Ahad, 20 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


UMNO-PAS, Alang-alang Bekerjasama, Biar Terus Bersatu...

Posted: 20 Dec 2015 12:50 AM PST

PAS, pergilah bersatu dengan Umno – Riesya H

Alhamdulillah, sudah terang lagi bersuluh. Resolusi sudah dibuat. Resolusi bukan daripada sebarang resolusi. Bukan daripada rakyat marhaen. Ini resolusi dari sekalian barisan mufti, kadi, hakim dan pemimpin.

Hakim dan pemimpin bukan sebarang pemimpin. Ini pemimpin keluaran Universiti Al Azhar, Mesir yang tersohor itu. Resolusi menyeru Umno dan PAS untuk bersatu.


PAS, pergilah bersatu

Jangan diremehkan resolusi dari orang besar, berjubah besar dan berserban besar sebegini. Jangan pula dihina presiden PAS. Bukan sebarang presiden, tetapi presiden bertaraf naib ketua ulama antarabangsa.

Jangan juga dihina perdana menteri yang sudah mencemar duli turun berbaju sedondon meraikan martabat presiden PAS.

PAS, pergilah bersatu

Kawan di sana sudah lama menunggu. Tidak manis membuat orang menunggu. Bak kata pepatah orang tua, jangan ditunggu lama-lama, nanti berputih mata.

PAS, pergilah bersatu

Demi nama Melayu. Demi nama Islam. Demi nama Bumiputera.

Usah dihiraukan bab RM2.6 bilion. Usah dirisaukan bab 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Usah dirisaukan bab rang undang-undang. Usah dirisaukan bab Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Usah dirisaukan bab negara yang bakal bankrap. Atau rakyat hidup merana macam kucing kurap. Mencari rezeki dengan getah sekerap. Sekadar rezeki agar anak tidak merempat.

Usah dirisaukan bab rakyat Kelantan yang belum ada rumah, dek hanyut dibawa banjir. Usah dihiraukan banjir bakal melanda lagi.

Usah dihiraukan keluhan graduan yang masih menanam anggur, menjual burger untuk hidup. Atau terbeban berfikir membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Usah dihiraukan rakyat yang terseksa. Angkara kos hidup yang tak kenal siapa. Demi nama Melayu, usah dihiraukan itu semua.

Janji Melayu di sana diselamatkan. Ingatlah, mereka di sana sedang nazak. PAS, pergilah bersatu. Umpama hulubalang penyelamat yang membawa talian hayat.

PAS, pergilah bersatu

Bersama parti Melayu bersekutu. Mana tahu, untung sabut, PAS jadi laku. Dapat sebarang 2 atau 3 jawatan menteri besar. Atau pun 5 atau 6 jawatan menteri dan timbalan menteri. Atau 5 atau 6 duta. Atau menjadi pengarah jabatan agama.

Apalah yang nak disayangkan dengan jawatan beberapa Exco di Selangor, atau penasihat agama di agensi kerajaan negeri. Setakat gaji RM28,000, kawan sana mampu memberi lebih dari itu. Bukan setakat sebiji, hendakkan 3 biji BMW pun bisa diatur.

PAS, pergilah bersatu

Usah dirisaukan pengikut yang beberapa kerat itu. Pandai-pandailah mereka nak hidup atau membawa diri.

Yang pasti, ada wala'un-wala'un yang sanggup terjun kelautan api. Demi arahan pimpinan yang suci. Pimpinan yang sering bermimpi berjumpa Nabi. Mana boleh diingkari sesuka hati ataupun pemimpin yang berjubah berserban. Mana bisa di biarkan berseorangan. Yang pasti, akan ada yang sehidup semati.

PAS, pergilah bersatu

Buat apa lagi bersama Pakatan Harapan. Belum tentu boleh jadi Timbalan Perdana Menteri. Jauh sekali Perdana Menteri.

Di sini asyik dibuli. Hudud menjadi duri. Kawan di sana sudah bersedia. Menangis air mata demi hudud.

Di sini asyik dibuli. Berebut kerusi pun macam kuli. Dapat kerusi pun, yang menang setakat minoriti. Kalau di sini, terpaksa beratur di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

PAS, pergilah bersatu

Mana tahu, di sana kerusinya diberi lebih. Menang kalah usah dikira. Untung sabut, kerusi diberi, duit diberi berkilo-kilo. Tidak perlu bersusah-susah dengan derma tin milo.

PAS, pergilah bersatu

Tunggu apa lagi. Bagai pucuk cita, ulam mendatang. Jangan dibiarkan tangan bertepuk sebelah. Jangan dibiarkan orang sana berpeluk bantal keseorangan.

Alang-alang sudah lama menjalin kasih cinta 3 segi.

PAS, cepatlah pergi....


Perpaduan kabilah Najib dan Hadi; ingin tutup dosa kabilah 1MDB? – Zasyaf Ishak

Kita ucap tahniah di atas kejayaan penganjuran Multaqa Al-Azhar walaupun di atas apa sahaja niat pelaksanaannya. Cerita dan cereka perpaduan pun menjadi dasar kepada multaqa tersebut, yang tidak lebih kepada usaha 'public relation' untuk kepentingan individu tertentu.

Datuk Seri Najib Razak semalam bercakap dia mewakili kabilahnya, sementara Datuk Seri Hadi Awang juga mewakili satu kabilah yang lain. Maka digunakanlah keperluan bertemu dengan 'tali perpaduan' dan mula berfikir tentang masalah ummah.

Yang sebenarnya, wajah perpaduan macamana yang kabilah Najib mahukan? Cuba berterus terang dan tidak terus beretorik dan berangan kosong. Apakah darjah perpaduan yang Najib impikan? PAS mengumumkan mereka masuk Barisan Nasional?

Apakah ini bermakna tidak akan ada pertembungan 'satu-lawan-satu' di antara UMNO dan PAS dalam PRU akan datang? Apakah Najib boleh jamin, kabilahnya akan menyokong penuh cadangan ini? Apakah tidak ada di kalangan ketua kecil kabilah yang merajuk dan kecewa kerana tidak menjadi wakil rakyat?

Kabilah Najib tidak boleh menganggap cerita perpaduan ini boleh mengenepikan sama sekali kabilah korporat 1MDB yang terus membuat onar di dalam negara ini. Pendedahan terbaru Wall Street Journal, bahawa adanya interaksi perniagaan di antara 1MDB dan syarikat ciptaan di luar negara ini bukan cerita kosong.

Janji kabilah Najib untuk menyaman WSJ sudah berlalu sekian lama. Saman tidak pernah berlaku, yang ada hanyalah jawapan kabilah 1MDB yang berpusing-pusing seperti gasing.

Sudah-sudahlah kabilah Najib mempertahan ketua yang tidak konsisten dan sudah berada di sempadan perbuatan jenayah.

Kabilah Najib bukanlah kabilah yang kuat. Malah ianya satu kabilah yang semakin tempang dan buta masa depan. Kabilah Najib hanyalah hebat di media perdana sedangkan mereka sedang merangkak mencari kekuatan politik. Tiba-tiba, kabilah Hadi mahu dirapati. Ini tidak lebih sebagai jalan untuk menutup segala macam nanah pentadbiran yang dilakukan oleh Kabilah 1MDB.

Ya, 1MDB sudah menjadi kabilah tersendiri, kerana ini adalah sebuah kabilah yang kaya raya dan banyak harta. Walaupun tidak ramai pendokong, kabilah 1MDB ini ada kuasa ekonomi yang tinggi. PAS jangan terpedaya dengan salam cengkok yang minta nyawa seperti ini. PAS tidak perlu terpalit dengan politik padam dan benam segala dosa 1MDB yang sedang membusuk.

Jika cerita perpaduan semalam adalah berasaskan Piagam Madinah, maka sudah perlu niat menolak kemungkaran didahulukan dan diterima semua pihak. Kabilah 1MDB yang kaya raya tidak perlu ditutup dengan tali agama. Malah, sudah menjadi kewajipan buat PAS memastikan kepimpinan yang korup dibiarkan sendirian menjaga perbendaharaan negara yang semakin merosot.

Kalau kita lihat dan teliti ucapan Hadi, tidak ada satupun isi ucapan yang mengemukakan pandangan keperluan kerajaan perpaduan. Tak ada. Hadi hanya bercakap tentang survival PAS dan bagaimana parti tersebut perlu terus menjadi cahaya kepada gerakan Islam.

Dengan apa yang berlaku, multaqa semalam adalah sebuah program yang gagal. Jangan percaya dengan Buletin TV3 yang kononnya mahu menggambarkan Najib sebagai ketua kabilah yang Islamik dan terbuka.

Ianya tidak semudah itu untuk menipu rakyat. Dosa kabilah Najib kerana terlalu mendokong kabilah 1MDB tidak mungkin akan pudar. -TMI


ULASAN GB

Dah alang-alang selum pekasam, biarlah ke pangkal lengan! Dah alang-alangmahu kerjasama, biar terus bersatu dengan UMNO. Itu lebih baik bagi PAS dari terus engelirukan rakyat.

PAS masih silu-malu untuk menyambut salam perpaduan yang dihulurkan oleh UMNO. Kerana selama ini PAS paling ke depan mengutuk UMNO. Malah UMNO pun pernah "dikafirkan" melalui Amanat Hadi 2008.


Lantaran Amanat Hadi itulah banyak berlaku kecelaruan di dalam masyarakat Islam. Keluarga berantakan. Ummah berpecah-belah. Malah ada yang "syahid" di Memali mempertahankan Amanat Hadi tersebut.





Sekarang itu semua sudah boleh dilupakan. PAS sudah boleh sepentas dengan UMNO. Kini muncung senjata PAS dihalakan kepada DAP, kepada Amanah kepada Pakatan Harapan... sama seperti UMNO.

Malah keluar pula satu lagi fatwa karut menggantikan Amanat Hadi, pemimpin Amanah adalah pengkhianat yang wajar dihapuskan - kata Hadi.


Begitu mudah fatwa ditukar-tukar untuk memuaskan nafsu sendiri. Yang anehnya, dahulu "berfatwa" tolak malah kutuk dan fitnah PKR, kini berubah dan menjilat semua ludah yang dikeluarkan, mahu teruskan kerjasama dengan PKR sebab tahu jika tolak PKR, maka hanyutlah Selangor, hanyut juga Kelantan yang PAS ada banyak kepentingan di negeri-negeri tersebut.




Dan itupun PAS masih menyatakan dan melaungkan kononnya PAS "istiqamah hingga kemenangan".....

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan, PAS akan pasti tersungkur lebur...




Tiada ulasan: