Ahad, 20 Disember 2015

.

.


Takiyuddin tidak perlu terlalu apologetik dengan Umno

Posted: 20 Dec 2015 12:49 AM PST

TEGURAN

Takiyuddin Hassan
Kenyataan berupa jaminan dibuat Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan yang partinya sedia untuk memaaf dan melupai kesalahan Umno serta dosa yang pernah dibuat parti itu terhadap Pas selama ini dilihat sebagai terlalu apologetik.

Walaupun kenyataan itu bersifat peribadi, tetapi ia tidak patut keluar dari seorang eksekutif parti sepertinya.

Takyuddin dilaporkan berkata Pas sedia memaafi Umno dan melupai segala kesalahan-kesalahan yang Umno lakukan terhadap Pas selama ini yang dilihat sebagai satu langkah ke arah mempercepatkan proses kerjasama.

Katanya sifat itulah antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan Pas, memaafi musuh dan ia juga bukan satu perkara baharu.

Memang benar Islam itu memaafi dan bertolak ansur, tetapi Islam juga mengariskan batas-batas tersendiri dan melarang bertindak melebih batas apa lagi sehingga mencemar maruah. Islam memang diajar menghormati sesiapa sahaja, tetapi Islam juga diajar menjaga maruah diri. Sebab itu sifat Tuhan itu sendiri Maha Lembut dan Maha Keras.

Apabila Pas seronok dan pelahap untuk berkerjasama dengan Umno, terpancing dengan ajakan Najib Razak, bukan bermakna Pas perlu melupai segala kepedihannya selama ini yang terpacak di tulang hitam sesetengah ahlinya. Setiap luka yang tinggalkan parut disebabkan kejahatan dan kezaliman Umno, tetap akan diingati sebagai cenderamata sebuah perjuangan. Sejarah dan pengalaman kepedihan itu bukan terlupa dengan hanya menyebut perkataan "perpaduan" atau apabila pertama kali mendengar Najib dalam tgelor-telor itik membaca firman Allah.

Sepanjang lebih setengah abad lalu banyak yang Umno lakukan terhadap Pas. Bukan saja diskriminasi dan penafian hak, malahan tindakan berupa jenayah juga dilakukan. Dalam tempoh itu tidak sedikit darah merah orang Pas menyiram ke bumi. Semua kejadian itu menjadi sejarah pahit buat Pas.

Orang-orang dahulu yang kini masih tersisa, tetap mengingati akan kejahatan Umno itu. Atau pun waris waras mereka tetap mengenangnya. Zaman Pemuda Tahan Lasak misalnya adalah zaman cukup kejam dalam sejarah politik negara. Zaman ini laksana zaman Jepun menaluki Malaya. Begitulah apa dirasai orang Pas terhadap aksi Pemuda Tahan Lasak Umno.

Mereka yang cedera, luka atau pun mengalami tekanan jiwa (trauma) di zaman ini tetap akan ingat dan tidak mudah melupai perbuatan dan kekejaman Umno itu. Apa yang Pemuda Tahan Lasak tidak lakukan, pukul orang Pas, bakar rumah, bakar jambatan, ugut dan sebagainya.

Bukan itu sahaja kesakitan dialami oleh para penyokong Pas tidak boleh dibuang menerusi jalinan kerjasama itu. Dan mana-mana yang menjadi pergawai kerajaan pula mereka ditukar ataupun dinafikan kenaikan pangkat hingga pencen.

Kejadian ini sangat dirasai oleh pejuang Pas di Kelantan. Sebab itulah Allahyarham Tokguru Nik Aziz Nik Mat apabila diajak atau dicadang agar berkerjasama dengan Umno berkali-kali menyatakan keseritan beliau kepada Umno.

Bagi Takiyuddin mungkin beliau tidak merasai semua kesadisan ini. Beliau baru berada di Kelantan selepaa berakhirnya zaman gelap itu. Takiyuddin bermaustautin di Kelantan baru pertengahan tahun 80an. Apa dirasai oleh orang Pas pada tahun 50an, 60an dan membawa ke tahun 70an, tidak dirasai ataupun diketahui oleh beliau. Sebab itu dia tidak ada perasaan sukar untuk memaafi dan melupai kejahatan Umno.

Jadi apabila Takiyuddin secara simpalistik menyatakan jaminan itu,  ia sesuatu yang menyesalkan. Mungkin mereka yang merasai keperitan dan teringat kesadisan Umno, sangat kecewa dengan kenyataan Takiyuddin itu. Dan Takiyuddin tidak patut membuat kenyataan jaminan itu, tanpa bertanya dan mencungkil cerita-cerita sadis sebelum ini terlebih dahulu. Beliau harus prihatin mengambil kira perasaan orang yang merasai kesakitan atas perbuatan Umno. 

Seeloknya Takiyuddin tidak mengguna konotasi itu walaupun keinginan untuk bekerjasama dengan Umno (bagi mengekalkan status quo atau pun melangsungkan apa-apa nikmat yang sedang dikecapi kini berterusan) sedang membuak-buak. Beliau harus peduli dan memahami perasaan hati orang Pas terdahulu. Kenyatannya hendaklah cermat dan bertanggungjawab.

Adalah paling elok kalau Takiyuddin meminta Umno memohon maaf kepada apa-apa perbuatan dan kekejahatan dilakukan ke atas Pas selama ini, sebagai syarat dan ikrar kerjasama itu hendak dijalinkan. Jangan mudah menyakini Umno, berilah sedikit syarat kepadanya. Dalam Islam pun ada pepatah yang berbunyi; "jangan dipatut ular dalam lubang yang sama dua kali". Apabila Pas dengan mudah menerima ajakan Umno, apa lagi sedia melupai kejahatan Umno menampakkan Pas dalam situasi terdesak. Apakah Pas kini juga terdesak macam Najib?

Seorang Setiausaha Agung sepatutnya bijaksana dan berhati-hati dalam membuat kenyataan, kerana kedudukan itu menjadi tumpuan dan penilaian orang dari semua sudut. Setiausaha Agung adalah lambang wibawa dan maruah parti. Beliau juga sepatutnya bukan hanya bertanggungjawab kepada politik presiden dan bekas SUA, Mustafa Ali, tetapi sebaliknya perlu menjaga dan menghayati politik dan gerak nadi ahli di bawahan dari Perlis sampai ke Sabah juga. [wm.kl.4:23 pm 20/12/15]

Kerjasama politik Umno - PAS uji setiakawan komponen BN

Posted: 19 Dec 2015 06:50 PM PST

HATI AHAD

Selama ini rakyat diberi tahu bahawa persepakatan dan hubungan 13 parti komponen dalam BN yang ditunggaki oleh Umno adalah sebuah gabungan yang kuat dan ideal. Kejayaan dan pencapaian gabungan itu dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dan terus menerajui kerajaan dijadikan dalil bahawa BN sebuah gabungan mantap dan tidak mampu dicerobohi oleh mana-mana gabungan pembangkang.

Pimpinan parti-parti komponen juga sering kali mendabik dada mengakui mereka adalah sebuah gabungan (BN) yang berjaya membawa aspirasi rakyat serta merealisasikan iltizam dan cita-cita kemerdekaan bangsa. Mereka juga mengatakan rakyat Malaysia tidak akan mendapat sebuah kerajaan yang sesempurna dan sehebat kerajaan BN. Ada juga yang mendakwa BN adalah sebuah gabungan satu-satu sepertinya di dunia ini. (Mungkin benar dari segi kejayaan politik tetapi meleset dari mewujudkan sebuah kerajaan yang baik).


Dalam masa sama juga parti-parti komponen mengakui yang mereka mempunyai tahap saling hormat menghormati paling tinggi antara satu sama lain. Mereka sangat bertoleransi sesama sendiri dimana sikap itu semua memungkinkan BN kekal hingga kini. Mungkin dakwaan ini benar, kerana sepanjang kewujudannya hanya beberapa buah sahaja parti yang bertindak meninggalkan gabungan berkenaan. Ada yang keluar sekejap kemudian bersatu semula.

Contohnya parti agama, PAS dan PBS di Sabah dan sebuah parti di Sarawak pernah meninggalkan gabungan berkenaan. Namun tindakan parti-parti itu tidak memberi bekas kepada BN, dan keadaan itu menjadikan pemimpin BN khasnya dari Umno tidak gentar. PBS bagaimana pun sudah kembali berpeluk semula dengan BN di Sabah sementara PAS dalam berkira-kira?

Umno sangat mempercayai akan pengakuan-pengakuan mengenai kehebatan dan keidealan BN itu. Bertolak dari situ juga Umno memandang remeh kepada parti-parti sebangsa dan seagama dengannya yang lain, di luar BN. Paling menyedihkan Umno seakan tidak mempeduli langsung perjuangan parti lain berhubung agama dan bangsa. Misalnya satu masa, (ketika Umno kuat dahulu), Umno menganggap Pas sebagai musuhnya. Umno terlupa yang Pas juga mempunyai rangka perjuangan sama seperti Umno untuk menegakkan agama bangsa, Islam.

Cara Umno menyerang PAS dan menafikan hak parti itu yang dijamin oleh sistem demokrasi dan perlembagaan negara di negeri dikuasainya sungguh menyedihkan. Tindakan sadis Umno itu menunjukkan parti itu tidak mempunyai perasaan hormat langsung kepada parti di luar BN. Umno terlupa bahawa warna darahnya sama dengan warna darah parti di luar BN itu.

Tuduhan atau gelaran PAS sebagai Parti Ajaran Sesat, parti pemecah belah ummah, membawa ajaran songsang adalah antara gelaran dan penghinaan kepada Pas dilakukan BN. Peristiwa Memali tahun 1986 yang meragut 14 nyawa juga dilihat sebagai kesadisan politik kerajaan BN kepada PAS. Biarpun begitu PAS tidak pernah mengambil hati dengan segala macam serangan itu. Apa lagi kepimpinan baharu PAS kini melupai segala kekejaman itu dan memaafi segala dosa-dosa Umno.

Keadaan ini, cara Umno berpolitik berbeza dengan parti Cina dalam BN dimana mereka terus menghadakan understanding dengan parti Cina di luar gabungan itu. Mereka dipisahkan oleh sistem politik tetapi mereka tetapi berpadu dalam mengejar cita-cita dan maksud perjuangan bersama.

Kini diura-urakan pula Umno dan PAS akan menjalini kerjasama atas kepentingan bersama dinamakan perpaduan. Walaupun kedua parti belum membuat pengumuman secara rasmi, tetapi gambaran yang ditunjukkan bahawa kerjasama itu dalam proses pementeraian.  Seperti mana saya kata, kedua pihak atau pihak ketiga sedang mencari mekanisme atau bentuk kerjasama berkenaan. Mungkin waktu ini pelan atau rangka kerjasama itu sudah berada diperingkat akhir.

Tidak perlu dipedulikan macam mana bentuk dan rupa kerjasama berkenaan. Apakah ia sampai kepada peringkat pembahagian kuasa politik, mentadbir mana-mana negeri yang menang secara bersama, ataupun dalam aspek keagamaan dan bangsa sahaja, namun kerjasama itu sesuatu yang baik dan perlu disokong. Semua bangsa Melayu harus menerimanya. Biarlah kempunan dan kedahagaan sesetengah pemimpin PAS untuk bekerjasama dengan Umno terhapus kali ini.

Atas tujuan tadi, kita nampak bagi orang Melayu khasnya yang berada di luar sempadan politik yang sudah muak dengan cara Melayu berpolitik, ura-ura itu sangat disokong. Kita kira ahli serta penyokong kedua-dua parti tidak ada masalah lagi terutamanya di pihak Umno. Bagi Umno kesediaan PAS menyambut salam perdamaian itu merupakan rahmat berganda buat mereka. Terutamanya bagi Najib Razak, sokongan dan kenyataan membela dikeluarkan pimpinan tertinggi PAS, merupakan satu tali hayat baginya untuk terus menjadi PM sekurang-kurang hingga tamat penggal ke-13 ini.

Demikian juga di pihak PAS. Walaupun ahli belum diberitahu, tetapi atas sikap ahli dan penyokong parti itu sangat menghormati keputusan parti, PAS tidak perlu bimbang dengan penolakan ahlinya. Ahli Pas tidak akan mudah menolaknya sebab mereka sudah lama dipasak dengan apa dinamakan wala'.  Ahli PAS sesekali tidak akan menderhaka kepada kepimpinan ulama yang mereka yakini akan membawa mereka ke Syurga. Apa lagi tempat paling baik melainkan Syurga?

Keadaan itu - untuk bekerjasama dengan PAS menjadi lebih mudah lagi apabila semua pemimpin PAS yang tidak mempercayai kepada kebaikan Umno dan rangka perpaduan dibentuknya, kini sudah tidak bersama dengan PAS lagi, kecuali beberapa orang sahaja lagi. Itu pun mereka sudah tidak ada kuasa dan taring lagi.

Bagaimana pun apabila melihat agenda ini, apa yang menjadi masalah ialah parti-parti komponen BN. Apakah kesemua parti komponen itu sedia menerima kerjasama Umno - PAS itu. Apakah 12 parti komponen sanggup menerima PAS, kalau kerjasama itu terpaksa menyebabkan PAS dibawa masuk ke dalam BN? Mungkin mudah sedikit untuk mereka menerima PAS kalau setakat menjalani kerjasama di peringkat luar, kerana ia tidak menganggui dasar dan konsesus yang diamalkan BN selama ini.

Tetapi kalau kerjasama itu sampai ke dalam, sudah tentu ia agak sukar sedikit.  Inilah yang menjadi persoalan besar dan bakal menjadi penghalang kepada kerjasama politik Umno - PAS.

Mendengar beberapa kenyataan dan ulasan daripada pemimpin beberapa parti komponen BN, ia memberi gambaran bukan mudah untuk mereka menerima PAS. Sudah ada yang memberi amaran bahawa konsep BN tidak boleh dirombak. Misalnya ada pemimpin MCA secara terang-terangan tidak bersedia untuk menerima PAS sebagai rakan BN, apabila mengenakan syarat agar PAS terlebih dahulu mengugurkan agendanya untuk melaksanakan Hudud.

Kenyataan seperti ini memperlihatkan parti komponen BN khususnya parti bukan Islam tidak akan menerima PAS. Syarat yang dikenakan oleh parti berkenaan kepada PAS tidak ubah seperti menyuruh PAS menggunakan kaki untuk memegang gelas untuk minum dan bukannya tangan. Bukan sahaja parti MCA tetapi parti-parti bukan Islam lain yang alahan dengan agenda PAS itu akan mengenakan syarat demikian.

Memang benarnya kalau parti komponen bukan Islam seperti MCA, Gerakan atau parti-parti di Sabah dan Sarawak menolak PAS atas alasan berkenaan. Mereka bimbang kalau mereka menerima PAS meyebabkan orang akan melihat mereka menyokong Hudud. Sedangkan gambaran itu mahu dielakkan, agar mereka tidak dilihat bertentangan dengan DAP. DAP menentang PAS kerana Hudud kerana mahu menjaga hati pengundi Cina. Atas dasar dan tujuan demikian juga parti komponen BN bukan Islam akan bertindak.

Apakah parti komponen itu berani untuk menyaingai pengaruh DAP dengan menerima Hudud? Oh tidak, bahkan mereka akan berjalan seiringan dengan DAP. Mereka juga akan mengambil pendekatan sama dengan DAP mempertikai dan menolak Hudud untuk menjaga pengaruh. Nah, di sinilah dilema kepada parti komponen untuk menerima PAS ke dalam BN nanti.

Kesimpulannya, hubungan politik Umno - PAS sama ada ia jadi atau tidak bergatung kepada penerimaan parti-parti komponen BN. Sekiranya komponen BN sedia berkorban untuk Umno, kemungkinan besar kerjasama itu akan berlaku. Sebaliknya kalau parti-parti komponen tegak dengan prinsipnya kerjasama itu akan jadi retorik semata-mata.

Suasana sekarang ini bolehlah disifatkan, ura-ura kerjasama Umno - PAS yang sedang diperkatakan kini menguji sejauh mana setiakawan parti-parti komponen BN kepada Umno.  [wm.kl.9:19 pm 19/12/15]

Tiada ulasan: