Isnin, 17 November 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Iszuree mohon kebenaran cabar pemecatannya

Posted: 17 Nov 2014 03:32 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim telah memfailkan permohonan di mahkamah bagi kebenaran mencabar pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.
  
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kepala Batas pada 14 November lepas melalui peguamnya Mohd Harris Abdullah daripada The Law Office of Mohd Harris.
  
Iszuree mengedarkan salinan afidavit permohonan itu kepada pemberita dalam sidang media di Kepala Batas semalam.

Dalam permohonannya itu, beliau menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai  responden pertama, MPPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.
  
Dalam afidavitnya, beliau menuntut kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan dari semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.
  
Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014  yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden  kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.
  
Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah memperkenankan kedua-dua permohonan itu, beliau juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.
  
Iszuree juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.
  
Dalam sidang media itu, Iszuree berkata tuntutan yang dibuat itu bertujuan menuntut keadilan dan memulihkan semula maruahnya kerana diberhentikan tanpa berpeluang membuat pembelaan.
  
"Ini adalah soal maruah... bukan saya nak tuntut semula jawatan saya itu, jangan menghukum tanpa bicara.
  
"Saya berharap agar keadilan yang diperjuangkan dapat dibuktikan, jangan hanya  cakap tidak serupa bikin," katanya.

Iszuree didakwa disingkirkan daripada semua jawatankuasa tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Bahru baru-baru ini yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.   Bernama

Artis Sembahyang Di Parkir PWTC Beri Penjelasan

Posted: 17 Nov 2014 03:26 PM PST

RAKYATNEWS


alt
 
 
 
Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan tindakannya menunaikan solat di parkir Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ke majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada 7 November lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
 
Zahiril, 29, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Maghrib di kawasan letak kereta tersebut berikutan sudah kesuntukan masa selepas berkejar-kejar dari lokasi penggambaran untuk menghadiri majlis berkenaan.
 
"Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di parkir kerana waktu solat sudah suntuk dan saya sudah mengagaknya. Jadi selepas selesai penggambaran saya pulang ke rumah untuk ambil isteri saya dan ketika itu saya sudah siap-siap ambil air sembahyang.
 
"Selepas sampai sahaja di PWTC saya cari tempat tersorok untuk bersembahyang kerana kalau saya bergegas ke surau sudah tentu penuh, lagi pun saya takut air sembahyang terbatal jika ada yang ingin bergambar ketika dalam perjalanan ke surau," ujarnya kepada mStar Online.
 
Zahiril berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya sedang bersembahyang di kawasan parkir sebelum bermula majlis ASK 2014 tersebar dan dibualkan di laman sosial.
 
Gambar dirakamkan oleh peminat yang melihat situasi itu menyebabkan Zahiril dituduh mahu menunjuk-nunjuk kerana tidak menunaikan solat di surau yang disediakan di PWTC.
 
Jelas Zahiril, dia sendiri terkejut apabila diberitahu tentang gambar itu tersebar dan diperkatakan di laman sosial.
 
"Saya rasa ia tidak elok untuk disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah seperti ini, saya pun tidak perasan siapa yang mengambil gambar tersebut. Kalau benar saya mahu menunjuk-nunjuk baik saya sembahyang di red carpet  sahaja.
 
"Saya sudah cari tempat paling sunyi yang tidak ada orang ramai, namun saya tahu ada pengawal keselamatan berhampiran kerana takut kalau ada apa-apa berlaku ketika sedang solat," katanya.

Blog Papa Gomo Milik Anwar Ibrahim?

Posted: 17 Nov 2014 03:22 PM PST

RAKYATNEWS


alt
 
 
 
KUALA LUMPUR - Individu yang disaman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesalahan memfitnah Ketua Pembangkang itu, Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini mengeluarkan kenyataan berbentuk 'Q and A' di laman Facebooknya berkaitan kes tersebut.
 
Menerusi Facebook Sir Azri, Wan Muhammad Azri dilihat memberi jawapan kepada beberapa soalan yang diajukan oleh kenalannya berhubung kes saman fitnah diantara dirinya dengan Anwar.
 
Antara soalan yang diberikan oleh kenalannnya ialah bagaimana dia ingin menjelaskan jumlah bayaran saman kepada Anwar yang berjumlah RM850,000 dan adakah dia memiliki wang yang mencukupi untuk menjelaskannya?
 
"Jika mahkamah sudah arahkan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tuntut RM850 ribu maka saya akan bayar kepada beliau dengan menjual apa yang saya ada. (Kecuali Punggung).
 
"Tidak cukup wang ataupun aset yang saya ada. Terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau mahu bangkrapkan saya atau pun tidak," katanya menerusi laman sosial itu.
 
Wan Muhammad Azri membuat keputusan untuk melawan Anwar tanpa diwakili seorang peguam kerana yakin mampu melakukannya (lawan) walaupun hanya mempunyai pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiada kepakaran dalam bidang guaman.
 
Menerusi kenyataannya, Wan Muhammad Azri mengakui tindakan dirinya untuk melawan secara bersendirian kerana tidak mampu membayar kos guaman diperingkat Mahkamah Rayuan kerana kos yang agak tinggi dan masih belum melangsaikan baki bayaran pihak peguam di Mahkamah Tinggi yang lalu.
 
"Saya nak tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa jika kita benar tidak ada apa yang kita perlu takutkan walaupun seseorang itu besar pangkatnya dan mempunyai wang yang banyak. Apa yang saya tunjukkan adalah untuk memberikan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita hanya perlu takut kepada Allah SWT dan selain itu kita tidak perlu untuk takut," tambahnya.
 
Wan Muhammad Azri juga yakin pihaknya akan mendapat kemenangan diperingkat Mahkamah Rayuan.
 
"Saya cukup yakin kerana hari ini para hakim dan pihak mahkamah juga tahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari dan rekod terdahulu juga yang dibuat hakim Mahkamah persekutuan menyatakan bahawa "Liwat berlaku namun atas faktor kesilapan teknikal Anwar Ibrahim dibebaskan", katanya.
 
Pada akhir soalan dikenyataan tersebut, Wan Muhammad Azri telah diajukan soalan adakah dia adalah Blogger Kontroversi Papa Gomo?
 
"Saya tidak tahu siapa Blogger Papa Gomo tapi ikut makluman Papa Gomo adalah Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim pemilik Blog Papa Gomo. Jika bukan Anwar Ibrahim macam mana Blogger Papa Gomo boleh ada bermacam koleksi 18SX Anwar Ibrahim?
 
"Muka macam saya tapi bukan saya," katanya ringkas.
 
Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar selepas mendapati Anwar berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.

Pemilik bingung nombor plat kereta sama

Posted: 17 Nov 2014 03:18 PM PST


Pemilik bingung nombor plat kereta sama
 
 
TELUK INTAN - Entah di mana silap, siapa yang melakukan kesalahan menjadi tanda tanya.

Semua persoalan itu pastinya mengundang kebingungan bukan sahaja kepada pemilik dua kenderaan, malah menjadi perhatian orang ramai yang mempersoalkan kenapa nombor pendaftaran sama boleh didaftarkan untuk dua kenderaan berbeza.

Itu yang yang berlaku kepada seorang ejen insurans yang tertanya-tanya bagaimana nombor pendaftaran AJK8033 yang didaftarkan ke kereta jenis Volkswagen Golf miliknya dikongsi bersama pemilik lain. 

Dalam kejadian di Jalan Speedy di sini, Sabtu lalu, dua kereta jenis Volkswagen yang mempunyai nombor pendaftaran sama mengejutkan orang ramai dan mula menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes kini dalam siasatan termasuk mencari punca sebenar persamaan nombor pendaftaran tersebut setelah pengadu (ejen insurans) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Teluk Intan, pada hari yang sama.

Katanya, berdasarkan keterangan pengadu berusia 34 tahun (ejen insurans) terbabit, dia memberitahu menerima maklumat menerusi aplikasi sosial WhatsApp dari rakan-rakannya yang mengatakan terlihat sebuah kereta jenis Volkswagen Golf menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengannya.

Mohd Suhaily berkata, apabila pengadu sampai Jalan Speedy, dia mendapati ada sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran sama namun dimiliki oleh orang lain.

"Pihak polis dihubungi dan bergegas ke tempat kejadian. Pihak kami juga menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang mengaku menggunakan kereta bernombor pendaftaran sama di tempat kejadian dan kereta dirampas," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik asal kereta sebelum dibeli pemilik sedia ada.
 
Bagaimanapun, pengadu iaitu ejen insurans berkenaan tidak ditahan dan hanya diambil keterangan.

Pendidikan Sivik diterap dalam tiga mata pelajaran

Posted: 17 Nov 2014 03:14 PM PST

SINAR HARIAN


Mary Yap Kain Ching Mary Yap Kain Ching
 
 
KUALA LUMPUR - Kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah akan dimantapkan mulai tahun 2017 bagi memperkasa pendidikan sivik dan kewarganegaraan (PSK).
  
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching memberitahu Dewan Rakyat hari ini PSK yang kini merupakan mata pelajaran teras di sekolah menengah tidak akan diajar sebagai mata pelajaran khusus dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
  
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang ingin tahu usaha kementerian untuk memperkasa subjek Sivik dan Kewarganegaraan di semua sekolah menengah bagi memupuk semangat patriotisme.
  
"PSK bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggunjawab mereka dalam masyarakat untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu," katanya. - Bernama

MAS perlu henti caj arak dalam tiket

Posted: 17 Nov 2014 03:11 PM PST


Mohd Azmi Mohd Azmi
 
 
SHAH ALAM - Pendedahan di Dewan Rakyat harga setiap tiket yang dibeli penumpang MAS termasuk kos hidangan dalam pesawat termasuk arak sangat tidak wajar dan perlu diubah serta-merta.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendedahan dibentangkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam Dewan Rakyat minggu lalu jelaskan lagi dasar MAS perlu dibetulkan untuk diselaraskan dengan syariah.

"Memaksa orang Islam beli tiket yang termasuk kos hidangan arak suatu penipuan yang sangat berat implikasinya kepada orang Islam.

"Sudah tentu sekarang penumpang Islam akan merasa sangat tidak selesa bila mengetahui mereka mensubsidi arak untuk penumpang lain.  Harus diingat ada ramai orang bukan Islam yang tidak suka arak tetapi terpaksa juga bayarnya dalam tiket penerbangan MAS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan sendiri perlu buat keputusan untuk hentikan hidangan arak di dalam pesawat MAS.

Beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan isu ini supaya pelanggan Islam tidak terus bersubahat untuk hidangan arak dalam penerbangan MAS apabila membeli tiket.

Wakil DAP dirujuk ke JK DUN

Posted: 17 Nov 2014 03:08 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini merujuk seorang anggota pembangkang, Violet Yong (DAP-Pending) ke Jawatankuasa Keistimewaan berhubung keengganan menarik balik kenyataannya yang menggesa Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meletakkan jawatan.

Speaker Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mengeluarkan perintah itu selepas majoriti anggota dewan mengundi supaya beliau dirujuk ke jawatankuasa selepas gagal menarik balik kenyataan itu yang dibuatnya semasa membahaskan Belanjawan negeri Jumaat lepas.

Semasa perbahasan, beliau berkata "... menteri tidur semasa bertugas. Beliau langsung tidak tahu tentang masalah pembalakan secara haram yang perlu ditangani di bawah portfolionya selama bertahun-tahun."

Anggota pembangkang itu selanjutnya menggesa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, menyingkirkan Awang Tengah daripada kabinet negeri.

Awang Tengah mengemukakan usul itu dan disokong oleh Datuk Fatimah Abdullah (BN-Dalat). - Bernama

Ahli parlimen BN terlepas dengan alasan ‘tanpa niat

Posted: 17 Nov 2014 03:04 PM PST


Oleh Ng Kee Seng


Pernah anda dengan kisah pembuat penkek dengan tiga dapur tetapi hanya ada 2 penutup periuk. Lambat laun dia gagal menyiapkan penkek yang diminta.Makanya, lambat laun kelemahan terdedah juga.

Itulah yang berlaku di parlimen ketika membahaskan 1MDB yang menjadi projek dambaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tempuh hari.

Di negara yang dianggap serba boleh ini, peraturan dicampak keluar tingkap. Ahli politik bermaharajalela.

So, Timbalana Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan telah digesa menghantar dokumen ke parlimen berikutan kenyataan bercanggah tentang bon bernilai USD3 bilion milik 1MDB.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon dokumen itu bagi menentukan samada Maslan telah menyebabkan kekeliruan di parlimen seperti dakwaan Rafizi Ramli (PKR Pandan).

Adakah kita rakyat Malaysia percaya Maslan akan dihukum dengan setimpal?

Beginilah keadaannnya, sepertimana yang dilaporkan akhbar Bahasa Inggeris The Star; "Saya boleh memutuskannya sekarang, tetapi ia tidak baik buat sesetengah pihak. Saya mampu memutuskan isu ini dengan berkata tiada niat bagi mengelirukan parlimen," kata Pandikar kepada Rafizi.

Mana mungkin speaker dari BN memutuskan komradnya bersalah!

Tempoh yang diberi kepada Ahmad Maslan hanya helah bagi melengahkan keadaan dan menunjukkan kononnya terdapat keadilan di dalam membuat keputusan.

Malaysia telah menyaksikan pelbagai permainan BN ketika diasak pelbagai isu, dengan alasan "tiada niat…"

Hanya ahli parlimen BN mampu memberi hujah sebegitu namun tak mungkin ahli parlimen Pakatan boleh melakukannya.

Pandikar memuntahkan sampah kepada rakyat Malaysia yang bijak berfikir.

Timbalan menteri kewangan telah membuat kenyataan bercanggah di parlimen, jadi apa niatnya?

Sukar sangatkah memutuskan Ahmad Maslan bersalah dan perlu dijatuhi hukuman?

Dalam kenyataannya, Ahmad Maslan berkata LOS wujud tetapi kerajaan tidak menjamin bon 1MDB, kerana jaminan hanya dibuat bagi bon sukuk bernilai RM5.8 bilion.

Dan kerajaan akan menjamin 1MDB dengan nilai USD3 bilion, katanya lagi.
Bergurau ke apa?

Itupun, katanya, jika 1MDB melakukan usaha termasuk penstrukturan semula bagi mendapatkan dana membayar balik hutangnya yang tak termampu dilakukan sehingga kini.

Bukankah itu satu jaminan?

Dahulu Malaysia pernah menyaksikan telatah serupa dalam urusniaga berbilion ringgit melibatkan Port Klang Free Zone (PKFZ). Adakah 1MDB menuju masa depan kelam yang sama?- http://bm.theantdaily.com

Keluarga Taib galak pamer kemewahan, di serata tempat

Posted: 17 Nov 2014 03:01 PM PST




Oleh Hazlan Zakaria 



Laman sesawang anti-Tun Abdul Taib Mahmud Sarawak Report mendakwa terdapat bukti salahguna kuasa dan rasuah yang dilakukan bekas ketua menteri yang kini gabenor Sarawak itu.

Ini berikutan sikap ahli keluarganya yang tanpa segan silu mempamer kekayaan di majlis eksklusif seperti Tattler Malaysia Ball di Kuala Lumpur tempoh hari.

Di dalam satu rencana yang dimuatnaik, laman sesawang itu menampilkan adik Taib Datuk Raziah Mahmud-Geneid yang melaram dengan berlian permata.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan majalah bagi golongan bangsawan "Tattler Malaysia". Golongan kaya-raya menjadi bahan ceritanya.

Menurut Sarawak Report, anak perempuan Raziah, Esha Geneid dan sepupunya Yakup turut hadir ke majlis tersebut.

Majlis didakwa meyaksikan mereka menampilkan kekayaan yang tentunya menjolok mata.
Laman sesawang Sarawak Report mendakwa Raziah dan anak perempuannya Elia Geneid mendapat kekayaan hasil tanah yang dirampas dari orang asal Sarawak bagi diusahakan mereka.

Suaminya Robert Gened pula dikatakan turut sama meraih kekayaan hasil bumi negeri tersebut. 

Dengan melaram sebegitu, rencana tersebut berkata keluarga Taib tidak langsung malu menunjukkan kekayaan mereka yang datangnya entah dari mana.

Taib sendiri sering kelihatan dengan Rolls Roycenya yang dihiasi permata. Isterinya yang jelita juga sering mempamer intan berlian.

Menurut Sarawak Report lagi, semasa mula menceburi bidang politik, Taib Mahmud tidaklah sekaya mana.

Laman tersebut mengkritik Taib dan berkata, keluarganya mula mengumpul kekayaan setelah Taib diangkat Ketua Menteri di bumi kenyalang itu.

Antara dakwaan salahlaku yang dilemparkan termasuk menuai hasil bumi Sarawak bagi diagihkan sesama mereka.

Perlu diingati, di Malaysia tiada undang-undang yang mampu menghukum pemimpin atas kesalahan rasuah dengan sewajarnya.

Sementara itu, penuntut dan profesor di Universiti British Columbia di Vancouver Kanada juga berminat mengetahui tentang cara Taib melaksanakan tugasnya sambil meraih kekayaan.

Menurut laporan Bruno Manser Fund, Khamis lalu dalam majlis yang dianjurkan Sekolah Kewartawanan UBC, pengarah BMF Lukas Straumann mempersembahkan bukunya "Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia".

Kata-kata pengenalan dibuat Professor Janette Bulkan, David Rummel dan Mutang Urud, seorang ahli kempen Kelabit dari Sarawak.

Lukas Straumann memberitahu, toko buku terkenal seperti Amazon digesa peguam gabenor Sarawak Mishcon de Reya agar tidak menjual buku tersebut.

Lukas Straumann juga menggalakkan para penuntut agar menyiasat dakwaan di dalam buku tersebut tetapi mereka perlulah bersandarkan fakta. Selain daripada kenyataan yang diraih daripada beberapa saksi, buku tersebut menampilkan rekod awam tentang salahlaku Taib.

Selepas majlis, Straumann bertemu wakil kempen dari Kanada bagi menjalin hubungan lebih erat dengan Bruno Manser Fund. Jelajah tentang wang hasil pembalakan itu akan diteruskan dengan penulis tersebut mengunjungi Berkeley dan Washington DC.

1MDB jamin pelaburannya berhemat, profesional

Posted: 17 Nov 2014 02:55 PM PST

MALAYSIAKINI


 


1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberi jaminan semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional.

"Sesetengah pinjaman adalah dalam bentuk jangka panjang tapi kami percaya komitmen kewangan ini dapat dipenuhi.

"Kami juga dalam proses menambahkan dan mencairkan nilai aset yang kami ambil alih," kata Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi menjawab salah tafsiran terhadap keupayaan 1MDB membayar balik pinjamannya, beliau berkata kumpulan itu sedang meneliti untuk menstrukturkan semula pinjamannya bagi menangani ketidaksesuaian projek pelaburan jangka panjang dan pinjaman jangka pendek.

Beliau berkata projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia serta pelaburan dalam sektor tenaga berbentuk jangka panjang dengan tempoh matang mengambil masa yang lama.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian RM665.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 terutama disebabkan oleh kos kewangan yang besar berjumlah RM2.4 bilion berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan terdahulu.

"1MDB menggabungkan aset Jimah Energy bagi tahun kewangan 2014, mengembangkan secara positif operasi hartanahnya menyebabkan peningkatan perbelanjaan operasi dan kos pembiayaan," kata Lodin.

Nilai asas aset kumpulan meningkat kepada RM51.4 bilion berbanding RM44.6 bilion pada tahun kewangan 2013 dengan pinjaman bertambah daripada RM36.2 bilion kepada RM41.9 bilion.

Pendapatan keseluruhan naik 50 peratus daripada RM2.6 bilion kepada RM4.3 bilion tahun ini mencerminkan kualiti portfolio aset yang sedang dibangunkan dan keutuhan penjanaan pendapatan.

Lodin menegaskan pelaburan yang disimpan di Pulau Cayman sah dari segi undang-undang menerusi subsidiarinya Brazen Sky Ltd atas tujuan cukai dan pelunasan hutang dolar AS.

"Pulau Cayman dianggap sebagai pulau lindungan cukai. Kami dimaklumkan adalah sesuai untuk kami mempunyai syarikat yang didaftarkan di Pulau Cayman dan bagi kami meletakkan dana dalam syarikat ini.

"Ini hanya proses sementara kerana anda perlu ingat dana ini pada asalnya dilabur dalam usaha sama dengan pihak lain," katanya.

Beliau berkata setakat 31 Mac 2014, aset dan liabiliti 1MDB masing-masing berjumlah RM51.4 bilion dan RM48.9 bilion.

Setakat ini 60 peratus atau kira-kira RM4 bilion daripada dana sudah dicairkan bagi pelunasan pelbagai komitmen kewangan 1MDB dan syarikat di landasan untuk mencairkan baki 40 peratus lagi menjelang akhir tahun. - Bernama

Proham: Mansuh Akta Hasutan tak jejas Melayu

Posted: 17 Nov 2014 02:53 PM PST

MALAYSIAKINI


Pemansuhan Akta Hasutan 1948 tidak akan menjejas empat perkara sensitif ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham), Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, oleh itu, orang Melayu tidak perlu khuatir dengan cadangan pemansuhan akta tersebut kerana empat perkara iaitu kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153 Perlembagaan), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III) akan terus terpelihara.

"Bahkan pembentukan akta baharu yang dicadangkan kerajaan seperti Akta Keharmonian Nasional tidak sesekali menyentuh keempat-empat perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Mengenai Akta Hasutan 1948 di Universiti Malaya, di Kuala Lumpur hari ini.

Perbincangan meja bulat itu disertai oleh Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Mohamed Zaman Khan Rahim Khan, Pengerusi Proham, Datuk Kuthbul Zaman dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Nasional (JPMN) Majlis Peguam Malaysia, Syahredzan Johan.

Mengulas gesaan Majlis Perundingan Melayu (MPM) agar pemansuhan atau penambahbaikan Akta Hasutan 1948 dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, Dr Denison yang juga moderator dalam perbincangan tersebut berkata ia tidak sepatutnya timbul kerana hanya pindaan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan memerlukan persetujuan majlis itu.

"Mengikut Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, hanya pindaan kepada empat perkara sensitif orang Melayu yang perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja sedangkan Akta Hasutan 1948 hanyalah akta 'biasa' yang hanya digubal di Parlimen," jelasnya.

Terdahulu, Zaman Khan dalam perbincangan tersebut sekali lagi menegaskan bahawa Akta Hasutan perlu dikekalkan bagi mengelakkan mana-mana pihak cuba menyemarakkan sentimen kebencian antara kaum dan agama.

"Saya tidak mahu generasi akan datang membesar dalam persekitaran yang penuh pergaduhan kerana masing-masing terlalu bebas menyuarakan kebencian mereka," katanya.

Kerajaan sebelum ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. - Bernama

Jika tidak ada penyelesaian, tiada siapa yang akan bercakap tentang UMNO selepas pilihanraya nanti

Posted: 17 Nov 2014 04:15 AM PST




Untuk memenangi pilihanraya yang akan datang merupakan isu terbesar dikalangan pimpinan UMNO di semua peringkat. Berbagai-bagai kenyataan didengari yang datang dari pemimpin setiap peringkat bagi memberikan pandangan dan cadangan bagaimana UMNO boleh mempertahankan kuasa dalam pilihanraya yang akan datang, terutamanya di negeri-negeri yang telah jatuh ke tangan pihak pembangkang.

Yang terbaru ialah penekanan Tajudin Abd Rahman, Ahli Majlis Terrtinggi UMNO yang meminta Najib menukar pimpinan peringkat negeri yang tidak berfungsi dengan baik, yang tidak mampu mempertahankan kekuatan UMNO atau untuk mengambil alih kerajaan-kerajaan negeri yang telah berada di tangan pembangkang itu.

Ini merupakan cadangan yang amat merumitkan kerana jika ditukar pimpinan UMNO negeri-negeri itu satu persoalannya ialah, siapa yang hendak menggantikan pimpinan yang ada sedangkan semuanya adalah dalam kategori yang sama. Menggantikan dengan pimpinan yang lain dalam sesebuah negeri itu tidak akan merubah apa-apa kerana mereka mempunyai budaya yang sama.

Malahan ia bukan sahaja bermasalah diperingkat negeri-negeri, masalah ini juga adalah masalah yang besar diperingkat persekutuan dan tidak ada siapa yang boleh mengganti sesiapa jika dilihat dan dicari dikalangan pimpinan dalam Majlis Tertinggi parti itu. Apa yang disuarakan oleh Tajuddin itu betul, sebetul-betulnya tetapi apa yang Tajudin tidak boleh menjawabnya ialah siapa di kalangan mereka yang boleh menggantikan pimpinan negeri-negeri dan persekutuan itu.

Jika di Perak itu UMNO lemah dibawah pimpinan yang ada Tajudin sendiri tentunya tidak mampu untuk membetulkan keadaannya kerana Tajudin juga merupakan pemimpin yang berbudaya yang sama seperti yang ada. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Perak tetapi juga di negeri-negeri lain dan persekutuan.

Sesungguhnya UMNO sudah kosong dalam hal kepimpinannya dan tidak mungkin boleh melakukan perubahan keatas parti itu lagi. Yang ada kepada UMNO hanyalah pemimpin yang mempunyai kuasa kerajaan yang telah menghilangkan roh dan dan perjuangan serta tidak lagi mempunyai jiwa perjuangan seperti yang telah digariskan oleh parti itu.

Masing-masing pemimpin dalam negeri-negeri dan persekutuan itu menyalahkan sesama sendiri tanpa keupayaan menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi. Mereka merasakan yang mereka sedang berada dihujung tanduk tetapi mereka tidak terjumpa formula penyelesaiannya selain dari menyalahkan sesama sendiri.

Teringat pula cerita pergaduhan diantara 'ayam dengan kambing' Kambing menyalahkan ayam kerana ayam walaupun cantik dengan bulu dan balongnya yang lawa tetapi ayam tidak berkasut dan tidak lengkap sifatnya. Ayam pula membalas yang kambing itu apa kurangnya. Walaupun kambing berkasut dan cantik bulunya dan tanduknya tetapi kambing jantan itu tidak ada rasa malu, kerana menunjukan telurnya yang berbuai-buai itu kepada khalayak ramai.

Akhirnya kedua-dua ayam dan kambing itu akan disembelih dan dimakan oleh manusia yang kelaparan. UMNO juga begitu, akhirnya nanti UMNO itu akan jatuh dan akan dipandang seperti sampah ditepi jalan yang tidak akan ada yang mengambil perhatian lagi.

Pendeknya UMNO sudah sampai ketahap tidak menjumpai jalan penyelesaiannya lagi. UMNO wajar mencari seorang yang boleh mencari penyelesaian kepada isu besar parti ini dan juga kepada masalah-masalah negara yang terlalu besar dan berat untuk diselesaikan. Penyelesaiannya hanya akan mampu dilakukan oleh seorang pemimpin yang tidak mempunyai kontroversi dan dihormati oleh semua pihak.

UMNO terpaksa mencari pemimpin luar dari Majlis Tertinggi bagi proses pencarian jalan untuk mengekalkan UMNO dalam kerajaan. Jika pimpinan UMNO di setiap peringkat benar-benar jujur dan serius untuk melihat partinya terus relevan maka itulah caranya yang ada untuk mencapai matlamat itu.

Tidak mungkin  UMNO boleh kekal dengan BRIM nya kerana itu juga adalah rasuah terbesar terhadap rakyat untuk mengekalkan kerakusan kuasa pimpinan hari ini. Bak kata Tun Dr Mahathir, BRIM merupakan rasuah yang tidak ada tolok bandingnya yang dihalalkan oleh kerajaan kerana kelemahan pimpinan parti itu sendiri.

Barisan pimpinan hari ini tidak akan membawa UMNO kepada 'lubang kubur' yang dalam dan apabila ianya terjadi UMNO tidak akan mampu bangun lagi. Ia terbukti di Selangor. UMNO di negeri itu dianggap seperti 'kucing kurap' oleh rakyat Selangor.

Pemimpin-pemimpinnya terus mendiamkan diri kerana mengalami luka dan kecederaaan dan sedang menumpukan masa menjilat luka-lukanya sendiri. Pemimpin hari ini sanggup dan merelakan partinya hancur semata-mata mahu mengekalkan kuasa dan rakusnya itu.

Najib dan pimpinan hari ini mungkin merupakan pemimpin UMNO yang terakhir dalam kerajaan jika tidak berani dan mempunyai kudrat untuk berundur dan berkorban untuk parti yang telah menaikan beliau dan rakan-rakan mereka sekarang ini.

Tidak ada siapa yang mengambil perhatian terhadap kata-kata dan tindakan Najib sekarang ini selain dari mereka yang mendapat laba yang masih menyokong beliau.

UMNO sedang menghadap penyakit tua, hanya pandai bengis dan marah-marah dengan semua pihak kerana pemikiran dan tubuh mereka sudah tidak lagi berfungsi seperti biasa. Sesungguhnya kepimpinan Najib sedang menghampiri 'brain death' yang hanya mampu kelu dan tidak berfungsi lagi walaupun masih belum diisytihar mati secara resminya.

Ianya hanya hidup diatas 'life support' yakni hanya kuasa-kuasa yang masih ada sebagai parti yang masih dalam kerajaan. Jika 'life support' ini dicabut maka matilah ia. Satu lagi 'life support' yang ada ialah kerana kelemahan Pakatan Rakyat yang dalam 'as good as dead' sekarang ini.

Pandai-pandailah mencari pemimpin yang secocok untuk membawa perubahan dan membawa politik negara ke situasi yang baru dan meyakinkan. Ingat kepada janji Tuhan, yang selagi masih ada manusia yang berzikir kepadaNya walaupun seorang, dunia masih tidak akan kiamat.

Jika UMNO bersedia untuk berubah dan memberikan sokongan kepada sesiapa yang masih mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk membawa perubahan itu, UMNO akan masih kekal dan menjadi relevan. Tanpa melakukannya UMNO akan kiamat.

'Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat'

Posted: 17 Nov 2014 04:13 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas tindakan pemimpin DAP yang mempersoalkan kegagalan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata perkara berkenaan sepatutnya tidak dipersoalkan kerana Abdul Hadi (kiri) mempunyai alasan tersendiri tidak dapat berbuat demikian.

"Dia (Abdul Hadi) tidak datang mesyuarat disebabkan malas atau uzur? dia uzur. Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat.

"Kerja 'orang bodoh' ini (mempersoalkan ketidakhadiran Hadi)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka semalam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Abdul Hadi hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata Abdul Hadi perlu hadir bagi memastikan Pakatan Rakyat, gabungan PKR, DAP serta PAS, berdaya maju dan mendapat keyakinan pengundi.

Guan Eng secara terbuka turut menggesa Abdul Hadi hadir dalam mesyuarat berkenaan selepas beberapa bulan presiden Pas itu gagal berbuat demikian. - Bernama

GST: Panduan pembeli bantu pengguna semak harga

Posted: 17 Nov 2014 04:11 AM PST

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkenalkan Shopper's Guide' (Panduan Pembeli) pada Januari depan untuk meredakan kebimbangan orang ramai terhadap peniaga tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan.

Panduan ini akan menyenaraikan 944 barangan dan perkhidmatan yang terkelompok di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), serta harga barangan berkenaan sebelum dan selepas GST diperkenalkan, menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai (Cukai Tidak Langsung dan GST) Kementerian Kewangan MA. Sivanesan.

"Maklumat ini dapat membantu pengguna untuk menganggarkan perubahan harga akibat (pengenaan) GST. Dengan cara ini mereka akan tahu jika peniaga telah mengenakan caj berlebihan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GST untuk memastikan kelancaran pelaksanaan cukai penggunaan di negara ini, dan memantau manipulasi harga oleh peniaga yang sewenang-wenang mengaut untung.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata Panduan Pembeli ini akan membolehkan pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat perbandingan pada harga barang-barang yang terlibat dengan GST.

"Mereka boleh membuat aduan jika mereka mendapati sebarang kenaikan besar dalam harga dilakukan oleh peniaga," katanya.

PENGURANGAN HARGA

Beliau berkata Panduan Pembeli itu akan diterbitkan pada Januari depan dan akan dipaparkan di dalam portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selama kira-kira enam bulan.

Pengguna akan diajar bagaimana untuk menggunakan panduan ini, kata beliau, dan memaklumkan bahawa pihak berkuasa turut mempertimbangkan untuk mencetak Panduan Pembeli ini.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu peniaga mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana ia akan menyembunyikan faedah sebenar pelaksanaan sistem cukai kepenggunaan ini.

Mengenai perubahan harga, Subromaniam berkata ia bergantung kepada kategori barangan atau perkhidmatan, dan sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dikenakan pada barangan atau perkhidmatan berkenaan.

"Bagi perkhidmatan yang pada masa ini mengenakan kadar enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan, tidak ada cara harga boleh naik. Malah, akan ada sedikit pengurangan dalam harga selepas GST dilaksanakan.

"Ambil restoran makanan segera sebagai contoh... walaupun kini terdapat kenaan kadar enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan, di bawah GST, restoran boleh menuntut kembali sebahagian daripadanya sebagai cukai input. Oleh itu, ia akan memberikan beberapa penjimatan," katanya menjelaskan.

Perlaksanaan GST pada kadar enam peratus akan menggantikan SST mulai 1 April 2015.

PERATURAN MARGIN BERSIH RINGGIT

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada orang ramai bahawa harga 532 item, atau 56 peratus, daripada 944 barang dan perkhidmatan dalam IHP dijangka berkurangan sehingga 4.1 peratus.

Antaranya ialah ubat-ubatan, peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, produk plastik seperti baldi dan pinggan, kasut dan selipar, perabot, lampin bayi, sabun, daging, ayam telur, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. 354 barang dan perkhidmatan mungkin mengalami kenaikan harga tetapi ia akan menjadi kurang daripada 5.8 peratus, kata Najib.

Sementara itu, Subromaniam berkata jika perniagaan di setiap peringkat bekalan rangkaian - daripada pengilang sehinggalah ke peruncit - menaikkan margin keuntungan, pasti ia boleh membawa kepada kenaikan harga.

Bagi menangani isu ini, jabatannya merancang untuk memperkenalkan Peraturan Margin Bersih Ringgit untuk melarang syarikat daripada menaikkan margin keuntungan mereka atas nama GST.

"Ia (Peraturan Margin Bersih Ringgit) dijangka diwartakan sama ada pada akhir bulan ini atau bulan depan. Di bawah peraturan ini, perniagaan tidak dibenarkan menukar margin keuntungan mereka bagi tempoh tertentu sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

"Berkenaan tempoh tertentu itu, kita berfikir untuk 15 bulan tetapi kami belum memuktamadkannya lagi," katanya. - Bernama

Parlimen catat sejarah, sesi jawab lisan sehingga soalan 23

Posted: 17 Nov 2014 04:08 AM PST

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan berakhir sehingga soalan nombor 23.

Ini kerana, sebanyak 10 soalan tidak dapat dijawab disebabkan Ahli Parlimen, Menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ke dewan sewaktu sesi tersebut.

Sebaik tiba soalan ke-13, Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said memanggil satu persatu Ahli Parlimen bagi mengajukan soalan hingga ke soalan 22, bagaimanapun mereka tiada dalam dewan.

Manakala dua soalan daripada Ahli Parlimen Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) dan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) tidak dapat dijawab kerana Menteri Pengangkutan dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta timbalan mereka tidak ada di dalam dewan untuk menjawab soalan.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandika Amin Mulia meminta dewan agar mencontohi negara New Zealand yang berjaya menghabiskan 30 soalan.

"Insyallah, sampai ke soalan ke-30 seperti New Zealand,"katanya sebaik mempengerusikan sidang Mesyuarat di peringkat Jawatankuasa.

Masa yang diperuntukan untuk sesi soal jawab selama satu jam setengah ianya bermula jam 10 hingga 11.30 pagi.

Bagaimanapun, tempoh masa itu kebiasaanya hanya 7 hingga 9 pertanyaan lisan daripada setiap Ahli Parlimen  dan dijawab oleh menteri. - HARAKAHDAILY

Rafizi serah dokumen, rujuk Ahmad Maslan ke JK Hak

Posted: 17 Nov 2014 04:05 AM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah menyerahkan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung usul yang beliau failkan untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Rakyat kerana memberi kenyataan yang salah berhubung tanggungan kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap hutang-hutang 1MDB.

Katanya, dokumen itu disertakan bersama untuk makluman pihak media.

"Saya tidak dapat hadir di Dewan Rakyat pada hari ini kerana masih lagi uzur akibat viral fever sejak beberapa hari yang lalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pun begitu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan kejujuran yang dipertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memutuskan perkara itu dengan seadilnya.

Beliau sedia maklum kenyataan media Ahmad Maslan yang berpendapat perkara itu sepatutnya tidak dipanjangkan.

Namun, katanya soal hutang 1MDB adalah soal negara dan rakyat yang terbesar yang perlu terus diberikan perhatian, bukannya ditutup dengan mudah.

Walau apapun keputusan yang dipertua mengenai usul itu, Rafizi dan rakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain akan terus memberi perhatian membongkarkan masalah hutang 1MDB. - HARAKAHDAILY

Kawasan rendah di Terengganu dilanda banjir kilat

Posted: 17 Nov 2014 03:57 AM PST

SINAR HARIAN


KUALA TERENGGANU - Hujan lebat dan sederhana di kebanyakan tempat menyebabkan beberapa kawasan rendah di Terengganu dilanda banjir kilat hari ini.

Kawasan terbabit ialah kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pulau Duyung, Jalan Kamaruddin dan Bukit Payong di Marang.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah berkata sejak awal pagi, semua stesen hujan mencatat bacaan antara empat dan 176 milimeter (mm) dan sehingga kini taburan hujan masih tertumpu di kawasan pantai.

"Mengikut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, setakat 3 petang ini, data taburan hujan di Stesen Padang Kemunting dekat Batu Rakit merekodkan bacaan hujan 176 mm, Bukit Kecil (146mm) dan Kampung Tok Adis di Kuala Ibai (129mm), tanpa henti untuk tempoh 13 jam.

"Selain itu, stesen data di Institut Pertanian Tok Dor di Besut menunjukkan bacaan 131mm, Pengkalan Berangan di Marang (77mm), Kuala Ping di Hulu Terengganu (75mm), Penarik di Setiu (122 mm) Jerteh (63mm) dan Tembila di Besut (105mm)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua sungai utama Terengganu masih berada di paras normal kecuali Sungai Chalok dekat Setiu yang menunjukkan bacaan 7.45 meter, melebihi paras berjaga-jaga 7 meter dan ia masih menunjukkan peningkatan.

Roslina, bagaimanapun berkata hujan mulai berhenti sekitar 2 petang tadi dan tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

Katanya angin kencang dan laut bergelora dijangka membawa angin Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot kecil.

Semua jabatan dan agensi peringkat negeri dan daerah yang terlibat dengan persediaan banjir telah dimaklumkan untuk terus bersiap siaga, katanya. - Bernama

Zam: Mkini takut taikun di belakang pesaing?

Posted: 17 Nov 2014 03:54 AM PST

MALAYSIAKINI



 


Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin membangkitkan persoalan sama ada Malaysiakini kini takut kepada hartawan di belakang pesaingnya menjelang sambutan 15 tahunnya pada Rabu ini.

Beliau menimbulkan persoalan itu sebagai reaksi kepada tulisan Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan (bawah) berjudul "When only tycoons get to enjoy press freedom" pada 13 November lalu.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam membangkitkan persoalan sama ada Malaysiakini yang "yakin kepada kekuatannya apabila mengenakan bayaran"  akan menyambut ulang tahun dalam keadaan tergugat.

"Apakah Malaysian Insider yang menghidangkan berita dan lain- lain bahan bacaan panas percuma kepada pelawatnya sekarang menggugat Malaysiakini yang mengenakan bayaran?

"Adakah Malaysian Insider yang tulang belakangnya adalah taikun atau konglomerat besar Edge Media Group mengancam masa depan Malaysiakini?" soalnya bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu.

Menulis di blognya, Zainuddin juga mengaitkan pandangan Steven dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1985 mengenai kebebasan media di seluruh dunia.

Soalan Mahathir pada 1993

Mahathir, dalam kenyataan dipetik Zam itu, antaranya berkata, kandungan media diputuskan oleh pihak yang menguasainya, mungkin daripada golongan pemilik, pengarang atau syarikat pembeli iklan.

"Perkara paling penting adalah mereka berupaya menapis kebenaran atau mencipta apa jua berita yang mereka suka," tulis Zam.

Zam juga memetik kenyataan Mahathir (kanan) pada 1993 di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertanya berkaitan pihak yang mengawal media besar antarabangsa.

Mahathir antaranya dilaporkan berkata, hanya segelintir pihak di barat yang mengawal media antaranya dan majoriti besarnya bukan wartawan, atau secara kolektifnya disebut "big brothers".

"Suatu masa dahulu rakyat mengesyaki dan menciumi tangan asing di Malaysiakini tetapi mungkin oleh kerana beberapa sebab yang difahami olehnya sendiri, maka Malaysiakini tidak lagi diperlukan," katanya.

"Bagaimanapun saya percaya Steven Gan mempunyai keupayaan luar biasa untuk mencari new master (tuan baru) yang lebih powerful (kuat), lebih gagah dari Edge Media Group dan dengan itu Malaysiakini juga boleh memberikan perkhidmatan percuma dalam keadaan yang dijinakkan."

Stevan dalam tulisannya mengingatkan pembaca supaya tidak membiarkan kebebasan media dikawal dan dinikmati oleh golongan hartawan semata-mata.

Justeru, kata Steven, mahu atau tidak, pembaca harus menyokong apa yang mereka percaya dan tidak membiarkan dominasi golongan itu.

"Jika mereka tidak membayar untuk berita, banyak hartawan yang bersedia lakukannya.

"Dan akhirnya, hanya hartawan yang menikmati kebebasan akhbar, bukan rakyat Malaysia," kata Steven.

Referendum untuk mahkamah baru syariah?

Posted: 17 Nov 2014 03:47 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pemuda MIC mendesak kerajaan untuk menghentikan sebarang perbincangan untuk membentuk Mahkamah Persekutuan Syariah.

Ini kerana, kata sayap kanan parti India itu, pembentukan itu memerlukan pindaan perlembagaan dan dapat mengubah bentuk sekular dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pemuda MIC juga berkata, undang-undang tuhan tidak sesuai menggantikan undang-undang sekular kerana "manusia tidak boleh bertindak atas nama tuhan".

"Dalam perlembagaan jelas dinyatakan bahawa undang-undang Islam terhad terhadap enakmen negeri dan tidak mempunyai bidang kuasa di peringkat persekutuan," kata Ketua Pemuda MIC Sivarraajh Chandran (kanan).

Cadangan itu dilapor diajukan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat lepas dan diumumkan oleh menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Jamil, lima peringkat mahkamah syariah itu turut melibatkan penubuhan Mahkamah Tengah Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

Laporan Berita Harian sebelum ini melaporkan Jamil sebagai menegaskan, tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah itu harus sama dengan Mahkamah Persekutuan sivil.

Dalam kenyataannya hari ini, Sivarraajh berkata, untuk membuat pindaan, sekurang-kurangnya referendum harus dijalankan untuk melihat sama ada orang ramai benar-benar mahukan mahkamah syariah baru itu.

Beberapa lagi parti yang sinonim dengan masyarakat bukan Melayu sudah tampil menyatakan bantahan masing-masing, termasuk DAP, MCA dan Gerakan sebelum ini.

Pua: '3.8b bon 1MDB diguna bayar hutang'

Posted: 17 Nov 2014 02:30 AM PST

MALAYSIAKINI

 
 
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan RM3.8 bilion daripada RM9.6 bilion perolehan daripada tawaran bon pada 2013 untuk membayar balik hutangnya, yang menurutnya merupakan satu "pelanggaran jelas" terhadap pekeliling yang dikeluarkan kepada pelaburnya berhubung tawaran bon itu.
  
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini beliau berkata menurut penyata kewangan 1MDB yang terbaru, 1MDB Global Investments telah menggunakan RM3.8 bilion daripada jumlah bon keseluruhannya untuk disalurkan kepada syarikat induk, 1MDB, untuk membayar "hutang dan perbelanjaan operasi."
  
Dalam pekeliling berhubung tawaran itu, ia menyatakan bahawa semua perolehan bersih daripada tawaran bon akan digunakan untuk Abu Dhabi Malaysia Investment Company Ltd (ADMIC), yang masih belum ditubuhkan.
  
Persoalannya, tegas Pua, adakah para pelabur bon 1MDB telah dimaklumkan mengenai perubahan dalam penggunaan hasil perolehan daripada tawaran bon itu.
  
Tawaran bon tersebut telah pun dilanda kontroversi, berikutan surat sokongan kerajaan Malaysia untuk mereka, dan juga bayaran oleh 1MDB yang melebihi kadar pasaran kepada Goldman Sachs International berhubung tawaran bon itu.

Pesawat MAS Shanghai-KL patah balik

Posted: 17 Nov 2014 02:25 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Sejumlah penumpang yang mahu ke Kuala Lumpur terkandas di Shanghai Sabtu lalu, selepas pesawat MH387 milik Malaysia Airlines (MAS) membuat pusingan balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong.

Dalam e-mel balas kepada Malaysiakini hari ini, MAS mengesahkan bahawa pesawat itu berpatah balik ekoran anomali teknikal.

MH387 berlepas daripada Pudong di Shanghai pada jam 9.45 pagi dan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3.30 petang.

"Kapten operasi memutuskan untuk kembali ke lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga. Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 11.05 pagi," kata MAS.

MAS tidak menjelaskan berhubung 'anomali teknikal' yang dimaksudkannya.

Jangan main-main dengan saya, kata Adenan

Posted: 17 Nov 2014 02:23 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Dalam perhimpunan yang jarang-jarang berlaku melibatkan hartawan-hartawan balak Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengejutkan hadirin dengan menggelar industri itu sebagai "korup".

Beliau malah memberi amaran kepada majikan-majikan pembalakan bahawa beliau akan "tanamkan rasa takut pada tuhan di hati mereka yang tidak jujur", lapor The Star Online.

Adenan pada Isnin dilapor mengumpulkan bos-bos firma pembalakan "big six" untuk menandatangani "ikrar integriti" mengambil peluang itu memberi amaran tegas terhadap kegiatan pembalakan haram.

Beliau malah menamakan enam syarikat itu sebagai KTS, Rimbunan Hijau, Samling, Shin Yang, Ta Ann dan WTK dan memberitahu mereka supaya "jangan main-main dengan saya".

"Sebahagiannya, sudah tentu bukan semua, berlagak tidak tahu apa-apa.

"Alasannya sangat mudah, sama ada mereka bodoh, bacul atau korup," Adnan dilapor sebagai berkata.

The Star Online melaporkan, kenyataan itu Ia mengejutkan hadiri yang terdiri daripada anggota kabinet negeri, penjawat awam dan beberapa individu terkaya di Sarawak.

Pas Kedah tuntut penulis minta maaf

Posted: 17 Nov 2014 02:16 AM PST


Laporan Sinar Harian edisi Utara, 31 Oktober lalu. Laporan Sinar Harian edisi Utara, 31 Oktober lalu.
 
 
ALOR SETAR - Pas Kedah menuntut penulis buku 'Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah: Inside Story' oleh penulis bebas, Mohd Sayuti Omar (MSO) tampil memohon maaf kerana ia sarat dengan fitnah.

Setiausahanya, Musoddak Ahmad berkata, penulis juga wajar memohon maaf kepada keluarga bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, memandangkan buku itu memfokuskan kepada pentadbiran Allahyarham.

"Keputusan dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kedah. Ketetapan menolak buku berkenaan disebabkan fakta dan maklumat dipaparkan tidak tepat dan beri gambaran negatif terhadap sejarah Pas Kedah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menggesa penulis menarik buku itu dari pasaran.

"Keputusan ini juga selari dengan hasil wacana dalaman anjuran Pas Kedah, Rabu lalu yang menampilkan Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan bekas Exco Pas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai ahli panel," katanya.

Musoddak berkata, pihaknya turut kesal kerana buku itu dicetak dan diedarkan secara meluas dan dikhuatiri bahan fitnah yang terkandung dalam buku itu kelak dijadikan rujukan pihak-pihak tertentu.

"Saya bimbang ia membina persepsi negatif generasi akan datang yang mungkin menjadikan buku itu sebagai kajian berhubung perjalanan sejarah Pas Kedah. Buku berkenaan wajar ditarik balik daripada jualan," katanya.

Tambahnya, Pas Kedah akan menghantar surat rasmi kepada Mohd Sayuti agar beliau memohon maaf selain mengakui terdapat kesalahan fakta, serta perlu memperbetulkan kesalahan fakta tersebut.

Musoddak berkata, pihaknya dengan kerjasama Lajnah Guaman Pas Kedah kini sedang mengkaji untuk menangani isu penerbitan buku itu dari aspek perundangan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi pernah menyelar penulis berkenaan kerana didapati memutar belit fakta dan urutan sejarah selain cuba menggambarkan Pas Kedah bawah pimpinan Azizan yang membentuk kerajaan pada penggal lalu bersikap tidak menghormati pihak lain, terutama DAP.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan buku itu diterbitkan berikutan terdapat percanggahan maklumat selain hanya merujuk kepada sumber yang boleh diragui kredibilitinya.

Bila Johor mahu ikuti Selangor dan P.Pinang iktiraf pembangkang?

Posted: 17 Nov 2014 02:05 AM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM: Kerajaan Johor perlu mengikuti langkah Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengiktiraf kedudukan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

ADUN Tangkak, Ee Chin Li berkata Kerajaan Johor patut mengikuti jejak Kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang membuat keputusan memberi peruntukan tahunan kepada ADUN dari BN di negeri itu.

dewan-dun-selangorEe membangkitkan perkara itu dalam teks ucapan perbahasan Bajet Negeri Johor 2015 semalam.

Katanya, Kerajaan Selangor mengiktiraf kedudukan jawatan Ketua Pembangkang yang disandang wakil Umno di DUN Selangor, dengan pelaksanaan Enakmen Ketua Pembangkang Negeri Selangor.

"Ketua Pembangkang Selangor menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun lain seperti seorang Exco negeri," katanya dipetik Malaysiakini.

Selain itu, tegas Ee lagi, Kerajaan Pulau Pinang turut membuat keputusan memberi peruntukan tahunan kepada ADUN daripada parti Barisan Nasional.

"Bilakah Kerajaan negeri Johor yang selalu berbangga dengan mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri yang pertama di Malaysia dan juga menjadi sebagai model bagi perlembagaan negeri masing-masing hendak mengikut tindakan demikian," soalnya.EZY

Buku dikenakan GST bebankan pelajar

Posted: 17 Nov 2014 02:01 AM PST

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Pengecualian cukai barangan dan perhidmatan (GST) yang terhad ke atas beberapa buah buku sahaja jelas mengelirukan orang ramai dan akan menjejaskan golongan pelajar sekiranya ia dilaksanakan kelak.

GST Grafik BaruTinjauan Selangor Kini di sekitar Shah Alam mendapati kebanyakan pelajar ditemui melahirkan rasa kurang senang dan tidak bersetuju sekiranya pengecualian terpilih itu dilakukan terhadap pembelian buku akademik.

Seorang pelajar, Izzul Ikram Anwar, 23, berkata golongan sepertinya pasti paling terjejas teruk sekiranya GST dikuatkuasakan terhadap pembelian buku mulai tahun depan.
GST
Beliau yang akan menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda pada tahun depan merasakan langkah itu tidak wajar.

Katanya ia akan membebankan golongan pelajar termasuk ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membiayai pembelian buku anak-anak.

"Sepatutnya kesemua jenis buku harus dikecualikan daripada pengenaan GST kerana ia pasti lebih membebankan golongan pelajar yang memerlukan perbelanjaan besar untuk melanjutkan pengajian.

"Buku akademik juga dijual pada harga yang tinggi di pasaran, jadi apabila ditambah dengan GST maka nilai buku itu akan meningkat dan menjejaskan perbelanjaan kami sebagai pelajar," katanya.

GST1Seorang pelajar kolej swasta, Sharifah Munirah Tuan Syed Karami, 22, pula berpendapat amat tidak wajar sekiranya Kerajaan Pusat tetap berdegil untuk mengenakan GST ke atas penjualan buku di pasaran.

Katanya kos sara hidup yang semakin tinggi ditambah dengan kenaikan harga barangan memberi kesan kepada perbelanjaan hariannya yang terhad sebagai seorang pelajar.

"Wang saku bulanan yang saya perolehi dari ibu bapa agak terhad dan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan makan dan minum harian saya.

"Jika ditambah lagi dengan GST pada buku, memang akan terasa sebab baucar buku yang diberikan kerajaan sendiri tidak besar nilainya, hanya cukup untuk membeli dua atau tiga buah buku sahaja," katanya.

GST2Kenyataan itu turut disokong Nur'amirah Mohd Fauzy, 23, yang berpendapat Kerajaan Pusat perlu mencari alternatif lain sekiranya tetap mahu melaksanakan GST ke atas pembelian buku pada tahun depan.

"Kalau nak harapkan baucar buku dengan nilai RM250 itu sahaja sudah tentu tidak mencukupi, jadi saya berharap pihak kerajaan perlu lebih peka dengan menambah lagi peruntukan untuk pembelian buku atau jangan kenakan langsung GST kerana ia menjejaskan pelajar," katanya.

Kerajaan Pusat patut mengecualikan GST ke atas semua buku dan tidak mengehadkannya kepada buku teks, buku latihan, kamus dan buku kanak-kanak sahaja.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata pengecualian terpilih itu mengelirukan orang ramai dan terdedah kepada salah guna akibat kekeliruan pengkelasan buku.EZY

Tiada ulasan: