SIASAH |
Kehilangan MH 370, Malaysia dan politik serantau Posted: 16 Mar 2014 10:04 AM PDT Pencarian pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia yang hilang sejak lebih seminggu lalu kini memasuki fasa baharu, apabila tumpuan mula diberikan pada juruterbang pesawat MH 370 itu. Negara-negara yang terlibat kini meningkat jumlahnya daripada 14 ke 25 buah negara, menambahkan lagi kompleksiti dan implikasi politik insiden ini. Peristiwa ini sedang mula menampakkan kesannya kepada Malaysia dan politik serantau, yang turut melibatkan kuasa-kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat yang sentiasa peka terhadap perkembangan yang menyentuh kepentingannya. AS juga kini sedang memberi tumpuan kepada rantau Asia-Pasifik, yang meliputi seluruh kawasan dari Pasifik hingga ke Lautan Hindi, kawasan yang menjadi salah satu medan persaingan paling sengit dalam kalangan kuasa-kuasa Asia dan AS sendiri. Di kawasan luas ini, yang turut disebut sebagai wilayah Indo-Pasifik, AS sedang berusaha menangani kebangkitan China yang sedang mencabar kedudukan dominan AS, dan pada masa sama menguruskan negara-negara sekutu seperti India, Australia dan Malaysia. Pada masa yang sama, kawasan Asia Selatan dan Asia Tengah juga tidak terlepas daripada perhatian AS, yang menjadi satu medan pentingnya sejak peristiwa serangan 11 September, 2002. Kawasan ini menyaksikan AS dan Rusia dan juga China bersaing, dengan negara-negara di rantau ini mengimbangi hubungan dengan AS, Rusia dan China, seperti yang dilakukan antaranya oleh Pakistan, Afghanistan, dan Kyrgyzstan. Dalam misi mencari dan menyelamat, AS mempunyai kelebihan dari segi logistik dan kemampuan teknologi, yang telah diperlihatkan sejak tragedi tsunami pada 2004 hingga bencana taufan Haiyan yang melanda Filipina pada 2013. Kelebihan logistik AS untuk menjalankan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana jauh mengatasi negara-negara lain, disebabkan kesediaan aset-asetnya di rantau ini, dan ini memberikan kelebihan geopolitik kepada AS, seperti yang paling jelas diperlihatkan melalui bencana taufan di Filipina hujung tahun lalu. Kepentingan aspek bantuan kemanusiaan dan bencana ini semakin mendapat perhatian tentera AS, yang boleh membantu dalam diplomasi, selain manfaat geopolitik. Dalam misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia yang hilang ini, AS berkemampuan untuk memberi sumbangan yang besar dalam menemui pesawat itu. Sumbangan besar AS ini memberi kesan kepada hubungannya dengan Malaysia, yang walaupun memelihara hubungan baik dengan AS, turut mengimbangi hubungan dengan China. Dalam kalangan negara-negara Asia-Pasifik, Malaysia mungkin negara yang paling banyak mengimbangi hubungan dengan AS dan China, menjaga hubungan baik dengan kedua-dua kuasa dan mengelak daripada kelihatan terlalu memihak kepada satu kuasa. Satu contoh ialah pencerobohan kapal tentera laut China dekat James Shoal awal tahun ini. Malaysia menafikan pencerobohan berlaku, dipercayai dalam usaha untuk tidak memperbesarkan insiden ini, dan mungkin juga mengelak dimalukan dan pada masa sama menjaga sensitiviti dengan China. Peranan AS dalam misi mencari dan menyelamat MH 370 yang hilang itu berpotensi menjadikan Malaysia terhutang budi kepada AS, yang kini mempunyai agenda besar di rantau ini, antaranya rejim perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik. Kesan kepada hubungan Malaysia-AS ini juga menarik untuk diperhatikan memandangkan Presiden Barack Obama dijadual melawat Malaysia pada April nanti, yang bermakna isu-isu sekitar insiden kehilangan pesawat itu akan menjadi topik perbincangan. Apa pun, sekiranya pesawat yang hilang itu ditemui nanti, sama ada penemuan itu dengan semua atau sebahagian anak kapal masih hidup atau penemuan serpihan pesawat yang telah terhempas tanpa ada yang selamat, satu peristiwa besar politik dunia akan bermula, dengan pelbagai implikasi yang dijangka, dan mungkin juga tidak diduga. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan