DIALOG RAKYAT |
- Anwar selar kerajaan guna khidmat bomoh 1Malaysia cari MH370
- MH370: Media antarabangsa lapor pengguna media sosial gelar Najib ‘tidak ada otak’
- Abang besar dan teori konspirasi
- Talam serah nilai hartanah meningkat RM700 juta - Khalid
- Jerebu: 131 sekolah di daerah Klang ditutup esok
- Hudud: Annuar gesa semua pihak bantu Kelantan
- Bekas pesakit teruja jumpa Wan Azizah di Pasar Kajang
- MH370: Menteri akui Malaysia lemah urus krisis
- Mana ada harga ayam RM1 seekor, kata peniaga kepada Wan Azizah
- Siasat siapa bagi lampu hijau kepada bomoh ’1Malaysia’ – Anwar
- Video: Bagaimana Kapal Terbang Dilupuskan
- Jenayah Indeks Libatkan Pelajar Meningkat 63 Peratus
- Rosmah bazir lebih RM400,000 ke Qatar guna jet kerajaan
- Misteri MH370 kini mula bertukar jadi tekanan terhadap Najib
- Datuk A.Hassan Alami Strok Ringan
- TPM Umum Calon BN DUN Balingian Sabtu ini
- Tiada Bukti Imej Satelit Itu MH370 - DCA China
- Bomoh jadi perhatian di media sosial
- Trending 'tikar terbang', syirik dan memalukan
- Agensi satelit sertai misi cari MH370
Anwar selar kerajaan guna khidmat bomoh 1Malaysia cari MH370 Posted: 13 Mar 2014 07:49 AM PDT Sidang Dewan Rakyat hari ini gempar apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 termasuk memberi kebenaran "bomoh 1Malaysia" melakukan upacara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Anwar berkata imej negara tercemar ekoran daripada kegagalan kerajaan menangani krisis negara sehingga dikritik hebat oleh media antarabangsa. Katanya situasi memalukan itu ditambah dengan insiden semalam di KLIA apabila kerajaan membenarkan seorang bomoh yang dibayar melakukan upacara bagi mengesan lokasi pesawat MH370. "Ini amat memalukan. Siapa yang membenarkan, siapa yang membayar bomoh itu, ini jelas perbuatan khurafat dan kemudian media antarabangsa pula dipanggil buat liputan. "Insiden ini perlu disiasat, ia merupakan satu perbuatan bodoh dan memalukan Malaysia sebagai negara Islam," katanya di Dewan Rakyat hari ini. Beliau juga memetik satu laporan akhbar media antarabangsa yang menyelar kerajaan berhubung insiden MH370. Bagaimanapun belum habis Anwar membaca petikan laporan akhbar tersebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilihat mencelah ketua pembangkang itu. Ia menimbulkan kekecohan apabila ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengkritik tindakan tersebut apabila menteri tersebut tidak sepatutnya mencelah jika tidak dibenarkan Anwar. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga turut serta apabila mendakwa menteri yang juga ahli Parlimen Kota Belut tidak tahu apa yang ingin disampaikan oleh Anwar. "Beliau ini Yang di Pertua, bukan tahu apa yang disampaikan langsung tak faham tentang bagaimana berlakunya banyak percanggahan kenyataan," kata Khalid. Ahlid Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga dilihat turut bangun untuk memohon pandangan Anwar mengenai kenyataan akhbar Utusan apabila menteri sendiri mengakui tidak salah menggunakan perkhidmatan bomoh. " Apakah pandangan ahli Parlimen Permatang Pauh mengenai laporan berita akhbar Utusan yang miliknya Umno kerajaan apabila membenarkan penggunaan bomoh ini. "Laporan itu menyatakan tidak salah menggunakan perkhidmatan bomoh ia kemudian disaksikan oleh dunia antarabangsa dan Presiden Obama sendiri kagum dengan kebodohan itu," katanya hingga menyebabkan suasana Dewan Rakyat gamat seketika. Sementara pada sidang media selepas itu Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bangun dari tidurnya dan menjadi pemimpin yang cekap menangani krisis negara. Mengambil insiden pesawat MH370, kerajaan sepatutnya melantik hanya seorang jurucakap. "Saya ambil contoh mengenai pencerobohan Japanese Red Army sekitar 1975 ketika krisis berjaya ditandatangani bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Osman S Cassim. "Ketika itu hanya satu sahaja arahan dan ia amat konsisten tidak seperti sekarang apabila menteri pengangkutan cakap lain, tentera cakap lain" katanya. Tambahnya, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuktikan bahawa beliau gagal dan tidak cekap menangani krisis negara. Dalam sidang media itu beliau juga mengulas mengenai kehadiran bomoh, Ibrahim Mat Zain semalam. Beliau berkata sebelum ini Najib membayar berjuta-juta ringgit kepada kepada Apco untuk bayar konsultasi imej perdana menteri itu. "Dengan apa yang bomoh itu sudah lakukan wang berjuta-juta ringgit pun tidak mampu untuk menebus semula maruah negara," katanya. | |
MH370: Media antarabangsa lapor pengguna media sosial gelar Najib ‘tidak ada otak’ Posted: 13 Mar 2014 07:45 AM PDT Sebuah laman sesawang antarabangsa International Busines Times (IBTimes) melaporkan pengguna media sosial menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak ada otak ("brainless") apabila membenarkan bomoh untuk membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang. IBTimes melaporkan seorang pengguna Weibo, sebuah laman sosial media China, berkata: "Buat pertama kali sebagai rakyat Malaysia, saya merasa malu, bukan kerana salah laku apa-apa tetapi kerana memiliki perdana menteri yang tidak ada otak. "Berhentilah dari menjatuhkan air muka rakyat Malaysia," kata penulis itu sebagaimana dilaporkan oleh IBTimes. Respon ini selepas tindakan kerajaan membenarkan seorang yang menamakan dirinya sebagai Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin, melakukan ritual untuk mencari di mana pesawat MH370 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada hari pertama, Ibrahim dan pembantunya datang dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu manakala hari kedua beliau datang dengan buah kelapa dan tikar terbang. Ia dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA dan mendapat kecaman pelbagai pihak. Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkannya sebagai "satu kerja gila" dan manakala ramai ulama menyifatkannya sebagai tindakan khurafat. Pengguna media sosial juga mempermainkan tindakan bomoh itu dengan menyamakannya dengan "tikar terbang" yang dilakunkan oleh seniman agung Tan Sri P. Ramlee. | |
Abang besar dan teori konspirasi Posted: 13 Mar 2014 07:43 AM PDT AHMAD LUTFI OTHMAN Saya agak terkilan kerana tidak dapat hadir Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima, di Shah Alam, Sabtu lalu. Keletihan dan keuzuran selepas menyiapkan Harakah edisi Isnin pada pagi 8 Mac itu menjadi penghalang. Mungkin sebahagian kita menganggap pertemuan itu sekadar acara rutin yang kurang memberi impak besar, berbanding perhimpunan tahunan atau mesyuarat agung parti masing-masing -- PAS, DAP mahupun KeADILan. Tiada agenda besar yang bakal dibahaskan. Liputan media juga tidak terserlah, malah agak ramai yang tidak mengetahui program tersebut. Sedangkan, pada hemat saya, konvensyen tahunan keluarga besar Pakatan itu, sewajarnya diangkat ke tahap lebih istimewa, yang memungkinkan interaksi dan perbincangan aktivis akar umbi ketiga-tiga parti dapat dibuat secara lebih selesa, jujur dan tempoh masanya bukan hanya sehari. Yakni, tidak setakat mendengar pidato dan amanat pemimpin tertinggi, seterusnya membacakan resolusi dan ketetapan bersama, malah sepatutnya menyediakan platform buat penggerak parti mengemukakan pandangan, hujah atau teguran bernas. Ya, biar aliran perbincangan dua hala dan boleh saja menyentuh isu-isu sensitif yang mungkin selama ini tidak terdedah kepada perbahasan. Pilihan raya masih jauh lagi, 'kan? Lebih penting ada ruang untuk aktivis parti yang datang dari seluruh negara bersemuka secara lebih santai, mungkin dalam sesi minum teh atau selingan pertunjukan kesenian-kebudayaan. Berbeda dengan BN yang hanya mengutamakan persefahaman di peringkat elit atasan (atas dasar kepentingan dan habuan), penyelarasan dalam Pakatan tentunya tidak hanya diharapkan merata dan menyeluruh di semua peringkat tetapi harus lebih tulus dan terbuka. Perkongsian kuasa dalam BN lebih terarah kepada tolak ansur dan permuafakatan pemimpin tertinggi semua komponen parti sedangkan di lapis pertengahan dan bawahan, elemen syak wasangka dan curiga cukup tebal. Sesekali menghadiri program Pakatan, termasuk ceramah politik dan majlis keramaian, terserlah gandingan dan toleransi yang sukar dilihat dalam majlis anjuran BN. Pakatan sememangnya sudah mengisi "posisi pertengahan" atau "jalur tengah" yang selama ini dimonopoli oleh BN, yang menyediakan laluan selesa untuknya menguasai pemerintahan sejak merdeka lagi. Saya masih ingat, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di LCCT, semasa menunggu penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang, sekitar tahun 2011, mengulas hubungan PAS-DAP, Ketua Menteri itu memberi jaminan, selagi ada "orang-orang lama" yang pernah melalui siri tekanan yang sama, seperti Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang, kerjasama itu mudah untuk diputuskan. Dan baru-baru ini, strategis DAP, yang juga kolumnis Harakah, Liew Chin Tong turut memberi komentar tentang latarbelakang hubungan erat pembangkang: "Tanpa diduga, Ops Lalang telah "menyatu-padukan" pembangkang dan aktivis NGO dalam kem tahanan buat kali pertama. Tahanan seperti Mohamad Sabu (kini Timbalan Presiden PAS), Lim Guan Eng (kini Setiausaha Agung DAP) dan sebagainya, adalah "orang baru" dalam politik ketika tahun 1987. Tahanan politik ini mendapati bahawa perselisihan kaum dan agama akhirnya akan menguntungkan Umno-BN." Namun begitu, mutakhir ini penganalisis politik yang melahirkan rasa bimbang dengan kesepaduan yang terjalin dalam Pakatan, termasuk pada tahap tertinggi. "Sudah timbul sikap saling mencurigai, dan kalaupun tidak sampai memecahkan, tetapi boleh membuatkan kemenangan tertangguh," ujar seorang daripadanya. "Saya tidak risau keadaan ahli dan penyokong di bawah. Mereka tidak sabar-sabar lagi mahu menamatkan era BN yang korup ini. Sebahagiannya tiada kepentingan langsung. Ikhlas mahu melihat perubahan. Rakyat sudah lama menderita terutama ekoran kenaikan kos sara hidup," tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa kerjasama dan persepakatan mesti tambah mantap kerana itulah satu-satunya senjata paling ampuh untuk berdepan BN yang memiliki segala kelebihan. Justeru, himpunan tahunan gabungan yang belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan itu cukup bermakna sekali, bukan saja di kala kesatuan di antara ketiga-tiga pimpinan parti cuba diremehkan, malah ia semakin menarik perhatian ramai apabila diadakan sehari selepas Anwar Ibrahim dihukum penjara, sekali gus menghilangkan kelayakannya bertanding dalam PRK Kajang. Tanpa kehadiran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam itu, cukup sekadar menatap gambar-gambar yang dirakam jurufoto Harakah, Wan Zahari Wan Salleh, saya bukan saja dapat membayangkan kemeriahan persidangan tetapi seakan-akan mampu menghayati kesetiakawanan pimpinan Pakatan di segenap peringkat. Misi dan cabaran getir berdepan PRU14 sudah bermula, apatah lagi dengan kemungkinan Anwar kembali terperosok dalam penjara. Sekali lagi, persefahaman erat begitu ditagih, bagi memastikan bahtera besar Pakatan tidak dibocorkan rakan-rakan sendiri. Benar, sesama Pakatan, tidak ada "abang besar" sepertimana gelagat Umno dalam BN. Masing-masing setaraf dan seimbang. Setiap suara dihormati. Setiap keluhan didengari. Konsensus menjadi syarat utama. Biarpun begitu, seperti biasa, idealisme murni tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan baik dan cukup berkesan, terutama jika dirujuk pemerintahan di negeri-negeri. Seperkara lagi, adat dalam persaingan politik, jumlah pemilikan kerusi Dun mahupun Parlimen tetap membawa petunjuk penting. Dibimbangi ada yang cedera dan terluka dalam proses "meluaskan wilayah". Maka, agihan kuasa dan sumber perlu dibuat, bukan hanya dengan kaedah yang lebih adil tetapi harus menjiwai prinsip tiada "abang besar" yang membuli. Tempoh yang relatif lama menjelang PRU14 wajar dimanfaatkan untuk pelbagai persiapan dan persediaan memperkukuhkan dalaman parti serta meneroka kawasan "deposit tetap" Umno-BN secara lebih inovatif. Begitu juga dengan cabaran kritikal proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Mungkin pelbagai eksperimen politik, khususnya berdepan pengundi muda dan masyarakat Melayu luar bandar, boleh dibuat dalam jangka waktu ini. Pakatan tidak perlu risau sekiranya percubaan-percubaan itu kurang berhasil, malah kalau pun "menikam balik", ia masih terbuka kepada pembetulan atau penambahbaikan. Pada petang konvensyen itu juga, seluruh negara gempar dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Sehingga pagi Rabu -- lima hari selepas insiden -- bukan saja jawapan gagal diperolehi, malah banyak persoalan lain timbul, ditambah kecelaruan kenyataan bercanggah oleh pihak berkuasa. Hujah panglima tentera mungkin berbeda dengan Ketua Pengarah Jabatan Jabatan Penerbangan Awam, yang tidak disepakati pula oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Pegawai Operasi MAS. Belum diambil kira kenyataan Menteri Pengangkutan dan juga Menteri Dalam Negeri. Bertambah pening dengan isu pesawat berpatah balik atau "air turn back", hilang daripada cerapan radar, bagasi yang dipunggah dan pelbagai cerita yang saling bertentangan. Serentak dengan itu, termasuk didorong rasa tidak puas hati dengan bentuk pengurusan krisis yang kelihatan kurang sistematik, di bawah garis profesionalisme, sehingga dianggap tidak kompeten -- selain nampak cuba menyembunyikan fakta dan keterangan kes -- rangkaian spekulasi dan gosip bukan saja muncul tetapi mampu mempertikai kenyataan rasmi. Kemahiran berkomunikasi para pegawai tinggi operasi mencari dan menyelamat juga dikritik hebat. Misteri menjadi lebih rumit dan tambah mengelirukan. Di zaman langit terbuka, dengan pelbagai aplikasi teknologi canggih, maka gosip, andaian, dan jangkaan peribadi kini boleh dikongsi secara meluas. Sudah pasti "teori konspirasi" -- sebahagiannya tidak dapat diterima akal pun -- antara topik yang paling diminati. Rasa ingin tahu sukar dibendung, apatah lagi apabila jawapan rasmi mudah dipertikai. Sementalahan pula banyak rujukan dalam dunia maya boleh disandarkan. Tiba-tiba ramai menjadi pakar -- bukan saja dalam dunia penerbangan tetapi juga hal berkaitan terorisme serta politik antarabangsa -- dan mengemukakan analisis yang nampak meyakinkan. Tidak hairan jika hanya media sosial yang menyebarkannya. Ia turut "disahkan" laporan akhbar atau portal berita yang terpaksa bersaing mengejar berita. Sedangkan persidangan media rasmi di KLIA lebih banyak mendedahkan maklumat yang dianggap basi dan tiada "scoop". Saya tidak sempat menelaah insiden ini, Dua rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob dan Arif Atan mengulas dari segi keselamatan negara, bukan saja terbukti mudah bolos sebelum ini, tetapi semakin terancam dengan kehadiran aset-aset ketenteraan negara asing yang sofistikated. Kehilangan MH370 ini -- yang cukup aneh dan mungkin tidak pernah berlaku -- membuatkan tumpuan seluruh dunia tertumpu ke negara kita. Cara kita menanganinya diteropong halus. Jika ada kelemahan dan kepincangan, maka amat sukar sekali untuk disembunyikan. Tahap profesionalisme para pegawai kita -- juga elit penguasa -- sedang dihakimi. Oleh kerana ia melibatkan secara langsung faktor keselamatan, maka prestasi Malaysia turut diberikan gred tertentu. Harapnya tidaklah sampai ke peringkat yang boleh memalukan negara! Budayawan H Fansuri pula menyinggung soal spekulasi: "Rakyat berspekulasi dengan kejujuran. Justeru, hormatilah spekulasi rakyat. Spekulasi bukan dosa dan tidak pernah pula dianggap sebagai satu jenayah oleh mana-mana bangsa. Akan ada spekulasi yang salah dan buanglah. Akan ada juga spekulasi yang munasabah dan masih boleh diterima akal." Sementara itu, pandangan bekas ketua juruterbang Boeng 777 MAS, Kapten Noruden Abdul Majid, melalui Buletin Utama TV3, yang mencadangkan supaya orang soleh dipanggil untuk mengesan MH370 mendapat reaksi bercampur. "Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menentukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," katanya. Beliau mencadangkan gabungan pendekatan saintifik dan kaedah berdoa: "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka." "Panggil mereka supaya mereka berdoa kepada Allah. Allah yang dapat mengembalikan kapal terbang yang hilang itu kerana teknologi yang secanggih mana pun tidak dapat mengatasi kuasa Allah," katanya. | |
Talam serah nilai hartanah meningkat RM700 juta - Khalid Posted: 13 Mar 2014 07:38 AM PDT KUALA LUMPUR: Nilai hartanah yang diserahkan Talam Corporation (Talam) sebagai membayar hutang kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 2012 meningkat daripada RM398 juta kepada hampir mencecah RM700 juta. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peningkatan nilai hartanah itu berlaku berikutan usaha kerajaan negeri membangunkan tanah terbabit dan kawasan berhampirannya, lapor Selangor Kini. "MCA tidak boleh cakap banyak sebab sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). MCA nak salahkan kerajaan negeri konon tak pandai, tolong syarikat Talam. "Apabila kiraan dibuat termasuk daripada audit negara, mereka kata bagus sebab aset atau pendapatan negeri bertambah. "Dahulu RM398 juta, sekarang naik hampir RM700 juta sebab tanah itu saya urus jadi lebih baik," katanya dalam ceramah umum yang diadakan di Taman Mesra, di Kajang, semalam. Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menyelar Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang cuba memutar belit fakta berhubung isu kutipan hutang Talam oleh kerajaan negeri. Abdul Khalid berkata, ketika menjalankan proses tuntutan hutang itu, beliau dimaklumkan pemilik Talam bahawa syarikat itu ada membuat pembayaran kepada pihak tertentu dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak dinyatakan indentitinya ketika diberikan tanah berkenaan. "Maka kita dapat lihat dalam PRU lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya tambah lapan kerusi, BN tinggal 12 kerusi sahaja daripada Umno, manakala MCA langsung tidak ada kerusi. "Orang Kajang tidak payah pilih MCA sebab mereka tidak ada tempat di Dewan Negeri Selangor," katanya. | |
Jerebu: 131 sekolah di daerah Klang ditutup esok Posted: 13 Mar 2014 07:35 AM PDT SHAH ALAM: Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat, hari ini. Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi berkata arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang berdasarkan pemantauan paras jerebu di negeri itu. Beliau berkata tempoh penutupan sekolah tersebut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU di kawasan itu dan pembukaan semula sekolah di daerah itu akan diumumkan kelak. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU pada pukul 6 petang tadi menunjukkan Pelabuhan Klang merekodkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat. Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengingatkan semua pengetua dan guru besar sekolah untuk menutup sesi persekolahan serta-merta, sekiranya berada di dalam kawasan bacaan IPU melebihi 200. Kementerian tersebut dalam kenyataan di sini, hari ini berkata ia selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 17 tahun 2013 yang perlu dipatuhi sekiranya IPU melebihi bacaan tersebut. Pengetua dan guru sekolah juga diminta memaklumkan penutupan sekolah masing-masing kepada pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. "Bagi kawasan pada bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut," katanya. Sekolah yang berada pada kawasan bacaan IPU melebihi 150, hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah, katanya. Menurutnya, semua Pengarah Pendidikan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada semua sekolah di negeri masing-masing berhubung perkara tersebut. - Bernama | |
Hudud: Annuar gesa semua pihak bantu Kelantan Posted: 13 Mar 2014 07:29 AM PDT KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa semua pihak bukan sahaja menyokong malah membantu usaha kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah atau lebih dikenali sebagai hudud, di negeri itu. Berucap ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, pemimpin Umno itu menegaskan, tiada sebab untuk menolak hudud kerana tugas melaksanakan syariat Allah adalah wajib bagi umat dan pemimpin Islam. Beliau juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada PAS di Kelantan kerana telah mempelopori usaha pelaksanaan undang-undang Islam di negeri itu. Di Kelantan kata beliau, usaha ke arah pelaksanaan itu sudah melepasi tiga peringkat utama eksekutif, legislatif dan judiciary dan perkembangan yang diterima sangat membanggakan. "Saya mengesyorkan, agar setidak-tidaknya jika negeri lain tidak bersedia, maka tidak harus dihalang untuk dilaksanakan hudud di Kelantan seperti yang dihasratkan oleh rakyat dan kerajaan negeri Kelantan. "Langkah-langkah untuk perlaksanaannya perlu disegerakan. Kalau dianggap konsensus nasional, barang kali inilah titik pertama yang perlu diusahakan," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu. Beliau juga memuji tindakan PAS kerana telah menunjukkan contoh dakwah Islam yang baik apabila menjalin hubungan akrab dengan PKR dan DAP. Kata beliau, hubungan akrab atas landasan dakwah itu penting ke arah memahamkan bukan Islam terhadap keadilan Islam sekaligus menarik sokongan mereka untuk pelaksanaan undang-undang syariah Islam. "Saya baca perlembagaan, Perdana Menteri tiada kuasa untuk halang pelaksanaan hudud selagi dibuat mengikut peraturan. "Saya harap satu pendekatan positif dibuat dan disokong oleh semua pihak termasuk DAP ke arah pelaksanaan undang-undang ini. "Private bill boleh dibawa oleh sahabat-sahabat dari PAS dan dibincangkan di peringkat parlimen," kata beliau. Saya pun tak mahu Umno kalau tolak hudud – Adun BN | |
Bekas pesakit teruja jumpa Wan Azizah di Pasar Kajang Posted: 13 Mar 2014 07:25 AM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Lawatan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Pasar Kajang, hari ini dikejutkan dengan sapaan bekas pesakitnya yang teruja dapat bertemu pemimpin itu. Salbiah Bakar, 67, berkata dia tidak menyangka dapat bertemu dengan Wan Azizah yang bertanggungjawab melakukan pembedahan ke atasnya sekitar 1980-an. Dia yang tiba-tiba menyapa Wan Azizah kelihatan teruja sebelum memeluk pemimpin berkenaan sambil menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu pada PRK yang bakal berlangsung pada 23 Mac ini. "Pertemuan itu sudah berlangsung sangat lama sekitar 1980-an sewaktu saya membuat pembedahan membuang batu karang di Hospital Kuala Lumpur dan ketika itu saya bertugas di Keramat. "Tidak sangka dapat bertemu beliau lagi kerana saya tinggal di Taman Jasmin dalam kawasan ini (Kajang). Ya, saya akan memberi sokongan kepada beliau dalam PRK nanti," katanya dipetik Selangor Kini. Wan Azizah kelihatan gembira dapat bertemu bekas pesakitnya itu dan mereka dilihat berbual mesra selepas disapa Salbiah dalam sesi lawatan berkenaan. | |
MH370: Menteri akui Malaysia lemah urus krisis Posted: 13 Mar 2014 07:22 AM PDT KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengakui terdapat kelemahan kerajaan dalam menguruskan isu kehilangan pesawat MAS MH370. Pengakuan itu dibuat beliau ketika mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. "Betul, kita akui ada kelemahan. Kita pun rasa insiden ini agak luar biasa sebab tiada petunjuk. "Kita terpaksa mencari dalam gelap," kata beliau. Terdahulu Anwar dalam ucapannya menegur sikap kerajaan yang bercelaru dalam menangani krisis, khusus dalam isu kehilangan MH370. Ianya termasuk kenyataan-kenyataan bercanggah di antara pemimpin negara dan pihak keselamatan yang mengelirukan semua pihak yang menanti penuh harapan. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kelemahan tersebut turut menjadi bualan negara-negara luar sehingga kerajaan Vietnam dan China menzahirkan rasa kecewa kerana mendapat maklumat terhad dari Malaysia. Kelemahan itu juga menjadi tajuk utama media luar negara sekaligus menjejaskan imej negara di mata dunia. "Mereka bukan tanya kapal terbang duk di mana, itu bomoh dah jawab. "BN kata kita main politik. Tapi dengan cara kita urus krisis ini, jahanam imej kita," kata beliau. Beliau juga menyelar sikap pihak yang membenarkan sekumpulan bomoh membuat ritual di KLIA yang disifatkan sebagai khurafat yang juga memalukan negara. "Saya minta siasat siapa terlibat, siapa urus siapa bayar," kata beliau lagi. Dalam pada itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dalam isu pengurusan krisis kehilangan MH370 ini, bukan sahaja negara hilang kapal terbang, penumpang serta anak kapal, tetapi juga hilang kredibiliti pemimpin negara. | |
Mana ada harga ayam RM1 seekor, kata peniaga kepada Wan Azizah Posted: 13 Mar 2014 07:19 AM PDT KEADILAN DAILYKAJANG : Tiada ayam yang dijual RM1 seekor sepertimana yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata calon KEADILAN N25 Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau menyatakan perkara itu berdasarkan pemerhatiannya di Pasar Kajang pada sesi bertemu peniaga jam 8 pagi tadi. Wan Azizah turut bertanya beberapa peniaga ayam sama ada mereka ada menjual ayam dengan harga RM1 seekor. "Saya tanya peniaga ayam, ayam seringgit ada? Mereka cakap tak ada. Mereka terus tunjuk tanda harga yang ditulis ayam sekilo RM8.40," jelasnya kepada pemberita. Menurutnya, Pasar Kajang perlu diberi perhatian khususnya dari segi infrastruktur yang perlu diperbaiki dan paling penting adalah kebersihan. "Hari ini kita hanya bertemu peniaga di sini, sebagai memperkenalkan calon dan kita akan adakan pertemuan selanjutnya dengan peniaga. "Kita akan senaraikan keutamaan dan perkara yang pertama kita perlu buat," katanya, lapor Harakah Daily. Pada kesempatan itu, Wan Azizah turut membeli petai dan diberi sejambak bunga ros oleh peniaga di situ. "Semalam saya pergi pasar malam, saya dapat nangka madu dan daging. Saya dapat petai dan saya akan masak sambal petai," ujarnya mengakui petai adalah ulam kegemarannya. Pasar Kajang merupakan satu-satunya pasar di Kajang, menyebabkan ia menjadi tumpuan utama penduduk. Pelbagai barangan yang boleh diperoleh di Pasar Kajang dari barangan basah, kering, serta pakaian juga terdapat beberapa kedai borong yang turut menjadi tumpuan para peniaga kecil-kecilan. | |
Siasat siapa bagi lampu hijau kepada bomoh ’1Malaysia’ – Anwar Posted: 13 Mar 2014 07:16 AM PDT Oleh Lyn Nasir KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan segera terhadap bomoh yang melakukan upacara di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kononnya bagi membantu menjejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. "Saya nak tahu siapa yang suruh, siapa yang membayar mereka, siapa yang membenarkan? Apakah ini bomoh '1Malaysia'? "Mana pergi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)? Mana pergi menteri yang membiarkan perkara itu berlaku? "Bila bomoh buat sebegitu, panggil pula media antarabangsa (buat liputan), tak malukah kita? Ini (perbuatan) syirik," tegasnya di Dewan Rakyat hari ini. Beliau turut mempertikai kenyataan salah seorang menteri yang dilapor Utusan Malaysia Selasa lalu sebagai berkata, bahawa tidak salah menggunakan bomoh untuk membantu siasatan. "Yang melaporkan itu adalah Utusan, media Umno, kita semua tahu. Biasalah media Umno dikawal oleh kerajaan, bila datang media bebas antarabangsa, semuanya kelam kabut," kata Anwar. Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, untuk mengelak sebarang kecelaruan, seharusnya lebih baik hanya seorang sahaja yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan insiden tersebut. "Kenyataan mesti disahkan, bila ada satu-satu kenyataan, mesti ada siasatan penuh, sebab kalau tidak, ia memalukan negara. "Ini tidak, seorang cakap macam itu, seorang (lagi) cakap macam ini, polis pula kata lain. Ini akan menampakkan kelemahan kita dalam mengurus isu sebegini. "Jangan pula kata kita (Pakatan Rakyat) sengaja politikkan (isu), sebab ini melibatkan nyawa awam," ujarnya. Laporan media sebelum ini menyatakan, KLIA gempar dengan kehadiran bomoh berkenaan yang melakukan ritual seperti menaiki tikar terbang dan menggunakan teropong buluh untuk mengesan pesawat MAS yang hilang. Pesawat Boeing 777-200 itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. Pesawat dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi. Penerbangan itu membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Sehingga kini, usaha pencarian enam hari berturut-turut masih belum menemui kehilangan pesawat tersebut. | |
Video: Bagaimana Kapal Terbang Dilupuskan Posted: 13 Mar 2014 07:05 AM PDT MSTAR ONLINE KEHILANGAN pesawat jenis Boeing 777 - 200 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) daripada radar pada Sabtu lalu bukan sahaja mengejutkan Malaysia malah dunia. Berikutan itu, ramai pengguna internet cuba mencari teori mengenai penerbangan yang hilang di laman-laman web selain cuba mengenali lebih dekat mengenai dunia penerbangan. Sehubungan itu mStar ingin berkongsi dengan pembaca mengenai proses melupuskan sesebuah penerbangan dan apakah kegunaan badan peswat kepada manusia. Percaya atau tidak, anda boleh melayari sendiri video tersebut: LIHAT VIDEO DI SINI | |
Jenayah Indeks Libatkan Pelajar Meningkat 63 Peratus Posted: 13 Mar 2014 07:01 AM PDT Oleh: BERNAMA JASIN: Jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah di Melaka meningkat 63 peratus tahun lepas dengan 103 kes dilaporkan berbanding 63 kes pada 2012. Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata ia meliputi kes jenayah seksual, curi motosikal, harta benda dan merusuh, kesemuanya melibatkan pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 18 tahun. "Kes jenayah seksual atau rogol melibatkan pelajar dilaporkan meningkat hampir sekali ganda dengan 42 peratus pada 2013 berbanding 23.6 peratus pada tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Pertandingan Kawad Kor Kadet Piala Ketua Polis Melaka 2014 (Platun Perempuan) pada Khamis. Beliau berkata bagi bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 10 tangkapan melibatkan pelajar sekolah dilakukan membabitkan dua kes rogol, satu kes samun dan tujuh jenayah curi. Justeru katanya pihak sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau dan mendidik golongan remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti jenayah. Dalam pada itu, Chuah berkata anggota Kor Kadet Polis dan anggota Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah di negeri itu disaran turut memainkan peranan bagi membantu menangani aktiviti jenayah di sekolah. Terdahulu, beliau menyampaikan Piala Ketua Polis Melaka kepada Kawad Kor Kadet Platun Perempuan yang dimenangi Sekolah Menengah Agama AL-Asyraf, Alor Gajah. Sebanyak 840 pelajar perempuan dari 24 sekolah di seluruh Melaka bertanding dalam pertandingan kawad kaki berkenaan. | |
Rosmah bazir lebih RM400,000 ke Qatar guna jet kerajaan Posted: 12 Mar 2014 09:32 PM PDT KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua hari Datuk Seri Najib Razak menasihati rakyat agar bijak berbelanja, Parlimen mendedahkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan RM400,000 wang rakyat untuk kos penerbangannya ke Qatar November lalu. Parlimen mendedahkan perkara itu dalam satu jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kos itu yang menggunakan jet rasmi kerajaan. Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan ia sebagai satu pembaziran nyata, kerana penerbangan dua hala untuk kelas bisnes menggunakan syarikat penerbangan seperi Qatar Airways hanya menelan belanja RM13,205. "Jika isteri Perdana Menteri bawa sepuluh pengiring bersama pun, ia tidak akan mencecah RM400,000," katanya, menurut Malaysiakini. Menurut jawapan itu, sejumlah RM196,614.31 digunakan untuk bahan api, RM229,875.15 untuk pengemudian, terbang lintang dan ejen pengendalian darat. Sehubungan itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu mengkritik Najib yang baru sahaja menasihatkan rakyat agar bijak berbelanja pada Majlis Pelancaran Anugerah Kedai Harga Patut 2014, Isnin lalu. "Di manakah moral Najib yang cari ayam RM1, sedangkan isterinya membelanjakan wang kerajaan dengan keterlaluan," katanya lagi. Pada program itu, Najib menunjukkan 'kejayaannya' mendapatkan seekor ayam dengan harga itu, di NSK Trade City, di sini. "Jangan mengadu harga barang naik kerana kamu mempunyai pilihan," kata Najib pada majlis itu.-Roketkini.com | |
Misteri MH370 kini mula bertukar jadi tekanan terhadap Najib Posted: 12 Mar 2014 09:22 PM PDT Misteri kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari kelima tanpa sebarang jawapan kini sudah beransur-ansur bertukar menjadi tekanan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di mana pelbagai pihak sama ada dalam negara, mahu pun antarabangsa mulai melihat aspek kecelaruan, tiada kesepakatan dan saling menuduh dalam proses mencari jawapan pesawat yang hilang itu. Sementara waris mangsa turut merungut kerana sejak hari pertama lagi tiada keselarasan dalam menyampaikan maklumat sehingga ada yang meluahkan kemarahan dengan membaling air kepada petugas MAS di Beijing, rakyat dalam negara dan masyarakat antarabangsa juga turut keliru dengan pelbagai maklumat yang bercampur antara yang benar dengan yang palsu. Walaupun pelbagai pihak daripada semua keturunan, agama dan kepercayaan tidak putus-putus mendoakan agar pesawat yang ditakrifkan hilang itu segera ditemui dan semua penumpangnya selamat, mereka juga sebenarnya ingin mendapatkan maklumat terkini yang pantas dan tepat. Namun, hari demi hari yang berlalu sebenarnya lebih membuktikan kita tidak cukup bersedia untuk menghadapi krisis dan bencana yang menimpa. Daripada pimpinan kerajaan, jabatan kerajaan dan ketua jabatan yang berkaitan terlihat seperti hilang punca dalam menangani dan menyalurkan maklumat mengenai insiden ini. Hishammuddin Hussein yang diberi dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan dan memangku di Kementerian Pengangkutan oleh Najib Razak, sebagai sebahagian pelan meningkatkan imejnya di kalangan perwakilan Umno seharusnya bertanggungjawab penuh dalam menyelaras dan memastikan maklumat yang tepat disalurkan kepada pelbagai pihak, ternyata gagal berbuat demikian. Bloomberg hari ini, selepas hari kelima kehilangan pesawat itu masih menjadi misteri, secara terbuka mengkritik ketidakselarasan dan ketidakcekapan Malaysia dalam mengurus krisis yang digambarkan sebagai salah satu kelemahan kepimpinan perdana menteri kerana masih terbelenggu dengan kawalan ketat terhadap maklumat yang diamalkan kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu. Di samping melaporkan kebimbangan China yang meminta Najib supaya lebih bersikap telus dalam menangani krisis yang menjadi perhatian dunia ini, peranan sepupunya, Hishammuddin dalam mengamalkan ketelusan dan tidak menjadikan usaha mengendalikan isu global seperti menguruskan isu politik domestik, nyata satu gambaran yang memalukan negara. Kritikan itu tentunya bukan sahaja kerana peranan pemangku menteri pengangkutan yang tidak menyerlah sejak lima hari yang lalu dalam mengetuai operasi, tetapi juga penglibatan beberapa menteri lain yang menjadikan keadaan bertambah serabut. Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi misalnya, ketika mengulas mengenai wujudnya penumpang yang menggunakan pasport curi menempelak kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA yang didakwanya tidak dapat membezakan antara wajah orang Asia dengan Eropah. Dengan hanya bersandarkan andaian kerana dua warga Italy dan Austria itu kehilangan pasportnya di Thailand, Zahid terus beranggapan bahawa pemegang pasport curi itu juga berasal daripada Thailand. Ia nyata memalukan Zahid kerana akhirnya terbukti kemudiannya mereka yang memiliki pasport curi itu adalah warga Iran yang kita semua maklum mempunyai bentuk wajah dan kulit hampir sama dengan orang Eropah. Di ketika lain pula, sementara berpuluh-puluh kapal laut dan kapal terbang sedang dikerahkan mencari dan menyelamat di Laut China Selatan dan Selat Melaka, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob pula dikhabarkan mengerahkan lebih 1700 bot nelayan dan lebih 20 ribu nelayan bagi membantu operasi mencari pesawat MH370 ini. Terlihat bahawa kenyataan ini lebih didorong oleh keghairahan terhadap publisiti semata-mata kerana apalah yang boleh dilakukan oleh bot nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat itu. Bot nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat hanya lebih kurang sama dengan kapal selam Scorpene yang tidak digunakan untuk mencari pesawat MH370 kerana tidak dilengkapi kemudahan seperti itu. Apa yang boleh dilakukan oleh nelayan hanyalah menyampaikan maklumat sambil menangkap ikan. Tidak perlu dikerah nelayan untuk berbuat demikian kerana sekiranya mereka ternampak kapal terhempas atau menjunam ke dalam laut, sudah pasti mereka akan memberikan maklumat secara sukarela kepada pihak berkuasa. Di sisi lain pula, maklumat antara MAS, Jabatan Penerbangan Awam dan polis sering pula bercanggah antara satu sama lain. Dalam isu penumpang membeli tiket tetapi tidak menaiki kapalterbang dan isu pemilik pasport curi, jelas terlihat ada percanggahan memalukan antara jabatan ini. Jabatan Penerbangan Awam misalnya mengesahkan ada pembeli tiket yang tidak menaiki pesawat tetapi kemudiannya dinafikan oleh MAS dan polis. Pada peringkat awal juga Jabatan Penerbangan Awam mengatakan pemilik pasport curi itu berkulit hitam tetapi akhirnya terbukti merupakan rakyat Iran. Dalam masa yang sama, rakyat dalam negara bertambah keliru dan senak perut apabila pelbagai berita yang tidak disahkan kebenarannya seperti pengakuan nelayan, petani dan orang awam yang mengaku melihat pesawat yang hilang itu, turut dijadikan bahan berita dan dijadikan rujukan. Bomoh dan pawang yang membawa bubu dan tikar terbang juga terlihat menjalankan upacara peliknya di KLIA sambil mendakwa mengetahui di mana pesawat itu berada ketika ini. Sudahlah kelewatan dan ketidakselarasan menyalurkan maklumat merupakan sesuatu yang memalukan negara di mata dunia, kemunculan bomoh ini menambahkan lagi malu yang ada. Seharusnya dalam menangani bencana besar dan menjadi tumpuan seperti ini, sesuatu kawalan hendaklah diadakan bagi mengelakkan perkara karut-marut ini daripada turut menyibuk sama. Di sinilah sebenarnya mustahaknya nilai kepimpinan yang berwibawa dalam diri individu yang mengetuai operasi menyelamat ini. Daripada semua percanggahan, kecelaruan, ketidakcekapan dan kelambatan maklumat dalam krisis MH370 ini, ia secara perlahan-lahan mula menyerlahkan bahawa pasukan pentadbiran Najib lebih dipenuhi oleh individu yang tidak cekap dan kurang upaya. Kebolehan mereka hanyalah membodek, mencium tangan dan menyerang parti pembangkang. Lagi lambat MH370 ini ditemui, lebih banyak kelemahan yang selama ini tersembunyi akan terdedah kepada umum. Kritikan antarabangsa juga akan meningkat. Selain pasukan penyelamat Vietnam yang sudah menggantung operasinya kerana masih menunggu jawapan sejak dua hari lalu tetapi masih tiada jawapan mengenai lokasi sebenar pesawat itu dipercayai hilang, pasukan daripada China juga dilaporkan sudah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Malaysia berikutan usaha pencarian selama ini seolah-olah tidak berfokus. Pasukan penyelamat Thailand juga dilaporkan mengambil tindakan yang sama dengan Vietnam sehingga mereka benar-benar diberikan maklumat yang sahih dimanakah pesawat itu kali terakhir dilaporkan hilang oleh pihak kerajaan kita. Najib yang baru terselamat daripada tekanan dalam negeri berikutan kejayaan menghalang Anwar Ibrahim daripada bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, kini diburu tekanan yang tidak diduga berikutan kehilangan pesawat MH370 ini. Tekanan terhadap keupayaan kerajaan yang sedang dipimpinnya kini mula datang daripada banyak penjuru di dalam dan juga luar negara. Semakin lama kehilangan pesawat ini menjadi misteri antarabangsa, ia dipercayai semakin menggoncang kedudukan Najib. Jika di Jepun atau beberapa negara lain, kejadian seperti ini pasti menyebabkan ada pemimpinnya yang berani memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, seseorang juga mesti bertanggungjawab atas insiden MH370 ini, apatah lagi jika akhirnya nanti diketahui tragedi kehilangan ini ada kaitan dengan rampasan kapal terbang. – shahbudindotcom.blogspot.com | |
Datuk A.Hassan Alami Strok Ringan Posted: 12 Mar 2014 09:13 PM PDT RAKYATNEWS Penyanyi era 60-an Datuk A. Rahman Hassan hilang keseimbangan badan dan sukar berdiri akibat mengalami strok ringan selepas beliau rebah semasa menghadiri majlis pelancaran DVD Asas Gerak Melayu yang diadakan di Istana Budaya dekat sini. A. Rahman ketika dihubungi mStar Online berkata, meskipun berasa semakin sihat namun beliau sukar untuk berjalan kerana gagal mengimbangi badan selain berasa pening ketika berdiri. "Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih walaupun masih di tahan di wad untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital. "Doktor mengesyaki saya mengalami strok jenis ringan yang mana saya hilang keseimbangan badan dan akan rebah sekiranya cuba berdiri," katanya. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.30 petang, 15 Februari lalu itu, A. Rahman rebah ketika sedang duduk di dalam dewan sebelum sempat disambut oleh tetamu yang berada di sebelahnya. Ketika kejadian, mantan Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Datuk Mohd Bisharuddin Mohd Nor Bhasa, sedang menyampaikan ucapan perasmian acara tersebut. Penyanyi itu dikejarkan ke HKL selepas sebuah ambulan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian. Dalam perkembangan sama, A. Rahman berkata, sepanjang berada di hospital beliau turut menjalani rawatan fisioterapi untuk mendapatkan semula keseimbangan badannya. Malah katanya, pelbagai ujian dilakukan termasuk imbasan magnetik resonan (MRI) dan sinar x bagi mengetahui punca sebenar keadaannya itu. "Saya tidak mengalami sebarang masalah percakapan, hilang deria ataupun lumpuh pada anggota badan seperti mana pesakit strok yang lain cuma hilang keseimbangan badan sahaja. "Selera makan juga semakin baik dan rawatan fisioterapi yang dilakukan menunjukkan tanda positif. Petang ini (Rabu) saya akan membuat ujian 'ultrasound' pula," katanya yang hampir sepuluh hari berada di HKL. Tambah A. Rahman beliau berharap akan segera pulih daripada penyakit itu dan dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat. | |
TPM Umum Calon BN DUN Balingian Sabtu ini Posted: 12 Mar 2014 09:06 PM PDT RAKYATNEWS KUCHING - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Balingian di Mukah, Sabtu ini. Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telahpun memutuskan calon yang sesuai, namun pengumuman akan hanya dibuat Timbalan Perdana Menteri. "Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB hari ini membincangkan perkara itu, dan mencapai keputusan berhubung calon berkenaan, seorang Kristian Melanau yang amat terkenal dalam kalangan penduduk setempat. "Kami akan memberi penghormatan kepada timbalan perdana menteri untuk mengumumkan nama itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB di sini Rabu. N51 Balingian, kawasan pilihan raya majoriti Melanau, diisytihar kosong berikutan peletakan jawatan penyandang dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb lepas. Khamis lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 29 Mac manakala penamaan calon pada 17 Mac. Muhyiddin dijangka tiba di Kuching pada Jumaat. Sementara itu Adenan, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata keputusan untuk meletakkan seorang calon Kristian dibuat sebagai menghormati persetujuan yang dicapai sejak 1963. Di bawah persetujuan bersama dalam kalangan kaum Melanau, sebuah daripada dua kerusi DUN iaitu Dalat dan Balingian, atau kawasan parlimen Mukah, perlu diwakili seorang Kristian Melanau. Anggota Parlimen Mukah Datuk Seri Muhammad Leo Michael Toyad memeluk Islam beberapa tahun lepas manakala Adun Dalat Datuk Fatimah Abdullah beragama Islam. Mukah yang merupakan kubu BN selama 40 tahun, mempunyai 13,366 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah Melanau, 20 peratus Iban dan 10 peratus Cina. Pada 2011, Taib memenangi kerusi DUN Balingian dalam pertandingan tiga penjuru, mengalahkan Suriati Abdullah daripada PKR dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dengan majoriti 5,154 undi. | |
Tiada Bukti Imej Satelit Itu MH370 - DCA China Posted: 12 Mar 2014 09:02 PM PDT RAKYATNEWS BEIJING - Ketua Jabatan Penerbangan Awam (DCA) China berkata, tiada sebarang bukti bahawa objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu. "Satelit China mengesan asap dan objek terapung...Ketika ini kami tidak dapat mengesahkan sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu," katanya Li Jiaxiang ketika ditemui selepas mesyuarat Parlimen negara itu hari ini. | |
Bomoh jadi perhatian di media sosial Posted: 12 Mar 2014 08:55 PM PDT SHAH ALAM - Upacara ritual menggunakan teropong buluh dan bubu mata pancing yang dilakukan oleh seorang bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP kini menjadi satu trending di media sosial. Penyebaran video upacara ritual Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80 menzahirkan pelbagai reaksi dari golongan masyarakat lebih-lebih lagi golongan muda. Semakin ramai individu yang berlumba-lumba 'melakukan' ritual yang sama bagi menunjukkan usaha mereka untuk menemukan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Kelmarin, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar menerima ketibaan Raja Bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu. Bomoh VIP yang kononnya berkebolehan meramal keadaan pesawat MH370 itu menjalankan upacara selama 30 minit dan mendakwa pesawat tersebut 'tergantung' di antara tiga negara iaitu Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dikenal pasti namun beliau mengesahkan MH370 itu berada dalam keadaan selamat. Menurut Raja Bomoh Sedunia ini, bubu mata pancing yang digunakan merupakan simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian. Ibrahim sebelum ini mendakwa pernah membuat ramalan ke atas kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang berkata, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini. Jakim bagaimanapu menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan pesawat MH370 yang masih hilang. | |
Trending 'tikar terbang', syirik dan memalukan Posted: 12 Mar 2014 08:52 PM PDT SHAH ALAM - Belum pun habis kontroversi upacara ritual 'buluh bubu', masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan aksi 'tikar terbang' oleh Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang dilihat bersungguh-sungguh mahu membantu pihak berkuasa mencari pesawat MH370. Parodi 'tikar terbang' yang sudah tersebar di laman sosial seperti Facebook dan Twitter sejak petang semalam menjadi trending seluruh masyarakat termasuk golongan pemimpin politik dan anak-anak muda. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam turut memuat turun gambar tiga jururawat hospital swasta sedang duduk di atas tikar dan berpura-pura 'berlepas' ke udara untuk memperkasakan lagi usaha mencari pesawat MH370. "Harap-harap tidak ada pesakit yang akan bertambah sakit," memetik kenyataannya dari laman Twitter rasminya kira-kira jam 10 malam. Terbaru, Ibrahim Mat Zim yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP bersama dua lelaki lain memakai sut lengkap duduk di atas tikar sambil memegang bakul mengkuang dan dua biji kelapa, melakukan ritual untuk berlepas ke ruang angkasa bagi meninjau lokasi pesawat MH370 yang hilang. Pengguna media sosial rata-ratanya meluahkan rasa kurang senang dengan aksi "Zam-Zam Alakazam" seperti filem Laksamana Do Re Mi itu. Selain menyifatkan ia perbuatan syirik, memalukan negara, mereka juga meminta pihak berkuasa agama supaya segera bertindak. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya juga semalam menggesa pihak Jakim mengambil tindakan ke atas Raja Bomoh ini yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati. Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini gempar menerima kehadiran Bomoh VIP yang mendakwa dirinya mampu 'menyeru' pesawat terbabit. Beliau yang kononnya berkebolehan meramal keadaan pesawat MH370 itu menjalankan upacara selama 30 minit dan mendakwa pesawat tersebut 'tergantung' di antara tiga negara iaitu Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dikenal pasti namun beliau mengesahkan MH370 itu berada dalam keadaan selamat. | |
Agensi satelit sertai misi cari MH370 Posted: 12 Mar 2014 08:48 PM PDT PARIS - Beberapa agensi satelit pemantau Bumi menyertai misi mengesan pesawat MH370, menurut laporan pengurusan satelit semalam. Menurut AFP, ini berikutan permintaan China supaya Pertubuhan Piagam Antarabangsa Angkasa dan Bencana Utama diaktifkan. Di bawah persetujuan tersebut, sebanyak 15 agensi angkasa dan institut angkasa kebangsaan memulakan usaha bantuan dengan menyebarkan imej dari satelit yang melalui kawasan berkenaan. "Imej satelit kini sedang digunakan bagi mencari sebarang bukti kejadian sebelum dan selepas pesawat itu hilang. "Sehingga hari ini, pencarian masih diteruskan," katanya dalam kenyataan. Menurut ahli Agensi Angkasa Eropah (ESA), Pentadbiran Meteorologi China menyediakan data beresolusi tinggi bagi tujuan pencarian itu, bagaimana pun kawasan yang terlibat dalam pengimejan satelit itu tidak didedahkan. Ini merupakan kali pertama Pertubuhan Piagam Antarabangsa Angkasa membantu dalam misi mencari pesawat yang hilang selepas ditubuhkan pada tahun 2000. Selepas diaktifkan, juruteknik angkasa akan menimbangkan satelit yang paling sesuai digunakan untuk misi pencarian itu berdasarkan data radar darat atau gambar. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan