Khamis, 6 Februari 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Pemimpin politik Myanmar terselamat cubaan bunuh di Bukit Bintang

Posted: 06 Feb 2014 10:33 PM PST

FEBRUARY 07, 2014
Dua pemimpin parti politik Myanmar termasuk Pengerusi Parti Pembangunan Kebangsaan Rakhine (RNDP), Dr Aye Maung terselamat dalam cubaan membunuh di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Menurut sumber polis, beberapa das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki bermotosikal tidak mengenai sasaran iaitu kereta BMW yang dinaiki pemimpin itu bersama tiga lagi kenalannya di Jalan Alor.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, turut bersama Aye Maung ialah Pengerusi Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thor Aung dan dua lagi warga Myanmar.
Mereka dikatakan baru meninggalkan Plaza Low Yat sebelum kenderaan mereka diserang dua lelaki berkenaan yang dipercayai rakyat Myanmar.
"Susulan tembakan itu, kenderaan dinaiki Aye Maung terus memecut ke sebuah hotel di ibu negara sebelum laporan polis dibuat. Tiada kecederaan dilaporkan terhadap mereka," kata sumber itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine. - Bernama, 7 Februari, 2014.

Edisi perabih duit kerajaan BN - Kedah taja Maharaja Lawak Mega RM200,000

Posted: 06 Feb 2014 08:52 PM PST

ALOR SETAR - Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Khazali Din mengesahkan penganjur program Maharaja Lawak Mega suku akhir yang diadakan di Dewan Wawasan Jitra, 24 Januari lalu, membuat permohonan tajaan sebanyak RM1.2 juta.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat menerusi exco penerangan, namun tidak mendapat kelulusan kerana jumlahnya yang tinggi.

"Permohonan itu tidak diluluskan, ada cadangan supaya mereka mohon penaja lain antaranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada penganjur ada membuat rayuan terhadap permohonan itu menerusi exco berkaitan.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah menafikan kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya hanya menggunakan RM200,000, seperti yang diluluskan.


"Memang benar kos keseluruhan mencecah RM1.2 juta tetapi yang diluluskan hanya RM200,000. Bagi menampung kos lain seperti penginapan dan pengangkutan, kita dapatkan tajaan dan tidak keluarkan belanja," katanya.

Menurutnya, peruntukan RM200,000 itu digunakan untuk menganjurkan program sampingan sempena acara Maharaja Lawak Mega iaitu Fiesta Penerangan Kedah Makmur dan Karnival di luar Dewan Wawasan, dimeriahkan dengan gerai jualan dan pameran agensi kerajaan.

Mengulas permohonan bajet awal yang dikatakan terlalu tinggi (RM1.2 juta), Mohd Tajuddin berkata, kos itu dicadangkan penganjur program dan selaku Exco berkaitan, beliau memanjangkan permohonan itu kepada kerajaan negeri sebagai kos tajaan.

"Mereka cadangkan kita taja RM1.2 juta dan apabila dibentangkan, hanya RM200,000 diluluskan. Dakwaan kita belanja RM1.2 juta itu tidak benar, itu hanya permohonan," katanya.

Menurutnya, pihaknya menggunakan kebijaksanaan untuk menggunakan peruntukan yang diluluskan tanpa memohon peruntukan tambahan selepas program berakhir.

"Saya anggap dakwaan kononnya kita belanja RM1.2 juta itu adalah fitnah untuk menjejaskan nama baik saya.

"Saya hanya guna peruntukan diluluskan. Saya juga tidak membuat tuntutan bayaran melebihi peruntukan yang dibenarkan. Hanya guna RM200,000," katanya.

Menurutnya, penganjuran program itu diletak bawah tanggungjawab jawatankuasa penerangan kerana ia turut diisi dengan program penerangan.

"Kita jalin kerjasama untuk program itu bukan semata-mata untuk berhibur tetapi ada agenda serampang dua mata iaitu mempromosi Kedah secara langsung.

"Saya guna kesempatan populariti Raja Lawak untuk promosi Kedah kerana artis diminta mempromosi tempat pelancongan seperti Ladang Anggur Tasik Beris dan Ulu Legong ketika siaran itu sedang ke udara secara langsung," katanya.

Mohd Tajuddin menganggap langkah itu adalah suatu penjimatan dalam mempromosi negeri kerana untuk mendapatkan siaran televisyen adalah terlalu tinggi perbelanjaannya.

"Rakyat Kedah patut bersyukur kerana banyak negeri melobi untuk dapatkan program itu mewakili wilayah utara. Saya andaikan ia win-win situation kerana penganjur diberi garis panduan tertentu dan mereka patuhi termasuk pakaian dan etika persembahan," katanya.

Menurutnya, pendekatan ini lebih khusus kepada memenuhi kehendak orang muda, di mana pihaknya membuat kajian sebelum berhasrat menjalin kerjasama itu.

"Maklum balas daripada generasi Y sangat positif. Kita buat tinjauan melalui twitter untuk bawa Raja Lawak ke Kedah dan semua sokong. Saya harap pihak luar jangan cuba eksploitasi isu ini atau berfikiran negatif," katanya.

Mohd Tajuddin turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya pada peringkat pada awal pihaknya berhasrat menjual tiket persembahan bagi menyaksikan program suku akhir itu.

"Awalnya ada cadangan untuk jual tiket, namun saya tegaskan supaya tidak teruskan kerana mahu rakyat Kedah berhibur secara percuma," katanya.

Beliau berkata, kesinambungan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan artis Raja Lawak akan diteruskan pada masa akan datang.

"Kita sedang rancang adakan program amal bersama artis Raja Lawak untuk membantu golongan kurang upaya menerusi program kebajikan yang dilakukan.

"Namun ia masih dalam perbincangan awal," katanya. - mStar 7/2/14

Ceroboh Sabah (terbaharu) dapat digagalkan - IGP

Posted: 06 Feb 2014 09:29 AM PST

SEMPORNA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pasukan keselamatan Malaysia berjaya menggagalkan percubaan kedua kumpulan bersenjata untuk memasuki Sabah dalam tempoh dua bulan.
Khalid yang mendedahkan perkara itu pada Khamis berkata, kumpulan-kumpulan itu merancang untuk memasuki timur Sabah atas sebab-sebab jenayah.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan secara lanjut dengan menjelaskan bahawa ia disebabkan oleh faktor keselamatan.
Khalid berkata, percubaan kedua berlaku pada akhir Januari tahun ini.
Pada 10 Januari lalu, Khalid memberitahu para pemberita bahawa terdapat satu pencerobohan lain ke Sabah yang dilakukan oleh pihak asing namun digagalkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.
Beliau berkata, cubaan yang dilakukan adalah kira-kira dua minggu sebelum itu (merujuk pada minggu terakhir Disember 2013).
"Terdapat satu percubaan oleh pihak luar untuk memasuki Sabah tetapi kami berjaya menggagalkannya menerusi kerjasama dengan agensi-agensi lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), " katanya kepada media ketika itu.
Kedua-dua cubaan menceroboh yang digagalkan itu berlaku kira-kira setahun selepas serangan kumpulan bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tandou di Felda Sahabat di Lahad Datu yang bermula pada 11 Februari 2013. - mStar

Tiada ulasan: