Kelab Greenboc |
- [BERGAMBAR] Keluarga Anwar Lantik Dr.Hatta Ketuai "March To Freedom"
- Anwar Yang Dipenjara, Najib Yang Tak Akan Tidur Lena
- [TERKINI] KEADILAN Kecam Penghakiman Kes Fitnah 2, Perilaku Hakim Ke Parlimen
[BERGAMBAR] Keluarga Anwar Lantik Dr.Hatta Ketuai "March To Freedom" Posted: 11 Feb 2015 01:21 AM PST Beri Dr Wan Azizah ruang, kami teruskan perjuangan, kata Nurul Izzah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu diberikan ruang yang selesa selepas mengharungi perjuangan reformasi sejak 17 tahun lalu, kata anaknya, Nurul Izzah Anwar. Naib presiden PKR itu berkata, kini anak-anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia meneruskan perjuangan ibu bapanya kerana masing-masing sudah meningkat dewasa. "Sudah 17 tahun Dr Wan Azizah terpaksa mengharungi mendepankan diri. Pada saya anak-anak sudah besar dan dewasa. Kalau Nurul Hana pada 1998 hanya 6 tahun, tetapi sekarang dapat membantu dengan lebih aktif. "Berilah beliau (Dr Wan Azizah) ruang untuk bersendiri sekurang-kurangnya ruang yang selesa mungkin. Berdepan media bukan benda yang mudah untuk dilakukan walaupun semua baik sehingga kini. "Saya fikir ini apa yang dimahukan keluarga. Dan sudah tentu ia perjuangan yang panjang, dan banyak sidang media lain yang kita boleh lihat beliau," katanya di kediaman Anwar di Bukit Segambut hari ini. Sementara itu, seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil "March to Freedom". Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia. "Marilah bersama kami dalam perjuangan ini. Sama-sama kita hentikan kezaliman," katanya pada sidang media itu. Nurul Nuha berkata, tujuan utama kempen ialah bagi menyatakan yang Anwar menjadi mangsa keadaan sistem di negara ini. Katanya, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen "March to Freedom" itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk. "Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara. "Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali," kata Nurul Nuha, 31. Katanya, selepas 17 tahun mereka bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan dan penganiayaan, semuanya kini berakhir dengan Anwar dihukum penjara. Sepanjang tempoh itu, kata Nurul Nuha, Anwar menunjukkan kesungguhan, erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang. "Dialah contoh terbaik seorang yang berjuang menongkah arus melawan kezaliman. Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat. "Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih, dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami. 17 tahun yang lepas merupakan sebuah tempoh yang lama. "Kita tidak tahu berapa lama lagikah perjuangan ini akan berterusan, tetapi kami akan bersama-sama dengan ayahanda kami sehingga nyawa berada di hujung badan," katanya. – 11 Februari, 2015. ULASAN GB Tahniah Dr Mohd Hatta. Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Meskipun dihentam oleh ahli PAS sendiri yang terdiri dari golongan pro-ulama minggu lepas malah disuruh letak jawatan dan dipijak gambarnya, namun ada orang yang di luar PAS yang mengakui dan menghargai jasa dan pengorbanan Dr.Mohd Hatta selama ini di dalam mengukuhkan Pakatan Rakyat, sesuai dengan resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun. |
Anwar Yang Dipenjara, Najib Yang Tak Akan Tidur Lena Posted: 10 Feb 2015 10:08 PM PST Selepas Anwar ke Penjara, Adakah Kedudukan Najib Makin Selamat? Setelah muktamad hukuman penjara lima tahun dijatuhkan keatas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kesedihan rakyat hampir dapat dirasai di mana-mana. Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar. Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu. Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa di mana juga berkongsi perasaan yang sama. Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penanggungan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat. Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga. Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik. Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti. Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua. Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya. Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini? Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi? Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh? Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan? Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi? Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu? Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang? Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu? Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini. Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO. Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. -shahbudindotcom ULASAN GB Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Apa yang dapat dirasakan ialah satu hari Najib BAKAL merasai apa Anwar rasakan kini, malah lebih teruk lagi. Kerana demikianlah roda kehidupan berputar. Sunnatullah: Yang zalim itu akan tetap terhukum juga... Hari Najib akan tetap tiba nanti... .... hari ini hari kau (najib).... pinjam dialog dalam 3 Abdul Dan UMNO akan lebih cepat bungkus... |
[TERKINI] KEADILAN Kecam Penghakiman Kes Fitnah 2, Perilaku Hakim Ke Parlimen Posted: 10 Feb 2015 06:15 PM PST KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes Fitnah 2 hari ini. Kes Fitnah 2 ini jelas adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan Umno-Barisan Nasional. Dapatan mahkamah (court finding) bahawa Saiful Bukhari adalah seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan. Keputusan hari ini memusnahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman. Pemenjaraan saudara Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan semangat dan daya juang kami. Malah KEADILAN akan memperkukuh kepimpinan dan jentera parti untuk meneruskan perjuangan melaksanakan agenda rakyat demi Malaysia yang lebih baik. Kami juga tekad untuk memperkukuhkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu, dalam masa terdekat, KEADILAN akan: 1) memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes Fitnah 2 yang memenjarakan saudara Anwar Ibrahim 2) menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar Penjara Sg Buloh setiap hari, bermula malam esok (Rabu, 11 Feb 2015) 3) mengatur solat hajat pada hari Khamis malam Jumaat ini di setiap Cabang KEADILAN seluruh negara. KEADILAN istiqamah dan komited untuk tidak mensia-siakan pengorbanan saudara Anwar. Seperti saudara Anwar, KEADILAN juga tidak akan sekali-kali mengalah. "We will never surrender!" Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Presiden KEADILAN 10 Februari 2015 |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan