SIASAH |
Kehilangan MH 370: Pesawat disahkan dibawa ke haluan lain Posted: 15 Mar 2014 12:52 AM PDT Sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di Sepang, Selangor hari ini, 15 Mac, 2014 mengesahkan beberapa petunjuk yang ditimbulkan sebelum ini, termasuk pesawat mengubah haluan. Walaupun tidak mengesahkan telah berlaku rampasan - yang bermakna melibatkan unsur terorisme - Najib mengesahkan yang pesawat itu telah dipandu ke arah lain. Kemungkinan ini bermakna pesawat dibawa ke haluan tersebut oleh pengendali, sama ada juruterbang yang diugut dan dipaksa atau pihak lain yang berkemampuan dan memiliki pengetahuan laluan penerbangan. Dapatan bahawa sistem-sistem komunikasi ditutup secara sengaja juga telah membawa perhatian kepada juruterbang dan kru, selain para penumpang. Najib berkata, berdasarkan bukti satelit dan radar, pesawat itu telah mengubah arah dan mungkin telah terbang lagi selama tujuh jam, dan menyebut bahawa pergerakan pesawat konsisten dengan tindakan secara sengaja oleh seseorang di dalam kapal terbang tersebut. Menjelang sidang media yang bermula hampir 20 minit selepas jam 2 petang, Najib disebut-sebut akan mengumumkan yang pesawat MH 370 itu telah dirampas. Laporan terbaharu yang memberi petunjuk pesawat diterbangkan ke arah bertentangan ialah laporan eksklusif Reuters yang memetik sumber yang dekat dengan siasatan, berdasarkan penelitian terhadap maklumat radar tentera. Najib menyebut dua laluan yang kini menjadi tumpuan, iaitu kawasan dari utara Thailand hingga ke kawasan antara sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan, dan kawasan utara pulau Sumatra hingga ke barat di Lautan Hindi, menghala ke India. Pada masa sama, pencarian di Laut China Selatan dihentikan. Kawasan ini, di luar pantai Vietnam, ialah lokasi terakhir pesawat berhubung dengan pusat kawalan dan dapat dikesan. Perkembangan ini, menurut Najib dalam sidang media yang disiarkan langsung oleh saluran-saluran berita tempatan dan antarabangsa, menandakan yang penyiasatan kini memasuki fasa baharu. Pesawat Boeing 777 penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan kod MH 370 itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi, 8 Mac lalu. Komunikasi radio dengan pusat kawalan trafik udara di Subang dilapor terputus pada 1.30 pagi. Walau bagaimanapun, pesawat itu dikatakan dikesan kali terakhir oleh satelit pada pukul 8.11 pagi Sabtu waktu Malaysia. Ramai pakar yang ditemubual media sejak beberapa hari lalu mula mempertimbangkan kemungkinan pesawat dirampas atau dibawa ke haluan lain secara sengaja, berdasarkan pencarian yang tidak berhasil di Laut China Selatan dan maklumat-maklumat terkini yang dilapor media. Perkembangan terbaharu ini menjadikan pencarian dan penyiasatan kehilangan pesawat ini lebih kompleks dan bakal mendatangkan implikasi politik dan keselamatan yang luas, termasuk disebabkan penglibatan banyak pihak terutama Amerika Syarikat, China dan Rusia. Rantau Asia-Pasifik, termasuk Lautan Hindi kini menjadi tumpuan dalam politik serantau dan global, ekoran fokus AS yang semakin meningkat ke rantau ini sejak beberapa tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan