Ahad, 19 Jun 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kera peliharaan cakar pipi bayi umur 8 bulan

Posted: 19 Jun 2016 03:55 PM PDT

Kera peliharaan cakar pipi bayi umur 8 bulan


DUNGUN - "Kera itu melompat secara tiba-tiba dan menarik rambut sebelum mencakar pipi anak saya," demikian cerita bapa kepada bayi lapan bulan , Khaiffah Nurul Damia Qhalifa yang cedera di pipi kiri setelah kera peliharaannya bertindak di luar kawalan, dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, di sini, khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 9.00 pagi, bayi perempuan  itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan yang agak serius.

Syed Mohamad Hishamudin, 36 berkata, ketika kejadian anaknya  sedang didukung oleh isteri, Norhayati Mohd Dahan, 36, yang melalui tempat kera peliharaan  ditambat untuk ke belakang rumah.

Menurutnya, dia tidak menyangka kera yang dipelihara sejak tiga tahun lalu itu akan bertindak ganas sehingga mencederakan anaknya.

"Saya menambat kera itu pada sebatang tiang berhampiran rumah.

"Pada hari kejadian, isteri saya turun dari rumah untuk mengambil seliparnya di belakang rumah.

"Anak saya merengek mahu ikut dan isteri terpaksa mendukungnya bersama.

"Bagaimanapun, kera yang ditambat itu secara tiba-tiba melompat dan menarik rambut serta mencakar pipi anak saya,"katanya kepada pemberita.

Katanya, isterinya terpaksa bergelut  dengan kera terbabit untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah cedera.

"Isteri saya terpaksa menarik dan menghempas kera supaya jatuh ke tanah dan ketika itu pipi Khaiffah sudah berlumuran darah.

"Sebaik sahaja terdengar anak menjerit kesakitan, saya berlari keluar dari rumah dan terus bergegas ke Hospital Dungun,"katanya.

Katanya, anaknya masih dalam tempoh pemantauan dan telah menjalani pembedahan di HSNZ pada  pagi tadi ( 19 Jun).

"Kerana kecederaan agak teruk, anak saya terpaksa dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

"Sebelum menjalani pembedahan, keadaan pipinya yang luka dan cedera itu dipantau oleh pegawai perubatan,"katanya.


'Tampil ke depan kalau betul anak jantan'

Posted: 19 Jun 2016 03:52 PM PDT


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin


SHAH ALAM – "Kalau dia anak jantan, kalau dia berani, sila datang kemukakan bukti dan jangan hanya buat dakwaan," demikian bidas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata demikian ketika menjawab dakwaan kekayaan luar biasa yang dimiliki seperti yang tersebar di Facebook sejak beberapa hari lalu.

"Saya tak faham khabar angin seperti itu. Kalau dia anak jantan, dia berani, sila datang kemukakan bukti.
"Saya tak nak rendahkan martabat saya melayan orang-orang yang buat cerita dan fakta tak betul," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Sebuah akaun Facebook di atas nama Captain M sebelum ini mengeluarkan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menyiasat dan menahan Zuraida yang dikatakan sebagai proksi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguasai semua projek dan tender Peruntukan Marris yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kos bawah RM3 juta.

Zuraida juga didakwa memiliki kekayaan luar biasa dan beberapa aset milik Zuraida turut disenarai dalam pendedahan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki hari ini berkata, pihaknya tidak menjalankan siasatan ke atas Zuraida seperti dakwaan yang tersebar.

[ARITKEL BERKAITAN: SPRM nafi akan tahan lagi wakil rakyat Selangor]

"Kita ikut saluran yang betul. Kalau dia datang dengan cara yang betul, saya akan lawan dan jawab dengan saluran yang betul," katanya lagi.


Tetak kaki nenek tua sebab tak dapat duit

Posted: 19 Jun 2016 03:39 PM PDT

Tetak kaki nenek tua sebab tak dapat duit
Kaki kiri Mak Som ditetak oleh pencuri.


PASIR MAS - Seorang warga emas kehilangan kaki kirinya akibat ditetak oleh seorang pencuri dalam kejadian jam 5 petang tadi.

Kejadian tersebut berlaku di Kampung Tanjong Rendang, Lemal, apabila mangsa, Mek Som Mat Diah, 89, dikatakan enggan memberikan wang yang diminta oleh pencuri tersebut.

Mek Som yang tinggal bersama anak tunggalnya, Esah Dollah, 60, dikatakan sempat bergelut dengan pencuri.

Pencuri tersebut berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dipercayai penagih dadah.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.


Keputusan PRK buktikan Amanah mampu sertai arena politik negara, kata Khalid Samad

Posted: 19 Jun 2016 02:02 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Amanah berjaya buktikan kemampuannya meraih sokongan rakyatAmanah berjaya buktikan kemampuannya meraih sokongan rakyat


Pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata keputusan PRK serentak semalam menunjukkan parti itu telah berjaya membuktikan ia mampu mendapat sokongan yang membanggakan selain memberi saingan sengit kepada lawan dalam pilihanraya kecil ini walaupun baru ditubuhkan.

"Hasil kerjasama PKR dan DAP, kita telah dapat keputusan yang membanggakan bagi sebuah parti yang hanya berusia sembilan bulan.

"Kita telah berjaya mengasaskan keberadaan Amanah dan Pakatan Harapan dalam arena politik negara. Tak ada orang yang boleh kata kita ini parti nyamuk atau kita ni parti yang tak ada sokongan dan kekuatan," katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi dan semua yang terlibat menjayakan kempen Amanah dalam PRK ini.

Menurut beliau, politik ugut dan serangan perkauman berterusan antara punca yang menyebabkan pola pengundian masyarakat Melayu tidak banyak berganjak berbanding pilihanraya lepas dan menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Tambahan pula, dalam pilihanraya kecil kali ini, Barisan Nasional (BN) menggunakan seluruh jentera kempen yang ada bagi menabur pelbagai janji dengan niat melencongkan rakyat dari isu sebenar yang melanda negara.

Menurut Khalid, mainan perkauman dengan menuduh bahawa parti itu khadam DAP bukan sahaja dilemparkan terhadap Amanah oleh BN malah ia turut dilakukan oleh PAS.

"Kita diserang begitu teruk dan itu antara sebab undi Melayu tak seperti yang kita harapkan.

"Dulu, PKR diserang oleh Umno, tapi ia dibantu oleh PAS. Parti Semangat 46 juga diserang oleh Umno, ia juga dibantu oleh PAS. Tapi, Amanah sekarang satu-satunya parti diserang oleh kedua-dua UMNO dan PAS," katanya di Ibu Pejabat Amanah Sungai Besar selepas keputusan pilihanraya diketahui malam tadi.

Khalid dalam masa yang sama mengakui bahawa kempen oleh Tun Dr. Mahathir dalam PRK ini telah gagal diterjemahkan sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Kempen oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad masih belum mampu mendatangkan keberanian orang Melayu untuk melakukan perubahan walaupun ada yang tidak puas hati. Kita pun tak tahu apa sebabnya.

"Keberanian Melayu untuk bawa perubahan tak dapat diwujudkan," ujar beliau.

Hidupkan semula Pakatan Rakyat, kembali bersatu - PRM

Posted: 19 Jun 2016 01:58 AM PDT

MALAYSIAKINI


Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru Pakatan Rakyat 'dihidupkan' semula dengan bersatu untuk melawan BN, melaksanakan dasar dan mengambil tindakan yang dapat memenuhi kehendak dan kepentingan rakyat bagi membawa perubahan.

Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong berkata, kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan rakyat tidak mempunyai pilihan yang lebih baik walaupun ada sebahagian pengundi yang menuntut perubahan.

"Pada masa yang sama, peningkatan undi BN itu boleh dikatakan bahawa rakyat menunjukkan kekecewaan terhadap ketiga-tiga bekas komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu, walaupun BN memperoleh majoriti undi sebanyak 9191 undi di Sungai Besar dan 6969 undi di di Kuala Kangsar namun peratusan undi BN hanya sebanyak 53.01 peratus di Sungai Besar dan 53.81 peratus di Kuala Kangsar, katanya.

Keadaan ini berbeza kerana pada pilihan raya umum tahun 2013, BN menang dengan 50.53 peratus di Sungai Besar dan 51.14 peratus di Kuala Kangsar yang membuktikan peningkatan undi BN yang kecil, katanya.

Mengulas lanjut, PRM juga berpendapat bahawa data-data semasa tersebut menunjukkan rakyat masih tidak berpuas hati dengan parti pemerintah.

"Rakyat menganggap BN tidak berkemampuan dan berkecekapan kerana gagal mengawal kenaikan harga barang, rasuah, penyelewengan kuasa, boros membelanjakan wang cukai rakyat dan autokratik.

"BN juga dilihat memainkan sentimen perkauman dan keagamaan ekstrim untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap ketidakcekapan dan ketamakan pemerintah," jelasnya.

Oleh itu, apa yang rakyat mahukan ialah tenaga pembangkang yang bersatu dan mampu menggantikan kerajaan persekutuan yang sedia ada.


1MDB tak beri kesan kepada pengundi Sg Besar, Kuala Kangsar

Posted: 19 Jun 2016 01:45 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SUNGAI BESAR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu 1MDB gagal memberi kesan atau mempengaruhi pengundi di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
Jelasnya, sekalipun parti pembangkang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan isu 1MDB sebagai modal berkempen di kedua-dua PRK itu, Barisan Nasional (BN) masih mampu mempertahankan dua kerusi itu dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-13.
 
"Ia (1MDB) dimainkan sejak hari pertama berkempen tetapi akhirnya pengundi telah membuat keputusan.
 
"Terbukti tohmahan (mereka) salah. Rakyat boleh nilai isu 1MDB sama ada ada impak atau tidak," katanya," katanya pada sidang media di Dewan Seri Bernam selepas pengumuman keputusan PRK Sungai Besar malam tadi.
 
Calon BN, Budiman Mohd Zuhdi mendapat 16,800 undi mengalahkan calon Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukur yang meraih 7,609 undi dan calon PAS, Dr Rani Osman dengan 6,902 undi.
 
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, peratusan keluar mengundi di Sungai Besar hari ini ialah 74.4% berbanding 88% pada PRU13 di kawasan Parlimen sama.
 
Hishammuddin turut meminta wartawan bertanya kepada Mahathir berhubung kekalahan Pakatan Harapan yang disamakan dengan kegagalan Deklarasi Rakyat bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan oleh pengundi Sungai Besar.
 
"Anda perlu tanya beliau (Mahathir). Senang untuk cakap referendum atai keputusan (menentang Najib) akan dibuat dalam acara tertentu dalam masa tertentu.
"Bila terbukti salah, kena tanya dia balik apa pendiriannya terhadap perkara ini," katanya.
 
Hishammuddin yang gembira dengan jentera pilihan raya BN khasnya yang bekerja untuk mendapat sokongan pengundi Cina, memandangkan pengundi Cina ternyata sudah kembali menyokong parti itu.
 
Jelasnya, BN akan melakukan lebih banyak kajian berhubung trend itu supaya mereka boleh menggunakannya untuk mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat Cina.
 
 

APAKAH SEKARANG NAJIB MAKIN KUAT, TUN M MAKIN HILANG PENGARUH?

Posted: 19 Jun 2016 01:40 AM PDT

 shahbudindotcom


Keputusan dua pilihanraya kecil  semalam barangkali paling membingungkan untuk difikirkan. Bukan saja Pas dan Amanah tidak percaya dengan majoriti kekalahan sebanyak 9,191 di Sungai Besar dan 6,969 di Kuala Kangsar, malah UMNO dan BN sendiri tidak menduga sebesar itu kemenangan mereka.

Ia tidak saja bersandarkan majoriti pilihanraya 2013 lalu hanya 399 dan 1,082 iaitu masing-masing di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi juga melihatkan bagaimana sambutan hangat rakyat terhadap program-program anjuran Pakatan Harapan sepanjang masa berkempen diadakan.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen dan turut mendapat sambutan cukup baik penduduk tempatan, tiada sesiapa menduga kemenangan sebesar itu mampu diraih BN.

Apakah dengan keputusan ini menunjukkan Najib Razak semakin kuat dan Tun Mahathir makin hilang pengaruhnya?

Apakah ini menunjukkan harapan lebih baik untuk BN terus berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang?

Di Sungai Besar, BN memperolehi 16,800 undi manakala Pas 7,609 dan Amanah 6,902 undi. Jika dicampurkan undi Pas dengan Amanah ia menjadi 14,511. Masih kalah kepada BN.

Tetapi dalam pilihanraya 2013 lalu, BN memperolehi 18,695 undi manakala Pas 18,296.

Bermakna undi yang diterima BN dalam pilihanraya kecil ini berkurangan sebanyak 1,896 dan undi blok pembangkang (Pas + Amanah) juga berkurangan sebanyak 3,785 undi.

Di Kuala Kangsar, BN memperolehi 12,653 undi, manakala Pas 5,684, Amanah 4,883 dan Bebas 54. Jika dicampurkan undi menentang BN ialah sebanyak 10,621. Juga masih kalah kepada BN.

Dalam pilihanraya 2013, BN di Kuala Kangsar memperolehi 14,218, Pas  13,136 dan Kamilia Ibrahim dari Bebas 447 undi.

Bererti undi BN berkurangan sebanyak 1,565 undi manakala undi blok pembangkang menurun sebanyak 2,962 undi.

Kesimpulan mudahnya, walaupun menang dengan majoriti lebih besar, undi BN tidak bertambah. Jumlah undi untuk pembangkang pula tentu saja jauh menurun kerana mereka kini sudah berpecah.

Di sebalik keputusan itu ialah pengundi Melayu tradisional terlihat masih memberi sokongan kepada UMNO dan BN. Walaupun ada isu 1MDB, wang RM2,600 juta, pembaziran Rosmah, GST dan sebagainya, pengundi tradisional dapat dilekakan dengan BR1M, wang saku, kain batik, kain pelikat dan meriahnya jamuan serta makan minum sepanjang malam kempen diadakan.

Lagi pula tidak ramai pengundi yang benar-benar faham mengenai putar belit 1MDB dan wang derma RM2,600 juta itu. Mereka lebih faham wang sebanyak RM100 atau RM200 yang masuk ke dalam saku sendiri.

Undi mereka kepada BN juga disebabkan perpecahan dalam blok pembangkang sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru. Kekeliruan mengenai perpecahan itu, atau sebagai isyarat bosan kerana berbalah sesama sendiri, pengundi akhirnya mencampakkan undi kepada BN.

Pengundi Cina juga mula menunjukkan sokongan kembali kepada BN. Namun,  trend ini hanya bersifat sementara.

Tidak mustahil pengundi Cina menunjukkan sokongan kepada BN kerana pilihanraya ini hanya untuk memilih Ahli Parlimen dan bukannya menukar kerajaan. Lagi pun janji dan tawaran pembangunan yang diberikan oleh BN kepada mereka dalam dua pilihanraya ini cukup lumayan untuk mereka tolak sehingga pilihanraya umum akan datang.

Dengan menunjukkan seolah-olah mula kembali menyokong BN, pengundi Cina akan terus dilumayankan lagi sehingga 2018 nanti.

Secara umumnya, kedudukan UMNO dan BN masih belum selamat lagi dalam pilihanraya umum akan datang. Kembalinya sokongan pengundi, baik Melayu atau bukan Melayu kepada BN hanyalah bersifat sementara.

Jika blok pembangkang benar-benar bersatu dan pertandingan satu lawan satu menentang BN dapat direalisasikan semula, kecondongan pengundi Melayu lebih cenderung untuk sama-sama menjayakan perubahan. Realitinya undi menolak BN tetap besar dan bukannya ranap sama sekali.

Begitu juga jika gambaran menukar kerajaan benar-benar hampir terbayang sebagaimana pilihanraya 2013 lalu, sentimen pengundi Cina akan kembali menjauhi  BN. Tidak mungkin pengundi Cina gembira dengan Najib yang paling banyak onarnya itu dan "senyum" mereka hanyalah sementara.

Hakikatnya, Najib tidaklah semakin kuat dan Tun Mahathir juga tidaklah makin tak laku dengan keputusan pilihanraya kecil ini, tetapi banyak kerja dan usaha lagi harus dilakukan untuk menyelamatkan negara ini. 

Harapan perubahan masih belum hilang cahayanya.


Rakyat undi PAN kerana DAP - Penganalisis

Posted: 19 Jun 2016 01:23 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) tidak mampu meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam, sekiranya parti itu bergerak sendirian.
 
Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, undi yang diperolehi parti baru itu dalam dua PRK berkenaan hanyalah berdasarkan jentera yang digerakkan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), terutamanya DAP.
 
"Jawapannya ketara, jika mereka berdiri dengan sendiri tak mungkin dapat lihat prestasi yang diberikan dalam dua PRK ini sebab saya percaya apa yang berlaku adalah penggantungan terhadap rakan sekutu di dalam PH yang memungkinkan kemenangan mereka.
 
"Saya percaya salah satu faktor menyumbang kemenangan PAN adalah gerak kerja dilakukan DAP. Bagi DAP, khusus di Selangor kemenangan itu penting bukan untuk kalahkan BN tapi memastikan prestasi mereka lebih baik dari PAS," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Sivamurugan mengulas prestasi PAN dalam dua PRK semalam yang menyaksikan parti itu, termasuk PAS tewas kepada Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Calon PAN di Sungai Besar, Azhar Abdul Shukor memperolehi 7,609 undi, manakala Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang menjadi taruhan PAN di Kuala Kangsar sekadar mendapat 4,883 undi.
 
Sivamurugan juga dalam pada itu berpendapat masih banyak gerak kerja yang perlu dilakukan PAN dalam meraih sokongan rakyat, termasuklah menjadi pengganti PAS dalam gabungan kerjasama pembangkang.
 
Ujarnya, sehingga kini PAN masih gagal untuk menepis bayangan imej parti lamanya.
 
Malah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial Politik dari Universiti Sains Malaysia juga berkata, undi terhadap PAN menerusi PRK semalam bukanlah kerana sokongan terhadap parti itu semata-mata.
 
"Jika dilihat konteks keputusan PRK semalam, persaingan itu masih terhad. 
 
"Saya percaya lebihan undi datang daripada penyokong-penyokong tegar PH dan tidak semestinya daripada PAS yang melakukan protes ke atas PAS. 
 
"Apa yang dilihat mungkin sokongan yang diberikan kepada PH, tidak semestinya PAN. Maka PAN kena cari tapak sendiri supaya dapat dilihat parti alternatif yang lebih berwibawa kepada PAS," ujarnya lagi. 
 
 

PAS perlu pilih bersama PH atau 'bantu' kemenangan Umno-BN pada PRU14

Posted: 19 Jun 2016 01:22 AM PDT

Oleh Azizul Osman
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) mahu PAS segera membuat keputusan samada untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau bertindak sebagai 'agen' yang membantu kemenangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Jelas Setiausaha Agong PAN Anuar Tahir, PAS perlu bertindak segera mencari rakan kerjasama dan bukannya bertindak sebagai pemecah undi dikalangan parti pembangkang yang dilihat memberikan kelebihan kepada Umno-BN.
 
"PAS harus meninjau (mengkaji) kembali mereka sudah kehilangan separuh undi yang mereka dapat (dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar), apakah mereka mahu terus bersendirian.
 
"(Atau) (PAS) hanya untuk memecah undi dan bantu kemenangan Umno BN sahaja dan dapat ruang untuk kerjasama dengan kerajaan jadi penasihat, menduduki badan-badan agensi pemerintah, katanya jadi badan dakwah sahaja. Kalau itu mereka (PAS) kekal dalam keadaan begitulah," katanya mengulas mengenai kekalahan PH dan PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam.
 
Umum mengetahui, PAS kini membentuk blok ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) namun gabungan itu masih kabur daripada segi perjuangan dan pelaksanannya.
 
Bercakap kepada Antarapos, Anuar berkata PAS perlu bersikap terbuka terhadap situasi terbaru politik pembangkang dan menerima PAN sebagai rakan sekutunya bagi menghadapi Umno BN.
 
Malah beliau mahu PAS berhenti melabelkan PAN dan kembali bekerjasama dalam gabungan pembangkang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pembangkang.
 
"Barangkali (PAS) baru kalah tidak boleh menerima (kekalahan), tambah pula PAS lihat kami ini macam budak kecil. Bukan saingannya, dilihat kami sebagai parti serpihan, yang tiada sokongan yang akan jadi parti lain seperti Semangat 46, HAMIM (Parti Hizbul Muslimin Malaysia), Berjasa, kami hanya parti nyamuk.
 
"Ternyata bahawa PRK kali ini tiada siapa boleh menuduh bahawa Amanah (PAN) itu parti nyamuk, tunggu dan lihat perkembangannya dalam setahun dua lagi," katanya.
 
Semalam, PH terus mempelawa PAS agar kembali berunding demi kebaikan pembangang.
 
PAN menerusi Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, kekalahan partinya di PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar adalah isyarat di mana rakyat mahukan gabungan parti pembangkang kembali utuh.
 
Malah jelas Anuar, PH sentiasa membuka ruang untuk PAS berbincang dengan parti itu lebih-lebih lagi persediaan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
 
"Kita tidak pernah tutup pintu kepada mana-mana (parti) cuma kita pegang ketiga-tiga parti yang ada dalam PH harus bersama-sama mengambil keputusan kalau PAS mahu menyertai kita akan bincang. 
 
"Kalau sekiranya mereka jujur untuk itu, saya rasa tidak ada sebab untuk tidak menerima mereka. Dari dulu kita bagi ruang sampai jadi lambat pemilihan (untuk bertanding PRK)," ujar Anuar lagi.
 
PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru diantara PAS, PAN dan BN yang akhirnya memberikan kelebihan kepada BN yang memperlohi majoriti bergaya dengan majoriti 9,191.
 
Di Kuala Kangsar pula menyaksikan Datin Mastura Yazid memperolehi 12,653 undi untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969. 
 
Justeru dengan keputusan itu Anuar menyalahkan PAS yang enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan PH bagi menetapkan parti mana yang harus bertanding di kedua-dua PRK berkenaan.
 
"Sehingga lambat kita buat keputusan siapa yang akan mewakili PH kerana nak bagi ruang perundingan dengan PAS. Kalau boleh bincang supaya elak pertandingan 3 penjuru tapi mereka tetap dengan sikap mereka yang degil itu. 
 
"Itulah terjadi akhirnya PH jadi lambat semuanya kerana masih bagi ruang kepada PAS mahu melihat situasi sebenar politik negara," dakwa Anuar.
 
BN berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam apabila berlaku pertembungan antara PAS dan PH yang diwakili PAN khsusnya pengundi Cina yang kembali memilih BN.
 
 

Pasar Awam Sekinchan dijamin ‎diberi keutamaan

Posted: 19 Jun 2016 01:10 AM PDT

SINAR HARIAN

Budiman Mohd Zohdi
Budiman Mohd Zohdi 
 
 
SUNGAI BESAR - Tidak tunggu lama. Selepas kemenangannya‎ diumumkan lewat malam tadi, Ahli Parlimen Sungai Besar yang baharu, Budiman Mohd Zohdi sudah memulakan tugas pertamanya hari ini.

Menepati satu daripada janji-janjinya, Budiman yang berkunjung ke Pasar Awam Sekinchan awal pagi tadi memberi jaminan pasar itu akan diberi keutamaan untuk dinaik taraf demi keselesaan peniaga dan menarik lebih ramai pengunjung pada masa depan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan mandat baharu yang diberikan rakyat terhadapnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar semalam untuk terus membela nasib mereka demi kelestarian penduduk setempat.

Menurut Budiman, hasil tinjauannya ke pasar awam itu hari ini memperlihatkan bahawa wakil rakyat kawasan berkenaan dari DAP ibarat langsung tidak mengambil peduli keadaan fasiliti di pasar berkenaan yang semakin usang dengan kemudahan tidak sempurna.

"Saya amat simpati melihat keadaan pasar awam itu sepanjang tiga penggal di bawah naungan DAP dengan longkang tidak diselenggara dengan baik, lantai tidak dicuci malah sistem lampunya juga suram.

"Sedangkan pasar itu amat penting kepada penduduk setempat kerana ia juga menjadi tumpuan rakyat dari sekitar Tanjong Karang untuk mendapatkan barangan keperluan mereka," kata Budiman kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, walaupun Sekinchan diketahui sebagai kubu DAP, namun usahanya untuk menaik taraf serta membaik pulih pasar awam di situ tidak berkait dengan fahaman politik malah ia dilakukan atas tanggungjawabnya sebagai Anggota Parlimen yang baharu.

Justeru itu, katanya, beliau akan berusaha mendapatkan bajet daripada kerajaan Persekutuan bagi menunaikan janjinya itu biarpun terpaksa melalui beberapa prosedur terlebih dahulu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peningkatan sokongan kaum Cina terhadapnya, Budiman hanya tersenyum dan menyatakan ia merupakan mesej jelas bahawa golongan berkenaan lebih bijak memilih pemimpin yang bersederhana namun memahami isu setempat secara mendalam.

"Pada saya, kaum Cina juga mesti didekati tapi perlu bijak dan menggunakan pendekatan yang sesuai malah saya melayan semua golongan tak kira bangsa secara sama rata.

"Saya menerima sokongan mereka (kaum Cina) dengan hati terbuka dan saya akan bantu beri khidmat bakti yang terbaik dan semaksimum mungkin," katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar semalam menyaksikan kemenangan berpihak kepada Budiman, calon Barisan Nasional (BN) yang mendapat 16,800 undi untuk menewaskan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur (7,609 undi) dan calon Pas Dr Abdul Rani Osman (6,902 undi).

Budiman memperoleh undi majoriti yang jauh lebih besar iaitu 9,191 undi, berbanding 399 undi yang diperoleh BN pada pilihan raya umum 2013. - Bernama


Dr Rani: Kemenangan sebenar di akhirat .

Posted: 19 Jun 2016 01:04 AM PDT

Abdul Rani
Abdul Rani.


SUNGAI BESAR - Calon Pas, Dr Abdul Rani Osman memaklumkan bahawa beliau menerima segala keputusan dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Kawasan Parlimen Sungai Besar selepas memberikan yang terbaik buat parti berkenaan.

Menurut Abdul Rani, dalam al-Quran turut menyatakan bagaimana sahabat-sahabat Nabi telah dibunuh dan dicaci namun mereka dapat mencapai kemenangan di akhirat.

"Bermakna kalau kalah pun saya tak rasa apa-apa. Sebab dalam Islam kita diajar, kemenangan sebenarnya adalah di akhirat," katanya kepada pemberita.

Abdul Rani berkata, dalam mana-mana PRK, BN sememangnya akan menurunkan semua jentera kerajaan bagi menghalang parti lawan bagi memperoleh kemenangan.

"Jadi memang susah kita nak menang dalam PRK kali ini," katanya.

PRK Kawasan Parlimen diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Noriah Kanon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 13(PRU13) lalu, Noriah mendapat 18,695 dengan makoriti 399 undi mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M Hussain yang memperoleh 18, 296 undi.

Pakatan Harapan harus bersatu semula - DAP

Posted: 19 Jun 2016 12:59 AM PDT

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping memberikan analisa segera berhubung kekalahan calon Pakatan HARAPAN dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar semalam:

Pecahan undi di kalangan pembangkang

Jumlah undi yang dimenangi pembangkang adalah 10,499 berbanding BN yang mendapat 12,332, dan majoriti adalah 1,833 undi, tidak begitu jauh berbeza dibandingkan dengan margin BN 1,082 pada pilihan raya umum lepas. Undi peratusan pula adalah 46 peratus berbanding 54 peratus pada PRU lepas . Oleh itu, pertandingan tiga penjuru memberi manfaat buat BN.

Peratusan keluar mengundi sangat rendah

Bandingkan dengan pilihan raya umum lepas dengan 84.5 peratus, peratusan keluar mengundi kali ini hanya 71 peratus, turun mendadak sebanyak 13.5 peratus. Di kawasan majoriti Cina, Jerlun, purata jumlah yang keluar berkurangan daripada 81 peratus kepada hanya 60 peratus dengan kebanyakan pengundi muda tidak pulang untuk mengundi.

Isu tempatan menandingi krisis nasional

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pemberian RM43.5 juta bagi pembinaan jambatan Manong, universiti seperti Universiti Sultan Azlan Shah, RM2 juta untuk sekolah Chung Hwa dan dewan komuniti baru di Jerlun memainkan peranan penting bagi BN untuk menang sokongan tempatan.

Bagi kawasan luar bandar seperti Bukit Chandan dan Manong , isu tempatan masih menjadi kebimbangan utama bagi penduduk kampung.

Persempadanan semula SPR

Sekurang-kurangnya 300 undi Pakatan HARAPAN telah dipindahkan ke kerusi Parlimen Padang Rengas dan bilangan sebenar mungkin lebih daripada itu.

Jentera dan politik wang BN

Dengan agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri berganding bahu untuk menjayakan agenda BN, strategi Pintu 10 boleh mengenal pasti setiap undi, membolehkan semua penyokong mereka keluar mengundi . Di samping itu, 'tunai adalah raja' bagi penduduk luar bandar.

Kemenangan PRK petanda momentum positif buat BN

Posted: 19 Jun 2016 12:48 AM PDT


Kemenangan PRK petanda momentum positif buat BN
Khairy menyampaikan sumbangan serta beramah mesra dengan peserta tadarus sempena Program Ihya' Ramadhan Peringkat Daerah Rembau 2016, di Masjid Kariah Seberang Paya, Batang Nyamor, petang semalam.


REMBAU - Kemenangan calon BN dalam dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dilihat sebagai petanda momentum positif buat BN.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, kemenangan itu juga membuktikan segala gerak kerja dan langkah pemulihan politik yang dilakukan BN sejak dari tahun lalu sedang menunjukkan kejayaan melalui keputusan PRK berkenaan.

"Saya melihat ini adalah satu tanda yang begitu positif bagi BN. Segala langkah pemulihan politik dari tahun lepas, sedang menunjukkan kejayaan.

"Keyakinan daripada pengundi juga boleh dilihat melalui pilihanraya umum Sabah dan Sarawak.

"Ini momentum positif buat BN.  Saya berterima kasih kepada semua pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana memilih BN," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Program Ihya' Ramadhan Peringkat Daerah Rembau 2016, di Masjid Kariah Seberang Paya, Batang Nyamor, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi Pemuda Umno dalam PRK berkenaan, banyak isu-isu berkaitan pengundi muda diketengahkan, berbanding pihak pembangkang yang hanya mengetengahkan isu-isu nasional yang tiada kaitan dengan orang muda.

"Kita (BN) usaha kempen ketengahkan calon dan isu-isu berkaitan orang muda. Ini strategi kita.

Bagaimanapun, mereka (pembangkang) mengetengahkan isu yang tak ada kena mengena langsung.

Untuk rekod, pada majlis berkenaan, seramai 200 belia dari sekolah, madrasah dan persatuan belia bertadarus.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Azura Sarbin dan Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Rembau, Abdul Rafi Abdul Murad.


Amanah ajak Pas bersama Pakatan Harapan

Posted: 19 Jun 2016 12:45 AM PDT



Amanah ajak Pas bersama Pakatan Harapan
Salahudin (lima kanan) bersama Kor Ming (tengah) ketika ditemui pada sidang media, di sini.


KUALA KANGSAR - Pakatan Harapan  mahu mempelawa Pas kembali ke meja rundingan demi kebaikan bersama.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kekalahan partinya di PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar adalah signal di mana rakyat mahukan  gabungan parti pembangkang kembali utuh.

"Masih ada masa untuk perbaiki. Kita akan buat kajian semula mengenai keputusan ini.

"Kita selalu terbuka untuk buat perbincangan dengan Pas dan dari dulu lagi kita sememangnya sudah ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah Kuala Kangsar di sini, semalam.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming turut senada dengan Salahuddin selain terbuka untuk mempelawa Pas menyertai Pakatan Harapan.

Katanya, pertandingan empat penjuru jelas memberi kesan kepada pembangkang untuk menewaskan BN di Parlimen berkenaan.

"Jika Pas tak nak kalah perlu elak pertandingan seumpama ini. Kita sentiasa terbuka, tetapi Pas perlu ikhlas," katanya.

Kor Ming turut mendakwa 300 pengundi yang dikenalpasti penyokong setia DAP yang berhasrat mengundi calon Amanah telah dipindahkan ke kawasan Parlimen Padang Rengas.

Beliau yang juga ahli Parlimen Taiping turut menegaskan tindakan tidak adil SPR itu adalah salah satu sebab undi Amanah berkurangan.

"Kita juga dapat tahu ke semua mereka tidak dimaklumkan tentang perubahan berkenaan," katanya.


PKR - Pas mungkin ‘putus cinta’ selepas PRK

Posted: 19 Jun 2016 12:36 AM PDT


Pas PKR


SHAH ALAM - Hubungan ikatan politik antara PKR dan Pas mungkin bakal menemui titik akhir selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kerana menurut penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, PKR dilihat secara jelas lebih memihak kepada Parti Amanah Negara (Amanah) berbanding Pas.

"Saya rasa PKR akan merasai beban atau kesan jika parti itu benar-benar 'berpisah' dengan Pas.

"Ini kerana Pas memegang sokongan majoriti masyarakat Islam dan Melayu. Kalau undi Amanah lebih banyak daripada Pas, mungkin tak apa," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Menurutnya lagi, PKR perlu mengelakkan berlakunya perpisahan antara parti itu dengan Pas kerana pembangkang memerlukan kekuatan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Bila berlaku perpecahan macam ini (pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar, empat penjuru di PRK Kuala Kangsar), PKR terus memilih untuk menyokong dan bersama Amanah.

"PKR kena ingat yang naiknya Azmin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sebagai menteri besar pun disebabkan oleh sokongan daripada Pas. PKR juga kena ingat bahawa Pas lebih disokong masyarakat Melayu berbanding Amanah," katanya lagi.



Bilal meninggal dunia ketika solat terawih

Posted: 19 Jun 2016 12:36 AM PDT

Jemaah meninggal dunia ketika solat terawih


TUMPAT - Jemaah solat Terawih Masjid Mukim Kutan digemparkan dengan kematian bilal gantian yang meninggal dunia ketika solat, malam tadi.

Mangsa dikenali Che Kob @ Yaakub Che Sop, 69, rebah ketika rakaat ke empat.

Setiausaha Masjid Kutan, Che Adnan Che Hassan berkata, ketika kejadian Che Kob berada di saf ke empat.

"Tiba-tiba Che Kob rebah ke belakang, kepalanya terkena lutut saya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.15 malam.

"Saya berada di belakangnya dan semua jemaah waktu itu dalam keadaan berdiri selepas takbir," katanya.
Panik melihat kejadian itu, Che Adnan dan jemaah lain di safnya berhenti solat kerana mahu membantu Che Kob.

"Saya cuba membantunya tetapi dia sudah tidak sedarkan diri.

"Saya dan seorang lagi  jemaah mengajar Che Kob mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Katanya, kejadian itu terus dilaporkan kepada polis yang kebetulan bertugas di Masjid Mukim Kutan.

"Che Kob disahkan meninggal dunia di masjid itu oleh petugas kesihatan yang datang memeriksanya.

"Di dalam poket baju Che Kob ada alat sedut asma kerana dia mengidap asma," katanya.


Pegawai pejabat agama ditahan ambil rasuah

Posted: 18 Jun 2016 11:39 PM PDT

ditahan gari
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Seorang pegawai Jabatan Agama Islam sebuah negeri ditahan dipercayai menerima rasuah sebagai pemudah cara mendaftar pernikahan di Thailand.

Suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas berjaya membongkar sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah setelah menahan seorang pegawai dari Pejabat Agama sebentar tadi.

Hari ini Sinar Harian mendedahkan terdapat sindiket yang melibatkan pegawai kerajaan menjadi pemudah cara untuk mendaftarkan pernikahan yang dilakukan di Thailand.

Tiada ulasan: