Kenapa Mesir mahu tangkap Qaradawi? Posted: 22 Dec 2014 11:24 PM PST Oleh HARIS ZALKAPLI
Di dunia Arab, tiga negara kini berada di barisan paling hadapan dalam kempen menentang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin; Arab Saudi, Mesir, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang mendapat sokongan rejim-rejim Arab lain. Di satu pihak lain, Qatar dan Turki menjadi penyokong kuat Ikhwan, dengan Qatar menjadi pendana dan pelindung politik utama kepada Ikhwan di seluruh dunia Arab. Turki di bawah Recep Tayyip Erdogan dan Ahmet Davutoglu turut menjadi sekutu rapat Ikhwan. Hamas berada dalam kem yang sama dengan Ikhwan al-Muslimin, dan pada dasarnya boleh dianggap sebagai sebahagian Ikhwan, walaupun pecahan dalam agak lebih kompleks. Satu pihak lagi ialah Iran dan Syria, dan sekutu-sekutu bukan negara mereka seperti Hizbullah, Hamas, dan Jihad Islami. Kumpulan ini dimusuhi oleh kedua-dua kumpulan di atas kerana pelbagai isu terutama melibatkan penguasaan di dunia Arab. Perkembangan yang berlaku di dunia Arab pada masa ini, yang ada kalanya tidak dikaitkan dengan kebangkitan Arab yang bermula pada 2011 seperti pergolakan terkini di Yaman dan tekanan ke atas Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkait langsung dengan kempen anti-Ikhwan dan anti-Qatar oleh kuasa-kuasa lama Arab. Mesir yang dikuasai Ikhwan, yang disokong Qatar telah ditamatkan riwayatnya dengan kejatuhan Presiden Mohamed Morsi. Kuasa baharu di sana kini disokong oleh Arab Saudi dan sekutunya di Teluk, Emiriyah dan Kuwait. Sejurus selepas Morsi dijatuhkan, Arab Saudi, Emiriyah dan Kuwait segera menjanjikan bantuan sebanyak AS$12 bilion, sebagai usaha mengatasi pengaruh Qatar dan menarik Mesir ke pihak mereka.
Ini bermakna, tindakan Mesir terhadap al-Qaradawi dan Ikhwan ini berkait langsung dengan kepentingan bersama Saudi, Emiriyah dan Kuwait yang kini menjadi pendukung Mesir.
Dalam usaha mengekang kebangkitan Qatar dan Ikhwan, pakatan Saudi, Mesir dan Emiriyah meningkatkan tekanan ke atas Qatar yang kini diperintah oleh emir baharu yang jauh kurang pengaruhnya berbanding emir sebelumnya. Qatar menjadi sasaran penting kerana sebagai pendana dan pendukung Ikhwan, Qatar yang lemah akan bermakna Ikhwan di seluruh dunia Arab akan kehilangan penaung dan turut menjadi semakin lemah. Qatar mempunyai dua aset penting sebagai instrumen dasar luarnya yang digunakan untuk mengukuhkan pengaruh, sambil membina orde baharu Ikhwan di dunia Arab, yakni stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan al-Qaradawi. Tindakan ke atas al-Qaradawi mampu melemahkan Qatar yang bergantung kepada ilmuan ternama ini untuk keabsahan dan prestij dalam dunia Islam. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar semakin tidak disenangi negara-negara Arab lain kerana dasar luarnya itu, tetapi tindakan terhadapnya hanya dapat dilakukan dengan lebih kuat selepas emir lama turun takhta dan pakatan baharu dikukuhkan antara negara-negara Arab anti-Ikhwan. Antara rungutan utama Emiriyah ialah al-Qaradawi yang lantang bersuara menyokong Ikhwan di negara jiran Qatar itu, selain menunjukkan sokongan kepada Ikhwan di Mesir, negara asalnya yang kini dikuasai oleh kem anti-Ikhwan. Al-Qaradawi telah menunjukkan sokongan terhadap dasar luar Qatar dan Ikhwan serantau. Beliau memberi sokongan kepada Ikhwan di Emiriyah, Mesir dan menyatakan sokongan jelas kepada Erdogan semasa menjadi perdana menteri Turki dalam kes protes di Gezi, yang disifatkan Qaradawi sebagai satu "plot antarabangsa" untuk menjatuhkan Erdogan.
Tindakan memanggil pulang duta dari Qatar diketuai oleh Saudi beberapa bulan lalu memulakan satu tindakan bersepadu terhadap negara pangkalan Ikhwan itu. Tindakan protes itu didorong oleh isu utama dasar luar Doha yang menyokong Ikhwan, dengan al-Qaradawi menjadi satu senjata pentingnya. Selepas itu, dapat diperhatikan yang Qatar mula menunjukkan perubahan sikap, walaupun sedikit, dalam mengimbangi hubungannya dengan Ikhwan dan negara-negara jiran yang bersama dalam pertubuhan serantau Majlis Kerjasama Teluk, GCC. Terkini, Qatar menunjukkan pemulihan hubungan dengan Mesir yang diperintah oleh Presiden Abdel Fatah al-Sisi, yang mengetuai usaha menjatuhkan Morsi pada Julai tahun lalu. Ini didorong oleh tekanan oleh pakatan anti-Qatar dan anti-Ikhwan yang semakin kuat dan bertekad untuk menamatkan gelombang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin di dunia Arab. Kempen inilah juga yang mendorong tindakan diambil ke atas ilmuan al-Qaradawi, dan Interpol kemudian mengeluarkan notis tangkapan beliau. Tindakan ke atas al-Qaradawi ini menunjukkan yang pengaruh Qatar dalam politik serantau semakin lemah pada masa ini, dan negara-negara kuasa lama Arab sedang meningkatkan kembali penguasaan. Hal ini juga sedang menyukarkan lagi politik dunia Islam akibat perpecahan dalaman dan persaingan kuasa yang sengit, menambahkan lagi realiti kompleks dalam era kebangkitan pada masa ini. - Disember 19, 2014 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan