DIALOG RAKYAT |
- Malaysia gagal kesan isyarat kecemasan kapal Jepun?
- Mahkamah kata kematian Karpal bukan alasan, tolak rayuan kes Fitnah II
- Keselamatan Obama: Jangan lupa rakyat sendiri
- Bukit Gelugor: Jangan beri komen elak putar belit media
- Hudud: Jawapan balas terhadap ugutan Gerakan
- Hudud: Umno tolak, Gerakan ugut saman
- MH370: Bunga Mas 6 tiba di kawasan pencarian
- [BONGKAR] Skandal Geran: MOSTI Cuba Tipu Rakyat, Edar Senarai Lama Penerima Geran!
- Mujurlah Ada Mahathir, Jika Tidak, Pastilah Sebatang Jalan Di Putrajaya Dinamakan "Lebuh Obama"
- Hudud untuk orang Islam sahaja, kata TMB
- Anwar selar KM S'wak halang pemimpin PKR
- Isu Liwat II: Peguam fail 35 asas perundangan
- Najib digesa beritahu Obama tak terima TPPA
- Beranikah Najib tukar Ahmad Said?
- Di mana silapnya sistem PBS?
- Malindo Air promosi tempat duduk percuma
- Berapa Komisyen PLUS Daim Kaut & Berapa Banyak Kekayaannya Disimpan Di Tanzania?
- PRK Bukit Gelugor: 82,431 layak mengundi
- Objek hanyut bukan daripada MH370
- Luahan Hati Isteri Pramugara, Dakwa Kerajaan Menipu & Rancang Plot Drama MH370
- Larangan sertai himpunan bantah GST
- PRK Bukit Gelugor 25 Mei, penamaan 12 Mei
- MH370: MAS bayar 96% tuntutan waris China
- Hudud tak bercanggah Buku Jingga
- MH370: Bahan tidak dikenali terdampar di pantai Augusta, Australia
Malaysia gagal kesan isyarat kecemasan kapal Jepun? Posted: 24 Apr 2014 08:03 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR: Ahli parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid mempersoalkan mengapa penguatkuasa maritim Malaysia gagal mengesan isyarat kecemasan dari kapal Jepun yang disamun dekat Pulau Ketam awal pagi Selasa lalu. Beliau yang juga bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempersoalkan apakah pengawasan agensi penguatkuasaan maritim negara begitu longgar sehingga tidak peka terhadap kapal bermasalah di perairan Selat Melaka. "Kapal Jepun ada alat kecemasan, kenapa Malaysia tak kesan? "Takkan mereka tak boleh kesan. Sebab kapal Jepun itu ada radio signal untuk kecemasan, kapal-kapal lain boleh kesan. Takkan APMM tak boleh," kata Imran kepada Keadilandaily. Ia kerana proses pemindahan diesel tersebut mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam dan selepas itu kesemua suspek meninggalkan kapal berkenaan. Kawasan perairan dan pantai di Malaysia dikawal empat agensi maritim iaitu Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malysia (TLDM) Polis Marin dan Pasukan Gerakan Marin (PGM). "Kita persoalkan dimana mereka sewaktu kejadian ini berlaku. Kalau mereka buat rondaan dan lakukan kerja pasti kapal tersebut boleh dikesan," kata Imran. Dalam kejadian awal pagi Selasa, 18 kru termasuk kapten kapal berhadapan detik cemas apabila kapal yang membawa lima juta liter diesel dilaporkan disamun kira-kira 16 batu nautika dari Pulau Ketam berhampiran Klang. lima lelaki dengan dua bersenjatakan pistol dan parang mengikat kapten dan anak kapal menyamun kapal Jepun yang tidak dinamakan itu dengan memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker. Bernama melaporkan tiga kru dipercayai diculik ketika kapal tersebut yang dalam perjalanan ke Myanmar selepas berlepas dari Singapura 21 April lalu. Tambah Imran, kerajaan bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. "Belum selesai isu penculikan di Sabah, kapal Jepun pula disamun. "Ini membuktikan kerajaan tidak mampu untuk menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan negara termasuk isu kehilangan peswat MH370," kata Imran. |
Mahkamah kata kematian Karpal bukan alasan, tolak rayuan kes Fitnah II Posted: 24 Apr 2014 07:58 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR R: Penolakan mahkamah terhadap permohonan lanjutan masa bagi memfailkan rayuan terhadap sabit kesalahan Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan zalim, kata Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya. Menurutnya, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Nor Khamilah Aziz sebaliknya meminta Anwar memfailkan permohonan formal, termasuk notis usul, bagi meminta lanjutan masa bagi memfailkan alasan rayuan. "Dia suruh kita buat petisyen, padahal dia tahu esok sudah dateline (tarikh akhir). Tak ada masa dah. Kita akan terlepas tarikh itu. "Ini bukti mahkamah zalim terhadap Karpal, tak ada timbang rasa. "Anwar nak dizalim, Karpal pun dia nak zalim juga," kata Latheefa kepada Keadilandaily. Tambahnya, mahkamah tidak boleh menolak permohonan ini kerana kejadian yang berlaku bukan perancangan. "Kematian Karpal Singh adalah satu kemalangan yang yang tidak dijangka. Mahakamah tidak boleh sesekali mempertikainya. "Kalau peguam kamu dah meninggal dunia. Kamu tak boleh pertikai kematian seseorang. Itu dianggap biadap dan tak menghormati si mati. "Ini tindakan yang tidak sepatutnya. Orang dah tak ada tapi kamu masih nak menzaliminya," kata Latheefa. Tambahnya, Ramkarpal Singh yang merupakan anak Karpal telah menulis kepada Mahkamah Persekutuan meminta lanjutan masa bagi memfailkan rayuan untuk kes Fitnah II tersebut. "Beliau berharap untuk mendapat jawapan hari ini sama ada mahkamah mengizinkan masa dua minggu untuk memfailkan alasan rayuan," katanya. Mahkamah Rayuan menghantar alasan rayuan kepada firma guaman Karpal 16 April lalu, yang memberikan mereka masa 10 hari. |
Keselamatan Obama: Jangan lupa rakyat sendiri Posted: 24 Apr 2014 07:53 AM PDT Menjelang kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia pada Sabtu ini, dilaporkan kawalan keselamatan diperketatkan ke tahap tertinggi di negara ini. Sememangnya menjadi suatu polisi dan protokol kepada mana-mana negara yang bakal menyambut pemimpin tertinggi AS itu untuk bersedia dengan kawalan keselamatan tertinggi yang perlu ada bagi mengelakkan sebarang risiko. Umum mengetahui bahawa Presiden AS mempunyai banyak musuh. Ia menandakan polisi negaranya yang tidak mahu bersahabat dengan negara-negara lain, terutama pesaing global. Malah, negara kerdil juga menjadi bahan belasahan negara Uncle Sam itu seperti yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan lain-lain. Membahayakan keselamatan Presiden AS akan membahayakan keselamatan negara ini sendiri. Jika berlaku apa-apa terhadap Barrack Obama semasa lawatannya nanti, maka sudah pasti negara turut terancam. AS tidak teragak-agak untuk menyerang mana-mana negara yang membahayakan pemimpin utamanya. Itulah risiko yang dihadapi dan negara memperketatkan keselamatan bagi menyambut ketibaannya bagi menjaga keselamatan rakyat dan negara juga dalam erti yang sebenarnya. Dalam pada Malaysia menetapkan kadar keselamatan terhebat bagi menyambut ketibaan Presiden AS itu, suka diingatkan juga bahawa kadar keselamatan yang tinggi juga perlu diberikan kepada warga negara Malaysia sendiri. Meskipun Presiden AS ada keistimewaannya tersendiri yang mesti dilebihkan, namun jangan sampai keselamatan rakyat pula terabai. Isu jenayah yang berlaku di negara ini menjadi semakin serius dengan aksi ngeri menggunakan senjata ringan dan berat. Kecederaan dan kematian adalah risiko yang sentiasa dihadapi oleh mangsa sama ada dalam bentuk jenayah rompakan, samun, ragut, rogol, mahupun penculikan. Kejadian penculikan di Semporna, Sabah dengan dua wanita menjadi mangsa dan samun melibatkan sebuah kapal yang kerugian 2 juta liter minyak diesel semalam di Pelabuhan Kelang benar-benar mengejutkan banyak pihak. Selain itu, misteri kehilangan pesawat MAS MH370 membuka mata bahawa keselamatan rakyat di negara ini sudah lama terancam. Yang diinginkan, jika keselamatan Presiden AS menjadi keutamaan, dengan pasukan keselamatan negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, layanan yang sama atau hampir serupa diberikan kepada rakyat warga negara. Ia bukan bermakna pihak keselamatan perlu menjejaskan rutin warga negara atau mengubah landskap negara serta membelanjakan ratusan juta ringgit. Yang penting, tahap keselamatan dipertingkatkan dengan memastikan rakyat Malaysia merasa tenteram dan selesa dengan keamanan di negaranya. Yang diharapkan, jenayah akan terkawal manakala kawasan sempadan negara sentiasa dilindungi dari golongan lanun dan penjenayah. Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat |
Bukit Gelugor: Jangan beri komen elak putar belit media Posted: 24 Apr 2014 07:48 AM PDT KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng meminta pimpinan dan ahli DAP agar tidak memberi sebarang komen berkenaan Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor bagi mengelakkannya diputarbelit media arus perdana. Setiausaha Agung DAP itu berkata, sebarang pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (CEC) 28 April nanti. Katanya, jawatankuasa DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat petang ini dan CEC pula pada 28 April berhubung persediaan PRK itu. Menurutnya lagi, pencalonan akan dibincangkan oleh CEC dan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pencalonan DAP yang diketuai beliau dan dianggotai Pengarah Pilihanraya Tan Kok Wai dan Ketua Parlimen Lim Kit Siang. Justeru, katanya tiada pengumuman berkenaan calon akan dibuat sebelum 28 April. "Sehingga tempoh itu, saya, Tan dan (Pengarah Pilihanraya DAP Pulau Pinang) Chow Kon Yeow akan menjadi jurucakap berhubung PRK ini," katanya dipetik Roketkini. Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu menggesa agar DAP tidak memandang ringan PRK kali ini serta bekerja keras untuk menghadapinya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Bukit Gelugor pada 12 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei. PRK Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh dalam satu kemalangan jalan raya awal berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada pagi 17 April lalu. |
Hudud: Jawapan balas terhadap ugutan Gerakan Posted: 24 Apr 2014 07:41 AM PDT MOHAMED HANIPA MAIDIN Pertama saya selaku Pengerusi Lajnah Undang Undang PAS mengucapkan terima kasih pada Parti Gerakan di atas surat atau notis undang undang bertarikh 24.4.2014 yang dihantar kepada PAS berkenaan isu hudud. Keduanya,PAS yang mendokong amalan demokrasi termasuk kebebasan bersuara menghormati hak dan kebebasan parti Gerakan melalui sayap pemudanya atas pandangan mereka berkenaan hudud itu. PAS mungkin tidak setuju dengan pandangan Gerakan namun yakin dan percayalah kami akan mempertahankan hak dan kebebasan bersuara anda dengan segala kudrat kami. Ketiganya, jika dilihat kepada isi kandungan surat itu sebab utama penentangan Gerakan kepada hasrat perlaksaaan hudud oleh PAS adalah berkisar kepada isu Perlembagaan. Gerakan berpendapat undang undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan kerana dikatakan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa hudud boleh dilaksanakan. Amat malang pihak Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan namun tidak dinyatakan peruntukan mana di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh PAS atau Kerajaan Kelantan. Ketiadaan perincian dakwaan mereka ini menimbulkan andaian adakah pihak Gerakan menghantara notis tindakan undang undang kepada PAS hanya berdasarkan sentimen semata mata dan sikap gopoh tanpa terlebih dahulu menghalusi Perlembagaan dan peruntukkan di dalamnya. Dakwaan Gerakan dalam Notis mereka kepada PAS bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara kita adalah, dengan hormat, satu dakwaan yang gopoh, tidak berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang perjalanan sistem undang undang jenayah dalam negara ini. Untuk makluman Gerakan, kewujudan dua sistem jenayah dalam negara ini telah pun wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud. Sejak awal lagi negara kita dan Perlembagaan merestui kewujudan dua sistem jenayah itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Oleh itu sama ada hudud wujud atau tidak , hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan. Nampaknya bukan Pas yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan. Malahan jika kita mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih dari dua sistem jenayah dalam negara kita. Bagaimana pula dengan kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah! Apa pun kita patut memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar Notis yang boleh dikatakan pra matang kepada PAS, mereka tidaklah dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka yang beragama Islam , yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud secara terbuka sebelum ini. Alexender Pope menyatakan " Little knowledge is dangerous thing" maka atas ruh kata kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya. Adil kah menentang hudud tanpa mengetahui dan memahami undang undang hudud itu terlebih dahulu ? Saya juga berharap Gerakan juga perlu bersikap konsisten. Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian seperti ISA , Akta Hasutaan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA , Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi. Mengapakah apabila kerajaan BN luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan menyokong. Bukankah ia adalah Akta yang zalim dan melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan?Mengapakah tiada notis dihanta kepada Umno , MCA dan MIC? Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik iaitu "lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah dari hakim tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah". Saya mengambil kesempatan ini mengajak Gerakan untuk kita sama sama berdialog atau berdebat secara rational dan matang dalam isu hudud ini. Gerakan sediakanlah tempat, tarikh dan masa insya Allah PAS bersedia datang bila bila masa. *Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS merangkap Ahli Parlimen Sepang. |
Hudud: Umno tolak, Gerakan ugut saman Posted: 24 Apr 2014 07:39 AM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Sehari selepas Ahli Parlimen Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan secara terbuka tidak menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, hari ini Gerakan selaku sekutu Umno pula bertindak serupa. Sekumpulan Pemuda Gerakan hari ini menyerahkan satu notis kepada PAS, mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang jika Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II (1993) melalui Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen. Notis itu diserahkan ketuanya Tan Keng Liang bersama 12 anggotanya kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob di Pejabat Agung PAS di sini tengah hari ini. "Dengan ini kami memberi notis kepada PAS. Kami akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah untuk menegakkan perlembagaan persekutuan negara kita sekiranya PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan," kandungan notis itu dipetik. Selain penyerahan itu, mereka juga dibenarkan menggunakan ruang sidang tingkat bawah bangunan itu bagi menyatakan pandangan berhubung undang-undang Islam itu. Semalam, Nur Jazlan berkata beliau secara peribadi tidak menyokong usaha untuk perlaksanaan hudud. Katanya, usaha PAS mendekati Umno untuk menyokong perlaksanaan hudud adalah sia-sia kerana parti itu pasti telah melaksanakan hukum jenayah Islam itu jika ia menjadi satu keutamaan. "Jika tidak, nenek moyang kita telah melaksanakannya (hudud) sejak lama dulu. Secara peribadi saya tidak menyokong ini (pelaksanaan hudud)," kata Nur Jazlan kepada The Malay Mail Online. Walaupun menentang, Nur Jazlan berkata adalah hak Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu, namun beliau mencadangkan PAS untuk mendapatkan pandangan daripada negeri-negeri lain bagi memastikan konsistensi dalam sistem perundangan negara. Dalam pada itu, tiga ahli parlimen Umno telah menyatakan sokongan terhadap cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum jenayah syariah itu. Mereka adalah Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar. Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga telah berjanji bahawa pusat akan membantu Kelantan dalam usaha ke arah perlaksanaan undang-undang Islam itu. |
MH370: Bunga Mas 6 tiba di kawasan pencarian Posted: 24 Apr 2014 07:35 AM PDT PERTH - AUSTRALIA. Kapal sokongan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 6 (BM6) hari ini menyertai kapal frigat KD Lekiu dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi. Ia adalah kapal TLDM kelapan yang menyertai pasukan daripada pelbagai negara untuk mencari pesawat malang itu. Maklumat awal ini disahkan seorang jurucakap Tentera Laut Diraja Australia (RAN) melalui twitter kepada Bernama. Kapal sokongan itu, yang memulakan pelayaran dari pangkalan TLDM Lumut pada 16 April, pada mulanya dijangka tiba di Perth pada Jumaat. Jurucakap itu berkata kapal berkenaan tidak berlabuh atau singgah di HMAS Stirling, pangkalan RAN, tetapi meneruskan pelayaran ke zon pencarian. BM6 diketuai pegawai pemerintahnya Komander J. Kuharaj dan dianggotai 25 anak kapal terdiri daripada petugas Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC), yang diserap ke dalam Pasukan Sukarelawan TLDM. Seorang pegawai perubatan daripada Tentera Darat Malaysia juga menyertai misi bantuan itu. Komander Sokongan TLDM Naib Laksamana Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli yang menyempurnakan majlis mengucapkan selamat jalan kepada kapal itu memberitahu media bahawa BM6 akan menyertai operasi berkenaan selama tiga bulan. Kata beliau kapal itu juga bersedia menyambung misinya jika diminta berbuat demikian oleh kerajaan. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara laut China selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, pengumuman dibuat bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama |
[BONGKAR] Skandal Geran: MOSTI Cuba Tipu Rakyat, Edar Senarai Lama Penerima Geran! Posted: 24 Apr 2014 07:29 AM PDT KELAB GREENBOCSkandal Geran MOSTI: Timbalan Menteri Cuba Buat Silap Mata, PM & Menteri Wajar Buat Akuan Bersumpah Saya sedia maklum kenyataan Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohammad Diah yang menafikan bahawa kementeriannya pernah memberi apa-apa geran kepada syarikat NSE Resources Corporation Sdn Bhd. Gambar fail. Di dalam sidang medianya yang dipetik Malaysiakini semalam, beliau menegaskan perkara-perkara berikut: 1. Senarai 4,556 penerima geran dari MOSTI di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 menunjukkan tiada geran yang diberikan kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd 2. Beliau mempersoalkan kesahihan surat-surat dan dokumen yang saya dedahkan setakat ini melibatkan kementerian beliau, Pejabat Perdana Menteri dan NSE Resources Corporation Sdn Bhd. Saya telah menyemak dengan wartawan Malaysiakini yang melaporkan sidang media terbabit dan beliau mengesahkan bahawa senarai 4,556 penerima geran yang "didedahkan" oleh Timbalan Menteri itu adalah bagi Rancangan Malaysia Ke-9. Malah, jilid-jilid penerima dibawah Rancangan Malaysia Ke-9 itu ada dipamerkan kepada wartawan (lihat dibawah). Sekiranya Timbalan Menteri itu lebih berhati-hati, beliau sewajarnya tahu bahawa Rancangan Malaysia Ke-9 adalah bagi tempoh 2006 hingga 2010. Maknanya, senarai 4,556 penerima geran R&D MOSTI yang kononnya didedahkan beliau semalam adalah senarai geran bagi tahun 2006 hingga 2010, sedangkan skandal geran yang saya bongkarkan melibatkan kelulusan MOSTI bertarikh 21 Januari 2014. Sudah tentulah kelulusan geran RM100 juta yang diberikan kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd ini, yang baru sahaja diluluskan awal tahun ini, tidak tersenarai di dalam senarai penerima geran bagi tempoh 2006 hingga 2010! Saya tidak pasti sama ada Timbalan Menteri itu benar-benar terlepas pandang mengenai perkara ini atau beliau ingin cepat-cepat menutup perkara ini dengan menampilkan senarai penerima bagi tempoh berlainan untuk mengelirukan rakyat. Malah, kenyataannya itu juga bertentangan dengan rekod yang disebut oleh NSE Resources Corporation Sdn Bhd sendiri yang mengakui pernah menerima dua geran R&D dari MOSTI sebelum ini. Perkara ini dipaparkan di laman web NSE Resources Corporation Sdn Bhd di url http://www.nserc.com.my/page.aspx?p=14 yang saya pamerkan seperti berikut: Kenyataan beliau semalam menimbulkan lebih banyak keraguan dan menunjukkan seolah-olah beliau ingin menyembunyikan sesuatu mengenai perkara ini. Apatah lagi sehingga sekarang, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak dan Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin sendiri belum menafikan bahawa surat-surat yang dikeluarkan dan ditandatangani/diminitkan itu adalah palsu dan tidak sahih, seperti yang dituduh oleh Timbalan Menteri. Oleh yang demikian, untuk benar-benar membuktikan bahawa surat-surat yag saya tampilkan sebagai bukti itu adalah palsu, maka saya mencabar: 1. Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang diminitkan beliau itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau meminitkan sesuatu mengenai perkara itu; 2. Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang ditandatangani beliau bertarikh 21 Januari 2014 itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau menandatangani surat itu. Keengganan Dato' Seri Najib Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah bakal menjadi bukti bahawa kesemua surat dan dokumen yang saya tampilkan sekarang adalah benar dan sahih. RAFIZI RAMLI Ahli Parlimen Pandan |
Mujurlah Ada Mahathir, Jika Tidak, Pastilah Sebatang Jalan Di Putrajaya Dinamakan "Lebuh Obama" Posted: 24 Apr 2014 07:23 AM PDT shahbudindotcomSemalam bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menulis di blognya mengenai peranan pembodek dan penasihat kepada seseorang yang berkuasa sehingga menyebabkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh mengakibatkan seseorang pemimpin itu tersingkir daripada takhta kuasa. Walaupun beliau menulis secara umum dan tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, tetapi jelas difahami bahawa tulisannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang bukan saja dikelilingi paling ramai penasihat, bahkan juga pembodek yang sentiasa mengiyakan apa saja yang dilakukannya. Yang lebih menarik, sindiran Mahathir ini hanya muncul sehari selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bercakap dalam satu program bual bicara yang jelas menzahirkan sikap anti Najibnya kerana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dilihatnya mengamalkan dasar tidak betul dalam mengurus negara dan membangunkan ekonomi. Saya bukanlah seorang yang anti kerajaan, tetapi saya anti kepada dasar yang lompong dan tidak betul, tegas Daim menjelaskan tentang prinsip dirinya. Dalam semua kritikan dan kelemahan yang dikaitkan dengan Najib, selain beliau sendiri tidak mempunyai personaliti yang benar-benar kukuh sebagai pemimpin, peranan penasihat yang berada di di sekelilingnya turut dipersalahkan. Walaupun mempunyai paling ramai penasihat, pegawai dah konsultan di sekelilingnya, mereka itu dilihat tidak memberikan nasihat yang betul dan jujur, sebaliknya lebih untuk menyenangkan hati dan menggembirakan Perdana Menteri saja. Sebab itu, bukan saja ekonomi tidak berkembang, hutang bertambah, pembaziran berleluasa, tetapi juga menyebabkan timbulnya pelbagai masalah politik, sosial dan perpaduan yang tidak berkesudahan. Sempena kunjungan Presiden Amerika, Barack Obama ke Malaysia bermula Sabtu ini dan menyedari bahawa Najib amat mengkagumi pemimpin kuasa besar itu dan ingin dilihat antara pemimpin negara membangun yang mempunyai hubungan rapat dengannya, salah seorang penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dikatakan mahu meletakkan sebatang jalan di Putrjaya dengan nama "Lebuh Obama". Jalan yang dikenalpasti untuk ditukar nama itu ialah salah satu jalan yang menjadi laluan menuju beberapa kementerian dan tidak jauh daripada Masjid Putrajaya. Percubaan meletakkan nama Obama ini tidak lain ialah untuk menggembirakan hati Najib yang tentu akan berbunga-bunga hatinya apabila dipuji oleh Presiden Amerika itu nanti. Ura-ura pertukaran nama itu telah disampaikan kepada Putrajaya Holding dan turut menjadi perbualan sebilangan kakitangannya dan rata-rata turut tidak bersetuju dengannya. Kunjungan Obama ini mencatat sejarah kerana kali terakhir seorang Presiden Amerika berkunjung ke negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon B. Johnson. Berikutan lawatannya itu, sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan kemudiannya telah diberi nama Felda L.B Johnson. Oleh kerana Najib dapat membawa Obama ke negara ini hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa dan mampu menyaingi Mahathir yang memerintah selama 22 tahun tetapi tiada seorang pun Presiden Amerika yang datang melawat, barangkali penasihat itu merasakan pengabadian namanya pada sebatang jalan di Putrajaya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi. Walaupun mengabadikan nama pemimpin besar dunia yang pernah berkunjung ke negara ini bukanlah suatu isu yang sangat besar sebenarnya tetapi meletakkan nama Obama pada sebatang jalan di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tentulah tidak begitu sesuai dan seolah-olah menunjukkan negara mahu berkiblatkan kepada kuasa besar itu. Sekali imbas dan nyata, ia dilihat seperti Najib mahu membodek Obama tetapi yang sebenarnya ia adalah percubaan salah seorang penasihat yang ingin membodek, menyenang dan dan menggembirakan hati Perdana Menteri yang diketahuinya begitu taksub kepada pemimpin kuasa besar itu. Bagaimanapun apabila percubaan pertukaran nama jalan itu sampai ke pengetahuan Mahathir, orang yang mewujudkan Putrajaya, beliau telah menyuarakan rasa tidak setujunya atas ura-ura itu kepada pengurusan tertinggi Putrajaya Holding dan mahu imej Putrajaya yang ada dikekalkan. Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu. Namun demikian, sempena kunjungan Obama bermula Sabtu ini, tidak dipastikan sama ada sebatang jalan lain, kampung atau bangunan yang lain akan dinamanakan dengan nama Presiden Amerika itu tetapi yang pastinya Putrajaya tidak berjaya dicemari dengan unsur-unsur pengagungan nama-nama pemimpin luar. Segala-galanya kerana Mahathir masih ada dan ramai yang masih segan dengannya. Bagaimana agaknya jika selepas beliau tiada lagi dan pemimpin yang ada beserta penasihatnya terus menerajui negara ini? |
Hudud untuk orang Islam sahaja, kata TMB Posted: 24 Apr 2014 07:12 AM PDT Undang-undang tersebut diyakini akan dapat mengurangkan kadar jenayah. KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata hukum hudud ini hanya melibatkan umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu takut dengan hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud itu. Malah katanya, orang bukan Islam turut akan mendapat manfaatnya kerana undang-undang tersebut diyakini akan dapat mengurangkan kadar jenayah. "Kadar jenayah sekarang dilihat semakin tinggi dan pada pandangan saya hukum hudud ini apabila ia dikuatkuasakan kelak akan mengurangkan jenayah," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 berkata Kerajaan Pas Kelantan merancang menggunakan perkhidmatan pakar bedah untuk memotong tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sekiranya undang-undang Islam itu mula dikuatkuasakan tahun hadapan. Mohd. Amar memberitahu, selesai hukuman tersebut pesalah terbabit sudah boleh pulang ke rumah tanpa perlu menjalani sebarang hukuman lain seperti penjara atau sebaliknya. Beliau berkata, hukuman tersebut dilihat lebih berkesan daripada Kanun Tatacara Jenayah yang diamalkan sekarang di mana semua pesalah perlu menjalani hukuman penjara selain ia juga membebankan kerajaan menanggung kos tahanan tersebut. "Hukum hudud ini adalah agak berbeza di mana pesalah yang telah dipotong tangan khususnya untuk kesalahan mencuri itu dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama keluarga dan kerajaan juga tidak akan menanggung apa-apa kos penjagaan tahanan di dalam penjara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pecah Tanah Projek Rumah Taman Kurnia Jaya di sini semalam. Tambah Mohd. Amar undang-undang Islam itu adalah lebih berperikemanusiaan di mana setiap pesalah terbabit sebelum dijatuhi hukuman perlu dibuktikan kesalahan. "Pertimbangan juga akan dilakukan sebelum dijatuhkan hukuman sekiranya mereka (pesalah) mencuri atas sebab-sebab tertentu seperti lapar atau terpaksa ia tidak akan dikenakan hukuman potong tangan," katanya. Sementara itu Kerajaan Pas Kelantan disaran agar mengkaji semula pelaksanaan hukum hudud yang ingin dijalankan negeri itu kerana hukum hudud Islam merangkumi semua pihak termasuk orang bukan Islam. Pengasas Pondok Geting Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa' amah berkata, kerajaan Pas Kelantan sebelum ini menyatakan hukum hudud yang ingin dijalankan di Kelantan hanya merangkumi orang Islam sahaja. Sedangkan kata Abdullah, hukum hudud yang sebenarnya adalah merangkumi ke atas orang Islam dan orang bukan Islam. "Hudud Islam kena dua-dua pihak (orang Islam dan bukan Islam), tetapi hukum hudud Pas hanya merangkumi orang Islam sahaja, ini zalim. "Di dalam kitab Majmuk Al Imam Al-Nawawi ada menyebut bahawa jika ada kes berkaitan orang Islam dan bukan Islam, contohnya orang bukan Islam mencuri harta orang Islam, tidak ada khilaf lagi bagi hakim untuk menjatuhkan hukum hudud ke atas orang bukan Islam tersebut. "Kalau hendak suruh orang bukan Islam ke mahkamah lain dan bukannya laksanakan hukum hudud untuk satu kes seperti ini, ia adalah tidak betul," katanya ketika ditemui di Mentaloon di Alor Star, Kedah semalam. |
Anwar selar KM S'wak halang pemimpin PKR Posted: 24 Apr 2014 01:31 AM PDT MALAYSIAKINI Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras mengutuk tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menggunakan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen atas alasan melindungi hak negeri Sarawak dengan menghalang pemimpin PKR memasuki Sarawak. "Hak negeri maksudnya tanah hak adat pribumi (NCR), pengagihan kekayaan dan harta kepada rakyat dari seluruh komuniti dan hak kepada komunititi yang termiskin. "Tetapi dia (Adenan) gunakan alasan ini untuk melindungi pemilik syarikat balak dan pemimpin politik yang korup jadi dia halang pemimpin PKR ini ke Sarawak, sebab dia takut pemimpin pembangkang ini akan beritahu hal ini kepada rakyat Sarawak," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 hadirin di Bazar Sungai Maong, Kuching semalam. "Apa jenayah yang (Pengarah strategi PKR dan MP Pandan) Rafizi Ramli, (MP Batu) Tian Chua dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution dah buat hingga mereka layak dihalang dari masuk ke Sarawak," tanya Anwar. Anwar berkata, selepas Adenan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Taib Mahmud, beliau sudah pun menyuarakan supaya pemimpin itu dapat menghapuskan amalam korupsi serta memastikan golongan miskin dibantu tidak kira latar belakang dan kaum. Bagaimanapun, tambah Anwar, beliau melihat sehingga kini tiada tanda atau kenyataan yang memperlihatkan polisi Sarawak berubah ke arah yang positif. "Tetapi dalam masa beberapa minggu selepas menjadi ketua menteri, Adenan mula menghalang orang masuk ke Sarawak. Ini bukan tanda yang baik. "Dia (Adenan) turut buat satu kenyataan tidak baik kepada saya dan kata jika saya tak jaga tingkah laku, dia akan halang saya dari masuk ke Sarawak," kata beliau. |
Isu Liwat II: Peguam fail 35 asas perundangan Posted: 24 Apr 2014 01:20 AM PDT MALAYSIAKINI Firma guaman mendiang Karpal Singh memfailkan 35 asas perundangan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes Liwat II. Ia difailkan oleh peguam Zaleha Al Hayat pada jam 1.40 petang ini di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan. "Kami bersengkang mata sejak jam 6 petang semalam untuk menulis asas rayuan ini. "Jika ia tidak difailkan sebelum jam 3 petang ini, mungkin Anwar terpaksa menjalani hukuman penjara," kata Zaleha. Tambahnya, salinannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. |
Najib digesa beritahu Obama tak terima TPPA Posted: 24 Apr 2014 01:17 AM PDT MALAYSIAKINI Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu kerajaan memberitahu Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama bahawa Malaysia menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pacific (TPPA). Presidennya SM Mohamed Idris (kanan) berkata, jika perkara itu tidak dapat dilakukan, Malaysia sekurang-kurangnya harus tidak bersetuju dengan sebarang kompromi baru semasa rundingan TPPA, yang besar kemungkinan berlaku ketika kedatangan Obama Ahad depan. Mohamed Idris berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan perkara itu pada 21 April, dengan salinan kepada timbalan perdana menteri dan menteri berkaitan. Mohamed Idris berkata, Najib patut mengambil kesempatan atas lawatan Obama dengan memaklumkan kebimbangan Malaysia berkaitan TPPA, dan menarik diri daripada rundingan selanjutnya. "Kami percaya ia perkara terbaik untuk kepentingan negara," kata Mohamed Idris semasa sidang media di Pulau Pinang hari ini. Beliau juga mengingatkan terhadap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala beberapa tahun lalu yang tidak dimuktamadkan ekoran banyak perbezaan, yang sebahagian isu berkaitan timbul kembali dalam TPPA. Walaupun begitu, katanya, ia tidak pun memberi kesan buruk kepada hubungan Malaysia-AS. |
Beranikah Najib tukar Ahmad Said? Posted: 24 Apr 2014 01:12 AM PDT Blogger Sayuti Omar menyifatkan Ahmad Said akan jadi macam David Moyes. PETALING JAYA: Dahulu heboh kononnya Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu ditukar apabila ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ bagi membolehkan beliau dilantik sebagai MB yang baharu. Tetapi perancangan manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Anwar beriya benar mahu menjadi MB Selangor tetapi akhirnya beliau tidak dapat bertanding apabila pada 7 Mac lalu beliau dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Saiful Bokhari Azlan. Maka berita pertukaran Khalid dari jawatan MB menjadi senyap selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi DUN Kajang menggantikan suaminya. Ahad lalu Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia membangkitkan isu pertukaran dua MB di kalangan MB Barisan Nasional (BN). BN berkuasa di Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah (Ketua Menteri). Siapa yang akan digugurkan? Tidak mungkin Perlis, Kedah, Melaka dan Johor kerana mereka masih baru menjadi MB pada Mei 2013 selepas pilihanraya umum (PRU). Adakah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Musa Aman? Mohamad Hassan paling gentleman antara mereka berlima. Beliau berkata kuasa melantik MB adalah kuasa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kalau PM suruh bersara, kita kena terima dengan lapang dada," kata beliau. Setakat ini Zambry, Adnan dan Musa tidak bersuara. Sebaliknya yang banyak menjadi tumpuan ialah Ahmad Said. Ahmad Said kata beliau enggan mengulas spekulasi dalam blog dan Facebook. Sebenarnya bukan blog dan Facebook yang memulakannya tetapi Mingguan Malaysia akhbar milik Umno. Apabila akhbar milik Umno yang mainkan isu ini, maka orang lebih percaya Ahmad Said akan ditukar walau pun Awang Selamat tidak menyebut nama dua MB yang terbabit. Benarkah ada perjanjian di antara Najib dengan Ahmad Said bahawa beliau jadi MB Terengganu untuk satu tahun sahaja selepas PRU ke 13? Itu yang diperkatakan orang. Malah beliau dikatakan mengugut PM akan menarik dua ADUN BN keluar dari BN yang menyebabkan BN akan tumbang di Terengganu pada tahun lepas sekiranya PM tidak lantiknya semula sebagai MB. Jika benar Najib mahu gugurkan Ahmad Said, adakah ugutan Ahmad Said akan terlaksana? Tergamakkah Ahmad Said melihat BN jatuh di Terengganu? Ini yang sedang difikirkan oleh Najib buruk dan baik menggantikan Ahmad Said dengan orang lain. Blogger Sayuti Omar menyifatkan Ahmad Said akan jadi macam David Moyes, Manager Manchester United. Katanya, semalam Ahmad Said enggan ulas. Manakala orang yang diheret akan mengganti beliau menafikan. Orang yang dijaja ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia bernama Rozi Mamat. Sebelum ini orang tidak kenal siapa dia Rozi Mamat. Dia bukan tokoh yang disebut-sebut sebelum ini. Tetapi tiba-tiba namanya tersembur ke atas hari ini. Sayuti menulis, Rozi Mamat pun sudah menggeletar bila mana namanya disebut malahan marah kepada orang yang mengheret namanya. Tambahnya lagi, tidak mengapa, Rozi tidak perlu menggeletar dan marah-marah, orang yang bakal mengganti Ahmad Said kalau MB itu terpaksa disenjah turun, bukan Rozi Mamat, tetapi ada nama lain. "Nama itu sudah pun dimaklumkan kepada Sultan Terengganu. Sebelum itu saya nak tanya beranikah Najib Razak tukar MB Terengganu itu? Macam mana dengan Sultan, perkenankah tidak?" soal Sayuti dalam blognya. MstarOnline menulis keputusan pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran MB di beberapa buah negeri menjadi kenyataan sebagaimana yang disebut-sebut sekarang. Walaupun PM berhak membuat perubahan ke atas kerusi tersebut tetapi kata putus istana tetap memainkan peranan dan tidak dapat diketepikan begitu sahaja. Beberapa sumber yang dihubungi mStar Online memaklumkan, suka atau tidak, kata putus istana dalam soal kerusi MB harus diterima sebagai salah satu pra-syarat pelantikan mana-mana MB yang baharu. "Lambat atau cepat proses pertukaran (MB) itu bergantung kepada kata putus pihak istana," katanya lagi. Sumber mStar Online turut mendedahkan bahawa isu mengenai pertukaran MB di beberapa buah negeri ini timbul kerana wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, Barisan Nasional (BN) dan istana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu. "Menerusi gentleman agrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang," kata sumber berkenaan. Bilakah perubahan ini akan berlaku hanya PM sahaja yang ada jawapannya.Dua buah negeri yang disebut-sebut terikat dengan persefahaman ini ialah Terengganu dan Pahang kata mStar Online lagi. Hanya seorang anggota Exco Terengganu, Nawi Mohamad tampil mempertahankan Ahmad Said. Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut menyokong kewibawaan Ahmad Said untuk terus mengetuai pentadbiran Terengganu. Nawi adalah orang Ahmad Said yang menentang penyandang jawatan Ketua Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh dalam pertandingan Ketua Bahagian pada tahun lepas. Sebalik-baik sahaja Idris dapat tahu Nawi mahu tanding jawatan Ketua Bahagian, beliau yang juga bekas MB bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian sahaja. Beliau buat alasan sibuk di pusat sebagai Menteri Pendidikan II dan ahli majlis tertinggi Umno yang menyebabkan beliau beri laluan kepada orang muda menjadi Ketua Bahagian. "Pertukaran berkenaan tidak perlu dilakukan buat masa ini," kata Nawi dalam sms kepada sebuah portal berita. Minggu lepas sebelum Mingguan Malaysia menyiarkan pojok Awang Selamat, Ketua Umno Bahagian Marang, Latif Awang membuat pengumuman berdiri teguh di belakang Ahmad Said. Justru itu sama ada benar atau tidak Ahmad Said akan berhenti pada 11 Mei ini, sama-samalah kita tunggu. Turut baca Ahmad Said tidak layan khabar angin, spekulasi Pemuda Umno Terengganu berdiri teguh di belakang Ahmad Said Ahmad Said bakal ditukar? |
Posted: 24 Apr 2014 01:02 AM PDT SEJAK tahun lalu, isu sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus mendapat perhatian sehingga ke hari ini. Banyak perkara dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutama berkaitan pelaksanaan sistem itu yang dilihat pincang. Namun selepas desakan demi desakan, kementerian dilihat mula menambahbaik beberapa perkara termasuk berkaitan sistem capaian online SPPBS. Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Ketua Biro Pendidikan Gabungan NGO Islam & Melayu Malaysia (GNIMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari, seorang guru yang lantang dalam memperjuangkan kempen Mansuh PBS selepas ia dilihat gagal mencapai objektif sebenar. SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan sistem pendidikan PBS selepas dibantah? NOR IZZAT: Ada tiga komponen terbesar yang diubah. Pertama, sistem online. Dalam perbincangan 24 Disember 2013, seperti yang dijanjikan Datuk Seri Idris Jusoh sendiri di hadapan pegawai-pegawai di kementerian, mengatakan ingin naik taraf 'server'. Jadi, (ketika itu) kita kena tunggulah pada 1 April dengan 'server' yang baru. Beliau pernah umumkan dalam media bahawa sistem online itu akan dimigrasikan bersama sistem pengurusan sekolah. Selepas desakan kita, akhirnya mereka buat keputusan pada 18 Mac, bahawa sistem itu ditiadakan atau dalam bahasa kita, dimansuhkan. Kedua, berkenaan pengurusan fail murid. Maknanya selepas ini, 'evidence' tak perlu dibuat. Jadi, kita lihat perkara itu baik, cuma, menjadi satu persoalan, adakah fail-fail sebelum ini diguna pakai?...mungkin ini persoalan yang pihak kementerian wajar menjawab sebelum ada pertikaian lain. Kemudian yang ketiga, tentang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Apa yang kita dapati, PT3 ini dalam tempoh selepas diumumkan, ada dua kali pertukaran format yang kita semua memang tak perasan tapi guru-guru perasan. Pertama, dulu dikatakan ada pentaksiran pusat, hanya lima subjek termasuk tambahan empat subjek bahasa. Secara keseluruhannya sembilan. Tapi lepas desakan, mereka cuba mengubah bahawa semua subjek ada pentaksiran pusat. Jadi, kalau bagi saya, secara ringkas, bukan ada perubahan apa-apa. Sama macam PMR cuma ditukar nama. SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini Menteri Pendidikan II mengumumkan tentang sesi penerangan PBS terhadap ibu bapa akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara, bulan depan. Apa pandangan anda? NOR IZZAT: Seperti yang saya jangka dari awal tahun lepas, memang mereka akan membuat perancangan untuk menerangkan sebab sebelum diumumkan, dalam tempoh sebelum nak ditangguh itu, mereka ada buat satu taklimat kepada pentadbir, guru dan ibu bapa. Nama taklimat itu adalah Taklimat Penataran Penambahbaikan PBS. Saya duduk dalam dua jenis taklimat iaitu bersama pentadbir dan guru. Dua taklimat ini mereka sampaikan maklumat yang berbeza-beza. Itu saya berani jamin cakap. Dengan pentadbir kata A, dengan guru kata B. Contohnya, dia bentang format PT3. Tapi bila saya tanya apa format? Sebab dia kata dah buat kajian menyeluruh maknanya format PT3 itu dah ada. Tapi bila saya soal di mana format tersebut, dia tak dapat bentangkan dan pentadbir mula bising. Keesokannya taklimat dengan guru, mereka kata, semua yang dibentangkan hari ini adalah baru cadangan. Semalam kata sudah tetap tapi hari ini kata ia baru cadangan... pemberi taklimat itu teruk ditekan para pentadbir dengan pelbagai soalan. SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pemberi taklimat itu tidak arif mengenai permasalahan PBS? NOR IZZAT: Berbalik kepada asasnya, PBS ini bagus. Taklimat yang diberikan itu bagus, secara teorinya. Tapi apabila pelaksanaannya tidak seperti mana yang diharapkan, dia cuba menutup kelemahan-kelemahan tersebut. Malangnya, kelemahan itu dah melarat. Dalam proses melarat itu, cikgu-cikgu dah lama simpan dan mungkin kebetulan, saya menyuarakan perkara ini dan mereka cuba bersama serta menyalurkan maklumat. Ada yang mengatakan apa yang mereka buat selama ini sia-sia. Pemberi taklimat cuba menutup kelemahan itu dengan mudah. Apabila telah berbincang dengan Datuk Seri Idris, barulah dapat satu perkataan yang selalu mereka gunakan iaitu, kecairan maklumat...kalau betul ada kecairan maklumat, kita sama-sama baiki. Tapi malangnya, apa yang mereka lakukan tidak (bukan), itu yang berlaku sekarang ini. SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, adakah PBS ini tidak boleh diaplikasi dalam negara kita? NOR IZZAT: Mengikut keadaan semasa secara ringkasnya, PBS ini bagus tetapi belum sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. Itu yang sebenar-benarnya. SINAR HARIAN ONLINE: Kekeliruan terhadap sistem PBS ini, bagaimana anda melihat cara kementerian menangani perkara itu? NOR IZZAT: Pertama, taklimat yang disampaikan itu tidak menyeluruh. Kedua, berbeza-beza. Kalau dulu, saya akui memang ada taklimat yang diberikan oleh guru-guru di peringkat sekolah. Itu memang tugas sebagai seorang guru. Tapi saya yakin semua sekolah di Malaysia memang tak dapat menyelami PBS itu sebenar kerana taklimat yang diberikan berbeza-beza. Format untuk setiap subjek berbeza-beza dan saban tahun bertukar-tukar. SINAR HARIAN ONLINE: Maklumat tak sama, jadi, apa sepatutnya yang kementerian buat? NOR IZZAT: Taklimat yang sama perlu diberikan kepada guru-guru dan pentadbir. Taklimat ini sebelum perkara itu berlaku. Sebelum kita nak buat satu program, taklimat dahulu. Walaupun nak bawa pelajar pergi lawatan. Selepas taklimat kepada guru dan pentadbir, baru kita buat taklimat kepada ibu bapa beritahu bahawa akan ada satu sistem baru yang akan menggantikan sistem peperiksaan yang lebih baik daripada sistem sebelum ini. Sebelum taklimat bermula di sekolah, sepatutnya taklimat bermula di kementerian itu sendiri dan sepatutnya pihak atasan perlu faham PBS ini terlebih dahulu. Itu yang sepatutnya berlaku sebelum 2012. SINAR HARIAN ONLINE: Cikgu menyebut PBS belum sampai masa untuk diaplikasikan di negara ini. Apa kekangan di negara ini? NOR IZZAT: Pertama, infra. Keadaan kelas iaitu kuantiti guru dan murid. Itu paling pertama. Kita rujuk kembali PBS yang sekarang ini dilaksanakan di Finland. 1 : 13 atau 14 ditambah dua pembantu guru di setiap kelas. Tapi kalau kita nak tiru sepenuhnya, saya pun sebagai rakyat Malaysia saya yakin, perlahan-lahan kita membuat perubahan. Mungkin untuk asas pertama, buat penambahan pembantu guru. Pendidikan penerima bajet kedua tertinggi di negara ini. Apa salahnya kalau gunakan belanjawan tersebut...jangan buat sistem baru. Buat penambahbaikan kepada infra sendiri. Penambahan pembantu guru itu boleh dibuat. Buat secara berperingkat. Lebih baik berperingkat ke arah itu daripada berperingkat membuat penambahbaikan PBS yang dah memang semakin lama semakin buruk. Saya menjangkakan di Malaysia, 1: 15, pun memadai. 20 itu maksimum. Realisasikan ini dulu, baru buat penambahbaikan yang lain. Di Australia sendiri 1: 15. Kita hanya tiru sistem tapi kita tidak tiru keseluruhannya. SINAR HARIAN ONLINE: Peperiksaan itu tidak relevan untuk menilai prestasi pelajar sekarang? NOR IZZAT: Saya lihat ada satu isu yang...apabila pelajar cemerlang akhirnya tidak berjaya di universiti. Mungkin itu yang kementerian nampak. Jadi, mereka ambil pendekatan laksana PBS. PBS memang baik sebab ia memberi peluang kepada guru untuk memberi tumpuan kepada murid seorang demi seorang tanpa ada yang tertinggal. Tapi tumpuan itu dalam keadaan ramai, tak sesuai. Sebenarnya, kementerian dah buat...kalau kita perasan ketika kita sekolah dulu pun, kita ada dua perkara, kurikulum dan kokurikulum. Jadi, dah lama ada tapi sekarang digandakan saja. SINAR HARIAN ONLINE: Bagi pelajar yang sedang berada di Tingkatan 3 tahun ini, bagaimana nasib mereka? NOR IZZAT: Sampai saat ini, masih belum ada format lagi dikeluarkan. Apa yang diumumkan adalah PT3 ada pentaksiran pusat. Saya ada beri satu pandangan bahawa cikgu tidak pernah merancang untuk murid...kalau untuk esok, hari ini baru nak rancang. Kalau ikutkan untuk pelajar PMR atau SPM atau UPSR sekalipun, cikgu sudah merancang ketika cuti sekolah. Saya yakin 100 peratus cikgu buat begini. Tapi, sampai hari ini.... SINAR HARIAN ONLINE: Apa harapan cikgu? NOR IZZAT: Saya difahamkan bahawa Majlis Profesor Negara (MPN) telah memberi kertas cadangan penambahbaikan tapi malangnya tidak digunakan. Kenapa? Saya lihat ada lebih daripada 15 cadangan penambahbaikan. Jadi, harapan saya kepada pihak kementerian, tolonglah jemput saya...kalau tak nak pun, panggillah guru-guru lain...tapi dalam keadaan semasa, saya rasa mereka tak terima. Kita akan bincang dan saya beri semua cadangan-cadangan yang terbaik. Saya sudah bentangkan dengan beberapa pihak termasuk cadangan itu dengan Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah dan beliau bersetuju dengan cadangan-cadangan saya itu tapi mungkin perlu ada kajian lagi. |
Malindo Air promosi tempat duduk percuma Posted: 24 Apr 2014 12:59 AM PDT MALINDO Air melancarkan penerbangan harian ke Bangkok, Thailand hari ini dan menawarkan promosi tempat duduk percuma. Tawaran ini tidak termasuk cukai lapangan terbang dan sah bagi tiket sehala sahaja. Syarikat penerbangan itu berkata penerbangan KLIA-Don Mueang akan berlepas pada pukul 12.40 tengah hari manakala dari Don Mueang pada 2.30 petang. Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata penerbangan itu merupakan sebahagian daripada rancangan untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara. "Laluan baharu ini menunjukkan komitmen tinggi kami bagi menghubungkan rakyat Malaysia ke destinasi paling popular di rantau ini, dan amat berharap ia dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. Promosi tempat duduk percuma itu berlangsung sehingga 27 April, 2014 dan bagi tempoh perjalanan sehingga 25 Mei, 2014. - Bernama |
Berapa Komisyen PLUS Daim Kaut & Berapa Banyak Kekayaannya Disimpan Di Tanzania? Posted: 24 Apr 2014 12:57 AM PDT KELAB GREENBOCDaim mengaku miliki bank di Tanzania, nafi salahguna kuasa Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin hari ini mengakui beliau memiliki sebuah bank di Tanzania, seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Namun, Daim menafikan dakwaan beliau menyalahguna kuasa berhubung pemilikan bank itu, lapor Berita Harian hari ini. Daim mempersoalkan cubaan ketua pembangkang itu yang kononnya berunsur penyelewengan berkaitan dirinya memiliki perniagaan itu. "Ya... memang saya punyai bank di sana (Tanzania)... sudah lama. Anwar juga tahu sebab dia mengambil alih menteri kewangan daripada saya dulu. "Semasa Anwar jadi menteri kewangan, dia mempengerusikan satu jawatankuasa menangani rasuah (peringkat Kabinet)... mengapa pada waktu itu tidak ambil tindakan terhadap saya. "Saya sudah dua kali disiasat (tentang isu itu) pada 1999, tidak ada apa-apa pun (kesalahan)," katanya, seperti yang dilapor Berita Harian. Sehubungan itu, lapor akhbar itu, Daim mendesak ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan bukti kukuh kepada pihak berkuasa untuk membuktikan dakwaannya. "Anwar ini, cakap sahaja... bukti tiada pun," katanya sambil memaklumkan keputusannya membuka bank di Tanzania adalah atas permintaan ketua negara berkenaan ketika itu yang inginkan beliau membuat pelaburan di sana. Sebelum ini, Anwar dalam beberapa siri ceramahnya menyatakan beliau ada bukti penyelewengan dan salahguna kuasa Daim, termasuk kaitan dengan pemilikan sebuah bank di Tanzania. Ketua Umum PKR itu mendakwa beliau mempunyai bukti penyelewengan besar bekas menteri kewangan itu. "Siapa Daim Zainuddin? Bekas menteri kewangan yang jadi jutawan paling kaya. Projek jalan raya utara selatan (PLUS) dia sapu ratus juta (ringgit). "Apa sahaja projek dia sapu. Begitu banyak komisen, tetapi ada siasatan?" kata Anwar dalam ceramah di Lembah Pantai baru-baru ini, lapor Suara Keadilan (SK), lidah rasmi PKR. Kata Anwar, selain mengambil dana negara melalui pengambilan komisen projek secara melampau, beliau mempunyai bukti Daim menyimpan duit di Tanzania, salah sebuah negara di Afrika Timur. Anwar mengesyaki kekayaan luar biasa Daim apabila gabenor bank negara menyebut bahawa Daim ada menyimpan wang di Tanzania. "Saya diundang semasa di Universiti George Town. "Saya pergi ke Tanzania kerana dijemput jumpa presiden, menteri kewangan dan gabenor bank negara Tanzania. "Gabenor mengatakan Tun Daim punya bank di sini (Tanzania). (Gabenor) katakan Daim menyimpannya di International Bank of Malaysia. "Saya tanya (Daim), untuk apa? Kemudian gabenor jawab Daim tidak buat apa-apa. Daim simpan duit sahaja. "Ada sebarang operasi? Tidak, ini bank 'istimewa'. Kemudian saya berkata kepada gabenor bank negara Tanzania, adakah kamu tahu, ini bukan cara yang sepatutnya. "Duit daripada mana? Daim ambil daripada Malaysia dan simpan di sini," kata Anwar, menceritakan kandungan pertemuannya, lapor Suara Keadilan. Kata Anwar, salahguna kuasa Daim terbukti apabila orang yang dipertanggungjawabkan menguruskan bank di negara tersebut ditahan di sebuah Lapangan Terbang Heathrow, London. "Saya bawa perkara ini kepada SPRM, tidak tanya pun saya. Daim pun tidak ditanya. "Kerana di Malaysia ini, kalau kamu pemimpin Umno, kamu kebal. Kamu curi banyak mana sekalipun, bagi bukti banyak mana pun," kata Anwar sebagaimana dilaporkan SK. -TMI
|
PRK Bukit Gelugor: 82,431 layak mengundi Posted: 24 Apr 2014 12:53 AM PDT PUTRAJAYA - Seramai 82,431 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen P.051 Bukit Gelugor dengan 21 pusat pengundian akan dibuka. Menurut Pengerusi Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Daftar Pemilih Induk (DPI) digunakan bagi PRK ini ialah DPI yang digabungkan. "Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah DPI 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Keempat bagi tahun 2013 yang telah dikemaskini hingga 17 April 2014. "Daftar pemilih itu mengandungi 82,431 pemilih berdaftar yang terdiri dari 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya, hari ini. Sebelum itu, beliau mengumumkan tarikh pengundian awal pada 21 Mei dan pengundian biasa pada 25 Mei depan selepas mengambil kira pelbagai aspek. Sementara 12 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon. Kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil kelima selepas Pilihan Raya Umum ke-12 itu dianggarkan sebanyak RM 1,979,480. Empat PRK sebelum ini menelan kos RM 1.3 juta (Sungai Limau dan Kuala Besut), RM910,213 (Balingian) dan RM 1.6 juta (Kajang). Untuk rekod, kerusi Bukit Gelugor boleh dikatakan kerusi tradisi DAP. Pada tahun 2004, DAP menang dengan majoriti 1,261 undi, pada tahun 2008, ia menang dengan majoriti 21,015 sementara pada 2013, Karpal Singh memang undi majoriti 42,706. Berdasarkan senarai daftar pemilih 2013, terdapat 82,042 pengundi dengan 61,112 Cina, 11,880 Melayu, 8,660 India dan 390 kaum lain di Bukit Gelugor. Kerusi Parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Seri Delima, Paya Terubong dan Air Itam, yang kesemuanya dimenangi calon DAP. |
Objek hanyut bukan daripada MH370 Posted: 24 Apr 2014 12:45 AM PDT PERTH - Biro Keselamatan Kenderaan Australia (ATSB) yakin bahawa objek tidak dikenal pasti yang hanyut ke darat di Augusta, pantai barat daya Australia Barat, bukan daripada MH370 yang hilang. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada Khamis berkata, ATSB, selepas meneliti gambar-gambar bahan itu secara terperinci, berpuas hati bahawa ia bukan petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pencarian pesawat malang itu. JACC yang mengendalikan operasi mencari itu berkata demikian dalam kenyataan di sini. Jurucakap ATSB, Martin Dolan, dalam temu bual dengan CNN pada Rabu berkata bahan itu merupakan kepingan logam dengan cantuman rivet. "Memang cukup menarik bagi kami untuk meneliti gambar-gambar itu...tapi keterujaan itu berkurangan, semakin lama kami melihatnya," katanya. ATSB turut memberikan gambar-gambar itu kepada pasukan penyiasatan Malaysia, menurut JACC dalam kenyataan pada Rabu. |
Luahan Hati Isteri Pramugara, Dakwa Kerajaan Menipu & Rancang Plot Drama MH370 Posted: 24 Apr 2014 12:43 AM PDT KELAB GREENBOCSelepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram. Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas. "Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar," tulisnya. Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan "masih ada" dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang. Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang. Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas. Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini. "Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu," ujar waris berkenaan. Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian. "Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body' pun jadilah. "Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung. Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa," jelasnya. Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. "Saya tak tahan dengar dan terus balik," katanya. Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat. Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi. Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu. - ASTRO AWANI |
Larangan sertai himpunan bantah GST Posted: 24 Apr 2014 12:35 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Orang ramai dilarang menyertai Himpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini kerana program itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Zainuddin Ahmad berkata, program itu tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa selepas pihak penganjur perhimpunan gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka untuk menggunakan lokasi berkenaan. Katanya beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa penganjur, S Arutchelvan, yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pembantunya pada 16 April lepas bagi tujuan mendapatkan maklumat bagi membolehkan polis membuat persiapan awal. "Arutchelvan telah memberitahu bahawa mereka semua akan berkumpul di KLCC pada tengah hari dan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka. "Saya menasihatkan mereka supaya mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran pihak pengurusan lokasi perhimpunan," katanya pada sidang media di sini hari ini. Zainuddin berkata, dua hari selepas pertemuan itu, pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan kepada pihak polis tanpa surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka. Beliau berkata pada 21 April lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli. "Mereka memaklumkan akan mengadakan perhimpunan yang sama tetapi disebabkan masih tidak mempunyai kebenaran daripada pengurusan di kedua lokasi itu maka saya menasihatkan mereka supaya memilih lokasi alternatif di Stadium Merdeka," katanya. "Saya mengesyorkan supaya mereka memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk mendapatkan kebenaran namun sehingga ke hari ini mereka juga tidak memberikan sebarang jawapan," katanya. Justeru, Zainuddin berkata oleh kerana pihak penganjur gagal mematuhi akta tersebut dan sekiranya diteruskan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012. Perhimpunan tersebut sempena Hari Pekerja itu dirancang oleh satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik. - Bernama |
PRK Bukit Gelugor 25 Mei, penamaan 12 Mei Posted: 24 Apr 2014 12:32 AM PDT PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Bukit Gelugor. Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu sidang media yang diadakan selepas selesai mesyuarat khas di ibu pejabat SPR di sini, hari ini. "SPR telah menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Bukit Gelugor. "Sementara pengundian awal 21 Mei 2014 dan undian biasa pada 25 Mei 2014," katanya kepada pemberita. Menurutnya, tarikh tersebut dipilih setelah mengambil kira semua aspek termasuk perayaan dan sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Abdul Aziz berkata, PRK kali ini menelan kos yang agak besar ekoran kawasan tersebut mempunyai 21 Dun. "Kos PRK agak tinggi kerana kawasannya yang besar. Anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan PRK ini adalah sebanyak RM 1,979,480," katanya. Daftar Pemilih Induk (DPI) mengandungi 82,431 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara. Sebanyak 21 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian tersebut dan 1,095 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April lalu. |
MH370: MAS bayar 96% tuntutan waris China Posted: 24 Apr 2014 12:30 AM PDT BEIJING - Malaysia Airlines (MAS) telah melunaskan 96 peratus tuntutan yang dikemukakan oleh waris penumpang warga China MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas, kata Naib Presiden Kanannya Jaffar Derus Ahmad. Beliau berkata dari 8 Mac hingga 21 April lepas, pihaknya telah menerima 124 tuntutan bayaran balik daripada 400 anggota keluarga penumpang warga China yang tinggal di Hotel Lido di sini. Beliau berkata daripada jumlah tuntutan itu, sebanyak 86 peratus atau 106 tuntutan telah dibayar sepenuhnya kepada saudara mara penumpang. "Ada sebanyak 10 tuntutan telah diluluskan oleh ibu pejabat dan kami sedang dalam proses memindahkan wang ke akaun anggota keluarga," katanya kepada sesi taklimat hairan kepada saudara mara penumpang MH370 di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, terdapat tiga tuntutan diluluskan oleh ibu pejabat MAS tetapi ditolak oleh waris penumpang. Jaffar bagaimanapun enggan menjelaskan butiran tuntutan yang dikemukakan oleh waris penumpang warga China itu apabila ditanya oleh wartawan Malaysia selepas sesi taklimat itu. Semasa taklimat itu, salah seorang waris, Jiang Hui berkata mereka tidak akan berjumpa dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin semasa lawatannya ke Beijing kecuali beliau boleh menjawab soalan teknikal berhubung MH370. Kelmarin, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Hamzah, yang juga pengerusi jawatankuasa waris, sudah berada di Beijing untuk memberi taklimat kepada keluarga mangsa. Difahamkan Hamzah berada di sini untuk menemui pihak berkuasa China bagi membincangkan isu-isu berkaitan kehilangan pesawat itu. Pada sesi taklimat semalam, waris penumpang mendesak wakil MAS supaya memberitahu nombor siri kotak hitam penerbangan MH370. Mereka sukar menerima penjelasan walaupun Jaffar berulang kali menyatakan dokumen berkaitan MH370 'dikunci' oleh pihak berkuasa siasatan sejak hari pertama kehilangan pesawat itu. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kini tertumpu di bahagian selatan Lautan Hindi. - Bernama |
Hudud tak bercanggah Buku Jingga Posted: 24 Apr 2014 12:28 AM PDT KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menjelaskan perjanjian bersama Majlis Pimpinan Pembangkang pada 28 September 2011 tidak menyentuh mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Menurutnya, perjanjian yang dibuat ketika itu hanyalah melibatkan permuafakatan dalam pembangkang dan antara parti komponen PR yang antaranya adalah persefahaman untuk tidak melaksanakan hukum hudud bagi peringkat negara. "Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sudah diluluskan sejak 21 tahun lalu di negeri ini dan ia langsung tidak bertembung dengan perjanjian pakatan pembangkang serta tidak bercanggah dengan kandungan Buku Jingga. "Dalam perjanjian tersebut (Majlis Pimpinan Pembangkang), kita (Pas) berjanji dengan DAP dan PKR untuk tidak menyebut soal negara Islam atau hudud di peringkat negara, perjanjian tersebut hanya untuk negara dan dalam konteks Kelantan ia berlainan kerana hukum hudud sudah diluluskan sejak tahun 1993. "Saya juga tidak faham mengapa mereka (DAP dan PKR) mempertikaikan usaha kita sedangkan manifesto juga terdapat di peringkat negara serta negeri," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pecah Tanah Projek Rumah Taman Kurnia Jaya, semalam. Mohd Amar diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa isu sokongan pembangkang terhadap hukum hudud tidak wujud. Beliau berkata, saranan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming supaya Pas fokus pada konsep negara berkebajikan juga tidak pernah diabaikan. Katanya, Pas tidak pernah mengetepikan agenda tersebut sebagaimana dipersetujui selama ini. "Konsep negara berkebajikan sememangnya menjadi agenda kita, hukum hudud ini dilihat mampu mengukuhkan lagi konsep tersebut selain dapat membantu aspek keselamatan dalam negara, jenayah terlalu tinggi, sudah tiba masanya undang-undang Islam ini dilaksanakan, mereka (DAP) harus beri peluang kepada kita melaksanakan hukum ini dan sekiranya kita gagal, barulah mereka ada sebab untuk menolak," katanya. Jika Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dilaksanakan di Kelantan, kerajaan Pas Kelantan tidak teragak-agak untuk mendapatkan pakar bedah bagi menjalankan salah satu hukuman dalam undang-undang Islam itu. Mohd Amar berkata, dalam masa sama, pesalah dibenarkan pulang ke rumah selepas hukuman seperti memotong tangan dijalankan tanpa perlu menjalani hukuman lain seperti penjara atau sebagainya. Menurutnya, undang-undang Islam lebih berperikemanusiaan kerana mengikut pertimbangan atas tindakan yang dilakukan sebelum dijatuhi hukuman. Katanya, orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana ia hanya melibatkan orang Islam tetapi membantu membanteras jenayah untuk semua masyarakat. |
MH370: Bahan tidak dikenali terdampar di pantai Augusta, Australia Posted: 23 Apr 2014 05:12 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Polis Australia Barat sedang menyiasat laporan mengenai satu bahan tidak dikenali didapati terdampar di pantai kira-kira 10 km di timur Augusta dan lebih kurang 322 km di selatan Perth. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti gambar bahan yang dijumpai itu untuk menentukan sama ada analisis lanjut perlu dibuat dan ia mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. ATSB juga memberi gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu, kata JACC dalam kenyataan terkininya pada Rabu. Operasi mencari pada Rabu dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth. Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". – Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan