Nurul Izzah 
TEMPOH 100 hari selepas PRU13 telah berlalu, Sinar Harian Online cuba mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengenai pencapaian PR dan komen beliau mengenai isu semasa terutamanya dialog perpaduan anjuran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu kenaikan harga minyak serta isu belanjawan yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

SINAR HARIAN ONLINE: Tempoh 100 hari selepas PRU13 telah berlalu. Bagaimana YB melihat kedudukan PR  ketika ini terutama dari segi sokongan rakyat? Dalam PKR sendiri dan parti gabungannya bagaimana?

NURUL IZZAH: Pada saya kita telah melakukan yang sedaya upaya  pada PRU yang lepas sehingga mendapat undi sebanyak 51.8 peratus daripada undi rakyat. Ini bermaksud setelah usaha dibuat untuk meyakinkan rakyat  bahawa PR merupakan alternatif  yang terbaik. Alhamdulillah kita mendapatkan keputusan yang amat memberangsangkan, itu penting.

Selain itu, ia memberikan kami lebih rasa kebertanggungjawaban menerima amanah yang begitu besar selain mendesak pilihan raya direformasikan dan membuat petisyen seperti mana dibuat oleh pihak BN di kerusi-kerusi yang berkontroversi akhirnya kita telah bertemu untuk mewujudkan Belanjawan Alternatif  2014.

Ini kerana kita rakyat berharap kepada kita untuk menawarkan belanjawan yang dapat menjaga kebajikan mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana YB melihat prestasi wakil-wakil rakyat PKR yang menang buat kali pertama kali ini?

NURUL IZZAH: Pada saya bila kita telah melalui liku-liku cabaran yang terdahulu seperti PRU11, PRU 12, tentunya tiba PRU13 rakyat mahukan calon yang lebih berketerampilan dan Rafizi Ramli adalah contoh terbaik untuk berdebat, seorang yang berani.

Shamsul Iskandar (Mat Akin) juga yang dulu hanya Pengerusi Majlis Pimpinan Universiti Islam Antarabangsa, jadi semua ini penting akhirnya hasrat kita untuk menonjolkan wakil-wakil yang kredibiliti, bebas rasuah dan berani memperjuangkan isu rakyat.

Saya juga ingin sebutkan di Pulau Pinang, Ahli Parlimen Bayan Baru, Ahli Parlimen Padang Serai, saya suka melihat mereka yang punyai idealisme. Mereka bukannya baru tapi sudah lama bersama kita, jadi akhirnya kita dapat "bertarung" dasar di Parlimen supaya tindakan tidak wajar berlaku contohnya kenaikan harga minyak ini berulang.

SINAR HARIAN ONLINE: Kelmarin dalam satu kenyataan media, Pemuda Pas ada buat 'teguran' terbuka mengenai tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar yang menawarkan dialog terbuka bersama kerajaan BN untuk selesai isu rakyat. Teguran agak pedas kerana katanya dulu ketika pemimpin kemuka idea sama, akan dikritik. Apa komen YB?

NURUL IZZAH : Saya minta Naib Pemuda Pas Pusat merujuk dahulu kepada pemimpin tertinggi PR, perbincangan itu dibuat dengan baik sendiri oleh majlis pimpinan PR Pusat di setiap ketika.

Kita tak akan membuat cadangan ini tanpa memaklumkannya kepada parti perikatan PR yang lain. Jadi saya agak kecewa, sepatutnya beliau terlebih memeriksa dengan kepimpinan dalam Pas sendiri sebelum membuat kenyataan sedemikian. Apa yang penting di sini kita telah ikut struktur, laluan dan ruang yang diberikan. Kita juga yakin sehingga saat ini Majlis Pimpinan Tertinggi PR mengetahui dan merestui perkara tersebut. Apa yang diminta hanya satu kerjasama di dalam perundingan meja bulat bercakap mengenai masalah jenayah dan ekonomi yang dilakukan oleh banyak negara.

Selepas PRU13 kita menggunakan saluran yang betul apabila tidak berpuas hati dengan memfailkan petisyen.

Jadi sekarang tiba masanya untuk manyatakan Malaysia mempunyai masalah jenayah, dan ekonomi yang tidak terkawal. Justeru, perlu ada perundingan meja bulat yang meminta parti masing-masing meninggalkan latar belakang dan idealogi politik.

Kita hanya minta berdiri teguh dan  berbangga dengan parti masing-masing untuk menangani perkara ini.

Bajet Alternatif PR 2014