Anwar Ibrahim Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama
 
 
PETALING JAYA - [VIDEO] Sekretariat Himpunan #KitaLawan menegaskan, perhimpunan anak muda pada 7 Mac depan tidak akan menjejaskan proses permohonan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Yang Dipertuan Agong.
 
Ketua Koordinatornya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, rayuan yang dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu juga hanya menumpu kepada dakwaan berlaku ketidakadilan dalam proses penghakiman kes liwat II.
 
"Jadi saya tidak lihat ada kontradiksi di antara apa yang dilakukan oleh gabungan NGO dan parti politik dengan insiatif yang diambil oleh keluarga tersebut," katanya kepada pemberita di ibu pejabat NGO Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan sekretariat itu yang mahu meneruskan himpunan tersebut walaupun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga mengemukakan permohonan pengampunan itu berhubung sabitan kes liwat II di Istana Negara, semalam.
 
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga menegaskan pihaknya akan meneruskan himpunan besar-besaran itu meskipun tanpa kebenaran pihak berkuasa.
 
"Istilah permit sudah tidak pakai, kena rujuk kes Nik Nazmi lawan kerajaan Malaysia.
 
"Apa-apa pun (keadaan) kita akan teruskan 7 dan 8 Mac depan," ujarnya.
 
Sementara itu, Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir bagaimanapun berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk tujuan tersebut.
 
"Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan kita akan susun pertemuan dengan pihak polis, untuk makluman lanjut kita akan maklumkan kemudian," katanya.