Isnin, 14 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kadar tol Plus mungkin naik 5 peratus

Posted: 14 Dec 2015 03:36 PM PST


Noorizah Abd Hamid
Noorizah Abd Hamid
 


JERLUN - Kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) mungkin dinaikkan sekurang-kurangnya lima peratus pada tahun hadapan.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, ia wajar kerana kos tanggungan yang semakin meningkat.

"Kenaikan itu bergantung kepada kerajaan sebab ia masih belum diputuskan sama ada berlaku kenaikan atau tidak.

"Tetapi kalau ikut perjanjian konsesi, memang Plus sepatutnya menaikkan kadar tol.

Tapi kenaikan itu tidak banyak iaitu lima peratus sahaja atau bersamaan 0.68 sen perkilometer," katanya selepas menghadiri penyerahan sumbangan awal persekolahan Plus kepada 1,000 murid tahun satu sesi 2016 di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Abdul Razak Mat dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam, Ahmad Osman.

Menurutnya, kadar baharu itu bermakna pengguna perlu membayar tambahan 70 sen sahaja bagi perjalanan 100 kilometer berbanding sebelumnya.

"Plus tidak menaikan kadar tol sejak 2005. Selama ini, peningkatan kos terpaksa kita tanggung sendiri.
"Perbincangan juga melibatkan semua peringkat tapi keputusan muktamad bergantung kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, perjanjian konsesi juga menganggarkan keperluan pada masa akan datang sebab kos semakin hari semakin meningkat.

"Berikutan peningkatan kos yang terpaksa kita tanggung, maka kenaikan itu memang perlu," katanya.


'Halalkan' RM2.6b bukti amal politik wang?

Posted: 14 Dec 2015 03:33 PM PST



duit
Gambar hiasan


PETALING JAYA - Sikap perwakilan Umno didakwa 'menghalalkan' perbuatan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima derma RM2.6 bilion membuktikan parti Melayu itu mengamalkan politik wang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Umno sanggup menggadaikan prinsip parti dan meminggirkan kebajikan rakyat berbanding 'poket' setiap pimpinan bahagian parti itu.

"Sepatutnya pemimpin (Umno) perlu mempunyai kewibawaan dari segi moral, akhlak, (lebih-lebih lagi) bila bercakap tentang Islam dan sebagainya.

"Kalau mereka (perwakilan) terima wang, mereka diam, tanpa mengendahkan prinsip dan isu rakyat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas perbahasan ucapan dasar Presiden Umno oleh perwakilan Umno Pulau Pinang minggu lalu yang 'tidak kisah' presidennya mendapat dana dari mana sekalipun.

Perwakilan Umno Pulau Pinang itu berkata lagi, janji presidennya tidak lupa untuk mengagihkan peruntukan kepada semua bahagian Umno untuk tujuan parti.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata lagi, Umno kini sudah 'rosak' apabila majoriti ahli dan pimpinannya boleh menerima amalan songsang itu.

"Ini membuktikan parti Umno boleh dibeli dengan politik wang, ia sudah rosak hingga ke asasnya," katanya lagi.


'Umno dah tak ada dahan nak berpaut'

Posted: 14 Dec 2015 03:31 PM PST


Wanita Umno
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama Pergerakan Wanita Umno- Foto Bernama


PETALING JAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya 'tidak ikhlas' menghulurkan tali silaturahim dengan Pas.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Umno sibuk bercakap soal perpaduan dengan parti Islam itu apabila parti itu dalam keadaan lemah.

"Bila Umno lemah, mereka sibuk cari kawan, bila dia (Umno) dapat sokongan itu, mereka (Pas) tidak akan hargainya.

"Bila dia (Umno) kuat, mereka tak pernah cakap isu ini, suka atau tidak, mereka akan menindas semula rakan-rakan yang bergabung dengan mereka termasuk Pas sendiri seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Tindakan Najib: Tanda aras kukuhkan parti]

Beliau mengulas kenyataan Najib minggu lalu yang mahu menjalin kerjasama dengan Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam yang sebenar.

Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas "disepak dan diterajang keluar" oleh rakan-rakan pembangkangnya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata, seruan Umno itu sebenarnya bukan untuk tujuan perpaduan, sebaliknya parti Melayu itu memerlukan 'dahan untuk berpaut'.

"2008 dan 2013 mereka hilang undi, sekarang mereka cakap lagi perpaduan.

"Saya tidak fikir ada manfaat untuk Pas bekerjasama dengan Umno apabila negara penuh dengan rasuah dan kos sara hidup yang semakin serius," katanya lagi.


Kutipan GST lebihi sasaran, raih lebih RM30b

Posted: 14 Dec 2015 03:27 PM PST

SINAR HARIAN


GST baru


MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion setakat hari ini sejak pelaksanaannya pada April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, ia merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar dengan sistem tersebut.

Beliau berkata nilai kutipan itu melebihi angka yang disasarkan, bagaimanapun enggan mengatakan sasaran berkenaan, dan menjangkakan ia  bertambah pada tahun depan.

"Setakat ini kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan)," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru di sini hari ini.

Seramai 250 orang penguasa kastam menerima sijil masing-masing selepas menjalani latihan selama lapan minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee dipilih sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata JKDM telah mengisi lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

"Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara mengikut cabang dan kekosongan," katanya. - Bernama


Muhyiddin ‘terpaksa’ bersuara selagi ada jawatan

Posted: 14 Dec 2015 03:23 PM PST

Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'terpaksa' bersuara selagi masih memegang jawatan meskipun kenyataannya akan dilihat bertentangan dengan pendirian parti itu‎.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Muhyiddin hanya bersuara demi kepentingan rakyat dan ia tidak memungkinkan sebarang tindakan disiplin boleh diambil ke atasnya.

"Itu hak beliau untuk bersuara. Kalau tiada jawatan, lainlah cerita. Apa perkara yang dia tidak setuju, dia kena bersuara. Kalau dia bersetuju pun dia akan bersuara. Suara beliau ada autoriti di situ.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Najib paut bahu Muhyiddin, ada yang sebak

"Beliau tidak boleh dikenakan tindakan kerana beliau bersuara atas kepentingan rakyat. Bukan atas dasar menjatuhkan presiden. Sebenarnya, Umno pun tidak ada cara nak sabitkan kesalahan kepada beliau kerana beliau bukannya menyalahi apa-apa disiplin dalam parti," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, susulan ulasan dibuat Muhyiddin terhadap Ucapan Dasar Presiden di laman Facebooknya, ramai rakan-rakannya dalam parti melahirkan kekecewaan atas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Azizuddin akui, kenyataan bertentangan dengan pendirian pemerintah hari ini bakal menjadi dilema yang perlu diselesaikan Najib.

"Paling sesuai untuk Muhyiddin jawab dan menyatakan pandangan semasa perhimpunan agung tapi memandangkan beliau tidak diberi peluang terpaksalah guna medium yang lain sama ada media massa atau media sosial.

"Tapi ini akan dilihat bertentangan dengan parti dan kerajaanlah. Ini sebenarnya dilema yang perlu diselesai segera oleh Datuk Seri Najib. Jika tidak ia akan memberi imej yang tidak baik," katanya.

Beliau juga menjangkakan Muhyiddin bakal terus bersuara sehingga pilihan raya atau pemilihan Umno akan datang.

Dalam ulasan ringkasnya, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan amanah yang dipikulnya dalam parti serta sentiasa membantu presiden termasuk menyelesaikan pelbagai permasalahan parti.

Najib dalam ucapan dasarnya mengingatkan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli parti itu tentang tanggungjawab mereka berdasarkan Perlembagaan parti.


Lebih Jimat Terbang Banding Naik ERL - Tony Fernandes

Posted: 13 Dec 2015 11:27 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Tony Fernandes. Foto AFP
 
 
 
PETALING JAYA: Tan Sri Tony Fernandes berkata, adalah lebih murah untuk 'terbang' berbanding menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) susulan pengumuman kenaikan tambang pengangkutan awam itu baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu.

"Ia produk bagus tetapi terlalu mahal. Saya tidak faham. Penumpang AirAsia menaikinya tapi lebih murah lagi untuk terbang sekaang," tweet beliau pada Isnin.

Fernandes berkata, pihaknya menjadi tidak popular kerana sering kali menentang kenaikan kos dan meminta pemain dalam industri penerbangan supaya lebih efisien supaya mengurangkan beban orang ramai.

Pada 1 Disember, Express Rail Link Sdn Bhd berkata, tambang baharu untuk perjalanan sehala antara KL Sentral dan KLIA/KLIA2 meningkatkan kepada RM55 berbanding RM35 sebelum ini.

Kenyataan itu juga menyebut, harga baharu itu diluluskan kerajaan menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengikut Seksyen 120 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kajian pertama sejak ia mula beroperasi 14 tahun lalu.

Memahami ketidakpuasan hati rakyat berhubung perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pelajar, penuntut universiti, Orang Kelainan Upaya, warga tua yang menggunakan ERL dan KTM Komuter.

Muhyiddin Tak Mengalah

Posted: 13 Dec 2015 11:23 PM PST

Oleh: JOCELINE TAN 
 
 
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
 
PETALING JAYA: Suasana perdamaian pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno 2015 mungkin tidak kekal apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai sedang merancang satu lagi ceramah politik untuk menyuarakan pandangan beliau.

Timbalan presiden Umno itu, menurut sumber yang rapat dengan beliau, dikatakan telah bersedia untuk mempertahankan dirinya mengenai isu-isu yang dibangkitkan semasa perhimpunan agung.

Menurut sumber itu, Muhyiddin mahu menangkis apa yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar presiden dan juga semasa ucapan penggulungan.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mahu memberi tindak balas kepada serangan dan kritikan oleh beberapa perwakilan yang berucap semasa perbahasan.

Sehingga kini masih tidak jelas sama ada program baharu itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sekali lagi atau lebih dekat dengan kediamannya di Johor.

Muhyiddin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal bergabung untuk satu acara di Kampung Baru beberapa hari sebelum perhimpunan agung untuk mengkritik pengendalian Najib terhadap isu 1MDB dan dasar-dasar kerajaan yang lain.

Ceramah seterusnya itu adalah sebagai 'ucapan penggulungan' di mana Muhyiddin tidak dibenarkan melakukannya semasa perhimpunan parti.

"Dia merasakan bahawa dia perlu menjawab tuduhan tersebut mengenai kepimpinan dan prestasinya sebagai orang No.2 dalam parti," kata sumber itu.

Najib telah menghulurkan salam perdamaian beliau pada hari terakhir perhimpunan agung apabila beliau mengisytiharkan ingin menjadi seorang yang 'berjiwa besar' mengenai apa yang telah berlaku.

Tetapi Muhyiddin, berdasarkan bahasa badannya, kelihatan nekad. Kedua-dua pemimpin tertinggi itu berjabat tangan tetapi tidak berpelukan antara satu sama lain, walaupun beberapa perwakilan telah menyatakan hasrat mereka untuk melihat mereka berbuat demikian.

Mereka yang berdiri berdekatan dua pemimpin ini perasan bahawa adegan berjabat tangan itu kelihatan seperti tidak dilakukan sepenuh hati - hanya menyentuh hujung jari dan apabila Najib cuba mengangkat tangannya lebih tinggi, Muhyiddin tidak memberikan respons positif.

Muhyiddin seolah-olah tidak mahu menyambut salam silaturrahim dan perdamaian  oleh Najib.

"Terdapat satu usaha tetapi adakah ia disambut?," kata sumber Muhyiddin itu.

Difahamkan bahawa Muhyiddin tidak mengambil berat kenyataan Najib bahawa 'sesiapa yang menentang presiden, maka dia juga menentang parti'.

Selain itu, beliau juga telah menulis di akaun Facebooknya beberapa jam selepas ucapan perasmian Najib, yang menyifatkan bahawa Muhyiddin tidak melakukan tugasnya sebagai orang No.2.

Muhyiddin menulis bahawa beliau telah bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap satu demi satu pilihan raya kecil sejak 2009.

Beliau juga membidas kembali kenyataan Najib dengan mengatakan bahawa kritikan terhadap kepimpinan yang dibuat adalah berdasarkan aduan daripada akar umbi.

Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah berkata para perwakilan telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu parti itu untuk terus bergerak ke hadapan dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Hampir setiap penceramah menyatakan hasrat untuk terus berjuang dan mahu perbezaan pendapat diakhiri.

"Saya tidak tahu apa lagi mahu dikatakan tetapi jika Muhyiddin berkeras untuk membawa beberapa isu di luar, dia tidak menghormati apa yang perwakilan mahu.

"Presiden telah menghantar satu isyarat jelas bahawa jika terdapat percanggahan pendapat, beliau (Muhyiddin) boleh pergi dan berjumpa dengannya atau membangkitkannya kepada Majlis Tertinggi," kata Faizal.

Muhyiddin boleh dikenakan tindakan disiplin jika beliau bertindak untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka kepada orang ramai.

Beliau hampir dipecat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang terakhir pada malam Rabu lalu apabila salah seorang ahli Majlis Tertinggi menyenaraikan 'lapan sebab mengapa Timbalan Presiden itu perlu disingkir.

Bagaimanapun, Najib enggan bertindak terhadap timbalannya dan segera mengakhiri mesyuarat itu, walaupun beberapa orang yang lain masih mahu bercakap.


Kebolehpasaran Pelatih Giat Mara Capai 84 Peratus

Posted: 13 Dec 2015 11:21 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kebolehpasaran pelatih Giat Mara dalam  pasaran kerja kini mencapai tahap 84 peratus, kata Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata sasaran 100 peratus kebolehpasaran pelatih dijangka dapat  dicapai tidak lama lagi melalui pelbagai program dan latihan yang dilaksanakan ketika ini.

"Peruntukan sebanyak RM3.4 juta yang diterima kementerian sebelum ini akan digunakan untuk proses pemerkasaan Giat Mara dan melahirkan pelatih yang mampu bersaing di pasaran kerja terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Salim Sharif yang ingin tahu kebolehpasaran kerja berimpak tinggi yang dihasilkan Giat Mara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Ahmad Jazlan berkata usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan bukan hanya melibatkan institusi latihan Giat Mara, malah ia menuntut penyertaan agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan.

Menjawab soalan asal Senator Shahanim Mohamad Yusoff, Ahmad Jazlan berkata bagi memperkasakan Giat Mara, beberapa tindakan strategik dirancang dan laksana antaranya peningkatan tahap persijilan.

Beliau seterusnya berkata Giat Mara ketika ini menawarkan 39 kursus di bawah 12 kluster antaranya mekanikal, seni bina pembuatan, percetakan, elektrik , fabrik dan kulinari di 231 Pusat Giat Mara di seluruh negara.

Kira-kira 20,000 peserta terlatih dilahirkan setiap tahun.

Beliau berkata Giat Mara juga berusaha mewujudkan bidang baharu yang dilihat diperlukan dalam pasaran kerja.

Tiada pertemuan rintis perpaduan Pas-UMNO Khamis ini

Posted: 13 Dec 2015 11:13 PM PST

 
DHPP berkata tiada pertemuan khas antara Hadi dan Najib bincang penggabungan.


najib hadi


KUALA LUMPUR: Tiada pertemuan antara Presiden PAS dan Presiden UMNO membincangkan perpaduan politik kedua-dua parti itu, nafi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ketuanya, N Balasubramaniam berkata pertemuan antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya ada, hanyalah pertemuan peribadi dan bukan untuk membincangkan penggabungan.

"Hadi dan Najib hanya dijemput dalam satu program yang sama dan Najib merasmikan program itu," kata Ketua DHPP, N Balasubramanian dalam satu sidang media di Madras Cafe, Jalan Ipoh.

Balasubramaniam berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi dalam Bernama TV yang berkata kedua-dua pemimpin parti utama Melayu itu dijadualkan bertemu di majlis anjuran Rabiah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia di Hotel Grand Season pada 17 Disember ini.

Sebelum ini, Hadi dalam satu kenyataan berkata Pas hanya akan membincangkan soal kerjasama sekiranya UMNO bertaubat dan kembali kepada Islam dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

"Bagi kita, PAS tidak akan bergabung dengan UMNO dan ia juga telah dipersetujui oleh Hadi.

"PAS dan UMNO tidak boleh bergabung kerana ideologi antara kedua-dua parti adalah berbeza," jelas Balasubramaniam.

Malah, DHPP berpendapat penggabungan dengan UMNO hanya akan merugikan Pas.

"Rakyat sudah tidak mempercayai BN/UMNO lagi kerana mereka sudah pandai memilih parti yang boleh jaga rakyat," katanya.

Orang ‘sewel’ dan ‘gila’ saja perlu minta maaf kepada Najib

Posted: 13 Dec 2015 11:10 PM PST

 
Muhyiddin dan Shafei Apdal tidak perlu meminta maaf kerana mereka telah berusaha memerangi rasuah serta penyelewengan.


khairuddin-abu-hassan


PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan hanya orang 'sewel' dan 'gila' saja yang perlu memohon maaf tanpa melakukan sebarang kesalahan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang seharusnya meminta maaf kepada rakyat kerana tidak menjawab isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion secara komprehensif, telus, konsisten dan meyakinkan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada usaha mendesak Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kerana mengkritik Najib.

"Keseluruhan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi serta rakyat jelata kagum dengan pendirian Timbalan Presiden (Muhyiddin) dan Naib Presiden UMNO (Shafie) yang tidak akan memohon maaf terhadap Najib Tun Razak kerana tiada asas langsung untuk Tan Sri Muhyiddin serta Dato Seri Shafie Apdal berbuat demikian.

"Hanya orang 'sewel' dan 'gila' saja yang akan memohon maaf tanpa melakukan sebarang kesalahan ataupun kesilapan," katanya dalam status terbaru di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata ahli akar umbi UMNO dan rakyat sudah tidak mempercayai cerita daripada pentadbiran Najib yang gemar membuat kenyataan yang berubah-ubah berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Katanya, tindakan penyokong Najib menganggap Muhyiddin dan Shafie sebagai pengkhianat setelah berusaha memerangi penyelewengan dalam UMNO disifatkan sebagai 'gila'.

"Namun, keseluruhan ahli-ahli UMNO akar umbi serta rakyat jelata tidak bodoh dan tidak boleh diperbodohkan lagi!!

"Bak kata pepatah budak hingusan 'flip flop' Khairy Jamaluddin "enough is enough"!!," tegasnya.

Chegubard akan dedah projek RM16 juta tanpa tender

Posted: 13 Dec 2015 09:48 PM PST

 
Dia sedang mengumpul bukti dan pengesahan dokumen untuk didedahkan pada Rabu ini.


chegubard-tender


PETALING JAYA: Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa memiliki dokumen projek bernilai lebih RM16 juta tanpa tender di Selangor.

Bekas Ketua PKR Cabang Rembau itu juga mendakwa memiliki dokumen bagi projek menaik taraf Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan yang dianggarkan bernilai RM10 juta hanya untuk kerja-kerja mengecat.

Katanya, dia sedang mengemas kini peringkat akhir semua dokumen itu dan akan mendedahkan semua bukti pada Rabu ini.

"InsyaAllah Isnin akan finalise dokumen "projek" nilai lebih RM16j tanpa tender.. isu pintu gerbang dekat RM10j hanya untuk cat (face lift)..

"Kalau semua dokumen diperolehi dan dapt disahkan Rabu ini akan dedah bukti semua," tulisnya di Facebook.

Chegubard berkata, majoriti rakyat menyampah dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetapi terdapat dua kategori pemimpin yang cuba mengagalkan misi pembangkang untuk menang pilihan raya akan datang.

"Pemimpin perangai lebih teruk daripada UMNO/ BN dan pemimpin yang menjadi ejen UMNO/BN," katanya.

Dalam status yang sama juga, Chegubard mengulangi dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong Istana Selangor menarik balik gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gelaran itu ditarik balik oleh Dewan Diraja Selangor pada Disember 2014.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama sempena Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Selangor ke-70 pada Jumaat lalu.

Jamil: G25 cuma keliru, tak perlu diharamkan

Posted: 13 Dec 2015 09:44 PM PST

 
Menteri percaya kumpulan G25 tidak faham konsep diguna pihak berkuasa agama serbu pasangan khalwat.



jamil-khir


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom percaya kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan, G25 tidak faham konsep dan tatacara operasi standard (SOP) tangkapan kes khalwat.

Namun begitu, katanya, perkara itu tidak membawa kepada keperluan untuk mengharamkan perkumpulan itu seperti ajaran sesat.

"Pihak berkuasa bukan mahu serbu kediaman orang pada jam 2 atau 3 pagi sesuka hati.

Jika ada pengadu ialah isteri, suami atau jiran, pihak berkuasa terpaksa serbu kediaman terbabit," kata Jamil, memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada cadangan supaya fatwa dikeluarkan terhadap G25, iaitu perkumpulan pesara pegawai-pegawai awam kanan, kerana mencadangkan undang-undang menangani isu khalwat dikaji semula.

Pada Ahad, FMT menyiarkan temubual dengan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang berpandangan undang-undang berkenaan khalwat tidak jelas dan perlaksanaannya tidak adil kerana hanya menangkap orang kebanyakan.

Jamil berkata pihak kerajaan bersedia memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perlaksanaan undang-undang jenayah syariah, terutama berkaitan SOP yang digunakan sebelum melakukan serbuan terhadap pasangan Islam bukan mahram yang berkhalwat.

Lapan kawasan di Selangor banjir kilat

Posted: 13 Dec 2015 09:39 PM PST

BERNAMA

 

banjir
Keadaan banjir di UiTM Puncak Alam, petang tadi. - Foto Syafiq Fauze/ Sukan Star TV

KUALA LUMPUR,  Lapan kawasan di Selangor mengalami banjir kilat, akibat hujan lebat pada petang tadi, menurut Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.


Lapan kawasan yang terjejas adalah Taman Bukit Kemuning, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Jalan Kapar, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Chinchang, Jambatan Jalan Resak dan Jalan Merbau, Kampung Sri Aman Puchong dan Kampung Tengah.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan banjir itu daripada orang awam pada mulai jam 4 petang hingga 6 petang tadi.

"Terdapat tiga keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Chinchang akibat kenaikan paras air yang berada di tahap 0.9 meter pada 5 petang tadi melibatkan 15 keluarga lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, seramai lima mangsa di Kampung Kubu Gajah dan empat mangsa di Kampung Bukit Cherakah dibawa ke tempat selamat, sementara menunggu air setinggi paras pinggang di kawasan terbabit, surut.

Mohd Sani berkata, kenaikan paras air Sungai Damansara dan Sungai Rasau di tahap tinggi, namun masih tiada pemindahan dilakukan setakat ini.

Katanya, paras air Sungai Klang pula masih normal, iaitu pada 300 hingga 500 milimeter.

Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan kerja pemindahan mangsa dan mengawasi kawasan terjejas.

Jasad terkeluar dari liang lahad akibat letupan kuat

Posted: 13 Dec 2015 09:38 PM PST

BERNAMA

 

kubur
Bom seberat 10 kilogram itu dipercayai ditanam kumpulan pemisah di kubur ibu mangsa. - Foto hiasan


YALA,  Seorang pegawai risikan terkorban, manakala bapanya cedera parah, apabila bom yang ditanam di dalam kubur ibu mangsa meletup ketika dua beranak itu membaca surah Yasin di kubur yang terletak di Kampung Bo Jet Look, daerah Muang Yala, hari ini.


Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kesan letupan kuat itu menyebabkan jasad ibu mangsa terkeluar dari liang kubur yang dikebumikan tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kolonel Polis Kerisda Keawjandi berkata, bom seberat 10 kilogram itu dipercayai ditanam kumpulan pemisah, Rakib Dollah yang menyasarkan mangsa, seorang anggota renjer di daerah berkenaan.

Beliau berkata, mangsa, Sheik Chedomad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya, Aziz Chedomad cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pusat Wilayah Yala.

Bagaimanapun, umur dua beranak itu tidak diketahui.

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Daerah Muang Yala, Konsakul Chanraj, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan melampau hingga penduduk kampung juga terkesan dan amat sedih, kerana pelaku sanggup bertindak kejam.

Bil makan tengah hari lebih RM1,000

Posted: 13 Dec 2015 09:31 PM PST

AKMAL HAKIM

 

mahal
Sebahagian daripada resit makan tengah hari mahal yang dinikmati 19 orang.


KUALA LUMPUR,  Gambar mengenai bil makan tengah hari yang mahal di sebuah restoran tersebar di media sosial.

Pengguna Facebook, Zuhairi Adnan memuat naik gambar menunjukkan resit hidangan makanan laut mahal yang berjumlah RM1,131 ke laman media sosial itu.

Berdasarkan gambar itu, hidangan mahal itu termasuk ikan kerapu, empat pinggan udang, empat pinggan sotong goreng dan hidangan lain. 

Zuhairi terkejut dan kesal dengan hidangan mahal yang dinikmati beliau bersama keluarganya yang terdiri daripada 19 orang. 

"Terkejut beruk dpt bil mkn lunch td wif famili RM 1,131.00…tgklah tu harga harga ikan kerapu 4 ekor," demikian tulis Zuhairi dalam Facebooknya.

Ia jelas tertera harga untuk ikan kerapu sahaja adalah RM736.

Berdasarkan gambar itu juga, restoran berkenaan dipercayai adalah kedai makanan laut yang terletak di Langkawi, Kedah.

Gambar itu telah dikongsi sebanyak 1,400 kali di Facebook serta mendapat reaksi daripada ramai pengguna media sosial yang terkejut dengan hidangan mahal berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Ryaikal Samsudin hairan dengan makanan mahal itu: "Mahalnya, kalau tak boleh bayar macam mana ni? Lari la? Hahaha."

Seorang lagi pengguna, Rogayah Kah berkata, rakyat perlu memboikot restoran itu yang jelas mengenakan caj berlebihan untuk makanan dihidangkan.

"Laporan kepada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," nasihat Nasaruddin Mawi. 

Bagaimanapun, pengguna Facebook lain menyalahkan Zuhairi atas kejahilan dan kurang pengetahuan sebelum menjamu selera.

Pengguna Facebook, Kasim Abdullah berkata, Zuhairi sepatutnya bertanyakan harga ikan sebelum menempah makanan.

Seorang lagi pengguna, Jerry Kalon Samm berkata, makanan laut lebih mahal.

"Ikan memang selalunya kira pakai kilo, so kena tengok la berat dan ikan apa dulu sebelum beli. Ikan bilis murah la. Keh keh keh."

Kerapu Harimau adalah ikan laut lepas yang dianggap hidangan istimewa di kebanyakan kawasan di Asia. 

Ikan ini amat mahal dan ia bergantung kepada kualiti serta saiz ikan, di mana ia boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram.

Banjir: 87 orang dipindahkan di Perak

Posted: 13 Dec 2015 09:26 PM PST

THE RAKYAT POST

 

FLY_4285-600x360
Ibu bapa diminta sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Foto fail TRP 


KUALA LUMPUR,  87 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah Parit Tengah, Perak berikutan banjir melanda kawasan itu.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan, 20 keluarga itu kini ditempatkan sementara di pusat pemindahan banjir Surau Nurul Jannah Parit 6.

Setakat ini, hanya satu pusat pemindahan diaktifkan di negeri itu.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kawal anjing hindari penyakit anjing gila

Posted: 13 Dec 2015 09:23 PM PST

BERNAMA

 

FLY_3725
Pemilik anjing diminta kawal haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan penularan wabak rabies. Foto Fail TRP

KANGAR,  Pemilik anjing di Perlis dinasihat mengawal dan memantau haiwan peliharaan mereka agar terhindar daripada penyakit anjing gila atau rabies.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Ahmad Bakri Ali berkata, walaupun penyakit anjing gila di negeri itu terkawal, namun pemilik anjing masih perlu berwaspada.

"Perintah Kawalan Penyakit Anjing Gila di bawah Akta Binatang 1953 masih dikuat kuasa sebagai langkah berjaga-jaga sejak wabak Rabies di Perlis diwartakan pada 19 Ogos lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Bakri berkata, pemilik anjing antaranya perlu memastikan anjing mereka dikurung dalam premis masing-masing dan tidak dipindahkan ke tempat lain tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Selain itu, pemilik haiwan juga perlu melaporkan segera jika anjing mereka mati dan membuat suntikan pencegahan anti-Rabies setiap tahun, katanya.

Katanya, Jabatan Veterinar negeri melaksanakan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung wabak rabies daripada merebak termasuk meningkatkan imuniti anjing peliharaan melalui vaksinasi dan mengawal populasi anjing liar.

Ahmad Bakri berkata, dari 27 Julai hingga 19 November lepas terdapat 56 kes gigitan anjing dilaporkan di seluruh Perlis dan dari jumlah itu hanya 16 kes disahkan positif penyakit anjing gila.

Pas tidak tolak kerjasama kerana ia perintah Allah – Tuan Ibrahim

Posted: 13 Dec 2015 09:21 PM PST

IKHWAN HAZWAN

 

Tuan-Ibrahim-Tuan-Man-L
Tuan Ibrahim berkata, Pas sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak namun kerjasama ini bukanlah bermakna Pas harus korbankan dasar dan perjuangan. Foto Fail TRP 


KUALA LUMPUR,  Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang memberi bayangan seolah-olah wujud dua orang yang menentang kerjasama Pas dengan Umno iaitu dirinya dan juga Naib Presiden, Datuk Iskandar A. Samad.


Menurut Tuan Ibrahim, beliau ingin mengingatkan Puad bahawa keseluruhan pimpinan Pas tidak pernah menentang sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak kerana ianya adalah perintah Allah.

Jelasnya, Pas menyatakan dengan tegas perlu penyatuan di atas landasan yang digariskan oleh Allah iaitu 'bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan".

"Inilah prinsip Islam yang menjadi pegangan Pas dan bersedia bekerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah, salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaaan, perjanjian yang tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem federalisme yang tidak dilaksanakan.

"Atas dasar inilah Pas sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak namun kerjasama ini bukanlah bermakna Pas harus korbankan dasar dan perjuangan demi mencapai kemenangan politik pilihan raya sahaja," katanya menerusi posting terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.

Tegasnya, jalinan dan kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah sebahagian daripada sistem federalisme yang tidak boleh dicampuradukkan dan diklasifikasikan sebagai kerjasama politik antara dua parti.

Katanya, ada sebilangan pemimpin Umno yang keliru akan perkara ini, mungkin kerana telah biasa dengan sistem federalisme yang telah dirosakkan oleh Umno sendiri.

"Datuk Seri Najib telah menyatakan hasrat bagi melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak dan ini tentunya khabar gembira kalau ianya benar-benar lahir dari keinginan yang bersungguh-sungguh Perdana Menteri.

"Sebagai parti yang sedang memerintah beliau mesti membuktikan hasrat tersebut serta laksanakanlah dalam ruang yang sedia ada dengan merintis perubahan kepada keadilan sosial dan ekonomi rakyat.

Beliau berkata, atas dasar itu Pas sebagai parti pembangkang sedia membantu dan terus menjadi sebagai pendesak kerajaan bagi melaksanakan perintah Allah dan menegakkan syariat sebagaimana yang dituntut oleh Allah tetapi bukan bermakna Pas bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional (BN) yang mana ia telah ditegaskan oleh Presiden Pas berulang kali.

"Pas tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama. Lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba, rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

"Pas juga tidak akan merelakan perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan ' menghalalkan' pelbagai penipuan, penyelewengan, rasuah dan perkara bertentangan dengan syarak demi mempertahankan kuasa satu-satu pemimpin.

"Oleh itu Pas akan meneruskan tugas dalam mendesak Umno menggugurkan dasar nasionalismenya dan menerima perjuangan Islam dan ini hanya boleh berlaku dengan Pas terus menjadi saingan kepada Umno," tegasnya.

“Tiada prejudis dalam memilih pemenang. Semuanya telus!”

Posted: 13 Dec 2015 09:18 PM PST

SHAZRYN MOHD. FAIZAL

 

gegarvaganza-m-5
Enam finalis 'Gegar Vaganza' musim kedua (dari kiri) Ezad Lazim, Acong, Farahdhiya, Siti Nordiana, Nassier Wahab dan Haiza yang telah menggegarkan pentas akhir pertandingan nyanyian popular terbitan Astro di Shah Alam, Selangor, malam semalam. - Foto Astro


KUALA LUMPUR,  Juri tetap program realiti popular terbitan Astro, Gegar Vaganza musim kedua (GV2), Datuk Ramli MS secara terbuka memberitahu beliau dan barisan juri yang lain tidak mengamalkan prejudis sewaktu menilai persembahan penyanyi yang bertanding sepanjang lapan minggu GV2 berlangsung.


Bagi Ramli, sebagai penyanyi profesional dan berpengalaman luas dalam bidang nyanyian, peserta GV2 sudah sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan di atas pentas dalam memberikan persembahan terbaik.

"Sebagai juri, kami tidak mempedulikan apa jua perkara yang tidak berkaitan melainkan hanyalah untuk fokus kepada persembahan mereka selama tiga setengah minit itu.

"Dalam tempoh yang singkat itu, kami akan menilai tanpa ada rasa belas kasihan sehinggakan seandainya ada kesilapan kecil sekalipun, kami akan memotong markah mereka.

"Seharusnya, peluang itu diambil oleh semua peserta musim kedua ini untuk mempamerkan kehebatan dan kekuatan masing-masing untuk penilaian kami dalam memilih mereka yang benar-benar layak ke pentas akhir dan seterusnya memilih juaranya," kata Ramli yang ditemui sewaktu sidang media yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor, malam semalam.

Selain Ramli, tiga tokoh seni yang diberi tanggungjawab untuk menilai persembahan finalis GV2 semalam termasuklah seorang lagi juri tetap, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty selain dua juri undangan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Rosyam Nor.

Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas tentang spekulasi yang mengatakan beliau dan barisan juri yang lain terutama Khaty yang mengamalkan favouritism dalam GV2.
gegarvaganza-m-3
Sebagai juri tetap Gegar Vaganza musim kedua, Ramli MS menjalanlan tanggungjawabnya secara profesional tanpa prejudis. – Foto Astro
Apatah lagi, ada sesetengah pihak yang berasa kurang senang apabila salah seorang finalis GV2, Farahdhiya Mohd. Amin atau mesra disapa Farah dipilih sebagai naib juara pertandingan nyanyian popular terbitan Astro itu.

Mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan, Khaty pula menjelaskan setiap kali beliau membuat penilaian, perkara utama yang dititik beratkan olehnya adalah kelainan dalam setiap persembahan yang dilakukan.

Malah, dalam nada penuh diplomasi, penghibur legenda itu menafikan dirinya bersama Ramli telah sepakat dalam menentukan pemenang kerana segala keputusan yang dilakukan adalah telus tanpa ada sebarang pilih kasih.

Dalam konteks ini, Khaty yang cukup masyhur dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu itu, beliau suka untuk mengambil contoh penyanyi Haiza yang disifatkannya sebagai versatil setiap minggu.

"Bukan hanya dari segi persembahan, tetapi imej yang ditampilkan juga sudah cukup jelas membuktkan keseriusannya dalam pertandingan ini.

"Begitu juga dengan Siti Nordiana atau Nana yang saya sifatkan penyanyi yang cukup bagus sepanjang dia bertanding dalam GV2 kerana konsisten dalam persembahannya.
gegarvaganza-m-4
Khaty amat menitik beratkan soal kelainan dalam persembahan setiap penyanyi yang bertanding dalam Gegar Vaganza musim ini dan menilainya secara telus. – Foto Astro
"Tetapi saya sedar, setiap mereka yang bertanding pasti akan berhadapan dengan kesulitan. Mungkin kerana penat dan mempunyai perasaan darah gemuruh yang seterusnya menyebabkan mereka gugup dan tidak dapat memberikan fokus untuk setiap persembahan," ujar pemilik rangkaian restoran terkenal, Khadijah's Kitchen itu lagi.

Pada pentas akhir itu, seperti mana yang diramal ramai pihak, Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, 31, menjuarai GV2 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, pakej pelancongan ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000, trofi dan peluang merakamkan single baharu bersama Astro.

Ternyata, Nana telah memberikan persembahan yang mengagumkan semua pihak menerusi lagu popular Ziana Zain, Putus Terpaksa selain bergandingan bersama Acong dalam pusingan battle untuk lagu #AwakKatMane.

Sementara itu selaku penyandang gelaran naib juara pula, Farah menerima habuan sebanyak RM50,000 selain pakej percutian ke Beijing, China dan trofi sumbangan Astro.

Tempat ketiga pula menjadi milik bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim manakala kedudukan keempat hingga keenam masing-masing menjadi milik Nassier Wahab, Acong dan Haiza.

Enam peserta GV2 yang turut bertanding musim ini termasuklah Zul Handy Black, Ezlynn, Sheeda, Amir Ukays, Nizam Laksamana dan Azian Mazwan Sapuwan.

Habuan menunggu pemain Selangor - Pengurus

Posted: 13 Dec 2015 04:44 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Setelah berusaha keras untuk menewaskan Kedah dan sekali gus menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 malam Sabtu, para pemain skuad Gergasi Merah bakal menerima habuan.
 
Ini dinyatakan pengurus pasukan Amirudin Shari yang berkata ia susulan pemberian RM30,000 kepada pemain selepas berjaya membawa Selangor ke final.
 
"Sasaran kita adalah untuk layak ke final. Kita letakkan ganjaran RM30,000 jika mereka layak ke pusingan akhir. Jumaat lepas kita sudah selesaikannya (pemberian).
 
"Semalam kita ada membuat permintaan kepada menteri besar (Datuk Seri Azmin Ali). Apabila pasukan membuat pencapaian yang memberangsangkan ini, sudah pasti menteri besar akan memberikan ganjaran, cuma amaun itu akan diumumkan kemudian," kata Amirudin.
 
Selangor mengalahkan Kedah 2-0 untuk muncul juara Piala Malaysia 2015.
 
 

Lelaki ditahan hina institusi diraja Johor menerusi Facebook

Posted: 13 Dec 2015 04:42 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

JOHOR BHARU: Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai menghina institusi diraja negeri ini, menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Larkin Jaya, di sini, pada 3.30 pagi, semalam, oleh pasukan khas yang ditubuhkan polis.
"Suspek yang merupakan seorang penganggur ditahan selepas polis bertindak atas satu laporan yang dibuat seorang individu, 7 Dis lepas.
"Kata-kata lelaki itu (menerusi Facebook) sangat menghina institusi diraja kita dan perkara ini tidak boleh dibiarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas satu telefon bimbit daripada lelaki berkenaan dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
Wan Ahmad Najmuddin berkata semakan rekod jenayah mendapati dia mempunyai rekod lampau pada Oktober lepas atas kesalahan memeras ugut.
Suspek kini direman empat hari sehingga Selasa ini dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Tiada tanah runtuh di Terowong Menora: PLUS

Posted: 13 Dec 2015 04:40 PM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kejadian tanah runtuh berlaku di Lebuh Raya PLUS berhampiran Terowong Menora di Ipoh seperti yang tersebar melalui media sosial sejak semalam. 
 
PLUS Malaysia Berhad (PMB) mengesahkan perkara itu melalui laman Twitternya, Plusline1800880000, tengah malam tadi. 
 
"Viral tanah runtuh di Lebuhraya PLUS tersebar melalui media sosial adalah palsu. Sila abaikan," katanya. Mesej yang viral melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook mengenai kejadian tanah runtuh berserta beberapa gambar berlaku di lebuh raya itu dikesan mula tersebar semalam. 
 
Ia sekali gus mengundang tanda tanya dan keresahan dalam kalangan orang ramai terutama pengguna lebuh raya berkenaan. 
 
Difahamkan, gambar yang tersebar itu sebenarnya adalah kejadian tanah runtuh yang berlaku di Lebuh Raya Karak, baru-baru ini.
 
 

31 penduduk Salak Tinggi dipindah akibat banjir

Posted: 13 Dec 2015 04:39 PM PST

ANTARAPOS,COM


Post Pic

 
 
SEPANG: Seramai 31 penduduk di Kampung Ginching Hilir dan Taman Salak Indah, Salak Tinggi, di sini dipindahkan selepas kampung serta kawasan perumahan mereka dinaiki air malam tadi. 
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Yahya Md Sham, berkata mereka dipindahkan berikutan air naik memasuki rumah mereka setinggi kira-kira satu meter. 
 
"Semua mangsa terbabit termasuk kanak-kanak dipindahkan ke Balai Raya Salak di sini. 
 
"Pada masa sama, kita sedang mendapatkan maklumat mengenai penduduk di Salak Tengah yang turut terjejas akibat banjir kilat ini," katanya ketika dihubungi. 
 
Yahya berkata, sehingga kini, banjir kilat berkenaan mulai surut dan keadaan pulih seperti sedia kala. 
 
"Kawasan yang terjejas ini boleh dikatakan sering berlaku terutama ketika banjir kilat," katanya.
 
 

Hidup Umno, kata Najib pada robot

Posted: 13 Dec 2015 04:36 PM PST

Koh Jun Lin


 


Walaupun perhimpunan agung tahunan Umno sudah tamat semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak nampaknya masih berada dalam mood dan kemeriahan acara itu.

Dalam acara santai di pertandingan Permainan Siber Malaysia 2015 hari ini, perdana menteri sempat berkata "Hidup Umno!" sebagai respon aksi sebuah robot.

Beliau ketika itu melawat tapak pameran yang didirikan sempena acara itu.

Selepas menonton perlawanan akhir Dota 2 dan mencuba sendiri aksi dalam permainan itu, beliau melalui sebuah robot putih dengan bentuk badan seperti manusia yang terletak di atas sebuah meja.

Robot itu kemudian kelihatan bangun, menyebabkan Najib menghampirinya dan kelihatan seperti mahu bersalam dengannya. Robot itu kemudiannya mengangkat tangan ke udara.

Najib secara spontan bertindak sama dan melaungkan "Hidup Umno!" membuatkan kawasan sekitar itu menjadi ceria.

Pertandingan permainan siber itu melibatkan beberapa permainan popular seperti Dota 2, Fifa 16, Ultra Street Fighter IV, and Counter-Strike: Global Offensive.

Hadiah terbesar ditawarkan untuk Dota 2, dengan pasukan pemenang akan membawa pulang RM125,000 dan peluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Keputusannya dijangka diumumkan malam ini.

Ia juga mencatat rekod pertandingan siber terbesar di negara ini dengan 792 pasukan mengambil bahagian.

RM15,000 untuk setiap pemain utama Kedah

Posted: 13 Dec 2015 04:26 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan imbuhan RM15,000 untuk setiap pemain utama pasukan bola sepak Kedah yang muncul Naib Juara Piala Malaysia musim ini.

Mukhriz berkata dengan pencapaian luar biasa skuad Helang Merah sehingga berjaya bergelar naib juara, imbuhan itu dianggap sebagai berpatutan biarpun bukan jumlah yang besar.

"Kita tahu skuad Kedah berjuang tanpa imbuhan yang besar selama ini. Namun dengan pencapaian luar biasa ini, melalui perbincangan kita setuju untuk memberi imbuhan ini," katanya kepada pemberita di majlis santapan malam meraikan pasukan Kedah di Istana Negara malam tadi.

Mukhriz berkata bagi pemain lain imbuhan turut diberikan berdasarkan peratusan masa yang mereka luangkan bermain untuk pasukan.

Katanya, misi pasukan itu seterusnya ialah menumpukan pada perlawanan Liga Super musim depan.
"Sekarang ini pasukan akan berehat sehingga Februari ini. Selepas itu tumpuan adalah bagi memantapkan lagi pasukan untuk musim depan," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah itu.

Kedah mara ke final Piala Malaysia tahun ini berdepan Selangor selepas kali terakhir menjuarai piala itu pada 2008.

Namun Kedah tewas 0-2 kepada Selangor pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah selaku Naib Juara

Piala Malaysia 2015 di Dewan Serbaguna Istana Negara, malam tadi.

Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badli Shah, Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badli Shah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan ahli jemaah pemangku Sultan Kedah.

Sementara itu, Mukhriz ketika berucap berkata walaupun tidak menjulang piala berprestij berkenaan, pasukan Kedah nyata beraksi cemerlang pada musim ini.

"Walaupun hajat selama tujuh tahun untuk kembali menjulang Piala Malaysia masih tidak kesampaian, namun muncul naib juara membuktikan Kedah (berusaha) berhabis-habisan walaupun sebagai pasukan bukan pilihan pada awal musim,"katanya.

Beliau berkata, misi untuk kembali membawa Piala Malaysia ke Kedah seperti kejayaan 2008 tetap akan menjadi agenda utama pasukan 'Helang Merah' itu.

Kerajaan negeri pada masa ini katanya telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tahap dan kualiti bola sepak negeri terus cemerlang.

"Ia termasuk menaiktaraf Stadium Darul Aman demi keselesaan pemain dan penonton.

"Penukaran logo pasukan dari Kenari ke Helang Merah dengan perkenan Tuanku juga menyuntik semangat baharu pemain selain program pembangunan bakat-bakat baharu bola sepak negeri," katanya.
- Bernama


Tiada ulasan: