SGMM
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan didakwa cuba mengalihkan tumpuan kempen memansuhkan sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan mengatakan tidak ada perancangan untuk mengguna pakai sistem pembelajaran kolej matrikulasi di peringkat sekolah menengah.

Ketua Gerak Kerja Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, kenyataan itu sekadar mengalih tumpuan kempen mansuh PBS yang sebenar.

"Sedangkan matlamat kempen tersebut diadakan kerana mendapati sistem PBS  sudah terlambat untuk dibaiki.

"Tindakan ini sangat memalukan kerana pihak yang mengeluarkan kenyataan itu tidak mengikuti perkembangan kehendak SGMM yang mahu PBS dimansuhkan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Mary Yap Kain Ching berkata, banyak perkara perlu diambil kira jika mahu melaksanakan sistem itu.