Himpunan #KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Sabtu lalu KUALA LUMPUR - Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu tidak menolak sasaran Pakatan Rakyat (PR) mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi pihaknya mahu mencapai misi itu menerusi pilihan raya dan lunas demokrasi.

Katanya, PR tidak pernah dan tidak akan mencapai sasaran itu dengan mengadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan.

"Tipu kalau saya kata tak ada. Memang kita niat nak guling kerajaan tapi melalui pilihan raya," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin bahawa himpunan yang turut dikenali sebagai #KL112, sebagai cuba meniru apa yang berlaku di sesetengah negara Arab dengan niat menjatuhkan kerajaan.