Khamis, 17 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


“30 polis serbu rumah, isteri tahanan PCA sarat mengandung dicekik”

Posted: 17 Apr 2014 05:58 AM PDT

KEADILAN DAILY

Nurul Shuhaida Teh_  
PETALING JAYA : Nurul Shuhaida Teh, isteri tahanan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) berkata, dia dicekik anggota polis yang menyerbu rumah mereka ketika mencari suaminya, Tengku Arif Bongsu.

"Waktu itu jam 4 petang, saya berada di bawah (rumah). Enam daripada mereka masuk ke rumah dan yang lain tunggu di luar, waktu itu suami saya sedang tidur.

"Saya tanya mereka ada urusan apa. Tapi mereka suruh saya diam.

"Salah seorang daripada mereka mencekik leher saya dengan kuat dan mereka yang lain naik keatas (rumah) terus membawa suami saya keluar," kata Nurul Shuhaida yang sarat mengandung dan hadir ke sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Kejadian itu berlaku di kediaman mereka di Kajang Perdana pada hari Ahad, 13 April lalu.

Nurul Shuhaida Teh ditemani ibunya, Khailiah Mohamad (tengah) dan Ketua Biro Kebudayaan & Kesenian Wanita KEADILAN, Dayangku Intan
Nurul Shuhaida Teh ditemani ibunya, Khailiah Mohamad (tengah) dan Ketua Biro Kebudayaan & Kesenian Wanita KEADILAN, Dayangku Intan

Difahamkan hampir 30 polis tidak beruniform dengan menaiki enam buah kereta menyerbu masuk rumah mereka dan menangkap suaminya, Tengku Arif Bongsu.

"Saya tanya mana mereka nak bawa suami saya. Mereka kata Tengku akan dibawa ke IPK dan tidak membenarkan saya mengekori mereka,

"Mereka hanya menunjukkan ID Polis dan tidak menunjukkan sebarang waran tangkapan," katanya.

Tengku Arif merupakan seorang pemilik salah sebuah kafe siber sebelum ini pernah ditangkap dua kali dan menang dalam kes Mahkamah Tinggi kerana tiada bukti jenayah dalam pertahanan yang dibuat.

Himpunan 1 Mei: Tian Chua, Mat Sabu jumpa polis Isnin depan

Posted: 17 Apr 2014 05:54 AM PDT

KEADILAN DAILY

1MEI 
KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyatakan Pakatan Rakyat akan berbincang dengan pihak polis mengenai perhimpunan gergasi Hari Buruh 1 Mei depan.

Menurut Tian, beliau akan bersama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lebih mesra dipanggil sebagai Mat Sabu dan bertindak sebagai ahli jawatankuasa mobilisasi Himpunan 1 Mei ini untuk memberi keterangan kepada polis.

"Mat Sabu dijemput untuk berbincang dengan polis berhubung (himpunan) 1 Mei nanti.
" Dalam perhimpunan ini Mat Sabu sebagai jawatankuasa mobilisasi, " kata Tian ketika dihubungi Keadilandaily.

Tian Chua (KEADILAN) dan Ronnie Liu (DAP), antara pimpinan Pakatan yang memainkan peranan dalam menggerakkan himpunan gergasi ini.

Beliau semalam tidak hadir ke Balai Polis Dang Wangi untuk memberi keterangan kerana menurutnya Pakatan Rakyat tidak terlibat mengenai himpunan di KLCC, tetapi bertanggungjawab mengenai himpunan di Dataran Merdeka pada tarikh tersebut.

"Polis minta keterangan berhubung perhimpunan di KLCC, Pakatan Rakyat tidak berhimpun di situ, tetapi di Dataran Merdeka, " katanya.

Perhimpunan 1 Mei mengumpulkan bantahan terhadap dasar kerajaan Barisan Nasional termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Tuntutan Royalti, kenaikan harga barang dan memansuhkan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Kenyataan MB Negeri Sembilan jual air ke Selangor memperbodoh rakyat

Posted: 17 Apr 2014 05:53 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR 


SEREMBAN : Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson, Ravi Munusamy membidas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya untuk menjual air terawat ke Selangor.

"Kenyataan yang membodohkan rakyat, juga kenyataan yang sombong.

"Sebab di Negeri Sembilan pernah mengalami krisis air air.

"Ada beberapa kawasan dalam sebulan dua sebelum ini yang mempunyai masalah air, seperti Chuah, Seremban, Port Dickson," kata Ravi kepada Keadilandaily.

Ravi MunusamyRavi (gambar) turut mencabar Mohamad Hasan membuktikan kenyataannya berkenaan masalah air di negeri itu.

"Kita cabar Menteri Besar, kalau tiada krisis air di Negeri Sembilan, minta jawab secara hitam putih," katanya.

Mohamad Hasan sebelum ini berkata Negeri Sembilan tiada masalah menjual air untuk menjual air terawat kepada Selangor dan Kuala Lumpur selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban 16 April lalu.

Tanbah Ravi, kualiti air untuk diminum di Negeri Sembilan masih terjejas dan keinginan menjual air kepada negeri lain masih boleh dipersoal.

"Kualiti air masih didapati kotor. Mengikut analisa terperinci, air minuman memang tidak boleh diminum.

"Mohamad Hasan perlu baiki dahulu masalah air kotor ini sebelum dia jual air kepada orang lain, " katanya.

MCA dakwa otak Zulkifli Noordin ‘penuh sampah’

Posted: 17 Apr 2014 05:41 AM PDT

DETIK DAILY


MCA mengecam bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin sebagai tidak mempunyai otak kerana kenyataan tidak munasabah selepas kematian ahli politik veteran DAP, Karpal Singh awal pagi ini.


Dalam kenyataan melalui akaun Twitter @zukiflinoordin beliau dilihat seolah-olah  "lega" dengan kematian ahli Parlimen Bukit Jelutong itu kerana pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.

"Nampaknya Zulkifli Noordin sudah hilang rasional dengan cuba mendapatkan perhatian politik apabila mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan," kata Ketua Biro Publisiti, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.

Chai menyifatkan bekas naib presiden Perkasa itu sebagai terlupa sifat asas setiap manusia.
"Zulkifli kelihatan terlupa dengan sifat asas yang diperlukan oleh setiap manusia," katanya.

Zulkifli berkata kematian Karpal akan memudahkan lagi kerajaan Kelantan dalam melaksanakan Hukum Hudud yang selama ini ditentang hebat oleh DAP.

"Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.

"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!" kata Zulkifli.

Chai menegaskan isu politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyakiti orang lain, mendesak Zulkifli yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu supaya bersara daripada politik.

"Amalan dalam politik tidak sepatutnya disalahguna dan menyinggung perasaan orang lain, tambah-tambah jika ia melibatkan kebajikan orang ramai.

"Jika Zulkifli tidak memahami kebenaran ini, atau tidak tahu tentang konsep hormat, beliau boleh bersara daripada politik," kata Chai lagi.

Karpal maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Jangan ‘main ceduk’ apa saja ke bakul agama

Posted: 17 Apr 2014 05:38 AM PDT

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya.

Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-'Arab).

Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya disimpan oleh kawannya sebelum dia meninggal dunia. Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tidak berasas dan 'kartun' sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.

Sahih

Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir. Kisah itu ada dalam Al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.

Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai keselarasan dengan Al-Quran dan as-Sunnah serta logik yang kukuh.

Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam Bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya. Bahkan, banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik.

Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu. Benar seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan".

Katanya juga: "Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat mencekik kitab-kitab kaum muslimin". ( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Palsu

Dalam kitab-kitab hadis banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit daripada selainnya.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): "Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah". (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya: "Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku". (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai' al-Turath al-'Arabi).

Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:"Para ahli sejarah Islam menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi bagi setiap sanad.

Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah".  (Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7).

Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.

Logik

Perkara yang tidak logik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:"Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu." (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).

Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr Al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:"Sepertimana para ulama hadis mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan Al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk ditaufiqkan (diharmonikan). (Abu Syahbah,  Difa' an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).

Buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini. Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.

Kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas Al-Quran dan as-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras. Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama. – drmaza.com,

* Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Kesan kematian Karpal kepada landskap politik Malaysia

Posted: 17 Apr 2014 05:21 AM PDT

Oleh Kadir Jasin   


 
Kematian ahli politik veteran pembangkang Karpal Singh Ram Singh hari ini mengosongkan ruang yang luas dalam landskap politik negara.

Pengerusi nasional DAP merangkap ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, itu terbunuh dalam kemalangan di KM301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Turut merasakan kekosongan adalah masyarakat guaman yang nampaknya semakin hari semakin ketandusan pengamal yang gigih, berkaliber dan kontroversial seperti Karpal.

Sejarah akan menilai dan memberi kata putus yang sama kontroversial dengan tindak-tanduk beliau yang secara mutakhir ini dan terang-terangan mencampuradukkan kerjaya guaman dengan politik.

Walaupun beliau seorang peguam jenayah yang hebat – yang berjaya menyelamatkan ramai penjenayah berat daripada tali gantung – namun umum akan mengingati beliau sebagai peguam Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertama pada 1998.

Karpal berubah daripada menjadi musuh ketat Anwar ketika Anwar dalam Umno dan kerajaan kepada pembela dan pengikut sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Dalam perhubungan simbiotik dengan Anwar itu, mendiang Karpal memanifestasikan secara jelas dan mutakhir bahawa tidak ada musuh yang kekal dalam politik. Yang kekal adalah kepentingan bersama. Walaupun jawatan pengerusi nasional adalah jawatan "figurehead" dalam DAP, tetapi kerana perwatakan beliau dan hakikat beliau bukan Cina memberikan beliau kuasa dan kedudukan yang istimewa.

Dalam hierarki DAP, jawatan yang berkuasa adalah setiausaha agung yang disandang oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Karpal juga akan dikenang sebagai pemimpin pembangkang yang paling kuat menentang hukum hudud yang diilhamkan oleh PAS.

Sebelum DAP dan PAS bersekedudukan dalam Pakatan Rakyat, Karpal pernah berkata PAS perlu melangkah mayatnya dulu sebelum boleh melaksanakan hudud.

Beliau meninggal di saat-saat PAS, melalui kerajaan PAS Kelantan, sedang menghidupkan semula aspirasi hudud dan khabarnya akan mendapat sokongan Umno. – kadirjasin.blogspot.com

Kerajaan Akan Tambah Aset Esscom Hujung Bulan Ini

Posted: 17 Apr 2014 05:12 AM PDT

RAKYAT NEWS


alt
 
 
SEMPORNA  - Kerajaan Persekutuan akan menambah kekuatan aset kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) hujung bulan ini, bagi mempertingkatkan serta memantapkan lagi kawalan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). 
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata aset yang ditambah itu termasuklah kemudahan bot laju dan penambahan anggota keselamatan. 
 
"Ia juga secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan Esscom terus meningkatkan tahap kawalan khususnya di kawasan pantai timur Sabah. Kita tidak mahu sebarang kejadian jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan penyeludupan berlaku lagi," katanya ketika membuat lawatan kerja di Singamata Adventures and Reef Resort di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata kawalan keselamatan di semua pulau peranginan termasuk resort yang ada di sekitar Semporna telah dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan pelancong. 
 
"Anggota keselamatan berada di tempat berkenaan 24 jam sehari dan terdapat juga angota yang melakukan rondaan di kawasan perairan setiap masa mengikut jadual yang ditetapkan," katanya. 
 
Sementara itu, Shahidan berkata Pihak Berkuasa Tempatan perlu meminta ulasan keselamatan daripada Esscom sekiranya ingin membina sebarang struktur baharu seperti resort di kawasan Esszone. 
 
Beliau berkata perkara itu perlu dilakukan bagi memudahkan perancangan keselamatan oleh Esscom dalam usaha memantapkan lagi kawalan keselamatan di pantai timur Sabah. 
 
Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang meminta Esscom ditutup kerana ia perlu bagi menyelaraskan operasi tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan awam bagi mengelakkan berlakunya pertindihan tugas

Puteri Umno sokong laksana hudud

Posted: 17 Apr 2014 04:25 AM PDT


Mas Ermieyati Samsudin Mas Ermieyati


SHAH ALAM - Pergerakan Puteri Umno hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau konsisten untuk menyokong perlaksanaan hukum hudud kerana berpandangan bahawa hudud sememangnya satu undang-undang yang baik oleh itu baginya, tiada sebab untuk beliau menolak perlaksanaan tersebut.

"Saya untuk makluman sejak dari awal dahulu saya memang menyokong hukum hudud, semasa saya belajar di Universiti, iaitu ketika di UKM tahun 1994, ketika soalan ini diajukan kepada saya, saya telah menyatakan bahawa saya menyokong hukum ini, kerana saya percaya hukum ini merupakan hukum yang baik jadi ianya tidak menimbulkan masalah.

"Cuma dari segi perlaksanaannya kita  kena ambil kira sebab kita berbilang kaum dan bercampur," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Mas Ermieyati berkata demikian bagi mengulas mengenai isu perlaksanaan hudud di negeri Kelantan dan pendirian Puteri Umno mengenai hukum ini.

Untuk rekod, hukum hudud bakal dikuatkuasakan di Kelantan selewat-lewatnya Januari tahun depan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membolehkan rang undang-undang persendirian dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Inflasi dijangka meningkat sebelum stabil

Posted: 17 Apr 2014 04:24 AM PDT

IDEAS


KUALA LUMPUR - Kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat lagi sehingga September, sebelum stabil ke arah penghujung tahun, kata Alliance Research.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan seterusnya kos pengangkutan akan memberi tekanan kepada harga makanan yang dijangka meningkat dalam tempoh terdekat ini memandangkan jangkaan pelarasan kedua subsidi bagi petroleum dan produk berkaitan lain.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjur meningkat 3.8 peratus pada Ogos, sebelum menyusut ke arah penghujung tahun.

"Bagi tahun penuh, kami menaikkan unjuran inflasi kami kepada 3.5 peratus pada 2014, naik daripada 3.2 peratus yang diunjurkan terdahulu," kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pertumbuhan IHP Malaysia stabil pada 3.5 peratus, tahun ke tahun, pada Mac, penstabilan pertama selepas aliran meningkat sejak Januari 2013.

Alliance Research berkata kenaikan harga akan memberi kesan minimum kepada prospek pertumbuhan ekonomi pada 2014, dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal menyokong pertumbuhan.

"Walaupun kami menjangka OPR kukuh bagi tempoh keseluruhan 2014 - berikutan inflasi dorongan kos dalam beberapa bulan ini - kami tidak menolak peluang 50-50 peratus OPR diselaras meningkat sebanyak 25 mata asas sebelum akhir 2014," kata firma itu.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan IHP tahun penuhnya pada 3.0 peratus.

"Simulasi bulan ke bulan menunjukkan kadar inflasi kemungkinan meningkat kepada 3.5 peratus dan dijangka kekal pada kadar ini pada April sebelum berkurangan selepasnya apabila kerajaan menangguhkan penghapusan subsidi seterusnya," kata firma penyelidikan itu.

Ia menjangkakan bank pusat menangguhkan kenaikan kadar ke awal 2015, mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang 2014. - Bernama

IKIAM minta Ali Hamsa buat laporan polis

Posted: 17 Apr 2014 04:18 AM PDT

KSN wajib bertanggung jawab terhadap isu pembocoran maklumat ini 

Datuk Seri Dr Ali Hamsa



PETALING JAYA: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa (gambar) membuat laporan polis mengenai pembocoran maklumat di pejabat Timbalan Perdana Menteri kepada dua ahli parlimen DAP.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa IKIAM, Fakhrul Azman Abu Bakar, KSN wajib bertanggungjawab dan perlu mengambil tindakan yg drastik bagi mencari dalang dalam kerajaan yang membocorkan dokumen yang tidak sah tentang jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 April lalu.

"Walhal dokumen itu tidak sah dan bukan jadual sebenar lawatan kerja Muhyiddin sebaliknya ia adalah draf awal program yang masih dalam perbincangan dan tidak muktamad," katanya kepada FMT.

Baru-baru ini ahli parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong telah mendedahkan Muhyiddin lebih mengutamakan acara golf daripada majlis rasmi ketika berada di UAE itu.

Menurut mereka, Ketua Audit Negara perlu menyiasat bukan sahaja lawatan Muhyiddin ke Dubai ini, tetapi juga mana-mana perjalanan lain Muhyiddin yang dilakukan oleh beliau sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua ahli parlimen DAP itu berkata rakyat mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos untuk perjalanan mewah ini, termasuk kos "pesawat khas," penginapan di hotel lima bintang Shangri-La Dubai untuk keseluruhan rombongan, dan kos lain berkaitan yang akan ditanggung oleh Kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Education Malaysia, TalentCorp (yang menaja makan malam diaspora Malaysia pada 11 April) dan Jabatan Perdana Menteri (di mana Pejabat TPM diletakkan).

Fakhrul menambah perbelanjaan program acara golf dibiayai sepenuhnya oleh syarikat persendirian dan bukannya wang rakyat seperti yang didakwa oleh dua ahli parlimen DAP itu.

"Saya mahu polis siasat kes ini dan biar pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen itu dihukum dengan setimpalnya," katanya lagi.

ADUN BN kecewa usul COMANGO ditolak dewan

Posted: 17 Apr 2014 04:11 AM PDT

 Bukan meminta menolak secara keseluruhan tetapi menolak terhadap enam perkara
Selangor Dun

SHAH ALAM: Wakil rakyat daripada Barisan Nasional Selangor kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, apabila usul yang dibawa oleh ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi  (gambar) ditolak.

Usul yang di bawa oleh Budiman itu adalah usul di bawah Peraturan Tetap 26 berkenaan menggesa Kerajaan Negeri mengambil satu pendirian terhadap tindakan Gabungan NGO Malaysia- Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO) yang mengemukakan laporan mengandungi unsur-unsur tidak wajar dalam konteks Malaysia atas nama 'hak-hak asasi manusia' sewaktu sesi UPR tersebut pada bulan Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland.

Menurut Budiman, usul ini adalah usul yang paling mudah iaitu meminta agar Kerajaan Negeri menyatakan pendirian setelah Kerajaan Persekutuan menyatakan pendirian.

"Di dalam COMANGO, telah dinyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju sebanyak 149 syor iaitu 113 syor diterima secara penuh, 21 syor diterima secara prinsip, dan 15 syor diterima sebahagian.

"Kita bukan meminta mereka menolak secara keseluruhan tetapi menolak terhadap enam perkara yang bertentangan dengan nilai moral dan perlembagaan," ujarnya sewaktu ditemui media.

Bahkan, Budiman secara peribadi berasa sangat dukacita terutama rakan-rakan daripada PAS dan PKR yang beragama Islam.

"Sudah jelas di dalam perkara 6.8 dan juga perkara 3 soal perenggan 6.1.2 berkenaan adalah membenarkan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) diterima.

"Kita hanya minta pendirian daripada Kerajaan Negeri, sebab Kerajaan Pusat sudah menolak pendirian LGBT ini bahkan saya musykil kenapa mereka menolak isu ini," katanya.

Antara ADUN-ADUN yang tidak menyokong agar Kerajaan Negeri menyatakan sebarang pendirian adalah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin, ADUN Rawang, Gan Pei Nei, ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah,dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim beliau menyatakan Kerajaan Negeri tidak perlu ambil sebarang pendirian tentang mana-mana NGO, walaupun COMANGO.

"Sekiranya ada yang melanggari akta perkahwinan bukan Islam, sudah termaktub hal berkenaan di dalam Perlembagaan Malaysia," katanya sewaktu berbahas di dalam dewan.

Dalam pada masa yang sama, Teng menyifatkan bahawa ADUN Sungai Panjang telah menyalahgunakan Dewan Negeri Selangor untuk membentangkan usul ini.

Manakala bagi ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah beliau melihat usul ini sudah dibawa beberapa kali, dan sampai bila hendak dibawa.

"Untuk membuat satu ketetapan yang bukan dalam bidang kuasa dewan, tetapi Kerajaan Pusat.
"Di dewan ini kita hanya kuat kuasakan undang-undang negeri sahaja." ujarnya.

Dalam pada masa yang sama, ADUN Bangi tersebut juga telah membangkitkan perkara yang berlaku pada tahun 1998.

"Siapa yang memalukan dan mengaibkan orang dari tahun 1998 sehingga hari ini?" soalnya.

SMS hasutan kaitkan Pemuda PAS hina jenazah Karpal palsu

Posted: 16 Apr 2014 11:31 PM PDT

AHMAD TAJDID


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan membuat satu laporan polis berhubung penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk hasutan yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab.

SMS biadap dan menyalahi akhlak Islam itu mendakwa kononnya Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat akan melakukan upacara terkutuk terhadap jenazah mendiang Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Menurut Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaei Ismail (gambar), SMS itu satu fitnah apatah lagi Suhaizan tidak berada dalam negara kerana menunaikan umrah.

"Saya mendapat maklum penyebaran SMS hasutan atas nama Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS yang akan melakukan upacara terkutuk terhadap mendiang Karpal Singh.

"Ianya satu fitnah dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.

"Buat masa sekarang Ketua Pemuda PAS sedang menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Madinah. Harap maklum," kenyataan ringkas Nasaei dipetik.

Sampel air kencing pemandu lori terlibat kemalangan Karpal, positif ganja

Posted: 16 Apr 2014 11:21 PM PDT


OLEH LEE SHI-IAN


Pemandu mendiang Karpal Singh, C Selvam (tengah) menangis dan ditenangkan beberapa orang lain di luar rumah mayat di Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 17 April, 2014.Pemandu mendiang Karpal Singh, C Selvam (tengah) menangis dan ditenangkan beberapa orang lain di luar rumah mayat di Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain.


























Kesan ganja ditemui dalam sampel air kencing pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan Toyota Alphard milik mendiang Karpal Singh.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kepada The Malaysian Insider keputusan saringan awal ujian air kencing pemandu berusia 45 tahun itu mendapati air kencingnya positif ganja.

"Kami menghantar sampel urin ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk pengesahan," katanya.

The Malaysian Insider turut difahamkan semakan mendapati pemandu Karpal mempunyai 15 saman trafik memandu melebihi had laju.

Semakan terhadap kenderaan Toyota Alphard juga mendedahkan kereta itu mempunyai 29 saman trafik dengan 15 daripadanya belum dibayar.

Acryl berkata, ia merupakan semakan awal mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi itu dikatakan berpunca apabila kenderaan pelbaga guna yang dinaiki Karpal berlanggar dengan lori Mitsubishi Canter seberat lima tan.

Kemalangan itu berlaku di KM306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan. Lima penumpang berada di dalam MPV itu termasuk pemandu dan ada tiga individu di dalam lori.

Mereka yang berada di dalam MPV termasuk anak lelaki Karpal, Ramkarpal; pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius; pembantu rumah warga Indonesia dan pemandu, C Selvam.

Selain pemandu lori, penumpang di dalam lori termasuk Nur Azlina Ahmad, 23, dan seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah.

Karpal dan Michael dipercayai meninggal dunia ditempat kejadian, dan pembantu rumah itu mengalami beberapa kecederaan.

Ahli Parlimen BN Langkawi hina gambar mayat Karpal Singh

Posted: 16 Apr 2014 11:13 PM PDT

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA


Gambar jenazah Karpal Singh dan keratan akhbar berkait dengan mendiang disiarkan di akaun Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad. Gambar jenazah Karpal Singh dan keratan akhbar berkait dengan mendiang disiarkan di akaun Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.  
























Tatkala ahli-ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang bersedih dengan kematian bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di laman Facebooknya.

Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.

"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis Nawawi di akaun Facebook 'Dato Ir Nawawi Ahmad' merujuk kepada keratan akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam reaksinya terhadap sesetengah pihak yang tidak menghormati jenazah Karpal meminta semua pihak menunjukkan nilai baik Islam dengan menghormati seseorang yang sudah meninggal dunia.

"Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati. Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan prasangka manusia terhadap Islam dan sekali gus mereka membenci umatnya," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, Nawawi yang juga ahli Umno turut menulis tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.

"Anwar berahim mesti lega bila orang yang arah 'anwar ibrahim harus bertaubat' sudah tiada," tulis Nawawi.

Tulisan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin dalam akaun twitternya.Tulisan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin dalam akaun twitternya.Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin seolah-olah 'lega' dengan kematian pemimpin DAP itu.

Zulkifli berkata, laluan ke arah pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal

"Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!" tulisnya di akaun Twitter @zulkiflinoordin.

"Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.

"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!"

Zulkifli yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 di Shah Alam yang juga pengamal undang-undang bagaimanapun menganggap kematian Karpal sebagai perginya seorang peguam veteran yang hebat.

"Nama Karpal akan terus tercatat sebagai satu legenda dalam sejarah," tulisnya.

Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, umat Islam perlu memikirkan sebab mengapa seseorang bukan Islam menolak sesuatu berkaitan Islam.

"Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukan semestinya dia membenci Islam.

"Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun atas nama akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya," kata Mohd Asri.

Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Dalam kenangan: Karpal Singh

Posted: 16 Apr 2014 11:02 PM PDT

KL TODAY


 


Karpal mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum mula menyertai politik setelah menjadi ahli DAP pada tahun 1970.Bekas Pengerusi DAP itu kemudiannya bertanding kerusi parlimen pada tahun 1978 serta pernah meyandang Naib Pengerusi DAP dan Timbalan Pengerusi DAP.

Karpal, 74, yang aktif berpolitik selama 36 tahun turut digelar 'harimau jelutong' kerana kesukarannya untuk ditewaskan dalam pertandingan kerusi Parlimen Jelutong sebelum pilihanraya umum pada 1999.


Dikenali sebagai seorang yang pandai berhujah, beliau pernah dilantik menjadi peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kes liwatnya itu.


Karpal berkahwin dengan Gurmit Kaur dan dikurniakan lima anak.


Salah seorang anaknya,Gobind Singh Deo merupakan Ahli Parlimen Puchong setelah menang di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.



Beliau menyertai profesyen peguam pada tahun 1969 sebelum menyertai DAP pada tahun berikutnya. Karpal memenangi kerusi Parlimen Jelutong pada tahun 1978 dan kekal di kerusi tersebut sehingga tahun 1999. Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang pada Oktober 1987.


Pada Mac, Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP sementara menunggu rayuan kes hasutan yang dikenakan terhadapnya selesai.


Pada 2005, Karpal turut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau lumpuh dan sejak itu menggunakan kerusi roda.

Sebagai seorang peguam, Karpal telah muncul dalam banyak kes berprofil tinggi, termasuk menjadi peguambela utama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Karpal maut dalam satu kemalangan di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira jaml 12:40 pagi tadi.


Karpal yang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah, mati di tempat kejadian akibat cedera parah.




Turut terkorban ialah pembantu peribadinya, Michael Cornelius, manakala dua lagi iaitu anaknya Ramkarpal Singh serta pemandu kereta dilaporkan cedera parah.


Kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard yang dinaiki Karpal hilang kawalan dan melanggar belakang sebelah kanan sebuah lori.

Exco Kedah kesal cara AIU aniayai pelajar miskin

Posted: 16 Apr 2014 10:56 PM PDT

 


Sebahagian dari tapak Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) adalah tanah wakaf, manakala sebahagian lagi diambil alih oleh Yayasan Albukhary dengan bantuan kerajaan negeri Kedah.Matlamat penubuhan universiti itu amat murni iaitu mahu memberi pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar miskin dari seluruh dunia.Memulakan operasi sejak 2010, AiU menawarkan program asasi, Sekolah Perniagaan dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Namun matlamat dan cita-cita untuk meringankan beban golongan miskin menjadi sebaliknya apabila pihak pengurusan tanpa alasan yang jelas membuat keputusan mahu menutup institusi tersebut.

Bayangkan apa nasib ratusan pelajar terpaksa berhenti tanpa notis secukupnya sedangkan sememangnya diketahui mereka tidak mampu menanggung pembiayaan pendidikan.

Exco Pendidikan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika dihubungi MalaysiaGazette menyifatkan tindakan AiU adalah satu penganiayaan kepada para pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Katanya, biarpun AiU adalah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta namun ia masih terikat dengan peraturan kerajaan yang memerlukan pihak pentadbiran menghantar notis kepada Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) setahun sebelum universiti tersebut boleh ditamatkan operasi.

Tambahnya, KPM telah memanggil pihak pentadbiran universiti berhubung masalah yang menimpa AiU namun beliau difahamkan mereka gagal memberikan justifikasi serta penerangan yang baik kepada pihak kementerian.

"Saya tak tahu apa masalah yang menimpa AiU, nak kata tak ada pelajar, mereka ada ramai pelajar begitu juga pensyarah.

"Nak kata prasarana tak lengkap, universiti tersebut sangat hebat dan jika nak dikata tak ada duit, ini adalah mustahil. Ini kerana penaung dan pembiaya universiti berkenaan adalah 10 lelaki terkaya di Malaysia (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary).

"Beliau mendapat projek berbilion ringgit setahun dan terkenal sebagai seorang individu yang dermawan. Jadi saya sifatkan masalah AiU ketika ini adalah masalah pentadbiran dan pengurusan.

"Namun begitu, kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai hal ini biarpun ia berada di negeri Kedah dan tanah yang dijadikan tapak universiti sebahagiannya adalah tanah wakaf," katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Tajul Urus yang kecewa dengan tindakan AiU itu sedih mengenangkan masa depan para pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Katanya, sudah pasti para pelajar tersebut mempunyai cita-cita besar untuk mengubah nasib diri dan keluarga mereka serta bakal memberi sumbangan kepada negara masing-masing apabila tamat pengajian nanti.

AiU katanya, perlu memikirkan nasib para pelajar sebelum membuat sebarang tindakan tergesa-gesa.
"Saya sebenarnya tidak mahu ulas mengenai tindakan enam pelajar saman AiU tetapi secara jujurnya saya setuju para pelajar tersebut mempertahankan hak mereka.

"Ini kerana universiti berkenaan memang tidak peduli mengenai hak dan tanggung jawab mereke kepada pelajar.

"Nasib para pelajar terumbang-ambing. Pihak pentadbiran hanya menyediakan tiket untuk pelajar jika mereka mahu menyambung pelajaran ke mana-mana destinasi contohnya Kuala Lumpur atau Sabah sedangkan bagi seorang pelajar universiti yang masih dalam pengajian, pertukaran universiti adalah satu proses yang rumit dan perlu mematuhi pelbagai prosedur.

"Ini mereka terpaksa lalui sendiri dan pihak universiti bagaikan lepas tangan dalam isu ini," katanya.

Dengan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri Kedah telah meminta institusi pengajian tinggi milik negeri itu, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar ABiU menyambung pengajian.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat jumlah sebenar pelajar dan pensyarah yang masih ada di AiU.

MalaysiaGazette sejak dua bulan lalu telah memberi 'bayangan' bahawa universiti yang dibuka pada 2010 itu bakal dijual akibat mengalami masalah kewangan kritikal dan hampir muflis.

Laporan MalaysiaGazette dua bulan lalu mengenai kemelut yang melanda AiU

Ketidakcekapan pengurusan didakwa sebagai punca universiti milik Yayasan Albukhary itu mengalami kerugian ratusan juta ringgit manakala cawangannya di Kuala Lumpur ditutup.

Portal ini difahamkan, AiU sedang menjalankan siasatan berhubung kerugian tersebut dengan membabitkan pengurusan universiti berkenaan.

Naib Canselor AIU, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengosongkan kerusi itu pada Disember tahun lalu.

Wawancara terakhir dengan Karpal Singh

Posted: 16 Apr 2014 10:47 PM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Karpal Singh, antara ahli politik paling berpengaruh di Malaysia. Beliau maut dalam kemalangan di Perak awal pagi tadi.
 
Berikut wawancara terakhir dengan mendiang yang dibuat enam hari lalu di bangunan Parlimen.
 
Dalam temubual itu, beliau antaranya berkata tidak akan berundur senyap-senyap melalui pintu belakang, walaupun berdepan banyak rintangan hidup.
 
Berikut disiarkan semula laporan tersebut:


'Karpal tak akan berlalu secara senyap-senyap'


Hampir 30 tahun berlalu, walaupun berdepan dengan banyak ancaman dalam hidupnya, Karpal Singh tetap enggan berundur secara senyap-senyap melalui pintu belakang .

Pernah beliau diminta oleh pegawai polis supaya secara rahsia meninggalkan bilik mahkamah bagi mengelak bahaya ancaman seorang lelaki, yang mendakwa mempunyai kuasa ghaib, yang mengancam untuk menyerang Karpal kerana menyaman sultan.

Karpal enggan, dengan berkata "jika saya pergi melalui pintu belakang sekarang, saya akan melalui pintu belakang sepanjang hidup saya."

Ahli politik dan peguam yang kini berusia 74 tahun itu kekal
dengan sikap tabahnya itu sehinggalah hari ini, dalam menghadapi satu lagi percubaan oleh kerajaan untuk bukan sahaja menguburkan kerjaya politiknya , tetapi juga untuk menyumbatnya ke dalam penjara.

Hukuman bagi sabitannya terhadap tuduhan hasutan baru-baru ini - denda sebanyak RM4,000  - menghalang Karpal daripada memegang jawatan politik dan dikenakan tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding kerusi Parlimen.

Malaysia tidak mempunyai had umur untuk menjadi anggota Parlimen, dan Karpal berkata usianya akan mencecah 82 tahun apabila dia layak semula kembali ke arena politik.

"Mereka tidak melakukannya secara adil; ia bukanlah cara yang
betul untuk melakukannya, "kata Karpal mengulas percubaan untuk mengenyah beliau dari politik.

Karpal telah mengemukakan rayuan terhadap sabitannya itu.

"Saya akan lawan mereka di Mahkamah Persekutuan ," katanya sambil menambah bahawa sekiranya beliau terpaksa pergi, beliau tidak rugi apa-apa.

Beliau mengeluh tentang ketiadaan lagi Majlis Privy sebagai mahkamah rayuan terakhir di Malaysia , kerana "anda boleh mengharapkan keadilan " dari hakim Inggeris, yang menurutnya, objektif terhadap implikasi politik dalam penghakiman.

Sampel tumpahan minyak dianalisa di Perth

Posted: 16 Apr 2014 10:44 PM PDT

MALAYSIAKINI


Sampel tumpahan minyak yang dikesan kapal pertahanan Australia Ocean Shield di kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada hari Ahad, telah dibawa ke Perth untuk analisis.
  
Pusat Penyelaran Agensi Bersama (JACC) yang mengawasi operasi pencarian pesawat MAS penerbangan MH370 yang memasuki hari ke-41 pada Khamis, berkata butiran dan hasil analisis akan diumumkan apabila terdapat maklumat.
  
Pada hari Isnin, Ketua penyelaras JACC Marsyal Udara (B) Angus Houston memberitahu sidang media bahawa tumpahan minyak telah dikesan kira-kira 5,500 meter di sekitar 'ping' telah dikesan alat pengesan pinger yang ditunda Shield Ocean.
  
Tumpahan minyak seberat dua liter itu dikutip sebagai sampel.
  
Dalam satu kenyataan, JACC berkata kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21, sehingga pagi Khamis telah mencari kira-kira 90 kilometer persegi dan data daripada misi terbarunya sedang dianalisis.

"Semalaman, AUV Bluefin-21 menyiapkan misi penuh dalam kawasan pencarian dan ia sedang merancang untuk misi seterusnya," menurut kenyataan itu.
  
Data yang dikumpul dari dua misi sebelum ini tidak menemui sebarang Maklumat.
  
Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut, dihantar untuk membantu mengesan sebarang serpihan pesawat berkenaan.
  
Ia diturunkan dari kapal Ocean Shield dalam misi sulungnya ke kawasan 40 kilometer persegi bagi meneruskan misi pencarian MH370 di dasar laut, memandangkan tiada isyarat sah dikesan oleh alat pengesan pinger yang ditunda sejak 8 April lepas.
  
Menurut kenyataan itu, operasi pencarian pada Khamis membabitkan 10 pesawat tentera, dua pesawat komersial dan 11 kapal.
  
Menurut JACC Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah merancang pencarian visual meliputi kawasan seluas kira-kira 40,349 kilometer persegi merentasi 2,170 kilometer persegi ke barat laut Perth.

"Ramalan cuaca hari ini, hujan sekejap-kejap dengan tiupan angin timur selatan," katanya.
  
Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
  
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Bernama

'K'jaan mahu sorok maklumat kotak hitam?'

Posted: 16 Apr 2014 10:12 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sangsi dengan tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang berkunjung ke UK untuk membincangkan mengenai hak menjaga kotak hitam pesawat MH370.

"Mereka bimbang dengan penjagaan kotak hitam. Ini yang menarik...

"Pada saya, dalam kes ini, sesiapa sahaja boleh membaca kotak hitam... Jadi anda boleh rasa (tindakan) menyembunyikan maklumat, tetapi (untuk) mempertahankan apa?," katanya.

Mengikut perjanjian antarabangsa, negara tempat pendaftaran sesuatu pesawat akan mengetuai penyiasatan dalam kes kemalangan udara yang berlaku di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun, negara tersebut boleh mewakilkan tanggungjawab itu kepada negara lain, dengan persetujuan bersama.

Nik Aziz 'terkilan' Karpal tak sempat diberi pemahaman hudud

Posted: 16 Apr 2014 10:09 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'sedikit terkilan' kerana Karpal Singh yang maut dalam nahas pagi ini, tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud.

Ini ekoran hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.

"Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai
sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud," tulis bekas menteri besar Kelantan itu dalam Facebook.

"Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh.

"Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali," tulis Nik Aziz.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen Bukit Gelugor, Nik Aziz menyifatkannya pemergian Karpal sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanahair.

Katanya, ini kerana Karpal amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.

"Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

"Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda.

"Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat," tambahnya.

Menurutnya lagi, Karpal mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan beliau yakin pemimpin DAP itu akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanahair.

"Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan.

"Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis," tegas Nik Aziz.

Kesedihan selubungi Hospital Ipoh

Posted: 16 Apr 2014 10:01 PM PDT

MALAYSIAKINI




Air mata dan kesedihan menyelubungi suasana di Jabatan Forensik Hospital Besar Ipoh , tempat bedah siasat untuk mayat anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dijalankan kira-kira 7.30 pagi tadi.
Mayat Karpal akan dibawa balik ke rumah keluarganya di Pulau Pinang dan mendiang dijangka disemadikan pada pagi Ahad ini.
Tiba bersama mayat Karpal dan Michael Cornelius, pembantunya yang turut terkorban, anaknya Gobind Singh, dalam pakaian biru kelihatan lemah.
Gobind, yang kebetulan baru didaftar keluar dari Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini, bagaimanapun tenang dan menjawab soalan media yang tiba daripada Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang untuk membuat liputan.

Isteri Karpal, Gurmit Kaur, juga bergenang air mata. Gurmit memasuki tempat menunggu dengan skaf ungu diiringi saudara mara.
Beliau masih kelu seribu bahasa ketika ucapan takziah datang mencurah-curah. Kelihatan anggota keluarga memeluk untuk memberi semangat kepadanya.
Turut kelihatan di hospital, seorang lagi anaknya  Jagdeep Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang itu Lim Guan Eng, pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri  Nizar Jamaluddin dan beberapa wakil rakyat.
Lim juga dibasahi tangisan dan memeluk erat Gobind.
Penyokong DAP ramai berkumpul di luar bangunan itu, yang kebetulan baru dibuka secara rasmi semalam.

Banglo Exco Selangor, budak dalam sangkar dan semangat agama

Posted: 16 Apr 2014 09:58 PM PDT


exco village[2]1

Al-Mustaqeem M Radhi

Petang Jumaat lalu saya membuat satu kiriman Facebook tentang banglo di Perkampungan Exco Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

Projek yang dijalankan kerajaan BN sebelum mereka dijatuhkan oleh rakyat Selangor itu menelan biaya RM20 juta dan tidak dimanfaatkan kerana Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat enggan menduduki perkampungan mewah itu.

Diberitakan, kerajaan PR Selangor terpaksa membelanjakan lebih RM6 juta untuk kos penyelenggaraan selama enam tahun. Bermakna sejuta ringgit setahun dibazirkan untuk bangunan kosong.

Berita itu menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya, secekap manakah kerajaan negeri PR kalau masalah satu perkampungan yang telah siap, tersergam indah, gagal dimanfaatkan dalam masa enam tahun.

Lalu, kiriman FB petang Jumaat itu melontarkan beberapa buah fikiran secara sekali lalu, dengan tujuan memancing buah fikiran daripada pengguna-pengguna FB yang lain.

Mungkin kerana saya tidak popular atau tidak pandai ber-FB, atau persoalan yang dilontarkan itu tidak menarik, maka tidak banyak komen diterima.

Ada antara komen itu setuju kalau perkampungan itu diserahkan ke tangan perkumpulan anak muda yang selama ini 'merempat' tanpa pusat kegiatan walaupun telah agak lama bergiat menggerakkan program kemasyarakatan.

Bagi saya itu yang sebaik-baiknya, namun peluang itu harus dibuka menerusi proses dan sikap yang jelas. Misalnya, para penerbit buku 'indie' yang makin bercambah, atau kumpulan 'diskusi sambil lepak', harus mengemukakan kertas konsep yang, antara lain, menjelaskan rancangan mereka untuk di suatu tahap bergerak secara mandiri tanpa bergantung pada bantuan premis kerajaan negeri.

"Sikap yang jelas" pula bermaksud, kerajaan negeri jangan cuba untuk menyekat kebebasan anak muda secara sembarangan. Hampir nescaya bahawa anak-anak muda akan melakukan perkara-perkara yang 'di luar norma', khususnya norma golongan tua.

Di antara komen yang saya terima itu ada satu yang seharusnya saya telah jangka akan muncul, namun tetap saya merasa kurang senang.

Menurut tuan komen, lebih baik perkampungan exco itu digunakan untuk sesuatu yang keislaman dan keagamaan. (Komen itu saya hapuskan supaya tidak timbul aib pada tuannya setelah orang membaca rencana ini.)

Padahal tidak kurang pusat keagamaan di negara ini. Shah Alam itu sendiri digelar "Bandaraya Islam". Hanya yang mungkin kurang adalah masjid-masjid yang tidak menggunakan khutbah Jumaat untuk menghalalkan GST.

Komen itu dan tuannya tidak aneh. Seakan telah menjadi lumrah sekarang, hanya yang keagamaan dan keislaman dianggap sebagai kebajikan.

Justeru itu tidak sukar sama sekali untuk kita mengutip derma bagi pembinaan masjid; yang lebih sukar ialah mengutip derma untuk membina pusat kucing terbiar.

Padahal, cukup banyak perkara lain yang amat mendesak dan memerlukan perhatian kita. Dalam rencana ini, saya hanya ingin mengungkit satu kes yang mungkin boleh diselesaikan dengan cara memanfaatkan bangunan-bangunan kosong milik kerajaan negeri.

Saya pernah dan masih membuat kerja gila dengan cuba membantu kawan mencari derma untuk projek pusat "autisme".

Masalah autisme di Malaysia dan mana-mana negara lain di dunia ini cukup berat (sila google untuk maklumat lanjut). Keluarga yang mempunyai anak penghidap autisme ini berdepan dengan kemungkinan-kemungkinan mengerikan, antaranya:

- Ibu atau bapa hilang kerja
- Ibu atau bapa hilang akal
- Putus hubungan keluarga
- Anak mati jatuh bangunan, atau lemas, atau dilanggar lori

Semua kemungkinan itu real dan sengaja saya sebutkan secara kasar untuk memudahkan pemahaman.

Sememangnya hakikat autisme adalah kasar. Satu kes di Sanglang, Kedah, misalnya, seorang anak autistik dikurung dalam sangkar kerana ibu-bapa tidak mampu mencari jalan keluar walaupun sudah habis fikir.

Kes kurung dalam sangkar di Sanglang itu bukan satu-satunya yang pernah dilaporkan.

Jangankan di kawasan kampung, di kawasan bandar pun pusat autisme jauh daripada cukup. Kosnya pula nauzubillah, tak terjangkau oleh kebanyakan ibu-bapa.

Lalu kawan saya itu cuba membina satu model pusat autisme kos sederhana atau rendah. Sampai ke hari ini dia masih berhempas-pulas.

Bukan hanya dia, banyak lagi usaha membantu golongan kurang bernasib baik mengharung payah kerana ia tidak 'keagamaan'.

Jadi saya hairan apabila pantang ada sedikit banglo kosong kita mahu menambah tadika Islam dan ma'had tahfiz. Padahal, kerap juga kita membaca surah yang mencela kaum yang mendustakan agama dengan tidak mempedulikan anak yatim dan orang miskin.

Asal-usul Hari Pekerja – Rosa Luxemburg (1894), terjemahan

Posted: 16 Apr 2014 09:53 PM PDT


8hoursday_banner_1856

Oleh Steven Sim

Dua minggu lagi, pada 1 Mei, kita akan menyambut acara tahunan Hari Pekerja. Apa sebenarnya maksud hari cuti ini? Adakah ia hari beristirehat semata-mata? Atau hari untuk berhibur dan pergi "shopping" jualan murah?

Mari kita meninjau kembali sejarah awal asal-usul Hari Pekerja yang dicatatkan oleh seorang wanita yang menjadi ikon perjuangan hak rakyat miskin dan hak pekerja, Rosa Luxemburg.

Idea bahagia untuk menggunakan hari cuti sebagai kaedah mendesak kepada hak waktu kerja lapan jam sehari mula-mula sekali dicadangkan di Australia. Golongan pekerja di sana memutuskan pada tahun 1856 untuk mengaturkan satu hartal (mogok kerja) dengan program-program perhimpunan dan hiburan sebagai satu demonstrasi menuntut hak waktu kerja lapan jam sehari. Hari yang ditetapkan untuk sambutan tersebut ialah 21 April. Pada mulanya, pekerja-pekerja Australia hanya merancang untuk program itu diadakan pada tahun 1856 sahaja. Namun oleh sebab sambutan tersebut mempunyai kesan yang begitu mendalam terhadap golongan pekerja di Australia, menghidupkan mereka serta meniup semangat mereka, maka ia diputuskan untuk menjadi sambutan setiap tahun.

Apa lagi yang mampu memberikan keberanian yang begitu besar kepada para pekerja dan memberikan mereka keyakinan terhadap kekuatan sendiri selain hartal besar-besaran yang diputuskan oleh mereka sendiri? Apa lagi yang mampu memberikan keberanian kepada hamba abdi kilang-kilang dan bengkel-bengkel selain kejayaan mereka mengemblengkan kekuatan seluruh kaum pekerja? Justeru, idea sambutan Hari Pekerja diterima baik dan bermula dengan Australia, idea ini tersebar ke negara-negara lain sehingga berjaya menawan seluruh dunia pekerja.

Yang terawal sekali mengikut jejak pekerja-pekerja Australia ialah para pekerja di Amerika Syarikat. Pada tahun 1886, mereka memutuskan untuk menobatkan 1 Mei sebagai hari hartal. Pada hari tersebut, 200,000 pekerja meninggalkan tempat kerja mereka dan menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari. Selepas itu, polis dan tindakan undang-undang pihak berkuasa menghalang para pekerja daripada menganjurkan demonstrasi sebesar ini untuk beberapa tahun kemudiannya. Namun, pada tahun 1888, para pekerja telah membuat keputusan bahawa sambutan seterusnya akan berlangsung pada 1 Mei 1890.

Pada masa yang sama, pergerakan pekerja di Eropah menjadi semakin kuat dan bersemangat. Kemuncak pergerakan ini berlaku semasa Kongres Pekerja Antarabangsa pada tahun 1889. Dalam Kongres tersebut yang dihadiri oleh empat ratus orang perwakilan, telah diputuskan bahawa tuntutan utama para pekerja adalah hak waktu bekerja lapan jam sehari. Seorang perwakilan dari kesatuan pekerja Perancis, Lavigne dari Bordeaux telah mengusulkan agar tuntutan tersebut disuarakan oleh kaum pekerja di semua negara melalui suatu tindakan hartal. Wakil daripada Amerika Syarikat kemudiannya memaklumkan rancangan rakan-rakan beliau untuk berhartal pada 1 Mei 1890, lalu tarikh tersebut pun diputuskan oleh Kongres sebagai tarikh keramat sambutan hak pekerja.

Dalam kes ini, seperti yang berlaku di Australia tiga puluh tahun yang lalu, para pekerja pada awalnya menyangka sambutan tersebut hanya untuk sekali sahaja. Kongres tersebut memutuskan bahawa seluruh kaum pekerja di serata dunia akan berhartal bersama-sama bagi menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari pada 1 Mei 1890. Tiada sesiapa pun yang menyebut bahawa sambutan akan diulangi pada tahun-tahun yang akan datang. Tiada sesiapa pun yang dapat meramalkan betapa pantasnya idea ini akan berjaya dan diterima sepenuhnya oleh kaum pekerja di serata tempat. Namun, cukup sekadar sekali menyambut Hari Pekerja untuk setiap orang memahami dan merasai semangat Hari Pekerja dan menyakinkan mereka bahawa ianya patut diraikan secara berterusan.

Hari Pekerja yang pertama menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari. Walaupun selepas tuntutan tersebut telah tercapai, sambutan Hari Pekerja masih diraikan. Selagi perjuangan kaum pekerja terhadap penindasan ke atas mereka masih berlaku, selagi semua tuntutan pekerja masih tidak dipenuhi, selagi itu Hari Pekerja akan menjadi satu lambang untuk semua tuntutan tersebut. Dan apabila hari besok yang lebih cerah menjelma, di mana kaum pekerja sedunia telah berjaya, pada masa itu, seluruh umat manusia mungkin turut menyambut Hari Pekerja sebagai memperingati perjuangan pahit dan segala kesusahan masa lampau.

*Rosa Luxemburg adalah ahli falsafah dan pejuang gerakan sosial demokrasi Jerman pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.
**Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY.

Keselamatan negara: Sindrom penafian kerajaan halang usaha pulih keyakinan masyarakat

Posted: 16 Apr 2014 09:47 PM PDT


lks (13)



KUALA LUMPUR: 'Sindrom penafian' yang dihidapi kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah penghalang terbesar dalam usaha memulihkan keyakinan masyarakat tentang keselamatan negara dalam mendepani krisis kehilangan pesawat MH370 dan kegagalan Pusat Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengulas tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengelak daripada menjawab soalan media antarabangsa berhubung cara pengendalian kerajaan yang lemah pada peringkat awal kehilangan MH370.

Dalam sidang media sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan 2014 di PWTC semalam, Hishammuddin membidas soalan media sebagai cubaan membuat spekulasi yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat dan berdolak-dalik kononnya kerajaan tidak ingin "memandang ke belakang" dalam menyelesaikan krisis itu.

"Kenyataan beliau yang tidak ingin menjawab soal kelemahan kerajaan di saat awal kehilangan pesawat dengan alasan kerajaan ingin 'memandang ke hadapan' adalah tanda kerajaan dijangkiti sindrom penafian yang serius.

"Amat salah untuk beliau menyelar pengkritik kerana 'memandang ke belakang di saat kerajaan memandang ke hadapan,' kerana mustahil untuk kita memandang ke hadapan tanpa pemahaman tepat tentang apa yang berlaku sejak awal.

"Selepas krisis ini masuk hari ke-40 dan tanpa sebarang bukti kukuh tentang kedudukan pesawat, Hishammuddin perlu sedar bahawa keutamaan bukan lagi semata-mata untuk menemuinya, tetapi juga untuk mendapatkan jawapan terhadap 1001 persoalan berhubung apa yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan, krisis ini tidak boleh ditamatkan tanpa penyiasatan penuh dan terperinci berhubung apa yang berlaku, termasuk di saat-saat awal kehilangan pesawat itu 8 Mac lalu.

'Sindrom penafian' dalam kegagalan Esscom

Kerajaan turut mengalami sindrom sama berhubung masalah keselamatan di Pantai Timur Sabah apabila gagal menyelesaikan masalah pertindihan bidang kuasa di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon)

Beliau merujuk wawancara Malaysiakini bersama bekas Ketua Polis Sabah (2002-2004) Datuk Ramli Yusuff yang mengkritik Esscom, antaranya, kerana urutan pengarahan yang tidak jelas serta tidak dipimpin oleh polis yang lebih tahu selok-belok operasi di sana.

"Kritikan itu perlu difikirkan secara serius dan menjadi asas kepada keputusan segera Kabinet (untuk menyelesaikan masalah yang timbul)," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Semalam, beliau mengetuai rombongan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke Esscom dalam misi pencarian fakta bagi meningkatkan keselamatan di Pantai Timur Sabah dan menentukan sama ada Esscom hanyalah 'harimau tanpa taring' yang tidak berperanan di sana. – Roketkini.com

Misi kedua: Bluefin-21 terpaksa naik ke permukaan

Posted: 16 Apr 2014 05:03 PM PDT

MALAYSIAKINI


Bluefin-21, kenderaan dalam air autonomi (AUV) yang dikerah untuk melaksanakan misi keduanya pada Selasa malam terpaksa naik ke permukaan pada pagi Rabu bagi membaiki masalah teknikal.
  
Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini berkata analisis awal data AUV, yang dimuat turun semasa berada di geladak Kenderaan Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield, pada pagi Rabu tidak menunjukkan sebarang pengesanan signifikan. 
  
Bagaimanapun, adalah tidak jelas berapa lama Bluefin-21 berada di dalam air sebelum terpaksa naik ke permukaan.
  
Selepas membaiki kerosakan, Bluefin-21 menjalankan semula tugas pencarian.
  
Bluefin-21, yang dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akoustik bagi menghasilkan peta 3D dasar laut, ditugaskan dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Ia ditugaskan dari Ocean Shield ke kawasan 40km persegi untuk meneruskan operasi mencari Boeing 777-200ER yang hilang, setelah tidak ada lagi isyarat dikesan oleh 'pinger locator' sejak 8 April.
  
Pesawat MAS Penerbangan MH370 dengan 239 penumpang dan kru di dalamnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac dan lenyap dari imbasan radar sejam kemudian ketika berada di ruang angkasa Laut China Selatan.
  
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac - 17 hari selepas kehilangan pesawat itu - bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".   
- Bernama

Tiada ulasan: