Jumaat, 6 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DAP jangan risau, Hadi akan hadir

Posted: 06 Feb 2015 03:45 PM PST


Hadi Awang Hadi Awang
 
 
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang dijadualkan esok, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa mengulangi jaminan kehadiran Abdul Hadi menyusuli kegusaran DAP yang dikatakan enggan meneruskan mesyuarat itu jika Presiden Pas tidak hadir.

"Insya-ALLAH beliau (Abdul Hadi) akan hadir, dia (DAP) tidak perlu risaulah. Setakat ini, beliau disahkan hadir kalau tiada apa-apa kekangan, lagipun memang pada sebelah pagi Pas ada mesyuarat (Pusat)," katanya, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Abdul Hadi perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR, esok bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

"Kami mendapat jaminan yang Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan," katanya.

Konflik antara DAP dan Pas mula timbul apabila isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan hukum hudud, yang masing-masing diperjuangkan oleh DAP  dan Pas, telah mencetuskan perbalahan antara dua parti komponen pakatan itu.

Menurut Mustafa, kehadiran presiden mereka bukan atas faktor desakan mana-mana pihak, tetapi atas kerelaan dan semangat yang dibawa dalam PR.

"Ya, kehadiran beliau itu bukan ditekan oleh sesiapa atau sebab orang-orang DAP, tetapi memang beliau mahu hadir," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap kemelut antara DAP dan Pas itu dapat diselesaikan sebelum keputusan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.

Jangan biar Najib pakai pakaian Hindu, kalungan bunga, kata mufti Perlis

Posted: 06 Feb 2015 04:13 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin minta penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tegas menjaga batas Islam ketika pemimpin itu hadir majlis keagamaan bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Februari, 2015.Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin minta penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tegas menjaga batas Islam ketika pemimpin itu hadir majlis keagamaan bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider.




























Mufti Perlis yang baru dilantik semula, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meminta penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih tegas dalam menjaga batas yang ditegah Islam ketika pemimpin nombor satu negara itu perlu menghadiri majlis keagamaan bukan Islam.

Beliau dilaporkan berkata di dalam Sinar Harian hari ini, penasihat perdana menteri perlu bertegas kepada penganjur program berkenaan demi memelihara kesucian agama Islam.

"Penasihat perdana menteri juga perlu memaklumkan kepada penganjur agar tidak menghadiahkan kalungan bunga kepada Najib atau memintanya memakai pakaian orang Hindu ketika menyambut acara keagamaan.

"Mereka perlu tegas dalam hal ini dan memaklumkan kepada penganjur Thaipusam di Batu Caves Najib boleh hadir dengan syarat tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang bentuk acara keagamaan penganut Hindu. "Ini yang dilarang oleh Islam. Pemimpin Islam tidak dilarang menghadiri program penganut agama lain tetapi mesti ada had dan batasannya," katanya kepada akhbar itu.

Katanya, Najib boleh menghadiri Thaipusam yang diadakan di Batu Caves, bagi meraikan rakyat beragama Hindu sejajar dengan amalan kepelbagaian agama di negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh menyertai sebarang acara keagamaan mereka kerana ia menyalahi atau bertentangan ajaran Islam.

"Najib boleh datang dengan memakai sut. Tidak salah berpakaian sedemikian. Yang penting Najib meraikan program keagamaan penganut Hindu kerana beliau perdana menteri Malaysia dan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia," kata Asri.

Beliau juga mengambil contoh anggota polis Islam bertugas menjaga keselamatan di Batu Caves sempena Thaipusam dan itu tidak bermakna mereka turut merayakannya.

"Anggota polis menjaga keselamatan orang ramai dan memastikan perayaan itu berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang gangguan.

"Mereka tidak merayakan acara itu sebaliknya hanya menjalan tugas mengawal keselamatan dan ketenteraman awam," katanya kepada Sinar Harian.

Asri berkata, sebagai perdana menteri yang menjaga kepentingan semua bangsa dan agama, Najib wajar meraikan penduduk berlainan agama yang mengadakan upacara masing-masing.

Beliau bukan hanya menjaga orang Melayu tetapi kaum lain juga yang mempunyai fahaman agama berbeza tetapi masih perlu diraikan, katanya.

Polis ambil keterangan selepas Ismail Sabri pulang ke tanah air

Posted: 06 Feb 2015 04:07 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
 
SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa pihaknya akan merekodkan keterangan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas pemimipin itu pulang ke tanah air.
 
"Beliau kini berada di Indonesia atas tugas rasminya. Selepas selesai daripada melaksanakan tuntutan rasminya, kita akan rekodkan keterangannya.
 
"Secara dasarnya beliau sudah pun memberi persetujuan dan kerjasama," katanya dipetik Utusan Malaysia.
 
Ismail, baru-baru ini menimbulkan kemarahan kaum Cina apabila memuat naik status di laman Facebooknya menggesa kaum Melayu memboikot peniaga daripada kaum berkenaan, sebagai reaksi kepada kedegilan mereka menurunkan harga barang walaupun harga petrol dan diesel turun sejak Disember lalu.
 
Pelbagai pihak, termasuk pemimpin DAP dan MCA mengaitkan kenyataan tersebut sebagai rasis dan berunsur hasutan, dan mendesak permohonan maaf daripada Ismail.

Bekas pengurus Petronas terima rasuah dipenjara 10 tahun, denda RM2 juta

Posted: 06 Feb 2015 04:06 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus di Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijatuhi hukuman penjara berjumlah 10 tahun dan denda RM2.012 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berhubung pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya.
 
Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati Idris M Shuhud, 49, bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan.
 
Rosbiahanin juga memerintahkan Idris dipenjara 44 bulan jika gagal membayar denda itu.
 
Mahkamah turut mendapati Idris bersalah terhadap empat pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM384,500 mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
 
"Tertuduh didapati gagal dalam memberi apa-apa penjelasan yang dapat diterima oleh mahkamah. Dengan itu tertuduh didapati bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Berturutan daripada itu, mahkamah juga mendapati tertuduh turut bersalah mengikut pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram," kata Rosbiahanin.
 
Bagi kesalahan rasuah, mengikut pertuduhan pertama dan kedua masing-masing, Idris dihukum penjara tiga tahun dan denda RM437,500 dan RM1.435 juta serta boleh dipenjara 30 bulan jika gagal bayar denda itu.
 
Bagi pertuduhan ketiga pula, Idris dipenjara dua tahun dan denda RM90,000 serta boleh dipenjara lapan bulan jika gagal bayar denda.
 
Bagi pertuduhan keempat, dia dipenjara dua tahun dan denda RM50,000 serta boleh dipenjara enam bulan jika gagal bayar denda itu.
 
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bagi kes rasuah iaitu hanya tiga tahun bermula hari ini.
 
Sementara itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
 
Bagaimanapun, Idris perlu menjalani hukuman penjara bagi kes rasuah terlebih dahulu diikuti hukuman bagi kes melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.
 
Mahkamah turut mengarahkan rumah tertuduh di Bandar Tun Hussein, Cheras, dan akaun bank miliknya yang berjumlah RM98,000 disita.
 
Mengikut empat pertuduhan rasuah itu, Idris yang bertugas di projek penggantian saluran paip syarikat itu, didakwa menerima rasuah berjumlah RM403,000 daripada pengarah syarikat Penaga Orbit dan Genius Response Kamaruddin Mohd Daud untuk pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya di Bandar Tun Hussein, Cheras sebagai upah kerana meluluskan dokumen urusan rasmi Petronas.
 
Dokumen berkenaan ialah Penilaian Bidaan Teknikal, Penilaian Bidaan Komersial dan Sijil Penyiapan Kerja.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.
 
Bagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, Idris didakwa melakukan satu kesalahan di Maybank cawangan KLCC dan tiga kesalahan di Bank Islam Malaysia Berhad, Seksyen 14 Shah Alam antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.
 
Pendakwaan kes rasuah dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti dan Afifah Mamat@Yusof manakala kes pengubahan wang haram oleh Mohd Farez Rahman manakala Idris diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi.

SPRM siasat bekas CEO TEKUN terlibat rasuah, pecah amanah

Posted: 06 Feb 2015 04:04 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang tamat tempoh tahanan remannya baru-baru ini disiasat membabitkan dua kes iaitu meminta suapan dan pecah amanah.
 
Suspek bergelar Datuk itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang pada 16 Januari lalu.
 
Bagaimanapun, sebaik tamat tempoh berkenaan dan dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek ditahan semula pada keesokannya.
 
Memetik mStar Online, bekas pegawai kanan berusia 60 tahun itu seterusnya direman enam hari lagi untuk membolehkan siasatan berhubung dakwaan pecah amanah membabitkan nilai ratusan ribu terhadapnya dijalankan.
 
"Suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM untuk kali kedua pada 28 Januari lalu dan sehingga kini siasatan membabitkan kedua-dua kes berkenaan masih dijalankan," katanya.
 
Bagi kes meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, manakala kes pecah amanah disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
 
Sumber itu berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan ke pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut, sama ada disusuli dengan pendakwaan atau disiasat dengan lebih terperinci.
 
Menurut rekod, suspek dilantik ke jawatan itu pada 2004 di mana ketika itu Tekun adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
 
Bagaimanapun selepas kementerian itu dimansuhkan, TEKUN kini diletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Azmin mengendahkan bantahan Datum Jelatek

Posted: 06 Feb 2015 03:29 AM PST

 
Azmin selar UMNO dan Perkasa hanya berminat membangkitkan sentimen perkauman.


datumjelatek


AMPANG: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tetap dengan keputusan untuk meneruskan projek pembinaan kondominium mewah, Datum Jelatek di Kampung Jelatek .

Azmin juga berkata sedia bertemu wakil penduduk, mendengar bantahan mereka tetapi dengan syarat bantahan tersebut mestilah tidak bersifat perkauman.

Jika main sentimen kaum dan agama, ia tidak akan membawa kepada pembangunan," katanya dalam sidang media di Hotel Flamingo, Ampang.

Jelas Azmin, beliau letih melayan UMNO dan Perkasa yang tidak jemu-jemu membangkitkan sentimen perkauman .

"Saya tidak akan bertolak ansur dengan mereka. Mesej saya pada rakyat Selangor ialah, tidak ada ekstremisme, fanatisme, dan rasisme," katanya.

Azmin dipercayai akan terus dengan pendiriannya membangunkan perumahan untuk rakyat Selangor.
"Saya akan pertahan mereka yang memerlukan perumahan," katanya.

Sebelum ini wujud isu bahawa projek Datum Jelatek akan membawa masuk kaum Cina dan warga asing ke kawasan penempatan yang majoritinya penduduk Melayu.

Namun ia disangkal dengan bukti kesemua 674 unit projek kondominium Datum Jelatek sudahpun didaftarkan kepada pembeli Bumiputera.

Kondominium tersebut yang dibangunkan oleh Datumcorp International (DCI), berharga sekitar RM700,000 seunit.

Kitab mana Asri pakai?

Posted: 06 Feb 2015 03:27 AM PST

 
Asri sepatutnya menegur Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengikuti upacara keagamaan Hindu bila beliau menyertai perarakan dengann kereta lembu dan meletakkan warna merah di dahi


MAZA


PETALING JAYA: Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menganggap dakwaan Mufti Perlis yang baru dilantik semula, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh memakai pakaian Hindu serta kalungan bunga sebagai rasis.

Presiden Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, Ramesh Rao berkata, kenyataan yang dibuat Mufti Perlis itu merupakan kesalahan yang besar serta boleh mencetuskan sentimen perkauman di negara ini.

"Kaum India merupakan golongan yang mudah sensitif, kita tak boleh terima kenyataan sedemikian, kalau isu roboh kuil kita memberontak apatah lagi isu-isu sebegini.

"Kalau benar dakwaan Asri sila buktikan kitab mana beliau guna seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Tambah beliau, Asri sepatutnya terlebih dahulu menegur ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terang-terangan mengikuti upacara keagamaan Hindu apabila beliau menyertai perarakan mengunakan kereta lembu dan meletakkan warna merah di dahi di Perak sebelum ini.

"Kehadirian Najib pada majlis Thaipusam adalah untuk berjumpa rakyat dan sebagai tanda hormat beliau kepada agama Hindu, malah bukan sahaja perayaan kaum India beliau berpakaian sedemikian malah sambutan tahun baru Cina pun dia pakai pakaian orang Cina," jelasnya.

Tambah Ramesh, kehadiran Perdana Menteri ke Batu Caves baru-baru ini bukanya untuk masuk kuil dan menyembah dewa-dewa yang ada di sana. Kalau beliau bertindak sedemikian kami juga akan tentang kerana perbuatan itu haram.

Sehubungan itu, tegas Ramesh, sekiranya kenyataan yang dibuat Asri sengaja diputar belit oleh media, beliau perlu mengambil tindakan terhadap portal berita tersebut dengan membuat laporan polis, jika apa yang dilaporkan benar Asri perlu menjelaskan kitab mana yang melarang tindakan sedemikian.

Ulat sagu haiwan dua alam- Mufti Sarawak

Posted: 06 Feb 2015 03:23 AM PST

 
Ulat dikenali Mulong dan upacara miring diharamkan untuk umat Islam manakala ulat temilok dibenarkan.


ulat sagu malong


MIRI: Ulat sagu atau dikenali 'mulong' oleh masyarakat peribumi Sarawak diharamkan kepada umat Islam.

Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin berkata ia secara semula jadinya tidak bersih dan hidup dalam dua alam.

Ulat sagu atau mulong adalah hidangan makanan yang disukai oleh masyarakat muslim Melanau dan orang Islam di Sarawak.

"Keputusan ini dibuat setelah kajian tentang sifat dan cara hidup haiwan ini dilakukan. Keputusan dibuat dengan sokongan bukti saintifik," katanya di majlis memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk merangsang sektor penyelidikan fatwa.

Apapun, jabatannya juga mengesahkan ulat yang dikenali sebagai 'temilok' (sejenis ulat yang ditemui di dalam batang pokok bakau), yang juga merupakan makanan popular dalam kalangan masyarakat Melanau, tidak dilarang daripada dimakan.

Dalam pada itu, umat Islam di negeri itu juga dilarang menyertai "miring", sejenis perayaan tradisional yang dirayakan oleh masyarakat Iban atau dikenali Pesta Kaul oleh masyarakat Melanau kerana mempunyai unsur-unsur 'syirik' di dalamnya.

Namun, fatwa memutuskan bahawa orang Islam tidak dilarang atau hadir menyaksikan upacara ini, selagi mereka tidak mengambil bahagian dalam atau melakukan sendiri perayaan itu.

Ibu kandung kanak-kanak dicari

Posted: 06 Feb 2015 03:19 AM PST


Mohd Najib menunjukkan laporan polis berserta gambar kakak iparnya, Juwita yang dicari bagi membantu urusan pengambilan anak angkat. Mohd Najib menunjukkan laporan polis berserta gambar kakak iparnya, Juwita yang dicari bagi membantu urusan pengambilan anak angkat.
 
 
KEPALA BATAS - Seorang pemuda bersama isterinya ingin mencari waris kepada seorang kanak-kanak yang ingin diambil mereka sebagai anak angkat di Kepala Batas, semalam.

Mohd Najib Mokhtar, 26, berkata, kanak-kanak itu merupakan anak saudaranya yang ditinggalkan oleh ibu kandung ketika berusia satu tahun.

"Mohamad Aidil Shahrizal merupakan anak kepada abang dan kakak ipar saya, namun pada sijil kelahiran Mohamad Aidil tidak tertera nama abang saya disebabkan anak saudara saya ini lahir ketika mereka masih belum bernikah.

"Kami telah merujuk perkara ini kepada pihak Jabatan Pendaftaran untuk proses pengambilan anak angkat, namun disebabkan nama abang saya tidak tertera dalam sijil lahir kanak kanak ini, urusan ini rumit dan memerlukan kakak ipar saya iaitu Juwita Intan Sari datang sendiri untuk memudahkan urusan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan perkara ini, anak saudaranya itu yang berada dalam tahun tiga namun kini tidak dapat bersekolah.

"Saya memohon agar kakak ipar saya pulang dan membantu kami menguruskan urusan pengambilan anak angkat ini.

"Saya cuma mahukan masa depan Mohamad Aidil lebih terjamin," katanya

Peraturan Islam di MRSM bimbangkan Dayak

Posted: 06 Feb 2015 03:14 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ibu bapa Dayak bimbang menghantar anak mereka ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Sarawak berhubung undang-undang dan garis panduan berkaitan agama, kata DAP Serian.

Pengerusinya Edward Andrew Luwak berkata peraturan berkaitan antaranya larangan membawa barangan berkaitan agama seperti salib dan Bible.

Menurut beliau, terdapat juga larangan membawa makanan disediakan di rumah dan juga terhadap penggunaan pengangkutan tempat itu untuk ke gereja.

Andrew mendakwa bahawa garis panduan itu juga digunakan di sekolah menengah teknik yang kini menjadi kolej teknik.

"Sekatan dan larangan ini menyebabkan ibu bapa Dayak tidak menghantar anak mereka ke kolej sebegini kerana takuut anak mereka dipengaruhi pengaruh ajaran Islam," katanya.

Andrew juga berkata perkara itu tidak harus berlaku kerana kolej itu digerakkan menggunakan wang pembayar cukai.

Tong kemuka notis tuntutan pada Jho Low

Posted: 06 Feb 2015 03:12 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong mendakwa jutawan Malaysia, Low Taek Jho mendalangi serangan ke atasnya dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui blog tertentu.

Tong berkata beliau mengemukakan notis tuntutan rasmi ke atas Taek agar menghentikan "penipuan jahat" ke atas beliau dan media miliknya, The Edge dan The Malaysian Insider.

"Saya percaya Low Taek Jho atau Jho Low merupakan individu bertanggungjawab ke atas serangan jahat dan cerita rekaan ke atas The Edge Media Group dan saya melalui beberapa blog," katanya dalam satu kenyataan.

Kandungan dalam blog berkenaan turut menyerang adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak yang merupakan tokoh korporat, kata Tong.

Beliau merujuk kepada  blog amibukanbodohtau.wordpress.com, corruptednazirrazak.wordpress.com, kronismemahathir.wordpress.com, politikukus.wordpress.com and malaysianexpose.wordpress.com.

Blog tersebut antara lainnya mendakwa beliau terlibat dalam manipulasi dalam pasaran matawang untuk keuntungan peribadi.

Dakwaan tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi jaminan pada 28 Februari lalu untuk bertindak ke atas pihak yang melakukan manipulasi seperti itu.

Susulan itu, Tong pada hujung minggu lalu mengeluarkan kenyataan yang menafikan terlibat dalam perbuatan seperti itu.

"Saya tidak pernah sekali-kali melakukan 'short position' ke atas ringgit," tegasnya.

PM kepada peniaga: Turun harga barang, mesti adil

Posted: 06 Feb 2015 03:08 AM PST


Petikan kenyataan dari blog Perdana Menteri. Petikan kenyataan dari blog Perdana Menteri.
 
 
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua peniaga bersikap adil dan bertimbang rasa dengan menurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga minyak. 
 
Najib turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa isu berkenaan penurunan harga barang sama sekali tiada kaitan dengan bangsa seseorang peniaga. 
 
"Untuk makluman semua, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah pun ditugaskan untuk melakukan pemantauan dengan lebih kerap di seluruh negara bagi memastikan peniaga dan pemborong tidak menaikkan harga barang dengan sesuka hati," katanya seperti dipetik menerusi laman blognya, NajibRazak.com, pagi ini.
 
Beliau juga meminta pengguna di Malaysia bertindak bijak dengan tidak membeli barangan di kedai yang menjual dengan harga tidak berpatutan. 
 
"Kesannya, peniaga seperti ini akan terpaksa menurunkan harga barang sejajar dengan kos," katanya. 
 
Terdahulu isu berkaitan harga barang ini menjadi kontroversi susulan kenyataan Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang mahu pengguna memboikot peniaga Cina yang mengaut keuntungan berlebihan. 

Rumah Menteri Sarawak kena tembak

Posted: 06 Feb 2015 03:04 AM PST

SINAR HARIAN

Gambar Hiasan Gambar Hiasan
 
 
SIBU - Rumah Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh sekali lagi menjadi sasaran tembakan pada awal pagi, hari ini.  

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.35 pagi di rumah yang terletak di Jalan Ipoh di sini.  

Penembak yang sama sebelum itu dipercayai turut melepaskan sedas tembakan ke arah pintu masuk kilang percetakan Akhbar Kumpulan See Hua di Estet Perindustrian Sungai Antu yang terletak kurang 3 kilometer dari rumah Wong pada 5.20 pagi.  

"Hanya sedas tembakan dilepaskan di setiap satu tempat kejadian. Senjata yang dipercayai digunakan adalah senapang patah," kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi.  

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kejadian itu tiada kaitan dengan kes tembakan melibatkan dua pusat beli belah di bandar ini pada 30 Januari lalu.

Kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh anak Wong, Datuk Andrew Wong Kee Yew, 39, dan Pengurus Pengeluaran Akhbar Kumpulan See Hua, Wong Teck Chiong,  49.  

Kee Yew yang merupakan timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) menyedari kejadian itu apabila dikejutkan daripada tidur oleh bunyi tembakan dan  ketika membuat pemeriksaan beliau mendapati ada kesan tembakan pada cermin di tingkat dua rumah itu.

Sementara itu kejadian di kilang yang mencetak akhbar See Hua, The Borneo Post dan Utusan Borneo itu dilaporkan kepada pengurus pengeluaran kilang terbabit  oleh seorang pengawal keselamatan wanita yang terdengar bunyi tembakan dan mengesan serpihan kaca di pintu masuk kaca kilang itu.

Mohd Kamal berkata tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut.

Rumah Wong yang merupakan presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) turut menjadi sasaran beberapa das tembakan pada 13 Ogos tahun lalu, susulan itu tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan. - Bernama

Pas tidak bentang hudud Ahad ini

Posted: 06 Feb 2015 03:02 AM PST


Ahmad Yakob Ahmad Yakob
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Mesyuarat Majlis Pimpinan PR esok walaupun mendapat desakan dari rakan pakatannya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rang undang-undang  itu diklasifikasikan sebagai 'embargo' dan hanya  boleh dibentangkan di Dun atau Parlimen.

"Bagaimanapun kita telah bincang melalui jawatankuasa teknikal, kita panggil pengamal undang-undang, pensyarah-pensyarah, NGO termasuk dalam parti dan pakatan.

"Jadi Ahad kita tidak boleh bentang enakmen berkenaan, lepas pada itu (Parlimen) Insya-ALLAH," katanya kepada pemberita selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini semalam.

Semalam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  meminta Kelantan membentangkan enakmen hudud dalam mesyuarat pakatan yang dijangka dihadiri pimpinan tertinggi Pas, PKR dan DAP.

[ARTIKEL BERKAITAN: Semua hadir mesyuarat pimpinan PR]

Dalam masa yang sama, beliau turut menegur kerajaan Kelantan yang dikatakan lebih mengutamakan perlaksanaan hudud berbanding menyelesaikan isu banjir.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, tiada ada isu besar yang berbangkit memandangkan pembentangan rang undang-undang itu tidak melibatkan isu pokok sebaliknya sedikit pindaan kepada enakmen terbabit.

Menjawab dakwaan mengatakan PRK dan DAP tidak pernah melihat enakmen itu, Ahmad berkata, pihaknya beberapa kali telah mengadakan pembentangan kepada Pas Pusat.

Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan Anwar  mengatakan kerajaan negeri tidak mengutamakan isu banjir sebaliknya memberi  tumpuan  dalam perlaksanaan hudud.

"Kerajaan fokus dalam isu kebajikan  dan juga melaksanakan hukum ALLAH, kita buat bersama,  tidak bangkit isu tersebut," katanya.

Boikot Peniaga Cina atau Gertak Kartel dan Taikun Kaya Monopoli Lesen Import, Bisnes & Perniagaan di Malaysia?

Posted: 06 Feb 2015 12:53 AM PST




Perniagaan Cina



Boikot Peniaga Cina atau Gertak Kartel dan Taikun Kaya Monopoli Lesen Import, Bisnes & Perniagaan di Malaysia? : Dato Sri Ismail Sabri satu nama yang tidak asing lagi di bibir penganalisis politik dan rakyat marhaen yang cukup dekat dengan gelombang kenaikan harga barang di Malaysia.

Acapkali ketika Dato Sri Ismail Sabri berhujah tampak ada titik persamaan dengan Hasan malek dan Ahmad Maslan. Ada lagi yang tertinggal figura politik yang begitu dekat dengan ketiga pemimpin politik ini?

Masih ingat lagi anda dengan idea menteri melalui LKIM yang mahu kotak ikan plastik ditukarkan kepada kotak ikan berinsulasi yang jauh lebih membebankan peniaga? Akhirnya idea tersebut menjadi "flip flop"

Hari ini, Ismail Sabri tampil menjadi hero dengan mahu membela nasib rakyat Malaysia dengan cara memberikan amaran kepada peniaga mengikut kaum.

Tetapi…..pernah atau tidak Ismail Sabri terdetik untuk berfikir sejenak bagaimana untuk mengurangkan kos peniaga di Malaysia?

Jikalau peniaga sanggup untuk menurunkan harga dek kerana harga minyak. Mengapa pula TNB tidak sanggup untuk turunkan tarif elektrik TNB walaupun berjaya catat untung bersih RM6.4 bilion tahun 2014.
  • Harga gula satu dunia sudah jatuh merudum, tetapi mengapa harga gula di Malaysia tidak mahu turun sama? Mengapa kerajaan Malaysia masih lagi bersetongkol dengan taikun dan oligarki taikun apabial mengawal pengimportan gula dalam negara kita Malaysia?
  • Harga minyak turun, tarif elektrik TNB tidak mahu turun?
  • Harga beras di Singapura (Beras Basmathi) lebih murah daripada beras Basmathi di Malaysia. RM55 untuk setiap 5 kg di Singapura. Di Malaysia?
  • Di Singapura tiada kartel beras
  • Di Malaysia, jikalau mahu import beras dikawal oleh kartel yang cukup berkuasa menentukan berapa keuntungan yang mereka mahu perolehi atas nama kuasa monopoli yang sudah tentu Ismail sabri sedia maklum tentang itu
  • Tetapi ada amaran yang kedengaran sehingga ke hari ini?
    Kemudian Berita Semasa mahu pulangkan persoalan ini kepada Ismail Sabri, mengapa di Singapura harga simen buatan Malaysia 50 Kg dijual RM15-RM16 untuk setiap beg
  • Tetapi mengapa di malaysia simen buatan Malaysia dijual RM20 bagis etiap beg? Mengapa?
  • Bolehkah Ismail Sabri jelaskan perkara ini?
  • Mengapa dan kenapa harga kereta di Malaysia lebih mahal dibandingkan harga kereta di UK?
CONTOH BERITA DI SINI : Harga Kereta Nasional di Luar VS Harga Kereta Nasional 
di Malaysia Ada Perbezaannya? 
Berdasarkan tinjauan pembaca Berita Semasa terhadap ruang undian yang disediakan (DI SINI), 48.9 mengatakan Gejala Monopoli Industri di Malaysia dan Lesen Permit Import Barangan & Produk antara punca utama kenaikan harga barang naik di Malaysia. Bagaimana pula dengan anda?

Harapan Berita Semasa Kepada Ismail Sabri : Isu Kenaikan Harga Barang Naik di Malaysia

Tolong berbincang bersama-sama rakan-rakan anda dalam kabinet dengan apa cara sekalipun
  1. Nasihatkan TNB supaya tarif elektrik TB di Malaysia (Setakat hari ini Khairy Jamaluddin antara menteri yang bersetuju)
  2. Nasihatkan Tan Sri Syed Mokhtar taikun kaya bagi mengurangkan harga beras di Malaysia
  3. Nasihatkan juga Tan Sri Syed Mokhtar taikun kaya supaya mengurangkan harga gula di Malaysia
  4. Sila buka pasaran untuk lebih ramai import simen. Buka pasaran
  5. Sila turunkan harga kereta Proton sudah lagi "bukan rahsia besar lagi" harga kereta
  6. Proton di Malaysia menjadi penanda aras bagi kereta-kereta lain yang dijual di Malaysia atas nama survival
  7. Sila nasihatkan bas ekspres seperti Transnasional, SKMK, Mara, Plusliner turunkan tambang bas ekspres mereka
  8. Adalagi yang anda mahu tambah?
P/S : Mengapa Ismail Sabri lebih suka bergayut dengan kera di hutan tetapi anak sendiri di rumah dibiarkan mati kebuluran. Apbila mereka kebulur dimarahi lagi pula. Mengapa?

PP/S : Janganlah anda dilihat bersetongkol dengan kartel dan taikun kaya di atas dan anda pijak satu kumpulan untuk menjadi hero kepada kumpulan yang satu lagi yang merupakan orang kebanyakan yang masih lagi mengharap dan menagih bantuan yang mereka telah amanahkan kepada anda sebenarnya.

Ismail Sabri terima ugutan bunuh

Posted: 06 Feb 2015 12:12 AM PST


Antara komen-komen di Facebook menghentam Ismail Sabri. Antara komen-komen di Facebook menghentam Ismail Sabri.
 
 
 
SHAH ALAM – Tidak cukup dengan tekanan diterima daripada pelbagai pihak selepas kenyataan kontroversinya menggesa tindakan boikot ke atas peniaga degil yang enggan menurunkan harga barang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berdepan dengan ugutan bunuh pula.

Sumber yang rapat dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani  itu memberitahu Sinar Harian, ugutan bunuh diterima hampir setiap hari oleh Ismail Sabri menerusi akaun Facebook miliknya.

"Memang ada banyak ugutan dan ancaman bunuh ke atas Datuk Seri (Ismail Sabri). Perkara itu kita teliti dan semak hampir setiap hari," katanya.

Untuk keselamatan Ismail Sabri, juga anggota keluarganya, sumber itu berkata, laporan polis telahpun dibuat supaya siasatan dapat dijalankan.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri: Tunggulah selesai lawatan Jokowi]

Katanya, sebagai ahli politik berpengalaman, Ismail Sabri bagaimanapun tenang menghadapi situasi itu.

"Alhamdulillah, dia nampaknya tenang dan dalam keadaan baik serta menjalani rutin hidup seperti biasa. Hal yang seperti ini asam garam dalam perjuangan dan kehidupannya sebagai orang politik," katanya.

Ismail Sabri baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila kenyataannya di Facebook yang menggesa orang ramai terutama orang Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna, memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah, dianggap sebagai perkauman kerana menyentuh golongan peniaga keturunan Cina sebagai sasaran.

Berikutan itu, beliau menerima kecaman daripada pelbagai pihak. Selain pemimpin parti pembangkang terutama DAP, rakan sekabinetnya iaitu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut sama mengkritik Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa kenyataan Ismail Sabri itu bertujuan menegur semua peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun setelah harga bahan bakar diturunkan, bukan ditujukan kepada mana-mana kaum tertentu.

Ismail Sabri yang sebelum ini dinyatakan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataannya itu, bagaimanapun setakat ini difahamkan belum lagi berbuat demikian.

Dalam pada itu, Briged Kesatria Muda Pemuda Umno semalam tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung ugutan bunuh yang diterima menteri berkenaan.

Pengerusinya, Armand Azha Abu Hanifah berkata, laporan itu bertujuan untuk meminta polis menyiasat pemilik akaun Facebook  yang mengugut Ismail.

"Ancaman ini sangat serius dan boleh beri kesan negatif kepada keharmonian  hubungan antara kaum dan perpaduan rakyat negara ini.  Laman sosial Facebook individu bernama Alan Ling Sie Kiong dan beberapa lagi yang melakukan ugutan bunuh terhadap Ismail Sabri perlu disiasat.

"Polis serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menjalankan siasatan segera dan membawa mereka yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan," tegasnya.

Beliau berkata,  sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan segera, dibimbangi akan merebak perbuatan yang serupa ataupun tindak balas oleh mereka yang mahu membela Ismail.

Armand Azha turut menyifatkan kenyataan menteri berkenaan adalah untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mahupun fahaman politik.

"Tetapi ia disalah ertikan oleh pihak yang cetek akal menjadikan medan sosial tempat untuk menabur kebencian, hasutan dan paling jijik adalah ugutan bunuh secara terbuka terhadap kepimpinan negara," katanya.

Mengapa kaitkan pondok dengan keganasan?

Posted: 06 Feb 2015 12:09 AM PST



Oleh Zulkifli Yahaya


 PASCA peristiwa 11 September 2001, kumpulan Islam yang dikaitkan dengan "keganasan" diperangi habishabisan oleh sekutu Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat.

Semua kumpulan Islam yang berjuang menggunakan senjata secara automatik dimasukkan dalam senarai pengganas, lalu cuba dihapuskan. Institusi pengajian Islam yang diba ngunkan secara tradisional di seluruh dunia adalah antara yang mendapat perhatian Barat untuk dihapuskan.

Oleh kerana di kebanyakan negara Islam, institusi pengajian Islam tradisional ini tidak dapat dipisahkan dari masyarakat umum, maka ia menjadi kesukaran kepada pihak Barat untuk bertindak.

Jalan terbaik Barat ialah mengarahkan bidak-bidak catur mereka, iaitu para pemimpin sekular yang memerintah negara umat Islam itu untuk bertindak.

Selepas peristiwa 11 September juga, Pakistan selaku sebuah negara yang terletak bersempadan dengan negara yang dianggap kubu al-Qaeda menerima tekanan dari Amerika. Kerajaan Pakistan terpaksa akur dengan kehendak Barat, menggeledah pusat pengajian Islam di sana dan menangkap para pelajar asing.

Ada yang terpaksa melarikan diri pulang ke tanah air, sekalipun pemergian mereka ke Pakistan hanya untuk belajar agama dan bukan pergi berperang. Pulang ke tanahair pun tidak selamat, kerana kerajaan yang memerintah tetap kerajaan sekular.

Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanggungjawab mengarahkan penahanan 13 orang pelajar Malaysia yang baru pulang dari Pakistan dipercayai menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia berlaku dua tahun selepas peristiwa 11 September.

Di Malaysia, tiada dalam catatan sejarah bahawa pusatpusat pengajian Islam yang diasas dan berkembang secara tradisional (pondok) merupakan pusat kegiatan pengganas. Namun agak mengejutkan apabila tiba-tiba Pengerusi Yayasan Pondok 1 Malaysia, Dato' Dr Mashitah Ibrahim telah mengeluar kenyataan perlunya ada undang-undang untuk mengawal pergerakan pondok yang dikatakan berpotensi menghasilkan pengganas militan.

Beliau juga menyatakan tidak ada undang-undang tegas termasuk di bawah kerajaan negeri untuk mengawal pergerakan pondok yang banyak diwujudkan tetapi ada kalanya untuk kepentingan peribadi. Kata beliau juga ada pihak yang cuba mendekati warga pondok bagi menarik mereka menganggotai pasukan "jihad" yang dibimbangi boleh mempengaruhi mereka bagi menyertai pergerakan ala militan.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Tarmizi Sulaiman, apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

"Kerajaan BN yang tunduk taat dengan White House sanggup bermatian melanggar sesiapa sahaja atas nama militan tetapi dalam masa yang sama senyap dan lembab menghadapi isu penggaNOTA nas di Sulu, lembab apabila berhadapan dengan kongsi gelab yang secara turun temurun mengganas dalam negara kita.

"Dengan berkempen senada dengan White House, kerajaan BN boleh melabel sesiapa sahaja sebagai militan termasuk anak-anak Melayu Islam di pondok-pondok," bidas Tarmizi.

Sekolah pondok adalah satu satu sistem pendidikan tradisional yang banyak terdapat di Malaysia dan Indonesia (dikenali sebagai pesantren). Sistem pendidikan ini berfokuskan Islam dan biasanya mempunyai tempat menginap – dahulunya ala kadar dan sekarang agak moden. Sistem pondok yang diamalkan ini tiada had usia dan tidak mengira latar belakang sesiapa. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat. Di sini juga menekankan asas-asas ilmu yang menyempurnakan pengamalan Islam.

Datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi juga merupakan pejuang institusi pengajian cara pondok malah beliau telah berusaha mengislamkan pentadbiran Umno sehingga berani menegur Umno dalam hal menghalalkan judi pada tahun 1950-an dahulu. Akhbar Utusan Melayu bertarikh 1951, menyiarkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang, iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim bahawa judi loteri yang digunakan oleh Umno itu adalah haram.

Ia cuma satu dari beratus pondok yang tumbur subur di tanah air. Pondok wujud sudah terlalu lama di tanah air, sebelum wujud Taliban dan al-Qaeda lagi. Justeru menganggap pondok sebagai tempat melatih pengganas adalah sangat melampau.

Mengaitkan pondok dengan kegiatan ekstremis mungkin juga berlaku kerana penglibatan seorang aktivis dalam pepera ngan di Syria, lalu meninggal dunia di sana dalam satu pertempuran.

Beliau yang telah dipecat dari PAS kerana penglibatan tersebut tidak mewakili keseluruhan institusi pondok di Malaysia. Bahkan pentadbir pondok tempatnya pernah mengajar turut menafikan sebarang kegiatan militan yang menjadi asas tarbiyah pelajar pondok.

Menurut presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) Haji Azmi Abdul Hamid, tanggapan dan andaian umum bahawa seolah pondok merupakan punca wujudnya individu berkecenderungan militan adalah sama dengan polisi yang diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat yang mahu menanam kecurigaan dan fobia dikalangan masyarakat awam kepada institusi pondok di negara-negara umat Islam.

"Debat melihat institusi pondok malah institusi pendidikan agama dari kacamata sekuriti adalah berpunca dari sikap prejudis yang dipopularkan oleh pengaruh 'war on terrorist.' Dari satu sudut terdapat mereka yang mahu membendung perkembangan Islam radikal dan militan, dan dari sudut lain, ada mereka yang mahu mempertahan dan membela kemandirian institusi agama yang merasa disalah anggap dalam perdebatan mengenai gerakan militan," ujar Azmi.

Habis, mengapa tiba-tiba pondok dicurigai? Kerana di situ lahirnya benih-benih Islam yang mendokong Islam secara benar berasaskan ilmu Islam yang sebenar.

Islam yang mengutip ilmu secara bertalaqqi dan bersanad hingga kepada Rasulullah s.a.w. Islam tulen ini agaknya yang tidak digemari oleh puak sekular yang mendominasi pentadbiran negara.

Lantas mencari istilah kambing hitam untuk dilabelkan iaitu "pengganas", "ekstremis", "militan" atau apa sahaja.

'Tidak sampai lima minit pun...'

Posted: 06 Feb 2015 12:02 AM PST


Kesan darah di lokasi kejadian. Kesan darah di lokasi kejadian.
 
 
BACHOK - Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian samun di sebuah kedai peralatan binaan di Beris Lalang, kira-kira jam 5.45 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, mangsa, Mustafa Siddiq, 52, berada dalam premisnya bersama isteri, Norhaizan Mohd Zin, 45, dan anaknya, Ainul Wahida, 18, serta seorang pekerja mereka.

"Mustafa cedera di kiri perut dan lutut kanan. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kira-kira jam 7.40 malam. Anak mangsa juga ditembak di paha, kini dirawat di Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM).

"Suspek sudah dikenal pasti berdasarkan maklumat diberikan saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, kerugian dianggarkan RM1,000 dan suspek dikatakan menggunakan kereta Proton Preve berwarna hitam dengan nombor pendaftaran CDC 4561.

"Dua suspek memiliki senjata api, sementara seorang lagi tidak bersenjata," katanya.

Sementara itu, Nor Haizan ketika ditemui di Unit Forensik HUSM mengakui masih terkejut dengan insiden menimpa suami dan anaknya itu.

"Kejadian berlaku sangat cepat. Saya boleh terima apa yang berlaku, cuma buat masa sekarang saya mahu bertenang dulu setelah apa yang saya  lalui hari ini (semalam)," katanya.

Manakala, saksi kejadian yang juga pekerja mangsa, Mohd Azrien Mohd Nasir, 28, berkata,  ketika kejadian, dia berada di dalam kedai tersebut bersama arwah, Nor Haizan dan Ainul Wahida.

"Kejadian berlaku dengan cepat, tidak sampai lima minit pun. Sebelum kejadian, sebuah kereta berwarna gelap berhenti depan kedai, mulanya saya ingat mereka mahu beli barang.

"Kemudian keluar tiga lelaki dari kereta tersebut dan mereka dengan pantas pakai topeng lalu masuk ke dalam kedai minta wang," katanya.

Menceritakan detik ngeri itu, Mohd Azrien memberitahu, salah seorang lelaki tersebut mengacukan pistol ke arahnya dan menyuruh dia dan isteri majikannya diam.

"Kerana takut diacukan pistol, saya mendiamkan diri, kemudian salah seorang daripada lelaki tersebut gari tangan saya dengan isteri majikan saya.

"Dalam keadaan kelam kabut, isteri majikan cuba tanggalkan topeng dipakai lelaki terbabit. Dia marah kami gunakan dialek tempatan," katanya.

Ketika itulah, Mohd Azrien berkata, dia mendengar dua das tembakan dilepaskan yang terkena majikan dan juga anak perempuannya.

"Mereka larikan diri selepas minta kunci kereta majikan. Selepas itu, saya bantu hantar majikan ke Klinik Gunong," katanya.

Nelayan ceroboh perairan: Tindakan tegas menanti

Posted: 06 Feb 2015 12:00 AM PST


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo bersetuju, mana-mana nelayan negara ini yang memasuki perairan Indonesia bakal berdepan tindakan undang-undang.
 
Persetujuan itu turut terpakai bagi nelayan Indonesia yang menceroboh kawasan perairan Malaysia.
 
Namun, menurut Najib, jika mana-mana nelayan yang memasuki kawasan pertindihan antara Malaysia-Indonesia, mereka hanya akan diusir keluar.
 
"Seperkara lagi yang kita telah bincangkan ialah berhubung dengan masalah nelayan yang menceroboh antara kedua-dua perairan.
 
"Kami bersetuju, apa yang telah disepakati selama ini bahawa jika nelayan memasuki kawasan pertindihan antara Malaysia-Indonesia, mereka akan diusir keluar, mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang media bersama Joko Widodo di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
 
Perkara itu dicapai selepas mesyuarat dua hala yang berlangsung pagi ini antara Malaysia dengan Indonesia sempena lawatan Joko Widodo ke Malaysia.
 
Menurutnya, tindakan boleh dikenakan pada mana-mana nelayan yang menceroboh kawasan sahih bukan negaranya.
 
"Sebaliknya, jika mereka masuk dalam kawasan perairan Indonesia, secara yang sahih kawasan itu perairan Indonesia dan diceroboh nelayan Malaysia, maka tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemerintah Indonesia.
 
"Begitu juga jika nelayan Indonesia memasuki kawasan perairan Malaysia," katanya.
 
Sebelum ini, pada 27 Januari 2012, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang memberi kata putus apabila ada nelayan yang ditangkap kerana memasuki perairan Indonesia, mereka akan diiringi keluar untuk masuk semula ke perairan Malaysia, begitu juga sebaliknya.
 
MoU itu ditandatangani Ketua Pelaksana Harian Badan Koordinasi Keamanan Laut, Laksamana Madya Y. Didik Heru Purnomo yang mewakili Indonesia manakala Malaysia diwakili Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.
 
Terbaru, sebuah kapal nelayan Malaysia yang didapati menceroboh dan menangkap ikan di Pandan Islet telah diletupkan pihak berkuasa Polda Sumut menggunakan dinamit selepas mendapat kebenaran mahkamah.

PKR mahu Hadi hadir mesyuarat PR Ahad ini

Posted: 05 Feb 2015 11:56 PM PST


Rafizi Rafizi
 
 
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi perlu hadir mesyuarat Pimpinan PR Ahad ini, demikian menurut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kehadiran Abdul Hadi dilihat perlu kerana ia mesyuarat yang diatur dan semua pemimpin parti komponen PR sudah dipanggil.

"Beliau dipanggil untuk hadir. Kita berharap beliau akan hadir.

"Tapi, segala keputusan terletak pada Abdul Hadi dan sebagai rakan dalam parti, PKR hanya mahu lihat semua pemimpin hadir untuk mencapai keputusan yang bakal dibincangkan," katanya kepada media di Pejabat Agung Pas, sebentar tadi.

Ramli Sarip lebih prihatin daripada legenda tanah air?

Posted: 05 Feb 2015 11:42 PM PST




 Oleh RAYUSA 


AYAT 44, surah Hud yang bermaksud, "Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit hentikanlah curahan airmu" sering bermain di minda Dato' Ramli Sarip di sepanjang perjalanan ke Kuala Krai, Kelantan.

Setibanya di Kampung Era dan melihat keadaan kampung yang teruk dilanda banjir, Ramli teringat ketika beliau melawat Melauboh, Aceh lebih 10 tahun lalu ketika Aceh dilanda tsunami dalam misi membantu mangsa tragedi itu bersama Mercy Relief, Singapura.

Dalam kunjungan ke Kuala Krai, Ramli bersama rombongan Kumpulan AmBank untuk misi bantuan mangsa banjir. Beliau mengiringi pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim menghulurkan bantuan kepada penduduk dua kampung di Kuala Krai bersama pegawai dan sukarelawan AmBank.

Semasa di sana Ramli mendapat ilham mengadakan sebuah konsert untuk mengutip dana pembangunan pasca banjir.

Justeru, lahirlah Konsert Doa Langit dan Bumi dengan semua Ramli Sarip lebih prihatin daripada legenda tanah air? hasil penjualan tiketnya akan mengisi tabung pembangunan pasca banjir di bawah kelolaan Kumpulan AmBank.

Perbincangan dengan Azman dan ketua pegawai eksekutif PWTC, Dato' Maxson Abdullah amat memberi semangat kepada Ramli kerana kedua-dua individu tersebut terus menyatakan persetujuan untuk membantu tanpa ragu-ragu.

Kumpulan AmBank akan menaja kos produksi, pemasaran dan promosi, sementara PWTC membiayai kos tempat acara, serta makan minum artis dan pasukan produksi konsert tersebut.

Beberapa syarikat bumiputera turut membantu seperti Marhaen Productions Sdn Bhd yang menyumbang pembikinan kemeja-T khas untuk konsert, Paravue Sdn Bhd, Warisan Sound, Mewah Event, dan Gua Orang Lama.

Konsert Doa Langit dan Bumi akan berlangsung pada jam 2.30 petang, 22 Februari depan di Dewan Merdeka, PWTC. Selain Ramli sebagai artis utama, Dato' M Nasir, Dato' Hattan, Awie dan Ella akan turut membuat persembahan.

Harga tiket bagi konsert anjuran bersama Kumpulan AmBank, Rasamusic Sdn Bhd dan PWTC itu ialah RM153 dan telah mula dijual. Persembahan selama dua jam setengah itu juga akan disiarkan secara langsung oleh NTV7.

Antara pemuzik tanah air yang akan mengiringi persembahan konsert berkenaan termasuklah Man Kidal (gitar I), Aji Samin (gitar II), Tom Anuar (dram), Fauzie Zain (bass), Rozario Rasul (keyboard I), Uda (keyboard II/biola/akordian), Paang (perkusi I), dan Boy Razli (seruling/gambus).

Pada 20 Januari lalu telah diadakan sidang media Konsert Doa Langit dan Bumi di Tanjung Lounge, PWTC. Selain Ramli, Nasir dan Hattan, serta Maxson, turut hadir ialah timbalan kanan presiden/ketua kumpulan pemasaran & komunikasi korporat Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali, serta beberapa pemuzik pengiring.

Awie dan Ella tidak dapat hadir. Menurut Ramli yang juga pengarah Rasamusic Sdn Bhd, beliau gembira dapat bergabung dengan penyanyi legenda Malaysia yang langsung tidak bertanya soal bayaran.

Mengenai persoalan jika ada artis lain yang mahu ikut serta, Ramli menjelaskan mereka amat dialu-alukan untuk membeli tiket dan menonton.

Katanya, kurang sesuai terlalu ramai artis membuat persembahan kerana itu akan mencelarukan konsep.

Jelas Ramli, Konsert Doa Langit dan Bumi tidak bernada sedih walaupun mengenang mangsa banjir, sebaliknya serius dan menaikkan semangat dengan nyanyian lagu-lagu mengenai kehidupan dan ketuhanan. Sementelah beliau, Nasir dan Hattan sinonim dengan lagu-lagu sedemikian.

Memang lagu-lagu kemanusiaan bersesuaian dengan konsert tersebut.

Bagaimanapun, tambah Ramli, untuk memenuhi selera penonton dan menarik minat, beberapa lagu popular mereka akan turut didendangkan.

Walaupun corak persembahan masih belum pasti, Ramli memberitahu beliau akan menyanyi lebih banyak lagu berbanding penyanyi undangan.

Setiap penyanyi undangan dirancang menyanyikan tiga lagu masing-masing dan berduet sebuah lagu dengan Ramli.

Nasir memberitahu beliau terus bersetuju ketika dihubungi oleh Ramli kerana konsert tersebut amat baik. Hattan yang memang merancang mengadakan konsert sendiri di Seremban juga tidak banyak soal.

Demikian juga dengan Awie dan Ella.

Menurut Ramli, konsert sedemikian akan diteruskan kerana ia bertujuan mengutip dana untuk pembangunan pasca banjir. Banjir juga sedang melanda Sabah dan Sarawak. Apabila tragedi itu berakhir, tentu akan ada pembangunan semula yang memerlukan dana.

Bagaimanapun, seperkara yang seperti tidak disedari ialah hakikat Ramli bukan penyanyi Malaysia. Beliau masih warganegara Singapura.

Ilhamnya amat baik. Namun, mengapa idea tersebut tidak datang daripada seniman atau artis Malaysia?

Adakah Ramli lebih prihatin dan berkemampuan daripada penyanyi negara kita? Hal ini agak memalukan.

KL Bandaraya Ke-9 Paling Banyak Dikunjungi Pelancong

Posted: 05 Feb 2015 11:39 PM PST

MSTAR ONLINE


Kuala Lumpur
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur diberi ranking kesembilan daripada 100 bandar raya paling megah di dunia dari segi ketibaan pelancong antarabangsa oleh Monitor International dalam ranking tahunan Top City Destinations 2013.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata laporan itu menyatakan 11.2 juta pelancong antarabangsa melawat Kuala Lumpur pada 2013 dan sekali gus mencerminkan kedudukan penting Kuala Lumpur dalam pelancongan global bagi urusan perniagaan dan liburan.

"Di bawah Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025, satu daripada langkah utama yang perlu dilaksanakan ialah memasarkan Kuala Lumpur secara terjurus serta menyediakan untuk pendukung industri dan pelancong akses lebih baik kepada maklumat tentang bandar raya ini," katanya ketika melancarkan surat berita 'HELLO KL' E-Newsletter dan #IAMKL Online di sini Khamis.

Beliau berkata surat berita itu merupakan alat berguna dan berkesan untuk menyampaikan maklumat tentang perkembangan terkini berkaitan pelancongan di Kuala Lumpur sebagai sumber yang amat bernilai bagi semua pihak bertanggungjawab dalam mempromosi bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai.

"Kami menjangka boleh mencapai 15 juta ketibaan pelancong tahun ini, 10.1 juta daripadanya pelancong luar negara, 4.9 juta pelancong tempatan.

"Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjenamakan dengan berkesan Kuala Lumpur sebagai destinasi dinamik bagi pelancong, kami perlu menggunakan media digital dan memanfatkan potensinya secara menyeluruh seperti 'Hello KL' E-newsletter dan kempen #IAMKL ini," katanya.

Ahmad Phesal mengalu-alukan sumbangan bahan oleh pendukung industri pelancongan kepada surat berita itu untuk tatapan kumpulan sasaran antarabangsa dan untuk membolehkan ejen perjalanan mewujudkan pakej pelancongan serta jadual perjalanan secara kreatif bagi menambah daya tarikan dan meningkatkan penampilan Kuala Lumpur dalam kalangan pelancong.

Objektif utama #IAMKL ialah mendekati khalayak antarabangsa secara cergas dan menghiburkan, sambil meningkatkan kesedaran tentang keistimewaan bandar raya ini dalam kalangan pengembara untuk menarik minat mereka berkunjung ke sini, katanya.

Beliau berkata #IAMKL menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, di samping laman sesawang rasmi kempen itu, www.iamkl.com
Mereka yang berkunjung ke Kuala Lumpur dipelawa memuat naik 'selfies' yang berlatar belakangkan tempat terkenal di bandar raya ini dengan hashtag #IAMKL.

Hello KL E-newsletter akan diterbitkan dua kali sebulan.

Mereka yang ingin melanggan surat berita ini boleh berbuat demikian dengan mengirim emel kepada helloklenewsletter@gmail.com.

Boikot Air Mineral Lebih RM1 - PPIM

Posted: 05 Feb 2015 11:38 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media di Kuala Lumpur, Khamis. -foto BERNAMA
 
 
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya orang ramai memboikot semua jenis air mineral 500 mililiter (ml) yang melebihi harga RM1.00.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata menerusi Jawatankuasa Consumer Research Boycott Centre, usaha boikot itu disaran bagi tempoh tiga bulan bermula Khamis dan kajian mengenainya akan dijalankan.

"Kita memilih air mineral sebagai permulaan kepada kajian kami memandangkan harganya yang tidak munasabah di pasaran terutama di premis makanan. Ada yang menjual sehingga RM3.50 berbanding kebiasaan RM1.00.

"Harga tersebut lebih mahal daripada harga minyak petrol terbaharu. Harga kos bagi 500ml air mineral lebih kurang RM0.50 dan selepas mengambil kira keuntungan sebanyak 70 peratus, ia sepatutnya dijual pada kadar tidak melebihi RM1.00 sahaja," katanya pada sidang media kempen boikot air mineral oleh Jawatankuasa Consumer Research Boycott Centre di sini, Khamis.

Nadzim juga berkata, masalah harga barang yang tidak turun bukan seratus peratus disebabkan oleh peniaga tetapi pengguna sendiri yang tidak mengambil peduli serta kurang sensitif akan harga barang di pasaran.

"Pengguna agak terleka dan tidak ambil tahu dengan harga air mineral yang  tidak munasabah. Hanya tahu menyalahkan harga minyak petrol naik sahaja tetapi benda kecil seperti air mineral tersebut tidak pula diambil kira.

"Pengguna harus mendidik diri supaya peka akan harga barang di pasaran dan mengambil bil setiap kali membayar sesuatu barang sama ada di kedai atau di restoran seterusnya membuat perbandingan harga," katanya.

Nadzim berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya pengguna menunjukkan hak dengan memilih barangan yang lebih murah tanpa perlu menunggu harga kawalan daripada kerajaan.

"Pengguna harus tunjukkan hak serta menentapkan harga permintaan. Kalau harga air mineral lebih daripada RM1.00, tak payahlah beli. Sebelum kerajaan meletakkan harga kawalan, kita sendiri boleh boikot jika harga barang tersebut tidak turun.

"Kita juga ada minta kerajaan mengadakan harga siling yang dimulakan dengan air mineral ini," katanya.

Bukan Islam Perlu Bubar Perkahwinan Sebelum Daftar Sebagai Mualaf Di NS

Posted: 05 Feb 2015 11:33 PM PST

MSTAR ONLINE


Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan
 
 
 
SEREMBAN: Seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, katanya mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.

Beliau berkata dua perkara tersebut adalah antara cadangan peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

"Cadangan peraturan baharu ini akan menjadikan enakmen tersebut lebih mantap, mengelakkan kontroversi dan paling penting sekali, Islam tidak akan terjerumus, dihina, dikeji dan dicerca hanya disebabkan oleh perbuatan seorang mualaf," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian taklimat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini, Khamis.

Mohamad, yang juga Pengerusi MAINS, berkata peraturan baharu terhadap mualaf di negeri itu bertujuan menjaga kesucian Islam dan mempertahankan agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat individu.

Katanya pembubaran perkahwinan itu perlu dilakukan sekiranya pasangan mualaf berkenaan tidak mahu sama-sama memeluk Islam yang menjadikan institusi perkahwinan itu tidak lagi mempunyai sebarang makna.

"Mengikut hukum Islam mereka tidak boleh lagi hidup bersama. Mahu tidak mahu terpaksa bubar. Jika dia sudah masuk agama Islam baru hendak bubarkan, itu yang kadang-kadang timbul masalah.

"Lebih baik dia bubarkan sebelum didaftarkan sebagai mualaf. Langkah ini penting bagi mengelak perbuatan berebut jenazah apabila seorang mualaf meninggal dunia," katanya.

Awas kalau parkir 'macam celaka'

Posted: 05 Feb 2015 04:00 PM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Hati-hati apabila meletakkan kenderaan. Jangan menyusahkan orang lain.

Ini kerana anda bukan sahaja boleh menjadi objek cemuhan tetapi juga mungkin dimalukan di Internet.

Laman Facebook You Park Like An Asshole (Malaysia) mengambil inisiatif itu dengan memuat naik gambar-gambar kenderaan yang diletakkan secara mementingkan diri sendiri.

Setakat ini kumpulan itu dapat menarik sebanyak lebih 18,000 ahli untuk menyertainya sejak diwujudkan enam bulan lalu.

Menurut pengendalinya, laman itu bertujuan memberi maklumat kepada masyarakat dan mendidik pengguna kenderaan agar lebih berdisiplin.

Antara gambar yang dimuat naik termasuk gambar kereta yang parkir dengan senget atau tidak masuk dalam petak.

Turut menjadi sasaran utama adalah pemandu yang meletakkan kenderaan di petak Orang Kurang Upaya (OKU) dan parkir berganda di tepi jalan sehingga menghalang pengguna lain.

Laman itu juga memuat naik beberapa keping gambar motosikal yang diparkir di petak letak kereta.

Facebook itu juga menjadi tempat orang ramai melepaskan kemarahan.

Ini dilihat melalui beberapa nota berang yang antaranya berbunyi "Kepada si celaka, anak perempuan 17 tahun aku parkir lagi baik daripada kau", "Dulu kecil-kecil tak nak mati, dah besar menyusahkan orang" dan "Pandai bawa kereta, bodoh parkir".
 

Tiada ulasan: