Sabtu, 14 Februari 2015

.

.


Alwi setuju Umno tak tanding di PRK Chempaka

Posted: 13 Feb 2015 11:31 PM PST

REAKSI                                                                                                         SI 

Bayangan Umno Kelantan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan di DUN Chempaka berikutan kematian Adun kawasan berkenaan Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam sesuatu petanda postif ke arah persefahaman politik antara Umno dengan Pas Kelantan.

Alwi: Utamakan rakyat.
 
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed telah mengeluarkan pandangan peribadinya yang Umno mungkin tidak meletakkan calon dalam pilihan raya itu nanti atas alasan bagi memberi tumpuan kepada masalah banjir yang masih banyak belum selesai.

Bagaimana pun menurut Mustapa yang dipetik daripada satu laporan mengatakan beliau akan berbincang dengan Umno Pengkalan Chepa sebelum memuktamadkan perkara itu.



Pandangan Mustapa itu dipersetujui oleh Ketua Penerangan Umno Kelantan Md Alwi Che Amat yang berpandangan seharusnya kerja-kerja untuk membantu rakyat tidak perlu diganggui dengan pilihan raya kecil berkenaan nanti yang dilihat tidak memberi signifiken besar kepada mana-mana pihak.

Apa yang penting sekarang ini tegasnya, ialah semua rakyat Kelantan, baik dalam Umno dan PAS memberi tumpuan untuk memulihkan keadaan Kelantan yang diterpa banjir baru-baru ini. "Rakyat sangat mengharapkan ada gemblengan tenaga dan usaha (mental dan spritual) antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat untuk masa depana mereka yang lebih terjamin," katanya yang juga Adun Kok Lanas.

Menurut Alwi ekoran banjir yang melanda Kelantan sebulan lalu menyebabkan 87,300 rakyat Kelantan berhadapan dengan pelbagai masalah dan kesulitan manakala sebanyak 2,740 buah rumah baru perlu dibina semula.

Jumlah kerosakan itu katanya bukan termasuk yang boleh diperbaiki tetapi yang perlu dibangunkan semula kerana rumah mereka musnah sama sekali.

"Adalah baik dalam kedaan mangsa banjir belum terbela, kita tumpukan memulih dan membantu mereka, dan jangan difikirkan sangat pilihan raya kecil itu," kata Alwi ketika dihubung sekejap tadi bagi mengulas cadangan Mustapa.

Alwi sebaliknya mengakui cadangan Umno tidak menyertai pilihan raya kecil itu sudah dibincang secara lisan bersama Mustapa dan pada asasnya ia akan dilaksanakan. Kemenangan percuma kepada Pas kelak ujarnya boleh dijadikan sumbangsih Umno kepada Pas yang turut bersedih atas kehilangan Tokguru Nik Azziz.

Simpulanya, menang atau kalah kerusi itu nanti ia tidak memberi apa-apa kesan dan mengubah keadaan yang sedia ada. Pas tetap juga akan memimpin kerajaan Kelantan dan Umno menjadi pembangkang.

Dalam pada itu untuk mencari titik temu antara Pas dengan Umno di Kelantan, Alwi menganjurkan agar seluruh rakyat Kelantan mengambil iktibar apa yang berlaku di Aceh. Di Aceh tegasnya selepas negeri itu dilanda tsunami (2004) yang meragut ratusan ribu nyawa, mereka kembali insaf dan sedar untuk hidup secara bermaufakat dan hasil maufakat itu Aceh kini membangun jauh lebih baik daripada sebelum ini.

"Saya juga yakin kalau orang Kelantan sedia mengambil iktibar ke atas apa yang berlaku di Kelantan, banjir dan juga dengan kehilangan Tokguru Nik Abdul Aziz, Kelantan akan mendapat rahmat dan perubahan yang lebih baik daripada yang sedia ada," tekan Alwi penuh yakin.

Manakala apabila ditanya apakah sekiranya Umno tidak meletakkan calon ia menunjukkan parti itu penakut, cepat-cepat Alwi menjelaskan soal takut atau berani tidak timbul. Apa yang penting katanya dalam apa juga keadaan atau suasan kita harus berfikir positif untuk membantu rakyat. Rakyat kena diutamakan daripada segala kepentingan lain dan beliau yakin rakyat memahami isunya.

"Kalau dengan tidak menyertai pilihan raya itu Pas akan menang percuma ia boleh menyelamatkan masa, tenaga dan wang, itu lebih baik kerana wang, tenaga dan masa itu lebih penting untuk bantu mangsa banjir. Janganlah kita jadi kedekut untuk membela rakyat," katanya.

"Bagi saya tidak timbul soal penakut atau berani, disini kita perlu rasional dan tidak terikut dengan sentimen-sentimen politik fanatisme yang merugikan semua orang. Kita berpolitik untuk memerdekakan rakyat bukannya meletakkan rakyat dalam keadaan menjadi alat kepentingan segolongan pihak," sambung Alwi lagi penuh harapan agar cadangan Mustapa itu menjadi realiti.

Alwi yakin dengan perkembangan di Kelantan kini, musibah banjir serta kehilangan Tokguru Nik Abdul Aziz yang ditangis oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira idelogi politik memancarkan sinar baru untuk rakyat Kelantan hidup secara lebih hormanis dan bermahabbah.

Beliau juga memberi tahu semalam ikut sama ke Pulau Melaka untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas MB Kelantan 22 tahun itu. Sebelum ini beberapa kali Alwi mengadakan kunjungan hormat kepada bekas MB Kelantan itu dan dalam setiap kunjungan itu mereka membincangkan soal Kelantan penuh ketaakulan. [wm.kl.2:55 pm 14/02/15]

"Kita bersahabat sampai ke akhirat"

Posted: 13 Feb 2015 09:04 PM PST

KENANGAN (I)                                                                              

Bila ada sesuatu untuk dibincangkan Tokguru akan panggil.
Selama mengenali Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat 48 tahun lampau banyak juga peristiwa dan kenangan bersamanya yang sempat dikutip dan disimpan dalam peti kenangan sebagai bukti sejarah antara saya dengannya.

Dalam tempoh itu saya bernasib bagi diberi kesempatan bukan sahaja mengenali beliau sebagai seorang da'i dan murabbi, tetapi sebagai ahli politik dan juga pemimpin selaku MB Kelantan selama 22 tahun. Saya juga bernasib baik kerana boleh berkawan dan menjadi anak nakal kepadanya.

Peluang yang diberikan Allah ini saya sifatkan satu tuah dan tiada nilai buat saya, insya-Allah saya akan gunakan sebaik mungkin untuk diuruskannya menjadi sebuah biografi kenangan saya dengan Tokguru.

Saya mula mengenali Tokguru pada tahun 1967 menerusi gambar posternya sebagai calon Pas pada pilhan raya kecil Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa). Ayah saya (Omar Othman, Allahyarham) yang membawa balik poster almarhum itu apabila beliau turun ke Pengkalan Chepa bersama beberapa rakannya, berkempen untuk Tokguru Nik Aziz yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya mewakili Pas.  Pilihan raya kecil itu diadakan berikut kematian wakil Pas.

Bagaimana pun pengenalan menerusi fizikal atau jabat salam pertama dengan Allahyarham, berlaku selepas10 tahun kemudian, sekitar tahun 1978 apabila saya sudah remaja. Dan perkenalan yang membawa makna dan tuah besar ini yang membawa kepada perkenalan hingga ke akhir hayat terjadi ialah pada tahun 1991.

Buku penghubung saya dengan Tokguru.
Saya tidak sangka perkenalaan yang merintis kepada hubungan spritual lebih jauh dari itu dengan Allahyarham berlaku menerusi karya saya, sebuah penulisan buku politik yang mengulas mengenai perlantikannya sebagai MB Kelantan disamping memperkenalkan (intrudciton) siapa Nik Aziz, berjudul; "Kelantan Selepas Pantan - Sempena 100 Hari Smpenea Ustaz Nik Aziz Jadi Menteri Besar Kelantan". Buku ini diterbitkan pada Disember 1991.

Buku inilah yang mengenalkan Tokguru dan melekatkan nama Mohd Sayuti sebagai penulis kerdil di dinding mindanya. Ia bermula daripada pembacaan Tokguru mengenai kisah seorang bernama Pak Da Che Lah (nama sebenarnya Abdullah bin Kotok) yang saya nukilkan dalam buku berkenaan. Pak Da Che Leh merupakan orang kuat Pas dikampung saya dimana pegangan sangat konsevertif dan fantik kepada Pas.

Pak Da Che Leh ini tidak dapat menerima kekalahan Pas sehingga jatuhnya kerajaan Pas berusia 18 tahun dalam pilihan raya penuh kontroversi dan tipu muslihat 1978. Malam itu beliau seakan hilang akal dan mengamuk apabila menerima keputusan di radio yang kerajaan Kelantan sudah jatuh ke tangan BN.

Semasa Tengku Razaleigh membuat pengumuman menerusi siaran langsung di radio bahawa tol di jambatan Sultan Yahya Petra dimansuhkan sebagai janji Umno, Pak Da menyambar sebilang parang  dan terus terjun dari jemoran mengibas-ngibas perang dalam gelap malam seraya melaung; aku akan tetap berjuang dalam Pas walaupun seorang diri.

Allah hendak menyambungkan silaturahim lebih rapat dan erat antara saya dengan Tokguru. Apabila Tokguru membaca nukilan itu menyebabkan beliau teringin berjumpa dengan Pak Da Che Lah sekaligus mengenali lebih rapat dengan saya sebagai penulis buku itu.

Fatah menyuarakan akan "keinginan" Tokguru untuk mengetahui lebih dalam mengenai orang bernama Pak Da Che Leh itu. Abdul Fatah yang ketika itu selaku Setiausaha Pas Kawasan Rantau Panjang telah memaklumkan kepada Yaacob Awang Besar (yang menjadi bapak mertua saya) akan hasrat Tokguru itu.

Suatu hari ketika menghadiri satu majlis atas urusan kerja (wartawan) saya berjumpa dengan Tokguru beliau bertanyakan fasal watak Pak Da Che Leh dalam buku itu. Sikap sptontan itu menunjukkan episod yang dibaca itu subur dalam ingatannya.

"Kalau enta ada masa, boleh datang ke pejabat, nak berbual sikit fasal Pak Da Che Lah..yang enta tuliskan itu," begitulah suara dan minta Tokguru dalam kesempatan itu. Dari situlah bermulanya perkenalana dan hubungan rapat dengan Allahyarham sehinggakan saya kerap dipanggil untuk meminta mengulas sesuatu isu dan juga bertanya soal-soal termasuk mengenai kemelut di dalam Pas. Apa yang dikehendaki ialah pandangan bebas dari saya sebagai penulis.

"Enta sebagai seorang penulis tentu dapat banyak malumat, boleh kita kongsi-kongsikan.." demikian ujar Tokguru penuh berdiplomasi. Walaupun dia tidak menunjukkan seorang pemimpin yang bersistemetik tetapi beliau tetap menjaga soal maruah dan intgriti seperti mana dianutinya. Allahyarham bukan seorang yang suka memaksa mengikut kepercayaan secara melulu tetapi dia akan mendidik dan mentarbiyah dengan penuh berhikmah. Beliau juga tidak menghormati sesiapa saja dan tidak pernah memperlekehkan pandangan orang.

Bagi saya bakat kecil yang dikurniakan Allah sangat memberi signifiken besar dalam pengenalan dan hubungan saya dengan Tokguru. Menerusi bakat itulah membawa saya rapat dan ada kalanya mendapat layanan sehingga dicurigai oleh setengah yang lain. Banyak orang tidak tahu saya secara diam diminta olehnya secara tidak langsung menjadi pemantau politik dan pentadbirannya dan juga pimpinan Pas yang lain. "Enta kena pakat-pakat tolong untuk Islam," inilah perkataan dan seruannya.

Malangnya ada juga mereka yang tidak mengenal hati budi saya dan mengetahui asas keluhuran hubungan saya dengan Tokguru membuat berbagai tuduhan yang senak untuk disebutkan, kadang kala Tokguru meminta saya banyak-banyak bersabar.

Dalam menilai Tokguru sebagai pemimpin, saya dapati beliau seorang yang analisis. Beliau tidak mudah membuat sesuatu keputusan berdasarkan pandangan setengah pihak. Misalnya kalau ada perbalahan dan perselisihan antara dua pihak atau individu, beliau akan mencari orang tengah untuk membantunya mengatasi masalah itu. Selepas beliau berpuas hati dengan penyelidikan dan semakan barulah dibuat keputusan. Keptusan dib
uat tegas dan adil.

Pegangan dan keyakinan Tokguru dalam membuat apa-apa keptusan dan tindakan, beliau akan bepandukan kepada Quran dan nas. Beliau sesekali tidak membuat tindakan dan mengambil keputusan tanpa ada sandaran yang jelas dan konkrit. Banyak contoh mengenai sikap tegas dan analis. Tokguru ini. Disini saya sebut satu sahaja sikap tokguru sebagai contoh mengenai harstanya untuk melakukan pemulauan kepada sebuah akhabr arus perdana yang banyak menyerang dan membuat fitnah kepadanya.

Secakit tulisan tangan beliau ini menjadi kenangan  abadi.
Secara diplomasi dan rendah diri beliau bertanya kepada saya mengenai cadangan itu, apakah ia boleh atau pun tidak serta implikasinya kepada kerajaan dan parti. Saya memahami apa yang terdesak didalam hatinya itu, lekas-lekas memberi jawaban bersetuju dengan cadangan itu denagn sedikit pandangan. "Boleh tok guru, molek... itu adalah satu tindakan yng baik, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah juga, sebab bergaduh dengan media massa kita tidak akan pernah menang," kata saya. Selepas termenung sejenak beliau bersuara;

"Tetapi akhbar ini ana kira sudah melampau sangat..dah, " dia tidak berpuas hati dan mengharapkan saya memberi pandangan menyokong pandangannya.

"Kalau begitu tok guru, boleh mulakan..." kata saya. Ikhlas dalam banak perkara apabila saya berjumpa Tokguru saya akan banyak mendamaikan jiwanya daripada menganggu perasaanya.

Walaupun saya setuju, beliau sebaliknya tidak menyetujui tetapi memberi hujah sokongan ke atas cadangan itu.

"Dalam Islam pun ada perkara pulau ini," katanya memberi hujah ke atas cadangan itu. "Enta bacalah dalam satu surah dalam Quran mengenai pemuda yang diajak berperang tetapi tidak mahu pergi berperang akhirnya mereka diperintah oleh Nabi dipulaukan, jangan tegur dan bercakap dengan mereka beberapa hati. Bagi ana kejadian ini adalah boikot." Panjang lebar beliau menjelas dan memberi tafsiran atas perintah dalam Quran iru.

Ertinya apa-apa tindakan yang hendak dilakukan walaupun jelas perbuatan akhbar berkenaan menyakitkkan hatinya kerana menimbulkan provokasi dan fitnah, tetapi beliau tetap mencari hujah dan dalil-dalilnya. Tokguru tidak akan bertindak kalau tidak ada hujah dan dalil-dalilnya. Di sinlah saya melihat Tokguru seorang pemimpin, yang bukan sahaja berkata-kata (retorik) dengan ayat-ayat Quran dan hadith tetapi beliau akan cuba mengamalkan seboleh-boleh yang mungkin.

Satu pengalaman menunjukkan sikap adil dan saksama diamalkannya, dilalui oleh saya apabila saya mencadangkan kepadanya agar mengambil tindakan kepada beberapa pemimpin Pas Kelantan yang didapati sedang membuat pelan senyap untuk menjatuhkan sebagai MB Kelantan. Dari maklumat yang diperolehi saya memantau perkara ini dan apabila ia sampai ke peringkat serius saya menyuarakan kepada Allahyaram akan membendungnya.

Beliau mendengar sahaja apa yang saya ceritakan itu perhati. Dua tahun berlalu beliau tidak membuat apa-apa tindakan susulan sehinggalah keadaan menjadi lebih parah menyebabkan saya terpaksa mengulangi dan mendesaknya bertindak. Allahyaram kurang senang dengan cara saya yang dilihat sebagai agresif.

"Ana tidak boleh bertindak tanpa ada bukti-vukti yang cukup," jawabnya dengan nada keras. "Kalau ana bertindak tanpa ada bukti, ana akan berlaku zalim, tetapi kalau sudah ada bukti tetapi ana tidak bertindak ana tidak melakukan keadilan. Mari bukti.. mari.." sambungnya lagi. Saya memahami keadaan kenapa Tokguru jadi sedikit kurang selesa dengan desakan saya itu kerana dia tidak mahu terlibat dengan fitnah.

Apabila Tokguru meminta bukti saya mengambil sedikit masa untuk menyiapkan bukti mengenai apa yang saya ketahui itu. Setelah menyerahkan bukti yang saya sebutkan itu secara materialstik, Tokguru terus bertindak. Beliau tidak menunggu masa panjang, dua minggu selepas itu beliau mengambil keputusan memeranjatkan dengan memecat beberapa orang yang terlibat dengan "konspirasi" membuat pelan hendak menjatuhkannya itu.

Begitulah sikap dan sifat Tokguru. Seorang yang sangat halus, teliti dan berhati-hati dalam apa juga perkara dan setiap apa yang hendak dilakukan mestilah jelas dipandukan oleh Quran dan Hadith. Tidak hairan kerana ini sangat bersesuaian sekali dengan apa yang menjadi seruan dan peringatkan kepada saya bila setiap kali bersama, baik waktu makan, sambil mengurut betisnya atau ketika serius di meja dinasnya. Katanya, kita berbuat sesuatu biarlah kerana Lilahitaalan.

Dan saya setiap kali berjumpa dengannya dan takkala mahu berpisah akan memeluknya erat dan membisikan ditelinganya; Tokguru doakan ana agar selamat dan istiqamah dalam menyokong perjuangan Tokguru untuk Islam. Selepas itu saya akan mengucup tanganya dan berlaku dengan mata yang berkaca. Begitulah.

Kini aksi dan peristiwa sedemikian tidak mungkin akan berulang lagi. Cuma apa yang saya mampu lafaz dan munajakkan,  kini, "Tokguru jangan lupa doakan ana dari atas singgahsana indah yang Tokguru takthai kini. Ana berharap biarlah ana juga sampai ke sana untuk melutut di hadapan Tokguru kandatipun pun di atas sejedah robek. Kan kita sudah berjanji persahabatan kita bukan saja setakat di dunia ini, tetapi sampai ke akhirat."

Nota kenangan dan peristiwa lain saya bersama Tokguru, baik percandaan, bergaduh dan kritikan saya kepadanya akan dilengkapi dalam sebuah memoir saya dengannya yang kini dalam proses penulisan dan penerbitan. Wassalam Mso.  [wm.kl 12:54 pm 14/02/15] * tanpa edit.

Insya-Allah esok saya akan mengenang Tokguru Nik Aziz dalam catatan

Posted: 13 Feb 2015 08:21 AM PST

BALESUNGKAWA                                                                          

Saat mengunjungi Allahyarham menjelang PRU ke-13.
Alhamdulihah saya baru selamat sampai di rumah dari Kota Bharu setelah bergabung dengan puluhan ribu rakyat jelata untuk memberi penghormatan terakhir kepada Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kembali ke Rahmatulah malam semalam serta menghadiri majlis pengembumiannya pagi tadi.

Sejak dari petang semalam, sebaik menerima berita kematian Allahyarham saya masih belum rehat sampailah ke saat ini.

Entah macam mana seluruh anggota semacam tidak tertakluk dengan rutin biasa lagi. Mata jadi tidak mengatuk, perut tidak lapar, tekak juga tidak merasa harus, manakala anggota-anggota langsung tidak merasa letih. Luar biasa. Semua indera nafas menjadi terhala kepada berita sedih, kematian Tokguruku Nik Aziz sehingga mengalpakan apa sahaja hal-hal lain.

Malam tadi saya cuba membuat beberapa catatan bagi mengenang Allahyarham untuk dikongsi bersama penjengok blog ini, khasnya. Tetapi tidak menjadi. Fikiran terus bercelaru sebak dan pilu mengunyah diri. Beberapa kali saya cuba mencatat tetapi fikiran buntu dan terganggu dan ada kalanya bibir keyboard menjadi mangsa hentapan keras telapak tangan.

Apa lagi keadaan ditambah dengan "kalutkala" untuk mencari tikit kapal terbang atau pun mengambil keputusan untuk pulang dengan kereta. Tetapi memandangkan malam, jarak perjalanan jauh dan kebetulan isteri tidak dapat diajak untuk menjadi teman (kerana kurang sihat), terpaksa berusaha mendapatkan tikit kapal terbang.

Jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.
Naisb baik ada rezeki, ada kekosongan (seat) membolehkan saya terbang pada awal pagi. Sekali lagi sementara menanti untuk ke lapangan terbang saya mencuba menyiapkan apa-apa catatan, tetapi ternyata kesebakan merampas kekuatan dan dayafikir saya untuk menulis. Hampa lagi.

Saya melewati jam-jam berlalu sebelum ke lapangan dengan membelek-belek dan membuka beratus folder gambar untuk mencari gambar wajah Tokguru ataupun gambar yang sempat saya rakam bersamanya untuk direnung sepuas-puasnya.
Ribuan siap untuk menyembahayangi jenazah Tokguru.

Penerbangan dengan Firefly jam 8:15 pagi, tetapi saya sudah berada di lapangan jam 5:20 pagi. Keinginan dan kerinduan untuk menatap wajah hening membunuh kesabaran. Terasa hari begitu lama untuk berganjak dan mentari juga seakan malu dan malas untuk keluar dari jerumunya menerangkan alam serta membawa saya ke Pulau Melaka secepat mungkin.

Di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang bukan sahaja saya keresahan dan tidak sabar untuk berangkat, tetapi mereka yang lain sehaluan dengan saya juga.

Sanggup berjalan berkilo meter untuk ziarah jenazah Tokguru.
Berjumpa pula dengan MB Selangor Mohamed Azmin Ali (Minali), bersama beberapa orang pegawainya dan beberapa politican lain yang sedestinasi dengan saya untuk menemui Tokguru. Di lapangan terbang itu juga kami sempat bersolat Subuh dengan diimamkan oleh Salahuddin Ayub.

Turut sama muncul Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

Pertemuan pagi tadi di lapangan terbang itu tidak seperti biasa, kami seakan hilang ceria dan kemurungan. Masing-masing sebak dan sedih dengan kehilangan Tokguru Nik Abdul Aziz. Belum habis terkejut dengan nasib dialami Anwar Ibrahim kini ia ditambah pula dengan dukacita kehilangan bekas MB Kelantan 22 tahun itu.

"Dia seorang pemimpin yang mulia. Saat saya menghadapi fitnah, Tokgurulah yang menasihati saya dan memberi keyakinan dan kekuatan kepada saya untuk terus berjuang," begitulah kata Minali.

"Dan apabila ibu saya dieksploitasikan oleh musuh untuk memburuk-burukkan saya, Tokguru telah meminta saya bersabar dan agar terus mengasihi ibu dan pergi ke rumah ibu dan peluk dan sayangi ibu," cerita Azmin lagi matanya mula berkaca mengenalkan nasihat Tokguru kepadanya.

Minali adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang terawal berangkat ke Kota Bharu untuk menghadiri pengembumian dan memberi penghormatan kepada jenazah Tokguru. Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail katanya tiba ke Pulau Melaka menjelang malam. Dalam pada itu Perdana Menteri Najib Razak juga ikut sama memberi penghormatan terakhir bersama Mustapa Mohamed, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain.

Keadaan di Kota Bharu tadi luar biasa daripada hari biasa. Suasana di lapangan Sultan Islam Petra Pengkalan Chepa penuh sesak dengan orang ramai. Semuanya untuk ke Pulau Melaka. Di lapangan terbang lagi sudah mendapat maklumat jalan untuk menuju ke kediaman Tokguru di Pulau Melaka sudah ditutup dan hanya kenderaan yang mempunyai pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk. Itu pun terpaksa berhenti jauh dan harus berjalan kaki kira-kira lima kilometer.

Mendengar itu saya sudah merasakan harapan untuk menatap buat terakhir kali wajah Tokguru kecintaaan itu sudah tidak mungkin lagi. Kesesakan dan keadaan yang tidak ubah seperti di Padang Arafah dipenuhi dengan puluhan ribu rakyat yang dari segenap penjuru negara menyebabkan saya tidak mungkin dapat menjengah masuk. Khalidnya pula sekana mahu segera jasadnya disemadikan. Tuhan sendiri seakan cemburu untuk tidak mahu membiarkan jasad Tokguru lama dinikmati orang ramai.

Sedih dan terkilan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun tidak mengapa penatapan wajahnya itu adalah simbolik semata-mata sedang wajahnya sudah sekian sebati dalam jiwa ini sebagai seorang murid, sahabat dan pengkagumnya.

Dalam perjalanan terus mengharungi manusia yang memutih bagaikan ladang kapas, hati terus berdoa dan memohon maaf kepada Tokguru; maafkan aku Tokguru, kerana tidak sempat untuk menatapnya untuk terakahir kali. Ketika ini juga sebaris dialog kepada saya yang penuh nostalgi menjelma menghiris telinga; "kenapa kita nak putuskan persahabatan, kita kena bersiang (bersahabat) saya mati.."

InysaAllah saya akan cerita dan kenangkan kenapa Tokguru sampai meluahkan kata-kata itu kepada saya.

Di sini dulu, biarlah saya rihat, esok catatan balesungkawa ini akan disambung. [wm.kl.11:59 pm 13/03/15]
* Ralat: Berlaku kemasukan gambar yang palsu sebelum ini, atas kesilapan pohon kemaaf.

Tiada ulasan: