DIALOG RAKYAT |
- Keputusan saman Anwar terhadap Papa Gomo 28 Februari
- Rayuan ke-2 Anwar ketepi Shafee didengar 11 Feb
- NGO: Demo kami tiada parang terbang
- KJ: Jadi Sultan Melakalah, Anwar
- Azmin: P'raya kecil Kajang langkah taktikal
- Pemuda PAS S'gor ancam boikot kempen Kajang
- Guan Eng tidak dimaklumkan perkembangan di Selangor oleh Anwar
- Selepas rekod buruk PISA, Muhyiddin arah kementerian kaji pendekatan sekolah terbaik dunia
- Perkasa: Wujudkan undang-undang larang calon terlibat proses mahkamah tanding pilihan raya
- Anwar bertanding di Dun Kajang
- Khalid: Tukar MB mesti muafakat bersama
- 'Awan kuda' muncul di KK
- Bom petrol di gereja: Kem Pertahanan sedia bantu
- Nasib Khalid melalui penyingkiran terbuka?
- DAP cadang sidang tergempar Parlimen pulihkan masalah kaum dan agama
- Impian Sabah, Sarawak diteruskan, 17 projek baru dalam empat bulan
- Pakatan Rakyat mula kempen Johor terajui perubahan PRU-14
Keputusan saman Anwar terhadap Papa Gomo 28 Februari Posted: 28 Jan 2014 03:05 AM PST Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 28 Februari depan untuk keputusan kes saman Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog 'Papa Gomo' yang didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkannya dalam video seks dengan seorang lelaki di laman berkenaan. Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam, N Surendran dan Lateefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam, Jasbeer Singh Kawna yang mewakili defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar). Surendran ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa mahkamah menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas kes berkenaan ditutup hari ini. Jasbeer Singh memaklumkan kepada pemberita, pihaknya memohon tarikh baharu untuk memanggil saksi terakhir yang sepatutnya hadir ke mahkamah, bagaimanapun ia dibantah peguam plaintif (Anwar) dan mahkamah memutuskan kes itu ditutup. Pada 21 Mac tahun lalu, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan. Prosiding perbicaraan yang bermula semalam memanggil dua saksi plaintif termasuk Anwar dan seorang saksi defendan iaitu Wan Muhammad Azri memberi keterangan. - Bernama, |
Rayuan ke-2 Anwar ketepi Shafee didengar 11 Feb Posted: 28 Jan 2014 03:01 AM PST MALAYSIAKINIMahkamah Persekutuan akan mendengar pada 11 Feb rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau untuk mengetepikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat. Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Izzudin Mohamad menetapkan tarikh baharu itu di dalam kamarnya hari ini apabila perkara berkenaan dibawa kepadanya bagi tujuan pengurusan kes. Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata sebelum ini, rayuan itu ditetapkan untuk didengar hari ini, tetapi terpaksa ditunda kerana tarikhnya tidak sesuai dengan peguam Tommy Thomas yang mewakili Anwar. Katanya berikutan itu, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran. Peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor hadir bagi pihak Anwar pada prosiding pengurusan kes itu. Pada 20 Dis tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar dan memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang. Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan liwat dengan menggunakan maklumat daripada perisytiharan berkanun yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim untuk menyokong permohonannya. Permohonan pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun lepas, dan berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, tetapi turut ditolak. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominimum Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pelantikan Muhammad Shafee, seorang peguam terkenal, dibuat melalui kuasa Peguam Negara mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Aturcara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan menetapkan 12 dan 13 Feb untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan itu.- Bernama |
NGO: Demo kami tiada parang terbang Posted: 28 Jan 2014 02:59 AM PST MALAYSIAKINISebuah demonstrasi bagi membantah apa yang digelar sebagai "penghinaan kaum Cina" terhadap agama Islam, raja dan kepimpinan Melayu di Petaling Jaya ditangguhkan pagi ini. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka "Kesatuan Warisan Pahlawan Melayu (KWPM)" hari ini menjelaskan, langkah itu diambil bagi menghormati saranan perdana menteri supaya tiada provokasi mencetuskan ketegangan dibuat. Timbalan Pengerusi KWPM Rahim Md Harun memaklumkan, pertubuhan itu juga menghormati saranan polis supaya perhimpunan yang dirancang di Kampung Medan itu tidak diadakan. Beliau juga melihat, terdapat pihak cuba menggagalkan rancangan mereka dengan menggelar perhimpunan itu sebagai "demonstrasi parang terbang", seperti disebarkan kepada awam. "Ada pihak tertentu yang cuba menggagalkan demo hari ini sehingga timbul nama demo parang terbang. "Sebab (nama) itu saya sendiri dikunjungi SB (Cawangan Khas) dan pegawai polis kerana khabar angin ada kejadian yang tidak diingini akan berlaku di Kampung Medan. "Justeru itu, saya tidak mahu mengeruhkan suasana menerima saranan perdana menteri dan pihak berkuasa dengan tidak mengadakan demonstrasi hari ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Tarikh baru perhimpunan akan diumumkan kemudian. Rahim menjelaskan, antara isu yang akan dibangkitkan dalam perhimpunan itu, isu seorang guru sekolah Cina yang didakwa mendenda muridnya menjadi lembu, isu larangan bertudung kepada wanita Islam dan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. |
KJ: Jadi Sultan Melakalah, Anwar Posted: 28 Jan 2014 02:55 AM PST MALAYSIAKINIPengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengundang kritikan segera di Internet, khususnya laman blog mikro Twitter. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin antara yang dikesan terlibat menulis pesanan mengejek ketua umum PKR itu. "Apa punya lawak. Mungkin juga akan tabalkan diri kamu Sultan Melaka," tulisnya. Beliau juga merujuk tweet Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebelum ini berhubung "zaman kegilaan" dengan mengulasnya sebagai: "Sekarang saya benar-benar tahu apa maksudnya." Sementara Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang pula menulis: Saya masih tidak jelas kenapa perlu pilihan raya kecil. Anwar patut buat sesuatu yang berwibawa." Manakala bekas mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin pula menyelar perletakkan jawatan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang bagi memberi laluan kepada Anwar. "Tak ada mana-mana YB nak letak jawatan lagi ke? Boleh bagi laluan (pada) kawan-kawan. Habiskan lagi duit rakyat. Pilihan raya kat main-main saja," tulisnya. |
Azmin: P'raya kecil Kajang langkah taktikal Posted: 28 Jan 2014 02:52 AM PST MALAYSIAKINITindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang dan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu "langkah taktikal" untuk menguasai Putrajaya, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. "Anwar bertanding di sana akan memberikan satu mesej kepada orang ramai yang kita serius tentang Selangor dan akan menggunakan negeri ini sebagai batu loncatan ke Putrajaya," kata Azmin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor, petang ini. Menurut Azmin, beliau sendiri sebenarnya sanggup mengosongkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding. "Kita perlukan pemimpin nasional yang kuat seperti Anwar untuk bertanding di Selangor. "Kalau anda mahu saya tawarkan kerusi saya pun, saya sangat berbesar hati untuk berbuat demikian tetapi dalam perbincangan kami, Kajang adalah kerusi terbaik," kata pengerusi PKR Selangor itu. Mengulas kritikan serta rungutan dari beberapa pemimpin Pakatan Rakyat tentang langkah itu, Azmin menjelaskan yang PKR Selangor maklum tentangnya. Namun tegasnya, jaminan serta dukungan pemimpin tertinggi DAP dan PAS yang hadir pada sidang media pagi tadi meyakinkannya segala rintangan yang akan timbul dari langkah kontroversi itu akan berjaya diatasi. "Kita dengari pandangan akar umbi tetapi jaminan yang diberi pimpinan itu amat penting. "Kita akui ada sedikit kerisauan dari akar umbi tentang pilihan yang diambil PKR untuk mengadakan satu lagi pilihan raya kecil. "Kita akan hadapinya bersama dan kita akan atasi isu ini," kata Azmin. |
Pemuda PAS S'gor ancam boikot kempen Kajang Posted: 28 Jan 2014 02:50 AM PST MALAYSIAKINI Pemuda PAS Selangor mengancam memboikot kempen pilihan raya kecil Kajang jika PKR gagal memberi penjelasan bertulis munasabah terhadap pengosongan kerusi DUN itu. Ketua Pemuda PAS negeri Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, jika penjelasan gagal dibuat, arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jenteranya supaya tidak bekerjasama membantu kempen calon PKR. "Pemuda PAS Selangor sebulat suara bersetuju sekiranya PKR gagal berbuat demikian maka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR," katanya. Dalam kenyataannya, Syarhan (kiri) berkata, tidak wajar Lee Chin Cheh melepaskan jawatan ADUN Kajang tanpa alasan kukuh. Beliau mengibaratkan tindakan itu "mengkhianati amanah rakyat" memandangkan majoriti 6,824 undi yang diperolehinya agak besar. Sambil menyatakan kekesalan kerana keputusan dibuat membelakangkan rakan dalam Pakatan Rakyat, Syarhan berkata jumlah perbelanjaan pilihan raya kecil juga besar. "Tindakan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan pentadbiran parti tidak seharusnya membabitkan pembaziran wang rakyat," katanya. Syarhan turut mengingatkan PKR bahawa Selangor ditadbir bersama oleh tiga komponen dalam Pakatan dan tiada istilah negeri itu negeri PKR atau sebaliknya. Akan namakan calon MB sendiri "Maka tindakan sebegini akan mengeruhkan suasana politik antara Pakatan dan memberi imej negatif kepada rakyat," katanya. Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman (kanan) pula menganggap kekosongan kerusi DUN itu sebagai isu dalaman PKR yang tidak ada kena mengena dengan jawatan dan kedudukan menteri besar. "Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat. "Dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai. Ini termasuk menamakan YB Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai calon utama kita. "Kita akan hantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat. Terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian. "Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN," tegas Khairuddin dalam satu kenyataan. Beliau juga menasihatkan ahli PAS semua peringkat di negeri itu bertenang dan menunggu arahan terus dari PAS negeri dari masa ke semasa. |
Guan Eng tidak dimaklumkan perkembangan di Selangor oleh Anwar Posted: 28 Jan 2014 02:43 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau tidak dimaklumkan peletakan jawatan Aahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR Lee Chin Cheh atau tentang jawatan menteri besar Selangor. Katanya, disebabkan tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan di negeri yang dipimpin oleh PKR, rakan sekutu DAP dalam pakatan pembangkang, maka tidak sesuai bagi beliau membuat sebarang kenyataan. "Saya tidak dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar tentang apa-apa kemajuan atau perkembangan itu di Selangor... saya rasa segala soalan harus ditujukan kepada Anwar. "Tidak sesuai untuk saya buat sebarang kenyataan atau pandangan tentang apa yang berlaku di Selangor... apa perasaan saya sekarang tidak penting kerana yang penting bagi saya adalah pastikan keselamatan dan keamanan di Pulau Pinang," katanya. Lim diminta mengulas mengenai Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang dinamakan PKR sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan, untuk DUN Kajang. Lim sebelum itu menghadiri majlis penyerahan sijil kelulusan polis bantuan Perbadanan Bekalan Air Holding Berhad di George Town hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata pemilihan Anwar dibuat selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pagi ini. Lee memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional, Berjasa dan tiga calon bebas. – Bernama |
Selepas rekod buruk PISA, Muhyiddin arah kementerian kaji pendekatan sekolah terbaik dunia Posted: 28 Jan 2014 02:40 AM PST Selepas diserang berkali-kali oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang ekoran prestasi buruk Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji mekanisme yang diguna pakai oleh sekolah Malaysia yang mencapai prestasi setaraf sekolah terbaik dunia. Timbalan Perdana Menteri itu berkata, warga guru dan pegawai Kementerian Pendidikan perlu memahami konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) supaya gerak kerja yang diusahakan kerajaan akan dapat melonjakkan kedudukan Malaysia dalam kedudukan PISA akan datang. "Pentaksiran PISA merupakan satu topik pendidikan yang hangat diperkatakan mutakhir ini baik di Malaysia atau pun forum antarabangsa. Analisis mendalam amat perlu agar Malaysia dapat memperbaiki kedudukan. "Saya difahamkan terdapat beberapa sekolah di Malaysia mencapai skor atau prestasi setaraf sekolah terbaik dunia. Dengan ini saya mengarahkan Kementerian Pendidikan melihat lebih mendalam faktor penyumbang kejayaan sekolah tersebut," katanya di Putrajaya hari ini. Pisa menilai pelajar berusia 15 tahun dalam subjek matematik, sains dan bacaan. Malaysia didapati jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga ke-2, malah negara berpendapatan rendah seperti Vietnam berada di tangga ke-17 yang lebih baik daripada Malaysia. Bank Dunia dalam laporannya tahun lalu mengatakan sistem berpusat yang diguna pakai sektor pendidikan Malaysia menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka. Muhyiddin hari ini turut menyelar pihak yang sering memperlekehkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) adalah merupakan golongan yang tidak membaca dan memahami isi kandungan pelan berkenaan. "Saya sedar ada pihak yang inginkan usaha kita gagal dengan menyatakan usaha ini memerlukan keajaiban dan mendakwa kementerian merendahkan sasarannya kerana tidak realistik. Ini bukan soal kerajaan terlalu bercita-cita tinggi hendak mencapai sasaran dengan gopoh. "PPPM adalah bukti bahawa kerajaan meletakkan aspirasi tertinggi dan terbaik tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Anak-anak kita berhak menerima pendidikan terbaik dan ini semua kerajaan telah nyatakan dengan jelas," katanya. Mengenai sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sering menerima kritikan daripada pihak guru dan ibu bapa, beliau telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah pendidikan bagi mengenalpasti masalah di peringkat pelaksanaan. Katanya, salah faham berhubung pelaksanaan PBS tidak akan berlaku sekiranya sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri mempunyai kefahaman yang jelas berhubung pelaksanaan dasar berkenaan. "Saya telah menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak terutama keluhan guru. Saya faham masalah yang dihadapi guru dan saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian bagi mengenalpasti masalah sebenar. "Sekiranya masih terdapat kesamaran mengenai PBS, saya minta supaya ia ditangani segera bagi mencerahkan pemahaman guru yang akan melaksanakan PBS untuk murid Tingkatan 3 yang bakal melalui format baru tahun ini," katanya. Menyentuh isu penempatan guru, Muhyiddin berkata sebahagian besar isu penempatan guru telah diselesaikan dan bakinya dijangka akan dapat diselesaikan menjelang Mac tahun ini. Katanya, isu pertukaran dan penempatan guru tidak akan diselesaikan selagi jumlah yang memohon lebih besar berbanding ruang kekosongan yang ada. "Soal pengisian jawatan telah kita buat, hampir 8,000 guru semuanya. Sebahagian besar telah diisi. Beberapa ratus berbaki, akan diisi tidak lama lagi. "Berbaki itu akan ditempatkan selewat-lewatnya Mac ini. Mereka yang bergraduat selepas Ogos tahun lalu, akan ditempatkan berdasarkan kekosongan selepas Mac. "Isu penempatan dan pertukaran guru memang kita selalu bincang. Yang mana kita boleh bantu atas dasar mereka memenuhi syarat kekosongan bidang, kita akan lakukan. "Jumlah membuat permohonan pertukaran pada satu ketika pernah mencecah 20,000 permohonan setahun sedangkan kekosongan hanya 7,000 sahaja," katanya. Beliau turut mengingatkan guru tidak boleh lari dengan tugas tambahan yang diberikan pihak sekolah meskipun fokus kepada pengajaran dan pembelajaran perlu diberi keutamaan. Katanya, guru sekolah di luar negara juga turut dibebankan dengan tugas tambahan dan ini sudah menjadi trend perguruan semasa. "Saya nak sebutkan di mana-mana sistem pendidikan, guru tidak tertumpu hanya soal pengajaran sahaja, ada yang menanggung kerja tambahan seperti menjaga disiplin, ko-kurikulum dan lain-lain. "Seboleh mungkin, kita mahu guru beri tumpuan untuk mengajar. Kalau kerja lain, itu kesediaan untuk melakukan kerja. Ia biasa berlaku di kebanyakan negara," katanya. September tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan bebanan guru. Katanya, perkara tersebut yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat merupakan sebahagian daripada dasar dalam PPPM. "Antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang pembantu pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya. |
Perkasa: Wujudkan undang-undang larang calon terlibat proses mahkamah tanding pilihan raya Posted: 28 Jan 2014 02:33 AM PST Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menghalang calon yang masih menghadapi tuduhan di mahkamah bertanding dalam pilihan raya. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata jika seseorang calon itu didapati bersalah oleh mahkamah, satu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dan ia merupakan satu pembaziran dan penghinaan kepada rakyat. "Memang seseorang tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman tetapi jika akhirnya pihak terlibat didapati bersalah yang menyebabkan gugur status ahli dewan, maka PRK terpaksa diadakan dan ia merupakan satu pembaziran kepada wang rakyat. "Rakyat sesebuah negeri tentu berasa malu apabila pemimpinnya sedang didakwa, apatah lagi jika kes jenayah besar seperti rasuah, liwat dan juga merupakan bekas banduan yang bertahun ditahan di penjara," katanya dalam satu pesanan ringkas. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang setelah penyandangnya Lee Chin Cheh menghantar notis untuk mengundur diri sebagai Adun semalam. Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan 11 Februari bagi mendengar semula rayuan Anwar menolak peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan bagi menyemak semula keputusan pembebasan Anwar dalam tuduhan liwat kedua. Anwar, 66, dijangka akan hadir ke mahkamah sewaktu kempen pilihan raya DUN Kajang sedang berlangsung. Ibrahim berkata jika pihak yang masih menghadapi pertuduhan di mahkamah diangkat sebagai calon, ia melambangkan sesebuah parti itu sudah tidak mempunyai calon lain yang lebih layak. "Lebih-lebih lagi kalau salahguna kuasa, lengahkan bicara dan macam-macam hal. Ianya juga menggambarkan macam tidak ada orang lain yang layak. "Ini satu penghinaan moral kepada rakyat. Maka wajar satu akta yang terperinci mesti diwujudkan dengan mengambil kira semua aspek dalam hal perjawatan," katanya yang kini berada di Mekah. |
Anwar bertanding di Dun Kajang Posted: 27 Jan 2014 08:16 PM PST Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam sesi Dialog Anak Muda di Sunway Resort Hotel, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI PETALING JAYA - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi calon untuk bertanding di Dun Kajang. Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Pejabat Pusat PKR sebentar tadi. Menurut Khalid, PKR dan rakan komponennya iaitu Pas dan DAP bersetuju untuk meletakkan Anwar sebagai calon di Dun tersebut. "Selepas perbincangan dilakukan, PKR dan rakan parti komponen yang lain, kami telah bersetuju untuk meletakkan Datuk Seri (Anwar) sebagai calon di Dun tersebut. "...kita letak calon PKR, kerana itu bekas kerusi PKR sebelum ini," katanya. |
Khalid: Tukar MB mesti muafakat bersama Posted: 27 Jan 2014 08:13 PM PST MALAYSIAKINIMenteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pelantikan menteri besar di negeri itu perlu mendapat konsensus daripada tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat seterusnya mendapat perkenan sultan. "Tak ada. Proses pelantikan MB perlu mendapat konsensus ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat). Calon menteri besar dipilih dan dipersetujui ketiga-tiga parti. "Mereka juga akan memberitahu kepada Tuanku Sultan dan perkenan Sultan. Jadi banyak tatacaranya," katanya bagi menjawab soalan pemberita di Kuala Lumpur hari ini. Beliau ditanya sama ada peletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar. Ditanya sama ada ura-ura Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar bertanding di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil dan menggantikan beliau, Khalid berkata: "Kita belum ada perbincangan lagi (mengenainya). Perkara itu akan ditentukan oleh biro politik (PKR)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau "tidak terkejut" dengan usaha menggantikannya kerana sebelum ini ada "ura-ura" mengenainya. Ditanya sama ada beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya PAS dan DAP bersetuju beliau berbuat demikian, Khalid berkata: "Ia boleh dilakukan dengan ketiga-tiga parti duduk bersama. Kena ada perbincangan. Tapi sekarang tidak ada lagi". |
Posted: 27 Jan 2014 08:11 PM PST MALAYSIAKINIKedatangan Tahun Baru Cina setiap tahun membawa makna yang besar bagi masyarakat Tionghua seluruh negara. Namun di Kota Kinabalu tahun ini, ia adalah sesuatu yang unik berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila seorang jurugambar secara tidak sengaja berjaya mengambil gambar awan berbentuk seakan-akan seekor kuda. Jurugambar tersebut, Jimmy Omar, berada di puncak Bukit Padang sekitar jam 6.59 pagi semalam ketika terpandang imej awan tersebut. Menyedari akan keunikan tersebut, beliau yang kebetulan membawa kamera dengan sepantas kilat mengabadikan detik tersebut. Kelihatan dalam gambar adalah bentuk awan yang menyerupai seekor kuda yang sedang berlari dengan Gunung Kinabalu sebagai latar belakang. Dalam ruang Facebook beliau Jimmy menafikan penggunaan sebarang aplikasi komputer seperti Photoshop atau penggunaan sebarang kesan khas dan menegaskan ia adalah gambar asli. Malahan beliau turut mengakui sebagai bertuah kerana dapat menangkap gambar imej tersebut. Setakat berita ini ditulis, gambar ini telah mendapat 469 'likes' serta dikongsi sebanyak 263 kali hanya beberapa jam selepas gambar ini disiarkan. Manakala kebanyakan pengunjung rata-rata turut memberikan komen serupa melihat bentuk awan tersebut seperti seekor kuda. Imej kuda di langit ini adalah sesuatu yang unik dan ianya mungkin berlaku secara kebetulan. Bagaimanapun, ia adalah suatu kebetulan yang amat bermakna kepada masyarakat Cina kerana mereka akan menyambut Tahun Kuda dalam Tahun Baru Cina yang menjelang tiba. |
Bom petrol di gereja: Kem Pertahanan sedia bantu Posted: 27 Jan 2014 08:03 PM PST MALAYSIAKINIKementerian Pertahanan sedia bekerjasama dengan polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengkoordinasi tindakan yang perlu diambil berhubung insiden melontar bom botol di perkarangan sebuah gereja di Pulau Pinang, kelmarin. Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) yang memandang serius perkara itu, berkata beliau melihat isu berkenaan sebagai tindakan terkini polemik negara yang diterjemah kepada perlakuan lebih agresif, lapor Bernama. "Kita kena tanganinya dengan cukup berhemah dan saya yakin pihak berkuasa mampu mengatasinya, saya sendiri sudah melalui isu ini ketika bersama Kementerian Dalam Negeri suatu ketika dahulu," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas majlis Malam Anugerah Sukan 2013 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur malam tadi. Dua bom botol itu dibaling ke perkarangan gereja berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan serius. Insiden itu dikatakan mempunyai kaitan dengan perbuatan menggantung kain rentang bertulis 'Allah is great, Jesus is the son of Allah' (Allah Maha Besar, Jesus anak Allah) di luar gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor. |
Nasib Khalid melalui penyingkiran terbuka? Posted: 27 Jan 2014 08:01 PM PST DR ABDUL AZIZ BARIPetang semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebut peri pentingnya perkenan Sultan dan persetujuan Pakatan Rakyat sebelum beliau dapat digantikan. Itu dengan sendirinya memberi isyarat bahawa bukan mudah untuk menggantikan menteri besar Selangor ini. Respon itu juga memberi isyarat bahawa Khalid tidak akan menyerahkan tengkuknya begitu sahaja. Dua bulan lalu saya dan seorang teman wartawan ada berbincang mengenai masalah Pakatan di Selangor dan saya meramalkan apa yang berlaku ini akhirnya akan memuncak dalam bentuk krisis politik di Selangor pada 1975. Krisis itu mempunyai beberapa persamaan dengan krisis yang berlaku di Sarawak pada 1966 dan Kelantan pada 1977. Saya berpendapat politik dan prosedur yang digunakan dalam krisis-krisis itu boleh direnung bagi digunakan semula dalam menangani kerenah menteri besar Selangor ini. Ketiga-tiga krisis politik itu melibatkan penyingkiran ketua kerajaan negeri; yakni menteri besar di Selangor dan Kelantan dan ketua menteri di Sarawak. Mirip situasi Kelantan 1977 Dalam ketiga-tiga krisis itu parti yang membentuk kerajaan terpaksa mengemukakan undi tidak percaya bagi menjatuhkan orang mereka sendiri yang enggan bermain mengikut arahan parti. Kalau orang parti yang diletakkan di dalam kerusi menteri besar itu mengikut arahan sebagaimana Datuk Seri Najib Razak di Pahang atau Datuk Seri Dr Rais Yatim di Negeri Sembilan pendekatan melalui undi tidak percaya itu tidak perlu. Tetapi itu bukan politik Datuk Harun Idris yang telah memegang jawatan menteri besar Selangor sejak 1964. Bekas ketua Pemuda Umno ini malah dianggap pencabar Perdana Menteri Tun Razak dan kemudian Datuk Hussein Onn. Senario Khalid di Selangor pada 2014 tidak sama dengan konteks politik Harun Idris pada 1975. Kedudukan Khalid lebih menyamai kedudukan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Nasir pada 1977 yang tidak begitu mendengar arahan partinya PAS. Khalid juga ada persamaan dengan Datuk Stephen Kalong Ningkan yang cuba mentadbirkan Sarawak dengan caranya sendiri; sesuatu yang tidak digemari oleh perdana menteri Tunku Abdul Rahman. Apa pun ketiga-tiga ketua kerajaan negeri itu terpaksa disingkirkan secara terbuka, tidak melalui saluran parti. Tidak mustahil krisis yang mula kelihatan di Selangor ini akhirnya akan diselesaikan melalui jalan itu. Budi bicara sultan Pada saya jalan yang disebut oleh perlembagaan ini adalah prosedur yang paling baik untuk mencegah campur tangan pihak-pihak tertentu khususnya istana untuk menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri. Berbalik kepada kenyataan Khalid tadi saya fikir apa yang perlu diulas ialah perkenan Sultan sebagaimana yang beliau sebutkan. Di sisi perlembagaan, peranan sultan – sama seperti Yang di-Pertuan Agong atau Yang di-Pertua Negeri – sebenarnya tidak ada. Apa yang disebut budi bicara melantik itu sebenarnya hanya relevan sekiranya tidak jelas siapa calonnya. Sekiranya parti atau parti-parti yang ada dalam dewan itu sepakat menamakan seseorang maka sebenarnya istana tidak ada pilihan. Apa yang berlaku selama ini di mana istana meminta dua atau tiga nama adalah satu perbuatan campur tangan yang tidak asas dalam perlembagaan. Gejala seperti itu adalah cubaan untuk menyalahgunakan kuasa. Saya mengatakan kuasa budi bicara itu tidak mutlak kerana falsafah di sebalik kuasa budi bicara melantik itu ialah konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government). Jika istana tahu maksud konsep ini mereka sendiri akan takut untuk cuba menggunakan pengaruh dalam pelantikan ketua kerajaan. Pada faham saya, sekatan perlembagaan yang relevan ialah sokongan Pakatan. Sekiranya ini dapat dijamin saya fikir Khalid boleh digantikan dengan mudah. Apabila dispekulasikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dicalonkan sebagai menteri besar baru, ada pihak-pihak yang meremehkan. Anak Selangor bukan syarat MB Apa pun tanggapan mereka bagi saya ini tidak salah dan boleh berlaku. Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hanya meletakkan syarat – selain sokongan majoriti dalam DUN – Melayu dan Islam. Tidak perlu bahawa calon menteri besar itu orang Selangor atau lahir di Selangor. Dan saya fikir Anwar sahaja mempunyai aura dan kekuatan untuk mengenepikan Khalid. Calon lain belum tentu. Ada yang kata Anwar bukan ADUN. Ini bukan masalah. Kerusi DUN Kajang sudah dikosongkan. Anwar boleh bertanding di situ. Kita tentunya masih ingat bagaimana Datuk Seri Abu Hassan Omar disebut menjadi menteri besar ketika beliau masih berada dalam kabinet persekutuan selepas Tan Sri Muhammad Muhd Taib terpaksa meletakkan jawatan menteri besar pada 1997. Apa yang berlaku selepas itu ialah kerusi DUN di bawah parlimen Kuala Selangor dikosongkan dan Abu Hassan bertanding di situ. Dalam senario sekarang langkah pertama sudah bermula apabila DUN Kajang dikosongkan. Apa yang akan berlaku selepas ini kita sama-sama tunggu. Apa pun pilihannya tidak sukar. Pakatan boleh teliti apa yang dipaparkan tadi. Perlu saya sebutkan bahawa Anwar boleh terus memegang kerusi parlimen Permatang Pauh dan meneruskan kedudukan sebagai ketua pembangkang di parlimen. DR ABDUL AZIZ BARI bekas profesor undang-undang UIAM yang kini bertugas di Unisel. Beliau juga felo kanan IDEAS, badan pemikir bebas, dan Penang Institute yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pulau Pinang. Beliau calon PKR untuk parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya umum lalu. |
DAP cadang sidang tergempar Parlimen pulihkan masalah kaum dan agama Posted: 27 Jan 2014 07:51 PM PST KUALA LUMPUR: DAP menggesa satu sidang Parlimen tergempar diadakan dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina beberapa hari lagi bagi menangani percubaan pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan ketegangan kaum dan agama, seperti tragedi 13 Mei, 45 tahun lalu. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, keadaan itu jelas terlihat melalui insiden yang menyentuh sensitivi kaum dan agama yang semakin menjadi-jadi. Beliau merujuk peristiwa melempar dua bom 'molotov cocktail' ke kawasan Gereja Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang awal pagi semalam, dan tindakan menaikkan pemidang 'Jesus is the son of Allah' di luar tiga gereja di Pulau Pinang tanpa pengetahuan pihak gereja, kelmarin. "Ia adalah bukti wujudnya konspirasi jahat oleh sekelompok kecil pengkhianat yang cuba menggoncang kestabilan negara dan (mencetuskan) kekacauan kaum atau agama…bagi mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei," katanya dalam satu kenyataan semalam. Katanya lagi, sidang tergempar pada tempoh perayaan itu tidak mustahil diadakan, kerana bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pernah membubarkan parlimen pada waktu sama. "Jika Parlimen boleh dibubarkan pada tempoh itu, maka tiada sebab sidang tergempar tidak boleh diadakan memandangkan terdapat banyak isu nasional yang perlu ditangani segera," tegasnya. Sebelum ini, Pakatan Rakyat sudah menghulurkan tangan kepada Barisan Nasional, bagi bersama-sama menangani cubaan melaga-lagakan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyelar Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berdiam diri membiarkan beberapa pihak secara tersusun menghasut kebencian kaum dan agama. "Apakah KPN lalai sama sekali dalam menjalankan tugas? Tiba masanya beliau bangun dari tidur dan menjalankan tugas terhadap negara dan rakyat, bagi memelihara mereka daripada pengkhianat yang cuba timbulkan ketegangan," katanya. |
Impian Sabah, Sarawak diteruskan, 17 projek baru dalam empat bulan Posted: 27 Jan 2014 07:48 PM PST KUALA LUMPUR, DAP akan meneruskan program Impian Sabah dan Impian Sarawak pada 2014 dengan 17 projek baru dalam masa empat bulan, kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua. Berucap pada majlis kutipan dana dan penghargaan sukelawan projek itu di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya Sabtu lalu, beliau memaklumkan sebanyak 12 projek akan dijalankan di Sarawak dan lima lagi di Sabah. "Projek ini meliputi kawasan yang luas. Untuk Sarawak, ia bermula di Bau (berhampiran Kuching) sehingga Limbang, betul-betul di sempadan Brunei. Ada pelbagai kawasan yang bagi kita di sini, adalah tempat yang cukup asing," katanya. Antara kawasan yang disenarai bagi Sarawak adalah Sungai Rassau (Sibu) dan Kampung Selampit (Mas Gading), manakala bagi Sabah adalah Kampung Pangi (Tenom). Katanya lagi, projek masih membabitkan penyediaan kemudahan asas seperti sistem air graviti, jalan, pembinaan semula jambatan usang dan jeti baru (Sungai Rassau). "Lebih menarik, ia tidak menelan belanja yang banyak. Kos untuk paip kurang daripada RM10,000. Manakala dengan RM125,000, kita dapat sediakan air bersih 24 jam sehari untuk penduduk Kampung Samparitan Laut. "Jadi, sangat mengaibkan apabila wakil rakyat BN yang dipilih tidak dapat melakukannya selama ini," katanya. Program yang dilancarkan tahun lalu itu kini memiliki lebih 400 sukarelawan berdaftar. Dalam pada itu, beliau turut menempelak sikap Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Maximus Ongkili yang memperkecilkan inisiatif DAP ketika awal pelancarannya. Ahli Parlimen Kota Marudu itu dalam laporan menyifatkan usaha DAP hanya perkara kecil, kononnya kerana DAP memiliki banyak wang untuk berbuat demikian. "Ketika kita lancarkan projek di Kampung Samparitan Laut, Ongkili kata 'tiada apa yang istimewa, DAP parti kaya' dan 'BN pun boleh buat'. Ini datang daripada Ahli Parlimen di sana – jadi kenapa selama ini tak pernah buat. "Beliau adalah Menteri Tenaga dan Air, tetapi kawasannya sendiri tiada bekalan air dan elektrik," katanya.-Roketkini.com |
Pakatan Rakyat mula kempen Johor terajui perubahan PRU-14 Posted: 27 Jan 2014 07:46 PM PST KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) menyokong penuh tekad menjadikan Johor negeri utama menuju Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14, melalui slogan 'Johor Menerajui'. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia diputuskan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, 22 Januari lalu. "Selaras dengan usaha itu, pemimpin pusat PAS, PKR dan DAP akan turun secara konsisten ke Johor, malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Mohamad Sabu akan melawat negeri itu pada Tahun Baru Cina ini. "Saya sendiri berharap dapat melawat semua 26 kawasan Parlimen dan 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini," katanya dalam satu kenyataan semalam. Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pemimpin DAP, antaranya Setiausaha Agung, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden, Tan Kok Wai dan Naib Presiden, Teresa Kok serta pimpinan lain akan diberi tugas khas untuk membantu Pengerusi Negeri, Liew Chin Tong bagi mencapai misi itu. Pakatan Rakyat Johor melancarkan misi 'Johor Menerajui' dalam satu kenyataan bersama Chin Tong, Pesuruhjaya PAS negeri, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong. Justeru, beliau mencadangkan tiga strategi bagi menjayakan matlamat itu iaitu menguatkan kedudukan Pakatan Rakyat di lima kerusi Parlimen dan 18 DUN yang dimenangi pada PRU-13, fokus kepada lapan kerusi Parlimen dan lapan DUN yang kalah tipis, serta jawatankuasa khas bagi merangka strategi di 13 kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN yang dianggap kawasan 'selamat' BN. "'Perang' untuk Putrajaya dan Nusajaya (pusat pentadbiran Johor) perlu diadakan di semua kawasan Parlimen dan DUN, bukan sekadar berlawan, tapi untuk menang," katanya lagi. Masa sudah tiba untuk Impian Johor Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar Impian Johor dilancarkan bagi melawan unsur tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan ketidakstabilan melalui polarisasi kaum dan agama. Tahun lalu, DAP melancarkan Impian Sabah dan Impian Sarawak dengan menyediakan kemudahan asas di beberapa kawasan pedalaman negeri berkenaan. Katanya, hubungan antara kaum dan agama yang dilihat semakin memburuk melalui beberapa peristiwa kebelakangan ini membuktikan betapa pentingnya 'Impian Malaysia' – tema yang merentas serta menyatukan seluruh rakyat Malaysia. "Samada Melayu, Cina, India, Iban atau Orang Asal, kita adalah rakyat Malaysia, jatuh bangun bersama dan perlu menerima perbezaan dan kepelbagaian kita. "Sudah tiba masanya Impian Johor sebagai komponen penting kempen Impian Malaysia dilancarkan untuk mengingatkan kembali bahawa kita di Johor dan Malaysia adalah satu," katanya lagi. -Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan