Sabtu, 1 Februari 2014

SIASAH

SIASAH


Ke mana haluan konsensus nasional?

Posted: 01 Feb 2014 02:27 AM PST

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan kempen protes terhadap Barisan Nasional, menampakkan perbezaan yang tidak dapat didamaikan.

Tetapi kebelakangan ini cakap-cakap tentang satu konsensus nasional semakin tersebar luas, dan mendapat sokongan kuat Anwar dan PR.

Cadangan ini turut diterima baik oleh BN, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan minat terhadap dialog konsensus nasional ini.

Malah projek konsensus nasional ini turut disokong oleh Dr Mujahid Yusof, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS dalam satu tulisannya, bertajuk Jalan ke Depan Bersama Konsensus Nasional yang disiarkan dalam portal Malaysian Insider, yang menunjukkan kecenderungan positif terhadap dialog ini, dan juga tindakan Anwar di Kajang.

Dialog ini disebut sebagai bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat pada masa ini, melibatkan pelbagai isu daripada hubungan antara kaum hingga ke harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi perkembangan ini tidak dapat mengelakkan daripada menampakkan sisi politik pragmatik kedua-dua pihak yang terlibat dalam rancangan ini.

Perbezaan yang kelihatan sebelum dan sejurus selepas PRU 13 menunjukkan yang tidak ada jalan lain bagi PR selain melawan habis-habisan pemerintah BN yang telah melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi kebelakangan ini dapat diperhatikan kesungguhan untuk segera berdialog dan mencapai konsensus.

Perkembangan ini malah turut dikaitkan dengan projek gerakan Kajang, meletakkan Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan menjadi menteri besar Selangor.

Kaitan antara kesungguhan untuk mengadakan dialog bagi mencapai konsensus nasional dengan gerakan Kajang dilihat sesetengah pihak, tetapi masih banyak mencetuskan spekulasi, terutama melibatkan rundingan antara Anwar dengan Najib.

Beberapa rundingan melibatkan dua pemimpin ini telah dilakukan sejak sebelum PRU 13 untuk mencapai penyelesaian politik.

Perkembangan terkini di Selangor tercetus ekoran percaturan PKR berhubung kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.


 

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Posted: 31 Jan 2014 09:16 PM PST

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014

Tiada ulasan: