Isnin, 10 Februari 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


"Penampar Gila" Buat Najib & UMNO BN

Posted: 10 Feb 2014 12:40 AM PST


Imej Najib terjejas, Waytha letak jawatan akibat janji tidak ditepati

Kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin goyah dengan peletakan jawatan P Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri kerana janji tidak ditepati yang dibuat dengan masyarakat India sebelum Pilihan Raya Umum 2013.

Mereka yang rapat dengan ketua Hindraf itu berkata, beliau berasa perdana menteri tidak boleh dipercayai sama seperti yang berlaku dengan isu penyelesaian 10 perkara berkenaan Bible berbahasa Melayu yang Najib kini mengatakan ia tertakluk kepada undang-undang Islam negeri.

Kedua-dua perjanjian dengan Hindraf dan Kristian yang dibuat sebelum pilihan raya oleh perdana menteri yang pengkritik katakan sebagai tidak komited atau mampu untuk ditepati.

Persoalannya, adakah mana-mana individu atau kumpulan yang akan mempercayai kata-kata Najib selepas ini?


Malah kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu, Perkasa juga tidak gembira dengan Najib kerana kurangnya ketegasan pendirian beliau dalam menangani penganut Kristian berkenaan isu penggunaan kalimah Allah dalam ibadah mereka.

Pentadbiran Najib juga sedang bergolak selepas pemotongan subsidi yang menyebabkan peningkatan harga dan inflasi tahun ini, lapan bulan selepas kempen pilihan raya di mana perdana menteri berjanji tiada pemotongan atau penarikan subsidi dan memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2010.

Kedudukan Najib juga menyusut kepada penurunan paling rendah sejak memegang jawatan pada 2009, menurun kepada 52% pada Disember 2013, daripada 62% pada Ogos 2013, hasil tinjauan Merdeka Center.

Dua bulan selepas menggantika3n Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, kedudukan Najib sebanyak 65% apabila rakyat bersetuju dengan slogan 1Malaysia dan janji mewujudkan kerajaan yang mesra rakyat .

Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Najib bertanggungjawab terhadap prestasinya yang buruk terutamanya dalam memenuhi janji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low harus mengikut jejak langkah Waytha dan meletakkan jawatan daripada Kabinet.

"Nampaknya Waytha Moorthy dan Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) adalah satu-satunya di negara ini yang tidak tahu Najib tidak mempunyai keupayaan politik atau keberanian untuk menunaikan janji dalam MoU .

"Jadi Paul Low akan mengikuti jejak langkah Waytha Moorthy memandangkan tiada siapa yakin dengan keupayaan Najib melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa menteri dan pegawai mereka, "
kata ahli politik veteran itu.

Waytha dan Low menyertai pentadbiran Najib selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu, yang dilihat sebagai satu kegagalan bagi perdana menteri berbanding pucuk pimpinan terdahulu, Abdullah.

Najib menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Waytha sebelum pilihan raya tahun lalu yang membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh semula sokongan kecil masyarakat India yang membentuk 7% daripada 29 juta penduduk negara ini.

Dalam MoU itu, parti kerajaan itu berjanji untuk menyelesaikan masalah sosio -ekonomi kronik yang melanda masyarakat India jika BN kembali berkuasa dengan sokongan Hindraf.

Peguam, R Kengadharan, berkata Waytha adalah "lelaki yang kecewa" kerana kerajaan BN gagal melaksanakan semua janji yang dibuat.

Pemimpin Kristian juga membuat aduan penyelesaian 10 perkara pada 2011 membenarkan kitab Bible berbahasa Melayu kini tidak bermakna selepas perdana menteri berkata undang-undang Islam negeri mengatasinya seperti serbuan terhadap Pertubuhan Bible Malaysia di Selangor bulan lalu.

Undang-undang digubal oleh kerajaan BN negeri pada 1980-an selepas kerajaan persekutuan BN mengikut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang kira-kira 40 perkataan daripada digunakan oleh agama lain. -TMI

Najib kena penampar – Shahbudin Husin


Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi mendapatkan ganjaran wang tunai RM1,200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara tiba-tiba keluar berita mengenai peletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari.

Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.

Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh bahawa peletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimeterai antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu.

Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya sebahagian sokongan pengundi India kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihan raya umum pada 2008 dan juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian dilantik sebagai senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tidak gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda ia akan ditunaikan oleh kerajaan.

Menurut Ramesh lagi, pihaknya melakukan segala yang boleh, menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang ditandatangani akan menjadi kenyataan.

Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.

Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana yang dijanjikan sebelum pilihan raya, melupakan beberapa akujanjinya sendiri serta banyak lagi, peletakan jawatan pemimpin Hindraf itu bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan menyakitkan bagi perdana menteri.

Ditambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10% pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya kepada BN.

Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib.

Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang.

Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana ada ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat tetapi barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan baharu selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti.
– shahbudindotcom


[KANTOI] "Penyamun" Itu Pakai Baju Lambang Apa?

Posted: 09 Feb 2014 09:05 PM PST


Penyamun bangang kena cekup

BANTING: Tindakan dua penjenayah menggunakan nombor pendaftaran kereta sama ketika melakukan jenayah sebelum ini berjaya diberkas kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 20-an berjaya diberkas di Jalan Cempaka, di sini, selepas kelibat mereka disedari ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Telok Datok yang melakukan rondaan.

Curiga dengan kehadiran kereta yang dinaiki suspek, ahli SRS kemudian mengekori mereka kira-kira 30 minit dan memaklumkan kepada polis nombor pendaftaran kereta berkenaan sama dengan nombor kereta yang terbabit dalam kejadian ragut seorang wanita di Pekan Banting, 23 Januari lalu.

Menyedari mereka diekori, suspek memecut namun kecekapan polis kemudiannya berjaya memberkas mereka yang dipercayai merancang untuk melakukan jenayah di kawasan berhampiran.

Pengerusi SRS Telok Datok Khairul Azhar Misnan berkata, sebelum ditahan, beliau bersama tiga lagi anggota SRS melakukan rondaan sebelum terserempak dengan suspek.-HM

ULASAN GB

Baru-baru ini tersiar satu berita seorang remaja memakai baju 1Malaysia/BN ditangkap kerana mencuri beberapa bungkus MILO.


Yang ini pula "penyamun" tersebut juga kelihatan memakai baju berlambangkan yang sama, BN.


Adakah dalam BN ramai sangat penyamun atau di kalangan penyamun ramai anggota BN atau mereka menggunakan baju BN untuk mudah melepaskan diri di era kerajaan penyamun?

Demikian, hukum kebenaran dan keadilan berjalan...

[VIDEO & GAMBAR] Hotel di Madinah Terbakar, 15 Maut 130 Cedera

Posted: 09 Feb 2014 04:45 PM PST


Riyadh: Satu kebakaran Hotel Ishraq Al-Madina di Madinah pada Sabtu telah menyebabkan 15 jemaah maut dan mencederakan 130 yang lain, lapor agensi berita SPA.

Kabakaran dilaporkan berlaku 2.33 petang Sabtu waktu tempatan dan kira-kira pukul 8 malam waktu Malaysia.

Agensi tersebut melaporkan, beberapa pegawai yang ditemui berkata kira-kira 700 jemaah telah menginap di hotel di bandar barat Madinah untuk melaksanakan umrah.

Laporan sebelum ini berkata 12 orang terbunuh dalam kebakaran tersebut.

Stesen-stesen televisyen di Mesir berkata rakyat Mesir dan Turki adalah antara mereka yang terkorban dan jurucakap Kementerian Luar, Badr Abdelatty berkata Kaherah masih cuba untuk mengesahkan jumlah warga mereka yang meninggal dunia.

"Api tersebut mengakibatkan kematian 15 jemaah dan disebabkan oleh pengsan, pendarahan dan serangan jantung dan pernafasan . Kami juga merawat 30 kes lemas akibat kebakaran," kata Mohammed Mahmoud Kheyat , jurucakap Bulan Sabit Merah Arab di Madinah kepada agesi berita tersebut.

Kebakaran berlaku pada waktu petang dan berjaya dikawal beberapa jam kemudian oleh lebih daripada 110 anggota Bomba dan Pertahanan Awam Arab Saudi.

Mereka yang terselamat berpindah ke hotel lain di bandar tersebut.

Pihak berkuasa melakukan siasatan punca kebakaran itu dan mengatakan kerja-kerja penyelenggaraan di hotel itu litar pintas mungkin menjadi punca hotel tersebut terbakar. -astroawani






Zahid Hamidi Ditibai Dari Segala Arah

Posted: 09 Feb 2014 06:50 AM PST


Pengguna laman sosial juga tawar ganjaran buat Zahid

Kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa tawaran wang tunai untuk 'menampar' seorang ahli parlimen DAP bukan "satu ancaman", menyebabkan laman media sosial kecoh dengan tawaran mereka sendiri.

Tidak seperti sekumpulan NGO Islam yang menawarkan RM 1,200 untuk menampar Teresa Kok, pengguna laman sosial itu juga membuat tawaran kepada mereka yang berani untuk menyedarkan Zahid.

Tawaran dari pelbagai individu itu bermula serendah 5 sen dan setinggi RM 1,500 dan beberapa pengguna mencadangkan majlis kutipan derma bagi tujuan itu.


'Twit' dalam bahasa Melayu dan Inggeris mengenai hal itu memenuhi laman tersebut sehingga lewat malam semalam sehingga ada yang menawarkan seikat kangkung bagi tujuan sama.

Beberapa pengguna, seperti personaliti media Asha Gill mencadangkan supaya menggabungkannya dengan kempen derma, manakala kebanyakan yang lain rasa jengkel dengan menganggap kenyataan Zahid tidak logik. -mk


Apa tindakan polis jika NGO tawar RM1,200 tampar PM & Menteri-menteri Malaysia?


Bayangkan apa tindakan Polis jika ada enam NGO membuat demonstrasi tengah hari kelmarin dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengemukakan bukti bergambar bagi tindakan itu, diikuti dengan tindakan melumur darah ayam ke atas sepanduk memuatkan gambar menteri-menteri Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Kalau demonstrasi sedemikian terjadi, sudah tentu seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia, diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri, akan mengerumuni 30 penunjuk perasaan daripada enam NGO terbabit dan semua mereka akan terus disumbat ke dalam lokap, disiasat dengan teliti dan dengan pantas didakwa, bukan saja kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi notis 10 hari untuk perhimpunan tersebut, malah mereka juga akan didakwa kerana melakukan jenayah yang 'menjejaskan' demokrasi berparlimen menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 1012 (Sosma), Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya, dan kemungkinan semua yang terlibat itu akan merengkok lama dalam penjara.

Malah, kemungkinan enam NGO yang diwakili oleh 30 orang itu dengan pantas akan disumbat ke dalam "Black Maria" sehingga tidak sempat menyembelih ayam dan malah tidak sempat pun berhimpun kerana polis telah mendapat maklumat tentang rancangan mereka jauh lebih awal.

Tidak diragui lagi bahawa Cawangan Khas Polis Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia di kalangan unit khas sejenisnya, berkat warisan penjajah British dan kedudukan istimewanya dalam hirarki polis dengan himpunan maklumat risikan yang dikumpul dengan tujuan utama melindungi rejim yang berkuasa sekarang, sedangkan dalam masyarakat yang benar-benar demokratik, perkara paling utama bagi polis ialah untuk memelihara demokrasi berparlimen dan hak asasi manusia.

Tidak masuk akal sama sekali jika polis tidak mendapat apa-apa maklumat tentang demonstrasi kelmarin sebelum wakil-wakil media cetak dan media elektronik turun memberikan liputan penuh tentang demonstrasi itu yang diisi dengan acara menyembelih ayam dan melumur darah – jika benar polis tiada maklumat awal, maka Cawangan Khas patut dirombak sepenuhnya dan malah pengarah Cawangan Khas sepatutnya dipecat.

Namun, saya tahu Cawangan Khas adalah cekap, bererti polis telah mendapat maklumat awal tentang demonstrasi yang dirancang oleh enam NGO yang menggelar diri mereka sebagai Majlis NGO Islam, terdiri daripada Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Sehingga kini, Polis dan juga kerajaan Barisan Nasional membisu seribu bahasa tentang demonstrasi kelmarin yang melampau, menghasut, dan secara terbuka mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan untuk mencetuskan satu lagi peristiwa 13 Mei dalam negara berikutan video "Onederful Malaysia CNY 2014" yang mengkritik kegagalan dan kelemahan kerajaan Barisan Nasional tanpa mengaitkan mana-mana kaum atau agama.

Video Teresa didakwa anti-Melayu dan anti-Islam. Saya telah menjemput pihak yang membuat dakwaan sebegini untuk tampil secara terbuka menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu dan anti-Islam.

Jika mereka boleh menunjukkan ada bahagian dalam video itu yang anti-Melayu dan anti-Islam, saya secara terbuka akan meminta Teresa untuk mengambil tindakan yang wajar. Namun, sehingga kini belum ada siapa menyambut permintaan saya.

Paling menyedihkan, dua pemimpin MCA yang baru dipilih untuk memegang jawatan tertinggi, iaitu Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, seperti pemimpin-pemimpin MCA yang lain yang menurut jejak Barisan Nasional menyerang video Teresa, gagal menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu atau anti-Islam, tetapi mereka terus menggalakkan dan malah membantu protes puak ekstremis terhadap video Teresa.

Saya percaya semua rakyat Malaysia yang sihat akal fikirannya berhak untuk bertanya kepada KPN, Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, serta pimpinan Umno dan MCA mengapa layanan berbeza akan diberikan jika ada enam NGO menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Perdana Menteri dan melumur darah pada sepanduk bergambar Menteri Umno berbanding layanan yang diberikan terhadap enam NGO kelmarin yang menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Teresa Kok dan melumur darah pada sepanduk yang memaparkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

Sikap pilih bulu diamalkan oleh polis dan institusi utama negara, sedangkan mereka seharusnya bersikap tidak berpihak, saksama, dan profesional. Keadaan ini membuatkan rakyat semakin tidak yakin akan adanya urus tadbir yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Malaysia.
-LKS



Ahmad Zahid salah berhubung kenyataan terhadap Teresa Kok‎, kata peguam


Peguam jenayah mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bukan satu kesalahan untuk menawarkan ganjaran untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dengan berkata terpulang kepada pendakwa raya untuk memutuskan jika kesalahan dilakukan.

Mereka berkata, pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk bertindak secara profesional dan menyiasat apabila nyawa seseorang terancam, walaupun mereka di bawah kementerian yang diketuai Ahmad Zahid.

Peguam Syahredzan Johan berkata, sikap tidak peduli menteri itu tidak sepatutnya berlaku dan polis sepatutnya menjalankan siasatan kerana laporan polis sudahpun dibuat.

"Polis sepatutnya menguatkuasakan undang-undang mengikut buku statut,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata tugas polis adalah untuk mengumpul bukti yang ada dan menyerahkannya kepada pendakwa raya yang akan memutuskan jika adanya kes untuk didakwa.

Syahredzan berkata, dengan membuat kenyataan sebegitu, Ahmad Zahid sebenarnya menggalakkan tindakan tersebut, yang jelas melanggar undang-undang.

"Pelaku salah juga patut diteliti di bawah Akta Perhimpunan Aman bagi membawa pisau dan menyembelih ayam di pusat bandar," katanya.

Ahmad Zahid berkata tidak perlu membuka penyiasatan atas laporan polis dibuat terhadap Majlis NGO Islam - menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar ahli Parlimen Seputeh dan menyembelih ayam serta mencalit darahnya atas kain rentang dengan wajah pemimpin Cina DAP dan PKR di atasnya.

"Menampar bukan satu ancaman. Kalau mereka katakan bunuh, itu barulah ancaman," kata menteri itu semalam.

Pada Khamis, badan yang digelar Majlis NGO Islam, menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cinanya, bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'.

Mereka kemudiannya mencalit darah ke atas kertas rentang dengan wajah Kok dan pemimpin lain.

Penasihat Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata, kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan penghinaan terhadap wanita kerana menganggap ancaman yang jelas sebagai satu jenaka.

"Beliau menghantar mesej yang salah jika pro-Umno, anda akan kebal daripada undang-undang. Beliau menunjukkan bahawa kita boleh berbuat dan berkata apa sahaja, termasuk mengugut untuk memukul orang."

Paulsen berkata dalam kes ini, NGO tersebut melakukan kesalahan kerana menggalakkan jenayah terhadap seorang ahli Parlimen.

Sementara itu, Peguam Gobind Singh Deo berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sepatutnya mendidik Ahmad Zahid tentang peruntukan Seksyen 503 (jenayah ugutan) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata peruntukan itu menyatakan sesiapa yang mengugut untuk mencederakan orang lain melakukan jenayah ugutan.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara selama dua tahun dengan saman, dan dalam kes ugutan membawa kecederaan, hukuman adalah penjara sehingga tujuh tahun.

"Ancaman menampar seseorang jelasnya jatuh di bawah seksyen ini," kata Gobind yang juga merupakan ahli Parlimen Puchong.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tentunya keliru apabila berkata tindakan hanya akan diambil selepas sesuatu insiden berlaku.

"Itu memang tidak munasabah. Undang-undang tidak perlu menunggu seseorang untuk melakukan serangan sebelum tindakan diambil. Ancamannya sudah jelas. Dia seperti tidak faham perkara ini," katanya.

Peguam N Surendran pula berkata Ahmad Zahidi merendahkan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara terbuka.

"Kenyataan beliau adalah sama dengan melepaskan tangan daripada tanggungjawabnya sebagai menteri,"
kata ahli Parlimen Padang Serai itu.

Katanya Ahmad Zahid terikat dengan undang-undang dan janji untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid melanggar sumpah janji kepada Pejabat Perdana Menteri, dengan menambah: "Beliau membuktikan beliau tidak layak memegang jawatan menteri dalam negeri atau apa-apa jawatan lain."

Surendran menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memastikan undang-undang dilaksanakan dalam perkara ini.

"Mereka yang bersalah menawarkan ganjaran tampar ini perlu ditahan," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat ancaman dan tawaran itu, sebaliknya mengatakan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang meneliti Kok atas videonya, setelah menerima lebih dari 300 laporan polis.

Semalam polis sudahpun memulakan penyiasatan terhadap aduan Kok dan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505 (c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang ramai untuk mencederakan orang awan, serta Seksyen 506 kerana jenayah ugutan.
-TMI


Tiada ulasan: