Rabu, 17 September 2014

edyesdotcom

edyesdotcom


Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera

Posted: 17 Sep 2014 01:34 AM PDT

Kenyataan Umum

17 September 2014


Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera


1. Susulan kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Dato' Fadillah Yusof bertarikh 13 September 2014 seperti yang disiar di laman BERNAMA bahawa langkah menaikkan kadar tol di Causeway adalah hak prerogatif negara Singapura. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor sangat maklum akan hak prerogatif sesebuah negara merdeka seperti Malaysia dan Singapura untuk menentukan kadar tol dalam negara masing-masing. 


2. Namun begitu, situasi di Tambak Johor ini sedikit unik. Penetapan kadar tol di pintu masuk antara negara ini adalah berkadar langsung antara satu sama lain. Ia bukanlah satu amalan asing, sebaliknya telah lama digunapakai. Kerana perjanjian ini maka sudah pastilah, Singapura akan turut menaikkan kadar tol Causeway sebaik sahaja Malaysia menaikkan kadar tol EDL-CIQ. Begitulah juga yang akan berlaku, jika Malaysia bersedia untuk memansuhkan tol di CIQ. 


3. BERNAMA juga menyatakan "Pada masa yang sama, beliau berkata kadar tol di Tambak Johor kekal RM2.90". SAMM Johor menuntut penjelasan daripada Menteri akan tol manakah yang dirujuk oleh beliau dalam kenyataan tersebut. 


4. Umum telah mengetahui bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telahpun mengumumkan kadar caj tol baharu EDL-CIQ berkuatkuasa 1 Ogos 2014. Kenaikan pada kadar 470%. Jadi, adakah Menteri tidak mengetahui kenaikan ini atau Menteri sedang bercakap mengenai kadar tol yang lama?


5. Ataupun secara tidak langsung, Menteri memberikan pengesahan bahawa kenaikan tol EDL-CIQ 1 Ogos adalah untuk menampung pembiayaan pampasan pengambilalihan EDL. Di mana kadar tol yang sebenar adalah RM2.90 untuk kenderaan dari Singapura ke Malaysia. Dan lebihan RM 6.80 itu dibayar kepada MRCB. 


6. Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa kenaikan caj tol di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah untuk penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan di BSI. Hasil carian maklumat SAMM Johor, BSI adalah dimiliki oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti pula diuruskan oleh Advance Maintenance Precision Management. Sedangkan LLM menyebut kadar tol baharu CIQ BSI adalah untuk membolehkan pemegang konsesi EDL, untuk mengutip tol bagi menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya tersebut. 


7. Sudah terang lagi bersuluh, kenaikan kadar caj tol EDL-CIQ ini adalah kerana untuk membayar pemegang konsesi tol, maka Menteri tidak harus menggunakan "trick" usang dengan mengeluarkan alasan untuk penyelenggaran BSI. Menteri tidak patut menjadikan rakyat untuk turut sama keliru dengan penjelasan-penjelasan begini. 


8. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada tarikh 29 Julai 2014 telah menyatakan, "goverment to ensure local road users not burden with CIQ toll". Apakah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga kini? 


9. Telah dua bulan kenaikan kadar tol CIQ ini dikuatkuasakan. Dan bulan Oktober 2014, Singapura pula akan mengikut jejak langkah Malaysia. Adakah ini salah satu usaha Kerajaan Persekutuan untuk tidak membebankan pengguna? 


10. Ini menunjukkan kenyataan TPM yang berasal dari Johor itu hanya satu wayang kulit untuk menyedapkan hati rakyat Johor sahaja. Mana mungkin orang nombor dua dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mengetahui akan perjanjian pakej tol Malaysia-Singapura dimana bayaran tol di Singapura adalah sama dengan bayaran tol yang dikenakan oleh Malaysia. 


11. Hakikatnya, Kerajaan Pemerintah seringkali tunduk kepada pelobi kapitalis besar dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan wayang opera untuk menunjukkan bahawa mereka sedang melakukan usaha terbaik untuk rakyat Johor.


12. SAMM Johor dengan ini menyeru Kerajaan Persekutuan tidak lagi bermain wayang sebaliknya mula mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan beban pengguna dan kaum pekerja yang berulang-alik ke Singapura setiap hari. Perdana Menteri atau Menteri Luar harus segera mengadakan perundingan dengan Kerajaan Singapura dalam isu berkepentingan bersama termasuklah isu kenaikan kadar tol dan VEP. Kedua-dua Kerajaan Pemerintah haruslah memberikan justifikasi kenaikan kadar tol dan VEP dengan cara yang lebih munasabah dan penuh semangat kejiranan. 


13. Perlumbaan kedua-dua Kerajaan Pemerintah untuk menaikkan kadar tol dan VEP ini akhirnya memangsakan rakyat kedua-dua negara yang sering berulang-alik antara Malaysia-Singapura. Tambahan lagi, Kerajaan Persekutuan juga perlu memikirkan impak kenaikan tol ini kepada ekonomi domestik Johor termasuklah menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di bandaraya Johor Bahru. 


SETIA BERSAMA JOHOR


ROSLEE MOHD SHARIFF

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

Adakah Malaysia Telah Bersetuju Untuk Bersama Dalam Kerangka Asia Pivot US?

Posted: 16 Sep 2014 09:21 PM PDT

Tulisan Umum
17 September 2014

Adakah Malaysia Telah Bersetuju Untuk Bersama Dalam Kerangka Asia Pivot Amerika Syarikat?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun mengeluarkan satu kenyataan mendesak penjelasan dan respons daripada Perdana Menteri susulan kenyataan US Chief of Navy Operation berhubung penempatan pesawat risikan P8-A Poseidon di Sabah pada 12 September 2014.

Menteri Pertahanan telah menafikan kenyataan tersebut dan juga menafikan Malaysia telah memberikan kebenaran kepada Tentera Laut Amerika Syarikat.

Lanjutan daripada itu, SAMM telah melakukan sedikit kajian dan mendapati kemasukan Tentera Amerika Syarikat ke negara ini adalah lebih kerap selepas kunjungan Presiden Obama pada bulan April lepas.

Bulan Jun 2014, satu eksais yang dinamakan Cope Taufan 2014 telah dilakukan di utara semenanjung di antara Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (RMAF). Eksais ini melibatkan pesawat tempur berteknologi tinggi milik USAF iaitu F-22 Raptor.

Eksais ini adalah merupakan kali pertama F-22 datang ke Asia Tenggara walaupun Amerika Syarikat mempunyai sekutu rapat di Singapura dan Filipina. Malah, Tentera Udara Singapura juga perlu membayar kos yang tinggi untuk menyertai latihan dengan F-22 dalam eksais Red Flag Alaska.

Jadi, mengapakah USAF memilih untuk menghantar F-22 Raptor dalam latihan ketenteraan bilateral bukannya multilateral dengan negara yang bukan sekutu Amerika Syarikat?

Dari 25 Ogos sehingga 2 September 2014, satu lagi siri latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dilakukan di Kampung Tanduo, Sabah. Latihan yang dinamakan MALUS AMPHEX 2014 menggunakan aset US Marine Assault Amphibious AAV-P7 ini disertai oleh pasukan US Marines dan pasukan tentera kita.

Dan bermula 13 September hingga 26 September 2014, latihan ketenteraan Keris Strike Siri 18/2014 pula menyaksikan kehadiran tentera dari United States Army Pacific Command (USARPAC) di Pantai Timur Semenanjung.

Adalah sesuatu yang agak pelik kerana secara tiba-tiba Malaysia kelihatan seperti sangat mesra dengan ketenteraan Amerika Syarikat. Dalam tempoh kurang daripada 6 bulan, nampaknya Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan latihan ketenteraan dengan Malaysia yang meliputi pertahanan darat, laut dan udara.

Apakah mungkin jika tiada apa-apa kelebihan atau perjanjian, Amerika Syarikat akan menawarkan peluang kepada negara bukan sekutu mereka secara bilateral untuk berlatih dengan aset-aset ketenteraan dan taktikal mereka yang serba canggih itu?

Adakah Malaysia telah mengambil peluang kehadiran Presiden Obama tempohari untuk menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dalam kerangka Asia Pivot tajaan Presiden Obama? Salah satu pilar Asia Pivot adalah hubungan perdagangan dan ketenteraan. Dan Malaysia sedang dalam rundingan TPPA, apakah mungkin juga kita akan memulakan hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat?

Walaupun Menteri Pertahanan telah membuat penafian, namun seharusnya tindakan yang lebih tegas dan affirmatif perlu diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam isu kenyataan oleh US Chief Of Naval Operation, Jonathan W. Greenert tersebut.

Dengan siri latihan ketenteraan bersama Tentera Amerika Syarikat yang meliputi darat, laut dan udara serta kenyataan tawaran Malaysia kepada Tentera Amerika Syarikat itu dikeluarkan oleh seorang Pegawai Tinggi Tentera Laut Amerika Syarikat dan juga merupakan penasihat operasi ketenteraan maritim kepada Presiden Amerika Syarikat, sudah pastilah ia akan memberikan isyarat yang tidak betul kepada dunia. Maka, ia tidak harus dinafikan dengan satu kenyataan di media massa sahaja oleh Menteri Pertahanan.

Sehubungan itu, SAMM mendesak Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri untuk segera mendesak rakan sejawatan mereka dari Amerika Syarikat agar meminta maaf dan menarik semula kenyataan yang dikeluarkan oleh US CNO tersebut.

Kegagalan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dalam memberi maklum balas akan memberikan isyarat yang salah kepada dunia dan berpotensi mendatangkan impak negatif bukan sahaja kepada aspek negara berkecuali malah dibimbangi akan melarat hingga aspek keselamatan negara dan hubungan perdagangan yang besar dengan negara-negara dunia yang lain.

Sempena dengan semangat ulangtahun Kemerdekaan negara, SAMM menyeru agar Kerajaan Pemerintah memastikan kedaulatan negata tidak digadai kepada mana-mana kuasa besar. Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara NAM yang bebas tidak berpaksi kepada mana-mana kuasa besar.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: