DIALOG RAKYAT |
- Ya kami tewas tapi apa yang kamu ada?
- Kenapa Pakatan Harapan, bukan yang lain?
- SPR pamer daftar pemilih bermula esok bagi 115,682 permohonan
- Jho Low joli duit bersamaan jumlah dua pertiga BR1M
- Pengasas pasaraya Maidin, Mydin Mohamed Gulam Hussein meninggal dunia
- Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bincang cadangan tanaman komersil Ketum
- Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan dekat Yong Peng
- Harga petrol tak naik, tapi cukai bagaimana?
- MO1: Berhentilah daripada menipu diri sendiri
- Fara Fauzana nikah 17 September ini
- DOJ: Peguam Negara akan hantar wakil bertindak
- Akta MKN tindas hak asasi manusia, kata AI .
- Mahkamah Tinggi arah anak Najib bayar CIMB RM200,000
- Inilah Hasilnya Bila Makan Campuran Madu Dan Kayu Manis
- ‘Rasuah kini lebih teruk’
- Harga sekotak rokok naik mulai 1 Ogos
- Pengguna Wi-Fi Awam, Anda Mungkin Diperhatikan
- MB Perlis Nafi Bersekongkol Dengan Tun M Untuk Jatuhkan PM
- Dzulkifli mula tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM baru hari ini
Ya kami tewas tapi apa yang kamu ada? Posted: 01 Aug 2016 08:23 AM PDT TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, walaupun ada pihak yang gembira dengan kekalahan Johor Darul Ta'azim (JDT) ke atas Perak, namun pasukannya itu telah memperoleh dua trofi dalam simpanan sendiri. Tunku Ismail berkata, kejayaan kelab bola sepak tidak diukur berdasarkan kemenangan atau kekalahan dalam sesuatu perlawanan tetapi melalui kemajuan pasukan seperti memenangi piala, kekuatan kewangan serta pencapaian secara keseluruhan. "Ini caranya kita menilai kejayaan. Walaupun anda begitu gembira kerana JDT tewas 3-0 dalam saingan Piala Malaysia, tidakkah anda sedar bahawa kami sudah memiliki dua trofi dalam simpanan kami untuk tahun ini? "Walaupun ramai gembira kerana JDT tewas 3-0, di manakah kedudukan anda dalam liga?," soalnya menerusi kemas kini status di laman sosial Johor Southern Tiger hari ini. Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, walaupun ada pihak berharap agar JDT tewas dalam persaingan liga tahun ini, kelab ini sudah pun berada dalam pertandingan AFC tahun hadapan berikutan kejayaan memenangi Piala FA. Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya juga dijemput ke Sepanyol bagi menghadiri Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak manakala jurulatihnya, Mario Gomez juga dijemput ke China untuk menyertai Bengkel Kejurulatihan yang khusus buat barisan jurulatih terkemuka di Asia. "Pencapaian bagi kami adalah mencipta sejarah. Pencapaian bagi anda adalah menewaskan kami. "Kami bermain dalam empat pertandingan dan hanya tewas dua kali. Jadi beritahu saya jika ini adalah kelab yang terbaik di negara ini atau tidak," katanya. Sehubungan itu, Tunku Ismail turut mengingatkan pengendali laman web bola sepak tempatan yang menulis laporan negatif mengenai JDT bahawa tindakan sedemikian tidak akan membuat kelab berkenaan berhenti daripada berkembang. "Semasa anda sibuk menulis dan menghantar komen menghina di internet, kami sedang menikmati kehidupan. "Sementara anda berdoa agar JDT tewas dalam liga tahun ini, kami sudahpun berada dalam pertandingan AFC tahun kerana JDT telah memenangi Piala FA. Sekiranya anda menyatakan bahawa JDT memenangi Piala AFC secara 'menang nasib'. AFC sebaliknya iaitu mengiktiraf kejayaan JDT. "Kami diberkati dengan rezeki yang ALLAH kurniakan dan berada pada kedudukan untuk melihat serta merasai sesuatu yang anda tidak akan dapat lihat atau rasa," katanya. Sebelum ini, Perak berjaya menumpaskan JDT 3-0 dalam kempen Kumpulan C, Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Ipoh. |
Kenapa Pakatan Harapan, bukan yang lain? Posted: 01 Aug 2016 08:18 AM PDT JAMZURI ARDANI Sebaik sahaja Soviet keluar dari bumi Afghanistan, maka muncung senjata para pejuang dihalakan sesama mereka. Maka berlakulah perang saudara yang memakan korban yg lebih besar di kalangan rakyat. Sentimen kelompok dan fahaman tribalisma mula menguasai pemimpin politik baru Afghanistan. Bosan dengan pertelingkahan yang tiada hujungnya, rakyat akhirnya memberi sokongan pada Taliban. Tapi Taliban juga gagal. Sehingga kini, rakyat Afghanistan masih menjadi korban keganasan pertembungan kuasa dan sektarian. Kebangkitan Arab (Arab Spring) juga mengalami nasib hampir serupa. Rakyat bangun mahu menjatuhkan diktator yang korup. Di Tunisia, Mesir, Libya, dan Yaman ... rakyat bersatu menumbangkan rejim diktator yg memerintah begitu lama. Namun, selain Tunisia, negara-negara lain tidak berjaya. Mesir kembali kepada junta. Libya masih terperangkap dlm perang saudara. Yaman juga tidak ke mana. Apa pengajarannya? Bagi saya, kalau parti-parti politik pembangkang mahu menumbangkang BN, mereka perlu terlebih dahulu menyusun organisasi politik mereka dengan baik. Kita tidak mahu jadi macam Afghanistan atau Libya. Kejatuhan rejim lama hanya digantikan dengan pertelingkahan kelompok yang tiada kesudahan oleh parti-parti yang sebelumnya menentang rejim lama. Maka itu, pendekatan "loose coalition", "election pact", "persefahaman satu lawan satu" dan seumpamanya bukan jawapan kepada kerosakan besar yang dilakukan oleh BN. Parti-parti pembangkang perlu kepada sebuah kolisi politik yang tersusun, berdisiplin, dan bersatu-padu. Kolisi politik ini perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas dalam perkara-perkara yang kritikal. Mereka perlu diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh. Hanya kolisi politik seperti ini yang mampu memberi jawapan kepada dilema politik negara kita. Maka itu, saya melihat hanya Pakatan Harapan yang setakat ini mempunyai persediaan ke arah itu. Saya sangat pesimis dengan pendekatan politik yang hanya mahu mengalahkan BN, tetapi tidak mempunyai komitmen untuk membina kolisi politik yang padu sebagai persediaan awal mengambil-alih pemerintahan. Pada tahun 2008, lima negeri terlepas dari genggaman BN. Waktu itu, pembangkang tidak mempunyai kolisi yang baik untuk mengambil alih pentadbiran negeri. Tetapi kita bernasib baik kerana kita punya tokoh tersohor seperti TG Nik Abdul Aziz, DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang berjaya membentuk Pakatan Rakyat. Sebaik sahaja TG Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan DS Anwar Ibrahim masuk penjara, kolisi Pakatan Rakyat jadi berantakan. Pengajaran ini perlu diambil sebaiknya. Jawapan kepada permasalahan ini ialah Pakatan Harapan, dan tiada yang lain. Sekiranya "Grand Coalition" mahu diwujudkan yang melibatkan penyertaan parti-parti politik yang lain, ianya mesti wujud dengan format yang sama dengan Pakatan Harapan. Saya secara tegas menyatakan, saya tidak yakin dengan pendekatan hanya sekadar "loose coalition","one-to-one understanding", "dual coalition" dan seumpamanya kerana ini adalah benih-benih yang bakal membawa kepada pertelingkahan di kemudian hari. Kita telah melihatnya berlaku, dan pastinya ia akan berulang. Ketololan itu ialah apabila anda melakukan perkara yang sama berulang-ulang, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. |
SPR pamer daftar pemilih bermula esok bagi 115,682 permohonan Posted: 01 Aug 2016 08:11 AM PDT BERNAMA SPR dalam satu kenyataan berkata suruhanjaya itu telah menerima sebanyak 115,682 permohonan pendaftaran sebagai pemilih terdiri daripada 93,530 pemilih baharu dan 22,152 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi. "Pemohon yang mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi dalam tempoh tarikh 1 April hingga 30 Jun lepas dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 2/2016. "Bagi permohonan pendaftaran baharu yang tidak tersenarai, pemohon boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu hari ini. SPR berkata pemilih berdaftar yang ingin melakukan bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu dalam RDPT Suku Tahun 2/2016 juga boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C. Dalam pada itu SPR turut akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih sepanjang tempoh pameran berlangsung. "Antara asas nama pemilih dikeluarkan ialah kerana mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam Daftar Pemilih kerana telah meninggal dunia atau lucut hak kewarganegaraan," menurut kenyataan itu. Sebarang pertanyaan mengenai RDPT Suku Tahun 2/2016 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di 03-88927000 atau menghubungi mana-mana pejabat SPR Negeri. Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan. |
Jho Low joli duit bersamaan jumlah dua pertiga BR1M Posted: 01 Aug 2016 08:09 AM PDT MALAYSIA DATELINE Sejak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diwujudkan pada 2009, Low Taek Jho atau Jho Low yang dilihat rapat dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didakwa menghabiskan sekurang-kurangnya AS$1, 011,734,281 iaitu bersamaan RM4,106,578,860. Pendedahan penulis Johannan Sim itu berdasarkan kiraannya mengikut beberapa sumber seperti laporan dalam The Wall Street Journal dan Forbes. Namun, sebahagian besar angka yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan itu, ujarnya, berpandukan dokumen tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat (AS). Dalam kiraannya itu, Sim membahagikan perbelanjaan Jhow Low kepada tujuh kategori iaitu pelaburan sebanyak (AS$ 334, 751, 856), servis dan barangan mewah (AS$ 321, 368, 000) serta hartanah (AS$ 169, 610, 000). Perbelanjaan selanjutnya berkaitan eksploitasi derma (philanthropical exploits) sebanyak AS$ 101, 000, 000; kenderaan mewah (AS$ 43, 354, 335) diikuti perjudian (AS$ 26,550,090) dan hadiah sehingga AS$15,100,000. Menurut Sim, perbelanjaan Jho Low lebih RM4.1 bilion itu bersamaan dengan nilai dua pertiga peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu berjumlah RM5.9 bilion pada tahun ini. Mengakui bukannya mudah untuk mengira jumlah besar wang yang dibelanjakan Jho Low, beliau dalam artikel bertajuk, "How much money has Jho Low spent since 2009? We try to calculate" berkata, sumber dari DOJ yang diumumkan minggu lalu itu dianggap paling diyakini. Beliau dalam tulisan yang dimuatkan di laman web, cilisos.my pada 29 Julai itu berkata, angka AS$ 703, 000, 000 yang dinyatakan dalam dokumen DOJ tersebut sangat menghampiri jumlah yang pernah dibongkarkan sebelum ini seperti di The Edge. Sehubungan itu, ujarnya lagi, tidak mustahil "Malaysian Official 1" (Pegawai Malaysia 1) yang dinyatakan dalam tuntutan mahkamah tersebut adalah Jho Low. Dalam hal berkaitan juga, Sim mendapati carian "Low" atau "Jho Low" muncul sebanyak 290 kali manakala carian "Aziz" iaitu merujuk kepada nama Riza Aziz disebut sehingga 78 kali. Sementara itu,carian "Malaysian Official 1", dedah Sim telah muncul sebanyak 32 kali dalam dokumen tuntutan mahkamah setebal 136 halaman tersebut. Untuk rekod, DOJ sebelum ini mendakwa akaun bank "Malaysian Official 1" menerima sebanyak AS$731 juta yang dikatakan disalur dari 1MDB. Tanpa memberitahu siapa sebenarnya "Malaysian Official 1", dokumen berkenaan hanya menyatakan individu itu sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai jawatan besar dalam 1MDB. |
Pengasas pasaraya Maidin, Mydin Mohamed Gulam Hussein meninggal dunia Posted: 01 Aug 2016 08:06 AM PDT BERNAMA Anak Allahyarham yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, 60, berkata bapanya yang berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada 5.06 petang. "Bapa saya dibawa ke hospital kerana muntah-muntah selepas pulang dari kedai (Mydin) di Masjid India selepas waktu Zohor tadi," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Mont Kiara selepas solat Zohor pada Rabu, setelah kepulangan anak bongsu Allahyarham yang menetap di Amerika Syarikat. Lahir di Pulau Pinang pada 1928, Allahyarham meninggalkan isteri Rowshan Bai, 80, serta tujuh anak. Ameer Ali berkata syarikat Mydin diasaskan arwah bapanya di Kota Baharu, Kelantan pada 1957. "Arwah merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan menepati waktu semasa berurusan dengan orang lain terutama dalam urusan perniagaan. "Arwah juga sering mengingatkan anak-anaknya supaya makan duit yang halal dengan menjalankan perniagaan yang jujur," kata Ameer Ali yang merupakan anak ketiga Allahyarham. |
Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bincang cadangan tanaman komersil Ketum Posted: 01 Aug 2016 08:04 AM PDT BERNAMA Majlis Fatwa Kebangsaan diminta mengadakan perbincangan bersama pakar perubatan serta pemimpin masyarakat mengenai penanaman ketum berskala besar di negara ini, yang dicadangkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda). Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata cadangan tersebut dilihat agak sensitif dan boleh menimbulkan kontroversi. "Sekiranya pokok ketum ditanam secara meluas di negara ini, ia dibimbangi mendatangkan lebih banyak kemudaratan dalam kalangan masyarakat daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak. "Diharap kerajaan dan pihak berkaitan akan memperhalusi cadangan berkenaan supaya ia tidak disalahguna segelintir pihak terutamanya generasi muda," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Perak serta Lembaga PPK Perak hari ini, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang. Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin berkata terdapat banyak tanaman lain yang boleh ditanam dalam kawasan kebun getah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil. "Sebagai contoh, mereka boleh menanam pokok petai atau durian belanda yang dipercayai boleh mengubati penyakit," katanya. Baru-baru ini, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar. Zahidi berkata penanaman ketum sebagai alternatif bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap getah disebabkan harga komoditi itu menurun ketika ini. |
Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan dekat Yong Peng Posted: 01 Aug 2016 07:59 AM PDT Shahrul Hassan, Astro AwaniBATU PAHAT: Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi mengalami cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 104.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara Johor. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad Abd Hamid berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Sentra JJT 7079 yang merempuh pembahagi jalan dan masuk ke dalam longkang. Mangsa yang meninggal ialah sepasang suami isteri bersama anak mereka yang berusia dua tahun, sementara yang cedera parah ialah dua kanak-kanak berumur lima dan enam tahun. Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng bersama sebuah jentera tiba di tempat kejadian kira-kira satu jam selepas panggilan diterima. |
Harga petrol tak naik, tapi cukai bagaimana? Posted: 01 Aug 2016 07:57 AM PDT SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiarkan secara terperinci jadual kiraan dasar apungan harga mengikut pasaran bagi membolehkan rakyat menilai jumlah cukai dikutip secara diam. Dakwa beliau, kiraan harga apungan bagi bulan Ogos dengan menggunakan harga pasaran purata dan kadar tukaran purata sepanjang Julai 2016 menunjukkan bahawa petrol RON95 menunjukkan penurunan sebanyak 10 sen. Namun begitu, Rafizi berkata, harga petrol di stesen minyak seperti yang diarahkan oleh kerajaan melalui KPDNKK menunjukkan RON95 kekal pada RM1.75 seliter. "Ini bermakna sepanjang bulan Ogos 2016, rakyat Malaysia akan membayar 10 sen cukai bagi setiap liter RON95 yang dibeli. [ARTIKEL BERKAITAN: Harga petrol kekal, diesel naik 10 sen] "Saya percaya keadaannya sama bagi RON97 dan diesel walaupun saya tidak melakukan kiraan bagi kedua-dua jenis minyak itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Rafizi, dengan anggaran penggunaan minyak tahunan sebanyak 17 bilion liter berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bagi tahun 2011 (iaitu anggaran yang konservatif kerana penggunaan minyak tahunan meningkat berkadar dengan jumlah kenderaan), cukai 10 sen setiap satu liter bersamaan dengan anggaran kutipan cukai RM142 juta bagi bulan Ogos ini. Ujarnya, cukai RM142 juta ini dikutip bagi menampung subsidi ditanggung oleh kerajaan bagi bulan Mei dan Jun tahun ini apabila mereka menetapkan harga minyak yang lebih rendah dari harga apungan mengikut formula berikutan pelaksanaan Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar serta Kuala Kangsar . "Tindakan menetapkan harga mengikut kepentingan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional adalah melampau apabila beliau sendiri mengumumkan kerajaan akan menetapkan nilai petrol mengikut harga pasaran. "Sebaliknya yang berlaku harga minyak ditetapkan mengikut kesesuaian dan kepentingan beliau sendiri," katanya. Sekiranya perkara ini berterusan, Rafizi memaklumkan bahawa rakyat boleh dikenakan cukai secara senyap-senyap bagi menguntungkan BN dan kutipan itu dibelanjakan ketika kempen pilihan raya untuk memastikan parti berkenaan mendapat kelebihan berganda berbanding pembangkang. |
MO1: Berhentilah daripada menipu diri sendiri Posted: 01 Aug 2016 07:51 AM PDT BERIKUT posting terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blog beliau, chedet.cc Posting berjudul "Pemimpin Umno" dimuat naik hari ini:- 1. Bilakah pemimpin Umno akan mengakui kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Najib? 2. Sejak mula skandal 1MDB didedah, pemimpin-pemimpin Umno cuba menidakkan tuduhan terhadap Najib. 3. Kononnya semua tuduhan ini berniat jahat – bertujuan untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang dipilih secara demokratik. Mereka sengaja lupakan bahawa Datuk Abdullah, PM Malaysia Kelima juga dipilih secara demokratik tetapi dijatuhkan oleh Najib sendiri. 4. Dalam negara demokratik banyak sudah pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya yang dijatuhkan sebelum edahnya. Demikian PM Abbott Austraila. President Brazil digantung jawatan atas keputusan mahkamah tinggi supaya siasatan dapat dibuat keatasnya tanpa halangan. 5. Sekarang ini pula tuduhan dibuat bahawa saya yang membuat laporan terhadap Najib kepada Amerika Syarikat sehingga laporan berkenaan salah guna kuasa dan melesapkan wang Kerajaan dibuat oleh pasukan keadilan Amerika terhadap Najib. 6. Saya tidak buat apa-apa laporan. Tetapi jika saya buat laporan pun, hanya kerana itu kesalahan Najib tidak akan menjadi tidak salah. 7. Benang basah tidak mungkin ditegak. Percubaan pemimpin-pemimpin Umno mendakwa Najib tidak bersalah tidak mungkin menjadikannya tidak salah. Tuduhlah, kecamlah, makilah. Yang salah tetap salah. 8. Sejak skandal 1MDB didedah, bukti-bukti salah guna kuasa dan penipuan Najib menjadi semakin nyata. Bermula dengan laporan dalam akhbar, ia diikuti dengan laporan oleh Bank Negara, BPR, Auditor General dan PAC. Tiap satu menerangkan kesalahan Najib. Menjadikan laporan-laporan ini rahsia pemerintah tidak berjaya menutup isi kandungan laporan. Di zaman ini tidak ada cara bagi merahsiakan dokumen. Sarawak Report melapor berkenaan wang yang ada dalam akaun Najib di Ambank yang disertai dengan dokumen-dokumen yang tidak boleh disangkal. Najib tidak dapat membuat apa-apa, jauh sekali dari menyaman malu Sarawak Report. 9. Akhirnya Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bukan sahaja mengeluarkan laporan bertulis tetapi penjelasan dibuat secara terperinci oleh pegawai-pegawai DOJ melalui TV. Malaysia sudah jadi negara penipu dan rasuah yang terbesar di dunia. Semua orang berasa malu tetapi pemimpin Umno sahaja yang tidak tahu malu. 10. Walaupun nama Najib tidak dicatit tetapi semua tahu bahawa Malaysian Official 1 (Pegawai Malaysian Nombor 1) ialah Najib. Hanya yang bangang sahaja yang tidak kenal Najib sebagai Pegawai Malaysia Nombor 1. Dan mereka sahaja yang masih sanggup menerima Najib sebagai pemimpin mereka. 11. Wahai pemimpin Umno berhentilah dari menipu diri. Kamu tahu Najib bersalah. Kamu tahu Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. 12. Merahsiakan segala laporan berkenaan dengan kesalahan Najib melalui OSA mungkin mengelirukan sebahagian kecil dari rakyat Malaysia. Tetapi OSA tidak boleh rahsiakan perbuatan Najib di kalangan masyarakat dunia. Kamu, pemimpin UMNO akan dipandang hina kerana masih mencuba menidakkan penipuan Najib dalam pengurusan 1MDB. 13. Kerajaan sekarang menghadapi kekurangan dana. Untuk menampung beban hutang 1MDB rakyat dipaksa bayar cukai GST, tol dinaikkan, subsidi minyak dihapuskan, Langkawi dan Labuan sebagai pulau bebas cukai ditamatkan. Bajet yang besar dibuat tetapi Kementerian, Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan diarah supaya mengurangkan belanja sebanyak 20 peratus. Bayaran kontrak dilewat-lewatkan. 14. Untuk membayar hutang 1MDB, tanah Kerajaan yang bernilai RM7,000/- skp dibeli dengan harga RM60/- skp dan dijual dengan harga RM 3,500 skp. 15. Sekarang laporan akhbar luar mendedahkan kontrak membina landasan keretapi di pantai timur yang ditawar oleh syarikat Cina sebanyak RM30 billion dinaikkan kepada RM60 billion, supaya lebihan dari harga kontrak sebanyak RM30 bilion boleh diguna untuk bayar hutang jaminan RM27 bilion yang dituntut oleh IPIC, Abu Dhabi. 16. Hutang 1MDB boleh dibayar secara ini. Tetapi wang yang dilesapkan melalui 1MDB masih berada di tangan orang yang diketahui melesapkannya. Jenayah ini masih perlu ditangani melalui proses undang-undang. Dengan perkataan lain, walaupun hutang dibayar oleh Kerajaan, penjenayah yang menghilangkan duit 1MDB tidak terlepas dari dituduh dan dibicara dalam mahkamah. 17. Pemimpin-pemimpin Umno perlu sedar akan hakikat ini dan mendesak supaya proses undang-undang dikuatkuasakan. Jika tidak kamu mungkin dianggap sebagai bersubahat dalam perlakuan jenayah ini. |
Fara Fauzana nikah 17 September ini Posted: 01 Aug 2016 07:46 AM PDT SELEPAS berita mengenai perkahwinannya tersebar, hos dan bekas penyampai radio popular, Fara Fauzana akan mendirikan rumah tangga 17 September depan. Menerusi sidang media yang diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Fara, atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohamad Fadzil, 36, berkata, majlis akad nikah dan resepsi pernikahan akan diadakan di lokasi sama. "Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Dia bersama keluarga datang berjumpa saya pada Februari lalu dan kami akan menikah pada jam 9 pagi di sini, diikuti resepsi pernikahan pada jam 12 tengah hari. "Kedua-dua majlis ini akan dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat terdekat," katanya. Menceritakan detik pengenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Hafiz ini, Fara berkata, segalanya diaturkan oleh sahabat baiknya dalam satu pertemuan di sebuah majlis. Katanya, sikap bertentangan Hafiz dengan dirinya membuatkan dia selesa bersama lelaki itu. "Keperibadian dia telah berjaya menawan hati saya. Dia mempunyai pengetahuan agama yang baik, pemalu, pendiam, penyabar, pandai masak. "Pendek kata ia bertentangan dengan saya. Sebab itulah saya selesa bersama dengan dia," katanya yang menegaskan lelaki tersebut masih lagi bujang. Tambah Fara, dia dan teman lelakinya itu belum lagi berbincang mengenai kerjaya Fara selepas ini. Bahkan dia tidak pasti sama ada Hafiz mengetahui bahawa dia seorang selebriti mahupun tidak. "Kalau jumpa kami selalu bincang mengenai makanan sahaja (ketawa). Jadi saya tidak pasti lagi mengenai kerjaya saya selepas ini. "Tapi di pihak saya, saya tidak ada masalah meneruskan karier saya seperti biasa," katanya. Berkongsi mengenai persiapan majlisnya nanti, Fara berkata, persiapan sudah berlangsung lebih 60 peratus dan dia akan mengayakan rekaan Rizalman pada hari bahagianya nanti. "Insya-Allah majlis bertandang akan diadakan seminggu selepas itu, bagaimanapun saya masih tidak tahu perinciannya lagi. "Bagaimanapun ia akan diadakan di sekitar Lembah Klang, memandangkan dia adalah orang Shah Alam," jelasnya. Berita mengenai majlis perkahwinan Fara mula bertebaran sejak beberapa hari lalu, setelah wakil Fara mula mengedarkan jemputan RSVP by Fara Fauzana. Ujar Fara, dia tiada niat untuk mensensasikan majlis perkahwinannya dan membuat sidang media ini bagi memudahkan semua pihak termasuk media. |
DOJ: Peguam Negara akan hantar wakil bertindak Posted: 01 Aug 2016 07:41 AM PDT SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang mempertimbangkan untuk menghantar wakil bertindak sebagai peguam pemerhati pada prosiding saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengenai sitaan aset-aset yang dikatakan dilesapkan dari IMDB. "Saya sedang memikirkan idea bahawa mungkin saya atau pegawai saya akan ke sana semasa prosiding. Sekurang-kurangnya untuk menyatakan minat kita kerana kita dengar anda (AS) mahu memberikan wang kepada kita, kita mahu mendengarnya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri upacara mengangkat sumpah dua pesuruhjaya kehakiman. Beliau juga berkata sebuah firma guaman Amerika Syarikat mungkin juga dilantik dan bersama-sama dengan pegawai kanannya atau bersama beliau untuk menghadiri prosiding itu. Mohamed Apandi menjelaskan bahawa peguam pemerhati bermakna bahawa wakil akan menghadiri prosiding mendengar saman dan mendengar apa-apa yang terbit dalam prosiding di mahkamah dan mungkin, dengan kebenaran mahkamah, akan bertanya beberapa soalan untuk penjelasan. Beliau berkata, IMDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan memandangkan ada tanda-tanda oleh Peguam Negara Amerika Syarikat bahawa mereka akan memulangkan wang yang diseleweng itu kepada Malaysia. Apandi berkata beliau akan berhubung dengan peguam-peguam Amerika Syarikat untuk membantunya mengenai prosedur berhubung dengan kemungkinan wakil Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati dalam prosiding mendengar saman sivil kerana sistem kehakiman Amerika Syarikat berbeza sama sekali dengan sistem di Malaysia. "Saya masih mengkaji idea itu. Tetapi belum dinasihatkan oleh para peguam Amerika Syarikat," kata beliau. Kepada soalan sama ada tindakan akan diambil ke atas Low Taek Jho yang dinamakan dalam saman sivil itu, Mohamed Apandi berkata siasatan belum selesai. Beliau, bagaimanapun berkata apabila kertas siasatan siap, beliau akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan pendakwaan atau tidak. "Jika ada bukti, saya akan mendakwa, tiada siapa akan terlepas," kata beliau. Pada 21 Julai, tahun ini, DOJ memfailkan saman sivil untuk menyita aset-aset yang diperoleh menggunakan wang yang dikatakan digelapkan dari 1MDB, dana pelaburan kerajaan. Terdahulu, bekas timbalan peguamcara negara I Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan seorang peguam Azmi Abdullah mengangkat sumpah sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya. Tun Abd Majid, 55, dari Mentakab, Pahang dan Azmi, 49, dari Kota Bharu, Kelantan menerima surat pelantikan daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. – Bernama |
Akta MKN tindas hak asasi manusia, kata AI . Posted: 31 Jul 2016 10:30 PM PDT MALAYSIAKINI Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuat kuasa hari ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menindas hak asasi manusia dan bertindak sewenang-wenangnya, demikian menurut Amnesty International. "Dengan undang-undang baru ini, kerajaan Malaysia kini menolak pemeriksaan dan memegang kuasa yang mungkin menjelikkan," kata Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict. Undang-undang baru ini akan memberikan pihak berkuasa Malaysia kuasa untuk menjalankan tangkapan tanpa waran, menggeledah dan menyita harta selain mengenakan perintah berkurung, ujarnya dalam kenyataan. Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa 'penjaja ketakutan' bermotif politik sengaja menyalah tafsirkan akta MKN 2016. "Kerajaan dikritik kerana meluluskan undang-undang ini, termasuk oleh sesetengah penjaja ketakutan demi kepentingan politik. Akta MKN terutamanya sengaja disalah tafsir," kata Najib dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, jelas Najib, undang-undang baru itu tidak sama dengan pengisytiharan darurat - seperti didakwa pengkritik - kerana kuasa masih berada di tangan Yang di-Pertuan Agong. Tidak seperti ketika darurat diisytiharkan, parlimen masih tetap wujud dan mengawasi sebarang kawasan yang diisytihar berada dalam kawalan keselamatan. Beliau juga mengulangi penegasan sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan memohon maaf kerana menggubal undang-undang MKN yang dikatakannya bertujuan untuk mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia. Mengulas lanjut, Benedict menambah, peruntukan di bawah Seksyen 18 akan membolehkan perdana menteri menetapkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai 'kawasan keselamatan' jika dirasakan sebagai 'merbahaya'. "Ada sebab yang baik untuk berasa takut akta ini akan menjadi satu lagi alat di tangan kerajaan untuk melumpuhkan protes aman di bawah nama keselamatan negara," kata Benedict. Jelas beliau, status khas yang diberikan kepada 'kawasan keselamatan' boleh memburukkan lagi rekod Malaysia untuk hal kematian dalam tahanan dan kekejaman polis. Di bawah Seksyen 35 pula, tambahnya, majistret dan koroner tidak perlu lagi menjalankan inkues terhadap kematian akibat operasi pasukan keselamatan dalam kawasan terbabit. Akta berkenaan juga membolehkan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan yang boleh membawa maut tanpa perlindungan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di samping memberikan kuasa yang luas untuk menjalankan tangkapan tanpa waran. |
Mahkamah Tinggi arah anak Najib bayar CIMB RM200,000 Posted: 31 Jul 2016 10:09 PM PDT Hafiz Yatim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan oleh anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berhubung rayuannya terhadap CIMB. Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuannya berhubung kes Nazifuddin yang bertindak sebagai penjamin sebuah syarikat yang gagal membuat bayaran semula kepada bank. Dengan ini, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar RM200,000 - iaitu jumlah yang terhutang oleh syarikat berkkenaan kekal. Keputusan itu dibuat dalam kamar. Bulan lalu, CIMB dilaporkan menuntut daripada Nazifuddin, anak Najib hasil perkahwinan pertamanya, untuk membayar sejumlah wang selepas syarikat yang diaminnya gagal membuat pembayaran yang dibuat mengikut perjanjian sewa beli. Peguam Nazifuddin bagaimanapun berhujah bahawa CIMB tidak berhak menuntut jumlah penuh sebanyak RM200,000. Ini kerana dalam surat tuntutannya, CIMB memohon RM12,000 dari Nazifuddin, justeru, peguamnya berkata bank itu tidak boleh menuntut jumlah keseluruhan. Mereka mendakwa bahawa perjanjian jaminan yang menyatakan bahawa liabiliti pelanggan hanya terhad kepada apa yang dituntut. Anak Najib gagal membatalkan kes itu di Mahkamah Sesyen manakala CIMB memperolehi penghakiman terus terhadapnya. Penghakiman terus adalah keputusan tanpa perbicaraan penuh. Nazifuddin diwakili peguam Justin Voon manakala peguam K Ganesan mewakili CIMB |
Inilah Hasilnya Bila Makan Campuran Madu Dan Kayu Manis Posted: 31 Jul 2016 10:09 PM PDT Umum sedia maklum madu terkenal sebagai bahan yang berkesan mencegah pelbagai penyakit jika sentiasa diamalkan. Ia juga adalah makanan sunnah Rasulullah s.a.w. Selain dari itu madu asli jika dicampurkan dengan serbuk kayu manis boleh dijadikan sebagai bahan semulajadi mencegah pelbagai penyakit. Jika anda mengamalkannya selalu, inilah hasil yang akan diperoleh. Merawat jerawat di muka. Campurkan tiga sudu madu asli dan satu sudu kayu manis. Sapukan campuran bahan itu pada muka (yang berjerawat) sebelum tidur. Bersihkan wajah anda dengan air suam pada keesokkan pagi. Amalkan setiap hari selama dua minggu berturut-turut. Ia membantu menghilangkan jerawat bahkan kulit akan terasa lebih segar dan awet muda. Masalah keguguran rambut Campurkan sesudu madu dan sesudu serbuk kayu manis. Sapukan pada kulit kepala. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air sehingga bersih. Hasilnya rambut lebih kuat, bersinar dan berkilau. Masalah penghadaman Untuk melancarkan sistem penghadaman dan pencernaan tubuh badan, ambil campuran dua sudu madu asli dan serbuk kayu manis. Sistem imunisasi Amalan pengambilan campuran ini mampu menguatkan sistem imunisasi serta melindungi tubuh daripada jangkitan bakteria. Ini kerana madu asli mengandungi kandungan vitamin dan zat besi yang tinggi. Masalah nafas berbau dan kurang pendengaran Minum secawan air panas yang dicampurkan dengan satu sudu teh madu asli dan serbuk kayu manis. Amalkan minum air campuran ini setiap pagi. Ia membantu menyegarkan nafas dan mengekalkan daya pendengaran secara normal. Masalah kesuburan Bagi golongan lelaki, ambil dua sudu makan madu sebelum tidur mampu meningkatkan kesuburan sementara untuk wanita pula ambil ½ sudu makan serbuk kayu manis dicampurkan dalam satu sudu teh madu untuk meningkatkan kesuburan. |
Posted: 31 Jul 2016 09:49 PM PDT PUTRAJAYA - Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mendakwa rasuah yang berlaku sekarang lebih teruk berbanding sebelumnya. Berkongsi pengalaman bertugas sebagai pegawai kesihatan pada tahun 1970-an, beliau mendedahkan pernah ditawarkan rasuah sebanyak dua kali. "Cubaan merasuah saya kali pertama adalah ketika saya mengendalikan kes pesakit yang memerlukan pemindahan darah kerana komplikasi ketika melahirkan anak. "Waktu itu saya sedang menulis laporan mengenai kes itu dan datang suami kepada wanita yang bersalin itu menghulurkan wang sebanyak RM10 untuk membeli darah bagi isterinya. Saya terperanjat dan marah, tapi saya terfikir mungkin ada individu yang meyakinkan supaya menawarkan rasuah. Saya suruh gunakan duit itu untuk beli makanan buat isterinya," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Kelab Che Det di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam. Menurutnya, kali kedua beliau ditawarkan rasuah adalah sewaktu bertugas di Jitra, Kedah sebagai pegawai kesihatan. "Saya terima surat daripada seseorang yang menawarkan RM50 jika mengambilnya bekerja. Saya bawa surat kepada Badan Pencegahan Rasuah ketika itu dan meminta saya untuk membalas surat agar individu itu datang ke pejabat saya. "Pegawai rasuah rancang untuk serbu pejabat sejurus saya ditawarkan rasuah. Laci dan tempat-tempat tertentu di pejabat saya dipasang perakam suara namun apabila individu itu datang berjumpa saya, dia tidak sebut tentang rasuah. "Saya juga tertanya-tanya apakah ia hanya ujian untuk menguji kejujuran saya menjalankan tugas," katanya. Beliau menasihati pemimpin hari ini supaya menampilkan imej yang baik agar dihormati rakyat. "Hiduplah kita dengan ikhlas dan punyai kehormatan diri agar orang menghormati kita," katanya Siti Hasmah turut menyokong usaha menghapuskan rasuah walaupun ia memakan masa yang lama. "Walaupun ambil masa lama, pastikan ada pemimpin bersih dan amanah di negara ini," katanya. |
Harga sekotak rokok naik mulai 1 Ogos Posted: 31 Jul 2016 09:49 PM PDT SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Harga minimum rokok dinaikkan daripada RM7 kepada RM9 sekotak bermula Sabtu ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini. Beliau berkata perkara itu diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) hari ini. "Harga minimum ini akan dinaikkan kepada RM10 mulai 1 Ogos 2016," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di kementeriannya di sini. Beliau turut mengumumkan dua peraturan baharu melibatkan kawasan zon larangan merokok, melibatkan tempat awam dan tempat makan berhawa dingin. Dr Subramaniam berkata bermula 1 Januari tahun hadapan, taman awam kecuali tempat letak kereta terbuka akan diwartakan sebagai tempat dilarang merokok. "Malah, beberapa kawasan tumpuan awam seperti tapak perkhemahan, menara tinjau dan laluan kanopi (jambatan gantung) di 35 Taman Negara juga akan diwartakan sebagai tempat dilarang merokok," katanya. Selain itu, Dr Subramaniam berkata keseluruhan tempat makan berhawa dingin juga telah diisytiharkan sebagai tempat dilarang merokok. "Kalau dahulu, kita membenarkan satu pertiga daripada tempat makan berhawa dingin di bawah Peraturan 21 sebagai tempat merokok. Sekarang ia dimansuhkan," katanya. "Penguatkuasaan larangan merokok di taman awam dan Taman Negara akan dijalankan oleh renjer hutan dan pihak berkuasa terlibat dan mereka akan diberikan kuasa untuk menguatkuasakan warta ini," katanya lagi. - Bernama |
Pengguna Wi-Fi Awam, Anda Mungkin Diperhatikan Posted: 31 Jul 2016 09:39 PM PDT Oleh: NICHOLAS CHENGMalah, lebih baik jika anda sama sekali tidak membuat sambungan kepada mana-mana Wi-Fi awam, kata Pengarah Eksekutif LE Global Services (LGMS) Fong Choong Fook, sebuah firma keselamatan siber swasta yang mengupah pekerja untuk menguji keselamatan rangkaian bank-bank utama di negara ini daripada digodam. "Saya tidak akan menggunakan Wi-Fi awam," katanya. "Orang yang celik IT sekali pun mungkin tidak dapat menentukan sama ada titik capaian yang dihubungkannya itu selamat atau aktivitinya sedang diperhatikan. Agensi keselamatan siber nasional, Malaysia CyberSecurity Malaysia (CSM) berkata penggodam boleh menempatkan diri mereka di antara peranti seseorang dan router Wi-Fi serta mampu merakam data sensitif yang ditaip oleh pengguna atau pelayar ke dalam peranti masing-masing. Penggodam juga boleh 'mencipta' Wi-Fi mereka sendiri dan menipu orang ramai yang mungkin berfikir mereka akan disambungkan ke akses Wi-Fi awam yang berwibawa seperti dari restoran, lapangan terbang atau pejabat, tetapi sebenarnya peranti mereka disambungkan kepada perkakasan penjenayah. Oleh itu, penggodam akan dapat melihat segala-galanya yang dihantar seseorang ke Wi-Fi ciptaan mereka seperti kata laluan, e-mel atau maklumat kad kredit. Serangan yang mungkin menakutkan ini sebenarnya telah berlaku seawal tahun 1990-an, kata Choong Fook. Beliau telah menunjukkan demonstrasi kepada The Star bagaimana penggodam boleh mencuri maklumat, dengan cara LGMS mewujudkan satu akses 'Wi-Fi kembar' menggunakan komputer riba, dan menamakan sebuah restoran francais terkenal yang terletak bawah pejabatnya di Puchong, Selangor. Choong Fook menyambungkan dua peranti dengan Wi-Fi ini dan terus membuat log masuk ke media sosial, e-mel dan laman web kerajaan. Dalam masa beberapa saat selepas log masuk, komputer penggodam mula merakamkan aktiviti-aktiviti oleh dua peranti untuk eksperimen ini di mana alamat e-mel, nama pengguna dan kata laluan yang telah dimasukkan semuanya telah dirakamkan. Walaupun demonstrasi itu hanya terhad untuk peranti dalam persekitaran terkawal pejabat LGMS, tiga pengguna lain juga telah membuat sambungan dengan 'Wi-Fi rekaan' ini apabila mereka berfikir ia benar-benar disediakan oleh restoran francais tersebut. "Penggodam boleh menyasarkan orang-orang tertentu atau semua orang di kafe untuk mendapatkan data-data daripada peranti mereka melalui Wi-Fi rekaan. "Apabila mereka mempunyai maklumat anda, mereka boleh mencuri identiti anda. Mereka boleh menyamar di Facebook, atau menghantar e-mel kepada kenalan anda di bawah akaun anda," katanya. Choong Fook menasihatkan pengguna untuk mengelak membuat sambungan kepada Wi-Fi awam atau menghadkan pelayaran mereka jika mereka harus menyambung kepada Wi-Fi awam. Firma itu juga mencadangkan agar pengguna melanggan teknologi VPN (rangkaian peribadi maya) untuk memastikan trafik mereka selamat. VPN menyulitkan data pada peranti dan menyukarkan penggodam untuk mengintip aktiviti dalam talian pengguna. Kebanyakan VPN boleh didapati secara langganan, sama seperti program anti-virus. Setakat tahun ini, CSM telah mencatatkan lapan keadaan di mana rangkaian Wi-Fi swasta telah digodam dan 1,462 kes pencerobohan dalam talian telah dilaporkan, iaitu hampir dua kali ganda bilangan insiden berbanding tempoh yang sama pada 2015. Pengguna dinasihatkan untuk mengemaskini pelayar internet mereka dan menutup ciri simpanan kata laluan secara automatik dalam cache kerana ia lebih memudahkan penjenayah untuk mencuri data. |
MB Perlis Nafi Bersekongkol Dengan Tun M Untuk Jatuhkan PM Posted: 31 Jul 2016 09:31 PM PDT Beliau berkata beliau tidak pernah melakukan perbuatan tersebut atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap 'menikam belakang' perdana menteri sehingga hari ini sebagaimana didakwa blogger Yusman Zahari. "Saya sentiasa menyokong tanpa berbelah-bagi malah ketika perdana menteri diserang berkaitan isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion, saya adalah antara ketua UMNO bahagian yang secara terang, jelas dan tegas mempertahankan kepimpinan beliau. "Niat buruk Yusman terserlah dengan mengadakan cerita yang tidak pernah berlaku dan menuduh Senator Ramli Sharif yang saya namakan sebagai Ahli Dewan Negara berada di barisan hadapan menyambut Tun Dr Mahathir pada 28 Julai lepas," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin. Azlan berkata tulisan blogger itu bersifat pembohongan, fitnah dan berniat jahat selain cuba menimbulkan permusuhan antara beliau dengan perdana menteri dan membentuk persepsi negatif rakyat Perlis terhadapnya. Katanya tuduhan blogger tersebut bahawa beliau tidak pernah menyokong perdana menteri secara terbuka dan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semasa Mukhriz masih menteri besar Kedah juga adalah tidak benar. "Saya mencabar Yusman membuktikan segala tuduhannya dan menuntut beliau menarik balik dakwaan, pembohongan dan fitnah serta memohon maaf secara terbuka kepada saya dalam masa terdekat. "Sekiranya dia gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman beliau untuk membersihkan nama saya," kata beliau yang juga ketua UMNO bahagian Kangar. |
Dzulkifli mula tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM baru hari ini Posted: 31 Jul 2016 09:25 PM PDT ANTARAPOS.COM PUTRAJAYA: Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu di Ibu Pejabat SPRM, di sini. Beliau yang tiba tepat jam 8 pagi, disambut barisan pengurusan tertinggi SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah. Hadir sama termasuk Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Datuk Alias Salim dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki. Beliau kemudiannya mengetip kad perakam waktu sebelum masuk ke pejabat. Dzulkifli, yang sebelum ini adalah Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa pada Jumaat lepas mengumumkan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021. Abu Kassim pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan