Ahad, 18 Mei 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MH370: Waris dakwa MAS enggan kerjasama

Posted: 18 May 2014 04:51 AM PDT


MH370: Waris dakwa MAS enggan kerjasama Maira Elizabeth Nari,Calvin Shim,Melanie Antonio,Jacquta Gonzales,Elaine Chew Oai Poh dan Lee Khim Fatt diantara ahli keluarga krew MH370 yang hadir membuat sidang media berkaitan isu MAS yang tidak menyalurkan perkembangan terkini terhadap nahas MH370. - Foro Sinar Harian AFIQ RAZALI
 
 
 
SUBANG - Keluarga krew pesawat MH370 mempersoalkan tindakan pihak MAS yang enggan memberikan kerjasama dalam  pengagihan maklumat serta perkembangan terbaru berkenaan dengan kehilangan pesawat terbabit.

Menurut suami kepada Christine Tan, Calvin Shim, hampir dua minggu lalu,  pihak MAS memaklumkan kepada  keluarga krew MH370 bahawa mereka harus berurusan dengan peguam syarikat MAS untuk sebarang pertanyaan termasuklah berita mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Ianya menyebabkan mereka terpaksa mengupah seorang peguam mewakili  keluarga anak kapal MH370 untuk berurusan dengan peguam syarikat MAS.

"Kami kesal dengan layanan pihak MAS yang seolah-olah meminggirkan kami sebagai keluarga anak kapal MH370, kami ingin tahu maklumat dan perkembangan mengenai insiden ini, namun pihak langsung tidak memberi apa-apa maklumbalas kepada kami.

"Kami cuba dapatkan maklumat melalui pemberi maklumat (caregiver), namun mereka telah menerima arahan daripada pihak pengurusan untuk memaklumkan bahawa peguam kami harus berdepan dengan peguam mereka jika mahu maklumat," katanya.

Menurutnya isteri kepada Patrick Francis, Jacquta Gonzales, pihak MAS seolah-olah menghalang mereka daripada menerima sebarang maklumat dan perkembangan terbaru mengenai kehilangan kapal terbang terbabit.

"Kami tidak tahu banyak mengenai perkembangan kehilangan pesawat terbabit, kami tidak banyak menerima laporan dari pihak MAS lagi," katanya.

Justeru, pihaknya menggesa supaya MAS kekal memberikan kerjasama seperti yang dijanjikan dahulu.

Dalam pada itu keluarga anak kapal pesawat MH370 turut mengambil peluang mengucapkan setinggi penghargaan ke atas penglibatan dan usaha yang ditunjukkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam mencari serta mengesan pesawat terbabit.

Raja Bomoh sokong calon BN Teluk Intan

Posted: 18 May 2014 04:10 AM PDT

HARAKAHDAILY 



Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang memeluk mesra Ibrahim pada majlis perisytiharan calon BN di Teluk Intan.

 
TELUK INTAN: Kemunculan Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin di majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan untuk "merestui" calon BN Datuk Mah Siew Keong menarik perhatian ramai pihak.

Ibrahim, yang menjadi terkenal selepas melakukan upacara di KLIA kononnya untuk membantu mencari pesawat MH370 yang hilang pada bulan Mac lalu dilapor Malaysiakini hadir untuk membantu kemenangan calon BN.

Selepas dirakam menjalankan ritual ditepi pantai dengan beberapa pembantunya untuk 'mencari' serpihan pesawat MH370, Ibrahim yang menetap di Perak dirakam hadir di lebuh raya utara-selatan arah utara untuk menghalau puaka yang diyakini beliau menjadi punca nahas mengorbankan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan pembantunya pada 17 April lalu.

"Jika perlu, saya akan membantu apa yang saya boleh untuk kemenangan calon BN," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau memakai sut serta bertali leher, bersama tanda namanya dan pin 1Malaysia.

Walaupun pemangku Ketua Gerakan Bahagian Teluk Intan, Choo Weng Kee mengakui pihaknya tidak menjemput Ibrahim, namun foto Raja Bomoh itu berpelukan mesra dengan  Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang disiarkan blog Omak Kau!!!!

Ibrahim bagaimanapun tidak menjalankan sebarang upacara pada majlis itu dan hanya memerhatikan perjalanan majlis.

Dyana temui petugas pilihan raya PAS

Posted: 18 May 2014 04:04 AM PDT

HARAKAHDAILY 


TELUK INTAN: Tanpa mahu membuang masa, calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan,  Dyana Sofya Mohd Daud memulakan gerakan prakempen pilihan raya dengan bertemu para petugas Pakatan Rakyat.

Malam tadi, peguam lulusan Universiti Teknologi Mara berusia 27 tahun itu bertemu dengan para petugas jentera pilihan raya PAS Teluk Intan bagi memperkenalkan diri.

Pertemuan berlangsung di Markas Induk PRK PAS Kawasan Teluk Intan di kampung Padang Tembak, dekat sini.

Hadir sama dalam pertemuan itu Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Nie dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Anuar Sudin.

Dyana yang berbaju kurung dan berselendang hitam mengucapkan terima kasih di atas kehadiran dan sokongan yang ditunjukkan para aktivis PAS terhadap beliau.

Berjanji untuk terus memperjuangkan suara rakyat, beliau berikrar memberikan khidmat terbaik jika terpilih mewakili Teluk Intan ke Parlimen.

Dyana turut menghormati PAS yang dianggap sebagai parti yang telah lama berjuang untuk rakyat dan mempunyai ahli-ahli yang komited dengan perjuangan.

Sementara itu ketika dihubungi Harakah, Ustaz Misbahul Munir berkata majlis perisytiharan calon PRK Teluk Intan akan berlangsung di padang awam Kampung Bahagia, Padang Tembak, malam ini.

Para pemimpin Pakatan Rakyat yang dijangka hadir ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Pencalonan Dyana diumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan, semalam.

Dyana Sofya ialah Setiausaha Politik Kit Siang dan berasal dari Ipoh.

Beliau menyertai DAP pada 2012 dan membantu kempen Kit Siang dalam pilihan raya umum ke-13 di Gelang Patah.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.

Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan esok.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Parlimen Teluk Intan mempunyai komposisi pengundi yang hampir seimbang iaitu 42 peratus pengundi Cina, Melayu (38 peratus) dan India (19 peratus).

Dyana akan dicabar Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang mewakili BN dalam PRK kali ini.

Mah, 53 ialah penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selama dua penggal iaitu pada PRU 1999 dan 2004. -


Dyana berucap dalam pertemuan dengan petugas pilihan raya PAS di Markas Induk PRK Teluk Intan.

Posted: 18 May 2014 03:50 AM PDT

Awang Selamat cadangkan Shabery Cheek dilantik Ketua Umno Terengganu

Lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin Umno lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi.

Ahmad-Shabery-Cheek
PETALING JAYA: Awang Selamat kolumnis Mingguan Malaysia mencadangkan pucuk pimpinan Umno melantik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Katanya, memandangkan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman masih baharu menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, adalah lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin Umno lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi.

"Awang melihat antara calon yang sesuai ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabeery Chik yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman," tulisnya dalam akhbar milik Umno itu.

Katanya lagi, walaupun beliau bukan Ketua Umno bahagian, beliau mempunyai kedudukan dalam Kabinet, berpengalaman luas dan disegani.

"Lebih daripada itu, Shabeery boleh diterima oleh semua pihak yang berbeza haluan. Awang percaya beliau mampu membawa kestabilan politik kepada Umno Terengganu," katanya lagi.

Tambah Awang Selamat lagi, meskipun kemelut peralihan Menteri Besar yang menggemparkan politik tanah air telah selesai, ia tidak boleh diambil ringan.

"Cabarannya, bersedialah menjangkakan apa lagi dugaan, juga kejutan selepas ini," ujarnya.

Di mana tempat anak muda berusia 27 tahun di dalam Umno?

Posted: 18 May 2014 03:48 AM PDT

BN lebih selesa terkongkong dalam kepompong yang memenjarakan mereka dengan tradisi 
lama.

Dyana


PETALING JAYA: Keputusan DAP menukar calonnnya daripada bangsa Cina kepada Melayu dalam pilihanraya kecil ini jelas suatu keberanian yang sangat mengkagumkan.

Menurut bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin, walau apa pun hujah yang digunakan bagi memperlekehkan keputusan DAP itu, ia bukan saja membuktikan kepelbagaian kaum dalam parti itu, tetapi merupakah transformasi yang jauh lebih bererti daripada kata-kata.

Berbanding dengan Barisan Nasional (BN) yang sering kali menyatakan ingin melakukan trasformasi dengan meletakkan calon berdasarkan keperluan sesuatu kawasan itu, tidak pernah dipraktikkan.

"Jika calon MCA meninggal, orang daripada parti yang sama juga akan dikekalkan. Begitu juga jika terjadi kepada Umno, Gerakan atau MIC," katanya dalam posting blognya yang terbaru www.shahbudindotcom.blogspot.com.

Tambahnya, malah jika ada yang meninggal atau meletakkan jawatan itu berbangsa Melayu, maka bangsa Melayu jugalah bakal penggantinya, dan jika bangsa Cina atau bangsa India pula yang pergi, yang menggantikannya juga dari kaum yang sama.

Jelasnya, laungan dan cadangan untuk melakukan perubahan tidak pernah menjadi kenyataan kerana BN tidak punya keberanian untuk berbuat demikian walaupun banyak desakan dari akar umbi menuntut perubahan itu.

"BN lebih selesa terkongkong dalam kepompong yang memenjarakan mereka dengan tradisi lama," katanya.

Hal Ini jelas berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR), dalam waktu terdekat ini, sudah dua kali mereka melakukan perubahan dan menunjukkan batasan kaum bukanlah persoalan dalam memupuk keharmonian dan kesatuan serta mencipta kemenangan.

Dalam pilihanraya kecil DUN Kajang bulan lalu, apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, calon yang menggantikan tempatnya ialah calon berbangsa Melayu iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengambil alih tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana adanya halangan undang-undang untuk beliau bertanding.

"Namun, PR masih mampu mengekalkan kemenangan cemerlangnya," jelasnya.

Tambahnnya kini, dalam pilihanraya kecil Teluk Intan, giliran DAP pula melakukan pembaharuan dan transformasi. Walaupun sejak dua penggal lalu, DAP meletakkan bangsa Cina di kawasan itu, namun kali ini parti itu menunjukkan keberaniannya dengan meletakkan calon Melayu pula.

"Keberanian DAP ini seharusnya diberikan pujian dalam konteks memupuk perpaduan dan keharmonian dan bilakah BN akan mempunyai keberanian seperti ini?" soal shahbudin.

Keberanian DAP juga terserlah apabila memlilih Dyana Sofya yang hanya berusia 27 tahun sebagai calonnya. Berbanding calon Gerakan yang sudah berusia 53 tahun.

"Pemilihan seorang anak muda ini sekali lagi mempamerkan keberanian DAP yang menunjukkan mereka sebuah parti yang jauh melihat ke hadapan," katanya.

Dalam pada masa yang sama, Shahbudin turut mempersoalkan, kedudukan anak muda berusia 27 tahun di dalam Umno atau Parti komponen BN yang lain.

"Di manakah tempat seorang anak muda berusia 27 tahun jika di dalam Umno atau parti-parti komponen BN yang lain? Mungkin hanya menampal poster dan menjalankan kerja-kerja tidak penting sahaja," katanya.

Jelas, kini para pemimpin Umno sendiri menyedari bahawa pengundi muda yang menyokong mengundi BN atau Umno semakin berkurangan kecuali Khairy Jamaluddin, Razali Ibrahim dan beberapa pemimpin muda yang lain.

"Majoriti wakil rakyat dalam BN adalah golongan yang sudah berusia tetapi masih mahu mendakap kuasa, berbanding dengan PR pula, kecuali beberapa kerat seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Haji Hadi Awang, majoriti yang selebihnya adalah golongan muda dan masih belia," katanya.

Tambah Shahbudin, maka tidak hairanlah jika pengundi muda lebih tertarik kepada PR berbanding BN.

Ujarnya, jika sebelum ini PR mempunyai Rafizi Ramli, Nurul Izzah serta beberapa yang lain sebagai ikon golongan muda, penampilan Dyana Sofya akan menambahkan bilangan dan cengkaman mereka kepada golongan tersebut.

"Tetapi siapa pula ikon golongan muda yang ada dalam BN?," soalnya.

Tiada yang lebih menyayangi saya selain mama, kata anak penumpang MH370 di Hari Ibu

Posted: 18 May 2014 03:42 AM PDT

OLEH MUZLIZA MUSTAFA


Lukisan Yashwant Shirsath yang mampu meruntun hati sesiapa jua yang dikongsi di laman Facebook Keluarga MH370. – Gambar Facebook, 18 Mei, 2014.Lukisan Yashwant Shirsath yang mampu meruntun hati sesiapa jua yang dikongsi di laman Facebook Keluarga MH370. – Gambar Facebook



 Yashwant Shirsath, 11, mempunyai satu impian. Ia adalah agar ibunya Kranti Shirsath, 44, kembali ke rumah dengan selamat.

Kranti, penduduk Bhugaon berhampiran Pune, India  adalah antara lima warga India yang berada di atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang semasa dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Ia sudah lebih 70 hari sejak kali terakhir Yishwant melihat ibunya.

Kehilangan ibunya memberi kesan yang sangat mendalam kepada dirinya. Yishwant berubah menjadi lebih pendiam dan jarang bersuara. Abangnya, Rahul, 16, juga begitu.

Dua beradik ini tenggelam dalam kesedihan, menangis agar ibunya kembali sejak mengetahui insan yang disayangi itu hilang bersama-sama 238 penumpang lain pada hari yang malang itu.

Sempena Hari Ibu baru-baru ini, lakaran lukisan Yashwant meluahkan perasaan kerinduan dan merayu agar ibunya kembali semula ke pangkuan mereka.

Karya itu dikongsi oleh bapanya, Pralhad dalam Facebook Keluarga MH370 semalam.

Lukisan berwarna-warni itu mengandungi lakaran pesawat MH370 dengan awan bersama wajah gembira dan sedih di antaranya.

Rayuan agar ibunya kembali ditulis di atas dan bahagian bawah lukisan itu.

Dia menulis: "Mama pulanglah segera," "Mama, kami tahu anda di suatu tempat dan selamat".  Dan di tengah-tengah lukisan itu Yashwant menulis: "Tiada siapa yang lebih menyayangi saya selain mama", nyata memperlihatkan betapa kerinduan dan kasih sayang yang mendalam terhadap ibunya.

Selain Yashwant, Rahul juga membuat lukisan untuk ibu mereka yang juga dimuatnaik di halaman Facebook itu. Karya mereka adalah antara empat lukisan yang dikongsi.

Dua lukisan yang lain dibuat oleh anak yang turut kehilangan ibu mereka yang merupakan penumpang MH370. Bagaimanapun, nama mereka tidak dinyatakan.

Kranti, bekas pensyarah berkahwin dengan Pralhad, yang menjadi suaminya sejak 17 tahun lalu, sedang dalam perjalanan ke Korea Utara untuk bertemu dengannya apabila pesawat yang dinaiki hilang.

Prahlad merupakan pengarah negara sebuah NGO, Concern Worldwide. Kontraknya berakhir bulan lepas.

Kranti sepatutnya mengambil penerbangan sambungan dari Beijing setibanya dari Kuala Lumpur tetapi pesawat itu tidak pernah tiba.

Pralhad dalam satu temu bual dengan kabel rangkaian berita CNN baru-baru ini berkata, beliau masih menaruh harapan yang tinggi.

"Saya tidak boleh melepaskan idea itu kerana  kami masih mempunyai harapan. Dan secara mendalam saya benar-benar yakin di dalam hati saya... bahawa dia akan kembali semula," katanya kepada CNN. "Dia mesti kembali kerana setakat ini kami tidak menemui sebarang sebab untuk melupakan harapan itu."

Pencarian besar-besaran dilakukan ke atas kehilangan pesawat sembilan minggu lalu tetapi sehingga hari ini semua usaha tidak membuahkan hasil.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Khamis berkata semua carian udara dan permukaan laut ditangguhkan dalam mencari pesawat MH370, dan tumpuan kini kepada operasi dasar laut, di mana pencarian memasuki fasa baru dan lebih sukar.

Beliau berkata carian sekarang mempunyai tiga keutamaan – menganalisis semula semua data; memperluaskan pemetaan dan menganalisis dasar laut dan penempatan aset.

Satu mesyuarat pelbagai hala baru-baru ini diadakan di antara ketiga-tiga negara juga mengesahkan bahawa Australia akan mengetuai pencarian.

Hishammuddin juga berkata Kabinet bersetuju membentuk satu jawatankuasa khas komunikasi, penyelarasan dan media.

Diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, jawatankuasa itu akan memastikan semua maklumat disalurkan kepada pihak berkepentingan seperti ahli keluarga dan yang berkaitan.

Satu pasukan khas akan dihantar ke Canberra, termasuk wakil daripada semua jawatankuasa, iaitu ahli keluarga, penggunaan aset dan teknikal.

"Pasukan khas akan menyelaraskan semua aspek yang berkaitan dengan operasi antara Malaysia dan Australia," katanya.

Usaha carian menyebabkan Putrajaya dikritik oleh media dan ahli keluarga penumpang pesawat  terhadap cara pencarian dikendalikan termasuk pengeluaran laporan awal.

Sasaran Johor sifar setinggan gagal

Posted: 18 May 2014 03:35 AM PDT

SONY DSC


Mahdzir Ibrahim

Seperti di banyak bandar lain, masalah setinggan di Johor Bahru sehingga kini masih belum ada penyelesaian yang konkrit. Hasrat untuk mencapai sifar setinggan oleh kerajaan negeri Johor menjelang tahun 2005 ternyata gagal.

Masalah penempatan setinggan ini melibatkan isu asas, iaitu isu geran tanah. Perkara asas ini akan memberi kesan besar kepada dasar pembangunan kawasan terbabit.

Malangnya, masalah setinggan di bandar ini bukan sahaja tidak selesai, malah ia membengkak menjadi masalah yang lebih rumit hingga menjejaskan kehidupan penduduk kawasan setinggan terbabit.

Beberapa kawasan yang masih dihantui masalah tersebut hingga kini ialah Pengkalan Rinting.

Sungguhpun hanya 20 keluarga yang menjadi penghuni setinggan di kawasan ini, masalah semakin hari semakin meruncing disebabkan tiada perancangan yang jelas tentang masa depan penempatan tersebut oleh pihak kerajaan negeri menerusi agensinya.

ADUN Pengkalan Rinting YB Cheo Yee How bersama-sama Roketkini baru-baru ini meninjau permasalahan di kawasan tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, Pusat Komuniti Pengkalan Rinting telah menemui beberapa orang wakil penduduk untuk melihat dan mendengar sendiri isu-isu yang disuarakan oleh mereka.

Hasil tinjauan mendapati masalah di kawasan terbabit banyak berkisar tentang status tanah yang telah didiami oleh penduduk setinggan semenjak tahun 40-an lagi. Rata-rata penduduk di situ tidak mendapat geran tanah sungguhpun mereka adalah peneroka awal kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa sebelum ini memang ada wakil dari kerajaan negeri datang dan mengemukakan penyelesaian, namun akhirnya cadangan tersebut tinggal sebagai janji yang tidak pernah ditunaikan.

Kerajaan juga pernah merancang dan menjanjikan alternatif seperti projek penempatan semula di kawasan lain, iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR). Namun, menurut penduduk di situ, setelah projek pembinaan rumah tersebut selesai, kebanyakan daripada mereka yang memohonnya gagal mendapatkan rumah.

Permasalahan asas yang tidak selesai itu kini menimbulkan masalah lain, antaranya isu sistem perparitan, masalah kutipan sampah dan pengurusan sistem pembetungan yang tersusun.

Oleh kerana status pemilikan tanah di sini tidak jelas, maka hal-hal teknikal seperti senarai penduduk, alamat, dan sebagainya, menjadi tidak lengkap, manakala kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk memberi khidmat pungutan sampah dan lain-lain tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan sistematik.

Tong-tong sampah tidak cukup dan jadual kutipan sampah yang tidak tetap menimbulkan keadaan tidak selesa bagi penduduk kawasan setinggan tersebut.

Semakan oleh YB Yee How berkaitan status tanah kawasan Pengkalan Rinting mendapati bahawa kawasan tersebut diberi status tanah untuk perniagaan, namun tidak ada penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan negeri tentang bentuk perniagaan apakah yang dimaksudkan dalam status tersebut.

Pada awal tahun 2014, penduduk telah dimaklumkan pula bahawa projek loji pembetungan kumbahan akan dijalankan di sekitar kawasan terbabit agar ia dapat menampung sisa kumbahan dari satu kawasan penempatan kondominium di sekitar kawasan Danga.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk kerana perkembangan ini pastinya akan menimbulkan lebih banyak lagi masalah kepada mereka, apatah lagi lokasi loji yang dicadangkan itu terletak bersebelahan dengan tebing Sungai Skudai yang dipenuhi dengan pokok-pokok bakau.

Namun, projek tersebut terpaksa ditangguhkan kerana penduduk di kawasan penempatan setinggan dan juga penduduk kampung di sekitar kawasan yang sama telah bangkit dan membantah cadangan projek tersebut.

Hasil daripada lawatan yang disebutkan di atas, ADUN Pengkalan Rinting telah memutuskan untuk membawa usul masalah setinggan ini ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri akan datang untuk memastikan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu ini.

Malah Yee How juga bercadang untuk menjalankan satu usaha penyelidikan untuk melakukan dokumentasi tentang kawasan tersebut yang dipercayai mempunyai nilai sejarah berikutan masih wujud waris-waris peneroka asal kawasan Pengkalan Rinting itu.

Data-data yang bakal diperolehi diharapkan akan membantu pihak berkuasa merangka dasar pembangunan dan kemasyarakatan yang bersesuaian dengan kehendak penduduk dan latar belakang kawasan tersebut.-Roketkini.com

Buku pertama tentang kehilangan MH370 mula dijual esok

Posted: 18 May 2014 02:20 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seluruh dunia masih terus menaruh harapan agar pesawat MH370 yang hilang secara misteri dapat ditemui secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Mei, 2014. Seluruh dunia masih terus menaruh harapan agar pesawat MH370 yang hilang secara misteri dapat ditemui secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insider


Buku pertama tentang kehilangan penerbangan MH370 akan berada di rak buku Australia esok, laporan Sydney Morning Herald (SMH) hari ini.

"Flight MH370: The Mystery" (Penerbangan MH370: Misteri) ditulis oleh Nigel Cawthorne yang mendakwa dirinya "kilang menulis buku", akan dijual mulai esok, lebih 10 minggu selepas pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atasnya.

Pengarang lebih 150 buku, Cawthorne tidak memberi jawapan tetapi membentangkan "teori" tentang apa yang mungkin berlaku kepada penerbangan MH370 pada 8 Mac.

Salah satu teori adalah pesawat itu mungkin sengaja ditembak jatuh semasa latihan bersama tentera Thai-Amerika di Laut China Selatan, SMH berkata dalam edisi dalam talian, sambil menambah penyelamat kemudiannya "mungkin membawa ke arah yang salah untuk menutup kesilapan".

Teori lain berpusat kepada perisian pengesanan, dengan Cawthorne menuduh MAS memilih "pakej data lebih murah yang dihantar hanya maklumat minimum dan bukan membayar yuran tambahan kecil untuk menghantar data penerbangan terperinci", lapor Daily Mail dalam talian itu.

The Sun- Herald adalah cawangan media pertama di Australia bagi mendapat naskhah buku ini.

Cawthorne membangkitkan bahawa masa transponder pesawat itu hilang pada jam 01:21am – masa rakyat New Zealand, Mike McKay, pekerja pelantar minyak di Teluk Thailand, melihat sebuah kapal terbang terbakar.

Beliau mengaitkan hal ini dengan latihan ketenteraan bersama Thai -Amerika yang berlaku di Laut China Selatan dengan kakitangan dari China, Jepun, Indonesia dan negara-negara lain, kata SMH itu.

"Latihan ini melibatkan peperangan olok-olok di darat, air dan udara, dan termasuk latihan api," Cawthorne dipetik sebagai berkata.

"Katakanlah peserta tidak sengaja menembak jatuh penerbangan MH370. Perkara seperti itu berlaku. Tiada siapa yang mahu satu lagi Lockerbie (yang menembak penerbangan 103 Pan Am oleh pengganas pada 1988), jadi mereka yang terlibat akan mempunyai banyak sebab berdiam diri mengenainya."

Cawthorne berkata, terdapat kenyataan yang  sengaja dibuat dengan maklumat terutamanya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pada 24 Mac penerbangan berakhir di Lautan Hindi.

Buku ini mendakwa maklumat yang salah membawa kepada pencarian lokasi yang salah dalam persekitaran yang begitu sukar yang mungkin akan berakhir dengan tiada sebarang penemuan, lapor SMH.

"Lagipun, tidak ada bangkai ditemui di selatan Lautan Hindi, yang dengan sendirinya adalah mencurigakan," kata Cawthorne.

Teori konspirasi dilanjutkan kepada kotak hitam pesawat dengan Cawthorne mencadangkan jika ia ditemui, ia boleh jadi mana-mana kotak hitam "dijatuhkan ke laut 1,600 km dari Perth manakala pencarian berlaku di Laut China Selatan".

Satu lagi buku mengenai MH370 dijadual akan diterbitkan tidak lama lagi adalah daripada pengarang penerbangan Christine Negroni, yang menulis "Deadly Departure on TWA Flight 800" tentang sebuah kapal terbang yang terhempas di Atlantik berhampiran New York pada 1996 dan  membunuh 230 di atasnya.

Semalam, dilaporkan pembuat filem India Rupesh Paul, orang di belakang filem lucah "Kamasutra 3D", sedang membuat filem berdasarkan kehilangan penerbangan MH370 itu.

"The Vanishing Act" yang bakal menemui penonton di seluruh dunia pada bulan September, sedang dipromosikan di Festival Filem Cannes, yang berakhir pada 25 Mei.

Khamis lepas, Malaysia, China dan Australia bersetuju memeriksa semula semua data berkaitan penerbangan MH370 untuk  menentukan kawasan carian dengan lebih terperinci, Reuters berkata, sebagai usaha mencari pesawat itu yang kini memasuki fasa baru.

Tiga negara juga bersetuju menjalankan kajian dasar dasar laut dan mendapatkan lebih banyak kenderaan carian laut dalam dan peralatan lain, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Australia akan bertanggungjawab mendapatkan aset carian baru daripada kontraktor komersil, kata Hishammuddin, sementara Malaysia dan China akan memberi peralatan dan perkhidmatan tambahan untuk carian.

Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang kemungkinan bantuan teknikal Amerika ketika  berjumpa Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat  Chuck Hagel pada sidang kemuncak di Singapura akhir bulan ini.

Berhujah dengan pembaca lebih sesuai daripada saman, kata peguam kepada Najib

Posted: 18 May 2014 02:13 AM PDT

OLEH EILEEN NG

 
Ancaman Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman Malaysiakini ekoran komen pembaca yang didakwa memfitnah itu adalah satu langkah yang mungkin menyusahkannya dan mendapat ejekan, kata pakar undang-undang.

Mereka berkata walaupun Najib mempunyai hak mempertahankan dirinya, langkah yang lebih sesuai adalah menerima tawaran Malaysiakini untuk menjawab dan berdiskusi dengan pembaca.

Peguam perlembagaan Edmund Bon (gambar) berkata, ia lebih baik kerana langkah itu hanya akan "memakan diri" kepada mana-mana ahli politik.

"Dalam era internet ini, ada positif dan negatif daripada maklum balas pembaca. Ahli-ahli politik adalah tokoh masyarakat. Oleh itu, mereka harus sudah menjangka akan terdedah kepada penilaian masyarakat. Berbanding mengambil tindakan saman, baik mereka membuat penjelasan dan memperbaiki tingkah laku mereka," katanya.

Malaysiakini melaporkan semalam Najib mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka atas penerbitan komen pembacanya berkenaan cara pengendalian beliau terhadap kebuntuan politik di Terengganu.

Portal berita itu berkata, tindakan undang-undang perdana menteri dimulakan atas kapasiti peribadi dan bersama dengan Umno melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Surat tuntutan dihantar dengan tangan kepada portal berita dalam talian itu pada Rabu lalu, yang menyatakan: "Komen dua pembaca dalam ruangan pembaca 'Yoursay' yang disiarkan pada 14 Mei, iaitu 'Kes PM tuai apa yang dia tanam' dan 'Berapa yang perlu Najib belanjakan untuk mengekalkan Terengganu?' adalah fitnah."

Mereka menuntut permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh 48 jam daripada pengeluaran surat dan penarikan balik artikel fitnah itu.

Bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata seperti mana-mana individu lain, Najib berhak mengambil tindakan untuk melindungi hak-hak undang-undangnya dan ia pernah berlaku di Singapura yang melibatkan perdana menteri republik itu.

"Bagaimanapun, terdapat persoalan sama ada beliau harus melakukan ini semasa menjadi perdana menteri yang melibatkan masanya yang berharga dan tenaga yang terganggu oleh apa-apa tindakan undang-undang tahap rendah.

"Ahli-ahli politik dan individu yang menduduki jawatan awam perlu menjangka kritikan daripada orang ramai, sebahagian atau hampir semuanya kadang-kadang bukan betul pun.

"Reaksi yang betul untuk penerima kritikan adalah menjawab kembali hujah-hujah terhadap kritikan itu," katanya dalam e-mel kepada The Malaysian Insider.

Peguam Ragunath Kesavan (gambar) berkata hasrat Najib membawa Malaysiakini ke mahkamah adalah "salah" kerana sebagai seorang ahli politik, mereka tertakluk kepada kritikan sepanjang masa.

"Awak adalah perdana menteri. Akan ada kritikan terhadap anda. Dan sebagai seorang ahli politik, anda mesti mempunyai kulit setebal tembok. Rakyat mempunyai hak demokratik untuk bercakap walaupun anda tidak bersetuju dengan mereka," katanya.

Sambil mengakui Najib mempunyai hak mempertahankan dirinya, Ragunath berkata beliau tidak akan menjadi pertama atau terakhir yang memulakan prosiding undang-undang terhadap media di negara ini, mencatatkan bahawa pemimpin pembangkang juga melakukannya banyak kali.

"Untuk berlaku adil kepada PM, terdapat banyak kenyataan yang dibuat terhadapnya dalam talian. Rakyat perlu belajar untuk bertanggungjawab dalam membuat komen dan ramai yang seolah-olah tidak sedar tentang tanggungjawab ini," katanya.

Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berkata, dalam menangani perkara-perkara yang disiarkan media, hak untuk menyiarkan adalah jawapan yang sangat penting.

Beliau berkata, sebanyak mana media mempunyai hak untuk membalas, pihak yang terkilan juga harus mempunyai hak membalas.

"Hanya jika media enggan menyiarkan jawapan daripada pihak yang terkilan maka pihak ini perlu mengambil media ke mahkamah," katanya.

Komitmen Dyana terhadap Bangsa Malaysia membimbangkan UMNO

Posted: 18 May 2014 02:07 AM PDT

_DSC7177


Roketkini.com

KUALA LUMPUR – Serangan UMNO terhadap Dyana Sofya, calon DAP bagi pilihanraya kecil Teluk Intan, adalah tanda-tanda bahawa parti tersebut gerun untuk berdepan dengan beliau di Parlimen kelak.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mendakwa bahawa pencalonan Dyana hanyalah bersifat kosmetik dan anak gadis berusia 27 tahun itu dijadikan boneka DAP.

Mengulas komen tersebut, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok menyifatkan serangan Shahrizat tersebut sebagai serangan yang sememangnya biasa ditujukan terhadap orang Melayu yang menyertai DAP atau bertanding atas tiket parti ini.

"Namun UMNO pastinya gerun dengan dua sifat yang dipamerkan Dyana – keberanian beliau dan komitmennya untuk mengutamakan bangsa Malaysia," ujar Teresa dalam satu kenyataan.

"Jika dilantik sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan, beliau pastinya akan menjadi antara Ahli Parlimen Pembangkang yang paling digeruni UMNO di Parlimen," tambah Ahli Parlimen DAP Seputeh itu lagi.

Menurut beliau lagi, pertarungan melawan politik perkauman UMNO memerlukan momentum berterusan, maka kemenangan DAP di Teluk Intan adalah sangat penting.

"Kemenangan Dyana akan turut menjadi kemenangan bagi konsep Malaysian first" ujar Teresa lagi.

Sebagai seorang graduan UiTM, Dyana pernah dilabel sebagai pengkhianat dan diserang bertalu-talu apabila mencadangkan supaya sebuah institusi seperti universiti itu dibina bagi membantu golongan miskin dari kalangan bukan-Bumiputera pula.

PRK Parlimen Teluk Intan akan bermula dengan penamaan calon esok, 19 Mei, dengan hari mengundi dijadualkan pada 31 Mei.

Kerusi Parlimen Teluk Intan kosong setelah wakil rakyatnya, Seah Long Peng, juga daripada DAP, meninggal dunia akibat barah pada 1 Mei lalu. – Roketkini.com

Ibu restui Dyana dan puji keberanian DAP bawa perubahan

Posted: 18 May 2014 02:02 AM PDT



_DSC7248



Roketkini.com


TELUK INTAN: Pencalonan Dyana Sofya membuktikan DAP berpegang teguh pada prinsip kepelbagaian untuk semua, kata Puan Yammy Samat, ibu kepada calon DAP untuk Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) Teluk Intan.

"Saya merestui pencalonan beliau, kerana apa yang diusahakan adalah demi kebaikan negara.

"Dengan meletakkan Dyana sebagai calon, pada saya adalah pilihan yang tepat di saat muncul pelbagai dakwaan terhadap DAP kononnya pro-Cina dan anti-Melayu, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Saya juga memuji tindakan berani DAP meletakkan calon muda yang lebih bertenaga dan berfikiran terbuka untuk dibawa ke Parlimen dalam menegakkan keadilan serta perubahan kepada rakyat, terutama kepada rakyat Teluk Intan," katanya ketika ditemui di pusat operasi pilihanraya DAP disini.

Beliau turut menyeru warga Teluk Intan terutama golongan veteran supaya berfikir berulang-kali sebelum mengundi.

"Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahukan kemenangan. Tapi semuanya terletak di tangan para pengundi.

"Jadi saya berharap pengundi di sini (Teluk Intan) membuat pilihan sewajarnya dengan memberi peluang kepada golongan muda yang lebih berdaya saing, demi menjayakan politiik baru untuk Malaysia," ujarnya.

Dyana Sofya, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang telah diumumkan sebagai calon DAP-Pakatan Rakyat tengahari tadi untuk menghadapi PRK Teluk Intan yang akan diadakan pada 31 Mei nanti berikutan kematian wakil rakyat sebelum ini, Seah Leong Peng, pada 1 Mei lalu. -Roketkini.com

'Shahrizat perlu belajar dari ibu saya'

Posted: 18 May 2014 01:46 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Calon DAP untuk pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menggesa ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil belajar daripada ibunya, Yammy Samat yang memberi sokongan kepadanya walau berbeza parti.

"Saya minta beliau belajar daripada ibu saya yang juga seorang anggota Umno tetapi menyedari bahawa pencalonan saya oleh DAP memberi peluang kepada wanita muda dalam politik, terutama wanita Melayu muda, yang sering terhalang dengan struktur kebapaan dalam Umno.

"Apa yang saya capai sekarang disebabkan oleh keluarga, ibu saya, dan kerja keras... dan keputusan peribadi yang saya buat sepanjang hidup saya," kata Dyana dalam satu kenyataan hari ini.

Ibu Dyana, seorang anggota Umno, ketika hadir sebagai tanda sokongan kepada anaknya itu semasa pengumuman calon pilihan raya kecil tersebut semalam berkata kini tiba masanya untuk golongan muda memikul lebih bertanggungjawab.

Yammy merupakan wanita pertama yang menjadi setiausaha wanita Umno bahagian dan kini kekal menjadi anggota Umno di Ipoh.

Shahrizat semalam berkata beliau bersimpati dengan Dyana yang didakwanya diperalatkan oleh DAP dan menjadi "boneka" DAP.

Ketua Wanita Umno itu juga berkata, Dyana tidak akan berada di kedudukan sekarang jika tidak kerana Umno.

Dalam jawapan balasnya, Dyana berkata beliau akan menjadi MP paling muda di Parlimen sekiranya dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Perkara itu pastinya tidak akan dapat dicapai sekiranya beliau menyertai Umno, katanya.

Katanya, kenyataan Shahrizat itu menunjukkan Wanita Umno gagal melonjakkan wanita ke kedudukan utama dalam negara.

"Dyana Sofya Bukan Boneka Kami" - Guan Eng

Posted: 18 May 2014 01:39 AM PDT

Dyana Sofya bakal mencabar Presiden Gerakan< Datuk Mah Siew Keong pada PRK Teluk Intan.
 
 
 
 GEORGETOWN: DAP yang sinonim dengan gelaran parti perkauman dan cauvinis cuba mengaburi mata pengundi apabila meletakkan calon wanita Melayu bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Ternyata ia sesuatu yang jarang dilakukan apabila pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud dianggap  detik bersejarah buat parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  tetap mempertahankan tindakan parti mempertaruhkan peguam muda itu sebagai  wanita Melayu pertama calon bertanding Parlimen.


                                            Dyana Sofya

Beliau  yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun membidas kenyataan pihak tertentu yang mendakwa pencalonan Dyana hanya sekadar boneka.‬

‪"Beliau (Dyana) seorang peguam dan tak senang jadi boneka. Sebelum dinamakan sebagai calon pelbagai fitnah timbul termasuk penyebaran gambar palsu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan makan malam wanita DAP di Dewan Han Chiang, Air Itam di sini, malam Sabtu.‬

Malahan, beliau juga mendakwa pihak lawan sengaja menyebarkan gambar Dyana berpakaian seksi untuk memburukkan peguam itu.

Calon DAP pada PRK Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo juga mempertahankan parti itu yang dikatakan tidak mendiskriminasi golongan wanita.

‪Terdahulu,  Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan pencalonan Dyana tidak lebih hanya sekadar sandiwara mereka untuk menafikan DAP sebagai sebuah parti cauvinis.

‪Malah Shahrizat berasa simpati terhadap Dyana kerana masih tidak sedar dirinya hanya dijadikan boneka dan telah diperalatkan oleh DAP dalam mencapai objektif parti itu untuk memiliki kuasa politik.‬

Artikel Berkaitan

Hudud: Apabila Mangsa Rogol Kena Sebat

Posted: 18 May 2014 01:34 AM PDT

Antara papan tanda amaran berkhalwat di Bandar Acheh
 
Oleh: SHAHANAAZ HABIB 


BANDA ACHEH: Mohd Nasir dilantik sebagai ketua kampung Lhok Bani, Langsa kira-kira 10 bulan lalu dan dalam tempoh singkat itu, beliau dilihat sedang menghadapi cabaran terbesar dalam hidupnya.

Dua minggu lalu, sekumpulan remaja dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak tiba-tiba merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku ketika melintasi rumah Yus, seorang ibu tunggal berusia 25 tahun.

Mengesyaki wanita itu melakukan hubungan terlarang yang sememangnya suatu kesalahan bagi umat Islam di Aceh mengikut undang-undang syariah, remaja itu bertindak menyerbu rumah berkenaan.

Selepas memeriksa, seorang lelaki ditemui bersembunyi dalam almari dan mereka mengikatnya dan kemudian menguncinya dalam almari itu semula sebelum bergilir-gilir merogol Yus.

Apabila subuh tiba dan Mohd Nasir sedang bersiap untuk menunaikan solat, beliau terkejut apabila sekumpulan remaja itu datang menyerahkan pasangan itu dan menyatakan mereka memerangkap kedua-duanya ketika berkhalwat.

Dalam keadaan kusut masai, pasangan itu disimbah air, debu dan kumbahan sebelum dihadapkan ke ketua kampung.

Mohd Nasir berkata, ketika dibawa kepadanya, Yus mengenakan pakaian tidur, bagaimanapun beliau tidak mengenali lelaki yang ditangkap bersamanya itu.

"Terkejut dengan kejadian itu, malah fikiran saya juga berserabut memikirkan dalam tempoh 10 bulan memikul tanggungjawab ini sudah diuji dan perlu berhadapan dengan kejadian seperti ini," katanya.

Beliau yang enggan gambarnya dirakam berkata, susulan kejadian itu beliau menghubungi polis syariah, Wilayahtul Hisbah (WH) yang terus menahan pasangan itu.

Bagaimanapun, situasi itu bukan kesudahannya, sebaliknya Mohd Nasir menerima satu lagi kejutan.

Dua hari kemudian, polis memaklumkan lapan remaja kampung itu disyaki merogol Yus selepas mendapati janda itu berdua-duanya dengan lelaki berkenaan di rumahnya.

"Saya terkejut mendengar berita ini kerana mereka hanya berusia antara 19 hingga 20 tahun, malahan ada juga yang berusia 13 tahun.

"Mereka tidak berkata apa-apa mengenainya ketika membawa wanita itu kepada saya," katanya.

Berikutan itu, tiga remaja terbabit ditahan polis, bagaimanapun lima yang lain melarikan diri.

Mohd Nasir berkata, keluarga lapan remaja terbabit kini tertekan dan trauma berikutan kejadian itu.

Polis Tubuh 'Team Cantas' Untuk Jamin PRK Aman

Posted: 18 May 2014 01:24 AM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
IPOH: Polis Perak mengambil pelbagai langkah termasuk menubuhkan 'team cantas' bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan berlangsung dalam suasana aman.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peranan pasukan itu ialah memintas sebarang cubaan menimbulkan kekacauan oleh pihak tertentu.

"Team cantas ini digerakkan ke semua lokasi yang dikenal pasti," katanya dalam sidang media di sini, Ahad.

Katanya, pasukan cantas itu juga bertujuan mencegah kejadian jenayah membabitkan kumpulan kongsi gelap.

"Selain itu, pihak risikan Jabatan Siasatan Jenayah juga mendokumentasikan individu yang dikenal pasti terbabit dalam beberapa insiden pergaduhan semasa pilihan raya umum ke-13," katanya.

Menurut Acryl Sani, polis juga meningkatkan kehadiran dan rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Mengenai proses penamaan calon esok, beliau menasihati parti-parti bertanding agar mengingatkan penyokong masing-masing menjaga kelakuan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Orang ramai juga dinasihati tidak menggunakan Jalan Changkat Jong yang dijangka dijadikan kawasan berhimpun calon dan penyokong parti-parti bertanding," katanya.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Penamaan calon ditetapkan Isnin, 19 Mei, manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Ruminah Sidek Selamat Bergelar Isteri Peneroka Felda

Posted: 18 May 2014 01:19 AM PDT



Pelakon veteran Ruminah Sidek selamat bergelar isteri kepada Al Fatah Rahim Ismail, 70, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di Klang, Sabtu.
 
 
KLANG: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon veteran Ruminah Sidek selamat bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di sini, Sabtu. 

Akad nikah itu disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid As Syarif, Meru Klang, Mohd Jani Sarman dan disaksikan oleh adik lelaki pengantin perempuan, Mohd Zainal Sidek kira-kira pukul 9.20 pagi.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, menerima mas kahwin sebanyak RM300, tanpa wang hantaran.

Ruminah menerima sebanyak tujuh dulang hantaran yang berupa kek, Al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, air minuman Twister, dan telekung.

Pihak lelaki pula menerima satu set wangian, kek, tepak sirih, set pakaian, sejadah, tuala dan buah-buahan.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O yang diacarakan oleh pelakon Abon, AR Badul dan Aida Gadis Melayu.

Dalam pada itu, Ruminah kelihatan sebak dan mengalirkan air mata selepas akad nikah sah dilaksanakan.

Dia ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah berkata mereka bersyukur dan gembira apabila telah selamat disatukan sebagai suami isteri dan berharap semua peminat mendoakan kebahagiaan mereka sehingga ke akhir hayat.



Majlis persandingan diadakan sejurus selepas selesai akad nikah yang turut disaksikan oleh hampir 3,000 tetamu termasuk keluarga kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, pada majlis persandingan itu, Ruminah tampil anggun dengan busana berwarna krim koleksi peribadinya. Manakala bagi sesi persandingan pasangan ini mengayakan pakaian pengantin berwarna ungu tajaan Izika Collactin.

Bagi pelamin indahnya ditaja oleh Adi Wedding Decoration, manakala sentuhan solekan daripada jurusolek Razzi Musa.

Pelbagai jenis bunga hidup berwarna putih dan ungu serta bunga telur menghiasi ruang nikah dan pelamin ditaja oleh Intan Saga Florist.

Dalam pada itu, hujan lebat mengiringi majlis akad nikah yang dijalankan di ruang anjung kediaman tersebut.

Pihak pengantin perempuan sedondon mengenakan baju berwarna ungu, manakala pihak lelaki yang hadir bertandang lebih 50 orang dengan pakaian berwarna oren.

Turut kelihatan pada majlis tersebut pelakon Adlin Aman Ramli dan isteri Emelda Rosmila.
Majlis turut demeriahkan dengan dendangan lagu-lagu asli daripada Badan Kebudayaan Kuala Kangsar.

Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang dekat sini.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie.

Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.

Wacana Sinar bincang isu GST

Posted: 18 May 2014 01:10 AM PDT


WacanaGST


SHAH ALAM – Pada pembentangan belanjawan 2014 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan akan melaksanakan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Sebaik pengumuman dibuat, ramai pihak melahirkan kebimbangan, keliru, marah dan tidak kurang juga yang tahu apa maksud sebenar GST.

Oleh itu, bagi memahami isu sebenar mengenai GST tersebut, Sinar Harian media yang dekat di hati rakyat sekali lagi akan menjadi platform antara pemimpin dan rakyat berbincang mengenainya.

Wacana Sinar Harian siri  ke-28, membawakan kepada anda tajuk GST: Siapa untung, siapa rugi untuk sama-sama kita berbincang secara ilmiah, mencari satu titik pemahaman mengenai isu penting ini yang mungkin akan mengubah kehidupan sesetengah daripada kita selepas ini.

Wacana kali ini, kami tampilkan barisan panelis yang tidak asing lagi, iaitu Pengarah Strategis PKR Rafizi Ramli,Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran,Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara,Profesor Dr Faridah Hassan dan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah.

Sementara moderatornya, kali ini Sinar Harian membawakan kembali Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Jadi jangan ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan wacana kali ini yang akan diadakan pada Rabu ini (21 Mei 2014), jam 2.45 petang di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini. Masuk adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Laila (019-3310211), Fazli (019-2808492) dan Nurkhairini (019-3371066).

Masih percaya berakhir di selatan Lautan Hindi

Posted: 18 May 2014 01:08 AM PDT


Hishammuddin Tun Hussein.  
Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


TARIKH  8 Mac 2014 pasti menjadi ingatan seluruh dunia terutama Malaysia apabila pesawat Boeing 777 milik MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada dikesan radar dan masih gagal ditemui sehingga ke hari ini.

Insiden itu dianggap sebagai situasi luar jangka, selain ahli keluarga individu yang paling terkesan dalam tragedi MH370 adalah Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Setelah lebih dua bulan usaha mencari pesawat MH370 digerakkan, masih belum ada sebarang bukti kukuh seperti serpihan  pesawat ditemui.  Pencarian MH370 bakal tercatat dalam rekod dunia apabila melibatkan 26 buah negara dengan jumlah aset terbesar.

Ikuti sambungan temubual bersama individu penting dalam misi pencarian MH370 ini.

Susulan ketiadaan sebarang bukti dijumpai untuk mengaitkan MH370,  ada pihak mengatakan kemungkinan kawasan pencarian kita adalah salah, bagaimana pendirian Datuk Seri?

Keputusan kita bersandarkan kepada nasihat dikeluarkan Inmarsat melalui data mereka sebelum ini.

Kita tidak dapat mengkaji sedalamnya mengenai data asal itu kerana ia berada pada tangan Inmarsat.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan pakar terutama dari Australia kita masih percaya pada penemuan data bahawa lokasi terakhir itu di Selatan Lautan Hindi dan kedua berdasarkan isyarat lima bunyi 'ping' yang dijumpai.

Setakat ini, dua lokasi isyarat 'ping'  yang dikesan telah melakukan pencarian di situ sepenuhnya dan masih berbaki tiga lagi lokasi itu akan digerakkan dalam fasa yang baru ini.

Dalam fasa baru ini Malaysia, China dan Australia melihat sebarang maklumat terkini hasil penyelidikan pihak berkuasa dan pakar.

Banyak pihak tertanya-tanya memandangkan Datuk Seri adalah pemangku Menteri Pengangkutan dan ada khabar angin mengatakan akan ada pengganti dalam masa terdekat, bagaimana isu MH370 akan diuruskan?

Saya masih di sini atas kepercayaan yang diberikan. Sejauh mana perjalanan misi pencarian ini masih berada pada bahu saya, malah saya rasa seluruh dunia melihat saya sebagai Menteri MH370. Justeru itu saya tidak rasa saya dapat lari dari tanggungjawab yang sedang digalas ketika ini.

Saya gembira sebab diberi peluang bekerjasama dengan timbalan menteri daripada beberapa kementerian.

Sejak kehilangan MH370 banyak spekulasi dan perkara dibangkitkan sebelum ini, satu demi satu perkara cuba dibongkarkan, bagaimana kerajaan menangani perkara itu?

Setiap hari ada sahaja isu berbangkit,  sebelum ini soal transponder, juruterbang, kemudian perbualan antara menara kawalan membawa kepada soal gambar satelit.

Perkara ini tidak akan habis dibangkitkan.  Saya ingin ingatkan orang ramai, setiap penemuan baharu yang kita akan siasat.

Kalau kita nak layan semua semua spekulasi termasuk  'tikar terbang' yang menjadi cakap-cakap orang ramai itu, kita tidak dapat maju ke hadapan.

Jika kita media dalam konteks media asing, hari ini adakah mereka sebut lagi soal  MH370?  Tiada, mereka kini lebih berminat pada feri di Korea, isu di Nigeria.

Tetapi perasaan keluarga sesuatu perlu kita tangani, kalau rating menjadi pertimbangan, itu bezanya media Malaysia dengan barat yang lebih kepada tarikan rating tanpa hiraukan perasaan keluarga terlibat dan operasi yang boleh terjejas.

Contoh, dakwaan di Teluk Benggala, kita tidak boleh terburu-buru menggerakkan aset ke sana hanya kerana mahu melayan spekulasi itu, banyak perkara perlu di fikirkan dari segi pengalihan aset dan sebagainya. Sehubungan itu kami konsisten sejak daripada awal supaya setiap tindakan yang ingin dilakukan bertanggungjawab.

Adakah kerajaan terfikir mengkaji semula berhubung kawalan penerbangan awam serta ketenteraan bagi memudahkan pengesanan di kemudian hari?

Dalam situasi yang berlaku, bukan hanya Malaysia sahaja yang tidak mengguna pakai radar yang sama dengan pesawat awam dan tentera malah negara lain juga. Jadi seluruh dunia perlu duduk memikirkan perkara ini bagi mencari jalan terbaik agar perkara sama tidak berulang.

Kerajaan telah mengambil langkah baharu dengan meminta bantuan daripada pihak komersial dalam menyumbangkan aset mereka, sejauh mana perkara itu dilakukan?

Seperti sedia maklum, kita berunding dengan Petronas, Deftech, Sapura Kenchan dan Bousted, kita akan mempertingkatkan lagi usaha mendapatkan penglibatan negara luar seperti China dan Jepun.  Tumpuan kini daripada syarikat galian gas dan minyak.

Kita telah mengenal pasti beberapa aset baharu dan perkara itu akan dimuktamad dalam jawatankuasa aset di bawah pemantauan Datuk Abdul Rahim ( Timbalan Menteri Pertahanan).

Difahamkan terdapat pihak ketiga dari China bersedia membantu misi pencarian fasa baru ini, perkara itu akan dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua minggu lagi.

Bagaimana cadangan untuk menaik taraf radar ketenteraan Malaysia?

Suka atau tidak, kita perlu menaik taraf radar ketenteraan kita, setelah mengetepikan kepentingan keselamatan negara kita terpaksa mendedahkan keadaan 'air turn back'.

Keadaan itu bermakna kita telah mendedahkan keupayaan radar kita, sehubungan itu perlu kita naik taraf radar ketenteraan. Perkara ini sedang diperhalusi, kerana ketika ini seluruh negara telah mengetahui keupayaan kita.

MAS antara pihak paling terkesan, apakah yang perlu dilakukan dalam situasi semasa?

Kita mesti memberi keyakinan kepada kakitangan MAS, kerana mereka tidak berdosa dalam isu ini. MAS juga perlu sedar kerajaan tidak bertanggungjawab dalam semua hal terutama berhubung ahli keluarga dan mengotakan janji mereka. Ambil perhatian isu ahli keluarga penumpang dan kru terlibat. Banyak perkara kerajaan bantu dan hanya itu kita minta daripada mereka.

Tiada kuota Tabung Haji

Posted: 18 May 2014 01:04 AM PDT


Daud Che Ngah  
Daud Che Ngah


SHAH ALAM - Tabung Haji  tidak menetapkan jumlah kuota kepada mana-mana agensi yang diluluskan untuk membawa jemaah ke tanah suci.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours, Datuk Daud Che Ngah berkata, Tabung Haji hanya mengeluarkan lesen kepada seagensi terlibat seawal Januari atau Februari untuk memastikan berapa jemaah yang akan dibawa setiap musim haji.

"Berdasarkan pengalaman saya, Andalusia pernah bawa paling ramai 1,400 jemaah, tapi ada juga kita bawa 200 sahaja. Setahu saya ada 19 agensi yang diluluskan Tabung Haji dibenakan membawa jemaah.

"Tabung Haji hanya benarkan kita bawa jemaah lebih daripada 100 orang. Ini kerana dengan mengambil rekod prestasi agensi tersebut, jika ramai yang berminat dengan sesebuah agensi tersebut, bermakna syarikat itu prestasinya baik," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selepas menyerahkan jumlah nama bakal jemaah yang akan mengikuti pakej di sesebuah agensi, Tabung Haji kemudian akan memaklumkan semula kepada agensi terlibat berkenaan prosedur yang ditetapkan.

"Seperti tahun lalu, Malaysia hanya dapat kuota 22,000 bakal jemaah berbanding tahun-tahun sebelum ini sebanyak 28,000 kerana kerajaan Arab Saudi melakukan ubah suai di Masjidil Haram.

"Tabung Haji akan tengok dulu berapa ramai yang akan kita bawa dan memastikan kebajikan kesemua jemaah itu seperti penyediaan bilik penginapan dan sebagainya. Pihak agensi juga selepas mengesahkan jumlah jemaah, perlu bayar satu pertiga kos hotel penginapan," ujarnya.

Ramai didakwa masih buta huruf

Posted: 18 May 2014 01:02 AM PDT


Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh  
Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh


SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara perlu disemak semula keberkesanannya berikutan masih ramai pelajar didakwa masih tidak berupaya menulis dan bertutur dengan baik.

"Sistem pendidikan negara tidak berjaya kerana kita tidak pandai bercakap, tidak pandai menulis dan bahasa Melayu sekarang ini dalam keadaan yang kacau.

"Saya risau satu bangsa itu diajar bahasanya hanya melalui jawapan objektif baik bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris, hanya ada satu kebenaran dalam satu jawapan," kata Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, pendidikan yang menggunakan pendekatan jawapan objektif atau pilihan tidak membantu anak bangsa berkembang dan berfikiran kritis.

"Itu bukan satu cara untuk membantu bangsa kita berkembang (pemikiran).

"Malah bahasa itu juga masuk Parlimen yang membayangkan perasaan, menilai dan cara berbincang kita, kalau begitulah bermakna tamadun kita tidak berapa tinggi," katanya.

Sementara itu, Felo Bahagian Nusantara, Penang Institute, Dr Mustafa Kamal Anuar berkata, bahasa adalah medium untuk berhubung antara satu sama lain dengan meluahkan pandangan dan berkongsi idea.

Menurut Mustafa, penguasaan bahasa kebangsaan itu penting namun ia tidak sewajarnya dikongkong dan ditentukan oleh kerajaan yang memerintah.

"Wacana pun ada dominan untuk pengaruhi masyarakat dikuasai golongan dominan pemerintah atau pemodal.

"Apabila ada pihak mengharamkan dan menapis buku, wayang, akhbar dan majalah, tindakan itu dilihat anti demokratik dan menafikan sesuatu idea itu berkembang," katanya lagi

Calon DAP di Teluk Intan adalah 'underdog'

Posted: 18 May 2014 01:01 AM PDT

PRK Teluk Intan: Dyana Sofya sah calon DAP


GEORGETOWN - DAP mendakwa calonnya bagi PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud sebagai 'underdog' untuk menentang calon BN, Datuk Mah Siew Keong.
      
Beliau berkata, punca pendapatan penduduk di Teluk Intan harus menjadi keutamaan dan Dyana mempunyai keupayaan untuk berkhidmat.  

"Kami adalah 'underdog' berbanding calon BN di Teluk Intan tetapi kami akan terus berjuang dan mengubahnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di pasar Air Itam yang turut disertai calon DAP PKR Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo di sini hari ini.

Guan Eng juga mendakwa, Siew Keong yang juga Presiden Gerakan seorang yang kaya sedangkan Dyana tidak, namun mempunyai keberanian untuk berjuang demi rakyat.

PRK Teluk Intan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
      
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan 19 Mei dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun berkata, beliau tidak akan hadir semasa pencalonan di Teluk Intan esok kerana perlu menghadiri Persidangan Dun Pulau Pinang.
      
"Saya akan hadir untuk ceramah di Teluk Intan tetapi untuk pencalonan saya tidak akan dapat hadir kerana persidangan Dun," katanya.
      
Pada PRU13, Leong Peng, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. - Bernama

MH370: Seseorang menyembunyikan sesuatu

Posted: 18 May 2014 12:55 AM PDT


MH370: Seseorang menyembunyikan sesuatu


SHAH ALAM – Pengeluar pesawat yang digunakan Malaysia Airlines (MAS), Boeing Corporation perlu memberi penjelasan tentang sistem pendaratan automatik yang terdapat pada pesawat Boeing 777 seperti yang dilaporkan The Flightglobal.com.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam entri blog terbarunya berkata, beliau tidak dapat membayangkan juruterbang yang mengendalikan MH370 membuat pendaratan yang licin di lautan yang 'ganas' dan kemudiannya tenggelam begitu saja.

Beliau juga menyebut adalah tidak adil kesalahan insiden kehilangan MH370 hanya diletakkan kepada Malaysia dan MAS.

"Boeing harus menjelaskan tentang sistem yang dipanggil pendaratan automatik anti keganasan ini.

"Seseorang menyembunyikan sesuatu. Tidak adil kesalahan itu ditanggung Malaysia dan MAS sahaja," katanya yang dipetik melalui entri bertajuk 'Boeing Technology-What Goes Up Must Come Down', hari ini.

Menurutnya, sesebuah pesawat boleh terbang dan berada di udara untuk satu-satu tempoh masa tetapi ia tetap perlu turun ke bawah sama ada selamat mendarat atau kemalangan.

"Tapi, pesawat tidak terus hilang. Tidak pada masa sekarang dengan kemajuan sistem komunikasi, radio, satelit dan kamera tanpa filem yang beroperasi tidak putus dan kapasiti simpanan yang besar.

"Sistem komunikasi dan GPS pastinya telah dilumpuhkan, jika tidak, stesen pasti boleh menghubungi dan mengesan pesawat berkenaa," katanya.

Tun Mahathir menyentuh mengenai maklumat yang diperoleh daripada carian di Internet iaitu Boeing telah menerima paten Amerika Syarikat (AS) bagi sistem kawalan pemanduan automatik.

"Carian di Internet mendedahkan, Boeing menerima paten AS pada 2006 bagi sistem yang sekali diaktifkan ia akan menghilangkan kawalan pemaduan juruterbang dan mendarat di lokasi yang ditentukan sistem itu.

"The Flightglobal.com melalui sebuah artikel ditulis John Croft dengan dateline Washington DC (1 Dis 2006) menyebut, 'pemanduan automatik yang tidak boleh diganggu atau pintas akan diaktifkan, sama ada oleh juruterbang, alat pengesan dalam kapal ataupun dikawal radio atau satelit yang dihubungkan oleh agensi kerajaan seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA), jika terdapat ancaman pengganas untuk mengambil alih kokpit'.

"Jelas Boeing dan beberapa agensi mempunyai keupayaan untuk mengambil alih kawalan penerbangan," tegasnya.

Katanya,  pencarian debris, kesan tumpahan minyak atau mendengar bunyi 'ping' dari kotak hitam hanya membazir masa dan wang.

"Ini bukan kejadian nahas biasa selepas kehabisan bahan bakar. Pesawat itu ada di mana-mana mungkin tanpa pengetahuan MAS," katanya.

Timbalan Ketua Pemuda MCA keluar parti

Posted: 17 May 2014 05:07 PM PDT


Yee Kok Wah  
Yee Kok Wah


BANDARAYA MELAKA - Hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan Pusat MCA merupakan faktor utama yang mendorong Timbalan Ketua Pemuda MCA Kota Melaka, Dr Yee Kok Wah, keluar parti.

Menurut Kok Wah, beliau kecewa dengan kepimpinan parti itu yang didakwa 'banyak membuang masa' selepas PRU13 tahun lalu.

Katanya, beliau sudah pun menghantar surat peletakan jawatan dari semua jawatan parti serta keahlian dalam parti ke ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.

"Dengan ini, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menarik diri sebagai ahli MCA kerana saya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti (Datuk Seri Liow Tiong Lai).

"Saya berharap tindakan saya melepaskan jawatan dan keahlian ini akan menyebabkan kepimpinan parti lebih serius dalam usaha mentransformasikan MCA," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin dalam laman media sosial Facebook, di mana beliau ada mengumumkan mahu meninggalkan parti berkenaan.

Beliau memuat naik status yang berbunyi 'Thank you MCA for giving me a chance to learn..the experience I gained, I will never forget..the ppl that I'm going to miss much r those good comrades and my supporters.. I'm quitting n wish u all the best' dalam laman sosial itu.

Sebelum ini, Kok Wah, 36, pernah disebut sebagai barisan kepimpinan masa depan MCA negeri berikutan sokongan generasi muda kepada beliau.

Pada PRU13, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Melaka bagaimanapun, tewas kepada Sim Tong Him (DAP) dengan majoriti 20,746 undi.

Mengenai keputusannya untuk keluar parti, Kok Wah berkata, ia merupakan keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, beliau akan terus menyokong BN walaupun bukan lagi di dalam MCA.

"MCA adalah sebuah parti yang baik. Cuma sayang kepimpinan parti mengecewakan saya. Ini satu tindakan amat berat untuk saya lakukan. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan penuh kepada klinik serta keluarga saya," katanya.

Mara mahu tempatkan pelajar di Stanford University

Posted: 17 May 2014 05:05 PM PDT

Mohd Shafie Apdal  
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal


KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhasrat menempatkan pelajar jurusan sains dan teknologi maklumat tajaannya ke universiti tersohor Stanford University di Amerika Syarikat buat kali pertama tidak lama lagi.
  
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan bagi mempermudahkan proses kemasukan memandangkan belum terdapat pelajar tajaan Mara ditempatkan di universiti tersebut.
  
"Kita tanya bagaimana proses untuk mempermudahkan penempatan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan adakah mereka iktiraf sistem transfer kredit kita.
  
"Kita telah pelawa mereka datang Malaysia dan lihat bagaimana institusi pembelajaran dan pengurusan di Mara. Bagi saya tiada masalah kerana dahulu kita pernah berbincang dengan wakil Cambridge University (Amerika Syarikat) untuk kemasukan pelajar kita," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya dari Amerika Syarikat di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd Shafie dan delegasi Mara sedang dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat selama enam hari bermula Khamis lalu yang antara lain mahu mencari titik pertemuan dengan pemain industri pengajian tinggi seperti Stanford University di California dan pemain teknologi maklumat Amerika Syarikat.
  
Lawatan juga bertujuan mencari peluang untuk mengembangkan operasi Mara di dalam dan luar negara membabitkan pelajar dan usahawan supaya boleh diguna pakai dalam mengisi keperluan industri negara. - Bernama

Gerakan: Mengapa tiada tindakan terhadap ISMA?

Posted: 17 May 2014 04:59 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Presiden Gerakan Cheah Soon Hai ingin tahu mengapa tidak ada tindakan yang diambil terhadap Ikatan Musliman Malaysia (ISMA) walaupun banyak laporan polis telah dibuat terhadap ISMA kerana menganggap orang Cina sebagai penceroboh.

"Dalam pada itu... ISMA membuat satu lagi kenyataan mengatakan bahawa sebuah parti politik mampu mencetuskan sekali lagi peristiwa 13 Mei," keluh Cheah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Mei, polis berkata ia sedang menyiasat ketua ISMA Abdullah Zaik Abdullah Rahman atas dakwaan menghasut, sehari selepas beliau menuduh kaum Cina Malaysia Cina sebagai penceroboh di negara ini.

Semalam, NGO itu mencetuskan satu lagi kontroversi apabila mendakwa, perjuangan DAP dan kaum Cina jika dibiarkan, mampu memecah-belah dan mencetuskan huru-hara di Malaysia.

Cheah berkata kenyataan ISMA itu dianggap boleh menimbul kebencian dan merupakan percubaan untuk menyemai rasa curiga di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tambahnya, kaum Cina dan India di Malaysia adalah keturunan dari beberapa generasi pendatang yang kini telah diserapkan ke dalam negara ini dan tidak boleh disuruh pulang ke China atau India.

Menurutnya, sumbangan semua masyarakat harus diberi tempat dalam buku-buku sejarah di negara ini.

"Subjek sejarah kita seharusnya menceritakan kebenaran bahawa pelbagai kaum sememangnya menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan Malaysia hari ini," katanya.

Tiada ulasan: