DIALOG RAKYAT |
- Umno tandus pemimpin, tiada yang berani cabar Najib, kata bekas pengarang NST
- Mampukah pesawat MH370 membawa perubahan politik?
- Peristiwa Memali: Mangsa dakwa Dr Mahathir jadi dalang
- Zuraida umum tanding semula jawatan Ketua Wanita
- Pemilihan PKR: Empat Dijangka Rebut Jawatan Timbalan Presiden
- Karpal Undur Sebagai Pengerusi DAP, Sementara Tunggu Rayuan Kes Hasutan
- Masih ada harapan temui serpihan selepas 30 hari
- PRK Balingian: 60 peratus sudah keluar mengundi
- Rakyat Sarawak teruja, kagum kejayaan pengurusan Selangor
- Anwar sah bertanding Presiden PKR, Abdul Khalid Timbalan Presiden
- Kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan ternyata lemah
- Tiada pengundi hantu dalam PRK Kajang, kata pemantau
- PKR cabar Satem dedahkan senarai sekatan
- Kemalangan: Produk Lynas bertabur atas jalan
- Musa: Dr M ada di KL semasa peristiwa Memali
- Artis China berang dengan tindakan Malaysia
- Ribuan sertai bantahan hukuman mati 529 rakyat Mesir
- Sekat pemimpin KEADILAN masuk Sarawak bermotif politik, jahat
- Pemilihan KEADILAN: Rodziah umum tanding Ketua Wanita Pusat
- MH370 Terbang Lebih Laju Berbanding Andaian Awal - Hishammuddin
- Menunggu jawapan Mahathir mengenai Memali
- Raja Bomoh Kembali Lakukan Ritual Untuk MH370
- Shalwati-Azizul Dihukum Penjara Dera Anak Di Sweden
Umno tandus pemimpin, tiada yang berani cabar Najib, kata bekas pengarang NST Posted: 29 Mar 2014 01:19 AM PDT Apakah Umno terlalu ketandusan bakat kepimpinan sehinggga menyebabkan tidak ada yang mahu mencabarnya ketika kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dilihat sebagai paling lemah sekarang, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Abdul Kadir Jasin. Kadir dalam blognya The Scribe berkata, satu keanehan atau ironi kerana Najib adalah PM Malaysia yang paling buruk prestasi pilihan raya (sejak krisis 13 Mei 1969), tetapi tidak tercabar. "Adakah ini disebabkan oleh Umno ketandusan bakat kepemimpinan atau sudah menjadi begitu autokratik sehingga presiden tidak boleh dicabar lagi," katanya. Atau, katanya, adakah negara kita sebenarnya lebih terkongkong dan tidak bebas walaupun diuar-uarkan sebagai terbuka, liberal dan sederhana. Beliau berkata, keadaan ini mungkin boleh diterima oleh majoriti ahli dan penyokong Umno, tetapi sama ada ia akan diterima oleh pengundi dan rakyat jelata amnya adalah persoalan yang berbeza. "Sekali lagi mungkin ada dikotomi antara kedudukan Najib yang kukuh dan selamat sebagai PM dengan sokongan pengundi terhadap Umno dan BN," tulisnya. Kadir mengulas laporan pada Disember lalu mengenai populariti Najib mengikut kajian Merdeka Center jatuh kepada 52%. Sebanyak 67% daripada responden dalam kajian itu menyebut peningkatan kos sara hidup dan inflasi sebagai punca mereka hilang keyakinan terhadap Najib. Populariti beliau merudum di kalangan semua bangsa walaupun kejatuhan paling teruk adalah di kalangan orang India. Sokongan orang India terhadap Najib jatuh daripada 76% kepada 57% dan sokongan orang Cina jatuh 13% lagi kepada hanya 21%. Hatta orang Melayu yang menjadi penyokong utama beliau pun memberi penarafan yang lebih rendah – jatuh daripada 73% kepada 66%. Kadir berkata, penarafan dan kritikan nampaknya tidak menjejaskan kedudukan Najib sebagai PM. Tidak nampak ada cabaran yang berwibawa agar beliau mengundurkan diri daripada kerajaan dan parti. "Tidak seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang ditentang hebat oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan (Tun) Daim Zainuddin serta sekumpulan blogger pro-Umno selepas PRU 2008, Najib tidak menghadapi gerakan seperti itu," katanya. Malah, katanya, tidak ada siapa pun di kalangan kepemimpinan kanan Umno sekarang yang berminat menjadi PM. Katanya, ini berbeza daripada zaman Abdullah apabila Najib cukup berminat untuk mengambil alih jawatan nombor satu itu. | |
Mampukah pesawat MH370 membawa perubahan politik? Posted: 29 Mar 2014 01:17 AM PDT Adakah rakyat Malaysia masih mahu mencari kesalahan sesiapa secara politik selepas krisis MH370? Seorang penulis di laman web Al Jazeera berkata, pada masa ini ramai yang letih daripada segi emosi dengan apa yang berlaku dan apabila tiba saat semua jawapan terjawap dan kekeruhan jadi jernih, kehidupan pastinya sudah berjalan seperti biasa di Malaysia. "Sebaik saja tragedi itu selesai, bolehkah pengajaran di sebaliknya menjadi pemangkin kepada perubahan politik, atau sesuatu yang menyedarkan, yang amat Malaysia perlukan sekarang? "Adakah rakyat Malaysia akan mendesak jawapan lebih baik daripada kerajaan bermula sekarang – dan apa yang lebih penting bolehkah pemerintah yang elit sekarang berkhidmat lebih baik?" kata penulis sambilan, Zarina Banu dalam Al Jazeera minggu ini. Beliau berkata, komunikasi bercanggah dan tidak cekap mengenai pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika ia hilang dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac, masih belum ada bangkai atau serpihan dijumpai. Tetapi, katanya, rakyat Malaysia berpecah mengenai cara kepimpinan mengendalikan kejadian malapetaka itu – rekahan yang mencerminkan secara maya politik terbahagi 50-50 di antara kerajaan dan pembangkang. "Di kawasan luar bandar, populasi yang bergantung kepada kerajaan percaya kerajaan melakukan kerja terbaik. Demografi ini mendorong kepada Umno, parti Melayu yang memerintah dan ditunjukkan oleh betapa tenangnya pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein, yang tabah berdepan dengan media dunia. "Hakikatnya, ramai rakyat Malaysia berpendapat media antarabangsa memberikan laporan yang tidak wajar. Malam demi malam, emosi ahli keluarga warga China disiarkan di media negara itu, sementara Amerika Syarikat (AS) menerusi parti Republican dan Democrat mendesak pembabitan yang lebih AS dalam mencari dan penyiasatan tragedi itu," tulis Zarina. Beliau berkata, rakyat Malaysia berpendapat syarikat penerbangan negara itu bersusah payah melayan keluarga 239 penumpang pesawat Boeing 777 itu dengan baik dan penuh sensitiviti. Malaysia Airlines, yang hingga kini memegang reputasi sebagai antara syarikat penerbangan terbaik di Asia Tenggara adalah kebanggaan ramai rakyat Malaysia, katanya. Tetapi, Zarina berkata, populasi Malaysia di kawsan bandar yang lebih bersikap analitikal adalah lebih sinikal. "Apabila masuk hari ke-19 tragedi itu, mereka mahu tahu mengapa, di sebalik semua kelengkapan komunikasi terhebat abad ke-21, Malaysia dengan semua negara yang membantu, boleh "hilang" pesawat itu. "Kegagalan Tentera Udara Diraja Malaysia memintas pesawat itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia rasa tidak selamat dan malu dengan kekurangan pasukan tentera mereka," katanya. Pakatan Rakyat menekan kerajaan di Parlimen mengenai pasukan tentera, dan mereka dikatakan memainkan politik partisan ketika tragedi melanda, tulis Zarina. "Pesongan mencari kesalahan dan kesombongan dalam kepimpinan Malaysia pada hari-hari awal kekecohan itu menyakitkan dan mengingatkan kepada sikap parti pemerintah, Umno dan gabungannya. "Bangsa dan agama digunakan setiap hari untuk memecahkan hubungan antara tiga kumpulan etnik. Hari ini, tidak seperti zaman 1970-an dan 1980-an, amat sedikit pergaulan antara Melayu, India dan Cina. "Negara itu kini mempunyai guru Melayu yang menyuruh generasi ketiga, keempat dan kelima kaum Cina dan India yang lahir di Malaysia untuk balik ke negara nenek moyang mereka," tulisnya. Beliau berkata, Malaysia menjadi rumah kepada populasi muda – iaitu daripada 29 juta orang, kira-kira 11.5 juta berumur antara 10 hingga 29 dan ramai yang menggunakan media sosial untuk "meluahkan kesedihan dan menekan kerajaan untuk berubah daripada pemikiran lama". "Tetapi tanpa fraktur institusi dan perubahan kerajaan, sejauh manakah kehilangan pesawat itu mencetuskan reformasi politik yang kukuh? "Pembangkang akan terus mendesak jawapan mengenai bagaimana pesawat itu tidak dikesan untuk masa yang lama, tetapi sama ada kerajaan boleh memberikan maklum balas yang boleh dipercayai dipertikaikan. "Sebaik saja kehangatan tragedi ini berakhir dan media antarabangsa meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke tempat lain, kerajaan tidak syak lagi akan kembali kepada cara lamanya," tulis Zarina. "Adakah rakyat Malaysia akan mencari kesalahan politik selepas krisis itu? Pada masa ini, ramai yang letih daripada segi emosi. Mereka tidak pernah mengalami trauma seperti ini yang mendapat perhatian dunia. "Sama seperti keluarga mereka, rakyat Malaysia mengharapkan bukti kukuh pesawat itu dan apa yang membuatnya terhempas akan memberikan penutup kepada tragedi itu. "Hanya pada ketika itu mereka boleh mula melihat kepada kesannya. Tetapi, hingga tiba waktu itu, ia mungkin sudah terlalu lewat dan daripada malapetaka itu bertugas sebagai pemangkin perubahan, keadaan sudah menjadi seperti biasa," katanya | |
Peristiwa Memali: Mangsa dakwa Dr Mahathir jadi dalang Posted: 29 Mar 2014 01:09 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Susulan pendedahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, keluarga dan mangsa tragedi Memali melahirkan rasa kesal mereka dengan penggelapan berita selama ini lalu membuat kesimpulan Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin adalah dalang sebenar peristiwa ini dan Musa hanya kambing hitamnya. Salah seorang mangsa, Yusof Che Mid dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider berkata, "Kalau begitu, bagi saya Dr Mahathir mastermind dalam kes ini." "(Tun) Musa hanya kambing hitam sahajalah kalau begitu," kata Yusof kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi di rumahnya di Baling. Yusof adalah dua orang kanan Ustaz Ibrahim Libya yang cuba ditangkap oleh kerajaan ketika peristiwa pada 1985 itu. Di Parlimen, sehari selepas kejadian, Musa ketika itu yang juga menteri keselamatan dalam negeri berkata operasi itu adalah untuk menangkap tiga "penjenayah" iaitu Ustaz Ibrahim dan dua penyokongnya, Mat Ramli Che Mid dan Yusuf Che Mid. Bagaimanapun, Ramli dan Yusuf tidak ada di rumah Ustaz Ibrahim ketika polis menggempur rumah itu yang mengorbankan 14 nyawa. Selepas hampir 30 tahun peristiwa Memali berlaku, Musa mendedahkan Dr Mahathir yang juga perdana menteri ketika itu berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini. Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain cedera. Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran kerajaan negeri Kelantan yang diadakan di Kota Baru, malam kelmarin. Turut serta sebagai panel ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa manakala Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu dan berkata:"Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur." Sebelum ini, semua maklumat yang disebarkan ialah Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu | |
Zuraida umum tanding semula jawatan Ketua Wanita Posted: 29 Mar 2014 12:58 AM PDT Kami ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Wanita kami, YB Zuraida Kamaruddin kerana telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sebagai Timbalan Pengarah Pilihanraya Kecil Kajang. KEADILAN DAILYSehubungan dengan itu, kami juga ingin memberi sokongan penuh dan penghargaan tinggi kepada YB Zuraida kerana sudi bertanding semula jawatan sebagai Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).Oleh kerana KEADILAN mengamalkan pemilihan parti secara langsung berdasarkan konsep satu ahli satu undi, kami yakin bahawa sokongan akar umbi kuat terhadap YB Zuraida. Pemilihan parti merupakan sebuah proses demokrasi yang mustahak untuk membentukkan sikap ataupun kebudayaan politik yang matang. Kami berharap bahawa kesinambungan YB Zuraida sebagai Ketua Wanita akan turut disokong oleh anggota-anggota lain dari semua lapisan dari peringkat cabang sehingga ke peringkat pusat. Noor Sham Abu Samah Naib Ketua Wanita Pusat Poziyah Hamzah Ketua Wanita Perlis Fathmawaty Salim Ketua Wanita Perak Norhayati Jaafar Ketua Wanita Pulau Pinang Noraini Haji Husin Ketua Wanita Kelantan Mahani Masban Ketua Wanita Melaka | |
Pemilihan PKR: Empat Dijangka Rebut Jawatan Timbalan Presiden Posted: 29 Mar 2014 12:54 AM PDT Oleh: JOCELINE TAN PETALING JAYA: Empat bakal menggegarkan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu apabila kesemuanya dijangka akan merebut jawatan timbalan presiden sebaik sahaja proses pencalonan dibuka pada pukul 8 pagi. Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution dijangka akan membuat kejutan untuk menyertai perebutan jawatan itu bagi mencabar penyandangnya, Azmin Ali. Pencabar lain adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Abdul Ibrahim dan penyandang Naib Presiden, Tian Chua. Tetapi faktor yang mengejutkan adalah Saifuddin yang dikatakan mempunyai sokongan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden, dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan Presiden parti selama 15 tahun, yang akan memberi laluan buat suaminya. Pencalonan parti pada Sabtu melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 kerusi jawatankuasa pusat. Pemilihan akan diadakan dalam mesyuarat peringkat cawangan dari 25 April hingga 11 Mei. Keputusan pemilihan parti akan diketahui pada 13 Mei. | |
Karpal Undur Sebagai Pengerusi DAP, Sementara Tunggu Rayuan Kes Hasutan Posted: 29 Mar 2014 12:51 AM PDT MSTAR ONLINE PETALING JAYA: Karpal Singh mengundurkan diri sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan kes di bawah Akta Hasutan baru-baru ini. Timbalan pengerusi parti itu Tan Kok Wai, yang juga Ahli Parlimen Cheras, akan menjadi pemangku pengerusi. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Karpal berkata, beliau tidak dapat memegang jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP, sehingga sabitan itu diketepikan atau dikurangkan denda di bawah RM2, 000. "Dalam keadaan ini, saya secara terbuka mengumumkan bahawa saya, sementara menunggu rayuan saya kepada Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang telah difailkan, saya mengundurkan diri sebagai pengerusi DAP. "Sementara itu, timbalan pengerusi, Tan Kok Wai, akan bertindak pengerusi," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam kenyataan itu. Bagaimanapun, Karpal berkata, beliau tidak akan merendahkan dirinya dengan memohon kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk dari permohonan kelayakan sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan. "Saya akan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya. Pemimpin DAP itu didenda RM4, 000 oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Mac , di bawah Seksyen 4 (1 ) (b ) Akta Hasutan 1948, kerana mempersoalkan pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak oleh Sultan Perak pada 6 Februari 2009. | |
Masih ada harapan temui serpihan selepas 30 hari Posted: 29 Mar 2014 12:46 AM PDT Imej daripada Jabatan Pertahanan Australia semalam menyebabkan seluruh perhatian daripada kapal laut tentera Australia yang membuat rondaan menumpu kepada objek yang timbul di sekitar kawasan carian MH370. Foto EPA Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Leftenan Kolonel (B) Mohd Ramly Mohd Ajir berkata, kecanggihan teknologi dan peralatan yang ada masa kini tidak mustahil untuk membolehkan serpihan pesawat berkenaan ditemui. "Walaupun hanya serpihan kecil, pakar-pakar yang telah ditugaskan mampu mengenal pasti adakah itu milik MH370 atau bukan contohnya dari segi warna dan stukrturnya," katanya kepada Sinar Harian. Kelmarin operasi SAR, di Selatan Lautan Hindi dihentikan berikutan cuaca buruk yang boleh membahayakan pasukan mencari itu. Malah keduduknya yang jauh juga menyebabkan, pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa selama empat jam perjalanan pergi dan dua jam bagi menyelesaikan operasi sebelum kembali semula ke pengkalan. Ditanya kemungkinan pesawat itu terbakar dahulu sebelum terhempas di lautan, adakah masih ada harapan untuk menemui serpihan pesawat itu, Mohd Ramly berkata, agak mustahil untuk sebuah pesawat Boeing 777-200ER terbakar secara keseluruhan. "Pesawat ini besar, mustahil untuk terbakar semua, akan ada mana-mana serpihan yang mungkin mendap di dasar laut. Selain itu kesan manusia juga masih boleh ditemui walaupun dalam tempoh yang lama," katanya. Mengulas mengenai kotak hitam, beliau berkata, kotak hitam yang dipasang pada pesawat itu mampu bertahan lama dan boleh dikesan pihak berkuasa tidak lama lagi. "Walaupun keadaan di Lautan Hindi itu berlurah dan berombak kuat, namun kotak hitam yang itu mampu bertahan 3,400 kali hentakan daripada berat jisimnya," katanya. | |
PRK Balingian: 60 peratus sudah keluar mengundi Posted: 29 Mar 2014 12:44 AM PDT Orang ramai berbaris menunggu giliran untuk mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah di Mukah hari ini. - Foto Bernama MUKAH - Pilihan raya kecil (PRK) Dun Balingian dianggap mencatat sejarah pilihan raya di negara ini apabila jumlah mereka yang keluar mengundi setakat tengah hari sudah mencecah 60 peratus iaitu 8,014 daripada 13,233 pemilih berdaftar. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu ialah yang tertinggi dan tidak pernah dicatat dalam pilihan raya umum atau PRK sebelum ini. "PRK Kajang sehingga 12 tengah hari hanya 40 peratus turun mengundi tetapi pada PRK Balingian pada pukul 11 pagi 53 peratus atau 7,085 pengundi dah keluar mengundi, ini satu sejarah amat baik. "Jika berterusan kita yakin apabila pusat-pusat pengundian ditutup pada sebelah petang ini akan mencapai sasaran 80 peratus yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya kepada pemberita di sini. Beliau juga berkata, proses pengundian pada sebelah pagi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan provokasi. "Ada isu teknikal seperti pengundi yang memeluk agama Islam menggunakan nama lain tetapi dalam MyKad nama lain dan ada seorang pengundi kad pengenalan rosak tetapi ingat nombor kad pengenalan namun ini berjaya diselesaikan,"katanya. Beliau berkata, SPR juga sedang menyiasat dakwaan seorang pemilih yang datang untuk mengundi namun namanya tiada dalam senarai daftar pemilih walaupun pernah mengundi di kawasan sama sebanyak dua kali. "Kita akan semak dengan teliti sama ada dakwaan itu benar atau bohong, biasanya jarang berlaku nama pengundi dipotong atau dipindahkan ke tempat lain," katanya lagi. - Bernama | |
Rakyat Sarawak teruja, kagum kejayaan pengurusan Selangor Posted: 29 Mar 2014 12:34 AM PDT Oleh: ASRI SAPFIE SHAH ALAM: Kejayaan serta kecekapan Selangor dalam menjaga kebajikan rakyatnya terus menarik perhatian masyarakat di negeri lain. Kira-kira 30 orang rakyat Sarawak dalam satu sesi lawatan ke Selangor melahirkan rasa teruja dan kagum dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dijalankan di negeri itu. Dalam lawatan singkat itu, mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang disusun Kerajaan Selangor bagi memastikan kebajikan rakyat negeri itu sentiasa di tahap yang optimum. Antara aktiviti yang menarik minat mereka adalah Program Pemberdayaan Wanita (PWB) di bawah kendalian Exco Wanita dan Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail, yang memberi peluang kepada golongan terbabit meningkatkan taraf hidup keluarga dengan aktiviti yang menjana pendapatan sampingan seperti kraftangan dan urutan. Pada program lawatan selama seminggu itu, wakil dari Sarawak berkenaan dapat belajar cara penanaman sayuran, memasak kuih tradisional dan penerangan aspek keselamatan wanita, yang mana semua aktiviti itu anjuran PWB cawangan Batu Tiga. Rodziah berkata, rakyat di negeri Serawak sudah mula berfikiran terbuka dan sentiasa mencari sesuatu yang dapat memajukan diri serta ekonomi mereka di sana. "Program lawatan ini adalah hasil inisiatif mereka sendiri dan kita menerima kedatangan semuanya dengan hati yang terbuka. "Mereka akan jadi duta kecil untuk Selangor. Setiap pengalaman mereka di sini sedikit sebanyak dapat membuka mata penduduk di Sarawak berkenaan pelaksanaan program dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat mampu lakukan," katanya. -NFN- | |
Anwar sah bertanding Presiden PKR, Abdul Khalid Timbalan Presiden Posted: 29 Mar 2014 12:31 AM PDT Oleh: LIZAWATI MADFA PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sah bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti itu kali ini. Sekitar jam 11 pagi tadi, borang pencalonannya diserahkan Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong di ibu pejabat parti, di sini. Pencalonan beliau dicadang bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan disokong Chee Chong sendiri. Pengumuman senarai calon dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul dalam satu sidang media ringkas pada jam 12 tengahari tadi. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang juga bakal ditandingi Tian Chua. Untuk jawatan Naib Presiden, enam pencalonan diterima setakat ini dan mereka adalah Fuziah Salleh, Datuk Dr Mansor Othman, Baru Bian, N Surendran, Suresh Kumar, dan Mustafa Kamil Ayub. Bagaimanapun, senarai calon yang diumumkan mungkin bertambah kerana tempoh akhir untuk menyerahkan borang penamaan calon adalah pada 5 petang ini. Bagi peringkat cabang, tarikh penamaan calon dibuat selama dua minggu mengikut zon masing-masing, bermula 4 April hingga 13 April ini. Tarikh pengundian pemilihan akan berlangsung selama tiga minggu mengikut pecahan zon bermula 25 April dan berakhir 11 Mei ini. Barisan kepimpinan PKR 2014 akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei ini selepas proses pengundian di seluruh negara selesai.-NFN- | |
Kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan ternyata lemah Posted: 29 Mar 2014 12:26 AM PDT Isu bahasa bukan isu utama masyarakat Cina untuk terus mengekalkan sekolah vernakular. SHAH ALAM: Isu bahasa bukanlah isu utama yang menyebabkan masyarakat Cina berhasrat untuk terus mengekalkan sekolah vernakular, tetapi isu mutu pendidikan yang diterima mereka di sekolah kebangsaan. Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, terdapat dua faktor yang menyebabkan masyarakat Cina terus menghantar anak mereka ke sekolah vernakular berbanding dengan sekolah kebangsaan. Faktor pertama adalah kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan yang ternyata lemah, dan faktor kedua pula adalah dari sudut psikologi pelajar bukan berbangsa Melayu itu. "Apabila ada pelajar bukan Cina memasuki sekolah kebangsaan, mereka seolah-olah dipinggirkan, bukan sahaja dipinggirkan oleh rakan sebaya, tetapi juga guru-guru, "Sekolah kebangsaan kini, bukan lagi sekolah untuk seluruh masyarakat, tetapi lebih tertumpu kepada sekolah kepada bangsa Melayu," ujarnya. Bagi Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau menyifatkan bahawa terdapat banyak salah faham dan kekeliruan, terutama daripada bangsa Melayu mengenai sekolah vernakular. "Mereka ingat sekolah vernakular ini adalah digunakan untuk meracun fikiran anak-anak Cina sepertimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang meracun fikiran anak-anak Melayu untuk membenci Cina," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku "Masa Depan Masa Kita" yang dikarang oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim. Malah beliau turut menjelaskan bahawa, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina bukan semata-mata inginkan anak-anak mereka belajar bahasa, tetapi menginginkan anak-anak mereka berdisiplin seperti disiplin diri, dan juga disiplin dalam menguruskan masa. "Ternyata sekolah kebangsaan tidak mampu dan tidak dapat memberikan pendidikan seperti ini kepada pelajar-pelajar berbangsa Cina dan Melayu khususnya," Ujarnya. | |
Tiada pengundi hantu dalam PRK Kajang, kata pemantau Posted: 29 Mar 2014 12:25 AM PDT Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu. PETALING JAYA: Badan bebas pemantau pilihan raya(Mafrel) mendakwa pengundi Kajang berpuas hati dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya kecil 23 Mac lalu. Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu. Setiausaha Mafrel Arphan Ahmad berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berdasarkan laporan mengenai pilihan raya Kajang. Mafrel mempunyai pengalaman luas dalam pemantauan pilihan raya di negara ini. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengalahkan Naib Presiden MCA, DAtuk Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi. Arphan berkata, 11 sukarelawan Mafrel telah menjalankan tugas-tugas memerhati proses pembuangan undi pada 23 Mac dan mereka dibahagikan kepada tiga pasukan. "Dalam pemerhatian Mafrel isu dakwat kekal tidak timbul kerana pengundi puas hati dengan dakwat yang digunakan. "Insiden pengundi hantu juga tidak timbul, atau sekurang-kurangnya tiada apa-apa laporan atau aduan yang dapat dikesan atau diterima oleh pemerhati Mafrel. "Pondok panas juga tidak kelihatan di kebanyakan pusat mengundi, sebaliknya parti-parti bertanding banyak menggunakan rumah-rumah kedai, warung, rumah-rumah kediaman dan payung pacak sebagai pusat-pusat operasi mereka. "Petugas Mafrel bagaimanapun telah melaporkan satu insiden di mana pekerja parti telah ditahan oleh anggota PDRM kerana enggan menurunkan khemah yang didirikan sebagai pondok panas dalam kawasan larangan," katanya. Kelakuan penyokong Arphan menambah, kelakuan penyokong-penyokong parti bolehlah dikatakan sebagai terkawal walau pun terdapat juga kata-kata kasar dan agak lucah yang dituturkan, serta perbuatan lucah yang dipamerkan. Bagaimanapun, insiden-insiden tersebut tidaklah sebegitu hebat seperti mana yang pernah berlaku di pilihan-pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sebelum ini. Sebagai contoh, di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras, pihak PDRM di atas nasihat petugas Mafrel telah memisahkan penyokong kedua parti yang bertanding dan ini telah melegakan dan meredakan suasana yang agak tegang sebelum itu. Beliau berkata, jumlah pegawai keselamatan (PDRM) yang bertugas jelas kurang dari PRK-PRK yang lalu. Begitu juga penampilan penempatan mereka tidak begitu kelihatan, mungkin kerana berdekatan dengan markas sedia ada seperti Markas Pasukan Gerakan Am di Cheras. Namun katanya, kehadiran pasukan unit simpanan persekutuan (FRU) dan Light Strike Force (LSF) dalam jumlah yang besar boleh mencetuskan perasaan takut atau intimidasi kepada pengundi-pengundi. "Ini berlaku di Pusat-pusat Mengundi di kawasan Sungai Chua yang majoritinya adalah pengundi Cina. Walau bagaimana pun sekiranya difikirkan perlu oleh pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan maka mereka harus ditempatkan dengan jumlah yang bersesuaian tanpa mengganggu-gugat pengundi," katanya lagi. 7. Arphan berkata, penyokong parti masih lagi menggunakan kanak-kanak untuk berkempen seperti di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat terdapat sekumpulan kanak-kanak yang menunggang basikal membawa bendera parti. Juga ada laporan dari petugas Mafrel berkaitan dengan kanak-kanak tersebut bertanyakan di mana mereka harus pergi untuk mendapatkan bayaran `wang minyak' yang dijanjikan. Krew tv masuk kawasan larangan "Petugas Mafrel juga menerima aduan dari seorang pekerja parti mengenai tindakan petugas SPR yang dirasakan tidak adil apabila membenarkan krew dari Stesyen TV3 memasuki kawasan larangan pusat mengundi dan membuat liputan dan penggambaran dalam kawasan tersebut. "Malangnya petugas Mafrel tidak dapat menghubungi ketua tempat mengundi atau pegawai PDRM yang bertugas di pusat tersebut untuk menyampaikan aduan/bantahan tersebut," katanya lagi. Arphan menambah, kemudahan untuk warga emas dan pengundi-pengundi OKU seperti kerusi roda, walau pun disediakan, tidak begitu efektif dan tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka yang disasarkan. Katanya, petugas Mafrel juga melaporkan bahwa kawalan keluar masuk ke kawasan larangan (zon 50 meter) di SK Sungai Sekamat sangat lemah. Petugas dapat lihat kenderaan-kenderaan jabatan-jabatan kerajaan, kenderaan TNB dan juga individu keluar masuk tanpa diperiksa. Ini mengundang syak wasangka mungkinkah kenderaan-kenderaan tersebut membawa pengundi hantu. Cadangan Mafrel Berikutan itu, Mafrel mencadangkan, jumlah petugas keselamatan perlu dikurangkan dan penampilan mereka dari segi senjata dan kelengkapan perlu berkadar dengan suasana untuk mewujudkan suasana terbuka di mana tiada perasaan takut dan curiga di kalangan pengundi-pengundi. 2. Pegawai keselamatan akan lebih efektif sekiranya ditempatkan untuk mengawal penyokong-penyokong parti. Pada kali ini disebabkan ketiadaan petugas-petugas dari Unit Amal daripada PAS kelihatan di setengah tempat suasana agak tegang, walau pun terkawal. "Di pusat mengundi SK Sungai Sekamat telah berlaku sedikit kekacauan (scuffle) melibatkan seorang menteri pusat dan penyokong parti-parti bertanding. "Pihak keselamatan perlu membuat perancangan untuk memisahkan penyokong-penyokong parti. Pengalaman telah menunjukkan bahawa membiarkan mereka berhadapan akan mengundang masalah dan kekacauan. "Pihak Keselamatan juga perlu merancang untuk mempastikan perjalanan dan aliran trafik adalah baik dan tidak mengganggu pengundi-pengundi dan penduduk tempatan. Di Sungai Sekamat, penduduk tempatan berang apabila kereta mereka tidak dibenarkan masuk ke jalan menghala ke rumah mereka. 4. Tempoh bertenang seharusnya dihormati (walaupun satu hari sahaja pada hari mengundi) di mana tiada lagi kempen dan meraih undi boleh berlaku. Ini supaya pemilih boleh keluar mengundi dengan tenang tanpa desakan, tekanan dan kesusahan," kata Arphan lagi. | |
PKR cabar Satem dedahkan senarai sekatan Posted: 28 Mar 2014 06:33 PM PDT PKR mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengemukakan senarai nama pemimpin PR yang dihalang daripada memasuki negeri itu. PETALING JAYA - [VIDEO] PKR mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengemukakan senarai nama pemimpin PR yang dihalang daripada memasuki negeri itu. Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mendakwa ketua menteri baharu itu sepatutnya bukan sahaja berani menyalahgunakan kuasanya bahkan perlu telus dengan menyenaraikan sekatan itu secara terbuka. "Saya desak kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan balas apabila menghalang saya memasuki Sarawak semalam sedangkan maklumat awal mengatakan nama saya tiada dalam senarai itu (sekatan). "Tindakan itu menunjukkan keterdesakan BN Sarawak yang takut pimpinan PR masuk berkempen dan ia juga memburukkan imej BN kerana mengekang rakyat bergerak bebas," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan Jabatan Imigresen Sarawak semalam yang menyekat perjalanannya ke Sibu sekali gus menghalangnya daripada membantu calon PKR, Abdul Jalil Bujang berkempen pada PRK N51 Balingian. Selain beliau, tiga lagi pemimpin kanan PKR yang telah disekat masuk pada Selasa lalu termasuklah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang. Tambah Zuraida, beliau merupakan individu keempat yang dihalang memasuki negeri itu selepas beliau ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 2.30 petang semalam. "Saya orang pertama yang diberikan notis penolakan masuk ke Sarawak selepas saya meminta pihak Imigresen memberikan sebab halangan itu. "Sebelum perjalanan ke Sibu, saya mengetahui nama saya tidak tersenarai tetapi bila cuba melepasi pintu masuk, saya terus ditahan dan dibawa ke pejabat polis dan imigresen," katanya. Dalam pada itu, Zuraida juga mendakwa halangan yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin kanan PR ke Sarawak akan terus digunakan pada pilihan raya negeri itu menjelang 2015. Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa, taktik kotor itu akan terus diguna pakai bagi menghalang kemaraan PR dan menjamin kemenangan BN pada PRK negeri. "Pimpinan Tan Sri Adenan Satem akan terus menggunakan sekatan itu terhadap kami (PR) dalam PRK Sarawak pada 2015 supaya mereka kekal berkuasa di negeri itu. "Ketua Menteri (Sarawak) cuba tunjuk kuasa dan salah guna jawatannya untuk menafikan hak orang lain bergerak bebas ke negeri itu," katanya lagi. | |
Kemalangan: Produk Lynas bertabur atas jalan Posted: 28 Mar 2014 06:24 PM PDT MALAYSIAKINI Satu kemalangan yang membabitkan sebuah lori yang membawa produk nadir bumi Lynas, mengakibatkan ia bertabur atas jalan persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan di Lanchang, Pahang, pagi ini dan ditutup kepada lalulintas. Ketua Polis Daerah Temerloh, Abdul Aziz Salleh berkata pihak berkuasa menerima laporan mengenainya pada jam 9 pagi ini dan ia berlaku di kilometer 149 jalan tersebut berhampiran Lanchang. Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata lori itu membawa 15 bekas berisi cecair kimia, iaitu PrND Chloride, dan 13 daripadanya bertaburan di atas jalan raya. Beliau berkata, empat daripadanya pecah dan menyebabkan cecair kimia tumpah ke atas tanah. Apabila ditanya sama ada cecair kimia itu dianggap berbahaya, Abdul Aziz berkata ia adalah "tidak begitu berbahaya" tetapi akan berasa gatal jika menyentuhnya. Katanya lagi, cecair itu tidak boleh masuk ke dalam air dan jika ia masuk ke dalam sungai, ikan di dalamnya mungkin mati, tetapi menurutnya tidak ada sungai di situ. Beliau berkata tempat itu dineutralkan oleh sepasukan pakar dari Lynas dan juga Pasukan Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART). Abdul Aziz berkata, kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kecuaian pemandu yang tidak mengikat dengan baik barang-barang tersebut. Katanya, pihak polis akan menyiasat kes itu mengikut peraturan 19 Peraturan Lalulintas 1959 (barang muatan jatuh dari kenderaan). Bagaimanapun, pengurus besar perhubungan awam komunikasi Lynas Malaysia, Amin Abdullah menegaskan bahawa produk nadir bumi itu selamat dan tiada radioaktif. "Kami tidak tahu sama ada pemandu itu memandu laju atau sebab-sebab lain," katanya sambil menambah kemalangan yang berlaku pagi ini tidak mengakibat kecederaan atau maut. Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Amin berkata, produk tersebut tidak berbahaya dan ianya disahkan selamat untuk diangkut ke luar negara dan semua sijil ada. Ketika diminta mengulas kenyataan polis bahawa cecair itu boleh membunuh ikan, Amin enggan mengulas kerana beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat tersebut. "Jika anda berkata produk ini akan menyebabkan kegatalan pada kulit manusia, maka seseorang yang sensitif juga akan berasa gatal selepas mereka makan udang," katanya. Menurut Amin, lori itu membawa produk tersebut dari loji Lynas di zon perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, ke Pelabuhan Klang untuk dieksport kepada pelanggan luar negeri. Beliau juga menerangkan bahawa ia bukan merupakan hasil akhir kerana pelanggan mereka perlu memprosesnya semula. Tambahnya, lori itu bukan milik Lynas tetapi dari sebuah syarikat pengangkutan dan pasukan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar telah dihantar ke tempat kejadian untuk membersihkan cecair tersebut. | |
Musa: Dr M ada di KL semasa peristiwa Memali Posted: 28 Mar 2014 06:21 PM PDT Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa melakukan lawatan rasmi ke China sewaktu berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 1985 yang mengakibatkan 18 orang terkorban. Dan hampir tiga dekad selepas peristiwa itu berlaku, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa Dr Mahathir berada di ibunegara ketika kereta perisai menuju ke kampung terpencil di Baling, Kedah itu untuk melumpuhkan satu kumpulan agama yang diketuai oleh Ibrahim Mahmud, yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya. Malah, Musa dilaporkan memberitahu satu forum di Kota Bharu malam tadi dan petikannya dimuat naik di Youtube, bahawa Dr Mahathir masih berada di Kuala Lumpur pada hari kedua, ketiga dan keempat selepas peristiwa tersebut. Apabila mendengar ini, forum moderator Mohammad Agus Yusof berkata: "Oh my God." Kira-kira 400 anggota polis menyerbu kampung itu pada 19 November 1985 selepas berdepan dengan penduduk kampung yang enggan menyerahkan Ibrahim kepada pihak berkuasa yang menuduhnya sesat. Serbuan itu mengakibatkan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terbunuh. | |
Artis China berang dengan tindakan Malaysia Posted: 28 Mar 2014 05:24 PM PDT MALAYSIAKINI Selebriti ternama China termasuk pelakon Zhang Ziyi secara terbuka menyatakan kemarahan ke atas tindakan Malaysia menangani isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Para artis tersebut menyatakan demikian di laman Weibo – sejenis laman sosial seperti Twitter – untuk mengutuk Malaysia dan menggesa agar warga China memboikot produk Malaysia. "Kerajaan Malaysia, anda menyakiti dunia! Kami mencari pesawat tetapi anda mengutamakan masa (demi politik). "Kerajaan Malaysia, anda salah. Anda salah kerana tidak memikul tanggungjawab sepatutnya sebagai kerajaan. Anda salah kerana mengutamakan usaha politik berbanding menghormati nyawa. "Anda salah kerana tidak menghormati usaha seluruh dunia, termasuk usaha China untuk mencari kebenaran," tulisnya dalam Weibo. Salah seorang penumpang dalam pesawat malang tersebut adalah perekatari dan pelakon lagak ngeri popular Ju Kun yang pernah bekerjasama dengan Zhang. Sementara itu, seorang lagi selebriti nyanyian negara itu, Chen Kun mengumumkan bahawa beliau tidak lagi menghormati kerajaan Malaysia. Chen berkata beliau akan memboikot keseluruhan produk Malaysia. Tulisan berkenaan muncul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hari Isnin lalu mengumumkan pasukan penyiasat percaya penerbangan MH370 berakhir di tengah Lautan Hindi – jauh dari sebarang daratan. Ia selari dengan sentimen para waris penumpang warga China, yang berarak dan berhimpun di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing untuk menuntut penjelasan MAS. Laporan menyebut kumpulan ahli keluarga penumpang itu melaungkan "Kerajaan Malaysia bohong pada kami" dan "Malaysia, kembalikan keluarga kami" sambil berarak secara aman dan mempamerkan kain rentang. | |
Ribuan sertai bantahan hukuman mati 529 rakyat Mesir Posted: 28 Mar 2014 05:13 PM PDT FOTO MOHD NASIR SUDIN KUALA LUMPUR: Pemimpin politik dan NGO bersama ribuan orang ramai menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini. Mereka mula berarak ke pejabat kedutaan selepas solat Jumaat sebagai membantah hukuman mati yang djatuhkan mahkamah Mesir di Minya kepada 529 rakyat negara itu, Isnin lalu. Beberapa pemimpin menyampaikan ucapan pada himpunan tersebut. | |
Sekat pemimpin KEADILAN masuk Sarawak bermotif politik, jahat Posted: 28 Mar 2014 05:11 PM PDT Oleh: Rusnizam Mahat KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang pemimpin KEADILAN memasuki negeri itu adalah bermotif politik dan berniat jahat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. "Sebagai parti politik berdaftar, KEADILAN sepatutnya dibenarkan bergerak bebas ke seluruh negara termasuk di Sarawak. "Kenyataan ketua menteri Sarawak bahawa larangan masuk seperti itu dengan alasan akan menimbulkan huru-hara, atau kacau ganggu dan memberi kesan buruk kepada hubungan kaum, jelas bermotif politik dan berniat jahat serta tidak pernah dibuktikan pun," ujarnya ketika dihubungi. Saifuddin disekat memasuki Sarawak ketika tiba di Sibu pada jam 11 pagi, 25 Mac lalu dan dimaklumkan bahawa satu arahan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak untuk menyekat beliau daripada memasuki negeri itu. Turut menerima nasib sama ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan terbaru Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin. Menurut Saifuddin, tidak pernah berlaku tindakan menghalang pemimpin pembangkang dari semenanjung untuk menyertai mana-mana kempen pilihan raya kecil di bumi kenyalang. "Tak pernah ada masalah selama ini untuk masuk ke negeri Sarawak sejak KEADILAN ditubuhkan pada tahun 1999. "Saya percaya ia sekadar mengesahkan BN Sarawak semakin gentar terhadap pengaruh parti KEADILAN, dan kesedaran rakyat negeri Sarawak yang menerima baik parti KEADILAN," ujarnya menambah ini adalah kali pertama beliau dilarang memasuki negeri berkenaan. Katanya lagi, larangan itu juga menunjukkan Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem bimbang dengan kemaraan KEADILAN, menjelang Pilihan Raya Kecil negeri itu yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi. "Satu cara digunakan oleh Adenan Satem untuk menyekat kemaraan parti KEADILAN adalah dengan cara mengenakan sekatan masuk terhadap pemimpin KEADILAN ke Sarawak. "Adenan Satem terlepas peluang untuk keluar dari kepompong Taib Mahmud dan hanya menjadi penerus kepada pengaruh dan polisi Taib Mahmud. Anehnya kita tak pernah hadapi masalah sebelum ini," katanya. Taib meletak jawatan sebagai ketua menteri bulan lalu dan digantikan oleh Adenan Satem sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak. PRK DUN Balingian diadakan selepas Taib mengosongkan kerusi berkenaan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Yussibnosh Balo dan calon KEADILAN, Abdul Jalil Bujang | |
Pemilihan KEADILAN: Rodziah umum tanding Ketua Wanita Pusat Posted: 28 Mar 2014 05:07 PM PDT Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan parti 2014 ini. KEADILAN DAILYIa adalah di atas keyakinan bahawa Wanita KEADILAN akan dipimpin untuk melaksanakan Agenda Reformasi dengan santunan, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sudah sedia diperolehi model-modelnya dari pengalaman saya dalam barisan pimpinan KEADILAN dan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor. Keyakinan dari anggota kepimpinan wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam Sayap Wanita yang membolehkan kepimpinan baru menerajui Sayap Wanita KEADILAN. "Pembaharuan itu diyakini akan memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita KEADILAN." Ia merupakan suatu gesaan yang tidak boleh diketepikan dan saya tampil menyahutnya dengan segala i'tikad dan semangat supaya segera dapat dikotakan kepimpinan yang dikehendaki oleh anggota wanita KEADILAN: penerapan dan pengaktualan pembuatan keputusan secara kolektif, ketelusan dalam pengoperasian aktiviti wanita dan keakuran berlandaskan panduan dan perlembagaan parti. Gesaan dari akar umbi itu adalah amanah bagi saya, yang akan saya genggam erat dan memohon agar sering diperingatkan kepada saya secara jujur dan tulus. Saya yakin wanita-wanita anggota parti yang berkebolehan wajar juga menawarkan diri mereka untuk bertanding bersama-sama dalam barisan kepimpinan wanita KEADILAN. Ia bertujuan agar barisan kepimpinan wanita KEADILAN lebih mantap dalam usaha ke arah membentuk masyarakat dengan rasa kasih dan empati, bersulamkan amalan saling memberdaya dan melengkapi. Dengan penuh kesediaan dan rasa kesedaran akan amanah itu, saya telah mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat dalam Pemilihan KEADILAN 2014 nanti. Rodziah Ismail Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat | |
MH370 Terbang Lebih Laju Berbanding Andaian Awal - Hishammuddin Posted: 28 Mar 2014 04:57 PM PDT Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN "Semalam (Khamis) proses ini menghasilkan keputusan baharu bahawa MH370 telah terbang dengan kelajuan lebih tinggi berbanding jangkaan asal. "Ini bermakna ia menggunakan lebih banyak minyak dan tidak mungkin terbang jauh," katanya pada taklimat media harian mengenai MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat. Hishammuddin berkata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) telah memberikan maklumat terbaharu ini kepada RCC Australia untuk diteliti dan bagi mengecilkan kawasan carian. "Pihak berkuasa Australia telah mengubah kawasan carian kira-kira 1,1000km timur laut Perth," katanya. Jelasnya, perlaihan kawasan carian adalah perkara biasa dalam operasi SAR. Beliau berkata dengan maklumat dan langkah-langkah yang diambil, pasukan penyiasat percaya dapat lebih memahami laluan sebenar MH370. Kumpulan penyiasat antarabangsa ini terdiri daripada wakil daripada Inmarsat, AAIB dan Rolls Royce. "Dari China, Perkhidmatan Maklumat, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), AAID dan dari Amerika NTSB, FAA dan Boeing, termasuklah pihak berkuasa berkaitan dari Malaysia," katanya. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Bagaimanapun pesawat itu hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas ketika berada di ruang udara Laut China Selatan. Misi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-21 hari ini dan difokuskan di Lautan Hindi selepas analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan lokasi terakhir pesawat di tengah-tengah lautan berkenaan. | |
Menunggu jawapan Mahathir mengenai Memali Posted: 28 Mar 2014 04:49 PM PDT KUALA LUMPUR: Setelah lebih 30 tahun tersimpul rapi, walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk menceritakan segala rahsia mengenai peristiwa Memali sebelum ini, kenapa hanya sekarang beliau mendedahkan perkara itu tentunya menarik perhatian ramai. Dalam sebuah forum anjuran kerajaan PAS Kelantan di Kota Bharu malam semalam, Musa yang ketika peristiwa Memali itu merupakan Menteri Dalam Negeri dan dipersalahkan oleh banyak pihak mengenainya, akhirnya mendedahkan bahawa ketika kejadian itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri, sebenarnya berada di dalam negara dan bukannnya di China sebagaimana yang diberitahu sebelum ini. Malah Musa Hitam juga mendedahkan, dua tiga hari selepas kejadian itu pun, Mahathir masih berada di dalam negara. "Kenapa Musa Hitam mengambil masa selama 30 tahun untuk mendedahkan perkara ini sedangkan ketika bersama Team B pada 1987 dahulu atau ketika hebat mengasak Mahathir ekoran pengharaman UMNO pada 1988, beliau tidak mendedahkannya?" tanya Shahbudin Husin di dalam blognya semalam. Soal beliau lagi, apakah pula signifikannya Musa memilih Kelantan dan berucap di sebuah forum anjuran kerajaan PAS untuk mendedahkan perkara yang tersembunyi selama ini? Apakah ia bertujuan membersihkan dirinya daripada tanggapan buruk PAS selama ini terhadapnya? "Setelah lebih 11 tahun bersara sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2003, apakah kerana Mahathir masih aktif, berpengaruh dan mencampuri banyak perkara dalam politik negara, maka tujuan Musa mendedahkan perkara ini ialah untuk menghentikan semua penglibatan Mahathir itu?" tanya Shahbudin lagi. | |
Raja Bomoh Kembali Lakukan Ritual Untuk MH370 Posted: 28 Mar 2014 04:39 PM PDT MSTAR ONLINE Tindakan Ibrahim itu dimuat naik menerusi Youtube oleh Suara.tv. Dalam rakaman berdurasi 2.58 minit itu, pengamal perubatan tradisional yang mendakwa dirinya sebagai raja bomoh didakwa melakukan ritual berkenaan di Pulau Sembilan, Perak. Bersama Ibrahim adalah empat lelaki yang membantunya melakukan ritual berkenaan. Tidak seperti aksinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menggunakan gaya seperti 'tikar terbang', kali ini Ibrahim menggunakan dua teropong kononya untuk melihat di mana pesawat MH370 berada. Lelaki terbabit dilihat meneropong ke arah laut dari darat dan turut berendam separuh badannya ke dalam laut sambil melakukan ritual teropong. Ritual berkenaan kemudian tamat tanpa sebarang penemuan seperti yang diusahakan oleh Ibrahim atau perkara baharu yang mungkin boleh mambawa berita gembira kepada semua pihak. | |
Shalwati-Azizul Dihukum Penjara Dera Anak Di Sweden Posted: 28 Mar 2014 04:36 PM PDT Ibu kepada empat orang anak, Shalwati Norshal dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan kerana perlakuan kasar terhadap anak perempuannya dan anak lelaki sulungnya serta atas kesalahan menyakiti dua lagi anak lelakinya. Sementara itu bapa mereka, Azizul Raheem Awalluddin dikenakan hukuman penjara 10 bulan kerana dia didapati bersalah mengasari tiga anak anaknya. Azizul bagaimanapun dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan