Jumaat, 11 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Selangor catat pelaburan ke-2 tertinggi negara dengan RM9.8 bilion

Posted: 10 Apr 2014 08:01 PM PDT

 pelaburan selangor

Oleh: Norhayati Umor


SHAH ALAM  : Selangor mencatatkan pelaburan kedua tertinggi antara negeri di Malaysia dengan jumlah sebanyak RM9.833 bilion pada tahun 2013.

Exco Pelaburan, Ean Yong Hian Wah berkata jumlah pelaburan itu adalah daripada 228 projek yang diluluskan melalui pelabur asing dan tempatan.

Katanya, sebanyak RM3.62 bilion diperolehi daripada pelaburan asing, manakala sebanyak RM6.2 bilion daripada pelaburan tempatan.

"Jumlah pelaburan di negeri ini menunjukkan bahawa ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang popular bagi pelabur asing dan tempatan," katanya yang menjawab pertanyaan Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat).

Ean berkata di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun menanam pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.017 bilion.

Diikuti dengan Singapura iaitu sebanyak RM840 juta, Amerika Syarikat sebanyak RM459 juta, China sebanyak RM228 juta dan Switzerland sebanyak RM212 juta.

"Antara faktor utama yang menarik pelabur asing adalah kedudukan negeri strategik dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

"Selain itu ialah faktor kestabilan politik, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, perlindungan harta intelek, kemudahan infrastuktur yang selesa, perkhidmatan logistik, sumber tenaga mahir dan separuh mahir serta pusat perubatan bertaraf antarabangsa dan pendidikan antarabangsa," katanya.

Beliau turut memaklumkan dalam jangka masa pendek ketika ini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 turut memberi kesan kepada pelaburan daripada negara China.

"Namun, kita akan terus menjalinkan hubungan dan mengekalkan pelaburan dengan negara ini, tambahan lagi kita akan mengadakan promosi di negara itu melalui Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC)," katanya.  EZY

Mahkamah Koroner tanpa penambahbaikan tak hilangkan kekebalan polis

Posted: 10 Apr 2014 07:54 PM PDT

KEADILAN DAILY

LFL 
KUALA LUMPUR : Badan Hak Asasi, Lawyers for Liberty (LFL) berkata, penubuhan mahkamah koroner tanpa menggubal Akta Koroner atau perubahan struktur yang komprehensif tidak menghilangkan kekebalan anggota polis yang terlibat dalam kes salah laku.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata, Mahkamah Koroner yang ditubuhkan secara tergesa-gesa tanpa menguatkuasa Akta Koroner mengakibatkan kebanyakan inkues berakhir dengan 'keputusan terbuka'(open verdict).

Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry bahawa Mahkamah Koroner akan berkuatkuasa 15 April ini bagi menggantikan sistem inkues sedia ada.

"Fungsi utama Mahkamah Koroner ialah untuk secara bebas menyiasat bagaimana, bila dan dimana seseorang meninggal dunia dan menyampaikan penemuan dan keputusan.

"Kami sangat bimbang bahawa ini akan menjadi keadaan biasa di mana polis dan pejabat AG seperti banyak kes sebelum ini mengabai, melindungi atau membuat tuduhan keterlaluan ke atas punca kematian," kata Eric.

Beliau turut merujuk Suruhanjaya Siasatan Diraja kematian Teoh Beng Hock, menunjukkan dengan jelas anggota polis cuba melindungi salah laku rakan mereka semasa memberi keterangan.

Katanya, Kanun Acara Jenayah tidak menyediakan koroner peranan yang lebih berbentuk penyiasatan atau penyeliaan dari saat kematian seseorang dalam tahanan.

"Koroner masih bergantung sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kakitangan mereka sendiri.
LGL mendesak kerajaan mengadakan rundingan dengan Majlis Peguam dan masyarakat sivil untuk menubuhkan Mahkamah Koroner dengan undang-undang yang komprehensif.

Ia termasuk memperinci kuasa pengawasan siasatan polis bagi memastikan semua bukti berkaitan dikumpul untuk menghalang daripada tindakan subahat dan kecuaian penyiasatan.

Menurutnya lagi, bagi mengembalikan keyakinan orang ramai ke atas sistem keadilan, peguam negara dan badan kehakiman yang komited bagi menyiasat kes pembunuhan, ia perlu diganti dengan penyiasatan yang bebas dan cekap.

Posted: 10 Apr 2014 07:52 PM PDT

Tetap teruskan seksyen 114, kata Khalid


Kerajaan negeri bersedia melihat semula rayuan Puncak Niaga dan Syabas.


khalid ibrahimSHAH ALAM:  Kerajaan Negeri Selangor akan terus berkerjasama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam usaha pengambilalihan industri air menerusi  Seksyen 114, Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA 2006).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan rayuan Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan jumlah tawaran pengambilalihan syarikat konsesi tersebut.

Namun beliau menegaskan, jumlah tawaran perlu kurang daripada RM 9.65 billion.

"Kerajaan negeri bersedia melihat semula rayuan kedua-dua syarikat itu untuk bersama dalam penstrukturan air sebelum Seksyen 114 dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

"Perkara ini penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan mempunyai impak negatif kepada tarif air dan akhirnya membebankan rakyat kepada lebih lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri akan terus berbincang mengenai modus operandi yang perlu dilakukan bagi melaksanakan pengambilalihan bersesuaian dengan Seksyen 114 tersebut.

Baru-baru ini kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menandantangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) dengan kerajaan negeri Selangor yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dalam masa yang terdekat.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bakal mewakili kerajaan persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mewakili kerajaan negeri Selangor.

Profesor, siswa turut hanyut bersama Najib?

Posted: 10 Apr 2014 07:46 PM PDT




Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


TATKALA Abdulfattah Jandali, pelajar kelahiran Syria dan pasangannya Joanne Carole Schieble, pelajar rakyat Amerika Syarikat berketurunan Switzerland menyerahkan anak luar perkahwinannya kepada pasangan Paul Reinhold Jobs dan Clara Jobs, mereka tidak menyangka sama sekali suatu ketika nanti bayi tersebut akan hidup dan kemudiannya mati sebagai seorang perintis, teknokrat, ahli-perniagaan, pengurus peringkat tertinggi dan legenda dalam bidang teknologi baru yang mengubah kehidupan seluruh warga dunia suatu ketika nanti.

Benar, IBM yang memperkenalkan aplikasi komputer peribadi kepada dunia. Tetapi anak angkat Paul dan Claralah yang antara lain mencipta tetikus, perintah grafik (bukan sekadar perintah papan kekunci) dan konsep desktop dengan bekerja hampir bersendirian dalam bangsal di belakang rumahnya. Dia kemudian menamakan komputer peribadinya sebagai 'Apple' dengan sistem pengendalian cakera 'Macintosh' berbeza daripada komputer peribadi pengguna keluaran IBM atau yang dilesenkan oleh syarikat tersebut.

Hari ini Steve Jobs telah meninggal dunia tetapi komputer Apple terus digunakan dan dipilih sebagai alat grafik dan pengeditan bagi hampir semua penerbit akhbar, majalah, video, fotografi, media elektronik di seluruh dunia. Itu pun belum lagi menyebut tentang i-phone, ipods dan i-pads yang merevolusikan cara kita menggunakan peralatan komunikasi peribadi.

Namun, ketika hayatnya, Steve Jobs, walaupun dikagumi oleh Barrack Obama ketika beliau berua-ura menjadi calon Presiden, tidak pula dilantik sebagai 'Profesor Whitehouse' dan Obama sendiripun atau mana-mana Presiden sebelumnya tidak pernah menyerapkan mana-mana badan seperti Majlis Profesor Negara atau seumpamanya ke dalam Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malah jika ada majlis sedemikian, Steve Jobs sudah tentu tidak layak. Walaupun Paul dan Clara bersusah payah mencari duit untuk menghantarnya ke kolej terkemuka, dia tercicir setelah belajar selama enam bulan dan memilih menghabiskan masanya dalam bangsal di belakang rumah mereka.

Dalam edisi 7 April 2014, majalah Time membawa pula cerita seorang lagi pencicir sekolah atau 'school dropout' dalam bentuk seorang bekas penggodam komputer bernama John Cormack. Tentu sekali dunia tidak mengenali Cormack sebagaimana dunia mengenali Steve Jobs.

Namun teknokrat yang hanya sempat menghadiri dua semester pendidikan formal sebelum lari dari universiti untuk meneruskan kerjayanya sebagai penggodam pada usia 19 tahun, sebagaimana dijelaskan oleh majalah berkenaan: "Dia adalah penyebab apabila anda bermain permainan (komputer) tahap pencapaian tertinggi (state-of-art), anda tidak melompat dari satu platform ke satu platform lain atau berlegar dalam kurungan bawah tanah dua-dimensi, tetapi sebaliknya anda berlari-lari dan melompat dalam ruang-masa sepatutnya, kesemua enam paksi bertindakbalas, ke belakang ke depan, dari sisi ke sisi, ke atas ke bawah."

Nama Steve Jobs dan John Cormack (sekadar mengambil dua contoh) menjadi terkemuka dalam bidang masing-masing kerana mereka boleh mencipta sesuatu walaupun tanpa pendidikan formal.

Tidak perlulah dinyatakan betapa di negara seperti Amerika Syarikat lebih ramai lagi yang mencipta dan menjadi perintis pelbagai kemajuan dan penemuan hasil daripada pendidikan formal.

Justeru, persoalannya mengapakah produk dari universiti dan sistem pendidikan kita gagal menghasilkan mereka yang seperti dikatakan itu. Nak dikatakan tak ada profesor, tak benar. Kita ada ramai profesor.

Malah ada 'cream' di antara paling 'cream' yang menganggotai Majlis Profesor Negara. Tak cukup dengan itu majlis ini kita diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagaimana diumumkan akhir bulan lalu.

Tentulah tak betul bagi mengatakan para profesor kita 'bodoh'. Kalau bodoh macam mana boleh jadi profesor. Tetapi apa yang diketahui dan pernah ditulis oleh seorang pengkritik sosial di sebuah harian milik Umno suatu ketika dulu ialah betapa ahli akademik kita (dibaca termasuk profesor) hanya pandai tetapi tidak bijak dan jauh sekali bersifat atau setidaktidaknya mengambil sikap inovatif.
Betullah setakat banyak membaca dan mengkaji memperbanyakkan lagi ilmu.

Tetapi apa gunanya ilmu sekiranya ia tidak dapat memberikan manfaat berfaedah secara langsung kepada rakyat dan negara apatah lagi kepada warga global sebagaimana dilakukan oleh profesor dan ahli akademik negara lain yang menghasilkan pelbagai penemuan yang menyumbang langsung kepada kemanusian global.

Begitu pun sekiranya tidak dapat menjadi kumpulan inovatif sekalipun setidak-tidaknya jadilah penyampai ilmu yang berkesan.

Beberapa hari sebelum rencana ini ditulis, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengumumkan kajian penilaian ujian prestasi pelajar dari seluruh dunia. Malaysia menduduki tempat ke-39 daripada 44 negara yang tersenarai dalam ujian berkenaan dengan mata pencapaian purata sebanyak 444 berbanding mata purata semua negara sebanyak 500 mata. Singapura menduduki tempat pertama dengan memperolehi 556 mata.

Keputusan ini mencerminkan betapa profesor Malaysia sebagai sumber penyampai ilmu peringkat tertinggi gagal menyempurnakan tanggungjawabnya.

Justeru, sekiranya pekara yang sepatutnya dilakukan sebagai tanggungjawab pun tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya, bagaimanakah mereka dapat memberikan sumbangan berfaedah sebagai kumpulan think tank Perdana Menteri. Jauh sekali memberikan sumbangan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Steve Jobs dan John Cormack.

Nampaknya bukan sahaja Najib Razak yang sedang hanyut. Turut bersama para profesor dan akhirnya para pelajar kita. Maka ke manakah hanyutnya Malaysia kelak?

SPRM tahan bekas pengarah jabatan kerajaan

Posted: 10 Apr 2014 07:26 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah jabatan kerajaan persekutuan di Kuantan semalam bersama isterinya dan seorang lagi pegawai jabatan yang sama kerana dipercayai menggunakan jawatannya untuk mendapatkan habuan dan membuat perakuan tuntutan palsu.

Menurut sumber, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas tiga individu berkenaan, seorang kontraktor berusia 40-an turut ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes sama kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kepada kerajaan.

"Bekas pengarah dan isteri ditahan di pejabat SPRM semalam ketika hadir untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada seorang kontraktor berhubung pembekalan barangan kepada jabatan berkenaan pada 2011.

"Seorang lagi pegawai daripada jabatan itu turut ditahan pada hari yang sama, dipercayai turut terlibat dengan kes itu kerana memperakukan dokumen yang mengandungi butiran palsu itu sebagai benar," katanya hari ini.

Keempat-empat individu berkenaan kemudian dilepaskan hari ini dengan jaminan setelah selesai diambil keterangan.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri Datuk Moh Samsudin Yusof ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan kes berkenaan.

"Hal ini menunjukkan SPRM sentiasa serius dalam menjalankan siasatan berkaitan salah laku rasuah dan penyelewengan dengan tidak mengira status, kedudukan dan jawatan individu terlibat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes itu kerana masih dalam siasatan. – Bernama

Bapa tahanan mati di penjara dapat gantirugi RM400,000

Posted: 10 Apr 2014 05:08 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan kerajaan membayar lebih RM400,000 kepada M Ghaur Chandram ekoran kematian anak lelaki berusia 23 tahun di penjara Sungai Buloh enam tahun lalu.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada 13 Februari tahun ini mendapati pihak berkuasa penjara telah melanggar dalam penjagaan G Uthayachandran dan cuai dalam tindakan mereka, menyebabkan kematiannya di tangan penghuni penjara.

Salah satu pintu penjara tidak dikunci pada masa catuan makanan, dengan itu membolehkan penghuni menyerang Uthayachandran.

Hakim Nik Hasmat hari ini memerintahkan tiga defendan itu membayar RM192,000 (atau kadar RM1,000 kali 16 tahun) sebagai gantirugi khas; RM100,000 sebagai gantirugi teladan dan RM100,000 sebagai gantirugi am.

Beliau juga mengarahkan kerajaan membayar RM4,000 sebagai perbelanjaan pengebumian dan RM5,000 dalam probet.

"Di samping itu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar RM60,000 sebagai kos kepada plaintif," perintah Nik Hasmat.

Ghaur Chandram (atas, kanan) yang memfailkan saman itu pada tahun 2009 telah menamakan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, pengarah Penjara Sungai Buloh, pegawai perubatan hospital di penjara, dua warden dan kerajaan sebagai defendan.

Uthayachandran, 23, yang telah ditahan reman bagi kesalahan berkaitan dadah meninggal dunia di kantin penjara selepas pengawal gagal menutup pintu penjara, menyebabkan penghuni lain menyerangnya pada 18 Mei 2008.

Bapanya mendakwa bahawa pihak berkuasa penjara cuai dan telah melanggar dalam tugas mereka menjaga Uthayachandran.

Kakak Uthayachandran G Eshwary berkata walaupun mereka tidak berpuas hati dengan jumlah tersebut, tetapi mereka terpaksa menerimanya.

Beliau hadir di mahkamah bersama bapanya Ghaur Chandram yang merupakan seorang pemandu teksi.

CNN: 'TUDM hantar pesawat cari MH370, DCA tidak diberitahu'

Posted: 10 Apr 2014 05:06 PM PDT

MALAYASIAKINI


CNN melaporkan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memang menghantar pesawat mencari pada pagi kehilangan Flight MH370, tetapi tidak memaklumkannya kepada pihak berkuasa sehingga tiga hari kemudian.

Memetik seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia dan satu lagi sumber yang terlibat dalam penyiasatan itu, CNN melaporkan "pesawat mencari tentera udara Malaysia berlepas sekitar jam 8 pagi, tidak lama selepas Malaysia Airlines (MAS) melaporkan pesawatnya hilang pada awal Mac 8."

Ia melaporkan bahawa pesawat mencari itu berlepas sebelum pihak berkuasa dapat menyokong data yang menunjukkan Boeing 777 itu berpatah balik ke arah barat.

Sumber yang tidak dinamakan menyatakan TUDM "tidak memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam atau operasi mencari dan menyelamat sehinggalah tiga hari kemudian, pada 11 Mac".

Ia juga melaporkan Penerbangan MH 370 hilang dari radar tentera pada kira-kira 120 batu nautika selepas ia melintasi semula Semenanjung Malaysia.

"Berdasarkan data yang ada, ini bermakna pesawat itu mesti menurun ke ketinggian di antara 4,000 dan 5,000 kaki," dakwa pegawai kanan kerajaan itu.

Juga mengenai kata-kata akhir "Selamat malam Malaysia tiga-tujuh-kosong" dalam komunikasi dengan kawalan trafik udara Subang sebelum pesawat MH370 hilang dari radar, CNN mendakwa ianya dituturkan oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad, dan bukan pembantu juruterbang seperti yang didakwa pada awalnya.

"Sumber-sumber Malaysia memberitahu CNN tiada apa yang luar biasa mengenai suara itu dan tidak ada petunjuk wujud tekanan. Salah satu sumber itu, seorang pegawai yang terlibat dalam penyiasatan, memberitahu CNN bahawa polis memainkan rakaman itu kepada lima juruterbang MAS yang lain yang mengenali juruterbang dan pembantu juruterbang berkenaan.

"Tidak ada suara pihak ketiga," katanya.

Perjalanan masih jauh dalam pencarian MH370, kata Hishammuddin

Posted: 10 Apr 2014 05:03 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia yang sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia yang hilang memasuki hari ke-34 hari ini.

Beliau berkata hanya selepas disahkan bahawa isyarat berkenaan adalah dari pesawat Malaysia Airlines MH370, operasi akan beralih ke fasa seterusnya.

Sambil menjelaskan bahawa "perjalanannya masih jauh", beliau berkata: "Kami dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini daripada JACC (Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia), tapi ia memerlukan beberapa hari untuk meneliti isyarat daripada alat pengesan ping."

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200 MAS yang hilang di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, untuk sementara waktu ini, tiga jawatankuasa peringkat kementerian berkenaan perlu menunaikan tugas masing-masing. Jawatankuasa itu bermesyuarat di sini sejak pagi tadi.

Pada Sabtu, untuk memperkemas dan memantapkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan, kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.

Hishammuddin berkata beliau tetap menaruh harapan pesawat MH370 akan segera dijumpai.
"Inilah janji saya kepada keluarga terbabit," katanya sambil menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia tidak menyembunyikan sebarang perkara.

Menurut beliau kerjasama rapat dan persefahaman mendalam antara Malaysia dan JACC akan memastikan maklumat yang disampaikan berhubung usaha mencari pesawat berkenaan sentiasa konsisten.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabngsa KL pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat MH370 terbang di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai koridor pencarian selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Laut China Selatan, di barat Perth.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan laluan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". – Bernama,

Dr Mahathir mengaku berada di Malaysia ketika tragedi Memali berlaku

Posted: 10 Apr 2014 05:00 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Dalam blognya hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku berada dalam negara ketika peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985. – Gambar fail.Dalam blognya hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku berada dalam negara ketika peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985. – Gambar fail.



























Akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamed mengaku beliau berada di tanah air ketika kejadian Memali yang mengorban 18 rakyat pada 19 November 1985.

Namun, beliau berkata dia tidak ingat Tun Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu, datang memujuknya agar tidak pergi ke Beijing.

"Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.

"Waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negara," kata Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

Dr Mahathir juga cuba meletakkan kesalahan ini kepada Musa dengan berkata, "Tun Musa akui beliau bertanggungjawab".

"Dalam sistem kabinet yang kita amalkan semua anggota kabinet, terutama Perdana Menteri bertanggungjawab," kata Dr Mahathir dalam blognya.

Baru-baru ini, Musa mendedahkan di Kota Baru, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika peristiwa Memali berlaku.

Selepas itu, Musa juga membuat kenyataan bertulis mempertahankan kenyataan itu dengan berkata, dia bersama Pemangku Ketua Polis Negara ketika itu memberi taklimat kepada Dr Mahathir pada hari kejadian.

Musa menegaskan dalam kenyataan itu, dia bukan pemangku perdana menteri ketika itu kerana Dr Mahathir masih berada dalam negara.

Ia bertentangan sekali dengan catatan sejarah yang dibuat pelbagai pihak termasuk ensiklopedia bebas, Wikipedia, yang merekodkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.

Dalam hal ini, Dr Mahathir dalam tulisannya hari ini berkata, beliau tidak pernah menyatakan beliau tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu.

"Soal peristiwa saya kononnya tidak ada dalam negeri semasa peristiwa berlaku bukan disebar oleh saya. Dalam buku saya pun saya tidak sebut perkara ini," kata Dr Mahathir.

Pakar propaganda Umno dan bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang juga bekas Menteri Penerangan Datuk Zainudin Maidin bertegas bahawa Dr Mahathir berada di China selepas kenyataan Musa bahawa Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika itu.

Namun Zainudin menegaskan, ia berdasarkan ingatan beliau.

Dr Mahathir mengaku, pada 20 November 1985, sehari selepas kejadian Memali, beliau mengepalai satu rombongan swasta yang amat besar ke China dan Musa antara yang berada di lapangan terbang.

Dr Mahathir berkata, beliau begitu yakin yang Musa dapat menangani keadaan "sehingga saya melantik beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri", iaitu selepas kejadian itu.

Yang diketahui umum, kata Dr Mahathir, Datuk Musa Hitam ialah Menteri Dalam Negeri, di samping memikul jawatan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil. Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang manis," tulis Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga berkata, harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas.

"Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati, bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga keselamatan kita dilupakan," tulis beliau.

"Ya. Sepatutnya insiden ini tidak berlaku. Tetapi sanggupkah kita membiar sehingga sesuatu itu sudah melarat baru kita ambil tindakan.

"Lihatlah keadaan yang sedang berlaku di beberapa negara sekarang ini kerana polis tidak dibenar bertindak secara berkesan," tulis Dr Mahathir.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau ditahan di bawah ISA. Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim dan pengikutnya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terbunuh.

Musa dipersalahkan atas peristiwa itu dan Dr Mahathir selaku perdana menteri terlepas kerana dia diberitakan berada di China.

Pendedahan Musa memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.

PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Ibrahim dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka.

Ekoran pendedahan Musa, PAS dan DAP mencadangkan Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat semula kejadian ini.

Tiada ulasan: