Khamis, 10 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DAP Perak kecam kerajaan negeri belanja lebih RM300 ribu untuk peguam luar

Posted: 10 Apr 2014 05:35 AM PDT


wongkahwoh



KUALA LUMPUR,: DAP Perak mengecam tindakan Kerajaan Negeri yang menghabiskan lebih RM300 ribu wang rakyat bagi membayar khidmat guaman luar dalam kes rampasan kuasa kerajaan Pakatan pada 2009.

Walhal Barisan Nasional (BN) sepatutnya menggunakan khidmat penasihat undang-undang negeri yang sememangnya bertanggungjawab dalam hal perundangan negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Canning Wong Kah Woh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas jawapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung bayaran khidmat peguam sebanyak RM324,053.16 yang ditanggung kerajaan Perak dalam kes di antara Menteri Besar Dato' Seri Dr Zambry Kadir dan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Jika kerajaan Negeri menanggung kos guaman atas kapasiti Zambry selaku Menteri Besar, mengapa tidak gunakan sahaja penasihat perundangan seperti sepatutnya, sebaliknya ambil peguam luar. Adakah mereka tidak yakin dengan penasihat sendiri?" soalnya.

Katanya, BN juga tidak boleh memberikan alasan tidak menggunakan penasihat undang-undang ekoran Zambry disaman atas kapasiti individu kerana khidmat peguam terbabit ditanggung Kerajaan Negeri.

"Jika mereka beri alasan sedemikian, hakikat bahawa bayaran dibuat kerajaan negeri adalah satu salah guna kuasa secara terang-terangan," kata Setiausaha DAP Perak itu lagi.

Ada beberapa kes melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan kerajaan Negeri yang berpunca daripada rampasan kuasa itu, antaranya V Sivakumar (bekas Speaker DUN kerajaan Pakatan) melawan Dato R Ganesan (Speaker selepas rampasan kuasa) di Mahkamah Rayuan, dan Zambry melawan Sivakumar, juga di mahkamah sama.

Katanya lagi, mengambil kira kebarangkalian tinggi bahawa lima kes itu turut ditanggung Kerajaan Negeri, jumlah wang rakyat yang digunakan bagi membayar khidmat peguam boleh mencecah RM1.5 juta.

Justeru, beliau mendesak Kerajaan Negeri memberikan penjelasan serta maklumat penuh berhubung isu itu.

"Mereka perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negeri, sama ada bayaran guaman untuk semua kes ditanggung kerajaan atau tidak. Mereka juga perlu dedahkan jumlah wang rakyat yang dihabiskan untuknya," katanya lagi.

Pada 2009, Pakatan Rakyat membawa kes rampasan kuasa di Perak ke mahkamah bagi mencabar kesahihan kerajaan Negeri BN baru yang ditubuhkan.

Pada 22 Mei 2009, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Zambry adalah Menteri Besar yang sah, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya yang menetapkan Nizar kekal memegang jawatan itu. -Roketkini.com

Setelah halau, speaker panggil masuk Dewan Rakyat semula

Posted: 10 Apr 2014 05:22 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK




























Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) hari ini menggunakan kuasanya menarik semula arahan keluar dewan kepada Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

"Saya boleh menggunakan kuasa Peraturan Mesyuarat 90 menggunakan budi bicara. Walaupun tadi saya kata Gombak keluar, Sepang keluar. Sekarang ini saya boleh panggil mereka balik kerana itu budi bicara saya.

"Kalau Gombak dan Sepang masuk pun saya izinkan.Kalau saya tak izinkan, persidangan akan datang bermakna ada tiga hari mereka tidak dapat masuk," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Azmin diminta meninggalkan dewan setelah mahu menegakkan hujahnya agar dewan menerima usul untuk membicarakan tingkah laku hakim. Hanipa pula diminta meninggalkan dewan setelah cuba membangkitkan usul tergempar mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Hanipa berkata tindakan Pandikar itu tidak adil dan menggambarkan Yang Dipertua sebagai seorang yang melanggar peraturan mesyuarat.

Tian Chua tarik diri sebab yakin boleh bekerja dengan Saifuddin, Khalid

Posted: 10 Apr 2014 05:13 AM PDT

OLEH MD IZWAN



























Pemimpin senior PKR Chua Tian Chang (gambar) memberi alasan penarikan diri daripada pertandingan timbalan presiden parti kerana yakin boleh bekerja Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Chua, yang juga penyandang Naib Presiden PKR, berkata keputusan menarik diri dibuat selepas berbincang dengan Khalid dan Saifuddin.

"Selepas penamaan, saya berbincang secara intensif dengan Khalid dan Saifuddin.

"Kemudian saya pertimbangkan, akhirnya saya mendapati mereka juga membawa (agenda) sama seperti yang saya mahukan," kata Chua selepas dihubungi The Malaysian Insider.

Chua, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, sebelum itu mengadakan sidang media mengumumkan penarikan diri daripada jawatan kedua PKR tersebut.

Ahli Parlimen Batu tersebut menjelaskan penarikan dirinya kerana yakin mampu bekerja dengan salah seorang calon timbalan presiden tersebut.

"Ini adalah tanggungjawab bersama, saya rasa boleh mainkan peranan dalam kepimpinan dengan salah seorang daripada mereka menjadi timbalan.

"Jadi, saya rasa lebih baik untuk saya tarik diri dan biarkan mereka bertanding," kata Chua.

Hari ini adalah tarikh akhir untuk mengumumkan penarikan diri daripada mana-mana jawatan peringkat pusat.

Setakat ini, hanya Chua mengumumkan penarikan diri. Khalid dan Saifuddin dijangka meneruskan cabaran ke atas penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Chua juga mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya.

Namun, beliau menegaskan penarikan dirinya dalam pertandingan kali ini tidak bermakna beliau menyokong mana-mana calon yang bertanding untuk jawatan penting tersebut.

Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

Kira-kira 500,000 ahli PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor dengan sebanyak 144,020, diikuti dengan Sabah sebanyak 86,955.

PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT

Artis Kongsi Rasa Sedih Kematian Jeremy Little Di Mekah

Posted: 10 Apr 2014 04:21 AM PDT


MSTAR ONLINE


jeremy little
Jeremy Little


PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios iaitu Jeremy Little meninggal dunia di Mekah pada Selasa lalu ketika menjalani ibadah umrah.

Berita kematian penggiat filem bebas itu turut diumumkan oleh Mufti Ismail Menk dari Mekah menerusi Twitternya pada malam Rabu yang antara lain meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

Malah  beberapa penggiat seni tempatan juga turut meluahkan rasa sedih mereka terhadap kematian Jeremy, 31, yang juga penerbit filem Kil itu.

Penyanyi Mizz Nina dalam Instagram miliknya menulis agar keluarga Allahyarham reda dengan pemergian itu.

"Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga keluarga Allahyarham sentiasa kuat dan sabar. Ia sesuatu yang dirahmati kerana Allahyarham meninggal dunia di Mekah," kata Mizz Nina.

Pelakon Fazura dalam Instagram miliknya pada Rabu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selain melahirkan rasa syukur kerana arwah meninggal dunia di tempat yang menjadi idaman kebanyakan umat Islam.

"Alhamdulillahlah… Jeremy adalah seorang hamba yang terpilih untuk meninggal dunia di bumi Mekah. Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarganya," tulis Fazura.

Sementara itu Yuna pula meminta peminat-peminatnya menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

"Sahabat saya telah meninggal dunia di Mekah. Sila hadiahkan Al-Fatihah," pintanya.

Penggiat seni, Jennifer Thompsom turut terkejut dengan berita kematian itu dan seperti orang lain yang turut meminta Al-Fatihah dihadiahkan.

Enam hari lalu Jeremy telah memuat naik gambar pemandangan di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah menerusi Instagram miliknya.

Menerusi gambar itu dia menulis kapsyen: "Teknologi yang cantik dan tempat yang luar biasa. Subhanallah."

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Jeremy atau nama sebenarnya Jeremy Ahmad Maikel antara individu yang disegani kerana pengaruhnya dalam memartabatkan muzik dan filem bebas.

Dia juga pernah menaungi beberapa kumpulan muzik antaranya SevenCollar T-Shirt, Estrella, Guba dan Lab The Rat.

Pada tahun lalu, filem Kil  berjaya  mendapat empat anugerah dalam Anugerah Skrin terbitan TV3, satu pencapaian yang membanggakan bagi mereka yang menghasilkan karya bebas.

Dalam pada itu Tune Group dalam kenyataannya pada Khamis turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Pengasasnya yang juga Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranum berkata, Allahyarham adalah seorang pegawai yang sangat merendah diri dan baik hati.

"Beliau hanya akan dikenang kerana kebaikannya dan tiada perkataan yang boleh menggambarkan berapa banyak orang menyenangi dan menyayanginya," kata beliau.

Salah seorang pengasas Tune Studios iaitu Datuk Seri Tony Fernandes pula berkata, Jeremy merupakan seorang yang sangat luar biasa dan   mempunyai bakat besar.

"Jeremy pada usia mudanya memberi banyak nasihat mengenai kehidupan bagi menjadi manusia yang lebih baik," katanya.

Menjadi amalan setiap umat Islam yang meninggal dunia di Tanah Suci Mekah akan dikebumikan di tanah perkuburan khas di negara itu.

Dalam pada itu satu majlis tahlil untuk Allahyarham akan diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC dekat sini selepas solat Maghrib pada malam Khamis (malam ini).

Anak Cik Ta Pilih Audi R8 Harga RM660,000

Posted: 10 Apr 2014 04:16 AM PDT



setw3
Ammar akan mendedahkan hadiah kereta yang diberikan ibunya menerusi Instagram tidak lama lagi.


Oleh: FERIDE HIKMET ATAK 


PETALING JAYA: Anak sulung kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy menafikan bakal menerima kereta jenis BMW X6 sebagai hadiah kejayaannya mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya sebuah kereta lain.

Ammar, 18, berkata kereta yang dipilih sebagai hadiah kecemerlangannya itu ialah Audi R8 yang harganya kira-kira RM660,000.

"Hahaha... Bukan BMW X6 lah, tetapi kereta lain. Ammar rasa nak tergelak jer bila gosip itu timbul kerana itu kereta untuk 'orang tua'.

"Memang benar mommy nak belikan kereta untuk saya. Tetapi kereta sport la, baru macho," selorohnya kepada mStar Online  ketika dihubungi menerusi mesej aplikasi WhatsApp pada pagi Khamis.

wsewq
Gambar kereta mewah Audi R8 yang dikirim Ammar menerusi Whatsapp selepas membuat tinjauan di beberapa kedai kereta di sekitar ibu kota pada Rabu.

Ammar diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya Rozita sudah membelikannya kereta mewah BMW X6 bersempena kejayaannya yang cemerlang dalam SPM.

 Tambah Ammar, dia inginkan sebuah kereta yang boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama dan antara jenis kereta yang diminati ialah Audi R8, BMW M3 dan Mercedes A45.

"Pada Rabu (semalam) saya telah ke kedai kereta melihat mana-mana yang diminati dan setakat ini Audi R8 antara yang saya sukai.

"Tak tahu lah pula kereta apa mommy nak belikan. Berbaloi juga belajar siang malam. Kalau keputusan lebih cemerlang, entah-entah mommy nak belikan Lamborghini atau Ferrari," katanya bergurau.

Sebelum ini, Ammar pernah mendapat hadiahkan sebuah telefon bimbit selepas cemerlang dalam peperiksaan penilaian Menengah Rendah (PMR) dan set permainan PS2 selepas berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).    

 

Penculik Warga China Tuntut RM36.4 Juta Sebagai Tebusan

Posted: 10 Apr 2014 04:11 AM PDT

MSTAR ONLINE


Pelancong warga China yang diculik di Semporna.


KUALA LUMPUR: Penculik dua wanita di Semporna tampil menuntut RM36.4 juta sebagai tebusan untuk membebaskan seorang daripada mereka iaitu pelancong dari China.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, pihaknya telah menerima nota daripada penculik yang meminta tebusan sebanyak 500 juta peso atau RM36.4 juta.

"Kami telah menghantar satu pasukan untuk melakukan rundingan dengan orang tengah yang telah dipanggil ketika ini," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Zahid berkata, bagaimanapun pihaknya belum menerima sebarang bentuk tebusan bagi membebaskan wanita warga Filipina terbabit.

Pada 2 April, pelancong China Gao Hua Yuan (gambar), 29, dan pekerja resort warga Filipina Marcy Darawan, 40, diculik dari Singamata Reef Resort di Semporna oleh tujuh lelaki bersenjata dipercayai kumpulan militan Abu Sayyaf.

[VIDEO] Utusan Pernah Akui "Putar" Fakta Berita, Skrg Tuduh Org Lain Tidak Beretika

Posted: 10 Apr 2014 03:51 AM PDT

KELAB GREENBOC


Utusan tuduh kewartawanan Mkini 'zaman batu'


Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menggiatkan semula serangan ke atas Malaysiakini, dengan dakwaan bahawa portal akhbar ini mengeluarkan berita tidak beretika dan mengamalkan "kewartawanan zaman batu".

Tanpa merujuk kepada mana-mana laporan khusus, rencana tulisan seorang editornya Zulkiflee Bakar mendakwa Malaysiakini berpura-pura menyiarkan laporan seimbang.

"Sebaliknya, semua orang amat mengetahui ke mana kecenderungan laporan mereka, apa niat mereka dan apa agenda tersirat mereka," tulisnya.

Beliau juga mendakwa Malaysiakini mengamalkan kewartawanan songsang dan menyiarkan perkara yang didakwa menjejas keharmonian kaum dan agama.

"Malaysiakini tidak akan mampu menolak andaian bahawa mereka mengamalkan corak kewartawanan zaman batu mungkin selaras dengan kempen pengurusannya yang menjual batu bata untuk membina bangunan portal berita tersebut," tulisnya lagi.

Ia merujuk kepada kempen Malaysiakini untuk mengutip dana daripada orang ramai untuk membiaya pembinaan pejabat baru di Petaling Jaya.

Penyumbang berpeluang mengabadikan nama mereka di bata berkenaan untuk pameran.

Zulkiflee seterusnya bersyarah mengenai kewartawanan bertanggungjawab yang didakwa tidak diamalkan oleh Malaysiakini.

"Kewartawan yang bertanggungjawab tidak akan memaparkan fakta yang belum tentu benar, tidak akan memaparkan isu yang boleh mencetuskan kontroversi dan sudah pasti sama sekali tidak akan memutarbelit fakta demi kepentingan politik pihak tertentu.

"Namun jika kita melihat corak pemberitaan Malaysiakini ia jelas membuktikan kesemua itu seolah-olah tiada dalam perkiraan mereka," katanya.

Dalam satu lagi laporan, Utusan memetik kenyataan seorang jurucakap NGO Jaringan Melayu Malaysia Hamdan Mohd Salleh yang mengaitkan Malaysiakini dengan satu golongan didakwa sebagai Red Bean Army (RBA).

Hamdan dalam laporan itu mendakwa Malaysiakini dan RBA berkongsi agenda dan fokus yang sama.

"Malaysiakini dan RBA mempunyai hubungan yang akrab untuk menjatuhkan kerajaan. Dana yang mereka peroleh amat besar dan mereka menafikan serta bersikap berdiam diri ketika pendedahan dibuat," dakwanya.

Malaysiakini telahpun menjelaskan dakwaan tersebut berkali-kali. -mk


ULANGSIAR


Utusan Mengaku Putar Fakta Berita Supaya Berpihak Kepada BN

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pengamal media dibolehkan "memutar" fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak.

Menurutnya, langkah itu adalah "serangan berhemah" kepada pembangkang yang kini menguasai persepsi umum sehingga menyebabkan kerajaan BN "dibicarakan" dalam ruang politik negara.

"Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan).

"Dari segi perang psikologi kita jangan ikutlah blatant lie, kita jangan tulis pembohongan.

"Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta tersebut memihak kepada kita, itu OK," kata Zaini.

Beliau turut mengakui kelebihan kini berpihak kepada pembangkang dalam perang psikologi politik menerusi media sosial.

"Kalau kita lihat sebelah sana, media (mereka) tidak tengok duit.

"Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah).


"Tetapi kita di sini, minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera)," kata Zaini sewaktu bercakap pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur.

Zaini yang popular dengan kolum Cuit dalam akhbar Utusan Malaysia turut mengakui bahawa media kini memainkan peranan yang jauh lebih penting berbanding faktor wang dan jentera dalam memenangi pilihan raya.

"Dalam konteks Malaysia, media dah jadi tempat pertama (dalam memenangi pilihan raya)," kata Zaini.

Ketua Sekretariat Himpunan Ulama Muda Umno, Fathul Bahari Mat Jahaya yang turut menjadi panelis forum pula menggesa pengamal media sosial agar memeriksa fakta di sebalik sebarang dakwaan yang bersifat politik.

"Islam dan agama lain ajar kita kalau ada tohmahan, kita kena ada
bukti sama ada ia benar atau tidak benar," katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa pengamal media sosial pro-BN supaya mengamalkan "muslihat" dalam perang psikologi terhadap pembangkang.

Menurutnya, Nabi Muhammad turut mengamalkan muslihat dalam peperangan dengan menghitamkan rambut tentera Islam yang berusia agar kelihatan muda dan gagah pada mata musuh. -mk

LIHAT VIDEO DI SINI

Ulasan GB

Ternyata sekarang akhbar arus perdana menggunakan falsafah haiwaniah "matlamat menghalalkan cara" untuk memenangkan UMNO BN di dalam siri pilihanraya.

Al-Quran telah menempelak golongan yang menyembunyikan dan memutarkan "kebenaran"

Mereka yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (kebenaran), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman. -Al-An'am :20

Anda mahu beli @ baca lagi Utusan selepas ini sedangkan pengakuan bahawa fakta sebenar telah diputarkan? Anda mahu lagi bersekongkol untuk mendapat saham dosa percuma dengan menyokong akhbar yang telah terang-terangan mengaku melakukan kerja-kerja mungkar dan pembohongan tersebut?

Biar dituduh berada di zaman batu, daripada melakukan pemutaran (spin) fakta berita seperti yang diajarkan Utusan kepada para wartawanny, dan melaluinya gaji diterima dengan hasil kerja pemutaran berita itulah diberi makan anak-bini mereka!

Azmin, Hanipa diarah keluar Dewan

Posted: 10 Apr 2014 03:45 AM PDT


ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali diperintahkan keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Azmin diperintah keluar dewan setelah berulang kali meminta penjelasan Pandikar mengapa usul mencela tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak disegerakan untuk dibahas.

Azmin, ketika memohon penjelasan berhubung keputusan speaker berkaitan usul tersebut, berkata biarpun mengakui usul berkaitan urusan kerajaan perlu disegerakan, usul beliau sewajarnya diberikan keutamaan selepas setiap usul kerajaan selesai dibahaskan.

"Jika dilihat pada Aturan Urusan Mesyuarat, usul berkaitan kerajaan berakhir pada nombor enam. Mengapa usul saya yang disokong 63 anggota parlimen lain tidak diletakkan di nombor tujuh agar ia boleh disegerakan?

"Mengapa usul dari Putatan yang bersendirian boleh diletakkan pada nombor itu?" soal beliau berulang-kali sehingga menimbulkan ketegangan ke atas speaker dan ahli dewan yang lain.

Sementara itu, Pandikar menyarankan Azmin agar berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim untuk membolehkan usul yang dibawanya dapat disegerakan dan dibahaskan.

Bagaimanapun, Azmin meminta penjelasan Pandikar sama ada Shahidan mempunyai kuasa untuk membolehkan usul tersebut dibahaskan dengan segera, namun Pandikar kemudiannya mengeluarkan arahan untuk Azmin keluar dewan.

Ketika itu, Azmin sekali lagi memohon penjelasan tentang keputusan Pandikar mengarahkannya keluar sebelum mendapat penjelasan, namun Pandikar berulangkali meminta bentara menjalankan tugas untuk mengiringi Azmin keluar.

Bercakap kepada media selepas itu, Azmin berkata beliau kecewa dengan keputusan speaker yang mengarahkannya keluar dewan tanpa sebarang penjelasan.

"Saya minta penjelasan beliau, mengapa usul sepenting itu, yang juga menepati peraturan mesyuarat, malah Perlembagaan Malaysia ditolak sewenang-wenangnya," kata beliau.

Tambah beliau, usul yang dibawa beliau dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada parlimen membincangkan kelakuan hakim dengan syarat memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat daripada ahli parlimen.

Beliau berkata kedudukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Peraturan Mesyuarat, dan perkara ini difahami oleh mana-mana pihak, khususnya para peguam.

"Peraturan mesyuarat tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan, tetapi speaker kemudiannya sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengarahkan saya keluar," kata Azmin.

Sementara itu, ketika dewan masih tegang dengan keputusan tersebut, Hanipa pula diperintah keluar dewan ketika mahu membangkitkan peraturan mesyuarat 22(1) berhubung isu KLIA2.

Biarpun beliau bangun dan menyebut "Peraturan Mesyuarat 22 (1)", Pandikar bagaimanapun tanpa mendengar peraturan yang dibawa Hanipa terus mengarahkan Hanipa keluar dewan.

Bercakap pada sidang media, selepas itu, Hanipa berkata beliau menjadi mangsa keadaan dengan apa yang berlaku di dalam dewan sebelum itu.

"Saya menjadi mangsa keadaan. Selepas ahli parlimen Gombak diarahkan keluar, saya faham isu itu telah selesai. Namun, saya bangun untuk kemukakan peraturan mesyuarat yang lain. Tetapi, tanpa mendengar apa yang ingin saya katakan, speaker terus mengarahkan saya keluar," kata beliau kepada media.

Tambah beliau, adalah menjadi amalan apabila setiap wakil rakyat bangun , speaker perlu mendengar apa yang ingin dibawa ahli dewan itu.

"Tapi, belum sempat saya bercakap, saya sudah kena halau. Bagi saya, ini satu tindakan yang tidak adil. Speaker selalu cakap pasal semua ahli kena mengikut peraturan mesyuarat, tapi sekarang speaker tidak ikut peraturan mesyuarat," kata beliau.

Ekoran keputusan tersebut, semua ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan sebagai protes terhadap keputusan tersebut.
Pada sesi sebelah petang, Pandikar bertindak memanggil semula Azmin dan Hanipa untuk masuk ke sidang dewan.

Keputusan tersebut dibuat Pandikar mengikut Peraturan Mesyuarat 90, selepas mula mempengerusikan mesyuarat pada jam 2.30 petang tadi.

Petunjuk baru tidak disahkan

Posted: 10 Apr 2014 03:40 AM PDT


MH370


PERTH - AUSTRALIA - Usaha mencari MH370 di Lautan Hindi sehingga semalam telah mengesan banyak serpihan objek di permukaan laut, namun hanya sebahagian kecil objek berjaya dijumpai hari ini.

Setakat ini, tiada pengesahan dari pihak AMSA berhubung dengan penemuan terbabit.

"Lokasi pencarian MH370 terletak kira-kira 2280 kilometer utara barat di Perth.

"Cuaca hari ini agak baik namun pihak pengkaji cuaca telah mengeluarkan ramalan kemungkinan hujan dan berangin di lokasi carian terbabit," katanya menerusi kenyataan media di laman web rasmi JACC.

Menurutnya lagi, cuaca hujan yang diramalkan mungkin akan menjarakkan penglihatan pasukan mencari sehingga 5000 meter.

Seluruh pasukan siasatan yang mewakili United Kingdom, China, Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia masih mengusahakan petunjuk baru MH370 berdasarkan data dan analisis satelit yang diberikan.

Azmin: Saya kecewa dengan Speaker

Posted: 10 Apr 2014 03:38 AM PDT


Azmin Ali Azmin Ali


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia  yang bertindak menolak usul untuk membahaskan perilaku hakim Mahkamah Rayuan dalam kes liwat II Ketua Pembangkang, hari ini.

Menurut Azmin, tindakan Pandikar yang hanya menggunakan alasan usul kerajaan perlu diutamakan adalah sangat mengecewakan.

"Saya kecewa dengan tindakan Speaker yang mengambil tindakan drastik untuk keluarkan saya daripada Dewan tanpa satu penjelasan yang kuat dan kukuh.

"Saya sekadar minta penjelasan kenapa satu usul yang penting dibawa oleh saya iaitu mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (8) dan juga menepati Perlembagaan persekutuan mengikut perkara 127 untuk membincangkan kelakuan dan perilaku hakim ditolak dengan sewenang-wenangnya tanpa penjelasan yang jelas.

"Walaupun Speaker jelaskan mengikut perkara 15 (1) urusan  kerajaan perlu didahulukan tetapi pemahaman saya yang disokong oleh peguam yang memahami perlembagaan dan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengatasi peraturan mesyuarat.

"Sepatutnya Dewan harus benar usul ini dibahaskan pada hari ini dan ini tidak berlaku, ini sangat mengecewakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas diarah keluar Dewan.

Azmin menambah, tindakan Speaker itu tidak akan melemahkan semangat pemimpin PR dalam memastikan institusi kehakiman terus terpelihara.

"Pimpinan PR akan terus berusaha untuk mendaulatkan undang-undang dan badan kehakimanan dapat dipulihkan sepenuhnya," katanya.

Semalam Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan, PR telah membuat satu usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 36 (8) untuk membincangkan dan mengambil tindakan ke atas tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Menurut beliau, usul tersebut wajar dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahaskan hari ini kerana telah menepati semua syarat.

"Usul tersebut dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk membincangkan kelakuan hakim-hakim. Sebarang usul untuk membincangkan kelakuan hakim di bawah Perkara 127 memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat ahli Parlimen.

"Kita telah memfailkan usul ini pada 26 Mac lalu kepada Speaker Dewan Rakyat dengan sokongan 63 ahli Parlimen. Ia juga menepati syarat-syarat pemberian notis 14 hari seperti ditetapkan Peraturan Majlis Mesyuarat," katanya.

Selain Azmin, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin juga turut diarah keluar kerana keengganan Speaker mempercepatkan usul Azmin.

Susulan tindakan itu, Ahli Parlimen PR beramai-ramai meninggalkan Dewan.

Masih dail nombor telefon anak

Posted: 10 Apr 2014 03:37 AM PDT


Masih dail nombor telefon anak Amirtham tidak pernah putusputus cuba menelefon anaknya Puspanathan sejak kehilangan MH370 dilaporkan hingga semalam.
 
 
 
 TELOK PANGLIMA GARANG - A Amirtham, 60, ibu kepada penumpang pesawat MH370, S Puspanathan meluahkan rasa terkejut mendengar suara operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya, selepas sarapan pagi semalam.

Bercerita lanjut, ibu yang masih mengharapkan kepulangan anaknya itu memberitahu, sebelum ini, setiap kali mendail nombor telefon Puspananthan, hanya respons error yang tertera. Tetapi sebaliknya berlaku, semalam.

"Saya sangat terkejut dengar bunyi 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi'. Sebab sebelum ini kalau saya dail nombor dia, tiada bunyi apa-apa kemudian keluar perkataan error. Tapi hari ini (semalam) bila saya dengar suara operator, saya betul-betul terkejut," katanya.

Amiratham berkata, kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dia tergerak hati mendail nombor anaknya itu selepas menikmati sarapan kuey tiaw goreng yang juga makanan kegemaran Puspanathan.

Dia kelihatan sebak ketika menceritakan kejadian itu sambil mengakui bukan ingin menolak segala kemungkinan yang berlaku. Tetapi dia dan keluarga masih mengharapkan kepulangan Puspanathan walaupun lambat.

Dia memberitahu, jika selepas ini nombor telefon anaknya itu tidak aktif lagi, dia akan terus mendailnya, dan itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama kehilangan pesawat MH370 dilaporkan, 8 Mac lalu.

"Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah sebulan berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat.

"Saya nak tengok anak saya di depan mata, tak kisahlah dia dalam keadaan apa sekali pun. Saya percaya masih ada harapan," katanya yang mulai tenang menjawab pertanyaan wartawan.

Dalam pada itu, Amirtham memaklumkan dia juga mesti mengambil sikap berjaga-jaga apabila menerima kunjungan orang awam kerana risau kejadian tidak diingini berlaku kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas mendengar berita salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat MH370 terlibat dalam kejadian samun.

"Saya kena berhati-hati sama ada berseorangan atau ketika bersama saudara-mara di rumah. Apa-apa boleh berlaku. Memang kadang kala saya tak benarkan orang yang tidak dikenali masuk, termasuk pemberita," katanya.

Sementara itu, adik kepada seorang lagi penumpang MH370, Zurihan Yusop, 43, ketika dihubungi semalam memaklumkan dia juga cuba menghubungi abangnya Muzi, 50, namun tiada perubahan pada talian abangnya itu.

Katanya, dia masih mendengar suara berkomputer menyebut 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi.'

"Dari mula kehilangan pesawat, sehingga hari ini saya cuba dail, ia tetap sama dan tidak aktif," katanya.

Apa jaminan kerajaan pesta biadap tidak berulang

Posted: 10 Apr 2014 03:30 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan penganjuran satu lagi acara hiburan liar Topless Friday Beach Party yang dijadualkan berlangsung di The Pool, Jalan Ampang malam esok.

"Di samping iklan yang diedarkan cukup provokatif, program seperti ini tidak mencerminkan etika dan norma masyarakat timur yang santun dan berbudaya sopan," ujar Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi kepada Harakahdaily.

Katanya, di kala masyarakat masih bersedih dan terkejut dengan kejadian kehilangan pesawat MH 370 serta kes kematian pengunjung konsert liar Future Music Festival Asia di Bukit Jalil yang masih di dalam siasatan, masih ada penganjur yang kurang keinsafan dan sanggup menganjurkan program-program liar dan biadap seperti itu.

Justeru, beliau bertanya apa faedahnya acara liar seperti itu selain dari menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan insiden keselamatan akan berlaku.

Beliau berkata, seperti di dalam kes konsert liar di Bukit Jalil tempoh hari, penggunaan arak secara berlebihan dan penyalahgunaan dadah begitu meluas.

"Walaupun selepas desakan PAS dan NGO ianya telah dibatalkan apa jaminannya program seperti ini tidak berulang.

"Sampai bila kerajaan hanya akan mengambil tindakan selepas berlaku bantahan rakyat," ujarnya lagi.

Sesungguhnya, jelas beliau kemungkaran seperti itu cuma akan mengundang murka Allah SWT dan akan menjadi penyebab kepada lebih banyak dugaan dan masalah menimpa negara dan masyarakat.

Menurutnya, Pemuda PAS akan menghantar memorandum sebagai teguran kepada pihak kerajaan atas kelekaan membiarkan penganjuran program hedonis seperti itu.

"Pada masa yang sama, kita menggesa pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, pihak polis dan Jabaran Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk tuntas menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas termasuklah tindakan menarik lesen operator sebagai ingatan kepada semua pihak untuk tidak menjalankan program-program seperti ini," katanya.

Anwar, Karpal masih ahli parlimen - Speaker

Posted: 10 Apr 2014 03:28 AM PDT

NAZRI ABDULLAH 


KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) masih kekal sebagai ahli parlimen biarpun disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Memandangkan kedua-duanya telah memfailkan rayuan mereka ke mahkamah lebih tinggi, maka sabitan belum dimuktamadkan lagi.

"Oleh demikian status kedua-dua mereka kekal sebagai wakil rakyat," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sambil merujuk kepada Fasal 5, Perkara 48 Perlembagaan.

Penjelasan Pandikar itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan Karpal pada 31 Mac lalu, berhubung status beliau dan Anwar sebagai wakil rakyat.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Dengan kata lain, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Pada 11 Mac lalu, Karpal telah disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan didenda RM4,000 di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 Hasutan berkait krisis perlembagaan negeri Perak.

Anwar pula disabit kesalahan dalam kes Fitnah ll dan didenda penjara lima tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun mereka telah mengemukaan rayuan untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Tragedi Memali: BN layak dipanggil "kerajaan pembohong"

Posted: 10 Apr 2014 03:21 AM PDT

ABDUL AZIZ MUSTAFA 


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN sebagai "kerajaan pembohong"  kerana enggan menarik balik pembohongan berkaitan Peristiwa Memali.

"Kalau dalam tragedi berdarah seperti Peristiwa Memali pun kerajaan BN begitu tegar membohongi rakyat, tidak ada jaminan sama sekali ia tidak berbohong dalam perkara lain.

"Orang Putih kata "once a liar always a liar" - sekali jadi pembohong sampai bila-bila pun pembohong," katanya yang sebelum itu cuba membangkitkan usul supaya Kertas Putih Memali ditarik balik berdasarkan bukti-bukti terbaru.

"Dewan Rakyat telah dibohongi oleh Kertas Putih Memali," katanya ketika membangkitkan perkara itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berusaha untuk membangkitkan usul yang telahpun ditolak sebelum ini oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul itu dibuat berikutan kenyataan Tun Musa Hitam sebelum ini yang menyatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya berada dalam negara dan bukan berada di luar negara.

Selama ini kerajaan mendakwa bahawa Dr Mahathir sedang dalam lawatan ke China ketika berlakunya peristiwa serangan pihak berkuasa ke atas penduduk kampung di Memali sehingga mengakibatkan 18 orang terbunuh termasuk empat anggota polis.

"Jadi bagi saya bahawa adalah wajar untuk Parlimen membincangkan malah perlu menarik balik Kertas Putih Memali yang menunjukkan bahawa pada waktu itu berlaku pembohongan," kata Mahfuz.

Beliau menekankan bahawa Musa yang pada waktu itu adalah Menteri Dalam Negeri dan juga Timbalan Perdana Menteri mengakui pada waktu kejadian 19 November 1985, Dr Mahathir masih berada dalam negeri dan bukan berada di China sebagaimana dihebahkan kepada umum.

"Kedua, kata Tun Musa Hitam, beliau bukanlah pemangku Perdana Menteri pada waktu berlakunya peristiwa Memali seperti dilaporkan.

"Selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Tun Musa mengambil tanggung jawab sepenuhnya dan bersedia untuk mendedahkan fakta sebenar peristiwa Memali," kata beliau.

Mahfuz berkata, sepatutnya kerajaan membawa satu usul untuk menarik balik Kertas Putih itu dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Beliau mengingatkan tentang kesediaan Musa untuk memberikan keterangan sebenar berkaitan peristiwa Memali.

Sehubungan itu, Mahfuz mempertikaikan alasan Yang Dipertua Dewan menolak usul tersebut atas alasan kenyataan Musa itu dibuat di dalam forum.

"Sedangkan kenyataan beliau itu  konsisten. Dalam forum kemudian dibuat lagi penegasan beberapa hari selepas itu dalam kenyataan media yang bertulis," tegas Mahfuz.

Bagaimanapun, usaha Mahfuz membangkitkan perkara itu ditolak  Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

"Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 18(8) di mana usul yang ditolak tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh lagi dibaca dalam Majlis Mesyuarat," katanya.

Mandi bogel di penjara: Timbalan Menteri akui ia memalukan

Posted: 10 Apr 2014 03:19 AM PDT

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju dengan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berhubung isu banduan mandi berbogel di penjara satu perkara memalukan negara.

Berjanji untuk mengambil perhatian dengan aduan tersebut, Junaidi berkata beliau akan menghubungi pihak penjara, khususnya Penjara Pengkalan Chepa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut beliau, aduan yang mengatakan banduan diarahkan untuk mandi bogel bersama lebih 100 banduan lain itu akan disiasat, selain menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya ambil perhatian berkenaan aduan tersebut dan akan menghubungi rakan saya iaitu pihak penjara untuk penjelasan lanjut. Saya juga setuju perkara tersebut merupakan satu perkara yang memalukan negara," kata beliau ketika menjawab soalan Marzuk, di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Marzuk dalam soalan tambahannya memaklumkan kepada dewan bahawa beliau mendapat aduan daripada seorang banduan yang ditempatkan di blok kuarantin diarahkan berbogel di hadapan lebih 100 banduan lain di Penjara Pengkalan Chepa.

Selain menyatakan peranan penjara sebagai satu pusat untuk memulihkan banduan, Marzuk dalam masa sama mempersoalkan kemudahan solat kepada banduan, selain keperluan Suhakam untuk mengadakan lawatan ke penjara tanpa notis.

Menjawab soalan tersebut, Junaidi berkata kementerian sudah mengambil kira keperluan tersebut, bagaimanapun menetapkan keperluan memberi notis terse ut.

Katanya, notis itu diperlukan bagi memastikan pegawai atasan berada di pusat penjara ketika lawatan dari Suhakam bagi membolehkan dan memudahkan maklumat disalurkan kepada pihak berkenaan.

"Kalau tiada notis, kita bimbang waktu ada lawatan daripada Suhakam, pegawai tiada untuk memberikan maklumat yang sepatutnya," kata beliau.

Ambil alih syarikat konsesi: Selangor tetap tawar RM9.65 bilion

Posted: 10 Apr 2014 03:17 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Selangor tegas dengan pendirian bahawa nilai pengambilalihan syarikat konsesi air negeri itu tidak boleh melebihi tawaran asal RM9.65 bilion.

Ini kerana, peningkatan kos pengambilalihan akan memberi impak negatif kepada tarif air seterusnya membebankan lebih 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air berhubung rayuan yang dikemukakan dua syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) supaya menilai semula tawaran pengambilalihan yang telah tamat pada 10 Mac lalu.

"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dalam surat bertarikh 8 April 2014 memohon Kerajaan Negeri untuk memberi pertimbangan kepada rayuan yang telah dibuat oleh Puncak Niaga dan Syabas melalui surat mereka bertarikh 7 April 2014," ujarnya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri bersedia untuk melihat semula rayuan syarikat konsesi terbabit sebelum Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA) 2006 dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kos pengambilalihan yang dicadangkan tidak boleh melebihi RM9.65 billion," ujar Abdul Khalid.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri komited untuk terus bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi meneruskan usaha pengambialihan industri air Selangor melalui Seksyen 114.

"Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air atas kerjasama yang telah mereka berikan dalam menyelesaikan isu pengambilalihan industri air seperti yang dihasratkan dalam  Akta Perkhidmatan Air Selangor 2006.

"Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan berkaitan modus operandi yang perlu dilakukan bagi pelaksanaan pengambilalihan menurut Seksyen 114 akta tersebut," kenyataan beliau dipetik.

Tiada ulasan: