami kini sedang mengkaji alternatif, untuk mengemukakan dokumen itu kepada Sirul Azhar Umar melalui ejen," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Sirul kini berada di sebuah pusat tahanan di Australia.

Dalam permohonan itu, keluarga berkenaan memohon untuk meminda pernyataan tuntutan mereka bagi memasukkan sabitan dan penemuan utama terhadap Sirul dan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri.

Permohonan itu adalah dokumen dalam saman RM100 juta yang difailkan pada tahun 2007 oleh keluarga Altantuya terhadap kerajaan dan tiga yang lain berhubung tuntutan yang didakwa konspirasi dan bunuh.

Ia telah difailkan terhadap bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, kerajaan Malaysia dan kedua-dua lelaki yang didapati bersalah membunuh Altantuya.

Walau bagaimanapun, kes itu terhenti kerana Mahkamah Tinggi mahu kesimpulan perbicaraan jenayah dibuat terlebih dahulu.

Pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah kerana membunuh Altantuya pada tahun 2006, namun Sirul Azhar telah melarikan diri ke Australia.
 
 

Rayani Air Digesa Tarik Balik Surat Berhenti Kerja

Posted: 25 Aug 2016 04:53 AM PDT

 
 
PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa Rayani Air supaya menarik balik surat pemberhentian kerja kepada kakitangannya yang dikeluarkan pada minggu lalu.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin mendakwa, surat tersebut bertarikh 28 Jun lalu dan syarikat itu juga telah mengeluarkan surat pekeliling pada tanggal 8 April 2016.

Dakwanya, surat itu ternyata mempunyai kecacatan dan berunsur 'mala fide' atau berniat jahat.

"Kami memandang serius dengan cara pemberhentian pekerja oleh pihak Rayani Air kerana ia tidak tertakluk dengan syarat-syarat di dalam Akta Kerja 1955.

"Surat pekeliling pemberhentian yang dikeluarkan pada 28 Jun dan 8 April itu didapati bercanggah. Ini akan menjejaskan proses untuk pekerja membuat aduan ke Jabatan Perusahaan Perindustrian dalam tempoh 60 hari," katanya dalam satu kenyataan.

Surat pemberhentian kerja Rayani Air bertarikh 28 Jun didakwa hanya dikeluarkan dan diterima pada minggu lalu.
 
Ismail berkata, Rayani Air juga mengeluarkan surat tersebut tanpa syarat notis pemberhentian dua bulan dan tidak menyatakan jumlah pampasan kepada pekerja yang diberhentikan.

"Ternyata kandungan surat pemberhentian kerja itu mengelirukan," katanya sambil menambah Rayani Air berjanji untuk membuat semua bayaran tunggakan gaji serta elaun pekerja apabila pekerja menyerahkan semula barang kepunyaan syarikat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Rayani Air tampil untuk membuat penjelasan secara terbuka agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik.

Difahamkan, surat pemberhentian kerja yang bertarikh 28 Jun itu hanya dikeluarkan pihak majikan dan diterima pekerja pada minggu lalu.

Notis pekeliling yang dikeluarkan Rayani Air pada 8 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu mStar Online bahawa majikan Rayani Air perlu memberikan surat pemberhentian kerja mengikut tarikh ia dikeluarkan.

"Majikan tidak boleh mengeluarkan surat menggunakan tarikh yang sudah lepas," katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan berhubung surat pemberhentian kerja, Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan berkata, surat yang bertarikh 28 Jun itu dihantar pekerja pada 17 Ogos lalu.

Jelasnya, surat itu sepatutnya dikeluarkan pada Jun lalu tetapi tertangguh disebabkan ketiadaan kakitangan di bahagian sumber manusia bagi urusan pengeluaran surat berkenaan, dan ia hanya diselesaikan sepenuhnya pada minggu lalu sebelum dihantar kepada pekerja.

"Bagaimanapun, kita mempunyai notis pekeliling yang kita keluarkan pada 8 April lalu, yang menyokong kepada surat pemberhentian kerja itu," kata Karthiyani.

Ravi Sasar Selesai Isu Gaji Pekerja, Tiket Pelanggan September Ini

Posted: 25 Aug 2016 04:50 AM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

 


 
 
PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alegandrran menjangkakan isu tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan akan diselesaikan seawal-awalnya  September ini.

Bercakap kepada mStar Online, Ravi mendakwa beliau kini telah mendapat pelabur yang akan menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, dana berkenaan antara lain akan disalurkan pada peringkat awal untuk bayaran tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan, yang akan diuruskan pihak pelabur.

"Ia akan dibuat pada tempoh yang sama kita memohon semula lesen daripada pihak berkuasa bagi membolehkan syarikat kembali beroperasi di bawah pengurusan baharu.

"Kita menjangkakan permohonan lesen akan dibuat pada September. Mengikut perjanjian bersama pelabur, antara perkara awal yang harus diutamakan ialah menyelesaikan tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan," katanya.

Ravi enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pelabur kerana katanya, maklumat berkaitan adalah sulit buat masa ini berikutan satu 'perjanjian' telah ditandatangani bersama pihak berkenaan dan peguam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersama pelabur ketika ini sedang memperincikan senarai penerima dan jumlah bayaran terhadap pelanggan dan pekerja bagi melancarkan urusan bayaran.

"Segala dokumen hampir siap untuk kita memohon semula lesen baharu," ujar Ravi.

Dilaporkan, Ravi dipetik sebagai berkata, beliau optimis syarikat penerbangan itu akan beroperasi semula tidak lama lagi apabila permohonan semula lesen akan dibuat seawal-awalnya bulan depan.

Dalam pada itu, Ravi berterima kasih kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi di atas saranannya supaya Rayani Air  mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) jika berhasrat beroperasi semula.

"Saya berterima kasih dan menghargai saranan Datuk Ab Aziz kerana memberi peluang kepada Rayani Air untuk beroperasi semula menerusi permohonan lesen baharu.

"Kami berharap permohonan itu nanti akan mendapat jaminan kelulusan daripada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan," katanya.

Awal bulan ini, Ab Aziz berkata, selain memohon lesen baharu, Rayani Air juga juga perlu mengemukakan strategi perniagaan yang baharu dan mendapatkan rakan kongsi yang mempunyai dana mencukupi untuk menjalankan perniagaan.

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itumelanggar syarat yang ditetapkan di dalam ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Rayani Air memulakan operasi Disember tahun lalu

Kazim Elias nafi pencabulan seksual di Maahad Tahfiz Darul Barakah

Posted: 25 Aug 2016 01:23 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE


Kazim Elias
Kazim Elias


Pemilik sekolah Maahad Tahfiz Darul Barakah, Datuk Kazim Elias menafikan berlaku pencabulan seksual dalam kalangan pelajarnya seperti yang viral di media sosial, lapor Awani.

Siasatan dalaman pihaknya turut mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang didakwa.

Katanya, Maahad Tahfiz Darul Barakah dilengkapi dengan kamera litar tertutup CCTV di setiap kawasan dan peluang untuk kejadian seumpana berlaku itu hampir tiada.

"Kita sendiri ada pemantau dalam kalangan pelajar yang kita pilih untuk melihat, memerhati.

"Maklum balas daripada sekolah, tahfiz kita ini sejak 2009 sampai sekarang 2016 tidak ada kejadian yang macam itu. Kemudian kalau ada pelajar-pelajar yang katakan ia berlaku, dibawa keluar (buktikan). Saya rasa tidak ada pelajar yang sebegitu melainkan mungkin ada orang tidak puas hati," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, menjadi hak setiap individu untuk membuat laporan, namun beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Kazim pada masa sama turut mengingatkan netizen agar tidak memviralkan cerita berkenaan tanpa usul periksa kerana ia boleh menjejaskan pelajar itu sendiri. - MalaysiaGazette


APA YANG TINGGAL LAGI DALAM 'FRANKLY SPEAKING' MUSA HITAM?

Posted: 25 Aug 2016 01:12 AM PDT

shahbudindotcom


Ketika terbitnya buku "Frankly Speaking" oleh Musa Hitam, ramai yang melihat ia mungkin sesuatu yang bermanfaat kepada generasi muda untuk memahami banyak perkara mengenai politik dan pentadbiran negara.

Lebih-lebih apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau mengambil masa 15 tahun untuk menulis buku tersebut.

Musa sendiri memberitahu, tujuannya menulis buku itu ialah untuk memastikan generasi muda memahami sejarah serta mengenali isu semasa.

Bagaimanapun, sehingga ini sudah empat bekas pemimpin UMNO dan negara menyanggah banyak fakta dalam buku yang ditulisnya itu.
 
 
 
 
Mula-mula Sanusi Junid. Beliau yang dikatakan berada dalam Kumpulan bernama AIDS iaitu Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi, menafikan kewujudan kumpulan  yang didakwa oleh Musa Hitam selalu memberi maklumat salah kepada Tun Mahathir.

Kata Sanusi, kumpulan AIDS itu tidak pernah wujud, bahkan kejatuhan Musa adalah kerana kesalahan dan kelemahannya sendiri.

Bahkan Sanusi juga memberitahu, berbanding Anwar Ibrahim dan Daim, beliau lebih mempunyai hubungan yang akrab dan selalu bekerjasama dengan arwah Megat Junid Megat Ayob dan Kip Bahadom dalam kerja-kerjanya berkaitan UMNO.

Dalam tulisan di blognya, Sanusi juga memuatkan perbualan Whatsapp antara beliau dengan Daim Zainuddin di mana bekas Menteri Kewangan itu tanpa ragu-ragu menyifatkan buku "Frankly Speaking"  itu adalah sebuah karangan "fiction".
 
 
 
 
Kemudian Tun Mahathir turut menyanggah beberapa fakta dalam buku itu, antaranya berkaitan kesetiaan mutlak dalam pentadbirannya sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hitam.

Kata Tun Mahathir, beliau tentu akan memecat Musa Hitam sebagaimana Najib memecat Muhyiddin jika kesetiaan mutlak menjadi keutamaannya.

Semua orang tahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pedana Menteri, Musa bukan saja dikekalkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan tidak dihalang berpakat dengan Tengku Razaleigh dalam pertandingan 1987 untuk menentang Tun Mahathir, bahkan dilantik kemudiannya sebagai duta bertaraf menteri.
 
 
 
 
Terbaru, Tun Abdullah Ahmad Badawi pantas menjawab "No,No,No" berhubung dakwaan Musa bahawa beliau meletakkan syarat kepada Najib agar melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai syarat pengundurannya.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan dalam era kepimpinan Tun Abdullah, tentu faham dan merasakan adalah mustahil beliau berbuat demikian kerana Muhyiddinlah yang memaksa pengundurannya diawalkan.

Lalu, apa yang tinggal lagi dalam "Frankly Speaking" sekarang ini? Fakta atau auta?


Betulkah petanda 40 hari sebelum mati?

Posted: 25 Aug 2016 01:04 AM PDT

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ


MASUK sahaja waktu asar, pusat saya berdenyut-denyut. Bukan setakat itu, semua tanda lain turut ada pada tubuh. 

Saya amat kaget kerana semua itu adalah tanda 40 hari sebelum mati sebagaimana yang dibaca dalam sebuah buku

Saya tak tunggu lagi ustaz! Saya bertaubat nasuha atas segala kesilapan dan alhamdulillah saya dah berubah sekarang. Kerisauan itu mendorong saya untuk berubah. Semua tanda 40 hari sebelum mati itu benarkan ustaz?"

Soalan jiran saya ini saya jawab dengan soalan lain: "Tapi sampai sekarang awak belum mati lagikan? Saya kira dari tempoh awak mengesan tanda mati itu, jaraknya sudah lebih dari 40 hari?"

Tazkirah pelik tentang tanda-tanda tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati biasa tersebar sejak dahulu lagi.

Sebaran perkara ini menjadi semakin laju dengan perkembangan media sosial. Soalannya, adakah perkara ini benar?

Bagaimana pendakwa yang galak menulis buku itu tahu dengan terperinci segala tanda berkenaan sebelum mati? Adakah pernah ada orang mati yang hidup semula lalu memberitahu segala tanda yang pernah dialaminya sebelum mati? Usahkan kita, Rasulullah SAW yang saban hari berdamping dengan malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahui perihal ghaib tanpa izin Allah. Firman Allah:

"Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman," (al-A'raf [7:188]).

HAK EKSKLUSIF ALLAH
 
Ajal maut adalah rahsia eksklusif Allah yang mustahil diketahui oleh makhluk. Perkara ini ditegaskan secara tuntas oleh Allah:

"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya," (Luqman [31:34]).

Mati juga sudah siap tarikhnya pada pengetahuan Allah. Yang tahu adalah Allah, bukan kita, bukan Rasulullah SAW, bukan tok nujum dan sebagainya:

"Dan (setiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah)," (Ali 'Imran[3:145]).

Tak cukup dengan itu, mufti wanita dalam kalangan sahabat Rasulullah iaitu isteri baginda, Aishah r.a. turut menegaskan perkara sama:

"Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu ayat daripada Kitab Allah (tidak disampaikannya). Maka orang itu sesungguhnya telah berbuat kebohongan besar terhadap Allah kerana Allah telah berfirman:

"Wahai, Rasul! Sampaikanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu! Apabila itu tidak engkau lakukan, bererti engkau tidak menyampaikan risalah-Nya (tidak menjalankan tugas daripada-Nya")," (al-Maidah[5:67]),

"Dan orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tahu apa yang akan terjadi esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah.

"Firman Allah: "Katakan: Tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi melainkan Allah," (Naml[27:65]) - Sahih Muslim.

Mungkin ada yang akan berkata:

"Apa salahnya, benda baik. Sekurang-kurangnya tanda itu boleh menjinakkan jiwa manusia yang buas buat seketika. Tambahan pula ia adalah hasil kajian yang arif perihal jasad manusia."

Mudah sahaja jawapannya:

"Agama ini milik mutlak Allah terutama sekali apabila menyentuh yang ghaib (al-Naml [27:65]). Ia perlu difahami dan dijiwai dalam kehendak Allah. Agama Allah bukan sejenis masakan yang boleh direncahkan "secukup rasa" oleh sesiapa pun walaupun jubahnya meleret menyapu bumi, janggutnya mencecah lutut atau serbannya sebesar bakul.

Dakwaan "tahu tanda mati dalam lingkungan tepat" tujuh, 40 atau 100 hari adalah cubaan meneka rahsia mutlak milik Allah. Ia adalah satu kebiadaban pada hak Allah!"

Usah tunggu tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati untuk menjadi hamba Allah, sebaliknya jadilah hamba Allah sepanjang hidup. Usah takut mati, sebaliknya takutlah jika tidak bersedia untuk bertemu Allah. Mati bukanlah penutup bagi orang beriman tetapi menjadi suatu permulaan untuk hidup akhirat yang kekal abadi.

Daripada kita sibuk "menujumkan" tanda mati lebih baik kita semua bersiap sedia menemui mati yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.

Mengingati mati sepanjang masa tanpa menunggu tanda tujuh, 40 atau 100 hari adalah ubat terbaik untuk jiwa manusia sebagaimana sabda Junjungan SAW:

"Perbanyak mengingati pemutus kelazatan (dunia) iaitu kematian," - Sunan al-Tirmidhi, al-Nasa'i & Ibn Majah).

Sistem bil TNB dinaik taraf mengelirukan, bebankan pengguna

Posted: 25 Aug 2016 12:49 AM PDT



 
Oleh SM Mohamed Idris


Sejak dua bulan lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna berhubung bil TNB. Di antara aduan yang diterima termasuklah pusingan bil yang panjang menyebabkan bayaran menjadi terlalu tinggi, tidak menerima bil bulan Julai dan menerima bil dengan catatan nombor akaun bukan milik mereka


Cuma baru-baru ini sahaja CAP menyedari bahawa pengguna berhadapan dengan segala masalah ini berikutan TNB sedang mempertingkatkan sistem bil mereka.

TNB telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar yang mengumumkan bahawa sesetengah pelanggan akan lewat menerima bil mereka disebabkan kerja-kerja naik taraf tersebut.

Namun  kenyataan pada 6/8/2016 itu cuma disiarkan oleh beberapa akhbar sahaja dan agar sukar untuk menamakannya sebagai "memberi maklumat". Kenyataan TNB juga terlambat dua bulan jika mereka ingin menaik taraf sistem mereka, TNB sepatutnya memaklumkan lebih awal kepada pengguna dan kesulitan yang mungkin mereka alami.

Hanya selepas kami membaca artikel yang dimuatkan dalam salah satu akhbar berbahasa Malaysia beberapa hari lalu baharulah kami akhirnya mendapat serba sedikit penjelasan mengenai aduan yang kami terima, antaranya:-

- Pusingan bil yang panjang menjadikan bil TNB lebih mahal

Jika pusingan bil melebihi 31 hari bagi sebarang bulan, TNB akan mengenakan bayaran kepada pelanggan berdasarkan faktor 'prorate' tersebut – nisbah antara tarikh bil dan jumlah hari dalam bulan berkenaan – bagi mereka yang berada dalam lingkungan blok Tarif  Domestik  dan blok Tarif Komersial Voltan Rendah.

- Tidak menerima bil bulan Julai

Disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem bil, pelanggan akan lewat menerima bil masing-masing dan sesetengahnya akan menerima bil Julai dan Ogos sekali gus dalam bulan Ogos.

· Menerima bil dengan nombor akaun bukan milik mereka
Menaik taraf sistem bil menyebabkan nombor akaun TNB bertukar dari sistem 14 digit ke sistem 12 digit. Justeru, nombor akaun yang kelihatan ganjil pada bil TNB terkini sebenarnya adalah nombor akaun 12 digit pengguna yang baharu.

Memberikan segala maklumat ini kepada hanya satu akhbar berbahasa Malaysia adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab di pihak TNB kerana jumlah pembacanya tidak meluas. Maklumat sama perlu diberikan kepada semua akhbar utama dan stesen berita beberapa bulan lalu bagi memastikan orang awam lebih bersedia menghadapi kesan dari perubahan ini. Kami berasa agak kecewa dengan pendekatan TNB berhubung perkara ini yang ternyata telah mengelirukan pengguna.

Kami juga membantah keras hakikat bahawa ramai pengguna akan menerima bil Julai dan Ogos mereka sekali gus dalam bulan Ogos. Di dalam artikel tersebut, TNB dikatakan tidak akan memotong bekalan elektrik bagi mereka yang lewat menerima bil bulan Julai mereka, namun ini nampaknya tidak ada sebarang kaitan.

Peribahasa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' bertepatan dengan kedudukan kewangan semasa ramai penduduk Malaysia. Satu hal yang perlu disoal ialah apa akan berlaku kepada pengguna yang dibebankan dengan dua bil dalam sebulan dan tidak mampu membayarnya sekali gus? Bolehkah mereka mendapat jaminan bahawa bekalan elektrik mereka tidak "dipotong"?

Kami berkata ia sepatutnya begitu. Apatah lagi pihak TNB tidak mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangani kesulitan pengguna apabila ia menaik taraf sistem bil tersebut. Oleh itu kenapa orang awam perlu menanggung beban ekoran tindakan mereka?

Satu-satunya cara TNB boleh bertanggungjawab terhadap tindakan mereka ialah dengan memansuhkan bil bulan Julai pengguna domestik. CAP meminta pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau hal ehwal "tenaga" seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Tenaga memastikan tindakan ini diambil. Lebih baik lagi, TNB perlu melakukannya secara sukarela sebagai cara mengganti rugi pelanggan mereka.

*  SM Mohamed Idris,  Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Bagi Matthias, Umno korup hanya selepas Najib ambil alih

Posted: 25 Aug 2016 12:41 AM PDT

DETIK DAILY
 



PETALING JAYA: Peguam Matthias Chang semalam mempertahankan Umno daripada tuduhan ia sebuah parti yang korup seperti kerap diutarakan pihak pembangkang.

Sebaliknya, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendakwa rasuah hanya mula menjadi amalan Umno selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepimpinan parti itu.

"Perlu adil kepada Umno," katanya kepada FMT.

"Ia banyak berjasa pada masa lampau. Hanya selepas Najib Razak menjawat perdana menteri, ia ditimpa seperti yang berlaku sekarang ini," kata Matthias, yang sebelum ini lantang dalam menggesa pihak berkuasa luar menyiasat 1MDB.

Matthias berkata tidak pernah dalam sejarah Malaysia ia terjerumus dalam masalah yang menurutnya tidak ada lagi jalan keluar.

Berucap di sebuah forum mengenai 1MDB semalam, Matthias mempertahankan bekas bosnya, Dr Mahathir, yang menurutnya dihormati masyarakat antarabangsa.

"Di kala negara Timur Tengah gagal menunjukkan Islam yang sebenar, kita dilihat sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana," kata Matthias.

"Ke mana sahaja kita pergi, kita berasa bangga, tetapi kini, dengan krisis 1MDB, kita berasa malu," katanya, yang menambah Dr Mahathir tidak pernah mengaku dirinya sempurna.

Pekerja kontrak 15 tahun berpeluang diserap ke jawatan tetap mulai Julai

Posted: 25 Aug 2016 12:38 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


joseph-l8-May-600x360


KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata mulai Julai tahun ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) membuka peluang kepada pekerja kontrak kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun untuk diserap ke dalam perkhidmatan tetap.

Beliau berkata perkara itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 kakitangan kontrak kerajaan di seluruh negara dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Pada masa ini kita masih dalam proses pemilihan dan terdapat beberapa aspek yang akan dilihat, khususnya dari segi disiplin dan kesihatan pegawai kontrak berkenaan.

"Penyerapan ke jawatan tetap itu terbuka untuk kakitangan gred rendah hingga ke gred profesional bagi semua jawatan dalam kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Outreach SPA di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.

Sementara itu, Entulu berkata SPA telah menerima sebanyak 1,385,460 permohonan di seluruh negara dalam tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.

"Daripada jumlah itu seramai 77,349 pemohon telah dipanggil temu duga dan jumlah yang hadir pada temu duga hanya seramai 44,175 pemohon. Setakat ini jumlah calon yang telah dilantik dan menerima surat tawaran dalam pelbagai sektor kerajaan adalah seramai 9,506 orang," katanya.

Beliau berkata daripada 1,385,460 pemohon, sebanyak 168,628 adalah pemohon dari Sabah dan daripada jumlah itu sebanyak 4,939 telah dipanggil temu duga dan 746 calon dilantik ke pelbagai jabatan.

Mengulas mengenai Karnival Kerjaya dan Outreach SPA itu, Entulu berkata ia akan memberi manfaat kepada pemohon pekerjaan di Sabah bagi mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan dalam pelbagai sektor.

"Pada karnival ini pegawai SPA akan memberikan taklimat kerjaya beserta tips untuk menghadiri temu duga dan peperiksaan yang dikendalikan oleh SPA.

"Ini penting kerana antara faktor utama yang menyebabkan seseorang graduan tidak mendapat tawaran pekerjaan walaupun mempunyai akademik yang cemerlang ialah disebabkan tiada keyakinan, penampilan diri tidak menarik semasa temu duga atau tidak menepati ciri-ciri pekerja yang diperlukan," tambah beliau.

Beliau berkata antara aktiviti utama yang diadakan pada karnival berkenaan ialah ceramah kerjaya dan panduan temu duga kepada para pelajar di Sabah serta pemohon pekerjaan dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Selain itu terdapat pelbagai agensi kerajaan yang lain turut serta bagi mempamerkan fungsi dan peranan mereka kepada orang awam. Antara agansi berkenaan ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.


Kongres Pemuda Islam tubuh Dewan Pemuda PAS

Posted: 25 Aug 2016 12:23 AM PDT

HARAKAHDAILY 



Kongres Pemuda Islam Berjaya Tubuhkan Dewan Pemuda PAS (25 Ogos 1953)


PADA hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menganjurkan satu Kongres Pemuda Islam Se-Malaya di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Bagan Datoh, Perak yang menghimpunan para pemuda Islam dari seluruh Tanah Melayu.

Kongres Pemuda Islam yang dihadiri oleh wakil-wakil Cawangan PAS seramai hampir 300 orang telah meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS, sekali gus menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Dalam kongres ini juga, seorang tokoh ulamak muda PAS, Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Kemunculan Dewan Pemuda PAS berawal dari keputusan Jawatankuasa Kerja PAS satu usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda Islam pada 3 April 1952 dan melantik Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah sebagai ketuanya.

Pada 3 Januari 1953, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama telah meluluskan usul supaya Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah sayap PAS bersama Dewan Ulamak PAS dan Dewan Muslimat PAS untuk menggerakkan perjuangan kemerdekaan. Hasilnya, pada 17 Mei 1953, Jawatankuasa Tadbir (Harian) PAS telah membincangkan persiapan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya bagi menubuhkan Dewan Pemuda PAS, sekali gus menggubal draf Peraturan Dewan Pemuda PAS.

Pada 8 Julai 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS menetapkan supaya kongres ini diadakan pada 29 Ogos 1953, tetapi diawalkan kepada 25 Ogos 1953 mengikuti tarikh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya meluluskan perlaksanaan kongres ini dan juga Peraturan Dewan Pemuda PAS pada 26 Julai 1953.

Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang berlangsung pada 25 Ogos 1953 ini dibuka oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan memutuskan dua perkara; i) mengesahkan Peraturan Dewan Pemuda PAS dan ii) melantik Pegawai-pegawai Dewan Pemuda PAS untuk sesi 1953-1954 yang terdiri daripada seorang Ketua, seorang Wakil Ketua, seorang Setiausaha dan tujuh orang Ahli Jawatankuasa Kerja.

Akhirnya, seperti yang dirancang, Ustaz Othman Abdullah, Setiausaha PAS Cawangan Hilir Perak, telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS.

Beliau yang berkelulusan syariah dari Universitas Muhammadiyah, Padang merupakan pegawai yang berpangkat kapten dalam Hizbullah, sayap tentera Masyumi di Indonesia.

Setelah pulang ke Tanah Melayu, beliau menyertai Umno dan pernah menjadi guru agama di Hilir Perak dan Sabak Bernam. Beliau terkenal pidatonya yang lantang dan mempunyai daya kepemimpinan yang baik.

Peraturan Dewan Pemuda PAS 1953 yang diluluskan oleh Kongres Pemuda Islam Se-Malaya telah menetapkan penubuhan Dewan Pemuda PAS sebagai sayap pemuda bagi PAS. Ia juga menggariskan empat tujuan penubuhan Dewan Pemuda PAS, iaitu:

I. Mengelola dan menjalankan di  Tanah Melayu ini sebuah badan pemuda Islam bagi melaksanakan segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi;

II. Menggalakkan perhubungan serta mengeratkan persaudaraan dalam Islam dan menghapuskan perbalahan dan perasaan berpuak dan menjauhkan perkara-perkara yang memecahkan perpaduan umat Islam dan menjatuhkan mutu kemuliaan Islam;

III. Menanam dan menghidupkan jiwa ke-Islaman serta mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam erti kata yang sebenarnya dalam penghidupan sehari-hari; dan

IV. Amnya, menghasilkan, melaksanakan dan menjalankan segala tuntutan dan kehendak-kehendak PAS.

Dengan terlaksananya Kongres Pemuda Islam Se-Malaya ini, maka tertubuhlah Dewan Pemuda PAS sebagai dewan yang pertama wujud secara rasmi, kerana Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat hanya dapat mengadakan kongres penubuhan mereka pada 13 Disember 1957.

*  Mohd Fadli Ghani. Head, House of Resources, Pusat Penyelidikan PAS


Ada yang goda agar orang tinggalkan PAS

Posted: 25 Aug 2016 12:17 AM PDT

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR 



 

SEJAK ditubuhkan tahun 1951 PAS telah melalui suka duka perjuangan. Travelognya amat panjang dan sangat berliku. Seumpama berjalan diatas bara api yang sentiasa membakar.

Episod fitnah terutama dari BN silih bertukar wajah, dakyah kuffar seluruh dunia diketuai Amerika Syarikat untuk memburukkan gerakan Islam seluruh dunia turut menjala perjuangan PAS.

PAS pernah dituduh pengganas, pemecah belah, rasis, ortodoks dan macam-macam lagi, apa sahaja label yang dirasakan dapat menjauhkan masyarakat daripada perjuangan PAS akan ditampal kepada perjuangan PAS.

Namun inilah PAS, perjuangannya diatas dasar Islam, perjuangan Islam itu sarat dengan ujian. Namun ini hakikat yang telah pun diterima oleh para ahli PAS, kerana orang tidak masuk PAS kerana duit tapi kerana Islam.

Rasanya sudah habis segala jenis dan warna stiker buruk untuk ditampal kepada perjuangan PAS, PAS tetap berkemilau tidak terjejas dengan label keji yang ditampal oleh musuhnya, tidak rebah walaupun betisnya sentiasa disepak musuh.

Dakyah berlarutan sehingga kini, daripada musuh tradisinya hingga lahir pula pembenci-pembenci baru dan terkini, membawa pelbagai persepsi kepada PAS dan juga kepimpinannya.

PAS meniti perjalanan sirah perjuangan Islam terdahulu, semua dijadikan pedoman, dos demi dos ilmu disuntik ke dalam jiwa ahli PAS, diambil setiap hari melalui program tarbiyyah menjadikan PAS sukar dijangkiti kuman yang akan mematikannya.

PAS pernah melalui zaman perpecahan ahli hingga melahirkan BERJASA, PAS digelar batu nisan kerana hanya tinggal 2 kerusi sahaja diKelantan, tapi hanya nisan tanpa jenazah didalamnya. PAS terus bangun dan bernadi mengubat luka dan melawan arus kuasa politik Malaysia.

Kini PAS ditimpa dengan gelombang yang hampir sama, perbagai andaian dan firasat karut terhadap PAS, nakal dan sinis, juga ada yang menggoda agar orang meninggalkan PAS, cakap-cakap bahawa PAS akan berkubur kini sunyi seperti suasana diperkuburan.

Namun PAS tetap terus bergaya dipentas politik Malaysia, mentarbiyyah ahlinya untuk menyedari ketegasan berprinsip akan berhadapan dengan ujian-ujian dalam bentuk terkini, dizaman kelajuan fitnah selaju tiupan angin, berdesup di gelombang maya.

Namun Islam adalah agama Allah SWT, tiada yang lebih tinggi dan hebat darinya, ia mampu menepis walau selaju mana pun fitnah yang datang, perisai kebal ini tidak mungkin boleh ditembusi. Berperisai dengannya akan selamat, ini janji Allah SWT.

"Setiap umat ada ajalnya", manusia adalah umat, tapi Islam bukan umat, ia adalah pelampung penyelamat, PAS jadikan Islam sebagai dasarnya dan mentarbiyyah ahlinya untuk memahami dan yakin dengannya. Dengan tarbiyyah inilah ahli PAS kenal mana yang terus selamat dan mana yang akan tenggelam.

"Aslim Taslam", ini keyakinan pimpinan dan ahli PAS, inilah tarbiyyah PAS, selagi pimpinan dan ahlinya yakin, Insya-Allah selagi itu PAS akan terus hidup, melainkan jika PAS buangkan dasar Islamnya dan ahlinya berjaya dijauhkan daripada tarbiyyah, pada ketika itu kita akan saksikan PAS rebah. – HARAKAHDAILY

Malaysian Official 1: Penjenayah paling dikehendaki negara

Posted: 25 Aug 2016 12:07 AM PDT

rencana_MO1penjenayah-01

Oleh Lim Kit Siang 


Pendedahan terkini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa pihak polis telah melengkapkan fasa pertama siasatan ke atas 1MDB dan ia adalah terhad kepada lima cadangan 'tidak wujud' Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seperti yang diarahkan oleh Kabinet, hanya menyebabkan siasatan polis terhadap 1MDB menjadi satu permainan dan sandiwara.

Ia menimbulkan banyak persoalan berhubung kebebasan, kesaksamaan, kecekapan dan profesionalisme polis Malaysia, terutama sama ada ia mampu dikategorikan sebagai salah satu badan polis terbaik dunia dari sudut kecekapan dan profesionalisme.

Sebagai contoh, bolehkah Khalid mengarahkan siasatan polis ke atas 1MDB untuk menyelidik lebih lanjut berkenaan dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengenai jenayah kecurian, penyelewengan dan pengubahan wang haram dana 1MDB yang bernilai berbilion ringgit atau beliau harus mendapatkan 'lampu hijau' dari Kabinet atau Perdana Menteri terlebih dahulu?

Tanpa 'lampu hijau' oleh Kabinet atau Perdana Menteri, adakah polis Malaysia terpaksa berpura-pura seolah-olah dakwaan DOJ setebal 136 mukasurat yang menyentuh jenayah kecurian, penyelewengan dan pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit melibatkan 1MDB itu tidak wujud – walaupun hampir 10 negara sedang menyiasat skandal antarabangsa dana 1MDB tersebut?

Bolehkah Khalid menjelaskan kepada rakyat Malaysia sama ada beliau secara rasmi telah meminta 'lampu hijau' dari Kabinet atau Perdana Menteri agar polis Malaysia dapat menyiasat dakwaan DOJ terhadap salah laku jenayah melibatkan 1MDB, atau beliau tidak pernah berbuat demikian kerana tahu ia tidak akan membawa sebarang erti, sama ada dari Kabinet atau Perdana Menteri sendiri?

Penahanan polis tanpa waran dan  reman tiga hari ke atas tiga aktivis pelajar, Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin pada Sabtu lalu kerana mempromosi himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 di UiTM Seri Iskandar, Perak mencetuskan persoalan tentang apa sepatutnya menjadi kedudukan polis berkenaan personaliti 'Malaysian Official 1' yang dinyatakan 36 kali dalam saman sivil setebal 136 mukasurat bagi rampasan aset selepas terdapat dakwaan berhubung penyelewengan dan pengubahan wang haram bernilai AS$3.5 bilion dari dana 1MDB.

Bukankah polis Malaysia sepatutnya peduli tentang siapa 'Malaysian Official 1' dan bukankah pihak polis seharusnya bekerjasama dengan kempen #TangkapMalaysianOfficial1 tersebut?

Jika dakwaan DOJ mengenai salah laku jenayah melibatkan 'Malaysian Official 1' adalah benar, bermakna dia merupakan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia. Jadi bagaimana mungkin pihak polis Malaysia tidak ambil peduli dan tidak berminat tentang itu?

Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru, sukar untuk berpendirian bahawa dokumen DOJ tidak menunjukkan wang telah diseleweng dari 1MDB memandangkan dakwaan berhubung salah laku kewangan itu melibatkan dana 1MDB – digambarkan sebagai "telah dicuri, diubah melalui institusi kewangan Amerika dan digunakan untuk memperkayakan beberapa pegawai dan sekutu mereka" – yang disebut dalam lebih 193 perenggan dalam dokumen tersebut.

Bukankah ia merupakan tanggungjawab polis Malaysia untuk mengenalpasti siapakah 'MO1' dan siapakah sebenarnya dalang di sebalik skandal kewangan antarabangsa 1MDB – sama ada 'MO1' atau jutawan Pulau Pinang, Jho Low?

Dakwaan DOJ mengetengahkan tiga fasa penyelewengan dan kleptokrasi 1MDB – 1) Fasa Good Star, 2) Fasa Aabar BVI dan 3) Fasa Tanore, menyatakan bahawa 'Malaysian Official 1' menyelewengkan AS$731 juta melalui 1MDB. Terdapat fasa keempat, iaitu fasa SRC yang tidak dinyatakan dalam saman DOJ itu.

DOJ menyebut bahawa dalam fasa Good Star, lebih AS$1 bilion sejak September 2009 hingga 2011 telah disalurkan dari 1MDB kepada Good Star kepunyaan Jho Low. Dalam fasa kedua iaitu fasa Aabar BVI pada tahun 2012, kira-kira AS$1.367 bilion dana 1MDB yang dibangkitkan dalam dua tawaran bon berasingan telah "disalahgunakan dan dialihkan melalui penipuan" ke akaun bank di Switzerland dan Singapura yang dikawal oleh Jho Low.

Seterusnya dalam fasa ketiga iaitu Fasa Tanore pada tahun 2013, lebih AS$1.26 bilion dana 1MDB sekali lagi dimasukkan ke dalam akaun bank di Switzerland dan Singapura yang dikawal oleh Jho Low tersebut.

Daripada hampir AS$3.6 bilion dana 1MDB yang diseleweng melalui tiga fasa berkenaan, AS$731 juta dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi 'Malaysian Official 1'.

Dengan keengganan untuk melancarkan siasatan yang boleh menangkis tuduhan-tuduhan berat seperti itu, adakah polis Malaysia sebenarnya menerima bahawa terdapat kes prima facie terhadap dakwaan DOJ mengenai jenayah kecurian, penyelewengan dan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB, serta peranan yang dimainkan oleh 'MO1' dan Jho Low dalam jenayah tersebut?

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas EPU, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, telah menyatakan bahawa "hanya orang bodoh yang tidak mengetahui siapa individu tersebut" seolah-olah siapa 'MO1' yang dinyatakan dalam saman sivil DOJ itu bukanlah satu rahsia.

Adakah polis telah menyoal siasat Abdul Rahman Dahlan mengenai identiti 'MO1'?

Adakah Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad adalah seorang yang 'bodoh' apabila menyatakan bahawa 'Malaysian Official 1' adalah Yang di-Pertuan Agong?

Ini merupakan satu kes yang menunjukkan secara jelas keengganan pihak polis untuk bertindak!

*Lim Kit Siang merupakan Ahli parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP


SPRM gigih tangkap ‘ikan bilis’, tapi ‘ikan paus’ masih bebas

Posted: 24 Aug 2016 11:59 PM PDT

lipeng

Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: Peristiwa penahanan pegawai berpangkat tinggi dan bergelar "Datuk Seri" di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini, mengundang seribu satu persoalan yang menuntut tindak balas segera pihak berwajib.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng memetik laporan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia berkata, pegawai yang diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit didakwa memiliki 31 unit pangsapuri bernilai RM15.5 juta dan kereta mewah.

Susulan pendedahan itu, katanya, persoalan mengenai harta kekayaan yang dimiliki individu bergelar menteri dan menteri dalam kabinet – yang mempunyai kuasa lebih tinggi daripada pegawai berkenaan – justeru harus dibangkitkan.

"Kita tertanya-tertanya, berdasarkan laporan ini, berapa banyak pula rumah banglo dan kereta mewah yang dimiliki Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor, yang enggan mengisytiharkan hartanya itu?

"Bagaimana pula dengan menteri-menteri kabinet yang lain? Adakah pihak berkuasa, terutamanya SPRM langsung tidak mahu tahu?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan penangkapan pegawai itu, Tengku Adnan seperti yang dilaporkan media, telah mengarahkan semua pegawai di bawah kementeriannya mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, beliau menolak gesaan supaya beliau sendiri mengisytihar kekayaan peribadinya kepada rakyat kerana bimbang kononnya akan menjadi mangsa rompakan, selain mendedahkan ahli keluarganya kepada bahaya.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut turut mempersoalkan jika peristiwa penangkapan SPRM yang "menjadi tajuk utama berita selama lebih seminggu" itu hanya sekadar helah untuk "mengalihkan perhatian daripada skandal penipuan" syarikat 1MDB.

"Sementara SPRM gigih menangkap beberapa ekor ikan bilis dan mempamerkan kejahatan mereka di dada akhbar, masih ada beberapa ekor ikan paus yang masih bebas berenang betul-betul di depan mata SPRM.

"Sebagai contoh, adakah SPRM telah menyiasat berapa banyak aset (dalam dan luar negara) yang dimiliki 'Malaysian Official 1' (MO1), anak tiri Najib Razak, Riza Aziz; dan juga Jho Low serta konco-konconya?" katanya.

MO1 yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Riza Aziz dan Jho Low adalah antara individu yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bagi menyita berbilion-bilion dolar AS yang didakwa dicuri daripada dana syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB. – Roketkini.com


Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi Myanmar - Kementerian Luar

Posted: 24 Aug 2016 11:52 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter yang berlaku di Chauk, di tengah Myanmar pada Rabu, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.
 
Chauk terletak di Daerah Magway, kira-kira 198 km daripada Mandalay dan 650 km daripada Yangon.
 
Kejadian itu direkodkan berlaku pada pukul 5.04 petang waktu tempatan.
 
Bandar Bagan juga dilaporkan turut mengalami kerosakan.
 
Menurut laporan rasmi, sebanyak 94 kuil Buddha dan kawasan arkeologi telah rosak akibat insiden gempa bumi tersebut.
 
Bangunan di bandar Yangon dan Nay Pyi Taw juga mengalami keretakan dan kerosakan.
 
Kedutaan Malaysia di Yangon sedang memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan kejadian ini dari masa ke semasa.
 
 

Ucapan berunsur hasutan, Naib Ketua Pemuda Amanah dihukum penjara lapan bulan

Posted: 24 Aug 2016 11:51 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Amanah, Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini ekoran didapati bersalah menyampaikan ucapan berunsur hasutan pada perhimpunan #Kitalawan tahun lalu.
 
Hakim, Shamsuddin Abdullah berkata, pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
 
"Kata-katanya berkecenderungan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan dan badan kehakiman. Tertuduh perlu menjalani hukuman penjara bermula hari ini (Khamis)," katanya.
 
Mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan pelaksanaan hukuman ke atas pendakwah agama itu tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000.
 
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala Fakhrulrazi diwakili oleh peguam Ariff Hazami Hussin.
 
Tujuh saksi memberi keterangan semasa perbicaraan, lima daripadanya adalah pihak pendakwaan.
 
Fakhrulrazi memanggil dua saksi, iaitu dirinya dan Adun Teja, Chang Lih Kang.
 
Sebelum ini, Fakhrulrazi tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan susulan ucapan pada 21 Februari di hadapan Sogo semasa protes #KitaLawan.
 
Dia didakwa berkata sistem kehakiman negara dikawal oleh kerajaan.
 
 

Tiada ulasan: