Khamis, 16 Oktober 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


"Tak wajar laksana GST jika mahu bayar hutang kerajaan" - Ku Li

Posted: 15 Oct 2014 10:27 PM PDT


[Malaysia Kini]  Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan tidak sewajarnya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya ia semata-mata untuk membayar hutang yang ditanggung kerajaan.

"Masalah cukai ini, bukan kita boleh buat keputusan dengan mudah kerana dia menyentuh poket setiap seorang, kemampuan setiap seorang. Jadi kalaulah tujuan kita perkenalkan GST kerana nak kumpul duit, kerana nak mengurangkan hutang yang ditanggung oleh kerajaan, itu salah.

"Tetapi kalau kita perkenalkan GST kerana semata-mata kerana nak mengenakan setiap orang rakyat di Malaysia yang berkemampuan supaya menyumbang kepada pembangunan tanah air saya rasa bagus kerana bukan semua orang di Malaysia ini menyumbang.

"Pokoknya, patut ke kita kenakan GST kerana dalam keadaan sekarang kos hidup meningkat? Bila perkenalkan cukai baru, banyak orang marah, tak senang hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ucaptama di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Gua Musang itu turut mempersoalkan sama ada April tahun depan merupakan masa yang sesuai untuk mengenakan cukai tersebut.

Malah, tokoh Umno yang mesra dipanggil Ku Li itu turut menyuarakan rasa kebimbangan orang ramai sekiranya jumlah cukai sebanyak enam peratus itu akan dinaikkan lagi selepas ini.

"Pada April nanti akan dikenakan sebanyak enam peratus. Tetapi entah berapa banyak yang akan dikenakan selepas itu. Itu ramai yang khuatir sebab yang naik tidak semestinya turun. Dia akan naik lagi. Itu yang orang bimbang," katanya.

CGT cukai baru, bukan pengganti
Mengulas bajet alternatif Pakatan Rakyat berhubung Cukai Keuntungan Modal (CGT), kerabat diraja itu berkata cukai itu bukan pengganti yang bagus kepada GST dan hanya dikenakan kepada golongan peniaga sahaja.

"Ia bukan pengganti yang bagus. Ia cukai baru. Mana ada ganti. Sebabnya, yang dicadangkan oleh pembangkang ialah orang yang meniaga sahaja.

"Dulu kita dah guna tapi saya dah hapus benda itu kerana keadaan (ketika itu) kemelesetan. Nak bayar cukai keuntungan macam mana kalau dia tak ada untung pun.

"Jadi tak munasabah. Ia bergantung pada keadaanlah. Kalau keadaan memaksa kita untuk tambah pendapatan negara dengan mengenakan kadar yang lebih tinggi atau cukai yang baru, itu soal pertimbanganlah," katanya lagi.

Ditanya sama ada kini masa yang sesuai untuk melaksanakan CGT, Ku Li berkata keadaan tidak mengizinkan.

"Saya rasa keadaan tak begitu mengizinkan kerana kita belum lagi menjadi lebih maju untuk nak melabur. Pasaran saham sekarang ini tidak begitu bagus," katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, kira-kira10 peratus orang terkaya di Malaysia mengawal lebih 77 peratus nilai saham di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, cukai CGT yang dicadangkan belanjawan alternatif Pakatan jauh lebih relevan dan tidak menyusahkan sebahagian besar rakyat miskin yang terjejas dengan GST. -Zulaika Zulkifli/16/10/14


Lelaki Dibenarkan Cerai Isteri yang Dirasuk Jin

Posted: 15 Oct 2014 08:01 PM PDT


Sekadar hiasan.
[Harian Metro] Dubai: Seorang lelaki dibenarkan menceraikan isterinya selepas mendakwa isterinya dirasuk jin menyebabkan dia enggan tidur bersama.

Lelaki berkenaan memfailkan kes cerai terhadap wanita berkenaan selepas dia berulang kali menolak melakukan seks dan keluarganya memaklumkan dia dirasuk jin.

Menurut rekod, lelaki itu sudah bersabar dan memujuk sekian lama tetapi isterinya tetap enggan tidur bersama.

Wanita itu meminta suaminya berbincang dengan keluarganya yang kemudian mengaku bahawa usaha mengusir jin dari dalam badan wanita itu gagal walaupun sudah berubat berulang kali.

Mahkamah syariah Dubai membenarkan lelaki itu bercerai tetapi mengarahnya membayar wang mutaah sebanyak kira-kira Dh40,000 (RM35,650).

Bagaimanapun, mahkamah rayuan semalam memutuskan lelaki itu tidak perlu membayar wang berkenaan atas alasan wanita itu dan keluarganya tidak berterus terang sebelum pasangan itu berkahwin. - Agensi/16/10/14



Dalam Kopi Ada Bangkai Tikus

Posted: 15 Oct 2014 07:41 PM PDT


[Mstar] SEORANG lelaki tidak menyangka akan menemui bangkai anak tikus di dalam cawan kopi selepas habis menghirup air tersebut yang dibeli dari sebuah restoran makanan segera.

Ron Morais dari Frederiction, Kanada, berkata, anak tikus itu hanya ditemui selepas dia selesai minum kopi tersebut.

"Ketika mula minum, saya menggunakan penutup cawan, tetapi ketika buka penutup itu untuk menghirupnya sehingga habis, saya menemui anak tikus," katanya kepada BBC.

Ron Morais menunjukkan anak tikus di dalam cawan kopinya.

Ron mendakwa, dia kecewa dengan perkhidmatan restoran makanan segera yang terdapat di seluruh dunia itu kerana menyajikan minuman tersebut.

Sementara itu, ibu pejabat rangkaian restoran makanan segera itu telah memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

"Kita akan meneruskan siasatan sehingga mengetahui kebenaran dakwaan tersebut, selain mengambil sampel bukti," jelasnya. -16/10/14



Perompak Tersungkur Ditendang Wanita

Posted: 15 Oct 2014 07:36 PM PDT

PADAH: Suspek yang cuba bertindak agresif ditahan orang ramai dan polis di tempat kejadian.

Perompak Tersungkur Diterajang Wanita Berjaya Ditangkap Orang Awam

[Borneo Post] KUCHING: Seorang wanita bertindak berani dengan menendang perut lelaki yang cuba merompaknya sehingga berjaya ditangkap oleh orang awam di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 20 tahun semasa kejadian dikatakan ingin melintas jalan apabila dia didatangi suspek yang bertopi keledar sekitar jam 9.50 pagi.

Difahamkan, suspek meminta mangsa menyerahkan barang berharga kepadanya dan pada masa sama, mengancam akan mencederakannya jika cuba melawan.

"Mangsa bagaimanapun enggan menuruti permintaan suspek, sebaliknya mengerah sepenuh kudratnya untuk menendang perut suspek yang menyebabkan dia terjatuh.

"Orang awam yang melihat insiden tersebut bergegas membantu mangsa dan berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri," kata sumber.

Suspek yang berusia 23 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Midin kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 dipercayai milik suspek untuk membantu siasatan. - Jeremy Lanson/16/10/14

RAWAT: Suspek dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.




Penjawat Awam Gagal Bunuh Diri

Posted: 15 Oct 2014 07:25 PM PDT



[Borneo Post] MIRI: Hasrat seorang penjawat awam dipercayai cuba membunuh diri tidak kesampaian apabila tali nilon yang digunakannya untuk menggantung diri pada kipas siling, terputus.

Dalam kejadian di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Cahaya, Lopeng di sini pagi semalam, lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun terjatuh selepas tali nilon terbabit terputus menyebabkan kepalanya cedera.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung lehernya menggunakan tali nilon yang diikat pada kipas siling di ruang tamu rumah di tingkat tiga bangunan kuarters berkenaan.

Selepas gagal menggantung diri dan terjatuh, kata Gan, lelaki itu terus berlari ke dapur rumah dan cuba masuk ke rumah jiran melalui balkoni di bahagian belakang.

Bagaimanapun, katanya, tindakan lelaki itu disedari jirannya yang menjerit.

"Selepas itu, dia terus melompat ke sebuah rumah kosong terletak di tingkat dua bangunan kuarters sama. Dia sekali lagi cuba terjun namun berjaya diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Lelaki terbabit kemudian dihantar oleh anggota JPAM ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Gan, penjawat awam terbabit dipercayai mengalami tekanan akibat masalah hutang dan keluarga. -16/10/14



Artis Dakwa Didera Secara Seksual, Saman Penerbit

Posted: 15 Oct 2014 07:22 PM PDT



[Mstar] LOS ANGELES: Penyanyi Kesha pada Selasa lalu memfailkan saman terhadap penerbit muzik, Dr Luke atas dakwaan menderanya secara seksual dan emosi sejak dia berusia 18 tahun selain mengugut untuk memusnahkan karier nyanyiannya, dedahTMZ.

Terkenal dengan lagu-lagu sepertiTik Tok dan We R Who We R, Kesha, 27, mendakwa Dr Luke atau nama sebenarnya Lukasz Gottwald, 41, turut memaksanya menggunakan dadah dan alkohol supaya dapat mengadakan hubungan seks dengannya dalam keadaan dia separuh sedar.

Dr Luke adalah individu bertanggungjawab memperkenalkan Kesha dalam bidang nyanyian dan penyanyi itu turut bernaung di bawah label milik lelaki itu, Kemosabe Records.

Penyanyi itu turut mendedahkan dalam dokumen kepada mahkamah, dia pernah terjaga daripada tidur dalam keadaan bogel selepas Dr Luke memaksanya menelan sejumlah pil.




Kesha (kanan) menjalinkan kerjasama dengan Dr Luke sejak dia berusia 18 tahun.

Malah dia turut mendakwa, lelaki itu sering menghina tentang berat badannya sehingga dia mengalami gangguan pemakanan dan menyalahkan Dr Luke atas masalah itu.

Dalam pada itu, Kesha mendakwa, Dr Luke menghalang dia daripada berjumpa keluarganya dan mengugut untuk merosakkan kerjayanya jika perbuatan itu diketahui orang lain.

Sementara itu, Dr Luke dalam respons terhadap tuduhan Kesha mendakwa penyanyi itu sengaja memburuk-burukkan namanya semata-mata untuk menamatkan kontrak yang ditanda tangani. -16/10/14


Dr MAZA: Mengkritik Ulama Tidak Semestinya Mengkritik Agama Islam, Ulama Itu Manusia

Posted: 15 Oct 2014 06:49 PM PDT


[FreeMalaysiaToday] Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata masa ini kebanyakan ahli politik menjadikan Islam sebagai senjata politik.

Menurut Dr Asri, sepatutnya Islam dijadikan panduan untuk memperbaiki politik dan bukannya dijadikan alat permainan untuk dijadikan sebagai hujah untuk berpolitik.

"Ini kerana saya lihat ada ahli politik daripada PAS dan Umno yang bergaduh dan selepas itu mengeluarkan dalil-dalil mereka. 

"Saya tidak setuju nama Islam dieksploitasi dan digunakan untuk tujuan yang salah," katanya ketika menyampaikan tazkirah di Parlimen.

Tambahnya, mengkritik ulama tidak semestinya mengkritik agama Islam.

"Kita perlu bezakan antara mengkritik ulama dan Islam.

"Tidak salah kritik ulama, dia pun manusia, yang kita tidak boleh kritik ialah apa yang Allah dan Rasul kata," jelasnya.

Ujarnya, beliau menasihati kepada ahli politik supaya berhati-hati dalam menggunakan dalil ketika berpolitik. -Mohmamad Fadli/15/10/14


P/s: Puak UG, jangan taksub!!!



Mengapa Tamrin Keluar PAS? Jawapannya...

Posted: 15 Oct 2014 06:41 PM PDT


Tamrin Tinggalkan PAS kerana Penggantungan Dua Adun Pro-Pakatan


Mohd Tamrin Abdul Ghafar, anak bekas timbalan perdana menteri bercakap kepada media pada sidang media Gerakan Anti Perkauman di Subang Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 16 Oktober, 2014.

[The Malaysian Insider] Kesabaran anak bekas timbalan perdana menteri, Mohd Tamrin Abdul Ghafar sampai ke kemuncak apabila melihat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar.

Tamrin berkata, tindakan PAS yang menggantung keahlian Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad menghantar surat letak jawatan ke Ibu Pejabat PAS semalam.

"Pada saya, tindakan PAS itu amat salah. Apa yang mereka (Adun) buat adalah mempertahankan keputusan muktamar PAS, iaitu mesti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

"Tetapi PAS bertindak sebaliknya. Dua Adun ini mengambil keputusan menentukan PAS bersama PR, itu saja. Jadi apa salahnya?" katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) di Kelab Sunway Lagoon di Petaling Jaya, malam tadi.

Saari dan Hasnul pada 12 Oktober lalu dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS kerana melanggar arahan parti.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti parti, namun masih diberi ruang merayu dalam tempoh 15 hari.

Tamrin berkata, bukan saja krisis Selangor tetapi beberapa pandangan mengenai isu lain juga pernah dikemukakannya kepada pemimpin PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi tidak diambil perhatian.

"Sebelum itu, masalah Pilihan Raya Umum (PRU) begitu juga.

"Ada beberapa perkara yang gagal ditunaikan PAS semasa menabur janji PRU13 lalu. PAS mungkir janji. Itu bukan stail politik saya," katanya.

Beliau berkata, dirinya juga kecewa kerana pemimpin PAS gagal menunjukkan contoh imej sebuah parti Islam yang baik.

"Saya tidak ada masalah dengan PAS. Parti tidak tersasar daripada landasannya, cuma pemimpinnya saja yang lari daripada perjuangan asal.

"Siapa pemimpin itu? Ianya jelas," katanya tersenyum.

Katanya, hasrat untuk keluar parti dinyatakan kepada beberapa pemimpin tertinggi PAS, tetapi tidak ada pertemuan empat mata dengan Hadi atau Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya sama ada tindakannya itu seperti cuba mempengaruhi ahli PAS lain supaya mengikut jejak langkahnya, beliau menafikan.

Katanya, keputusan itu adalah kehendaknya sendiri dan tidak dipengaruhi sesiapa.

"Saya percaya ramai yang tidak gembira dengan apa yang terjadi dalam PAS, ia sangat ketara.

"Mungkin (ramai ahli akan keluar parti) memandangkan ada pemimpin yang membuat ramalan itu tetapi saya tidak mempengaruhi sesiapa, terpulang kepada mereka," katanya yang tidak bercadang kembali semula kepada Umno mahupun parti lain dalam PR.

Sebaliknya, beliau mahu fokus kepada GAP dan memerhatikan perjalanan dunia politik dan bebas bersuara sebagai rakyat awam.

Anak Tun Ghafar Baba itu menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk menarik diri daripada menjadi ahli parti Islam itu berkuatkuasa semalam.

Pada 2012, bekas Adun Ayer Molek dan Ahli Parlimen Batu Berendam Umno itu menyerahkan borang keahlian parti kepada Hadi dalam satu majlis di Gombak.

GAP dilancarkan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa yang mensasarkan agenda utama, iaitu menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran akibat perkauman demi kesejahteraan generasi akan datang.

Menentang perkauman dan ekstremis agama, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu bagaimanapun menegaskan perjuangan GAP tidak menolak prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Barah perkauman ini ada dalam semua budaya, dan perjuangan kami adalah agar semua dapat menyatakan 'Kata Tak Nak Kepada Perkauman'," katanya. – JAMILAH KAMARUDIN/16 Oktober, 2014.



Tiada ulasan: