Sabtu, 1 Februari 2014

Addin

Addin


Patutlah Najib Membuat Tawaran Perdamaian Dengan Pakatan Rakyat.. Ikuti Penjelasan Rafizi

Posted: 01 Feb 2014 08:12 AM PST

Perdamaian Pakatan Rakyat (PR) dengan saingannya Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan masalah perkauman dan ekonomi juga dapat membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada musuh dalamannya yang mahu menyingkirkannya.

Pemimpin kanan PR membuat spekulasi tawaran berunding bagi mencari persamaan berhubung isu peningkatan kadar inflasi, jenayah dan rusuhan kaum membantu Najib menangani puak ultra Melayu yang wujud di dalam Umno.

Pada masa sama, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyifatkan percaturan di Kajang meskipun tidak popular dapat mengukuhkan kebolehan Najib memulakan rundingan pendamaian dengan PR.

Rafizi adalah "arkitek" dalam pencaturan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kajang bagi membolehkan ketua pembangkang itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang dikatakan kemudiannya akan mengambil alih jawatan menteri besar.

Rafizi mengandaikan persetujuan Najib untuk rundingan pendamaian adalah sebagai penyelamat bagi puak yang cuba menjatuhkan kedudukan perdana menteri itu."Anwar konsisten sejak awal lagi (berhubung rekonsiliasi). Bukannya kerajaan perpaduan. 

Biarkan pendekatan politik yang menentukan."Tetapi di sana ada kebuntuan. Najib melengahkannya dan menunggu keadaan yang sesuai. Saya berani mengatakan percaturan di Kajang memberi peluang kepada Najib untuk melihat perubahan.

"Jika kami menolak tawaran rekonsiliasi maka kami akan dilihat kehilangan sentuhan kerana PR melihat isu ini secara serius," katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib tempoh hari mengumumkan BN terbuka kepada dialog dua hala dengan PR, tiga hari selepas Anwar mengulangi tawaran rekonsiliasi.Tawaran Anwar meminta kedua-dua belah pihak mencapai konsensus nasional berhubung ketegangan hubungan antara kaum yang disifatkannya pra 13 Mei.

Sehari selepas ucapan Anwar itu, Adun PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.Rafizi berkata, kedudukan Najib perlu diperkukuhkan bagi membolehkan perdana menteri itu mengukuhkan rasa tidak adil dan ekstremis dalam Umno.

Katanya, sejak pilihan raya umum lalu, doktrin Umno yang mengutamakan sokongan Melayu Islam telah mengenepikan suara pengukuhan etnik dan kerajaan pelbagai kaum.

Ini berlaku sejak banyak kerusi yang dimenangi Umno di kawasan majoriti Melayu di kawasan pedalaman negara."Doktrin kerajaan berdasarkan satu kaum telah dipromosikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak bercakap demi kepentingan Najib tetapi membina kepercayaan Umno terhadap pengukuhan kerajaan Malaysia."Beliau telah diserang secara dalaman kerana mengutamakan kaum minoriti," katanya. ~tmi

Iklan C (ii)





Lee Chong Wei Bakal Di Calonkan Di PRK Kajang.. Ini Penjelasan Dari Jaguh Badminton Tersebut

Posted: 01 Feb 2014 03:00 AM PST

Berita pencalonan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Kajang merupakan antara kejutan menarik minggu ini. 

Bermula dengan cadangan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul untuk meletakkan Chong Wei sebagai calon kerana popularitinya yang dapat menandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini ada kemungkinan cadangan itu bakal dipertimbangkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai.

Ditanya tentang respon Lee Chong Wei berhubung cadangan beberapa pihak supaya beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, beliau memberitahu langsung tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

"Saya tidak tahu apa-apa dan tidak pernah dimaklumkan pula tentang cadangan untuk meletakkan saya sebagai calon di kawasan tersebut."

Terdahulu, dua calon popular iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai dan Lee Chong Wei adalah dua nama yang disebut kemungkinan menjadi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Dalam pada itu, Chong Wei menolak untuk memberikan komen lebih lanjut tentang kesediaannya untuk menukar haluan ke bidang politik jika diberi peluang. Katanya, dia belum berfikir tentang perkara tersebut buat masa ini.

Iklan C (ii)






Kepada Penyokong PR Yang Tidak Sokong PRK Kajang.. Wajib Baca Ni

Posted: 01 Feb 2014 12:50 AM PST

Sokongan Penuh Pencalonan Anwar Ibrahim Sebagai Calon DUN Kajang dan Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya

Dalam dunia politik Demokrasi Berparlimen, situasi kekosongan kerusi legislatif sama ada di peringkat Parlimen atau di Dewan Negeri bukanlah sesuatu yang tidak normal. 

Malah, jika kita bicara dalam konteks politik tanahair pun terdapat beberapa peristiwa pengosongan kerusi legislatif dengan bersandarkan kepada alasan strategi taktikal percaturan sesebuah gabungan parti-parti politik.

SAMM Muar menghormati pandangan dan komentar dari teman-teman seluruh Johor atas nama kebebasan menzahirkan pandangan dan juga dalam masa yang sama ingin turut mengambil bahagian dalam menyatakan pandangan.

Hakikat dan sejarah politik menentang rejim Pemerintah dalam negara ini mempunyai banyak kisah dan penuh warna-warni. Dan kerana itulah, SAMM Muar memilih untuk tidak segera memberikan komentar. 

Situasi yang berlaku di Selangor tampak tidak jauh berbeda dengan tahun-tahun akhir pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah. Pertembungan dan percakaran beberapa fraksi dengan kepimpinan eksekutif negeri akhirnya telah mengakibatkan rakyat Kedah mengambil keputusan untuk meninggalkan koalisasi Pakatan Rakyat.

Maka, SAMM Muar sebagai sebuah gerakan anak muda yang sudah muak dengan pentadbiran rejim Pemerintah Barisan Nasional dapat memahami justifikasi tindakan tidak popular Anwar Ibrahim dalam isu DUN Kajang. 

Adalah sesuatu yang amat malang sekali bagi rakyat Selangor sekiranya beliau tidak datang dengan tindakan radikal seperti ini dan hanya berdiam diri melihat pentadbiran cemerlang dan mesra rakyat di Selangor ketika ini musnah dalam Pilihanraya Umum ke 14 akan datang ekoran daripada percakaran fraksi-fraksi yang tidak berkesudahan.

Hakikat yang perlu difahami oleh semua pendokong-pendokong gerakan menentang BN adalah Selangor merupakan paksi atau tunjang utama Pakatan Rakyat maka ia wajib dipertahankan daripada sebarang ancaman dan tindakan parasit-parasit yang berselindung atas nama rakyat.

Barisan Nasional juga tidak patut angkuh kononnya tindakan ini sebagai satu tindakan tidak demokratik. Bagaimana kamu boleh mengungkapkan perkataan tidak demokratik walhal kamu sebelum ini melakukan sesuatu yang lebih buruk di Perak? 

Tindakan Parti Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim ini lebih elok apabila menyerahkan semula hak rakyat Kajang untuk membuat pilihan mereka bukan dengan memaksa mereka menerima sahaja tindakan atau keputusan yang diambil oleh koalisasi politik.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar sebagai sebuah gerakan anak muda Muar dengan jiwa yang besar menyokong penuh pencalonan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bagi pilihanraya kecil DUN Kajang. 

SAMM Muar juga turut menyokong penuh perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sebagai Pengarah Pilihanraya untuk DUN Kajang.

SAMM Muar dan sekutu juga berikrar dan bersedia menggerakkan jentera kami ke Kajang bagi membantu mempertahankan DUN Kajang seperti mana kami beraksi dalam kempen #Hizwan4Muar dalam pilihanraya umum yang lalu. 

Rakyat Kajang harus berbangga kerana mereka mempunyai peluang untuk mendapat khidmat seorang negarawan yang bukan sahaja diakui oleh dunia politik tempatan malahan masyarakat antarabangsa.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar (SAMM Muar)

Tel : 018-2864256
Email : samm.muar@gmail.com

Addin:

Addin pada mulanya agak terkejut dengan keputusan Adun Kajang meletakkan jawatan dan telah mengeluarkan reaksi segera yang tidak berpuas hati sepertimana reaksi sahabat-sahabat yang lain. Namun setelah mendengar penjelasan dari pimpinan, Addin dapat terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

Diharapkan semua penyokong PR dapat menerima penjelasan pimpinan PR demi kepentingan PR. Lawan kita sebenar adalah BN.. bukannya sesama kita.. 


Iklan C (ii)




Tindakan Paling Wajar Yang Diambil Oleh BN Di PRK Kajang

Posted: 31 Jan 2014 07:28 PM PST

Cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletak calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika berasa ia satu pembaziran mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Exco Selangor.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail (gambar) berkata, masih belum terlambat untuk BN bertindak dan memberi kemenangan percuma kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau Umno rasa dengan berlakunya PRK Kajang ini satu pembaziran, jangan bertanding. Beri laluan kepada calon PKR. Amacam?," katanya sebagaimana yang dilaporkan Selangorkini, laman rasmi kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin dalam tulisan di blognya menyindir Umno yang pernah melakukan tindakan sama pada 1997 ketika mahu menggantikan Tan Sri Muhammad Mohd Taib sebagai Menteri Besar Selangor.

Katanya, Tan Sri Abu Hassan Omar yang menjawat posisi menteri kabinet meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor, manakala Jamaluddin Adnan pula berundur sebagai Adun Permatang bagi memberi laluan kepada Abu Hassan.

Beliau berkata, tindakan itu memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan dua PRK setelah Abu Hassan dan Jamaluddin bertukar kedudukan.

"Jika PRK DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dianggap membazir, maka dua PRK serentak ketika mahu melantik Abu Hassan dulu tentu jauh lebih membazir lagi," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PRK Kajang yang akan datang adalah pembaziran wang awam oleh Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, keputusan mengadakan pilihan raya itu hanya sekadar untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalam PKR.

Nik Aziz dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau muak dengan akhbar-akhbar pro Umno yang memainkan isu kononnya langkah mengosongkan kerusi itu ialah langkah memanipulasi demokrasi.

"Barangkali Umno lupa, langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah langkah yang benar-benar jijik iaitu membelakangkan terus demokrasi dan merampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno jangan berlagak baik sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan," katanya.

Beliau juga mencabar Umno dan BN, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali meletakkan calon di dalam PRK itu nanti. ~tmi

Iklan C (ii)




Noh Omar Lari Lintang Pukang Lagi..

Posted: 31 Jan 2014 06:31 PM PST


Setelah marah-marah kerana debat beliau dengan Khalid Samad dibatalkan oleh Sinar Harian, Datuk Sri Noh Omar tidak menyertai forum dengan Ketua Pemuda PAS malam tadi.

Forum anjuran RTM yang dijadualkan disertai oleh beliau itu hanya disertai bekas Ketua Wira Perkasa merangkap Exco Pemuda Umno, Armand Azha.

Hasilnya dalam forum malam tadi, Suhaizan Kaiat terpaksa berdepan dengan tiga yang lain iaitu moderator dan dua lagi penal termasuk Armand.

Semasa Sinar Harian membatalkan debat beliau dengan ahli parlimen Shah Alam, Noh Omar telah datang ke pejabat Sinar Harian dengan marah-marah kerana kononnya beliau sudah bersedia dengan debat itu.

Dalam forum malam tadi, Suhaizan membuat penegasan untuk memberikan sokongan penuh kepada calon PKR di Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengaku, Pemuda PAS memberikan kenyataan agak keras kerana keliru dengan perletakan jawatan Adun Kajang.

Namun selepas mendapat penjelasan, mereka mengambil keputusan untuk menyokong penuh pencalonan Anwar di situ.

Katanya, semua pihak perlu ingat PAS adalah sebuah parti yang terbuka kepada pandangan dan teguran daripada ahli-ahlinya tetapi akan patuh dan wala' selepas keputusan diambil oleh pucuk pimpinan parti. ~tmi

Iklan C (ii)




Tiada ulasan: