Jumaat, 4 April 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Mangsa Culik Sedang Ditahan Di Pulau Selatan Filipina - Esscom

Posted: 04 Apr 2014 10:53 PM PDT

SEMPORNA: Dua wanita asing yang diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf dari resort Singgahmata di sini sedang ditahan di sebuah pulau di selatan Filipina dan masih hidup serta berada dalam keadaan baik.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata berdasarkan risikan, kedua-dua mereka, seorang warga China, Gao Huayun, 29, dan seorang pekerja resort Filipina Marcy Darawan berada dalam keadaan 'baik'.

Esscom, katanya, telah mengenal pasti lokasi di mana kedua-dua tebusan ditahan serta identiti penculik.

Salah seorang penculik dipercayai turut terlibat dalam penculikan seorang wanita Taiwan pada 15 November di Pulau Pom Pom.

"Mereka yang selebihnya dipercayai mempunyai kaitan dengan penculikan di pulau Sipadan (21 orang) pada tahun 2000," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.






Pasukan polis Filipina melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal di Kampung Indanan, selatan Filipina selepas dua orang wanita diculik kumpulan lelaki bersenjata dipercayai kumpulan Abu Sayyaf. -foto EPA



"Kami percaya kumpulan 'culik untuk tebusan' ini aktif dan agresif di selatan Filipina," kata Mohammad sambil menambah masyarakat tempatan Filipina berkemungkinan telah menyediakan maklumat kepada kumpulan lelaki bersenjata terbabit.


Mohammad berkata, 15 pekerja asing di resort telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

Katanya, Jabatan Imigresen telah diarahkan untuk menjalankan siasatan penuh dan mengambil tindakan termasuk mengenakan tindakan terhadap pengendali resort kerana mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen sah.

"Kita tidak boleh berkompromi lagi. Kami telah memberi nasihat dan peringatan yang mencukupi untuk semua pengendali di kawasan itu namun begitu ramai yang enggan mematuhinya," katanya.

Mohammad berkata sebelum kejadian pada Rabu, pasukan keselamatan telah berjaya menggagalkan percubaan lima bot yang mahu masuk ke dalam Semporna pada 26 Mac.

"Kehadiran tentera kita di kawasan itu berjaya menghalang empat daripada bot daripada memasuki perairan Semporna," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jika bot yang kelima itu yang digunakan dalam kejadian di resort Singgahmata

'Saya Tidak Memangku Jawatan PM Pada Hari Peristiwa Memali Berlaku' - Musa Hitam

Posted: 04 Apr 2014 09:44 AM PDT



Diterbitkan: Jumaat, 4 April 2014 
Tun Musa Hitam
Musa Hitam.
KUALA LUMPUR: Tun Musa Hitam pada Jumaat mendakwa beliau tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari peristiwa Memali berlaku kerana Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di dalam negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata pada hari kejadian, beliau bersama Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Amin Osman telah menemui Dr Mahathir di pejabatnya dan Mohd Amin memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku.
Taklimat itu mengenai operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.
"Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab (iaitu) peristiwa ini berlaku di negeri Kedah, negeri perdana menteri sendiri; peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.
"(Dan) dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam kejadian pada 19 November 1985 itu, seramai 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.
(Menurut laporan media, pertempuran antara pihak polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila penduduk cuba menghalang Ibrahim Libya dari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.)
Musa berkata, beliau memaklumkan cadangannya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen kepada Dr Mahathir yang pada ketika itu membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.
"Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokkan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media," katanya.
Namun, Musa, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkata beliau mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap apa yang berlaku walaupun tidak terlibat secara langsung dalam peristiwa berkenaan.   
"...tetapi (saya) menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ia dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi. 
"Sebagai Menteri Dalam Negeri (pada ketika itu) saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara (iaitu) proses undang-undang hendaklah dipatuhi dan elakkan kekerasan dan pertumpahan darah," katanya.
Musa berkata, beliau tidak berniat untuk mencetuskan polemik baharu berkaitan Memali, tetapi ia dihidupkan semula berikutan responsnya kepada soalan yang diajukan oleh seorang moderator dalam program diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan, 27 Mac lepas.
"Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali," katanya sambil menambah beliau telah dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa itu oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS.
"Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan Menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.
"Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia mewawancara saya. 
"Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa," katanya.
Musa berkata, beliau sedar perkembangan terbaru itu telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan positif mahupun negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baharu ke atas dirinya.  
"Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya. 
"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada Nya saya memohon petunjuk dan keadilan," katanya.

Adakah pesawat MH370 hilang atau dihilangkan?

Posted: 04 Apr 2014 01:42 AM PDT

ALOR SETAR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat berikutan kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu adakah disebabkan penglibatan kuasa-kuasa besar dunia yang sedang mencatur politik mereka.

Katanya, kerajaan tidak perlu menunggu penemuan kotak hitam untuk membuat sebarang pengumuman.

"Saya pasti kerajaan sudah tahu hal yang sebenar di sebalik kejadian tersebut dan siapa berada dalam insiden ini," jelasnya.

Kata beliau lagi, selepas peristiwa 911 satu pendedahan dilakukan dan mengesahkan penglibatan Amerika dalam kejadian tersebut.

"Kalau 911 Amerika terlibat dan adakah insiden MH370 ini juga akibat dari negara besar itu.


"Dalam pada itu, sehingga sekarang kita tidak tahu siapa sebenarnya pemilik bateri lithium dan syarikat mana yang menghantarnya ke Beijing.


"Apa tujuan ia dihantar ke sana sedangkan kita sendiri membeli barang dari sana?" soal beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan tentang misteri MH370 itu sama ada hilang ataupun dihilangkan.

"Apa sebenarnya berlaku, malah saya melihat penglibatan 26 negara itu seolah-olah mereka telah ditutup mulut oleh pihak tertentu.

"Pengalihan kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi adalah untuk melengah-lengahkan masa.

"Sekarang masa untuk menutup segala-galanya hampir sampai, tempoh hayat bateri kotak hitam hampir tamat dan ia pasti akan menjadi alasan," katanya.

Mahfuz juga meminta agar kerajaan perlu tampil memberi penjelasan secara telus tanpa ada sebarang perkara yang diselindungkan kerana ia melibatkan maruah negara.

Beliau tidak mahu Malaysia menjadi mangsa sedangkan percaturan sebenar adalah kuasa besar dunia. - Harakah

Wang Tebusan RM11.5 Juta Untuk Tebusan Bukan Warga Filipina

Posted: 03 Apr 2014 11:29 PM PDT


Diterbitkan: Jumaat, 4 April 2014 9:10 AM

PETALING JAYA: Kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai bertanggungjawab menculik seorang warga china dan seorang pekerja resort warga Filipina di Semporna Sabah akan meminta wang tebusan sehingga AS$3.5 juta (RM11.5 juta) untuk membebaskan mangsa bukan warganegara Filipina, kata seorang penganalisis keselamatan.

Prof Dr Aruna Gopinath yang pakar dalam keselamatan maritim berkata, kumpulan pemisah yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina itu akan mengenakan kadar yang lebih rendah sekitar tiga juta pesos (RM219,000) untuk membebaskan tebusan warga Filipina.

"Kumpulan Abu Sayyaf hanya berminat untuk mendapatkan wang dan wang tebusan akan dibayar sebelum mereka membebaskan tebusan," katanya.
Aruna berkata, seorang wartawan Filipina yang dikenalinya diculik oleh kumpulan itu pada 2011 dan dijadikan tebusan selama 90 hari.
"Dia bertemu dengan ketua kumpulan Abu Sayyaf di Basilan untuk temu bual tetapi sebaliknya diculik oleh mereka. Dia dikurung di dalam sebuah rumah dan hanya diberikan air dan dua biji pisang tiga kali sehari.
Aruna berkata, seorang ahli kongres Filipina akhirnya bersetuju untuk membayar wang tebusan tiga juta pesos sebelum mangsa dibebaskan.
Sebuah lagi kumpulan iaitu Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang pakar dalam kegiatan penculikan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia, kata Aruna.

Dalam perkembangan lain, Associated Press memetik seorang pegawai risikan Filipina pada Khamis sebagai berkata mengesahkan penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
Menurut pegawai tersebut, ketua kumpulan Abu Sayyaf itu berang kerana tidak dibawa bersama dalam perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).-  mStar

Tiada ulasan: