DIALOG RAKYAT |
- PT3 Tanda Kegagalan Muhyiddin?
- Senarai Ranking Sekolah SBP, MRSM Terbaik PT3 2014? Keputusan PT3 Kecewakan Pelajar & Ibubapa?
- Bachok dilanda 'tsunami' kecil
- Diskaun tol 10 peratus di LPT sempena Krismas
- PKR tidak akan keluarkan kenyataan berhubung perbincangan hudud semalam
- Melayu khianati Melayu
- Saham FGV: Pertemuan tidak seperti diharapkan
- Tuduhan berniat jahat lagi zalim terhadap Al-Qaradawi
- Perlukah PT3 dikekalkan?
- PAS Pahang aktifkan tabung banjir Prihatin Rakyat
- Solat hajat, bermunajat agar dilindungi dari musibah banjir
- 'JK pusat PAS tak pernah setuju RUU hudud'
- Banjir: Pahang, Kelantan, Terengganu tambah buruk
- Mahfuz: 1MDB bakal berakhir seperti MAS
PT3 Tanda Kegagalan Muhyiddin? Posted: 23 Dec 2014 05:14 AM PST shahbudindotcomDi sekolah, di rumah, di kedai kopi, berbual sesama rakan dan di media sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka dengan PT3 ini. Simpati ibu-bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban kerja persekolahan sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 atau Pentaksiran Tingkatan 3 sejak tiga tahun lalu bertambah lagi hari ini apabila keputusannya diumumkan. Jika dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak kepada anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur, kini ianya bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara mengejut dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan air mata kesedihan berbanding tangisan kegembiraan Ramai murid-murid yang kecewa dan menangis dengan keputusan yang mereka diterima. Mereka bukannya bersedih kerana gagal dan tidak memperolehi keputusan yang memuaskan tetapi berasa seperti diperbodohkan dan dijadikan bahan ujikaji semata-mata oleh Kementerian Pelajaran. Mereka juga merasa seperti tidak berbaloi dengan usaha dan susah-payah melakukan kerja-kerja sekolah selama tiga tahun ini. Ini kerana sebelum ini Kementerian Pelajaran mengatakan tiada peperiksaan akan diadakan tetapi pada Jun lalu tiba-tiba diumumkan ada pula peperiksaan akan dijalankan. Sudah tentu ini menyebabkan guru-guru menghadapi masalah kekangan masa menghabiskan semua sukatan pelajaran yang ada. Selama dua tahun sebelum ini belajar tanpa berorientasikan peperiksaan bagaikan hanya membuang masa saja. Lebih parah lagi, cara pembelajaran yang diterima murid semasa Tingkatan 1 dan 2 juga didapati berbeza dengan bentuk peperiksaan yang dihadapi. Ini menjadikan bukan saja guru-guru garu kepala, bahkan menyebabkan murid-murid lagi pusing kepala. Tidak hairanlah keputusannya amat mengecewakan sekali, terutama dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Ramai yang gagal atau tidak mendapat keputusan memuaskan dalam ketiga-tiga subjek itu. Tidak seperti selalunya, apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan di mana ramai murid yang bergembira dengan pencapaian mereka, tahun ini semuanya senyap dan sunyi. Tiada lagi tangisan kegembiran seperti selalunya. Sekolah-sekolah yang sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dan melahirkan ramai murid cemerlang dalam PMR turut memperolehi pencapaian yang buruk akibat PT3 ini. Sekolah-sekolah berasrama penuh turut menerima kesan yang sama. Banyak sekolah hari ini hanya dipenuhi kesedihan dan tangisan seolah-olah berlaku kematian atau malapetaka. Dalam masa yang sama, ada sekolah yang terpaksa mengurangkan jumlah kelas Sains serta mengambil murid yang memperolehi gred D dalam subjek Sains dan Matematik untuk Tingkatan 4 pada tahun hadapan kerana kekurangan murid yang memperolehi keputusan cemerlang. Ini tentunya memberi kesan kepada masa depan murid-murid tersebut bagi menghadapi SPM nanti. Ia juga memberi kesan kepada masa depan negara. Sistem penilaian juga turut menjadi pertikaian di mana mereka yang mendapat F dikategorikan sebagai tidak mencapai tahap minimum sedangkan markah yang diperolehi adalah 39 peratus dan ke bawah. Ayat berlapik digunakan untuk mengaburi sedangkan mengikut gred PMR ada subjek yang memperolehi 25 peratus sudah dikira lulus. Secara umumnya, PT3 yang dilaksanakan untuk menggantikan PMR adalah sistem yang gagal oleh Kementerian Pelajaran. Secara langsung ia juga menandakan kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran yang memperkenalkan sistem pembelajaran baru ini. Muhyiddin nampaknya seperti kebanyakan Menteri Pelajaran sebelum ini yang sentiasa terbelenggu dengan keinginan untuk memperkenalkan sistem pembelajaran baru semasa memegang jawatan itu tanpa memikirkan kesannya kepada guru dan murid-murid. PT3 ini juga difahamkan dirangka oleh sebuah konsultan luar negara, McKinskey & Co yang menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang turut diumumkan oleh Muhyiddin sebelum ini. Setiap kali menteri bertukar tangan, setiap kali jugalah pelbagai sistem dan dasar baru cuba diperkenalkan. Namun semuanya dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada guru dan murid dan mereka seolah-olah bahan ujikaji semata-mata sedangkan sepatutnya dasar dan sistem sedia ada hanya perlu diperkemas dan ditambah baik sahaja. Muhyiddin yang nampak gah melonjakkan namanya dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dengan imej kesungguhan terhadap masa depan parti dan Melayu serta berjaya menghalang Najib Razak daripada meneruskan pemansuhan Akta Hasutan 1948, kini sedang menjadi perbualan rakyat tentang kegagalannya sebagai Menteri Pelajaran. Selain PT3 yang dianggap tanda kegagalannya sebagai pemimpin, Muhyiddin juga menjadi kecaman ramai mengenai keupayaan BestariNet yang turut dipertikaikan ramai guru dan murid-murid sedangkan projek itu menelan belanja yang tinggi. |
Senarai Ranking Sekolah SBP, MRSM Terbaik PT3 2014? Keputusan PT3 Kecewakan Pelajar & Ibubapa? Posted: 23 Dec 2014 03:51 AM PST Senarai Sekolah SBP, MRSM Terbaik PT3 2014? Keputusan PT3 2014 Kecewakan Pelajar & Ibubapa. Inilah realiti sistem pendidikan di Malaysia. Memang terbukti hari ini ranking Malaysia dalam PISA adalah kedua paling teruk di Asia Tenggara dan di tangga 52 daripada 65 negara. Sedangkan Vietnam yang negara mereka baru sahaja membangun di kedudukan bawah 20. Apatahlagi negara jiran kita Singapura dan China yang terus mendahului berbanding negara-negara barat. KLIK SIINI : Ranking Sistem Pendidikan di Malaysia (PISA) : Kedua Tercorot Di Asia Tenggara. Punca? Salah Pelajar & Guru! Jadi ia satu perkara yang serius, jikalau tidak dirombak daripada sekarang kita akan bercakap, bercakap dan bercakap lagi tentang masalah dan kegagalan sistem pendidikan di Malaysia pada masa akan datang. Tetapi, biarlah rombakan yang dilakukan itu tidak memberikan tekanan besar kepada para pelajar terutamanya dek kerana pelaksanaan yang tidak sistematik dan teratur Ya….Berita Semasa sedia maklumkan ramai yang melemparkan rasa tidak puas hati disebalik keputusan PT3 2014 yang keluar semalam. Realitinya selama ini, sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Daripada sekarang, negara perlu melahirkan lebih ramai pelajar yang "critical, analytical n creative thinking" bukan hanya menghafal fakta dan nota semata. Insyaallah. Senarai Ranking Sekolah SBP, MRSM Terbaik PT3 2014?Ramai-ramai yang masih lagi tertanya apakah senarai sekolah SBP terbaik dan top ranking bagi MRSM untuk peperiksaan PT3 2014 kali ini? Semakan Berita Semasa terhadap senarai SBP di Malaysia, mendapati jumlah yang dapat semua A menurun dikebanyakan sekolah SBP di Malaysia.
Untuk makluman senarai GPS SBP masih tidak lagi tidak lengkap ketika Berita Semasa perolehi sebelum ini. Walaubagaimanapun, hakikatnya, sekarang ini kita tidak boleh bandingkan lagi sekolah terbaik atau pelajar terbaik PT3 contohnya kerana setiap sekolah mempunyai set soalan PT3 yang berlainan. Tumpukan kepada persediaan pelajar daripada sekarang bagi menghadapi peperiksaan yang lebih penting iaitu SPM kelak. Cuma diharapkan kepada pihak kementerian, perbaiki cara pelaksanaan anda. Berikanlah "masa yang secukupnya" kepada pelajar-pelajar untuk "menghadam" sistem baru PT3 ini yang dilaksanakan secara "ad hoc", diumumkan lewat ini. P/S : Cukuplah dicampakkan tekanan berjihad anak-anak kita hari ini untuk seberapa banyak ilmu di peringkat sekolah, tidak usahlah ditambahkan lagi beban ke atas mereka dek kerana sistem pelaksanaan yang carca merba. Diharapkan, boleh diperbaiki lagi dari segi perlaksanaan. Insyaallah. Amin. PP/S : Zaman untuk membandingkan keputusan peperiksaan di Facebook, Twitter bakal berakhir. Insyaallah. Tumpukan kepada persediaan anak-anak kita ke arah pelajar yang berfikiran aras tinggi, membuat penaakulan. PPP/S : Apa pandangan & cadangan anda secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, disebalik keputusan PT3 2014 kali dan harapan anda di masa akan datang bagi pelaksaan PT3 kelak? |
Bachok dilanda 'tsunami' kecil Posted: 23 Dec 2014 03:46 AM PST ANTARAPOS.COM BACHOK: Ratusan rumah yang terletak berhampiran pantai di Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu dibanjiri air laut berikutan fenomena air pasang dan ombak besar. Malah ada rumah yang musnah dan roboh di Tok Bali, Telong, Melawi serta Bachok akibat dilanda ombak besar. Namun jumlah kediaman yang musnah masih belum dapat dipastikan setakat ini. Fenomena air pasang dan ombak besar ini dikatakan bermula selepas waktu Maghrib petang semalam dan kebanyakan penduduk yang terlibat tidak sempat menyelamatkan harta benda. Menurut seorang penduduk di Kampung Kemayan, Bachok, Nabila Muhamad, 19 tahun, fenomena ini tidak pernah dilaluinya sepanjang tinggal di kampung berhampiran pantai ini. "Lepas maghrib, muncul ombak besar bersama angin ribut, tak sempat nak selamatkan apa-apa, habis kesemuanya. "Takut, tak pernah berlaku kejadian seperti ini," kata Nabila. Perasaan sama turut diluahkan Azmi mohamed, 47 tahun. "Penduduk ramai di kampung ini, dalam 700 ke 800 orang, tapi yang kena 12 keluarga Kampung Kemayan Pantai yang mana kedudukannya tidak sampai 100 meter dengan dengan pantai," kata Azmi. Katanya lagi, fenomena ini dianggap luar biasa, bahkan penduduk di sini memanggilnya sebagai tsunami kecil. Katanya kebanyakan penduduk terlibat tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana air laut yang memasuki rumah mereka terlalu cepat, dan dalam masa 15 minit sahaja, rumah mereka digenangi air sedalam lebih satu kaki. Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Hussain menyifatkan fenomena ini sebagai bencana yang belum pernah berlaku di sini. "Ini satu fenomena baharu, air laut naik ke darat dan banyak menenggelamkan rumah di tepi pantai kawasan Bachok bermula di Kandis meliputi pantai di sebelah pantai timur," kata Dr Ilias. Katanya lagi, beliau akan meninjau kesan kemusnahan hari ini dan membantu penduduk termasuk menempatkan mereka yang terjejas di penempatan sementara. Pada ketika ini, angin bertiup kencang di pesisiran pantai dan fenomena angin kencang ini dijangka akan berlarutan. Justeru itu, penduduk di tepi pantai diminta supaya bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga. |
Diskaun tol 10 peratus di LPT sempena Krismas Posted: 23 Dec 2014 03:44 AM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Pengguna Touch 'n Go dan SmartTag di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), akan menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus sempena perayaan Hari Krismas Khamis ini. Pengarah ANIH Berhad, pemegang konsesi LPT, Nik Fauzi Nik Hussein berkata pemberian diskaun itu akan bermula 12.01 pagi hingga 11.59 malam pada Khamis ini. "Diskaun tol itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat agar pengguna dapat saling menziarahi orang tersayang dan sahabat handai pada musim perayaan," menurutnya dalam kenyataan di sini, Selasa. Katanya, program itu adalah usaha mempromosi bayaran tol secara elektronik agar pengguna dapat menikamati pemanduan lebih selesa. Nik Fauzi turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman sempena musim cuti sekolah ini. LPT bermula dari Gombak di Lembah Klang dan berakhir di Jabor, Terengganu. Orang ramai boleh mengikuti laporan terkini LPT menerusi akaun Twitter |
PKR tidak akan keluarkan kenyataan berhubung perbincangan hudud semalam Posted: 23 Dec 2014 03:42 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: PKR mengesahkan pihaknya mengadakan perbincangan bersabit isu hudud pada Isnin namun tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya. Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata ia berikutan perbincangan itu adalah mesyuarat dalaman, maka ia bersifat sulit dan tidak akan didedahkan kepada umum. Kenyataanya bercanggah dengan apa yang diberitahu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kelmarin bahawa PKR akan mengeluarkan kenyataan media selepas perbincangan itu selesai. "Insya-ALLAH esok (semalam) kami (Biro Politik) akan ada pertemuan politik untuk memperhalusi perbincangan dalam hal ini, pada 3 petang di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. "Kita akan beri kenyataan rasmi selepas pertemuan esok (semalam)," ujar Izzah pada Ahad. PKR dilihat amat berhati-hati dalam menyatakan pendiriannya bersabit hudud apabila meminta draf Rang Undang-Undang (RUU) daripada PAS Kelantan terlebih dahulu, untuk diteliti. Bagaimanapun sebuah portal berita melaporkan sehingga kini PKR belum mendapat naskah RUU itu. Rafizi sebelum ini dalam kenyataan medianya berkata PAS perlu menangguhkan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan, sebaliknya memberi fokus kepada permasalahan rakyat yang lebih "mendesak". Katanya, PAS perlu memberi tumpuan kepada isu-isu seperti kenaikan kos sara hidup dan rasuah dan bukannya hudud. Isu hudud kembali menjadi topik hangat apabila DAP pada Konvensyen Nasional DAP 2014 menggesa PAS menolak hudud jika mahu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). PAS Kelantan bagaimanapun mempamerkan ketegasannya apabila mengumumkan sidang DUN khas pada 29 Disember ini bagi meminda Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014), sebagai persiapan ke arah melaksanakan perundangan Islam itu. |
Posted: 23 Dec 2014 03:38 AM PST 2. Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku sedangkan antara struktur penting institusi negara ini ialah sistem raja berpelembagaan, Sultan dan Raja-Raja Melayu, jawatan Eksekutif seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet majoritinya berbangsa Melayu, jawatan kanan dalam sektor perkhidmatan awam ialah berbangsa Melayu, pegawai tinggi tentera dan polis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan pertahanan negara juga adalah majoritinya orang-orang Melayu, majoriti dalam kalangan 1.42 juta orang penjawat awam ialah berbangsa Melayu sehinggalah ketua di peringkat JKKK di ceruk desa dan kampung ialah berbangsa Melayu. Dalam keadaan sedemikian rupa, bangsa Melayu masih dikatakan sebagai 'pengemis kuasa', maka adalah tidak salah untuk kita mengatakan atas sebab kegagalan Umno lah sebagai punca berlakunya masalah yang didakwa ini. 3. "Bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri", itulah peribahasa yang terbaik untuk dikaitkan dengan apa yang didakwa oleh Tun Mahathir. Yang beliau ceritakan itu tidak lebih kepada membuka aib dan kelemahan Umno yang memerintah selama ini. Bangsa Melayu yang dikatakan kian terpinggir ini dek angkara pengkhianatan, kebodohan dan penyelewengan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada Umno selama 57 tahun! 4. Contoh yang paling mudah, lihatlah apa yang telah berlaku pada nasib Rizab Tanah Melayu.? Hanya tinggal 3.6 juta hektar atau 20 peratus daripada 12.8 juta hektar keseluruhan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung dimiliki penuh oleh orang Melayu. Lihatlah juga diskriminasi dan kegagalan semangat federalisme oleh kerajaan Pusat pimpinan Umno terhadap orang Melayu di Kelantan yang disekat pelbagai bantuan dan kemudahan asas seperti lebuh raya kerana mereka memilih PAS sebagai kerajaan negeri pada tahun 1990. PAS juga tidak pernah lupa bagaimana bayaran royalti ditarik balik ketika PAS menang sebagai kerajaan negeri Terengganu. 5. Begitu juga ketika persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003, negeri yang ramai orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak pula diberikan penambahan kerusi parlimen. Kegagalan Umno ini bukan sahaja melibatkan PAS sebagai musuh tradisi politik mereka menjadi mangsa yang teraniaya bahkan turut melibatkan sekalian rakyat jelata. Pelbagai rekod pengkhianatan, rasuah, seleweng, dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pemimpin Umno itulah sebagai punca utama bangsa Melayu mengalami nasib sedemikian rupa. 6. Bersempena dengan labuhnya tirai tahun 2014 adalah amat wajar untuk seluruh rakyat bermuhasabah khususnya orang Melayu atas apa yang telah berlaku selama ini. Sudah tiba masanya rakyat meninggalkan budaya politik rimba yang menggunakan kuasa sebagai ancaman untuk menakutkan orang ramai yang berani menyatakan pandangan dan teguran yang benar. Pada era globalisasi kini, taktik politik sedemikian sudah lapuk ditelan zaman dan orang sudah beralih kepada politik baru yang berasaskan nilai dan hujjah yang benar. 7. Bersempena dengan kedatangan tahun baru 2015, PAS ingin menyeru seluruh rakyat-jelata agar berani membuat anjakan perubahan kepada satu lembaran baru politik Malaysia tanpa parti politik kuno Umno BN, lalu digantikan dengan Pakatan Rakyat yang menawarkan politik baru yang lebih inklusif dan merentasi sempadan etnik. Selamat menyambut tahun baru 2015. – HARAKAHDAILY |
Saham FGV: Pertemuan tidak seperti diharapkan Posted: 23 Dec 2014 03:17 AM PST KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melahirkan rasa kesal apabila pertemuan yang diatur dengan Felda Global Ventures (FGV) hari ini tidak seperti diharapkan. Presidennya, Mazlan Aliman berkata pertemuan itu yang diatur bagi tujuan mendapatkan gambaran sebenar tentang kejatuhan saham FGV yang semakin merudum, namun ketiadaan pegawai kanan FGV untuk berbuat demikian. Kata Mazlan, pihaknya dimaklumkan kebanyakan pegawai kanan FGV sedang bercuti ketika ini, sedangkan FGV ketika ini berada dalam satu tempoh kejatuhan yang membimbangkan. "Bagaimana ketika saham FGV sedang menjunam jatuh ini, kebanyakan pegawai kanannya boleh bercuti? Jelas mereka menganggap kejatuhan saham ini sebagai satu perkara yang remeh," kata beliau yang ditemui sejurus menyerahkan memorandum kepada pegawai kanan bahagian Sumber Manusia, di Menara Felda, pagi tadi. Bagaimanapun, Mazlan berkata beliau akan mengemukakan satu lagi surat untuk diadakan perbincangan bersama FGV dengan mengharapkan kehadiran Pengerusi Felda sendiri, Tan Sri Mohd Isa Samad untuk sama-sama bertukar pandangan. Dalam pada itu, beliau turut mengatakan jika permintaan tersebut tidak diendahkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil langkah lebih drastik bagi memastikan hak hampir 1.5 juta peneroka terbela. Selain Mazlan, turut serta pada pertemuan itu Penasihat Ekonomi Anak, Dr. Rosli Yaakop serta barisan kepimpinan Anak. Ketika ini, harga saham FGV mencatatkan kejatuhan sebanyak RM2.32, berbanding harga tawaran awam sebanyak RM4.45 sesaham pada 28 Jun 2013. |
Tuduhan berniat jahat lagi zalim terhadap Al-Qaradawi Posted: 23 Dec 2014 03:15 AM PST KENYATAAN MEDIA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT DALAM ISU DR YUSUF AL-QARADAWI البيان الإعلامي لجناح العلماء المركزي للحزب الإسلامي بماليزيا إدانةُ الإنتربول وضعَه الشيخ َالقرضاوي على قوائم الإرهابيين المطلوبين إن جناحَ العلماء المركزي للحزب الإسلامي يدين بشدةٍ محاولةً دوليةً لإرباك العلامة الشيخ الدكتور يوسف القرضاوي بوضعه على قوائم الإنتربول بتهمةٍ غامضةٍ ومغرضةٍ. فالشيخ القرضاوى مِنْ كِبَارِ الْعُلَمَاءِ المجتهدين المعاصرين البارزين في نصرةِ قضايا الأمةِ الدوليةِ حيث يُسمعُ كلامه، و هو عالمٌ محترمٌ موثوق في شخصيته وفي علمه عند الجماهير المسلمة، ومما يدل علی سعةِ اطلاعه وثقةِ العالم الإسلامي بعلمه و ورضا علماء المسلمين واطمئنانهم بفتاواه واجتهاداته انتشارُ مؤلفاته الهائلةِ بما فيها المترجمات إلی لغات عدة، وحصولُه على كثير من الجوائز الدوليةِ من الحكومات و المؤسسات الرسميةِ من عدةِ دول. فإن لمواقفه في قضية من قضايا الأمةِ أثرا كبيرا في الرأي العام الإسلامي ولدفاعه عن حقوق الناس المظلومين ونصرَتِه لهم أثرا في قمع الظالمين. فله موقف سياسي بارز منذ عهد بعيد في قضايا فلسطين المحتلة وجور الماسونيةِ واحتلال أمريكا لعراق، كما له مواقف مسموعة في حادثة انقلاب حكومة صحيحة ديمقراطيا بمصر،ومأساة سوريا وما إلی ذلك، مما يجعل الأعداء َالحاسدين والظالمين من حكام العالم يكيدون له المكائد َ. و الجناح مع ذلك يطالب الإنتربول بسرعة رفعَ اسم الشيخ من قوائم المطلوبين كما يطالب الأمةَ َوخصوصا حكامهم بأن يكونوا صفا واحدا ويدا واحدة في إظهار الرسالة الاعتراضية بخصوص هذه التهمة المغرضة الظالمة والدفاع عن الشيخ ونصرته ورفع التهمة عنه. كتبه الدكتور محمد خيرالدين التاكري رئيس الإعلام لجناح العلماء المركزي بالحزب الإسلامي الماليزي النائب البرلماني لدولة ماليزيا الثلاثاء 1 ربيع الأول 1436 ه /23 كانون الأول 2014 م .......................................................................................................... Kecaman Terhadap Interpol Meletakkan Syeikh Qaradawi Dalam Senarai Pengganas Yang Dikehendaki 1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengecam sekeras-kerasnya percubaan antarabangsa bagi menimbulkan kekeliruan dunia terhadap Dr Yusuf Al-Qaradawi dengan meletakkan beliau dalam senarai dikehendaki oleh Interpol dengan tuduhan yang sangat kabur serta berniat jahat. 2. Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan antara tokoh ulamak kontemporari yang kedepan memperjuangkan isu masyarakat antarabangsa. Pandangan beliau didengari. Personaliti dan keilmuan beliau dihormati dan dipercayai oleh masyarakat Islam. Antara bukti keluasan ilmu dan keyakinan dunia Islam terhadap keilmuan beliau serta penerimaan cendekiawan Islam terhadap fatwa dan pandangan-pandangan kontemporari beliau ialah karya-karya agung beliau yang banyak tersebar luas termasuklah yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan anugerah antarabangsa yang diperolehi oleh beliau daripada kerajaan-kerajaan dan agensi rasmi pelbagai negara. 3. Pendirian beliau dalam setiap isu ummah benar-benar mempengaruhi pandangan umum dunia Islam. Sikap beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak masyarakat yang dizalimi memberi kesan yang besar dalam mengekang golongan yang melakukan kezaliman. 4. Beliau mempunyai pendirian politik yang jelas sejak dulu dalam isu-isu penjajahan bumi Palestin dan kezaliman zionis dan penjajahan Amerika terhadap bumi Iraq. Begitu juga pendirian beliau yang menjadi ikutan dalam krisis kudeta terhadap kerajaan yang dipilih secara sah mengikut lunas demokrasi di Mesir, tragedi di bumi Syria dan lain-lainnya. 5. Keadaan ini mendorong dan menekan musuh-musuh yang cemburu dan golongan yang zalim di kalangan pemerintah dunia berusaha merencanakan pelbagai rencana jahat terhadap beliau. 6. Dewan Ulamak PAS Pusat dalam masa yang sama menuntut Interpol segera membersihkan nama Dr Yusof Al-Qaradawi daripada senarai penjenayah yang dikehendaki. Begitu juga, umat Islam khususnya para pemerintah Islam dituntut berganding bahu sepakat meluahkan mesej bantahan terhadap tuduhan berniat jahat lagi zalim ini serta mempertahankan Syeikh Qaradawi dan membersihkan nama beliau dari tohmahan liar ini. Sekian. Disediakan oleh: Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Ahli Parlimen Kuala Nerus Selasa 1 Rabiul Awal 1436H / 23 Disember 2014 |
Posted: 23 Dec 2014 03:13 AM PST Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, berpandangan banyak perkara yang perlu diambilkira daripada kecelaruan PT3 ini. Bagi beliau rungutan ibu bapa tentang PT3 wajar diambil kira. Beliau mengulas isu ini di dalam facebook selepas membuat tinjauan ke sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi di samping merujuk maklumat beberapa keputusan sekolah berasrama penuh yang terkenal. "Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir. "Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc, diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi. "Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya." Tulis beliau. Prof Agus merujuk kepada keputusan SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi yang biasanya jumlah pelajar yang mendapat 8A melebihi seratus orang, namun kali ini hanya 8 orang sahaja yang mendapat 8A. Beliau bersetuju bahawa PT3 berbentuk subjektif dan memerlukan pelajarnya lebih kreatif dalam berfikir, namun adakah cara ini membantu meningkatkan taraf pendidikan negara? "Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara? Oleh hal yang demikian, Prof Agus mencadangkan supaya suatu kaji selidik yang telus dilakukan dalam kalangan guru dan ibu bapa. "Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya." Ulasnya lagi. Pelajar ini merupakan kumpulan pertama yang mengambil PT3 sejak diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY |
PAS Pahang aktifkan tabung banjir Prihatin Rakyat Posted: 23 Dec 2014 03:11 AM PST Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata bantuan tersebut amat diperlukan bagi membantu mangsa-mangsa terlibat banjir yang sedang kritikal sekarang di daerah Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan. Katanya, paling teruk ialah di daerah Kuantan dengan anggaran hampir 3,000 masih berada di pusat-pusat pemindahan dan banyak kawasan masih terputus hubungan. "Memandangkan hujan masih berterusan di sebelah hulu pada masa ini, dijangkakan semua daerah termasuk Temerloh, Bera dan Rompin akan terlibat banjir. "Ketika ini petugas-petugas PAS sedang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan kehidupan mangsa banjir yang sedang panik dan berdukacita. Paling tenat di Kuantan kerana kebanyakannya sudah ditimpa banjir kali kedua dalam tempoh seminggu ini. "Bayangkan betapa sukarnya mereka, terutama menjelang beberapa hari lagi sesi persekolah baru dibuka. Jadi kepada sesiapa yang simpati dan prihatin hulurkanlah bantuan setakat mampu bagi meringankan beban mereka melalui Prihatin Rakyat," rayunya. Tabung mangsa banjir Prihatin Rakyat dibuka tahun lalu beroperasi di Darul Hikmah, Kerdau apabila hampir 50,000 orang terlibat dalam bencana tersebut dengan lebih 30,000 orang daripadanya dari daerah Kuantan. Bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang menderita bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic). – HARAKAHDAILY |
Solat hajat, bermunajat agar dilindungi dari musibah banjir Posted: 23 Dec 2014 03:07 AM PST KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menyeru semua pihak kepimpinan dan rakyat khususnya pihak yang berwajib agar menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid dan surau di seluruh Kelantan bermula pada hari ini bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi. Beliau berharap pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Halaqat, para guru pondok dapat mengepalai masyarakat bagi tujuan memudahkan urusan solat hajat tersebut. Ini, katanya kerana banjir di negeri itu masih lagi tidak menunjukkan petanda akan surut bahkan keadaan semakin mencemaskan. "Musibah banjir ini adalah ujian Allah kepada kita semua yang telah ditetapkan bagi menguji keimanan dan kesabaran hamba-Nya. "Oleh itu, kita wajib menerima dengan penuh lapang dada dan tabah," ujarnya kepada Harakahdaily. Jelasnya, Allah berfirman yang bermaksud: Tiada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang ditimpakan di muka bumi dan yang menimpa diri kamu, melainkan telah termaktub di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah teramat mudah bagi Allah. (Surah Al-Hadid: 22) "Oleh yang demikian, bersabarlah dengan musibah ini dan jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan disebabkan banyaknya kemusnahan atau kehilangan harta kita," ujar beliau lagi. Kata beliau, pihak kerajaan sebelum ini telah mengarahkan semua jabatan negeri dan Persekutuan agar turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua lokasi pemindahan. Beliau berkata, junjung kasih dipersembahkan kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, di atas keprihatinan baginda mencemar duli turun meninjau kesusahan rakyat serta memberi sumbangan kepada mangsa banjir. Tambahnya, tidak lupa juga kepada semua pihak termasuk Pihak Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri dan Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Keselamatan, Pasukan Perubatan, pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan dan seluruh sukarelawan yang berada di setiap lokasi banjir dan pusat pemindahan bagi kemudahan dan keselamatan orang ramai. - HARAKAHDAILY |
'JK pusat PAS tak pernah setuju RUU hudud' Posted: 23 Dec 2014 03:03 AM PST MALAYSIAKINI Seorang anggota jawatankuasa pusat PAS berkata mereka tidak pernah bersetuju untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke parlimen. Jawatankuasa pusat PAS sebaliknya dikatakan hanya bersetuju supaya Kelantan membincangkan perkara teknikal dengan kerajaan pusat pimpinan Umno. Kerajaan Kelantan sepatutnya membentangkan kembali hasil perbincangan itu kepada jawatankuasa pusat PAS. Anggota jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan seorang lagi anggotanya yang enggan namanya disebut berkata, ia antara perkara yang sudah dipersetujui. Hatta, yang juga anggota parlimen Kuala Krai, juga menolak kenyataan timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa mereka mendapat restu jawatankuasa pusat. |
Banjir: Pahang, Kelantan, Terengganu tambah buruk Posted: 23 Dec 2014 02:59 AM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk tengah hari ini apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding pada sebelah pagi manakala lima buah kampung di Beaufort, Sabah dilanda banjir tengah malam tadi. Di KELANTAN, mangsa banjir di lapan jajahan meningkat sebanyak 241 orang daripada 20,468 orang pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir tengah hari ini kepada 20,709 orang. Menurut portal banjir kerajaan negeri, pusat pemindahan juga bertambah daripada 70 buah kepada 84 buah tengah hari ini bagi menempatkan kesemua 20,709 mangsa banjir daripada 6,795 keluarga. Bacaan paras air di empat sungai utama di negeri ini melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.34 meter (paras bahaya 9 meter), Sungai Galas di Dabong, Gua Musang pada 42.08 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang 40.27 meter (paras bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 29.10 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 17.95 meter (paras bahaya 16 meter). Sementara jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kuala Krai meningkat seramai 316 orang berbanding 1,328 pagi tadi kepada 1,644 orang tengah hari ini, dan kesemua mereka ditempatkan di 21 pusat pemindahan. Di Tanah Merah jumlah mangsa banjir meningkat kepada 240 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan berbanding 141 mangsa di dua pusat pemindahan, dan di Jeli, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 282 daripada 211 mangsa pagi ini yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan. Jumlah mangsa banjir di Gua Musang berkurangan sebanyak 79 orang iaitu daripada 3,692 pagi tadi kepada 3,513 orang tengah hari ini yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan. Mangsa banjir di 32 pusat pemindahan di Pasir Mas juga menurun kepada 10,497 orang berbanding 10,565 orang pagi tadi dan begitu juga di Tumpat yang berkurangan kepada 3,901 orang di tujuh pusat pemindahan berbanding 3,956 orang pagi tadi. Sementara di Pasir Puteh kekal 556 orang di empat pusat pemindahan di Machang juga kekal 19 orang di sebuah pusat pemindahan. Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Disember lalu kekal empat orang. Di TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat mendadak kepada 11,731 orang berbanding 6,003 pada sebelah pagi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu. Daerah Kemaman mencatatkan peningkatan ketara iaitu 5,487 orang dipindahkan berbanding 1,877 orang pada sebelah pagi tadi. Di Besut jumlah mangsa terus meningkat kepada 495 orang manakala Kuala Terengganu bertambah kepada 2,732 orang dan di daerah Dungun dan Hulu Terengganu masing-masing meningkat kepada 2,205 orang dan 686 orang. Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Marang dan Setiu masing-masing kekal sebanyak 102 dan 22. Jumlah pusat pemindahan di seluruh negeri adalah sebanyak 90 buah iaitu sembilan di Besut, Dungun (19), Hulu Terengganu (14), Kemaman (36), Kuala Terengganu (lapan), Marang (dua) dan Setiu (dua). Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 2,555 orang daripada 598 keluarga di enam daerah termasuk daerah Rompin yang dilanda bencana alam itu hari ini. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, di Rompin sebanyak 169 orang daripada 38 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan yang dibuka pada 12.30 tengah hari ini. Katanya Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 1,421 orang daripada 357 keluarga ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir. "Di Maran melibatkan 594 orang daripada 121 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, Lipis (325 oarang daripada 71 keluarga di tiga pusat pemindahan), Pekan (25 orang daripada lima keluarga di dua pusat pemindahan) dan Jerantut (21 orang daripada enam keluarga di satu pusat pemindahan)," katanya kepada Bernama. Katanya, enam laluan utama di tiga daerah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kuantan membabitkan Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan- Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), daerah Lipis pula membabitkan Jalan Lipis-Gua Musang dan Jalan Lipis-Merapoh dan di daerah Maran ialah Jalan Benta-Jerantut dan Jalan Utama Bandar Maran. Sementara itu, menurut laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, paras air di empat batang sungai utama di Pahang telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan pada paras 75.35 meter (paras bahaya 68.00 meter), Sungai Pahang di Sungai Yap 54.93 meter (paras bahaya 52.00 meter), Sungai Kuantan di Pasir Kemudi 8.79 meter (paras bahaya 8.20 meter) dan Sungai Kuantan Bypass 5.27 meter (paras bahaya 3.50 meter). Di SABAH, sebanyak 137 penduduk membabitkan 49 buah keluarga di lima buah kampung di daerah Beaufort dipindahkan ke Dewan Masyarakat Baru Beaufort sejak tengah malam tadi. Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata selain lima kampung tersebut, banjir turut menjejaskan 23 buah kampung lain dan menyebabkan lebih 10 buah jalan terputus hubungan atau hanya boleh dilalui kenderaan berat. Beliau berkata paras air Sungai Padas pada pagi ini setinggi 9.30 meter melebihi paras bahaya. Ini merupakan kejadian banjir kali keempat berlaku di Tenom dan Beaufort pada tahun ini. Pertama pada Februari, kedua Mei dan ketiga November lepas. - Bernama |
Mahfuz: 1MDB bakal berakhir seperti MAS Posted: 23 Dec 2014 02:51 AM PST 1MDB, MAS KUALA LUMPUR - Nasib syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal berakhir seperti syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airline System Berhad (MAS) yang mewujudkan syarikat baharu jika dalangnya tidak dibawa ke muka pengadilan. Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa jika masalah itu berlarutan hingga 2015, Malaysia bakal berdepan dengan penjajahan ekonomi. "Masih tidak terlambat kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat dan satu suruhanjaya siasatan khas perlu ditubuhkan segera. "Kebimbangan saya ialah ia akan menjebakkan negara kepada penjajahan ekonomi, bila tak dapat keluar masalah ini, ia akan kesan kepada ekonomi apabila pelabur asing hilang keyakinan dengan institusi perbankan negara. "Kesannya cukup besar hingga boleh memerangkap negara hingga terpaksa mencari satu dana untuk selamatkan negara termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini. 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik penuh kerajaan, mencatat kerugian RM665.36 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 berbanding untung RM778.24 juta dalam tahun kewangan sebelumnya. Selain itu, nilai aset kumpulan meningkat kepada RM51.4 bilion berbanding RM44.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya manakala jumlah pinjaman meningkat daripada RM36.2 bilion kepada RM41.9 bilion. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan