Jumaat, 27 Jun 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Rugi Jika ‘Kabinet XXL’ Najib Sekadar Habiskan Beras - Wartawan Veteran

Posted: 27 Jun 2014 01:04 AM PDT


[The Malaysian Insider] Rombakan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi faedah kepada rakyat dan bukan sekadar untuk meramaikan majlis, kata Datuk A. Kadir Jasin.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata dengan bilangan jemaah kabinet yang ramai, rakyat berhak mendapat faedah yang lebih banyak dan menaruh harapan yang lebih tinggi.

"Oleh sebab perdana menteri suka (benda yang) besar maka kita pun berhak untuk berharapan besar juga. Jadi harapan kita adalah kabinet XXL Najib akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata.

"Rugi XXL lah kita kalau kabinet XXL itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras sahaja," katanya melalui kiriman blognya yang bertajuk "Harapan Besar kepada Kabinet XXL".

Najib pada Rabu melantik Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagaimana dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan bulan lalu.

Beliau turut melantik Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menteri pengangkutan dan Datuk Wee Ka Siong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga lagi naib presiden MCA – Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun – masing-masing dilantik timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kadir berkata pendekatan yang digunakan Najib sangat berbeza dengan almarhum ayahandanya yang lebih mementingkan kebajikan rakyat.

Katanya, Najib lebih sukakan sambutan besar-besaran walaupun melawat ke kawasan parlimennya sendiri.

"Nampaknya perdana menteri kita ini suka besar. Kalau beliau melawat kampung dan pekan, beliau khabarnya mahu sambutan besar-besaran.

"Tun Abdul Razak Hussein bertongkat melawat kampung, memanjat tiang bulat rumah rakyat miskin untuk mencari penyelesaian dan membawa pembangunan. Tidak ada sambutan raksasa, tidak ada siaran langsung," katanya.

Mengulas mengenai rombakan kabinet, Kadir berkata berdasarkan pengamatannya, jemaah menteri Najib lebih besar dari Korea Utara dan Uganda.

Katanya, jumlah kabinet Malaysia juga mengatasi purata kabinet dunia iaitu sebanyak 30 orang.

"Penambahan bilangan anggota kabinet Najib kepada 35 orang mungkin berupa rekod nasional. Satu laporan tahun 2011 berkata, Uganda mempunyai kabinet ketiga terbesar di dunia iaitu 71 orang anggota. Kalah kepada Korea Utara dan Kenya.

"Tetapi apabila saya menghitung anggota Kabinet Korea Utara dalam Wikipedia, saya dapati hanya ada 34 orang dan Uganda 30.

"Kalau betul laporan Wikipedia itu, maka kabinet Najib lebih besar daripada kabinet Korea Utara dan Uganda," katanya. – HASBULLAH AWANG CHIK/27 Jun, 2014.


Ibu Remaja OKU Didakwa Atas Dua Tuduhan

Posted: 26 Jun 2014 09:27 PM PDT



[Harian Metro] Seremban – Ibu remaja kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua kesalahan iaitu sengaja mengabaikan anaknya itu sejak Januari lalu hingga minggu lalu dan membiarkannya tanpa pengawasan.

Lolanopita Sadi, 40, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-5-9 Flat Semarak, Nilai, dekat sini.

Bagi pertuduhan pertama, pekerja pembantu penyajian di sebuah syarikat katering di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan sengaja mengabaikan anaknya itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi di rumah mereka antara Januari lalu hingga jam 2.30 pagi, 21 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membiarkan anaknya itu tanpa pengawasan yang berpatutan pada 21 Jun lalu, kira-kira jam 2.30 pagi.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 33(c) Akta sama, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau keduanya sekali.


Pendakwaaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili Peguam Hanif Hassan.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh, menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kes pada 24 Julai depan. - 27/6/14


Berkaitan:

Ibu Remaja OKU Terbiar Mengaku Tidak Bersalah


[Mstar] SEREMBAN: Seorang ibu berusia 40 tahun pada Jumaat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan anak kurang upaya berusia 15 tahun yang ditemui dalam keadaan terbiar di sebuah flat di Nilai dekat sini.

Tertuduh, Lolanopita Sadi juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan gangguan emosi dan kecederaan kepada anaknya, Muhammad Firdaus Dullah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen B. Jagjit Singh.

Lolanopita dituduh mengikut seksyen 31 (1) (a) dan 33 (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pesalah mengikut seksyen 31 (1) (a) boleh dikenakan denda sehingga RM20, 000, dan penjara sehingga 10 tahun manakala Seksyen 33 (c) memperuntukkan denda sehingga RM5, 000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Kisah Muhammad Firdaus menjadi perhatian masyarakat selepas pasukan penguatkuasa Imigresen yang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap kawasan penempatan pendatang tanpa izin menemui remaja itu dikurung di dalam bilik sebuah rumah flat pada Sabtu lalu.

Ketika ditemui, Muhammad Firdaus berada dalam keadaan berlumuran najis dan pakaiannya koyak-rabak.

Ibu Muhammad Firdaus iaitu Lolanopita, yang bekerja di sebuah syarikat katering di Sepang, sebelum ini mendakwa terpaksa membiarkan anaknya kerana tidak tahu tempat untuk dirujuk.

Sehubungan itu, Hakim Jagjit membenarkan Lolanopita diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes. -27/6/14

Tiada ulasan: