Rabu, 11 Februari 2015

.

.


Pas perlu siasat tunjuk perasaan dan individu yang cirit birit

Posted: 11 Feb 2015 02:49 AM PST

SUSUPAN PETANG                                                                       

Kesediaan Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali untuk menyiasat kejadian tunjuk perasaan oleh budak-budak Pas yang datang dari pedalaman di perkarangan ibu pejabat Pas Jalan Raja Laut beberapa hari lalu serta kesediaan meneliti memorandum yang diserahkan oleh kumpulan itu dialu-alukan.

Jaminan itu diberi oleh Mustapa yang sememangnya berhak untuk berbuat demikian atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung. Mustapa menyatakan sikap itu sebagai reaksi kepada individu yang mempertikaikan kenyataan simplistiknya yang menolak dakwaan budak-budak penunjuk perasaan itu kononya ada konspirasi hendak menjatuhkan presiden Pas.

Mustapa dalam menjawab pertanyaan media massa sama ada benar atau tidak dakwaan penunjuk perasaan itu, menjawab secara politik ianya tidak ada. Jawaban Mustapa itu senada dengan jawaban Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub yang menafikan perkara itu.


Bagi mereka yang cekap dan dalam politik akan memahami jawaban kedua pemimpin itu lebih kepada usaha untuk mengharmonikan Pas dan itulah tindakan sebaik-baiknya dilakukan oleh mereka bernama pemimpin, dan bukannya menjadi pemecah piring dalam majlis kenduri atau menyebarkan fitnah yang dikutip dari whatsaap.

Elok kalau Mustapa dan Jawatankuasa Pas membuat siasatan segera atas dakwaan itu dan memberi penjelasan secara saintifik untuk kepuasan semua pihak berhubung dakwaan budak-budak Pas itu yang mendakwa mempunyai bukti yang konkrit kononnya ada konspirasi hendak menjatuhkan Presiden Pas. Selagi beliau tidak menjelas dan menjawab secara politik ia akan diungkitkan.

Individu yang mempersoalkan jawaban Mustapa dan Salahuddin itu menganggap jawaban kedua pemimpin Pas itu sebagai cuba melindungi bangkai dengan nyiru, menyebabkan ia menimbulkan kemarahan Mustapa Ali.

"Apakah (*****) mahu saya sebut bahawa ada konspirasi menjatuhkan Presiden, adalah bodoh kalau saya jawab begitu, kerana dari segi akademik dan politik memang tiada konspirasi," kata Mustapa menempelak individu berkenaan.

Penggunaan perkataan "bodoh" oleh Mustapa itu menggambarkan betapa marahnya veteran Pas itu dengan apa yang berlaku kerana perkataan itu jarang sekali dikeluarkan.

Sehubungan itu Mustapa dengan mementik kata-kata presiden Pas mengingatkan individu berkenaan jangan "cirit birit mulut dan tangan" kerana telah melakukan banyak perkara negatif kepada Pas.

Difahamkan individu berkenaan jugalah yang menulis dalam grup whatsaap mencadangkan agar Pas berkolobrasi dengan Umno untuk mengambil alih kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan bila diungkit memberi alasan ia hanya ilusi semata-mata.

Seloknya disamping menyiasat kejadian tunjuk perasaan dan memorandum dakwaan ada pihak hendak menyingkirkan presiden Pas, Pas turut sama menyiasat latar belakang individu berkenaan, manalah tahu dia adalah musuh atau spy Umno yang sengaja disumbat ke dalam Pas untuk memecahkan belahkan Pas.

Seeloknya jawatan yang diserahkan kepada digantung sementara siasatan lanjut dijalankan.

Individu berkenaan menggunakan statusnya sebagai Doktor Phd untuk menyakinkan segala ulasan, tuduhan dan fitnah kepada individu lain dalam Pas dan gejela ini sangat merbahaya dan perbuatannya sangat busuk. [wm.kl.6:37 pm 11/03/15]

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan kembali ke Rahmatullah

Posted: 10 Feb 2015 10:09 PM PST

BELESUNGKAWA                                                                                           

Saya baru menerima panggilan dari seorang sahabat di Kota Bharu memaklumkan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan era 70-an dan awal 80-an Solahuddin Abdullah telah kembali ke Rahmatullah sekejap tadi. 

Pada masa ini jenzahnya masih berada di hospital Kota Bharu. Allahyarham dikatakan sakit sejak ke belakangan ini. Minggu lepas Allahyarham sempat menghubungi salah seorang veteran Pas dan berbicara agak panjang dengannya. Al Fatihah. [wm.kl.2:09 11/02/15]

Penyatuan PR adalah kebebasan untuk Anwar

Posted: 10 Feb 2015 09:57 PM PST

MELENGGAK RASA                                                                                                                                  
Ekoran pemulangan semula Anwar Ibrahim ke pangkuan peratah kuasa menerusi proses undang-undang yang dipertikaikan umum, PKR dan Pakatan Rakyat harus mencari hikmah disebalik tragedi itu dan bukannya cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dan kumpulan masing-masing atau menjadi jaguh musuh dalam selimut.
Perjuangan adakalanya menuntut cagaran tan ternilai.

Keunggulan Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga berjaya mendapat 52% sokongan rakyat untuk menguasai Parlimen harus dikekalkan. Ketiadaan Anwar diluar bersama rakyat selama lima tahun hendaknya tidak menjadi alasan untuk menurunkan darjat dan wibawa Pakatan Rakyat.

Apa lagi kehilangan sosok hebat itu yang dilindungi dibalik tembok bukan bermakna semua indera nafas perjuangannya tamat, situasi itu bukan waktunya untuk diambil kesempatan bagi meluaskan lubang halus perpercahan yang kini ditebuki oleh rasa dan nafsu atau ego seseorang lantaran terpedaya dengan umpan terpasang jerat.


Jangan jadikan hukuman lima tahun ke atas Anwar itu untuk melebarkan sengketa sesama sendiri atau terus menggerakkan gunting dalam lipatan atau merobahkan seluruh bulu (musang) menjadi ayam, sebaliknya semua harus berusaha menyumbat lubang kecil itu dengan keazaman yang membuak-buak. Berhentilah daripada menjadi musang tanggalung dan kembalilah kepada asal seekor ayam sejati.

Ada dua pihak atau entiti yang harus mengambil iktibar di atas tragedi yang berlaku. Pertamanya dari kalangan PKR sendiri. Ketiadaan Anwar yang menjadi teraju dan pengobar semangat menghidupkan PKR sebagai sebuah parti besar hendaknya tidak terbantut. PKR harus digemburkan dengan kekuatan dan persefahaman yang mantap. Jikalau ada percikan api perbalahan dan dengki yang wujud sebelum ini ia hendaklah dihembus secepat mungkin sampai asap pun jangan kelihatan lagi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden parti harus memainkan peranan dan bertindak bijaksana memanggil segera barisan kepimpinan untuk mengejepkan jabatan salam dan kesatuan parti menghadapi lima musim yang penuh tercabar itu. Lima tahun mendatang akan menjadi musim ujian kesetiaan, kesungguhan dan perpaduan dalam PKR. Kemasukan Anwar ke dalam penjara ini adalah musibah yang menzahirkan ujian terbesar buat semua.

Semua pimimpin yang sebelum ini "tersera" hati atau pun tersinggung perasaan disebabkan perebutan jawatan semasa pertandingan dalam parti lalu hendaklah tutup cerita. Buku perancangan untuk membalas dendam di antara satu sama lain hendaklah ditutup segera serapat mungkin. Bakarlah buku perancangan itu dan apinya biarlah meleburkan besri penjara.

Seeloknya Wan Azizah dapat menunjangkan ketenangan kepada ahli menerima apa yang ada hari ini, status quo. Kepimpinan parti yang terbentuk menerusi pemilihan sebelum ini yang didakwa berlaku atas berbagai tipu muslihat dan wujud rasa tidak puas hati perlu disokong sepenuhnya. Kecacatan pemilihan itu hendaklah dikambus dalam dan semua berganding bahu ke arah satu matlamat dan tujuan untuk mengemaskan parti seterusnya bangkit membela Anwar menjulang nawaitu perjuangan asal.

Berhentilah menimbulkan rasa cuak curiga dan usaha senyap memburukkan sesiapa. Terimalah barisan kepimpinan yang ada hari ini dengan penuh keterbukaan dan insaf. Anggaplah masa sengekata atas nama apa sekali pun tidak ada dalam tempoh lima tahun. Selagi Anwar tidak menjenguk keluar haramkan pergaduhan sesama sendiri dalam PKR kerana ia tidak menguntungkan.

Dr Wan Azizah sendiri harus mengandakan kebijaksanaan dalam hal ini. Beliau kini berdepan dengan tanggungjawab dan tugas besar, memastikan PKR utuh dan kuat seperti dulu dan satu lagi berusaha melepaskan suaminya untuk kesekian kali dizalimi. Ingat Anwar hanya akan dapat dilepaskan apabila tembok penjara boleh diusung dan dirobekkkan. Dan tembok penjara boleh robek dan roboh jikalau ada perpaduan dan persepakatan di kalangan ahli. Tukul-tukul untuk menggodam dan mengentuk pintu penjara ada ditangan rakyat, dan tangan rakyat dapat dihayunkan oleh pemimpin yang berbisa dan hebat.

Tidak mungkin Azizah larat untuk melakukan itu bersendiri. Begitu juga sesetia mana Mohamed Azmin Ali kepada Anwar selaku rakan dan bosnya kalau hanya beliau bersendiri tidak mampu untuk menolak penyelak penjara bagi membebaskan Anwar. Kunci dan penyelak penjara menjadi kuat dan besar berkarat di bawah regim atau ditangan oleh penzalim zalim tanpa berhati perut dan berdendam kesumat.

Untuk melakukan itu ia memerlukan kekuatan yang besar dan global. Kekuatan luar biasa dalam PKR akan wujud kalau semua sedar dan insaf dan membuang sengekata sesama sendiri.

Mohamed Azmin Ali (Minali) yang kini pemikul tanggungjawsab selaku MB Selangor mendapat tugas baru yang besar dengan terpenjaranya Anwar. Selaku timbakan presiden beliau harus menjadi ketua untuk mengangkat tembok penjara atau menolak penyelak penjara. Kerjasama sepenuhnya dari Naib-naib Presiden dan seluruh kepimpinan PKR sangat diperlukan.

Rakyat dibawah tidak akan berpecah dan dapat menyatukan diri untuk melakukan penerobosan bagi membebaskan Anwar sekiranya pemimpin dapat duduk di dalam satu saf.
'
Selain itu pemenjaraan Anwar memberi signifiken tersendiri kepada Pakatan Rakyat dan masa depannya. Ia turut menguji sejauh mana wujudnya keikhlasan dan keampuhan semangat juang ahli dan penyokong.  Semua pimpinan Pakatan Rakyat perlu memahami natijah dan maksud daripada tragedi menimpa Anwar itu. Sekiranya pemenjaraan Anwar itu bermotifkan politik, maka ia jelas untuk merelaikan pakatan itu.

Penzalim mengetahui Pakatan Rakyat adalah tunas harapan baru kepada rakyat yang akan membesar menjadi cabang dan membentuk sebuah pokok kekuasaan yang rendang dan nyaman,  Sekiranya tunas ini sudah mula mahu bercadang tidak dicantas ia akan menjadi dahan yang kukuh kemudian membentuk sebuah pokok kekuasaan baru di nuasanya. Nah, kerana itu mereka harus dicantas dan salah satu caranya ialah dengan meretakpecahkan Pakatan Rakyat. Jangan ditanya apakah tindakan itu halal kerana janji untuk melakukan dosa itu sudah dimateri dengan Tuhannya sejak awal.

Para konspirator tahu formula untuk meretakan Pakatan Rakyat ialah dengan menimbulkan perbalahan sesama sendiri. Wujudkan kucar kasir dan keserabutan rakyat. Dan untuk memecahkan perbalahan, sesuatu harus dilakukan. Penglibatan Anwar dalam tuduhan liwat adalah jalan dan peluang terbaik. Anwar harus dihantar ke penjara, jauh dari pandangan mereka dengan cara itu itu pimpinan akan bercakar sesama sendiri tanpa ada rasa aib dan malu.

Mereka, penzalim mengharap kekosongan tempat Anwar menjadi rebutan. Anwar yang menjadi mediator (penyatu) yang dihormati tidak dapat melaksanakan peranan dan tugasnya bila beliau dikurung. Kesan daripada itu ia memberi peluang luas kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk saling berbalah sesama sendiri. Inilah yang diharapkan.

Api sengketa  yang sudah "dikeceh" (dinyatakan) sebelum ini berpelung untuk merebak dan membesar seterusnya membakar Pakatan Rakyat apabila orang bertindak sebagai "bomba" sudah tidak ada lagi. Kalau PR sudah berpecah menjai kekabu, ia akan mudah hangus terbakar. Bila ini berlaku Anwar hanya bisa terkial-kial dalam penjara dengan lolongan, hentikan.. hentikan tanpa dicegah dengan kata-kata dan perdamaian dimeja mesyuarat.

Penzalim dan konspirator musuh PR menyedari hal ini dan mereka berharap itu. Nah, PR kena bijak mengenali akan segala tipu helah ini. Mereka harus kedepan membawa tujuan dan maksdunya. Mereka harus bertindak membiarkan musuh bergerak bebas menjadi syaitan untuk terus menggoda hati di kalangan mereka. Caranya ialah bersatu dan berpadu.

Kesatuan awal yang dapat ditunjukkan Pakatan Rakyat ialah menguruskan pakatan itu sebaik mungkin atas dua nawaitu kemenangan dan pembebasan Anwar. Pertamanya mereka kena hentikan agenda persendirian sebelum ini yang saling untuk memotong sesama sendiri. Dengan terpenjaranya Anwar mereka harus memansuhkan agenda busuk yang sudah terhidu rakyat itu.

Mereka (PR) sebenar tidak larak lagi untuk bergasak sementara mediatornya berada dalam penjara. Apa yang patut dilakukan semua melakukan solidariti sebagai menghormati Anwar. Cara paling afdal ialah berdamai dan memansuhkan agenda perbadi dan kepuakan yang jelek itu. Anwar tidak menuntut lebih daripada itu bahkan dia merasai damai dalam tembok itu kalau rakan dia luar diketahui duduk bersama.

Dia tidak mahu dibawa cake atau air berkobonat setiap hari, tetapi cukup kalau pemimpin Pakatan Rakyat berhenti membuat kenyataan dan tidak mengadakan sidang-sidang gelap untuk memusnahkan piala rakyat, (PR) itu.

17 tahun Anwar telah berada dalam lingkuangan api dan menjadi lilin membakar diri untuk menerbit cahaya kepada rakyat yang kesekian lama berada dalam alam kegepalan angkara penzalim. Hormati apa yang beliau lakukan sebagai menandakan kalian semua ada budi dan ehsan sebagai manusia yang diakui Allah sebagai satu-satu makhluk yang mulia. Lakukanlah... [wm.kl.1:08 pm 11/02/15]

Ucapan akhir Anwar dalam mahkamah menikam kelima-lima Hakim

Posted: 10 Feb 2015 04:02 PM PST

SESUDAH SUBUH                                                                                           

Di sini saya postkan ucapan Anwar Ibrahim dalam mahkamah yang ditujukan khas kepada lima hakim yang mendengar rayuannya semalam yang berakhir dengan kekalahan berpihak kepadanya.

Sesudah Ketua Hakim Ariffin Zakaria membaca keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan lima tahun pejara ke atasnya, Anwar diberi peluang untuk berkata sesuatu sebagai kesimpulan peribadi daripadanya.

Saya tidak mahu membuat tafsiran berlebihan terhadap apa yang beliau simpulkan, tetapi ia merupakan satu ucapan tajam yang kata-kata dilumuri dengan rasa kecewa dan dukacita yang amat sangat kepada proses perbicaraan kali ini yang dianggap sebagai satu perbicaraan yang sama yang dihadapi sebelum ini dan ia adalah satu frabikasi lengkap dari konspirasi bagi menamatkan karya politiknya.



Ketajaman dan kepedihan tikaman ucapan itu sehingga kelima-lima Hakim itu bangun meninggalkan mahkamah tanpa mendengar sehingga habis Anwar berucap setelah mereka memberi peringatan kepada Anwar agar berhenti berucap.

Pengucapan akhir Anwar ini saya kira penting dan menjadi satu rangkaian kata-kata bersejarah daripada seorang pesalah kepada Hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya. Kita tidak dapat mengesahkan siapa yang benar dan siapa yang bersalah, kecuali Allah sang hakim yang maha adil saja mengetahuinya.

Tetapi pengucapan yang disepuhi racun yang terbit dari jiwa seorang yang menganggap dianiya ini sangat menikam hati dan pedihnya sampai ke hulu hati kesannya bukan saja kepada Anwar dan seluruh rakyat tetapi kelima-lima hakim itu akan mengambil sebagai sejarah dalam kehidupan mereka sebagai hakim pertama kali ditikam sedemikian rupa oleh orang yang mereka hukum.

Dan salah satu rangkaian kata daripada ucapan ini bisa dijadikan hikmah ialah tentang katajanji Anwar yang beliau kekal dengan pendirian tidak bersalah dan menganggap pertuduhan liwat itu jelek dan insiden yang tidak pernah berlaku

Beriktu adalah ucapan berkenaan:


Saya kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelek ini- insiden ini tidak pernah berlaku.

Ini merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan kareer politik saya.

Kalian tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini tidak pernah berlaku sama sekali.

Saya mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini, nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari!

Bukan satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman.

Tatkala tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian telah menjadi sebahagian daripada rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian telah menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan.

Kalian mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan yang sebenar-benarnya.

Akan tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada kalian.

Benar, kalian telah menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal menyinari saya.

Tetapi kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa politik.

Mahasiswa undang-undang dan kalangan professor jurispruden akan meneliti penghakiman kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan.

Jangan sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada prinsip-prinsip yang telah kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan.

Mereka yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu bahawa satu hari nanti kamu juga perlu menjawab kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui Ayat 58 Surah An-Nisa.

Melangkah ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat Negara ini Saya telah berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat Negara ini – dan demi rakyat jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat.

Perjuangan saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan ke atas saya.

Kepada sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. ALLAH SWT menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!

ANWAR IBRAHIM
10 FEBRUARI 2015

Tiada ulasan: