DIALOG RAKYAT |
- Kajang: Bekas pemimpin Umno sokong PKR
- Yussibnosh Balo calon BN di Balingian
- Tubuh JK Khas parlimen bantu penyiasatan MH370
- MH370: Allah sedang menguji, kita perlu insafi
- PKR gesa pengundi Cina nilai rekod prestasi Mei Fun
- MH370: PAS gesa PM bawa usul khas, bahas di parlimen
- Najib: Kru, penumpang fokus baru siasatan
- Polis geledah rumah juruterbang MH370
Kajang: Bekas pemimpin Umno sokong PKR Posted: 15 Mar 2014 04:45 AM PDT Kempen pilihan raya kecil DUN Kajang memasuki hari keempat semalam menyaksikan bekas pemimpin Umno peringkat nasional dan tempatan memberi sokongan terbuka kepada calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Datuk Shariff Omar - bekas timbalan menteri pertanian - malam tadi menyatakan sokongan itu buat julung-julung kalinya muncul di depan lebih 2,000 hadirin, mahu membantu Pakatan mencapai kemenangan dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya kecil itu. Shariff merupakan timbalan ketua menteri Pulau Pinang sewaktu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri pada 1995. Sementara itu, empat bekas pemimpin Umno peringkat cawangan dalam DUN Kajang turut menyerahkan borang permohonan menyertai PKR kepada Anwar dan Dr Wan Azizah dan menerima selendang PKR sebagai tanda kemasukan mereka, yang disambut sorakan hadirin. "Saya menyatakan sokongan terbuka kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Saya yakin dan percaya rakyat dapat membuat pilihan dengan memilih Dr Wan Azizah," tegas Shariff. "Orang Kajang bernasih baik, dapat calon (Wan Azizah) seorang yang berakhlak baik. Saya ikhlas, saya tidak mengharap apa-apa. Oleh itu pada 23 Mac, panggil adik-beradik sauadara mara undi Pakatan Rakyat untuk mendapat majoriti besar," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sulung atas pentas Pakatan Rakyat di Stadium Kajang malam tadi selepas dipecat dari Umno kerana bertindak bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya umum lalu. Shariff mengakui beliau rapat dengan Anwar sejak ketua pembangkang itu menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga bekas ketua Umno Tasek Gelugor. Manakala, sambutan dan penerimaan rakyat terhadap Wan Azizah semakin diterima khususnya daripada kumpulan wanita dan sewaktu memasuki stadium tersebut, sebahagian daripada mereka cuba merapati dan bersalaman dengan beliau. Malah ada di kalangan mereka yang mahu bergambar dengannya termasuk berasak-asak dengan jurugambar ketika presiden PKR berada di atas pentas ceramah. Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar mengkritik langkah kerajaan Malaysia mengendalikan insiden kehilangan misteri pesawat MH370 yang memasuki hari ketujuh. Beliau yang baru temubual oleh media antarabangsa turut menempelak menteri berkaitan yang memberi kenyataan bercanggah dengan pihak berkuasa dan isu penggunaan 'bomoh kelapa' dalam usaha menyelamat dan mengesan pesawat berkenaan. "Malu... Zam, zam ala kazam. Satu dunia tengok kita," kata sambil diiringi gelak ketawa hadirin sambil memaklumkan anak lelaki Dr Yusuf Al-Qaradhawi menghubunginya turut mengecam tindakan penggunaan bomoh itu. Mengulas mengenai ancaman bomoh itu yang mahu menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, ahli parlimen Permatang Pauh berkata: "Jawab... hangpa lawan penampar. Aku tak mahu campur... Baling bola dan kelapa. (Siapa menang) antara bola dan kelapa," katanya. |
Yussibnosh Balo calon BN di Balingian Posted: 15 Mar 2014 04:39 AM PDT MALAYSIAKINI Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan bekas pegawai daerah Dalat, Yossibnosh Balo sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Balingian pada 29 Mac depan. Yussibnosh , 46, adalah seorang Kristian Melanau tempatan dari Kampung Tellian Muhyiddin mengumumkan pencalonan Yussibnosh di dewan sivik di Mukah petang ini, lapor Star Online. Bercakap dalam satu sidang akhbar kemudiannya, timbalan perdana menteri berkata BN percaya beliau adalah calon terbaik untuk bertanding di Balingian. Muhyiddin berkata jawatan terakhir Yussibnosh ialah sebagai pegawai daerah di tempat yang sangat dekat dengan Balingian, membuatnya begitu biasa dengan kawasan tersebut. Sementara itu, Yussibnosh berterima kasih kepada kepimpinan BN yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding di situ. Yussibnosh berkata pengalaman beliau sebagai pegawai daerah akan membantunya berkhidmat kepada rakyat jika terpilih. "Kerjanya akan sama, hanya dalam kapasiti yang berbeza," katanya. Beliau meletakkan jawatan Jumaat lepas selepas dimaklumkan akan menjadi calon BN. Yussibnosh telah berkhidmat selama 21 tahun sebagai penjawat awam dan telah berkahwin serta dikurniakan tujuh anak. |
Tubuh JK Khas parlimen bantu penyiasatan MH370 Posted: 15 Mar 2014 04:34 AM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana ditubuhkan segera bagi membantu kerajaan dan agensi berkaitan melakukan siasatan terperinci mengenai tragedi kehilangan MH370. Beliau berkata, Parlimen Malaysia yang mewakili rakyat Malaysia mesti memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini, bukan sahaja memberi sokongan terhadap usaha mencari dan menyelamat juga kontroversi serta kekeliruan mengenainya. Katanya, kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dimaklumkan segera sebaik sahaja MH370 dengan 239 penumpang tiba-tiba hilang, kecuali mengetahuinya beberapa jam kemudian. Antara kekeliruan itu kata Kit Siang adalah seperti berikut. • Sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta sekurang-kurangnya sejam selepas pesawat itu dilaporkan hilang kerana melengah akan menyebabkan pesawat SAR yang dilengkapi sistem seperti 'forward looking infrared' tidak dapat mengesan tanda haba (heat signature) daripada rangka badan pesawat dan enjinnya. • Bila hubungan dengan pesawat itu terputus, samada jam 1.30 pagi waktu Malaysia, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA atau pada jam 2.40 pagi. • Kekeliruan mengenai pasport yang dicuri, sama ada dua atau empat, samada kelihatan seperti orang Asia, berkulit hitam atau warga Iran. • Kekeliruan mengenai bagasi yang dibawa masuk dengan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan daripada Pengarah Penerbangan Awam, Ketua Polis Negara dan Malaysian Airlines • Sama ada pesawat itu tersasar daripada laluan sepatutnya mengakibatkan kawasan carian semakin meluas daripada Laut China Selatan sehingga ke Selat Melaka dan dan Lautan Andaman. "Atas sebab ini, saya menyeru ditubuhkan segera Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana untuk memberi sokongan penuh kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, serta menyiasat selepas operasi menangani semua persoalan mengenai tragedi itu. "Saya berharap Najib dan Hishammuddin dapat memberi sokongan penuh kepada cadangan ini," katanya ketika berucap membahaskan usul menjunjung titah Diraja, di Parlimen, kelmarin. Katanya, ini hari keenam pesawat MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dan lima hari berlalu dengan penuh rasa perit dan hiba buat keluarga, sahabat handai semua 239 individu serta mereka yang mendoakan keselamatan mangsa, tanpa mengira kaum, agama, pandangan politik atau kewarganegaraan dari dalam dan luar negara. "Namun tiada sebarang kesan atau tanda yang ditemui meskipun usaha menyelamat oleh pihak dari pelbagai negara membabitkan 34 pesawat udara, 40 kapal untuk mendapatkan sebarang petunjuk mengenai apa sebenarnya berlaku atau menunjukkan lokasi terakhir pesawat berkenaan hilang. "Setiap hari yang berlalu, harapan dan doa kita kepada 239 penumpang dan anak kapal MH370 berada dalam keadaan selamat terhadap apa yang menimpa mereka menjadi semakin tipis, namun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus mendoakan keajaiban buat MH370," katanya. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, semua rakyat Malaysia, malah seluruh dunia, tanpa mengira kaum, agama, latar politik dan kewarganegaraan, bersatupadu mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370. "Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah tidak banyak persoalan yang timbul, samada daripada pihak keluarga mangsa, sahabat handai atau masyarakat dunia, tidak kira di dalam atau luar negara, namun jawapan kepada persoalan ini harus ditangguhkan kerana keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menemukan pesawat terbabit. "Bagaimanapun, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, mesti diberi jaminan bahawa pada waktu dan tempat yang tepat, semua jawapan bagi setiap soalan yang ditanya, di dalam dan di luar negara mesti diberikan," katanya.-Roketkini.com |
MH370: Allah sedang menguji, kita perlu insafi Posted: 15 Mar 2014 04:33 AM PDT Rasulullah SAW bersabda: "Setiap anak adam(manusia) tidak pernah lari daripada kesalahan dan membuat dosa, namun sebaik-baik orang yang bersalah dan berbuat dosa ialah orang yang bertaubat." [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah] Kejadian demi kejadian sedang menimpa negara Malaysia ketika ini. Kejatuhan nilai ringgit, keadaan ekonomi yang membebankan, kos hidup yang semakin meningkat, meletakkan rakyat dalam keadaan tertekan. Ketika seluruh negara di Asia Tenggara sedang mengalami musim dingin, malah di sesetengah tempat ada yang mengalami banjir, Malaysia diuji dengan kemarau dan jerebu yang dahsyat. Terbaru, Allah datangkan pula ujian besar buat negara, kehilangan pesawat MAS MH370 yang sehingga hari ini masih menjadi misteri. Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu 8 Mac lalu. Mari bersama kita insafi dan bertanya pada diri. Apakah punca kepada keadaan ini? Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan takutlah kalian daripada (berlakunya) fitnah (iaitu dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah oleh kamu bahawa hukuman Allah itu tidak terperi dahsyatnya" [Al Anfal:25] Dalam isu pengurusan ekonomi dan dana negara, ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa seperti sebati dalam pentadbiran negara. Saban tahun ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara, namun ketirisan-demi ketirisan terus berlaku. Dengan bajet tahunan yang defisit secara berterusan, kerajaan dilihat cuba memangsakan rakyat dalam usaha menambah pendapatan negara. Rakyat dikenakan harga barangan keperluan yang meningkat, dan akan datang terpaksa berhadapan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST yang akan diperkenalkan. GST dilihat satu cukai yang zalim dan bercanggah dengan konsep percukaian Islam, kerana bukan sahaja orang kaya, tetapi semua sektor masyarakat termasuk orang miskin juga terpaksa membayarnya. Dari aspek perundangan, tindakan terbaru ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara, terus dilihat satu lagi siri kezaliman mengulangi skrip 1998. Keputusan mahkamah yang dilihat dibuat tergesa-gesa dalam masa sama, mengenepikan hukum qazaf yang diajar agama, menambah lagi beban dosa umat. Dalam isu menjejak pesawat MH370 pula, Malaysia menjadi tumpuan dunia ketika ini. Malangnya, Malaysia yang dikatakan Perdana Menteri sebagai mengamal Islam moderate dan wasatiyah, mengambil jalan terdesak membenarkan pula pendekatan khurafat melalui pembomohan. Tindakan yang bukan sahaja memalukan Malaysia, tapi lebih besar menghina agama sekaligus memberatkan lagi beban dosa yang ditanggung umat. Lalu, di atas beberapa dosa zahir yang disebutkan itu, marilah bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk benar-benar menginsafi kesalahan yang kita lakukan. Kita jugalah yang seharusnya menegakkan syariat Allah, kerana ia adalah amanah yang telah Allah berikan kepada kita. Semoga Allah mengampuni dosa kita dan menghindarkan kita semua, rakyat Malaysia umumnya daripada bahaya bala bencana. Ayuh, marilah kita perbanyakkan istighfar, terus panjanjatkan doa, moga Allah temukan pesawat MH370 dan hindarkan negara ini dari bala-dan bencana. *Penulis adalah AJK Dewan Ulamak PAS Pusat |
PKR gesa pengundi Cina nilai rekod prestasi Mei Fun Posted: 15 Mar 2014 04:28 AM PDT MUHAMMAD FAIZAL KAJANG: PKR hari ini menyerang kredibiliti calon BN yang juga Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dalam membela nasib masyarakat Tionghua ketika menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU). Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong berkata, pada 2001 Mei Fun telah gagal dalam menyelesaikan isu membabitkan SJK(C) Damansara. "Ketika isu sekolah ini timbul, Mei Fun yang merupakan Ahli Parlimen PJU bukan sahaja tidak membela nasib sekolah tersebut tetapi tidak pernah datang ke sekolah tersebut. "SJK(C) Damansara ini terletak dalam kawasan parlimen beliau, tetapi beliau tidak mengambil berat dalam isu tersebut," jelasnya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang. Menurut, Chee Chong pada waktu itu kerajaan pusat ingin mengambil tanah di tapak sekolah tersebut bagi pembinaan kondomium mewah. Tetapi, telah mendapat tentangan dari penduduk dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan tersebut . "Bagi menentang usaha tersebut penduduk telah menubuhkan satu jawatankuasa SOS Damansara. "Masyarakat Tionghua di kawasan tersebut sanggup berjuang mempertahankan sekolah tersebut, namun Mei Fung sebagai Ahli Parlimen ketika itu gagal menyuarakan apa-apa bantahan terhadap kerajaan dan beliau juga dilihat gagal hadir walau sekali pun ke sekolah tersebut," katanya. Tambah beliau, berbanding dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional ketika itu telah mengunjungi sekolah tersebut sebanyak tiga kali sebagai sokongan beliau terhadap SOS Damansara. "Bagi Pakatan Rakyat dalam isu membabitkan SJK kita mempunyai pendirian yang tegas dan kerajaan perlu membina mengikut keperluan. "Kalau penduduk bertambah dan perlu sekolah-sekolah tersebut, kerajaan perlu membinanya, berbanding dengan polisi kerajaan pusat mereka langsung tidak membenarkan sekolah tersebut ditambah di negara ini," sambung beliau. Chee Chong turut memberitahu pengundi Tionghua di Kajang perlu menilai kembali rekod prestasi Mei Fung sebelum ini. Pada 2001, masyarakat Tionghua bersetuju untuk pembinaan sekolah yang baru di tapak yang telah disediakan, namum pada masa yang sama mereka menggesa agar sekolah yang lama dikekalkan serta menghalang pembinaan kondominium mewah di tapak sekolah tersebut. |
MH370: PAS gesa PM bawa usul khas, bahas di parlimen Posted: 15 Mar 2014 04:24 AM PDT KUALA LUMPUR: Dengan perkembangan terbaru isu MH370 hari ini, PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan satu usul khas ke Dewan Rakyat Isnin ini. Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, usul tersebut sangat penting untuk dibahaskan dalam mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku. "Kenyataan PM (dalam sidang media) tadi seperti ada sesuatu yang begitu tersembunyi. Beliau sebut tadi data baru dari servis provider iaitu pengeluar enjin Rolls Royce. "Persoalannya, kenapa begitu lambat data itu diperoleh sedangkan kita boleh panggil wakil Rolls Royce lebih awal," katanya sambil menambah sudah seminggu baru data diperoleh. Beliau menegaskan usul yang perlu dibawa oleh Najib mestilah bersifat boleh dibahas, dan bukan hanya penjelasan menteri yang tidak boleh dibahas. Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kehilangan Pesawat MAS MH370, yang dikemukakan Mahfuz. Dalam usul tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggariskan tiga asas mengapa penting untuk usul tersebut diterima dan dibahaskan oleh Dewan Rakyat. Katanya, adalah penting bagi parlimen sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia, menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas apa yang berlaku sekaligus menyatakan kebersamaan kepada keluaga yang terlibat. "Alasan juga bahawa ianya sedang disiasat, dan perbahasan di Dewan Rakyat boleh membantu siasatan. "Ini kerana kita lihat kenyataan-kenyataan dikeluarkan tunjuk siasatan bercelaru dan kenyataan-kenyataan bercanggah," kata beliau sambil merujuk isu penumpang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat MH370 itu. Beliau juga menjelaskan, isu MH370 ini juga telah mendedahkan beberapa lagi isu berbangkit, termasuk menyentuh soal sistem keselamatan negara. Ianya termasuk isu penumpang yang boleh bolos biarpun menggunakan pasport palsu. "Ini sekaligus boleh menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia. Speaker bagaimanapun menjelaskan penolakan itu dibuat dengan alasan bahawa ianya boleh dibangkitkan oleh Yang Berhormat dalam sesi perbahasan Titah Diraja, dan ianya juga telah disebut oleh speaker ketika sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat Selasa lalu. |
Najib: Kru, penumpang fokus baru siasatan Posted: 15 Mar 2014 04:11 AM PDT MALAYSIAKINI Senarai penumpang dan anak kapal pesawat MH370 menjadi fokus baru siasatan kerajaan Malaysia selepas penemuan beberapa data baru yang disahkan oleh beberapa penguatkuasa penerbangan. "Berdasarkan perkembangan baru ini, pihak berkuasa Malaysia memfokuskan semula siasatan mereka kepada kru dan penumpang di dalam pesawat," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media di KLIA petang ini. Perdana menteri mendedahkan bahawa pesawat MH370 telah sengaja diterbangkan dalam arah yang berbeza. Bagaimanapun, mengenai laporan bahawa pesawat itu telah dirampas, Najib berkata pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan apa yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan penerbangan asalnya. Beliau juga berkata peralatan komunikasi dalm pesawat Boeing 777 telah dimatikan. Pengesahan itu adalah berdasarkan maklumat satelit. Najib berkata operasi mencari dan mencari diteruskan , tetapi tidak lagi akan memberi tumpuan di Laut China Selatan. Menurutnya, perhatian kini tertumpu kepada dua kawasan operasi di barat Semenanjung Malaysia - koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke sempadan Utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke Lautan selatan India. Najib berkata, maklumat satelit baru telah memberi kesan penting terhadap keadaan dan skop operasi mencari. "Kita menghentikan operasi di Laut China Selatan dan menilai semula penempatan aset kita. Kita sedang bekerjasama dengan negara-negara yang berkenaan untuk mendapatkan semua maklumat yang relevan dengan usaha mencari, termasuk data radar. Turut hadir dalam sidang media tadi adalah duta besar China ke Malaysia, Huang Hui Kang. Turut dilaporkan kelihatan adalah dua wakil dari kedutaan Russia dan duta besar Ukraine. Kehadiran mereka dipercayai sebagai pihak berkepentingan kerana warganegara mereka turut tersenarai dalam senarai penumpang MH370. Seramai 153 warga Cina, dua warga Ukraine, dan seorang warga Russia sebelum ini disenaraikan antara 227 penumpang yang menaiki MH370. Selain itu, dua lelaki Iran turun dikesan menaiki penerbangan tersebut, masing-masing dengan pasport Austria dan Itali yang dicuri. |
Polis geledah rumah juruterbang MH370 Posted: 15 Mar 2014 04:08 AM PDT MALAYSIAKINI Polis mula mengeledah rumah juruterbang pesawat Malaysia Airlines yang hilang Sabtu lau, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat itu disyaki sengaja menukar laluan penerbangan, kata seorang pegawai kanan polis kepada Reuters. Anggota polis tiba di rumah kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, petang ini, sejurus selepas tamat sidang akhbar perdana menteri. Penyiasat mengesahkan bahawa pesawat yang dikesan oleh radar tentera adalah pesawat MH370 selepas komunikasinya mungkin dimatikan sebelum sampai ke pantai timur Malaysia minggu lalu, kata Najib. Sementara itu, kementerian luar China meminta Malaysia supaya menyediakan maklumat yang lebih menyeluruh dan tepat mengenai penerbangan Malaysia Airlines terbabit. China juga meminta Malaysia mendapatkan lebih banyak negara menyertai operasi mencari dan China sendiri akan meminta negara-negara lain yang berkaitan untuk membantu mencari pesawat tersebut, kata kementerian itu dalam satu kenyataan. Penyiasat percaya seseorang di atas kapal pesawat itu sengaja menutup sistem komunikasi dan pengesanannya, membawa pesawat itu berpatah balik dan terbang selama hampir tujuh jam selepas ia hilang, kata perdana menteri hari ini.Reuters |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan