tembak pegawai Ambank 
 Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat. - Foto Sinar Harian oleh NUR FARHANA ABDUL MANAN
KUALA LUMPUR - Suami kepada pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, yang ditembak mati dalam kes rompak dan bunuh semalam, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.
Irwan Kamarudin, 37, berkata penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.
"Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini selepas pengebumian isterinya di kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.
Norazita, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu sendiri selepas Norazita membuka pintu bilik kebal bank itu di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, semalam.
Susulan kejadian, gambar dan rakaman video selama 32 saat tentang kejadian itu tersebar dalam laman Facebook hari ini.
Pagi ini, Irwan bersama dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, Muhd Hazimy, 8, serta saudara maranya hadir di Bilik Mayat Hospital Serdang untuk pengecaman mayat isterinya.