Rabu, 11 Februari 2015

edyesdotcom

edyesdotcom


Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Posted: 10 Feb 2015 02:36 PM PST

Tulisan Terbuka
10 Februari 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Hari ini 10 Februari, hari yang sebak. Perasaan ini tidak mampu disembunyikan, ia dapat dilihat di mana-mana. Saya tidak hairan jika sehari ini keadaan tenang seribu bahasa, kerana esok masih ada dan masih mampu berbisa, kerana lusa masih utuh untuk perlawanan seterusnya.

Ketika tulisan ini digarap, kartunis zunar sedang berada di lokap. Beliau diberkas sebelum sempat melahirkan kartun-kartun sinikal yang baru. Dalam kepala saya terbayang 5 ekor kanggaroo menjadi teras lukisan beliau barangkali. Saya klasifikasi penangkapan kartunis Zunar ini satu tindakan 'prevention' sebelum satu serangan bom berlaku di PWTC contohnya. Jangan serius sangat, saya hanya menyindir.

Sungguh cekap dan efisyen sekali pihak polis raja di Malaysia, walaupun Zunar ditangkap bukan kerana kartunnya, tapi hanya kerana secebis tulisan di twitter. Malah twitter menjadi ruangan paling selamat ketika ini kerana IGP sendiri yang buat rondaan berkala. Tidakkah IGP mahu meronda di ruangan facebook pula? Rasanya ramai lagi 'penjenayah' media sosial masih bebas melampias konklusi yang merentap institusi kehakiman.

Siapa lagi bakal direman selepas ini hanya kerana bersimpati terhadap institusi kehakiman negara? Sila ambil giliran masing-masing, tunggu di rumah nanti 'tiga paku' datang angkut semua. Apakah kalian percaya bahawa penangkapan demi penangkapan akan meredakan perlawanan?

Bercakap soal perlawanan, tidak salah jika saya katakan gerakan menumbangkan regim bermula dengan jelas pada era 1998. Di sini gerakan bermula dengan menempuhi pelbagai episod. Antara siri episod yang paling menjadi perhatian ialah liwat 1 dan 2, yang menjadikan negara ini bergelumang dengan berita kelucahan selama belasan tahun khususnya 5 tahun kebelakangan ini.

Episod lucah ini hadir ketika kedudukan regim berada dalam keadaan sangat bahaya. Pertama ialah ketika Anwar gagal diperguna semasa beliau memegang tampuk nombor dua negara lantas mencetus saga perlawanan. Kedua ialah ketika 5 negeri tumbang dalam tsunami pilihanraya umum ke-12 yang juga di atas faktor Anwar dalam momentum yang sangat gamat. Jangan dilupa fakta ini, apatah lagi menafikannya.

Saya percaya kalian semua ada bersama dalam perlawanan ini samada dalam episod pertama atau kedua, atau kedua-duanya. Walaupun Anwar adalah faktornya, tetapi harus diingat bahawa perlawanan ini bukan soal Anwar, bukan soal menyelamatkan maruah keluarganya. Perlawanan ini adalah perlawanan kita, perlawanan ini adalah soal rakyat, soal perjuangan menyelamatkan tanahair.

Bicara soal perjuangan, ketika datangnya harapan membentuk sebuah negara rakyat, kita memilih perjuangan ini dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai kereta kebal yang akhirnya menjadi sasaran utama. Segala kekuatan persenjataan regim dihalakan terhadap sosok ini, senjata berat, senjata ringan, senjata halus, senjata boleh laras, senjata dalam sekam. Semuanya fokus menjatuhkan kredibiliti, membunuh karektor dan karisma, diulang dan diulang hingga membuahkan hasil tersendiri - iaitu ke'redho'an kita membenarkan Anwar ke penjara.

Apalah nak dipeduli, kamu sudah punya kerajaan beberapa negeri, ramai antara kamu sudah menjadi Adun, berjawatan dalam kerajaan negeri, dalam GLC, ada juga yang bakal menerima insentif pencen sebagai bekas ahli parlimen dan sebagainya. Sedarkah kamu kemewahan yang sementara ini, bagaimana ia bermula? Apakah kamu tergamak menikmati ghanimah manakala Anwar dibunuh dan maruah keluarganya tercela?

Kepada kalian yang terus berjuang tanpa mengharap balasan, mungkin saja terdapat seribu kekecewaan di dalam perjalanan. Tapi sebagai pejuang hatinya waja, bukan tisu dan kertas. Apalah nak dikira bila peluang dan cetusan untuk perlawanan seterusnya kini di depan mata. Ya benar ini bukan soal Anwar, tetapi soal prinsip bilamana seseorang itu ditindas dan dizalimi hingga ke liang penjara. 

Kepada 'pahlawan papan kekunci', samada kalian dituduh sedemikian ataupun memilih untuk menjadi demikian, saya percaya kalian adalah watak penting dalam perlawanan ini. Teruslah jadi pahlawan walau di mana sekalipun, cuma saya nak bagitau bau canister itu cukup menghairahkan. Sila guna sarung tangan, canister itu panas demi meruapkan asap pedih. Garam adalah penawar penting, tetapi meletakkan canister itu ke dalam sebaldi air adalah pencegah yang lebih baik. Sila lari jika semua orang lari, tetapi sila jangan lari jika semua yang di depan itu steady.

Berbalik kepada cerita hari ini, Anwar dijatuhkan hukuman penjara sampai mati. Tiada hujah teknikal dari para hakim, hanya bergantung kepada kredibiliti seorang Saiful, sampel dan plantif tercemar menjadi bukti. 

Saya mengikuti perbicaraan, saya juga bersama che'GuBard menulis sebuah buku 'FITNAH' terhadap Anwar, mendapati segala keraguan munasabah terhadap pertuduhan tidak terjawab. Saya penuh yakin Anwar tidak bersalah.

Dari pengamatan saya, walau mati hidup semula, kalian semua tidak percaya kepada Saiful. Kalian akui bahawa ia adalah sebuah konspirasi ulang cerita sepertimana episod terdahulu. Ya, kalian juga pasti Anwar tidak bersalah. Tetapi gamaknya seolah kalian membiarkan Anwar diheret ke penjara.

Situasi pada hari ini menunjukkan Anwar tidak punya kekuatan seperti waktu gemilangnya iaitu waktu kita bersama menghambat regim. Sudah teruk dibedil dari serata sudut, namun kereta kebal yang terputus rantai ini masih melawan dengan laras yang masih bisa meledak dan tidak akan menyerah kalah. Dalam status begini pun, Anwar dihumban ke penjara di atas sikap dan karektor perjuangannya selama belasan tahun. 

Telah saya katakan tadi, perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama. Jujurnya, pemenjaraan Anwar tanpa kebangkitan adalah kemenangan besar buat gerombolan. Apakah kegagalan kita menumbangkan regim zalim ini harus dibayar oleh Anwar dengan sebuah harga - sisa sisa terakhir kehidupannya? 

Berikut saya petik kata-kata akhir Anwar kepada para hakim; 

"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman. Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap"

Ia seraya menyebabkan para hakim panas punggung dan beredar dari tempat duduknya.

Ya benar, tidak ada jalan yang jelas ketika ini untuk Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri seperti mana yang pernah diidamkan. Anwar juga manusia, tidak lari dari silap dan salah kira. Tetapi di atas sekelumit jasanya terhadap diri kita (jika ada), ayuh kita atur sebuah gerakan ampuh bebaskan Anwar dari penjara, dengan prinsip. 

Jelas, perlawanan kita dari dulu dan selepas ini bukan demi menobatkan seseorang, bukan demi sosok pemimpin tertentu, tapi demi rakyat dan menyelamatkan tanahair dari genggaman regim zalim.

Ayuh! Genggam tangan, hayunkan ke atas. Suara Rakyat Masih Keramat!!

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia

Tiada ulasan: