Selasa, 21 Oktober 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Peminat Muzik Keras Angkat Sumpah Presiden Indonesia Ke-7

Posted: 20 Oct 2014 11:58 PM PDT


Jokowi Angkat Sumpah Sebagai Presiden Ke-7 Indonesia

Presiden baru Indonesia Joko Widodo melambai selepas mengangkat sumpah di Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta hari ini. – Gambar Reuters, 20 Oktober, 2014.


[Bernama] Joko Widodo hari ini mengangkat sumpah sebagai presiden ketujuh Indonesia untuk memimpin negara berpenduduk 250 juta orang itu dalam istiadat di Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi negara itu. 

Joko yang lebih popular dengan panggilan Jokowi dalam kalangan rakyat Indonesia mengambil alih kepimpinan daripada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menjadi Presiden sejak tahun 2004.

Turut mengangkat sumpah di hadapan lebih 1,000 anggota MPR itu ialah Jusuf Kalla sebagai naib presiden.

Kedua-duanya mengangkat sumpah memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun pada istiadat itu yang mendapat liputan meluas oleh semua media tempatan dan asing sambil disaksikan oleh berjuta rakyat republik itu menerusi siaran langsung pelbagai stesen televisyen tempatan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yang menerima undangan peribadi daripada Jokowi, 53, bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu, dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan pada istiadat itu.

Lewat petang ini, Najib juga diberi keistimewaan oleh republik itu apabila menerima undangan untuk membuat kunjungan hormat dan merakamkan ucapan tahniah bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia kepada Jokowi, walaupun pemimpin itu mempunyai jadual padat termasuk untuk menemui penyokongnya dalam pelbagai majlis hari ini.

Antara ketua negara yang hadir bagi menyaksikan istiadat mengangkat sumpah itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

Jokowi, bekas gabenor Jakarta dan gandingannya Jusuf memenangi Pilihan Raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15% daripada sejumlah 133,567,276 undi.

Calon lawannya Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa, yang turut hadir pada istiadat hari ini, memperoleh 62,576,444 atau 46.85%.

Sementara itu, di sebalik kawalan ketat dan sekatan jalan raya oleh pihak keselamatan Indonesia di perkarangan Dewan Perundangan itu serta laluan utama menuju ke kawasan itu, wakil media dan penyokong Jokowi sejak awal pagi lagi berkumpul bagi mengikuti perjalanan istiadat angkat sumpah itu.

Sepanjang istiadat itu, para penyokong Jokowi yang ditempatkan di kawasan khas sambil mengikuti majlis menerusi layar gergasi, tidak putus-putus memberikan tepukan dan sokongan sebaik sahaja wajah pemimpin mereka kelihatan.

Dalam ucapan pertamanya di MPR selepas mengangkat sumpah, Jokowi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua pemimpin negara jiran dan asing yang hadir bagi memberikan sokongan masing-masing pada majlis itu.

Presiden ketujuh republik itu turut berjanji dan menyatakan ikrar untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa dalam setiap usaha bagi mengekalkan keamanan dan kedamaian dunia.

Jokowi juga merakamkan ucapan penghargaan kepada SBY yang disifatkannya menjalankan tugas presiden dengan baik sepanjang tempoh 10 tahun lepas.

Presiden baru itu juga beberapa kali menggulangi perkataan "Kerja, Kerja, Kerja" sepanjang ucapannya sebagai iltizam bahawa sepanjang tempoh kepimpinnnya, beliau akan bekerja keras untuk membawa Indonesia ke era yang lebih baik dan maju sambil berharap rakyat Indonesia terus memberikan sokongan padu. – Bernama, 20 Oktober, 2014.


Wanita Peluk Bekas Teman Lelaki Kahwini Orang Lain

Posted: 20 Oct 2014 11:25 PM PDT


[MyNewsHub] Kisah berlaku di daerah Sulawesi Selatan, Indonesia pada satu majlis perkahwinan yang dilangsungkan pada 17 Oktober lepas.

Pada tarikh tersebut seorang lelaki dikenali sebagai Rais melangsungkan pernikahannya.

Antara yang hadir di hari berbahagianya itu adalah bekas teman wanita Rais dikenali sebagai Risna, 22.

Persis babak sedih dalam drama, Risna tiba-tiba tidak dapat menahan diri lalu memeluk bekas kekasihnya itu di hadapan khalayak ramai termasuk isteri Rais.

Difahamkan, Risna dan Rais telah berpacaran selama tujuh tahun tetapi kerana jodoh tiada, Rais akhirnya berkahwin dengan wanita lain, menurut sumber suarainsan.net.

Tindakan Risna membuat suasana majlis menjadi agak kecoh namun ada juga jemputan turut menangis menyaksikan babak drama realiti percintaan yang berlaku depan mata mereka itu.

Keluarga Rais menyatakan pihak mereka sudah pernah bertemu keluarga Risna untuk datang melamarnya bagi dijadikan isteri selepas mereka berpacaran lama, namun lamaran ditolak oleh keluarga Risna dengan pelbagai alasan.

"Jodoh di tangan Tuhan, bukan manusia yang menentukan," jelas keluarga Rais lagi.


Gambar Risna memeluk Rais di hari perkahwinan lelaki itu yang juga bekas 

kekasihnya yang tersebar di Indonesia.

Di Indonesia, gambar saat Risna memeluk bekas kekasihnya itu menjadi viral dan hangat diperkatakan. – 21/10/14


Ulama Putar Belit, Ampu Seperti Anjing Jelirkan lidah - Dr Asri

Posted: 20 Oct 2014 11:09 PM PDT


[The Malaysian Insider] Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengatakan golongan ulama yang menjadi pengampu dan menyembunyikan kebenaran seperti anjing menjelirkan lidah, meneruskan debat mengenai program "I Want To Touch A Dog" yang dianjurkan di Selangor hujung minggu lalu. 

Bekas mufti Perlis itu berkata Al-Quran menyatakan ulama yang menjual ajaran agama hanya untuk kepentingan dunia sama seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. 

"Menjadi mat rempit, perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyeleweng fakta sehingga manusia tersesat. 

"Maka Al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan kebenaran itu seperti anjing yang menjelirkan lidah," katanya menerusi kiriman di akaun Facebook Dr Maza.com. 

Asri berkata anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badan atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya, seperti juga ilmuan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia. 

Katanya golongan itu sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari habuan yang lain. 

"Pelbagai fatwa mengampu dikeluarkan. Jika pihak yang diampu membuat salah, dia mencari dalil menjustifikasikannya. 

"Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. 

"Jika pihak yang diampu itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil agama. Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain," katanya. 

Semalam, bekas mufti Johor Datuk Nooh Gadut berkata program "I Want To Touch A Dog" anjuran umat Islam di Selangor satu percubaan untuk menghina ulama dan pihak berkuasa agama. 

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) itu berkata, perbuatan menyentuh anjing secara sengaja adalah haram kerana ia merupakan najis berat iaitu najis mughallazah yang dipandang serius dalam mazhab Shafie dan Hanbali. 

"Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini," katanya seperti dilaporkan Berita Harian. 

Katanya jika ulama berpegang atas prinsip ilmu, mereka akan mendapat kemuliaan, namun jika gopoh dengan silauan tawaran dunia, samalah golongan itu seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. 

"Ya, ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. 

"Namun walau apa pun keadaannya, mereka tidak boleh menyeleweng fakta atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah. 

"Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia," katanya. 

Asri berkata beliau bukanlah menyokong kempen menyentuh anjing seperti yang digambarkan media tertentu, namun hanya bercakap dari dimensi teks Islam berkaitan anjing dan bukannya mengenai kempen berkenaan. 

Katanya apa yang cuba dibangkitkan hanyalah untuk menghilangkan persepsi negatif terhadap ajaran Islam berkaitan dengan anjing. 

"Saya tidak menyatakan sokongan atau pun bantahan kepada kempen tersebut kerana saya tidak jelas apakah tujuan kempen sentuh anjing itu dianjurkan. 

"Ini seperti mana saya juga tidak jelas mengapakah jutaan ringgit dibelanjakan untuk membolehkan rakyat melihat panda dari China. 

"Jika saya ingin menyokong atau pun membantah, saya hendaklah jelas dan adil ke atas kedua-dua kes ini," katanya. -21/10/14


P/s: Kadang-kadang pelik apabila orang ramai mempolemikkan perkara seperti ini. Isu manusia bukan muhrim bersentuhan baik dalam perhubungan mahupun dalam filem tidak dipolemik sedemikian rupa. 

Baru-baru ini dilaporkan seorang artis memeluk dua orang wanita dalam sebuah filem - seorang wanita yang belum berkahwin dan seorang lagi sudah bergelar isteri orang. Mengapa hal ini tidak dipolemikkan walhal dosa dan mudaratnya sungguh besar baik dalam agama mahupun dalam institusi masyarakat? Tiad mufti atau agamawan/ahli politik yang berani menegur tindak-tanduk mereka.


Berkaitan:

Asri: Jangan Lupa 'Ulama' Perangai Macam Anjing

[Malaysia Kini] Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam agar tidak lupa "ulama yang bersikap bagaikan anjing" dalam kesibukan membincangkan isu kempen menyentuh bintang itu.

Merujuk sepotong ayat al-Quran, tokoh agama itu menjelaskan ayat tersebut telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah demi kepentingan dunia sepertimana anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.

"Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.

"Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya," katanya dalam laman Facebooknya.

"Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain," tegasnya lagi.

Ulama pengampu

Dr Mohd Asri membidas tindakan ulama yang "mengampu mempertahankan kesalahan pihak yang diampu" dan mencari kesalahan pihak musuh dengan pelbagai dalil.

"Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. Jika pihak yang diampu itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil agama.

"Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain," katanya.

Memetik sepotong ayat al-Quran lain yang mengingatkan ancaman azab Allah terhadap ulama yang menyembunyikan kebenaran, Dr Mohd Asri yang mengakui bahawa ulama bukan malaikat atau nabi yang maksum.

Bagaimanapun, felo Universiti Oxford itu berkata ulama tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah walau apa jua keadaannya.

"Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia.

"Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat.

"Maka al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan kebenaran itu seperti anjing yang menjelirkan lidah," katanya.

Seperti panda, tak jelas...

Sementara itu, mengulas kontroversi acara menyentuh anjing kelmarin, Dr Mohd Asri berkata tulisannya sebelum ini tidak bermaksud menyokong kempen itu, walaupun media didakwa menggambarkan demikian.

"Apakah keperluan program seperti hendak dianjurkan? Ini seperti mana saya juga tidak jelas mengapakah jutaan ringgit dibelanjakan untuk membolehkan rakyat melihat panda dari China.

"Jika saya ingin menyokong ataupun membantah, saya hendaklah jelas dan adil ke atas kedua-dua kes ini," katanya. -21/10/14



Tiada ulasan: