Rabu, 21 Januari 2015

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


RAKYAT MALAYSIA JANGAN LAGI JADI HAMBA MAHATHIR DAIM

Posted: 21 Jan 2015 02:52 PM PST





Cikgu Bard muncul mendesak rakyat Malaysia agar tidak lagi mengikut acuan Mahathir dan Daim dalam merencanakan politik ekonomi Malaysia.Kita selama ini hanya mengikut telunjuk beliau , malahan semuanya hanya temberang beliau demi memuaskan nafsu serakahnya dalam mencaturi urusan politik dan ekonomi negara ini. Betul Najib tidak kompetan dalam menguruskan negara, Namun ,kita juga tidak harus mengikut apa yang Mahathir sedang corakkan dalam negara ini.

Sehubungan itu  mengapa Pakatan Rakyat tidak harus menyertai Mahathir-Daim dalam membelasah Najib.

1. Bagi saya, adalah tidak pelik Anwar menyerang Daim dan Mahathir, ia telah pun berlaku semenjak 1998 lagi. Malah, bukan sahaja Daim dan Mahathir tetapi semua sekali kepimpinan UMNO-BN termasuklah Najib sendiri. Tetapi nampaknya apabila Daim dan Mahathir menjadi sasaran sekarang ini, mengapa pula Ariff kelihatan begitu sensitif?

2. Jika menyerang Najib menjadi asas perkiraan politik, kita juga ternanti-nanti selaku orang yang rapat dengan Najib satu ketika dahulu bilakah Ariff akan mendedahkan sebarang dokumen atau bukti salahguna kuasa Najib. Sudah pasti jika Ariff mendedahkannya, kami akan sambut bersama.

3. Lebih pelik, dakwaan Ariff kononnya serangan Anwar pada Daim dan Mahathir ini akan menggagalkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Untuk pengetahuan Ariff, Pakatan Pembangkang pernah menyambut seruan Mahathir satu ketika dahulu. Pakatan Pembangkang telah digunakan sepenuhnya bagi menjatuhkan Abdullah Badawi tetapi apakah hasilnya?

Hasilnya ialah Mahathir dan UMNO yang mendapat laba. Pemimpin lemah dalam UMNO dapat disingkirkan tetapi akhirnya UMNO semakin kuat. BN tetap gagal dijatuhkan. Bayangkan jika Abdullah dibiarkan mengetuai BN dan kita berdepan dengan pilihanraya, tentu suasananya berbeza dan kita sudah pun menerobos Putrajaya.

4. Bagi saya, bukan sahaja Anwar malah semua mangsa buli politik Mahathir seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh, dan juga penjawat-penjawat awam seperti Tun Saleh Abbas, Prof. KS Jomo dan ramai lagi muncul dan menamatkan kecelaruan politik dan pentadbiran negara yang berpunca daripada Mahathir. Mahathir lebih banyak membawa bencana pada negara tetapi hakikatnya dialah yang memperkosa Perlembagaan Persekutuan, sistem keadilan dan penyebab berlakunya kecelaruan dalam politik dan kotor dalam negara.

IPP merupakan satu contoh paling ulung bagaimana Mahathir menjadikan khazanah negara sebagai skim pencen beliau dan kawan-kawan. Bukan sahaja Abdullah, Najib tetapi siapa sahaja Perdana Menteri dari BN selepas Mahathir akan berhadapan masalah bagaimana mahu berdepan dengan sedutan subsidi milik rakyat kepada IPP ini.

5. Mengikut logik Ariff, Pakatan Rakyat perlu berseronok dan menari bersama Mahathir-Daim untuk menjatuhkan Najib. Ramai yang menyangkakan Pakatan Rakyat yang menggunakan Mahathir untuk menjatuhkan Najib.

Tetapi hakikatnya, dalam tidak sedar, Mahathir sebenarnya yang sedang menunggang mereka bagi melengkapkan nafsu kerakusan kuasa di hujung usia. Tidakkah Ariff sedar akan skil dan strategi politik Mahathir ketika mahu melengkapkan percaturan politiknya, dia akan menggunakan apa sahaja termasuk juga musuh. PAS seawal dari era Tunku Abdul Rahman merasa amat bangga sekali apabila Mahathir menggunakan pentasnya menyerang Tunku.

Tetapi ia adalah kenikmatan sementara semata-mata. Selepas sahaja lengkap cita-citanya, Mahathir kembali menggodam PAS. Ketika menyerang dan membunuh di Memali, Mahathir langsung tidak pernah ingat bahawa dia pernah menggunakan pentas PAS untuk naik ke puncak kuasa. Ariff sepatutnya lebih maklum seni politik Mahathir kerana Ariff juga pernah berada di dalam kepompong UMNO satu masa dahulu.

6. Ariff harus ingat Mahathir membuat bising hanya untuk kepentingan dirinya dan kroni. Ini bukanlah kali pertama dia membuat kecoh semasa era Najib ini. Sebelum ini, Mahathir bising, bila diberi Proton maka dia pun diam. Kemudian, dia membuat bising lagi, apabila syarikat berkepentingan anaknya mendapat projek Petronas bernilai berbillion Ringgit, dia senyap. Sampai bila kita mahu menjadi perkakas Mahathir?

7. Mahathir juga membangkitkan soal rasuah tetapi dialah bapa dan cikgu kepada semua pemimpin negara dari UMNO-BN yang ada hari ini. Dialah yang mengajar untuk menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan amalan kronisme. Mahathir juga membangkit soalan legasi. Menyerang Najib supaya Najib tidak memberikan laluan untuk untuk menaikkan sepupunya Hishamuddin. Tetapi, lupakah Ariff bahawa satu masa dahulu,Mahathir pernah meroyan kerana mahukan anaknya diberikan tempat dan kuasa?

8. Satu lagi persoalan yang saya mahu dijawab oleh Ariff, adakah jika kali ini kita sekali lagi bermain dalam percaturan Mahathir ini, menekan Najib sehingga Najib tersingkir, Ariff boleh menjamin bahawa Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya?

9. Najib juga perlu sedar jika semua perancangan Mahathir-Daim ini menjadi sekali lagi, tahun ini merupakan tahun terakhir pemerintahan Najib. Maka, saya menasihatkan buanglah ego itu jauh-jauh demi kepentingan negara yang telah dihancurkan oleh Mahathir dan kroni. Najib harus memberi laluan kepada Anwar, Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan lain-lain untuk kembali meletakkan Malaysia kepada landasan yang terbaik.




Saya sebagai rakyat yang sentiasa mahu melihat parti politik warisan penjajah, Barisan Nasional ini tumbang. Dan strategi yang paling ampuh ketika ini adalah untuk mendiamkan Mahathir dan kroni. Himpit mereka sehingga segala harta kekayaan yang mereka kaut secara salah dipulangkan kepada rakyat.

Sekian

Che'GuBard
Pengasas SAMM
Bekas MPP PKR Pusat

Najib dan Anwar Bakal 'Cium Mulut'?

Posted: 21 Jan 2015 12:57 AM PST

shahbudin.com


Ungkapan politik selalu mengingatkan,  tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi.

Orang-orang lama juga ada berpesan, dunia politik ini untuk mereka yang tebal kulit mukanya. Ia hanya sesuai untuk mereka yang boleh berpura-pura, sanggup buang kawan dan sentiasa terbuka untuk berbaik dengan musuh.

Yang banyak pengalaman pula ada berkata, kalau dalam matematik,  dua darab dua bersamaan empat, tetapi dalam politik jawapannya boleh jadi lain daripada angka itu.

Begitulah selalunya perjalanan politik. Paling kerap berlaku ialah kawan bertukar jadi lawan dan lawan bertukar jadi kawan. Dua orang yang bergaduh boleh berbaik bila musuh yang dihadapi adalah orang yang sama.

Dalam perseteruan antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim sejak bertahun-tahun sebelum ini serta berdasarkan rentetan peristiwa antara keduanya, barangkali di luar pemikiran semua orang tentang kemungkinan kedua-duanya boleh bersatu dan bekerjasama.

Apatah lagi penyokong Anwar dan Najib juga sama-sama agresif menyerang, mencerca dan memaki-hamun kedua-dua pemimpin itu. Jika penyokong Najib membuat serangan dengan antaranya berkaitan dakwaan liwat dan mengedarkan video seks, penyokong Anwar pula membalasnya dengan menuduh Najib sebagai "pembunuh" dalam kes Altantuya, dikawal Rosmah dan banyak lagi.

Tetapi perkembangan mutakhir ini semakin memperlihatkan Najib dan Anwar bakal bersatu dan saling "cium mulut"  antara satu sama lain. Puncanya tidak lain kerana kedua-duanya sudah mempunyai musuh yang sama - Mahathir dan Daim.

Media arus perdana yang dulunya melanyak Anwar dan parti pembangkang habis-habisan, terutama dalam isu liwat dan video seks, kini tiba-tiba memberi ruang seluas-luasnya kepada PKR dan Ketua Pembangkang itu mengenai isu rasuah melibatkan Daim Zainuddin. Tindakan media arus perdana ini secara logiknya tentulah mendapat lampu hijau daripada Najib terlebih dahulu.

Dengan Anwar pantas menyambut sedia menyerahkan bukti yang dimilikinya mengenai kekayaan Daim dan sekali lagi publisiti meluas diberikan oleh media arus perdana, ia umpama salam dan "kenyit mata" Najib sudah pun disahut dengan mesra dan penuh makna oleh Ketua Pembangkang itu.

Beberapa pemimpin UMNO juga turut mengkritik Mahathir melalui akhbar arus perdana sedangkan selama ini mereka hanya diam mengenai kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib.

Blog dan pengamal media sosial pro Najib kini lebih terbuka dan berani menyerang Mahathir serta Daim, termasuk mengungkit isu-isu lama semasa keduanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Dalam masa yang sama, serangan media pro Najib kepada Anwar agak reda dan berkurangan sejak kebelakangan ini. Mahathir dan Daim lebih dimusuhi berbanding Anwar.

Sementara Mahathir dan Daim saling bergilir menyerang Najib dengan pelbagai isu kelemahan dalam kerajaan, Anwar pula hanya berdiam saja. Meskipun ada juga pemimpin pembangkang lain turut bercakap soal 1MDB misalnya, tetapi Anwar nampaknya lebih berminat tumpang sekaki dalam isu melibatkan Daim daripada turut menyerang Najib.

Dalam percaturan kuasa dan kepentingan peribadi, walaupun bergasak bagai nak runtuh dunia, realitinya tidak mustahil Najib dan Anwar boleh berbaik dan menukar hubungan lawan menjadi kawan. Selain musuh yang sama, mereka juga ada kepentingan masing-masing yang boleh dijadikan tawar-menawar.

Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pernah bersama untuk menentang Mahathir setelah bermusuh sekian lama dalam UMNO. Mahathir dan Ku Li yang bermusuh boleh berbaik dan Musa Hitam yang dipecat juga boleh kembali menyokong Mahathir. Anwar yang selama bertahun-tahun memusuhi Pas dan DAP, segera menggamit mereka sebagai rakannya sebaik dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

Semuanya dengan mudah boleh berubah apabila kepentingan atau musuh menjadi sama.

Dalam realiti sekarang, Najib hanya ingin terus berkuasa di Seri Perdana tetapi berdasarkan keputusan PRU 13 lalu, halangannya kini lebih sukar kerana tiada lagi sokongan daripada Mahathir dan Daim.

Anwar pula hidup mati politiknya bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwatnya yang dijangka diketahui tidak lama lagi. Sementara Najib masih menghitung-hitung untung rugi antara membebas atau memenjara, Anwar tentulah lebih suka dibebaskan berbanding memimpin perjuangan daripada dalam penjara.

Di ketika yang sama, Anwar juga diketahui masih ghairah untuk kembali menggenggam kuasa. Jika Najib sedia berkongsi kuasa dan memastikannya tidak ke penjara, tambahan pula Mahathir dan Daim sudah jadi musuh bersama, membalasnya dengan sokongan bukanlah masalah besar bagi Anwar.

Dengan serangan Mahathir dan Daim yang kian berterusan ini, Najib juga mungkin terfikir beliau akan kehilangan sama-sekali talian hayatnya jika Anwar berada di dalam penjara. Najib juga tahu hanya Anwar yang sesuai untuk membantunya menghadapi serangan Mahathir dan Daim ini.

Jika kerjasama atau "cium mulut"  itu dapat diwujudkan, mungkin dengan cara Anwar bersama penyokongnya menyertai UMNO atau bekerjasama antara parti dengan PKR, Najib tentunya berasakan peluangnya mengekalkan kuasa menjadi lebih cerah lagi. Ini kerana selain undi Melayu kekal dalam genggaman melalui UMNO, perolehan undi bukan Melayu, undi bandar, separa bandar dan golongan muda kepada kerajaan boleh diperbaiki lagi dengan bantuan Anwar dan PKR.

Selain dibebaskan daripada hukuman penjara, Anwar dan pasukannya juga akan diberikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Anwar mungkin diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri semula manakala yang lain akan dijadikan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan baru itu nanti. 

Meski tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian berjaya meletakkan orang-orang kanannya dalam kerajaan, termasuk Nurul Izzah, Rafizi, Shamsul Iskandar dan lain-lain, ia tetap merupakan kejayaan besar bagi Anwar.

Lagi pula dengan PR yang kian berpecah, terutama hubungan Pas dengan DAP yang sentiasa berbalah, ditambah dengan golongan ulama dalam Pas juga sukar diramal kehendaknya, harapan Anwar untuk berkuasa melalui gabungan itu turut kian kabur kebelakangan ini.

Berbaik dan bergabung bukan saja pilihan terbaik untuk Anwar, tetapi juga sesuatu yang sukar ditolak oleh Najib demi masa depan politiknya.

Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan dan dua darab dua tidak semestinya empat adalah antara hukum politik yang dihalalkan demi kepentingan masing-masing. Hukum yang sama juga, jika menjadi kenyataan, akan menyaksikan penyokong Najib mencium tangan Anwar dan penyokong Anwar mencium tangan Najib. (SH 20/01/2015)

Tiada ulasan: