DIALOG RAKYAT |
- Mahkamah tentera terima 5 bantahan Mejar Zaidi
- 'Anwar tak pernah pimpin Demo Baling'
- Isu Memali: Menteri kata jangan buka aib
- Pelancong China mati lemas di P Perhentian
- 'PDRM satu-satunya agensi tanpa pegawai SPRM'
- Siapa tanggung kos AS cari MH370?
- 28 Aset Dikerah Jejaki MH370 Hari Ini
- Sidang Dun Selangor kecoh: Bangkit kes liwat Anwar
- Hendak sekat media luar negara macam parti politik buat?
- Mengapa musuh mudah lolos walaupun ada ESSCOM
- Perlaksanaan GST mungkin senasib PPSMI
- Isu intipan pihak asing terus dipantau
- Bahagian 2: Di mana kita patut risau dengan GST?
- RazakSAT hangus RM141.78 juta
Mahkamah tentera terima 5 bantahan Mejar Zaidi Posted: 08 Apr 2014 07:55 AM PDT MALAYSIAKINI Mahkamah tentera menerima bantahan awal Mejar Zaidi Ahmad terhadap lima pertuduhan berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13. Lima bantahan yang diterima mengenai kesalahan itu adalah tuduhan mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972. Dua lagi ditolak adalah bantahan ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 51 akta sama, berhubung kesalahan menghantar pesanan SMS berbaur politik dan hasutan. Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon Hasnan memutuskan lima pertuduhan yang dibantah itu akan dirujuk kepada "pihak berkuasa sidang" untuk tindakan lanjut. "Pihak berkuasa sidang" merujuk kepada Panglima No 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif bin Abdul Ghani. Ahmad Zaidi, seorang pegawai dari Pengkalan Udara Butterworth mengemukakan bantahan tersebut melalui peguamnya Hanipa Maidin. Pertuduhan berkenaan dijalankan ke atas Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia itu pada 7 Februari lalu. Hanipa Maidin mengemukakan bantahan itu mengikut Kaedah 62 Kaedah-kaedah Acara Angkatan Tentera (Mahkamah Tentera) 1976. Beliau ketika mengemukakan hujahnya berkata, lima pertuduhan yang dibantah itu mengandungi kecacatan dan tidak betul kerana ia tidak wujud dalam Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972. Menurutnya, kesalahan "melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera" dalam lima pertuduhan itu berbeza dengan kesalahan "tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah daripada pegawai atasan" seperti dinyatakan dalam Seksyen 50(2). Jelasnya, seksyen tersebut memperuntukkan kesalahan "tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah daripada pegawai atasannya" dan bukannya kesalahan "melanggar perintah". Hujahnya lagi, Seksen 2 akta yang sama juga tidak menafsir "Majlis Angkatan Tentera" sebagai pegawai atasan Zaidi Ahmad. "Kalau pertuduhan tidak betul, bagaimana kita hendak kendalikan kes? Dan bagaimana kami hendak tahu bagaimana kami hendak soal saksi?," katanya. Katanya, mahkamah perlu mengambil kira beban pembuktian dan juga pertuduhan dalam kes ini terlebih dahulu perbicaraan dilanjutkan. "Kalau pertuduhan tak betul, bagaimana kami hendak panggil saksi?" kata Hanipa. Seorang dari ahli mahkamah, Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom bersetuju dengan hujah Hanipa yang membantah pertuduhan pertama hingga kelima. "Mahkamah bersetuju dengan peguam bela yang pertuduhan ini ada kecacatan. "Maka dengan ini bagi pertuduhan pertama hingga kelima, mahkamah bersetuju dengan bantahan peguam bela," kata Zainurin. Bagi tuduhan keenam dan ketujuh, Hanipa berhujah bahawa elemen politik atau hasutan tidak wujud dalam SMS yang didakwa dihantar Zaidi. "Dengan tuduhan cacat ini, ia memprejudiskan pihak pembela untuk membela dirinya (Zaidi Ahmad)," hujah Hanipa. Zainurin bagaimanapun menolak hujah tersebut dan menetapkan bahawa pendakwaan perlu membuktikan perkara tersebut semasa perbicaraan. Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon Hasnan kemudian menetapkan tarikh 10, 11 dan 12 Jun sebagai tarikh baru untuk mahkamah bersidang semula sementara menunggu pertimbangan dari pihak berkuasa sidang. Dengan keputusan ini, pendakwaan mungkin akan meminda pertuduhan, menggugurkan atau mengemukakan pertuduhan baru ke atas Zaidi. Selain Zainurin dan Saadon, empat orang lagi ahli mahkamah yang mendengar kes ini adalah Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad. Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin. Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan. | |||
'Anwar tak pernah pimpin Demo Baling' Posted: 08 Apr 2014 07:50 AM PDT MALAYSIAKINI Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memimpin perhimpunan bersejarah Demonstrasi Baling 1974 bagi memperjuangkan nasib petani miskin Kedah, dedah veteran politik Datuk Ibrahim Ali. Ibrahim, yang bergiat dalam aktivisme mahasiswa ketika itu, berkata semasa kebangkitan rakyat Baling, Anwar sebenarnya berada di luar negara. "Masa kebangkitan rakyat Baling, dia (Anwar) di luar negara. "Mahasiswa sambung tunjuk perasaan selepas dua Perhimpunan Baling, di Dataran Merdeka. "Kalau tak silap saya, hari kedua,di Dataran Merdeka, barulah Anwar muncul," kata Ibrahim yang juga presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA. Malaysiakini pada 6 April lalu melaporkan, perhimpunan Baling bagi mengingati perjuangan penoreh getah di kawasan itu 40 tahun lalu dihadiri kira-kira 10,000 orang tanpa kehadiran Anwar. Laporan itu menyebut, perhimpunan ketika kemuncak kebangkitan mahasiswa itu dipimpin oleh Anwar sebagai pemimpin pelajar. Demonstrasi itu juga dikatakan melonjakkan karier beliau dalam politik. Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Ibrahim berkata, beliau dan kumpulan mahasiswa bertahan di Masjid Negara selepas dikejar polis pencegah rusuhan dan ditembak gas pemedih mata, ketika Anwar tiba dari Manila. "Waktu itu saya sedang berucap dan (saya) jemput Anwar berucap. Polis pula mula tangkap mahasiswa, keadaan huru-hara. "Anwar bersama saya lari," kata Ibrahim. Menyambung kisah itu, menurut Ibrahim, Anwar kemudian ditangkap pada sebelah petang ketika ke balai polis Brickfields untuk melihat mahasiswa lain yang ditahan, termasuk bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Ibrahim ditahan tiga hari kemudian. Dengan semua kronologi itu, Ibrahim mengakhiri kenyataannya dengan menyimpulkan Anwar sebagai "bukan hero Baling". | |||
Isu Memali: Menteri kata jangan buka aib Posted: 08 Apr 2014 07:43 AM PDT MALAYSIAKINI Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjawab isu pendedahan bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berhubung peristiwa Memali dengan memberi nasihat bahawa Islam melarang umatnya membuka aib orang lain. Katanya, Islam menggalak individu supaya menutup aib orang dan individu yang melanggarnya dianggap berdosa. Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sekiranya beliau menujukan nasihat tersebut kepada Musa supaya tidak mengaibkan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi perdana menteri semasa peristiwa itu berlaku. "Dari segi moral, tutup aib orang, Allah akan tutup aibnya di diakhirat. Saya ingat, kalau hebat macama mana sekalipun, sebagai orang Islam, elakkan dari dedah aib (orang) dan sebagainya, "Perbuatan itu daripada fitnah atau memgumpat. Kita kena pakai, itu undang undang Islam tak berubah. Mengaibkan orang hukumnya berdosa. "Perhati-hatikanlah. Janganlah kebebasan bercakap mengurangkan pahala kita," katanya ketika menjawab satu soalan tambahan oleh Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang). MP berkenaan meminta beliau menjelaskan sama ada maklumat baru yang didedahkan Musa dianggap sebagai kebocoran maklumat. Beliau merujuk kepada pendedahan Musa akhir bulan lalu bahawa ketika peristiwa Memali meletus pada 19 November 1985, Mahathir berada di Kuala Lumpur. Musa, yang sering dipersalahkan atas kejadian yang menyebabkan kematian 14 orang awam dan empat anggota polis itu, turut menjelaskan dalam acara forum berkenaan bahawa beliau bukan pemangku menteri ketika peristiwa Memali. Mengulas lanjut, Shahidan (BN-Arau) dalam jawapannya hari ini berkata pihak yang membocor maklumat kerajaan rahsia besar atau rahsia bakal berdepan dengan tindakan undang-undang bawah Akta Rahsia Rasmi. "Saya percaya jika bekas timbalan perdana menteri atau menteri, mereka tahu risiko yang mereka hadapi, melanggar Akta Rahsia Rasmi, ada hukumannya. "Tak kira siapa. Kita nak tengok apakah maklumat tersebut termasuk dalam kategori bawah Akta Rahsia Rasmi," katanya. | |||
Pelancong China mati lemas di P Perhentian Posted: 08 Apr 2014 07:39 AM PDT MALAYSIAKINI Seorang pelancong dari China ditemui lemas berhampiran Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian Besar malam semalam. Seorang pelancong dari China ditemui lemas berhampiran Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian Besar malam semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Liu Feng, 31 ditemui pada 8.30 malam. Mangsa yang berasal dari Guangdong sebelum itu dilapor turun ke pantai bersama isteri dan dua rakan untuk mandi-manda pada 5.30 petang, katanya dalam sidang media di Besut hari ini. Menurut Noorzainy, mangsa dipercayai mandi di kawasan yang agak dalam dan menghadapi masalah apabila dipukul ombak kerana tidak tahu berenang sebelum tenggelam. Noorzainy berkata mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilapor tenggelam oleh pasukan mencari dan menyelamat. Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Besut pagi ini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada Kedutaan China, kata Noorzainy. - Bernama | |||
'PDRM satu-satunya agensi tanpa pegawai SPRM' Posted: 08 Apr 2014 07:36 AM PDT MALAYSIAKINI MP DAP menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menjelaskan sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantah keputusan untuk tidak menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pasukan tersebut. MP Segambut Lim Lip Eng dalam sidang medianya meminta Low menjelaskan jawapan bertulis yang menyatakan pegawai SPRM telah ditempatkan dalam di kementerian dan agensi kerajaan "kecuali PDRM yang mempunyai Jabatan Integriti sendiri". "Adakah polis cukup berkuasa? Adakah ini disebabkan tiada siapa yang boleh sentuh polis kecuali mereka sendiri?," kata Lim kepada pemberita di lobi parlimen hari ini. Paul dalam jawapanny menyebut, seramai 20 orang pegawai suruhanjaya itu ditempatkan di kementerian dan agensi kerajaan termasuk di Jabatan Kastam, Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen sehingga 6 Mac 2014. Malah, pihak kerajaan menubuhkan unit integriti di semua agensi awam peringkat pusat dan negeri bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam agar penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta kebertanggungjawaban. | |||
Siapa tanggung kos AS cari MH370? Posted: 08 Apr 2014 03:53 AM PDT KUALA LUMPUR: Pendedahan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pentagon tentang kos bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 menimbulkan banyak persoalan. Mengulas perbelanjaan mencecah lebih RM10.8 juta (AS$3.3 juta) setakat 24 Mac lalu untuk tujuan terbabit, pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berharap inisiatif AS itu berdasarkan prinsip kemanusiaan. "Dua kemungkinan boleh berlaku sama ada kos sebesar itu ditanggung Malaysia atau AS menolong secara percuma atas dasar hubungan diplomasi," ujarnya ke tika dihubungi Harakah, 4 April lalu. Ditanya lanjut implikasi permohonan Malaysia kepada Pentagon sebelum AS menghantar peralatan sonar bagi operasi SAR di Lautan Hindi, beliau berkata, kuasa dunia terbabit kemungkinan boleh mengenakan tuntutan kos ke atas Malaysia. "Apapun, kita percaya AS membantu atas dasar kemanusiaan dan pertimbangan mengenai tanggungan kos itu bergantung pada sejauhmana perundingan yang berkesan antara Putrajaya dan Washing ton," ujarnya. | |||
28 Aset Dikerah Jejaki MH370 Hari Ini Posted: 08 Apr 2014 03:46 AM PDT Oleh: BERNAMA PERTH: Misi menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi pada Selasa diperhebat dengan 28 aset dikerah susulan petunjuk baharu yang dikesan pada Isnin. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan di sini berkata aset membabitkan 11 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal. Menurut kenyataan itu Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengarahkan pencarian pada Selasa meliputi kawasan seluas 77,580 kilometer persegi di kedudukan 2,268 km barat daya Perth. "Cuaca sepanjang hari ini dijangka baik. Pencarian bawah permukaan air diteruskan hari ini dengan ADV Ocean Shield melakukan operasi di utara kawasan pencarian sementara Haixun 01 dan HMS Echo di bahagian selatan," kata JACC. Semalam, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal. Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. | |||
Sidang Dun Selangor kecoh: Bangkit kes liwat Anwar Posted: 08 Apr 2014 03:41 AM PDT SHAH ALAM - Sidang Dun Selangor kecoh seketika apabila wakil PR dan BN bertengkar berhubung integriti mahkamah dan kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ng Swee Lim (DAP-Sekinchan) dalam perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor mengkritik ketelusan sistem kehakiman negara terutamanya melibatkan kes liwat Anwar yang didakwa terdapat campur tangan pihak berkepentingan. Dalam perbahasan itu, Swee Lim mengaitkan BN dengan saman sekumpulan ibu tunggal terhadap kerajaan negeri yang didakwa gagal menunaikan manifesto pilihan raya. Mahkamah menolak saman itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu. Kritikan ini mendorong tiga wakil BN, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sg Burong) bangkit membantah. Turut bangkit untuk mencelah Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) dan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil). Mat Nadzari mempersoalkan sama ada Swee Lim dan PR mengakui ketelusan sistem kehakiman negara berikutan keputusan mahkamah membuang kes saman ibu tunggal tersebut. Menjawab persoalan itu, Swee Lim mendakwa, terdapat kes-kes tertentu yang mempunyai campur tangan kerajaan membawa kepada tarikh kes dipercepatkan secara luar biasa seperti kes liwat membabitkan Anwar. Shamsuddin seterusnya bangkit membantah jawapan Swee Lim dan mendakwa kes itu dilewatkan oleh Anwar sendiri yang telah lebih 60 kali memohon tundaan perbicaraan sejak 2009. "Ini sindrom pembangkang. Bila mahkamah sebelahi mereka, ini baik. Bila tidak, macam-macam mereka kata," balas Shamsuddin. | |||
Hendak sekat media luar negara macam parti politik buat? Posted: 08 Apr 2014 03:37 AM PDT Ketika saya menghadiri satu majlis, saya curi-curi dengar seorang jurugambar media tempatan mainstream (arus perdana) yang mengeluh tentang berita negatif daripada media luar negara. Bagaimana saya tahu si polan ini bekerja dengan media mainstream? Mudah sahaja, pas medianya berwarna biru, di kalangan pengamal media, kami sinonim tahu itu pas istimewa, boleh dikategorikan sebagai penjawat awam. Beliau mengeluh, "Kenapa tidak sekat sahaja media luar negara daripada masuk sidang media kalau mereka 'spin' berita, dengan media tempatan mereka boleh halang". Bagi pengamal media alternatif, kami sudah biasa kalau dihalang masuk dalam sidang media, khususnya kalau berkenaan sidang media parti politik tertentu. Saya tidak mahu terjun membuat kesimpulan tentang pihak media yang dimaksudkan jurugambar tersebut. Berkobar-kobar semangat jurugambar ini marah dengan media luar negara, khususnya Daily Mail, yang dituduhnya seperti akhbar Metro di Malaysia. Jurugambar ini terlupa satu perkara, bahasa penulisan Daily Mail adalah berbahasa Inggeris, bahasa yang dibaca majoriti penduduk dunia. Metro, dibaca oleh pakcik dan makcik di kampung, mereka suka membaca tentang jenayah, ataupun misteri kemalangan, ataupun cerita tentang artis ditangkap khalwat. Bukan mahu membela media luar negara, cuma ini adalah hakikat yang membezakan antara Daily Mail dan Metro. Saya tidak katakan akhbar United Kingdom tersebut tepat beritanya, seperti kita tahu, terdapat banyak percanggahan dalam laporan mereka. Adalah berbeza sama sekali, halangan membuat liputan dalam sidang media parti politik dan halangan membuat liputan sidang media ketika krisis. Mungkin jurugambar ini lupa, laporan sidang media Umno dibaca oleh makcik dan pakcik kampung Felda, itupun kalau mereka minat. Ketika krisis MH370, ia melibatkan penumpang serata dunia, banyak kewarganegaraan. Cadangan menghalang media luar negara seperti yang dilakukan ke atas media tempatan adalah tidak praktikal sama sekali. Baru-baru ini, Pengarah DCA juga mengambil sikap sama, menghalau pihak media daripada menghadiri taklimat yang diberikan pihak berkuasa. Jika mahu memberi layanan sama kepada media luar negara, saya rasa kita patut pertimbangkan semula. Malaysia bukan sebuah negara di mana tiada masyarakat dunia "yang ambil port", ramai rakyat kita bekerja di luar negara, ramai belajar di luar negara malah ramai juga wartawan biro yang bekerja di luar negara. Pada 8 April, pusat sidang media MH370 akhirnya ditutup secara rasmi, riuh-rendah para pengamal media tidak akan kedengaran lagi. Selepas ini, masalah kedua akan dihadapi media, bagaimana hendak menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan informasi terkini, memandangkan penjawat awam dan ahli politik di Malaysia bukannya jenis yang mengangkat telefon. | |||
Mengapa musuh mudah lolos walaupun ada ESSCOM Posted: 08 Apr 2014 03:32 AM PDT (Ketua Penerangan PAS Sabah) PAS Sabah memandang serius peristiwa penculikan yang berlaku pada 2 April 2014 lalu di Pulau Singamata Semporna, Sabah. Penculik yang melibatkan kumpulan bersenjata api dari luar negara itu telah melarikan seorang pelancong wanita berasal dari China manakala seorang lagi berasal dari Filipina yang juga merupakan pekerja resort peranginan berkenaan. Ironisnya, penculikan ini berlaku hanya selang beberapa bulan daripada peristiwa sebelum ini yang terjadi pada 15 November 2013 apabila seorang lelaki warganegara Taiwan ditembak mati dan isterinya pula telah diculik. Masih segar dalam ingatan kes yang menggemparkan negara pada tahun lalu lebih 200 orang bersenjata api mendarat di Tanduo, Lahad Datu. Sejak peristiwa itu, beberapa kali penceroboh cuba menyusup masuk ke perairan Sabah.Mala petaka apakah yang menimpa negeri Sabah khususnya rakyat negeri ini? Nyawa terdedah kepada ancaman bahaya dan menggugat keselamatan. Di manakah tanggungjawab pihak kerajaan terutama Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan menjaga ketenteraman awam dan negara dari serangan musuh dan penceroboh? Mengapakah dengan tertubuhnya ESSCOM (East Sabah Security Command) yang melibatkan 10 daerah di Timur Sabah, musuh masih lolos? Kerajaan sewajarnya mengkaji semula penubuhan ESSCOM ini.PAS Sabah sangat bersimpati atas kesengsaraan petani dan nelayan yang bergantung hidup di kawasan laut. Begitu juga para pengusaha resort dan perhotelan serta industri pelancongan turut juga mendapat kesannya. Justeru,PAS Sabah menegaskan supaya kerajaan menambahbaik kawalan perairan Sabah agar semua rakyat dapat hidup aman dan selamat. | |||
Perlaksanaan GST mungkin senasib PPSMI Posted: 08 Apr 2014 03:26 AM PDT KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa masih belum bersedia melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana masih belum mempunyai 'software' sendiri untuk memungut cukai tersebut. Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mendakwa, sekiranya kerajaan sudah bersedia kenapa kerajaan masih 'mengupah' perkhidmatan MyEG untuk memungut cukai tersebut. "Walaupun kami PR kecewa dengan keputusan perlaksanaan GST, tetapi perkara tersebut telah berlaku. Jadi di sini timbul satu persoalan kalau kerajaan sudah bersedia kenapa lantik MyEG untuk pungut cukai tersebut (GST). "Kalau bersedia, sepatutnya kerajaan latih kumpulannya sendiri, ada mekanisma kutipan cukanya yang tersendiri. Tidak mustahil kerajaan akan menghentikan perkhidmatan ini, seperti mana yang berlaku terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mengalami kerugian sebanyak RM6 bilion. "Ini pasti merugikan rakyat. Kami mahukan penjelasan daripada kerajaan mengenai perkara ini" katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang GST 2014. Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi. Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi. | |||
Isu intipan pihak asing terus dipantau Posted: 08 Apr 2014 03:22 AM PDT KUALA LUMPUR - Kerajaan terus memantau perkembangan isu intipan pihak asing terhadap Malaysia dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada bukti kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim. Katanya Malaysia menolak sebarang bentuk pengintipan oleh mana-mana pihak kerana perbuatan itu menjejaskan kedaulatan negara dan hubungan dua hala. Kerajaan telah bekerjasama dan berbincang bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menyusun langkah seperti menghantar nota bantahan kepada pihak yang didakwa mengintip negara ini, katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini. Beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu laporan aktiviti pengintipan membabitkan beberapa buah negara terhadap Malaysia. Shahidan berkata pada 2006 kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) bagi melindungi Infrastruktur Sistem Maklumat Kritikal Negara. "Dasar ini memfokus kepada penggunaan teknologi yang selamat ke arah penggunaan dan pengeluaran teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar," katanya Shahidan berkata 10 sektor kritikal dikenal pasti oleh NCSP iaitu pertahanan dan keselamatan; perbankan dan kewangan; maklumat dan komunikasi; tenaga; pengangkutan; air; perkhidmatan kesihatan; kerajaan; perkhidmatan kecemasan dan makanan; dan pertanian. Mengulas pendedahan yang dibuat oleh bekas kakitangan Agensi Perisikan Pusat(CIA) Edward Snowden, Shahidan berkata Amerika Syarikat sedang membuat penyiasatan terhadap semua kegiatan pengintipan dan akan memaklumkan kepada Malaysia dan negara-negara terlibat mengenai hasil kajian itu. Tahun lepas, media asing melaporkan mengenai pendedahan Snowden bahawarisikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet. - Bernama | |||
Bahagian 2: Di mana kita patut risau dengan GST? Posted: 08 Apr 2014 03:15 AM PDT Merujuk kepada 160 buah negara lain hanya satu alasan untuk menjustifikasikan perlaksanaan GST. Ini bukan sebab yang sebenar mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 47% dari undi pengundi yang benar-benar keluar, mahu melaksanakan GST. Mereka mahu laksanakan GST sebab mahukan lebih wang untuk mendanai keborosan mereka. Sekali lagi saya ulang, budaya belanja berhemah tidak ada dalam kamus pemimpin BN. Faktanya ialah kerajaan BN amat boros dan duit sudah habis. Dengan alasan mahu mencekup mereka yang lari dari membayar cukai dan menghukum mereka yang melakukan pemalsuan laporan "income returns", GST dilaksanakan. Kerajaan tahu siapa yang lari bayar cukai atau buat silap mata, kenapa tidak tangkap mereka? Kerajaan tahu banyak syarikat besar dan syarikat milik orang istimewa tidak bayar hutang seperti hutang bil letrik yang berjuta ringgit, tapi tak kutip hutang ini. Kerajaan akan kata GST akan menutup ketirisan dalam pengutipan cukai. Mereka akan juga berkata GST akan menyebabkan lebih ketelusan dalam urusniaga bila semua peniaga dalam rantaian bekalan akan "file in claim" untuk mendapatkan rebat GST yang dikutip. GST akan menghasilkan semua objektif ini. Saya akan menyatakan di sini bahawa lambat laun, GST pasti dilaksanakan. Saya ulang sekali lagi agar mudah difaham – lambat laun GST akan dilaksanakan. Kita setuju GST dilaksanakan tapi "timing"nya belum lagi. Jika dilaksanakan juga, yang akan merasai teruk ialah golongan yang berpendapatan rendah yang akan membayar harga barang yang lebih tinggi dan yang akan menggunakan bahagian yang lebih besar dari pendapatan mereka untuk GST. Untuk Malaysia masa itu belum sampai kerana pendapatan per kapita kita tidak tinggi. jurang antara kaya dengan miskin tinggi; pekali GINI kita ialah 0.43 ( 2012) dan di kalangan orang Melayu (0.421). Kerajaan BN berhutang dengan banyak seperti yang saya sebut diatas. Hutang sektor awam dari sudut peratusan GDP sudah hampir 55%. Itu yang rasmi. Jika kita campur pula tanggungan hutang yang kerajaan gerenti melalui SPVs yang mereka wujudkan untuk meminjam wang, maka sudah pasti hutang sektor awam menjangkau 55%. Ini semua mereka tidak peduli selagi mereka dapat wang dalam tangan mereka. Sebab itu saya nyatakan, wang yang banyak bahaya atau tidak, bergantung kepada kualiti kerajaan dan kualiti pengurusan keatas kumpulan wang yang ada. Sebuah kerajaan yang korup seperti BN dan fakta mengenai ketirisan ini semua ada dilaporkan oleh ketua audit negara, maka duit dalam perbendaharaan kita tidak selamat. Lagi banyak wang ada dalam tangan, lagilah rancak rompakan yang akan dilakukan. Kerajaan BN tidak ada cara lain selain dari melaksanakan GST. Jika tidak BN akan bankrap. Kadar faedah dalam pasaran ekuiti dan bond makin baik di negara seperti Amerika Syarikat. Maka pengurus dana akan memindah wang yang ada dalam negara Malaysia ke Amerika. Dengan pengukuhan kadar pulangan dalam pasaran bond dan ekuiti di Amerika, pasaran di Malaysia mesti menaikkan kadar pulangan ke atas pelaburan di Malaysia. Ini akan menyebabkan kos untuk meminjam oleh kerajaan akan meningkat. Kerajaan tidak tertanggung kos bayaran pinjaman yang sedia ada yang mencecah RM20 bilion setahun. Pengurusan kewangan yang lemah menyebabkan rating kredit kita menurun. Fitch menurunkan rating kreditnya ke atas Malaysia menyebabkan kebolehan meminjam Malaysia menjadi susah. Walaupun Moody's membaiki rating Malaysia tapi masih memberi amaran bahawa rating ini bila-bila akan berubah diberi iklim pengurusan kewangan Malaysia yang rakus. Rating ini semua tidak memberi keyakinan kepada pemimjam terhadap Malaysia. Jadi apa Malaysia buat? Malaysia boleh kurangkan subsidi dan ini akan membangkitkan kemarahan rakyat. Malaysia boleh mengurangkan bajet pembangunan tapi ini akan mengurangkan kapasiti negara yang mahukan ekonomi berkembang. Malaysia boleh kurangkan ketirisan tapi nampak macam tak terdaya. Wang haram dan rasuah terus meningkat. Malaysia boleh mengurangkan belanja mengurus tapi kerajaan tidak mahu berkonfrontasi dengan 1.2 juta penjawat awam. Gaji mesti naik. Kerajaan boleh membaiki cara pembelian barangan dan perkhidmatan. Tender terbuka adalah istilah yang sangat kerajaan takuti dan Tun Daim Zainuddin pernah beritahu tender terbuka memakan masa dan kompleks. Jadi, kita tahu kerajaan tetap lakukan "procurements" cara lama. Iaitu tender tertutup atau "direct negotiation". Apa dia boleh buat? Jawapannya GST. Memang benar GST dari sudut perakaunan adalah cara pantas dan cekap untuk mendapatkan cukai dari setiap jenis pengguna input dan penjual output. Beza antara cukai input dan cukai output ialah GST yang dikutip oleh kerajaan. Dalam ekonomi GST yang mudah, ada empat jenis pengguna input – pengilang atau pengeluar, pemborong, peruncit dan akhir sekali pengguna isi rumah. Pada setiap peringkat atau rantaian bekalan ini, kerajaan akan mengenakan cukai GST. Dari sudut teori tidak ada orang dapat lari. Yang sebetulnya yang tidak dapat lari ialah pengguna akhir – isi rumah. Yang lain masih boleh terus lari bahkan "claim" ke atas kerajaan. Dalam keadaan di mana barangan di "zero-rated" atau tidak dikenakan GST, tidak ada kaedah untuk menyekat pengguna input terakhir dalam rantaian tesrebut iaitu si peruncit daripada memasukkan cukai GST dalam harga jualannya. dia "recover" kos dia dan "claim" daripada kerajaan lagi. Sebab itu kita kata GST ini tidak berhati perut, dia tidak kira siapa pengguna imput sama ada berpendapatan tinggi atau rendah. GST akan mencederakan rakyat yang berpendapatan rendah yang majoritinya Melayu. Bahagian 1: Di mana kita patut risau dengan GST | |||
Posted: 08 Apr 2014 03:10 AM PDT THAILAND negara ke-7 yang laporkan satelitnya mengesan objek di Lautan Hindi. Sebelum ini China, Amerika Syarikat, UK, Perancis, Australia dan Jepun. Ops mencari dan menyelamat (SAR) mula cari dari Laut China Selatan. Kemudian Laut Andaman, Selat Melaka. Kini tumpu di selatan Lautan Hindi kerana mendapat laporan daripada satelit-satelit tersebut. Berapa satelit di atas sana? Sejak USSR lancar Sputnik-1 pada 1957, dah 6,578 satelit dilancarkan. Ada satelit negara dan ada milik swasta. Sebanyak 6,578 satelit dilancar sejak 1957. Cuma 3,700 yang masih orbit keliling bumi. Daripada itu, sebanyak 1,100 satelit masih aktif dan 2,600 sudah tidak berfungsi. Apa fungsi satelit? Berfaedah membantu pelayaran, penerbangan, perhubungan, kajian sains, ramalan cuaca dan juga pertahanan. Ada juga satelit untuk urusan pengintipan! Sebanyak 1,100 satelit masih aktif orbit. Menurut rekod antarabangsa, Amerika Syarikat (502), Rusia (118), China (116). Selebihnya negara-negara lain termasuk Malaysia. Ops SAR MH370 kini bergantung kepada data dan imej satelit negara-negara tertentu ke stesen-stesen pengesan di bumi untuk analisa. Mana pergi satelit Malaysia? Satelit Malaysia yang sudah dilancarkan, baik milik Kerajaan Persekutuan mahu syarikat swasta (Astro) semuanya ada enam buah iaitu kerajaan dua dan Astro empat. Satelit Malaysia ada enam di orbit. Milik kerajaan dua buah: TiungSAT-1 dan RazakSAT. Milik Astro ada Measat-1, Measat-2, Measat-3 dan Measat-3A. Astro syarikat swasta. Sudah melancar empat satelit. Pada Mei 2014 ini akan melancarkan lagi yang ke-5. Measat-3B dengan kos RM1.25 bilion. Bagaimana Astro boleh memiliki lesen satelit? Astro adalah syarikat swasta milik Tan Sri Ananda Krishnan, kroni Tun Mahathir Mohamad yang luluskan satelit Astro. Kini Ananda Krishnan jadi orang nombor dua kaya-raya di Malaysia. Kekayaan Ananda Krishnan kini RM11.3 bilion. Terkaya nombor dua di Malaysia, dan nombor 82 di dunia. Walau miliki ada empat satelit, tetapi tidak boleh guna untuk Ops SAR MH370. Bukan salah Ananda Krishnan. Empat satelit ini tidak boleh digunakan untuk Ops SAR MH370. Ini kerana satelit-satelit Astro hanya untuk memancarkan signal tv. Untuk bisnes. Buat duit. Satelit-satelit Ananda Krishnan hanya menjadi kroni Mahathir untuk bisnes Astro. Pendapatan Astro suku tahun ke-3 (2013) berjumlah RM1.217 bilion. Untung bersih RM123.7 juta. Kerajaan Malaysia miliki dua satelit iaitu TiungSAT dan RazakSAT. Apa peranan satelit ini dalam Ops MH370? Jawapannya, menambahkan malu negara. Sangat memalukan! Malaysia miliki enam satelit, kerajaan dua, Astro empat. Thailand cuma miliki empat satelit tetapi berjaya mengesan 300 objek dalam misi SAR MH370. Satelit Malaysia? Zero! Apa status satelit kerajaan dalam Ops SAR MH370? Tak payah kita persoalkan satelit Ananda Krishnan kerana ia satelit swasta buat duit. Satelit kerajaan? Hingga kini, saya kaji apa fungsi dua satelit kerajaan Malaysia. TiungSAT dan RazakSAT. Saya baca berbagaibagai laporan statusnya. Rupanya kantoi! Pada 10 Mei 1997, kerajaan Malaysia menubuhkan Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ASTB) untuk tumpuan dalam penyelidikan dan pembangunan satelit. ASTB syarikat milik penuh kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan. Modal dibenarkan RM50 juta dan modal berbayar RM33.58 juta. Kabinet lulus. Aktiviti ASTB milik kerajaan ini berkembang sehingga diberi geran kerajaan untuk program satelit negara. TiungSAT dan RazakSAT. Akaunnya diaudit. Segala fakta dan info berkenaan ASTB dan status program satelit itu bersumberkan laporan yang dibentang di Parlimen pada 24 Oktober 2011. Satelit RazakSAT siap dibina oleh ASTB dengan geran kerajaan berjumlah RM141.78 juta pada 2005. Ia dilancarkan ke angkasa pada 14 Julai 2009. Satelit RazakSAT dilancar 2009 dengan tujuan merakam imej satelit dengan upaya resolusi pengimejan sehingga 2.5m. Ia gagal berfungsi sepenuhnya. Satelit RazakSAT gagal berfungsi sepenuhnya pada 30 Ogos 2010, iaitu 1 tahun 16 hari dari tarikh pelancarannya pada 14 Julai 2009. Rugi saja RM141.78 juta. Mengikut program, RazakSAT hantar data satelit yang akan diterima stesen bumi Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) di Temerloh, Pahang. RazakSAT mengirim data 1,328 imej yang didapati kabur, tidak mencapai resolusi pengimejan 2.5m. Tidak menepati spesikasi. Lalu ia ditolak ARSM pada tahun 2010. Dalam rekabentuk Image Receiving & Processing System (IRPS) untuk satelit RazakSAT, imejnya ditetapkan dalam jarak ketepatan kurang daripada 1 km. Di orbit, imej daripada RazakSAT tersasar dari lokasi yang sepatutnya dicerap. Jarak ketepatan patut kurang daripada 1 km. Tetapi tersasar sehingga 37 km. Contoh tidak tepat imej daripada satelit RazakSAT begini. Imej yang sepatutnya dicerap di Subang, tetapi data kirimannya Kuala Selangor. Tersasar jauh. Satelit RazakSAT alami masalah gagal beroperasi. Ia ditamatkan Disember 2010 tanpa penambahbaikan. Kini ia terapung-apung di orbit tanpa sebarang fungsi. Berapa ramai rakyat Malaysia tahu negara miliki satelit RazakSAT? Berapa ramai pula yang tahu ia sudah ditamatkan kerana alami masalah teknikal? Satelit RazakSat adalah projek kerajaan BN. Gagal beroperasi. Rugi lebih RM140 juta. Masih terapung di orbit. Mana Bomoh 1Malaysia? RazakSAT dilancarkan 14 Julai 2009 menggunakan roket USA Falcon-1 di Kwajalein Atoll, Pulau Marshalls, Lautan Pasifik. Tamat operasi 2010 kerana masalah teknikal. Kini terapung di orbit tanpa fungsi. » Artikel ini dipetik daripada Twitter Abd Malek Hussin, petugas di Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan