Isnin, 12 Mei 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


[Gempar] Bekas MB Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan ADUN Ajil Ghazali Taib Umum Keluar UMNO

Posted: 12 May 2014 11:42 AM PDT

Surat keluar parti Datuk Seri Ahmad Said yang diemailkan kepada AstroAWANI.

[AA] KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut.

Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali Taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepadaAstro AWANI.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin.


Surat keluar parti ADUN Ajil, Ghazali Taib yang diemailkan kepada AstroAWANI.
Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah.

Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.

Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi.

Baki dua lagi adalah calon bebas.-13/5/14


Berkaitan:

Krisis di T'ganu: Ahmad Said keluar Umno


[MK] Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungiMalaysiakini awal pagi ini mengesahkan beliau bersama ADUN Ajil Ghazali Taib mengisytihar keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ahmad yang juga ADUN Kijal berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM bahawa anak saya kenduri saya kahwin pada 17 Mei dan tukar selesai selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya bagi menjawab soalan mengapa beliau bertindak keluar daripada Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ditanya mengapa mengheret soal perkahwinan anaknya sehingga berbuat demikian, Ahmad berkata:

"Saya ada prinsip. Anak saya nak kenduri, kalau boleh bagi kenduri selesai. Tapi jadi begini. Saya tidak ada masalah, saya boleh terima (pertukaran MB)," katanya.

Menurutnya lagi, Ahmad berkata beberapa ADUN lagi dijangka akan mengambil langkah yang sama sepertinya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut jumlah dan siapa yang terlibat untuk berbuat demikian.

"Insya-Allah ada lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi. -13/5/14


[PANAS] Ahmad Said LETAK Jawatan, Razif MB Terengganu yang Baharu

Posted: 12 May 2014 03:22 AM PDT



[TMI] Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) sah meletakkan jawatannya sebagai ketua eksekutif negeri itu dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Razif Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, seperti dilaporkan The Star.

Perubahan jawatan menteri besar di Terengganu timbul selepas Ahmad Said menandatangani surat persetujuan beliau akan memegang jawatan itu hanya selama setahun selepas Barisan Nasional (BN) menang tipis pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

BN hanya memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 15 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat (PR) yang berjaya memenangi separuh daripada lapan kerusi Parlimen. - Jamilah Kamaruddin/12 Mei, 2014.‎

PRK Bukit Gelugor: Presiden PAS Iringi Anak Karpal Singh

Posted: 11 May 2014 10:40 PM PDT



Presiden PAS Iringi Ramkarpal Bersebab - Mujahid

[HD] GEORGE TOWN: Padang Kota Lama seawal jam 7.30 pagi tadi mula dibanjiri lebih 500 penyokong Pakatan Rakyat bagi mengiringi calon DAP, Ramkarpal Singh Deo A/L Karpal Singh ke Pusat Penamaan Calon yang dilangsungkan di Dewan Seri Pinang.

Mereka melaungkan "Reformasi", "Ubah", "I Am Karpal", "Hidup Pakatan, Tumbang Bebas" dan "hancur GST, Tumbang BN".

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengetuai PAS mengiringi Ramkarpal, bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail masuk ke pusat penamaan calon pada detik 9.06 pagi.

Hadir sama, Dr Hatta Mohd. Ramli (Ketua Pengarah Pilihan raya PAS), Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Azmin Mohd. Ali (Timbalan Presiden PKR) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AJK PAS Pusat merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang), Shaari Sungib (Adun PAS bagi Kawasan Hulu Kelang), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong) antara yang hadir di sini.

"Semua ahli PAS, khususnya di Pulau Pinang dikerah berhimpun di sini bersama Tuan Guru Presiden bersebab, kerana Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) telahpun menyebut bahawa Ramkarpal adalah 'calon PAS' juga, walaupun tanding guna bendera roket DAP saja.

"Kemenangan Ramkarpal penting untuk melengkapkan jalan kemenangan PAS bersama Pakatan di negeri ini dan pilihan raya umum nanti," jelas Mujahid yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gelugor, sebentar tadi.

Di bawah kendalian Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bukit Gelugor, Kapten (B), Anuar Yahya, pengundian membabitkan 82,431 pemilih berdaftar dari Daftar Pemilih Induk (DPI).

Dari jumlah itu, 82,255 adalah pengundi biasa, manakala, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 1,095 petugas pilihan raya turut dilantik untuk menguruskan proses pilihan raya kali ini, termasuk 21 pusat mengundi.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada 17 April lepas. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 21 Mei manakala penamaan calon pada 12 Mei. 

Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 13,597 undi. - Dzulfikar MaShoor/12/5/2015


PAS Setia Bersama PR Walau Musuh Cetus Keretakan

Posted: 11 May 2014 10:38 PM PDT


[HD] GEORGE TOWN: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru PAS seluruh negara menghantar jentera membantu calon DAP mulai hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Presiden PAS itu berkata, jentera parti perlu bergerak aktif seolah-olah PAS bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

"Kita tetap setia bersama Pakatan Rakyat walaupun isu keretakan sengaja dibangkitkan oleh musuh kita. Hari ini semua isu itu dah hilang. 

"Kita kena ubah pemikiran politik demi masa depan negara," ujarnya ketika berucap merasmikan Markas Induk Pilihan raya Kecil Bukit Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Gelugor malam tadi.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP bukan baru tetapi telah lama sejak berjuang menentang Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA).

Jelasnya lagi, apabila Umno gagal rampas Kelantan pada 1978, mereka membentang Rang Undang-Undang Darurat dengan niat mencetuskan perbalahan tetapi Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ketika itu bangun menentang dan membangkang undang-undang tersebut.

Itulah katanya, titik persamaan antara PAS dan DAP sejak dahulu sebelum adanya Pakatan Rakyat. 

"Hasilnya kemesraan terjalin walaupun berlainan pandangan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya lagi, kerjasama yang PAS laksanakan bukan baru sebaliknya telah diajar oleh Rasullulah s.a.w. 

Tegasnya, konsep adil untuk semua menjadi amalan sebuah Kerajaan Islam yang tidak menganiaya semua masyarakat. - Mohd. Sabri Said/12/5/2014

Umno Guna Hudud untuk Pecah Belahkan Pakatan Rakyat – Sayuti Omar

Posted: 11 May 2014 10:26 PM PDT



[KD] KUALA LUMPUR 11 MEI: Kerajaan pusat tidak ikhlas menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan sebaliknya menggunakan isu tersebut untuk memerangkap kerajaan negeri itu bagi tujuan memecah belahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan kuliah bertajuk Ekonomi Manusiawi di Puchong semalam berkata, Umno sebenarnya tidak mempunyai hala tuju jelas untuk merialisasikan impian kerajaan Kelantan itu.

Malah sokongan yang dinyatakan itu hanya digunakan bagi menutup kelemahan demi kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Penulis dan penganalisis politik semasa, Mohd Sayuti Omar ketika dihubungi turut sependapat dengan apa yang disampaikan oleh Anwar, malah berpendapat sokongan palsu oleh kerajaan pusat itu hanya satu perangkap politik.

"Kenyataan itu hanya satu kenyataan untuk meraih sokongan politik, kehilangan majoriti 2/3 dalam parlimen membuatkan mereka terdesak.

"Mereka selama ini menghina hudud, kenapa sekarang tiba-tiba mahu menyokong. Mereka sebenarnya berniat untuk memecah belahkan kita dalam pakatan rakyat dengan dasar pecah dan perintah mereka," tegasnya

Sayuti menjelaskan, Umno BN sedang mengatur strategi bagi melemahkan Pakatan rakyat. Selain cuba memenjarakan Anwar, isu hudud digunakan bagi memastikan mereka mampu terus mengekalkan kuasa.

"Mereka kata mereka sokong hudud, tapi lihat kepincangan dalam kes melibatkan Anwar, mereka sendiri mempergunakan mahkamah. Sekarang mereka cuba goyahkan kesepakatan pakatan rakyat dengan menggunakan isu hudud pula.

"Tindakan mereka ini satu taktikal politik bagi memerangkap kerajaan PAS Kelantan," jelas sayuti yang tegas mahu kerajaan PAS Kelantan tidak terpengaruh.

Anwar pada sabtu lalu menyelar sikap berpura-pura Umno apabila kononnya menyokong pelaksanaan hudud, beliau mencabar umno yang menerajui kerajaan pusat memperbetulkan terlebih dahulu kepincangan yang dilakukan mereka dalam pentadbiran.

"Jika betul nak buat, dia kena betulkan rasuah yang meluas, kezaliman, bahang perkauman, menghina orang dan salah guna kuasa. Peguam negara macam itu, hakim macam ini. Nak cakap soal hudud. Apa dia?" katanya. - Azuan Abd Rahman/12/5/14


Krisis MAS: Hampir 300 Kru Kabin Letak Jawatan

Posted: 11 May 2014 08:31 PM PDT


[Mstar] EKSKLUSIF PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung beban akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari segi kos latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.

Faktor tekanan kerja, selain 'dipancing' syarikat penerbangan lain antara yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugari dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan perkhidmatan mereka di syarikat berkenaan.

Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku apabila kru kabin selesai menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat yang dikatakan semakin kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan sejak tiga tahun lalu.

Sumber memberitahu mStar Online, sudah beberapa tahun syarikat gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan untuk bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas yang meningkat kerana kekurangan kakitangan.

"Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak bersemangat untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya berhenti tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya latihan bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan, sudah ada tawaran kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji lebih tinggi, ia seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS dan menunggu masa sesuai untuk 'memancing' mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000 untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan lima tahun.

Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap juruteknik pula sebanyak RM75,000, manakala bagi pramugari dan pramugara pula tempoh latihan sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.

Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, setiap tenaga pakar MAS 'ada harga' di pasaran industri penerbangan, sama ada di dalam atau luar negara.

"Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang tawarkan gaji lebih RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh hingga 10 tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan berbanding hanya RM3,000 di MAS," katanya.

Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap kakitangan syarikat itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka kerana tentunya syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan berada dalam situasi lebih parah.

"Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan MAS sudah luntur sejak tiga tahun ini," katanya.

Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan bercuti.

"Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi mental terutama apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga," katanya.

Bagaimanapun, pengurusan MAS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen. -12/5/14


Tiada ulasan: