Ahad, 9 Februari 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Najib kena penampar

Posted: 09 Feb 2014 11:27 PM PST


FEBRUARY 10, 2014
Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi mendapatkan ganjaran wang tunai RM1,200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara tiba-tiba keluar berita mengenai peletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari.
Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.
Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh bahawa peletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimeterai antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu.
Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya sebahagian sokongan pengundi India kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihan raya umum pada 2008 dan juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian dilantik sebagai senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tidak gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda ia akan ditunaikan oleh kerajaan.
Menurut Ramesh lagi, pihaknya melakukan segala yang boleh, menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang ditandatangani akan menjadi kenyataan.
Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.
Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana yang dijanjikan sebelum pilihan raya, melupakan beberapa akujanjinya sendiri serta banyak lagi, peletakan jawatan pemimpin Hindraf itu bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan menyakitkan bagi perdana menteri.
Ditambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10% pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya kepada BN.
Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib.
Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang.
Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana ada ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat tetapi barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan baharu selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti. – shahbudindotcom.blogspot.com, 10 Februari, 2014. - TMI

2 PRK serentak pada Mac depan?

Posted: 09 Feb 2014 09:03 PM PST


PETALING JAYA: Perubahan landskap politik di Sarawak yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat berkemungkinan menyaksikan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan serentak pada Mac depan.
Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingan yang bakal berlaku selepas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan perletakan jawatan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.
Ketua Menteri Sarawak itu dijadual membuat pengumuman penting itu pada Isnin.
Suruhanyajaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 23 Mac depan sebagai hari pembuangan undi bagi PRK DUN Kajang manakala proses penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
Ini bermakna SPR mempunyai tempoh selama sebulan untuk membuat pesediaan bagi PRK DUN Kajang.
Justeru jika Abdul Taib mengisytiharkan untuk mengosongkan kerusi DUN Balingan yang disandangnya sejak 2001 hari ini (Isnin), SPR mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan persediaan bagi melaksanakan kedua-dua PRK itu serentak.
Berdasarkan undang-undang tubuh negeri Sarawak, sebarang kekosongan kerusi DUN sebelum 20 Jun tahun ini perlu diisi menerusi PRK.
Untuk rekod SPR sebelum ini pernah mengadakan beberapa PRK serentak pada penggal Parlimen ke-12 iaitu PRK Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan DUN Batang Ai (Sarawak) pada 7 April 2009.
Pada 4 Novemver 2010 turut menyaksikan dua PRK diadakan secara bersama iaitu di DUN Galas (Kelantan) dan Parlimen Batu Sapi di Sabah.
Selain itu satu lagi PRK serentak berlaku pada 6 Mac 2011 membabitkan DUN Merlimau di Melaka dan DUN Kerdau di Pahang. 10/2/14

Tiada ulasan: